Tag Archives: haji hadi awang

PAS akui bertemu dengan Pak Lah

berita dari harakahdaily

PAS tidak menafikan bahawa memang telah ada pertemuan antara pimpinan tertinggi parti dengan YAB Perdana Menterti yang juga selaku Presiden Umno, bagi membincangkan isu-isu kepentingan bersama berkaitan umat Islam dan bangsa Melayu. <!–

–>

Perjumpaan pertama dengan YAB Perdana Menteri berlaku sejurus selepas PRU ke 12 yang lalu yang melibatkan Timbalan Presiden PAS, YB Ustaz Nasharudin Mat Isa; Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Dato’ Mustapha Ali dan ahli parlimen Shah Alam,YB Hj Abd Khalid Samad.

Pertemuan ini telah pun dilaporkan kepada Mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat dan Majlis Syura Ulamak PAS.

Berikutan itu Majlis Syura Ulamak PAS telah mengambil ketetapan bersetuju sebulat suara merestui Presiden, Timbalan Presiden dan Setiausaha Agung PAS bagi mempertingkatkan usaha yang bersungguh-sungguh dalam menyatupadukan umat Islam dan rakyat Malaysia berlandaskan Islam.

Sehubungan dengan ketetapan itu pertemuan telah diadakan lagi di bangunan Parlimen yang melibatkan Timbalan Presiden PAS dan YAB Perdana Menteri, yang telah dilaporkan kepada saya dan Majlis Syura Ulamak.

PAS bersedia bagi menjayakan muzakarah dengan Umno ini demi kebaikan umat islam dan bangsa Melayu di Malaysia. – mr/mks.

20 Julai 2008,
Presiden,
Parti Islam Se Malaysia (PAS).
_

walaubagaimanapun, masih ada pemikiran yang sempit datang dari Naib Presiden Pas sendiri yang mempunyai pandangan negatif terhadap kenyataan Pak Lah yang mengakui sudah bertemu lebih dari sekali dengan para pemimpin tertinggi PAS.

Kenyataan PM bertujuan pecahbelahkan PAS

Kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengenai perundingan dengan PAS bertujuan menabur benih perpecahan di dalam PAS yang mungkin mara mengambil alih tempat Umno pada masa depan, kata Naib Presiden PAS, Datuk Haji Husam Musa. <!–

–>

Membidas kenyataan Perdana Menteri dalam sebuah akhbar harian hari ini, Exco kerajaan negeri Kelantan itu mengulangi penegasan bahawa PAS tidak mampu berpecah semata-mata untuk memenuhi impian Perdana Menteri mendapatkan ‘keldai’ korban yang boleh ditunggang, walaupun sementara.

Perdana Menteri hari ini menyatakan bahawa beliau telahpun tiga kali bertemu pemimpin PAS yang mempunyai kuasa untuk membuat keputusan.

“Pengumuman sebelah pihak oleh Abdullah tentunya ada motif tersirat. Jujurkah Abdullah bila beliau umumkan pemimpin ‘decision-makers’ PAS telah tiga kali menemui beliau?

“Atau beliau sedang memainkan PAS dengan satu strategi politik dengan umpan yang enak? Sekurang-kurang, dalam keadaan terlalu terdesak, beliau boleh mencapai matlamat politik jangka pendek,” katanya.

Presiden Umno itu, kata Husam, cuba menggambarkan gambaran positif terhadap dakwaan pertemuannya itu dengan menggunakan istilah -decision-makers’ – ‘pembuat keputusan’, walaupun dia tahu mana-mana pertubuhan, apatah lagi parti Islam seperti PAS, tidak dimiliki oleh mana-mana pemimpin, sebesar mana pun pemimpin itu.

“PAS sebagai jamaah Islam dikendalikan dengan kaedah dan etika harakah Islamiyyah yang tertentu, termasuk musyawarah,” tegas beliau.

Selain memecahbelahkan PAS, Husam menjangka, antara matlamat politik jangka pendek yang hendak dicapai Perdana Menteri dengan pengumumannya itu ialah mengukuhkan kedudukannya di dalam Umno di tengah pergolakan dalaman yang tidak menentu, menghilangkan keyakinan dalam Pakatan Rakyat dan menghalang Agenda Post Pilhanraya 2008 dan menjarakkan semula PAS dari sokongan masyarakat bukan Melayu, mungkin 40 tahun kebelakang semula.

“Mungkin Abdullah mendapat inspirasi umpan ‘Negara Islam’ yang dilemparkan oleh Dr. Mahathir selepas melihat kemaraan pembangkang dalam pilihanraya 1999 dan umpan itu menjadi sehingga pembangkang undur semula dalam pilihanraya 2004,” katanya.

Husam menegaskan bahawa perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS sudah tentu tidak akan mengkesampingkan perpaduan ummat Islam dan tidak pula menjadikan perpaduan nasional agenda kedua selepas perpaduan Islam.

Perpaduan Islam, tegas beliau, dicapai dalam konteks perpaduan nasional yang semestinya diasaskan bukan di atas asas kaum semata-mata seperti dilakukan oleh Umno selama ini, tetapi di atas asas yang lebih kukuh seperti tiada diskriminasi kaum, tiada diskriminasi berdasarkