Tag Archives: Hadi Awang

PAS Bagi AMARAN Lagi – Malaysiakini

Selepas tarikh 16 September berlalu tanpa kejutan, PAS pula mengulangi pendiriannya tidak akan menyertai kerajaan Pakatan Rakyat jika kerajaan baru persekutuan yang dicita-citakan, majoritinya dikuasai oleh wakil rakyat bukan Islam kelak.

Pendirian itu dinyatakan oleh Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Ceramah Isu-isu Semasa di Dungun, Terengganu minggu lalu.

Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang lebih mengharapkan wakil rakyat Umno menyertai PAS jika mahu membina kekuatan orang Melayu dan Islam di negara ini.

Dipetik Harakah menerusi edisi terbaru bertarikh 29 September (hari ini), Abdul Hadi berkata, apabila jumlah wakil rakyat bukan Islam melebihi kerusi anggota Dewan Rakyat beragama Islam, maka PAS akan membuat keputusan – sedia menarik diri daripada kerajaan Pakatan Rakyat.

Kata beliau, PAS telah meletakkan syarat agar kerajaan Pakatan Rakyat itu dikuasai oleh wakil-wakil Islam Melayu.

Jika Islam tidak majoriti, bekas Ketua Pembangkang di Parlimen itu berkata, pembentukan kerajaan pimpinan Pakatan Rakyat tidak akan disertai oleh PAS.

“PAS akan tarik diri terang-terang jika tidak mendapat majoriti Islam. Itu syarat pertama,” kata beliau.

Susulan pilihan raya umum ke-12 8 Mac lalu, Barisan Nasional (BN) mempunyai 140 kerusi di Dewan Rakyat manakala pembangkang pula 82 anggota.

Pakatan Rakyat yang terdiri daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan PAS masing-masing mempunyai 31, 28 dan 22 anggota Dewan Rakyat.

Salah satu parti komponen BN, Parti Maju Sabah (Sapp) telah keluar dan kini bertindak sebagai Bebas di Parlimen. Seorang lagi anggota Dewan Rakyat juga merupakan wakil Bebas.

Idea pembentukan kerajaan persekutuan pimpinan Pakatan Rakyat telah diutarakan oleh pembangkang pada 1 April lalu.

Datuk Seri Anwar Ibrahim menetapkan 16 September yang lalu bagi mencapai sasaran tersebut.

Bagaimanapun tiada perkembangan menjelang 16 September, sebaliknya Pakatan Rakyat menerusi Anwar telah meminta agar Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengadakan pertemuan dengan pembangkang bagi membincangkan peralihan kerajaan pusat secara aman.

Surat pertemuan itu ditandatangani Anwar, Abdul Hadi dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Kemudian Anwar meminta Abdullah memanggil sidang khas Parlimen pada 23 September.

Kedua-dua permintaan itu ditolak Abdullah dan tarikh baru Pakatan Rakyat membentuk kerajaan ialah 1 Oktober.

Syarat kedua yang ditentukan Abdul Hadi ialah kerajaan yang bakal dibentuk itu mesti sebuah kerajaan yang kukuh, bermakna terdiri daripada wakil rakyat yang konsisten (istiqamah).

“Kita (PAS) bersedia untuk mengubah kerajaan tetapi dengan syarat mestilah kerajaan itu lebih baik daripada yang sedia ada (BN).

“Kita tidak mahu berubah kepada yang lebih buruh tetap mesti lebih baik,” kata Abdul Hadi.

Pada minggu lalu, Anwar telah mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat dan Abdul Hadi di Kota Bharu bagi membincangkan perkembangan terbaru mengenai sasaran tersebut.

Difahamkan, dalam pertemuan itu Anwar sekali lagi memberi jaminan tidak akan meminggirkan PAS apabila Pakatan Rakyat membentuk kerajaan baru persekutuan. – Mstar

nota: Pening la DSAI….dah janji macam2 ni..satu pun tak tunai…!!! hehehe masak masak!!! Tapi awas…ramai musang berbulu ayam(penyokong kuat Anwar) di dalam PAS….gerakan meliberalisasikan PAS sedang bermula.

7 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Kecoh dalam diam…

dari agendadaily

Mengikut laman web rasmi Datuk Seri Anwar Ibrahim antara yang akan hadir menyampaikan ucapan pada majlis sambutan Hari Malaysia di Stadium Kelana Jaya Isnin malam ialah Presiden PAS Datuk Seri Haji Hadi Awang.

“ Program bermula dengan Majlis Buka Puasa, Solat Maghrib, Isya, Tarawikh dan diikuti dengan ucapan pemimpin Pakatan Rakyat. YB Lim Kit Siang dan YB Tuan Guru Dato’ Seri Hadi Awang akan menyusul selepas Solat Tarawikh di lapangan stadium. Program kemuncak adalah perutusan YB Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena Hari Malaysia 16 September .” Itulah seperti yang dinyatakan.

Namun sampai ke sudah kelibat Presiden PAS itu pun tak nampak.

Apakah nama Haji Hadi digunakan hanya untuk jadi daya penarik para ahli PAS menghadiri majlis itu?

Ini bukan pertama kali beliau tidak hadir pada satu majlis yang diadakan di stadium berkenaan.

Tidak lama dulu masa majlis protes kenaikan harga minyak anjuran badan yang dinaungi oleh Bendahari PAS Pusat Dr Hatta Ramli yang pro Anwar ,beliau disenaraikan akan hadir tetapi tidak datang.

Kalau nak kira majlis Hari Malaysia ini merupakan malam penting bagi barisan pembangkang apa lagi sambutannya pada saat menjelang tarikh 16 September.

Para pemimpin utama DAP, Kit Siang dan anaknya Guang Eng turun.Sebaliknya tidak ramai para pemimpin utama PAS hadir kecuali Setiausaha Agung Datuk Kamaruddin Jaafar,Dr Hatta dan beberapa yang lain.

Malah Pesuruhjaya PAS Selangor juga Exco kerajaan negeri, Datuk Dr Hassan Ali juga tidak kelihatan.

Apakah ini ada kaitan dengan rasa kurang yakin pada gembar gembur Anwar mengenai kerajaan 16 September?

Disebalik semua ini rupanya ada kecoh dalam diam-diam menyangkut isu ini.

Kenyataan terbuka Persuruhjaya PAS Terengganu Datuk Mustapha Ali bahawa dakwaan Anwar dapat mengambilalih kerajaan dari Barisan Nasional menerusi lompat parti pasti tak akan jadi dikatakan telah mencetuskan rasa kurang senang dikalangan golongan yang pro-Anwar dalam parti itu.

Mustapha diketahui adalah penasihat politik kepada Haji Hadi.

Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Aziz Nik Mat telah mengeluarkan satu kenyataan yang panjang menghentam Mustapha.

Ikut ceritanya kenyataan bertarikh 11 September itu telah dihantar untuk disiarkan dalam akhbar Harakah.Namum ia telah ditolak.

Makanya kenyataan penuh itu kini disiarkan dalam laman blog milik seorang yang rapat dengan Datuk Husam Musa.

Husam pula diketahui sangat berpengaruh keatas Nik Aziz.

Husam juga diketahui merupakan kalangan pemimpin PAS yang pro-Anwar.

Berikut ialah kenyataan penuh Datuk Niz Aziz yang disiarkan dalam laman blog berkenaan dibawah tajuk ‘ Kenyataan Nik Abdul Aziz yang di ‘ haramkan’ :

RAKYAT TERENGGANU SALAH PILIH PESURUHJAYA

1. Saya telah membaca dengan teliti pandangan Pesuruhjaya PAS Terengganu yang kali ini lebih gemar menggunakan nama beliau sebagai pengamal dan penganalisis politik daripada bertindak sebagai seorang Pesuruhjaya PAS Negeri. Walaupun sewaktu beliau berdiri sebagai penganalisis politik dalam mana-mana waktu sekalipun, pada saya, beliau tetaplah Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu. Baik dalam keadaan berdiri, duduk, atau berbaring, Mustafa bin Ali adalah seorang Pesuruhjaya PAS.

2. Dengan demikian, mahu tidak mahu pandangan beliau itu tetap mencerminkan pandangan PAS Terengganu. Lebih mendukacitakan lagi ialah apabila pandangan beliau ini bersifat anti keputusan Muktamar. Sekaligus, ia menentang arus Syura yang memutuskan untuk mengukuhkan Pakatan Rakyat dan tidak sebaliknya seperti yang sedang dilakukan oleh Mustafa Ali. Dalam respons dan setiap ayat yang digunakan, saya tidak nampak sikap Mustafa yang boleh mengukuhkan Pakatan Rakyat seperti yang diputuskanoleh Muktamar secara “standing ovation”.

3. Sepatutnya tugas pemimpin termasuk Pesuruhjaya ialah mendukung dan mengukuhkan keputusan Muktamar. Sifat rajin mengeluarkan kenyataan walaupun tidak disuruh adalah sesuatu yang aneh dan menghairankan. Lebih-lebih lagilah ia mencanggahi keputusan Muktamar. Sepatutnya ceramah atau temuramah bersifat lanjutan kepada keputusan Muktamar.

4. Saya membuat perbandingan antara kenyataan Mustafa di muka surat 1 dan 3 Utusan Malaysia, 11 September 2008 dengan kenyataan Dato’ Johari Baharom, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri sendiri termasuk kenyataan PM sendiri dalam Berita Harian pada hari yang sama. Mesejnya sama iaitu tidak ada apa yang akan berlaku pada 16 September 2008 iaitu “tidak mungkin ada undi tidak percaya kerana Parlimen tidak bersidang.” Sentimen Mustafa yang “terus terang tidak yakin adanya bilangan sebanyak 30 orang yang akan melompat parti” betul-betul serupa dengan nada Presiden Umno. Betul-betul serupa.

5. Lidah Mustafa boleh dikatakan sudah menjadi lidah Umno. Kita kena faham bahawa lidah ini adalah jurubahasa kepada hati. Jika begitu keadaannya apa yang ada dalam hati, maka lebih baik terang-terang sokong Umno. Hujah untuk “meredakan keresahan rakyat” yang digunakan oleh Mustafa tidak tepat. Apa yang tepat ialah kita kena tanya rakyat resah kerana apa? Jawabnya, rakyat resah kerana pimpinan di bawah Umno selama ini telah menimbulkan seribu satu macam keresahan. Usaha Pakatan Rakyat yang sama-sama sedang didukung oleh PAS, PKR dan DAP ini adalah usaha untuk memulihkan keresahan rakyat. Pemulihan dan keyakinan akan berlaku apabila Pakatan Rakyat menguasai di peringkat Pusat. “Cross over” kepada Pakatan Rakyat yang menuju ke arah peralihan kuasa sama ada 16, 17, 18, 19 atau 20 September 2008 hendaklah menjadi agenda setiap orang : agenda setiap Pesuruhjaya PAS Negeri termasuklah Mustafa bin Ali. Inilah semangat Muktamar yang telah kita sama-sama putuskan secara sebulat suara. “Standing ovation” itu adalah sebulat suaralah tu. Keputusan Muktamar ini, bukan kerja main-main.

6. Apa tujuan kita adakan kursus, seminar, ceramah, tamrin, usrah, doa, sembahyang hajat, munajat, pagi, petang, siang dan malam kalau tidak kerana untuk menumbangkan sebuah pemerintahan yang tidak cenderung kepada Islam. Jika Umno hendakkan Islam, sudah lama dia laksanakan Islam.

7. Saya tidak fahamlah bila Mustafa menyebut bahawa dia bercakap secara bebas dan pendirian beliau bertaraf peribadi; bukan atas kapasiti seorang pemimpin PAS. Pada saya, beliau adalah Pesuruhjaya PAS Terengganu. Dalam Islam, seseorang itu hanya boleh mempunyai satu sahsiah saja. Sesiapa yang cuba bermain-main dengan dua atau lebih rupa sahsiah, tidak layak menjadi pemimpin gerakan Islam. Sebab itu, Islam selalu menekankan soal tauhid, yakni penyatuan segala perkara di atas satu dan menuju kepada satu. Dalam PAS, tidak ada dua wajah sahsiah. Jika ada juga, maka ia sesuai untuk mewakili Umno.

8. Jika Dr. Mahathir pernah berkata bahawa ia tersalah pilih Perdana Menteri maka dalam konteks ini boleh jadilah Terengganu sudah tersalah pilih seorang Pesuruhjaya. Dalam akhir ayat Mustafa Ali, ada juga saya terbaca beliau menyifatkan isu ini timbul disebabkan keghairahan satu pihak untuk mengambil alih kerajaan. Di sini, saya cukup tidak fahamlah. Seolah-olah pada Mustafa, adalah satu kesalahan apabila kita ghairah nak gantikan kerajaan secara demokrasi. Sejak bila pula Mustafa jadi begini? Kita kena faham bahawa isu menghuruharakan ini timbul kerana sejak 50 tahun Umno memimpin negara, rakyat tidak dipimpin dengan jelas dan betul dari segi Islam atau demokrasi. Keadilan tidak diberi kepada orang-orang Melayu, Cina, India, Siam atau Kadazan. Ini yang kita ghairah untuk menggantikan kerajaan. Kita bawa Islam kerana Islam itu adil. Islam itu untuk keamanan dan kesejahteraan seluruh kaum yang bermastautin di Malaysia. Apabila nampak bahawa Kerajaan BN/Umno sudah panik dan resah sehingga terpaksa melarikan 50 Wakil Rakyat, maka pada saya, ini adalah petanda kejayaan. Tak tahu lah pula saya kenapa Mustafa Ali terpaksa bersusah payah untuk menjelaskan situasi sebenar demi meredakan. Meredakan hati siapa? Hati pemimpin Umno?

9. Dalam keadaan beginilah hati saya cepat-cepat teringat tentang HARAKAH. Saya tak dapat bayangkan bagaimana HARAKAH boleh memainkan peranan sebagai lidah rasmi parti dan organ parti, apabila orang nombor satu yang merupakan Pesuruhjaya PAS Terengganu ini telah mengambil sikap membelakangi keputusan Muktamar. Saya percaya, ini sedikit sebanyak akan mempengaruhi pojok, cerita, berita dan analisis yang dibuat. Dengan dibenarkan penerbitan dua kali seminggu maka lebih cepat lagilah ia boleh merosakkan imej HARAKAH. Pada logiknya, pembaca HARAKAH akan berkurangan. Saya fikir suatu keputusan perlu dibuat mengenai perkara ini.

10. Saya sebenarnya masih mahu mengambil sikap bertangguh dari terlalu cepat mengemukakan respons. Dengan begitu, saya akan cuba ikuti lagi apa rentak yang akan dibawa oleh pemimpin seperti Mustafa Ali. Saya percaya, mungkin ada satu atau dua orang lagi yang bersama dengan beliau. Selaku orang tua dalam parti, saya telah mengikuti orang penting dan orang yang tidak penting keluar masuk ke dalam parti. Bahkan Allahyarham Dato’ Haji Asri Muda sekalipun pernah meninggalkan Parti PAS. Pada waktu itu beliau adalah di kerusi Presiden. Beliau akhirnya masuk Umno dan semua orang tahu bagaimana beliau mengakhiri karier politiknya.

NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT

Bertarikh : 11 Ramadhan 1429
11 September 2008.

p/s Kenyataan di atas telah diarah ditarik siarannya dari Harakah. Terdapat tangan-tangan hitam di puncak Raja Laut yang begitu taksub dengan UMNO sehingga tindakan mereka pun sudah sama dengan UMNO.

3 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Mubahalah Mohd Saiful bermotif politik – TG Abdul Hadi

indakan bekas pembantu Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohd Saiful Bukhari Azlan bermubahalah (sumpah laknat) jelas bermotifkan politik kotor.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyifatkan perbuatan Saiful adalah sesuatu yang bodoh serta tidak mengikut lunas Islam.

“Ianya satu kebodohan terhadap hukum Islam lebih-lebih lagi yang memakai jenama agama (Islam),” katanya dalam sidang media di Muktamar Tahunan PAS ke-54 di sini hari ini.

Petang semalam Mohd Saiful melakukan sumpah dihadapan bapanya, Azlan Mohd Lazim dan Imam Masjid Wilayah Persekutuan.

Abdul HAdi juga melahirkan kekesalan kerana institusi agama turut diheret dalam permasalahan ini.

“Perkara ini mesti difahami dengan jeas. Bagi kita orang Islam kita ada li’an. Li’an adalah sumpah yang melibatkan suami isteri.

“Tetapi Anwar dan Mohd Saiful bukan suami isteri. Cara sumpah guna al-Quran juga seperti amalan Kristian yang gunakan Bible untuk bersumpah,” katanya.

Menurut Abdul HAdi, pada hakikatnya Mohd Saiful tidak perlu melakukan sumpah menggunakan al-Quran kerana berliau sendiri tidak memahami kandungan kitab suci itu.

“Namun itu hak dia, dia boleh buat apa sahaja. tetapi harus diingat kita perlu dengar dari kedua-dua belah pihak,” katanya.

Tambah beliau, penyelesaian terbaik bagi kes ini ialah dengan merujuk ke Mahkamah Syariah.

“Ini melibatkan hal orang Islam. Jadi termaktub dalam peruntukan Perlembagaan Perkara 121 (1)(A).

“Pandangan kami (PAS) jelas, perkara ini (tuduhan liwat) perlu dirujuk mengikut hukum qazaf (tuduhan fitnah) yang memerlukan empat orang saksi atau berikrar bagi kedua-dua pihak,” katanya.

Katanya lagi Anwar tidak perlu mengikut jejak Mohd Saiful untuk bersumpah.

Jelas Abdul Hadi tindakan Mohd Saiful itu (bersumpah) tidak akan menjejaskan sokongan PAS terhadap Anwar.

“PAS tetap berpendapat bahawa Anwar tidak bersalah selagi perkara ini masih belum dibuktikan di mahkamah,” katanya.

Abdul Hadi juga berpendapat bahawa sumpah Mohd Saiful yang dilakukan sehari sebelum proses Penamaan calon bagi pilihan raya Permatang Pauh pagi tidak menjejaskan sokongan pengundi terhadap Anwar.

9 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Dewan Pemuda PAS Tidak Sehaluan dengan TG Hadi Awang

Dewan Pemuda Pas mempunyai pendirian berbeza dengan presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkaitan kedudukan Pas dalam Pakatan Rakyat sekiranya pembangkang membentuk kerajaan pusat pada 16 September ini.

Ketua Dewan Pemuda Pas, Salahuddin Ayub, berkata Pas akan tetap bersama dalam pakatan itu bersama parti lain dan jika timbul sebarang perbezaan pendapat, ia akan diselesaikan secara bijaksana.

Beliau berkata, walaupun ada masalah dan ketidaksefahaman berlaku di antara Pas, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP, ia tidak bermakna mana-mana parti dalam pakatan itu termasuk Pas sendiri akan bertindak keluar daripada pakatan.

“Ini bukan ertinya kita (Pas) akan berkompromi bila melibatkan dasar-dasar Islam. Bagi kita semua pihak perlu hormati prinsip dan dasar masing-masing.

Dengan keadaan beginilah rakyat pilih kita baru-baru ini, apa masalah kita selesai bersama dengan cara yang berhikmah dan bijaksana.

“Hakikatnya di negeri yang dikuasai pembangkang, Pas, DAP dan PKR boleh duduk semeja. Setakat ini, semua masalah boleh diselesaikan dengan baik,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Kenyataan beliau berbeza dengan kenyataan Abdul Hadi sebelum ini yang menegaskan Pas akan keluar daripada Pakatan Rakyat jika “kerajaan baru” selepas 16 September ini tidak menjadikan Islam sebagai teras kepimpinan dalam menerajui negara.

Berhubung rasa tidak puas hati sesetengah anggota PAas dengan penyertaan Pas dalam Pakatan Rakyat, Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata perkara itu adalah cabaran yang perlu dihadapi oleh parti tu.

Ditanya sejauhmana kesepakatan semua parti dalam Pakatan Rakyat kerana secara umumnya terlihat bahawa masih ada yang rasa sangsi di antara satu sama lain, beliau mengakui masalah memang wujud dalam pakatan berkenaan.

“Tapi itu masalah biasa dalam pakatan, kita ambil itu sebagai cabaran.

“Barisan Nasional (BN) pun ada masalah, dalam komponen (BN) pun ada masalah, tapi mereka boleh selesaikan masalah itu, dalam Pas pun, kita berhadapan dengan perkara ini.

“Saya akui memang kita ada masalah, tapi masalah tu boleh selesai dengan cara kita, kita minta rakyat lebih adil, kami baru lepas 100 hari (memerintah), jadi berilah masa untuk buktikan kami boleh bersama,” katanya. — Bernama

7 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

“Abang”pakatan rakyat sudah bersuara….

sumber klpos

PENGERUSI DAP Karpal Singh meminta PAS memberi penjelasan kepada parti lain di bawah Pakatan Rakyat berhubung tindakannya mengadakan muzakarah dengan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga Presiden Umno baru-baru ini.

Beliau berkata DAP langsung tidak dimaklumkan mengenai pertemuan itu dan hanya mengetahuinya melalui media.

Karpal Singh berkata PAS sepatutnya memaklumkan kepada DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengenai muzakarah itu kerana ia membabitkan isu yang sangat penting.

“Saya berpendapat tindakan itu (tidak maklumkan tentang muzakarah dengan Umno) tidak betul kerana kita dalam Pakatan Rakyat perlu tahu apa yang masing-masing lakukan terutama sekali bila ia melibatkan isu fundamental,” katanya kepada pemberita di Kompleks Mahkamah di sini hari ini.

Karpal Singh berkata PAS tidak sepatutnya mengadakan pertemuan dengan pemimpin Umno lebih-lebih lagi parti itu pernah mendakwa diketepikan semasa menyertai Barisan Nasional (BN) sekitar awal 70-an.

“Nik Aziz (Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) juga pernah berkata bahawa PAS tidak sepatutnya dipatuk oleh ular yang sama dalam lubang yang sama tetapi saya hairan kenapa beliau menukar fikiran. Saya rasa sudah tiba masanya mereka (PAS) memberi penjelasan kenapa kami diketepikan.

“Sepatutnya tidak timbul keraguan antara parti yang bernaung di bawah Pakatan Rakyat dan setiap tindakan yang dibuat perlulah secara terbuka,” katanya.

Presiden PAS Datuk Abdul Hadi Awang hari ini mengakui pimpinan tertinggi parti itu telah mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri baru-baru ini bagi membincangkan isu-isu kepentingan bersama berkaitan umat Islam dan orang Melayu.

Kenyataan Abdul Hadi itu dikeluarkan sebagai mengulas kenyataan Abdullah yang disiarkan oleh akhbar hari ini yang mendedahkan bahawa muzakarah bersama PAS telah diadakan sebanyak tiga kali.

Dalam pertemuan itu, Umno diketuai sendiri oleh Abdullah, manakala PAS dipercayai diwakili Abdul Hadi. Nik Abdul Aziz tidak hadir pada pertemuan itu.

nota: kini ‘abang’ atau taiko kepada pakatan rakyat iaitu DAP sudah bersuara. sikap biaDAP yang sering mengutamakan bangsa lain selain melayu di dalam pakatan sudah tidak disenangi oleh PAS. Syabas kepada PAS kerana sanggup bermuzakarah dengan UMNO demi kepentingan Islam dan melayu itu sendiri.

1 Comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

PAS temui Umno ‘demi Pakatan’

PAS mengadakan pertemuan dengan Umno bertujuan mengelakkan sebarang masalah pembentukan kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor, jelas ahli jawatankuasa kerja PAS Khalid Samad yang menyertai perbincangan tersebut.

“Kita berunding dengan Umno supaya parti itu tidak membuat kacau kepada kerajaan negeri Selangor kerana PAS telah mengeluarkan surat menyokong (wakil PKR, Tan Sri) Abdul Khalid (Ibrahim) sebagai menteri besar,” katanya kepada Malaysiakini.

Ketika itu, tambahnya, Abdul Khalid belum mengangkat sumpah sebagai menteri besar Selangor dan keadaan tidak menentu saat itu membimbangkan Pakatan jika Umno tidak membenarkan pembangkang membentuk kerajaan negeri.

Pada asalnya pertemuan pertama itu diundang oleh Umno untuk membincangkan pembentukan kerajaan negeri Selangor bersama PAS sejurus selepas pilihanraya umum 8 Mac.

“Umno mencadangkan kepada PAS untuk membentuk kerajaan negeri Selangor kerana Abdul Khalid (waktu itu) belum dilantik menjadi menteri besar.

“Tetapi PAS ketika itu telah mengeluarkan surat sokongan kepada Abdul Khalid sebagai menteri besar Selangor,” katanya.

Khalid berkata beliau tidak ingat tarikh tepat pertemuan tersebut tetapi menyatakan hanya beberapa hari selepas pilihanraya.

“Kalau tidak silap saya, pada 10 atau 11 Mac dan tempatnya di Kuala Lumpur,” katanya sambil menambah perbincangan tersebut telah diatur oleh pihak ketiga.

“Tetapi saya tidak tahu siapa pihak ketiga itu,” katanya lagi, mengulas kenyataan perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam bahawa beliau telah mengadakan pertemuan sebanyak tiga kali dengan pemimpin PAS.

Umno diwakili Abdullah sebagai presiden dan bekas menteri besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo.

Manakala PAS pada awalnya bersetuju menghantar presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang, timbalannya Nasharuddin Mat Isa dan pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hassan Ali.

Bagaimanapun, tambah Khalid, penyertaan Abdul Hadi tidak direstui pucuk pimpinan PAS kerana beliau seorang pemimpin tertinggi parti, manakala Dr Hassan diketepikan kerana telah mengadakan pertemuan awal dengan Dr Mohamad Khir.

“Berikutan itu, saya dipilih menggantikan Dr Hassan dan Mustafa menggantikan Abdul Hadi,” katanya lagi.

Sementara itu, Mustafa berkata, perbincangan tersebut diadakan dengan kebenaran parti bagi membincangkan kepentingan orang Melayu dan Islam.

Katanya, kedua-dua parti berbincang mengenai kedudukan orang Melayu Islam sekarang dan nasib mereka sekarang ini.

Pengarah pilihanraya PAS itu berkata, parti itu bebas mengadakan perbincangan dengan Umno tanpa memaklumkan terlebih dahulu kepada PKR, rakan utama Pakatan Rakyat.

“Masa (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) jumpa SAPP, beliau tidak beritahu kita. Semua bebas berjumpa (komponen BN),” katanya ketika ditemui di ibu negara hari ini.

Dalam satu kenyataan lewat malam tadi, Abdul Hadi mendedahkan pertemuan pertama itu yang diketuai Nasharudin dan ia telah dimaklumkan kepada majlis syura dan jawatankuasa pusat PAS.

“Berikutan itu Majlis Syura Ulamak PAS telah mengambil ketetapan bersetuju sebulat suara merestui presiden, timbalan presiden dan setiausaha agung PAS bagi mempertingkatkan usaha yang bersungguh-sungguh dalam menyatupadukan umat Islam dan rakyat Malaysia berlandaskan Islam,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Menurutnya, pertemuan kedua diadakan di bangunan Parlimen antara Nasharudin dengan Abdullah – masa tidak disebut.

Pertemuan ketiga dan seterusnya, yang sedang dirancang, tidak dinyatakan.

Laman web akhbar mingguan Siasah pula memetik kenyataan Khalid yang menyebut nama Dr Hassan tidak disenaraikan untuk ikut serta demi mengelak “pertembungan kepentingan.”

Abd Khalid sebelum ini pernah mendedahkan, beberapa jam selepas keputusan Selangor jatuh ke tangan Pakatan Rakyat, Dr Hassan pernah mengadakan rundingan dengan Dr Mohamad Khir.

“Kerana itu, saya dimasukkan untuk menggantikan Dr Hassan untuk mengelakkan bertembung kepentingan berlaku,” Abd Khalid, yang juga timbalan pesuruhjaya PAS Selangor, dipetik sebagai berkata.

Pada peringkat awalnya, lapor blog rasmi akhbar itu lagi, beliau tidak bersetuju dengan pertemuan itu tetapi selepas perbincangan, wakil-wakil PAS bersetuju bertemu dengan pemimpin BN di sebuah rumah kerajaan berhampiran bangunan Parlimen.

“Yang pasti tidak ada langsung dalam perbincangan sesama pimpinan PAS, pergi jumpa dengan pimpinan Umno ini untuk bekerjama dengan mereka. Yang ada untuk memenuhi janji dan mendengar apa mereka nak tawarkan.

“Jadi kami dengar dan kata ya ya… tetapi kami tak boleh buat keputusan, kena bawa kepada parti dahulu,” jelas Khalid lagi.

Mengulas sebab jemputan itu dibuat oleh Umno, Abd Khalid berkata, ia bermula dengan kerisauan Umno akibat kemenangan besar DAP di Selangor dan hubungannya dengan nasib orang Melayu.

Mengulas lanjut pendedahan Abdullah, Khalid memberitahu Malaysiakini, tindakan perdana menteri itu menimbulkan isu ini di media boleh mencipta keraguan dalam kalangan komponen Pakatan.

Beliau menambah, dengan itu orang Sabah dan Sarawak akan berfikir dua tiga kali sebelum masuk gabungan pembangkang.

“(Kerana) mereka fikir PAS pun lompat Umno,” katanya.

Bagaimanapun, ahli parlimen itu menafikan pertemuan PAS-Umno akan menyebabkan perpecahan dalam kalangan pemimpin PAS.

Naib presiden PAS Datuk Husam Musa semalam berkata, kenyataan Abdullah mengenai rundingan dua parti itu bertujuan “menabur benih perpecahan” dalam PAS.

Husam, yang juga exco kerajaan Kelantan, menegaskan PAS tidak mampu berpecah semata-mata untuk memenuhi impian perdana menteri mendapatkan “keldai korban” yang boleh ditunggang, walaupun sementara.

“Pengumuman sebelah pihak oleh Abdullah tentunya ada motif tersirat. Jujurkah Abdullah apabila beliau umumkan pemimpin decision-makers (pembuat keputusan) PAS telah tiga kali menemui beliau?

“Atau beliau sedang memainkan PAS dengan satu strategi politik dengan umpan yang enak? Sekurang-kurang, dalam keadaan terlalu terdesak, beliau boleh mencapai matlamat politik jangka pendek,” katanya.

sumber – malaysiakini

41 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

“PAS setia bersama Pakatan” – Presiden PAS

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan bahawa PAS akan terus berjuang bersama Pakatan Rakyat bagi mewujudkan sebuah kerajaan yang amanh, bersih dan adil.

Demikian kenyataan beliau yang dibacakan Timbalannya, Ustaz Nasharudin Mat Isa dalam sidang media di Bangunan Parlimen sebentar tadi.

Turut serta ialah, Setiausaha Agung PAS, Dato’ Kamarudin Jaffar; Bendahari PAS, Dr Hatta Ramli, AJK PAS Pusat antaranya, Dr Syed Azman Syed Ahmad; serta ahli Parlimen Shah Alam, Ir Khalid Samad.

Menurut beliau, PAS menegaskan dalam suasana politik negara yang penuh dengan fitnah dan kegawatan sosial dan ekonomi, PAS akan terus bersama Pakatan Rakyat.

“Amat perlu dijelaskan di sini, bahawa isu ini jangan sesekali diseret bagi digunakan Umno demi menutup dan mengalih perhatian rakyat tentang pergolakan yang sedang parah berlaku dalam poarti tersebut,” kata beliau.

PAS juga berpendirian bahawa isu-isu rakyat gagal ditangani dan dipikul oleh Umno/BN seperti isu kenaikan kos sara hidup yang mendadak dan ketidakstabilan ekonomi serta masalah jenayah yang meruncing.

“Kepada seluruh penyokong PAS saya menyeru agar kita terus mempertahankan dasar perjuangan PAS yang suci dan mulia serta memanjatkan doa bermunajat kepada Allah s.w.t agar keadilan dapat ditegakkan di bumi Malaysia,” ujarnya.

Sementara itu PAS juga melahirkan rasa kesalnya terhadap penahanan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Dato’ Seri Anwar Ibrahim secara tergesa-gesa semalam.

PAS turut mengalu-alukan pembebasan Anwar yang telah dibenarkan diikat jamin pagi tadi, kata beliau.
sumber harakahdaily

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Presiden PAS stabil di IJN

Keadaan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) petang semalam akibat mengalami lemah jantung, kini dilaporkan stabil.

Menurut Setiausaha Akhbarnya Roslan Shahir, laporan kesihatan Abdul Hadi hari ini menunjukkan keadaan beliau bertambah baik dan tidak membimbangkan.

“Kesihatannya tidak lagi berada pada tahap yang membimbangkan. Beliau sudah minta daripada doktor untuk keluar (dari IJN) dan balik ke Terengganu tetapi doktor belum lagi beri keputusan berhubung perkara itu.

“Dalam tempoh dua hari lagi mungkin beliau dapat balik semula ke Terengganu dan akan dirujuk ke Hospital Besar Kuala Terengganu jika perlu,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Roslan berkata jadual kerja yang padat adalah antara punca Abdul Hadi dimasukkan ke IJN.

Presiden PAS itu dimasukkan ke IJN pada kira-kira pukul 2 petang semalam selepas beliau mengadu kurang sihat ketika mempengerusikan mesyuarat Badan Perhubungan PAS Pusat di Ibu Pejabat parti itu di Jalan Raja Laut di sini.

Pada malam Sabtu lepas Abdul Hadi berceramah di Alor Setar, Kedah sebelum berlepas ke Kuala Lumpur untuk menghadiri mesyuarat berkenaan.

1 Comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Temuramah Haji Hadi dengan Wakil Harakah

HARAKAH: Apa penjelasan Tuan Guru mengenai dakwaan PAS ada perbincangan dengan Umno yang disensasikan media baru-baru ini?

USTAZ HADI: PAS adalah parti yang menegakkan Islam dengan makna yang menyeluruh. Sasaran Islam ialah seluruh manusia bukan sahaja tertumpu kepada ahli PAS. Kita harus sampaikan mesej kepada pihak yang lain, sebagaimana yang diajar Nabi Muhammad.

Bukan sahaja bergerak dalam skop di Semenanjung Tanah Arab bahkan Baginda menghantar surat kepada raja-raja. PAS juga wajib meneruskan mesej itu dalam konteks negara kita. Kita jumpa dengan raja-raja dan tidak salah juga kita berjumpa dengan Umno untuk menyampaikan mesej kita. Kalau tidak jumpa dengan Umno macam mana nak sampaikan mesej kita?
Maknanya benarlah dakwaan adanya pertemuan tersebut?

Pertemuan antara individu PAS dengan individu Umno dalam menyampaikan mesej Islam kepada mereka.
Hasil pertemuan dan rumusan PAS?

Kita beri penekanan kepada kepentingan Islam supaya Umno berubah. Iaitu merujuk kembali kepada kesilapan yang mereka lakukan yang merugikan umat dan agama Islam itu sendiri. Sebagai contoh, dalam masalah pilihan raya. Yang dikira oleh Umno hanya untuk menangkan parti dia, bukan untuk memenangkan Islam. Dalam pilihan raya ke-12 pun Umno tidak kalah, yang kalah MCA, MIC.

Mereka membuat pembahagian kawasan pilihan raya berdasarkan kepada kepentingan mereka. Penambahan kawasan baru itu dilakukan di Sabah, Sarawak dan Johor. Mengapa tidak ditambah kerusi Parlimen di Kelantan, Terengganu dan Kedah? Ini kerana mereka hendak menjaga kerusi mereka dan bukan kepentingan Islam. Dalam masa yang sama mereka membahagikan kerusi ataupun kawasan pilihan raya yang majoriti Islam kepada wakil rakyat yang bukan Islam. Ini tidak wajar.

Cuba lihat dalam Pakatan Rakyat, DAP menang di kawasan majoriti kaum Cina, tetapi MCA dan MIC menang di kawasan majoriti Melayu yang diberi oleh Umno. Ini dengan sendiri boleh menghakiskan kedudukan orang Islam dari segi politik.
Tetapi bukankah PAS mahu perpaduan yang lebih meluas?

Sekarang ini kita menunggu apa respons daripada Umno dan rakyat. Dan saya pernah berucap dalam perhimpunan di Stadium Melawati, Shah Alam (di awal penubuhan Kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor). Saya tidak tahu mereka sedar atau tidak, tetapi saya sebut soal perpaduan nasional di kalangan parti politik yang perlu dibincangkan lebih serius dan bukan separuh jalan.

Perpaduan ini tidak semestinya kita paksa semua parti masuk BN atau gabung satu parti. Ini termasuklah wujudkan demokrasi tulen sebagaimana negara yang sihat demokrasinya. Sebagai contoh bukan sahaja pembangkang boleh bangkang tetapi yang mewakili kerajaan juga boleh bangkang. Dalam negara kita, kalau wakil rakyat kerajaan yang bangkang ini akan diambil tindakan disiplin. Bahkan di Barat parti kerajaan boleh sokong undi tidak percaya, yang dibuat oleh pembangkang. Adakah di Malaysia hal ini berlaku? Tidak berlaku.

Tuan Guru fikir Umno boleh terima pandangan PAS?

Kepada PAS, orang Melayu mesti menjadi teras kepada politik negara. Ini diterima oleh semua kaum. Bukan pula bermakna hanya orang Melayu yang berhak dalam politik dan kekuasaan tetapi teras politik kita berpihak kepada orang Melayu sebab melihat kepada jumlah penduduk Islam yang majoriti dalam negara ini. Ini perlu diambil kira. Tapi malangnya Melayu sendiri hanyut dalam merealisasikan Islam itu sendiri sebagai kekuatan orang Melayu.

Sebagai contoh kita tidak sedar Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa Islam adalah Agama Persekutuan. Agama lain berhak dianut dan diamalkan tetapi di sana ada peruntukan Jadual 9 yang menyekat pelaksanaan Islam setelah diserah Islam itu di bawah kuasa negeri. Tetapi ada peruntukan yang menghalang pelaksana syariat Islam dalam makna yang menyeluruh.

Walaupun dalam mazhab Islam ada ulama yang sebut syariat Islam itu boleh dilaksanakan kepada orang Islam dan bukan Islam berhak diberi pilihan. Dalam beberapa perkara tertentu boleh kita bahagikan perundangan sebagai contoh kepada tiga bahagian. Yang pertama perkara yang diberi kepada penganut agama masing-masing dalam masalah ibadat undang-undang keluarga dan perkahwinan itu agama masing-masing.

Dan di sana ada syariat Islam seperti Hudud, Qisas dan Takzir, yang diwajibkan Tuhan dalam al-Quran di mana undang-undang ini wajib bagi Islam. Adapun orang bukan Islam  boleh diberi pilihan sama ada nak undang-undang ini atau tidak. Dan di sana ada hukum yang bersama seperti undang-undang jalan raya serta hak milik tanah pertanian dan kediaman tidak ada beza.

Sepatutnya kita perkenalkan keadilan Islam ini kepada masyarakat di saat kita lihat kegagalan sistem yang lain daripada Islam.
Mengenai perpaduan berteraskan Islam dan politik Malaysia, Melayu jadi tunggak. Bagaimana ini hendak diterjemah dalam Pakatan Rakyat. Adakah DAP boleh menerimanya?

Sehingga hari ini kita hanyalah wujudkan persefahaman dalam menghadapi pilihan raya sahaja dengan melihat titik persamaan yang ada, seperti dalam menentang kezaliman, menuntut demokrasi yang bersih, menyeru supaya diperbetulkan penyelewengan yang berlaku, tangani rasuah. Ini perkara bersama. Tetapi bila kita ada kuasa di peringkat negeri, sebagai contoh, di sini kita lihat pembahagian yang saya sebut tadi.

Dalam perkara yang jadi hak orang Islam, DAP tidak boleh sentuh itu hak orang Islam. Macam kita tidak sentuh hal agama mereka. Mereka janganlah sentuh soal hendak memperlahankan suara azan kita, seperti kita tidak minta dia jangan main mercun masa sambutan malam tahun baru, mereka kena saling hormatilah. Itu menandakan di sana ada beberapa perkara yang perlu dipertahankan dan hormat menghormati.
Apa pandangan Tuan Guru mengenai rundingan yang berlaku antara Dato’ Seri Anwar Ibrahim dengan kelompok yang hendak menyertai Pakatan Rakyat?

Bukan dia (Anwar) sahaja, kita pun berhak untuk mengadakan perundingan. Sama juga DAP. Mereka ada hak buat perundingan. Kalau Keadilan sahaja boleh jumpa Umno, PAS tidak boleh jumpa dengan Umno macam mana? Ini yang tidak betulnya.

Adakah ini salah faham (mengenai hubungan PAS-Umno)?

Orang lain boleh jumpa Umno, kenapa PAS tidak boleh jumpa Umno? Itu tidak faham namanya. Atas dasar Islam kita berhak. PAS boleh berunding dengan mana-mana pihak. Tidak ada sesiapa yang jadi Ketua Pakatan Rakyat. Pimpinan secara kolektif dan kita setuju masing-masing pemimpin parti mencari pengaruh mengajak rakan dalam BN supaya bersama dengan kita. Oleh sebab itu, tidak timbul isu mengapa orang PAS jumpa Umno.

Itu politik kampung sahaja yang tidak boleh (melarang) jumpa dengan Umno dan orang PAS. Kita dah uar-uarkan ‘engagement’ yang disebut dalam muktamar kita, ini keterbukaan kita.

Penerimaan ahli PAS mengenai ‘engagement’ seperti ini macam mana?

Saya lihat inilah yang menyebabkan berlakunya perubahan dalam pilihan raya umum ke-12 yang telah memberi kemenangan kepada PAS. Dan orang PAS boleh buat kerja untuk memenangkan Pakatan Rakyat. Perlu disedari bahawa PAS yang paling banyak cawangan. PAS yang paling banyak pekerja dalam pilihan raya ke-12. Orang PAS sedia bekerja bagi pihak parti lain. Jadi, selepas capai kemenangan perlu diambil kira peranan orang-orang PAS ini. Sebab orang PAS bukan bodoh! Jangan ketepikan peranan mereka selepas kita menang pilihan raya.

Mungkin PAS mahu dilihat sebagai entiti penting dalam Pakatan Rakyat?

Ya, bahkan undi popular perlu dilihat kepada undi menyeluruh. PAS beri penekanan kepada kerusi negeri. Negeri kita dapat 83 kerusi, DAP 73 dan Keadilan dapat 40. Ini perlu dilihat bukan lihat kepada Parlimen sahaja. Kawasan Parlimen ini didukung oleh kerusi negeri.

Dakwaan liwat terhadap Dato’ Seri Anwar. Adakah ia mengganggu Pakatan Rakyat atau PAS?

Saya tidak mahu kerja-kerja politik diganggu oleh isu-isu berkait dengan  masalah individu. Masalah individu diselesaikan secara masalahnya sendiri. Oleh kerana itu saya lebih bersetuju supaya masalah itu diselesaikan di mahkamah yang adil. Kalau Mahkamah Sivil tidak boleh selesai, mestilah dibawa ke Mahkamah Syariah. Yang cara bersumpah (mubahalah) ini, (perlu) sekiranya tidak ada mahkamah.

Maknanya ia perlu selesai di mahkamah?

Ya! Ya! Selesaikan di mahkamah ….

Isu Anwar, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak, Datin Seri Rosmah Mansor, Altantuya dan macam-macam berlaku, telah mencetuskan kecelaruan politik sekarang. Apakah pandangan Tuan Guru?

Malangnya yang memainkan isu ini adalah media. Media Melayu pula. Melibatkan pemimpin-pemimpin Melayu. Adakah mereka tidak malu mengemukakan isu-isu ini (pendedahan hal peribadi yang mengaibkan), sedangkan kita menghadapi masalah kenaikan harga minyak, masalah inflasi yang lebih penting. Bagaimana hendak menangani masalah rasuah, masalah jenayah. Kes bunuh Altantuya adakah berbeza dengan kes bunuh Pak Long, Mak Ngah, Ah Chong di kampung yang dibunuh? … sama sahaja. Sepatutnya ialah soal keadilan itu untuk semua sebagaimana slogan dalam pilihan raya.

Mengapa pembunuhan Altantuya ini dibesarkan, sedangkan pembunuhan di kaki lima dibiarkan? Yang penting penyiasatan yang adil kepada semua itu perlu. Dalam isu ini barangkali ada kepentingan politik sama ada tuduhan membabitkan Anwar ataupun Najib? Yang pertama sikap orang yang jadi pemimpin itu sendiri dan yang kedua sikap media itu sendiri. Mesti berpada-pada bukannya ‘loose’. Itu yang penting.

Ada pandangan menyatakan perlunya pimpinan Melayu seperti Anwar, Tuan Guru sendiri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi duduk bincang soal Islam dan Melayu?

PAS sudah lama mendesak muzakarah diadakan di kalangan pemimpin Islam dan parti-parti orang Melayu sejak tahun 50-an hingga kini. Keadaan itu masih terbuka. Bahkan sebaik sahaja buka pintu muzakarah, PAS (akan) sertai. Kalau dibuka itu respons kita.  Tetapi asas muzakarah itu mestilah didasarkan kepada asas akidah dan ajaran yang dianuti oleh orang Melayu itu sendiri iaitu Islam.

Berbalik kepada isu Anwar, mahu atau tidak isu membabitkan beliau perlu dihadapi dan diterima dan implikasinya kepada PAS juga yang sertai Pakatan Rakyat. Apa pandangan Tuan Guru?

PAS ada pengaruh dan kedudukannya sendiri. PAS simpati dengan rakan Pakatan Rakyat yang terima padah dari fitnah ini dan kita sama-sama ambil tanggungjawab untuk mengatasinya sebaik mungkin. Tetapi PAS tetap utuh dengan sebagai parti yang ada akar umbi yang sudah lama dan bertapak begitu kuat. Dan saya rasakan bahawa apa yang ditumpukan oleh orang PAS ialah untuk menegakkan Islam itu dengan makna yang menyeluruh.

Apabila banyak fitnah, adakah ini petanda sudah tiba masanya Malaysia menggunakan lebih banyak undang-undang Syariah supaya wujud keadilan dalam negara?

Saya bersetuju! Islam pun perlu diberi peluang untuk dilaksanakan dan bermula dengan orang Islam sendiri sebagaimana yang kita luluskan di Kelantan dan Terengganu semasa PAS memerintah. Di mana undang-undang Syariah itu dimulakan dengan orang Islam. Sementara orang bukan Islam diberi pilihan sama ada mereka mahu undang-undang Islam atau tidak tetapi dalam kes peribadi dan agama kita tidak campur. Itu sudah jelas.
Harapan Tuan Guru mengenai muktamar tahunan PAS yang akan berlangsung Ogos ini?

Muktamar kali ini ialah muktamar pascapilihan raya. Satu anjakan paradigma berlaku dalam politik negara secara umum termasuk orang PAS sendiri. Kita berjaya pecahkan tembok perkauman antara kaum dan pelbagai agama. PAS berjaya tubuhkan Kelab Penyokong PAS yang disertai oleh bukan Islam yang menyatakan sokongan kepada PAS secara terbuka. Mereka kerja secara sukarela kepada PAS. Mereka memenangkan calon PAS di peti-peti undi sebagai tambahan kepada kekuatan PAS yang sudah ada.

Yang kedua, perubahan di kawasan bandar yang dapat maklumat moden melalui perkembangan ICT. Di sini menunjukkan betapa rakyat perlu dapat maklumat bebas dan terkini yang menyaksikan PAS dapat sokongan di bandar dan pinggir bandar.

Ketiga, walaupun PAS tidak mendapat kerusi Parlimen sebanyak kerusi pada tahun 1999, namun kali ini berlaku satu perubahan. PAS dikatakan menjadi ‘king maker’ kepada politik negara. Dalam penyertaannya melalui kerajaan campuran di negeri yang tidak dikuasai sepenuhnya seperti di Kedah.

Dalam keadaan PAS adakan campuran dengan parti lain di Perak, rakan Pakatan Rakyat memberi kepercayaan kepada PAS memimpin dua buah negeri Kedah dan Perak selain yang telah ada Kelantan. Satu negeri kepada Keadilan di Selangor dan satu negeri kepada DAP di Pulau Pinang.

Jadi ini menunjukkan kepercayaan yang diberi Pakatan Rakyat untuk memimpin negeri. Dan kita hargai kepercayaan ini. Apa yang penting PAS mesti laksanakan slogan semasa pilihan  raya iaitu ‘Islam For All’. Itu mesti direalisasikan. Sebab itu kita harapkan NGO dan parti bukan Islam jangan risau dengan pelaksanaan ini. Kita harap apa yang disebut sebagai ‘Islamophobia’ tidak berlaku kepada rakyat Malaysia.

Kita dah ada model di Kelantan. Kini masuk penggal kelima, dan di Terengganu satu penggal. Tidak ada sebab mereka risau jika kita realisasikan slogan tadi.  Kepada ahli PAS, teruskan bekerja bukan sahaja untuk pilihan raya ke-12, dalam masa yang sama kerja selepas PRU-12 untuk isi kemenangan.

Kepada rakan-rakan Pakatan Rakyat kita harapkan supaya jentera PAS jangan digunakan untuk menjayakan pilihan raya ke-12 sahaja, sebaliknya selepas pilihan raya itu seolah-olah mereka tidak ada peranan lagi.

sumber mstar

3 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Parti pembangkang tawar Dr Mahathir sertai mereka

KUALA LUMPUR: Tiada musuh kekal dalam politik dan ia terbukti apabila dua buah parti pembangkang  PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR)  hari ini membuat tawaran kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menyertai parti masingmasing berikutan keputusannya keluar Umno.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata beliau sentiasa mengalualukan Dr Mahathir atau anggota Umno lain untuk menyertai PAS, malahan sanggup bekerjasama dengan bekas presiden Umno selama 22 itu dalam perjuangan menuntut kesejahteraan rakyat dan negara.

“Kami sedia terima sesiapa sahaja yang nak sertai PAS termasuk Tun (Dr Mahathir) tapi terpulanglah kepada diri masingmasing,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.

Presiden PKR Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut membuka pintu parti itu kepada Dr Mahathir sekiranya bekas pemimpin utama negara itu berminat.

“Kami amat mengalualukan mereka (anggota Umno),” kata Dr Wan Azizah yang juga Ketua Pembangkang.

Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata beliau menghormati keputusan Dr Mahathir dan berharap masyarakat Melayu sentiasa bersatu.

“Saya pernah bekerja di bawah beliau (Dr Mahathir), beliau orang yang saya anggap berkebolehan…saya hormati keupayaan dan kebolehan Dr Mahathir,” katanya kepada pemberita di Shah Alam

Dr Mahathir semalam mengumumkan keputusan untuk keluar daripada Umno serta merta kerana hilang keyakinan terhadap kepimpinan Abdullah, dan mengajak semua anggota Umno yang sependapat dengannya untuk mengikuti jejaknya tetapi bukan bagi menyertai parti lain.

Katanya beliau hanya akan kembali menyertai Umno selepas Abdullah meletak jawatan atau tidak lagi menjadi pemimpin negara.

Dr Mahathir turut mencadangkan supaya pemimpin cawangan dan bahagian parti melepaskan jawatan masingmasing sebagai isyarat kepada Abdullah supaya meletakkan jawatan dalam parti sebelum pemilihan Umno Disember ini.

Sementara itu, ahli Parlimen Semporna Datuk Shafie Afdal tampil memberi kenyataannya berhubung isu pengunduran Tun Dr Mahathir daripada Umno.

Beliau secara terbuka tidak bersetuju dengan penyataan Tun sebagai duri dalam daging kerana Tun telah banyak memberi sumbangan kepada Umno dan negara. BERNAMA

sumber mstar.

nota: sekiranya presiden PKR membuka pintu kepada Tun Mahathir untuk menyertai mereka, apa pula kata pemimpin de facto PKR iaitu Datuk Sri Anwar Ibrahim?

4 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda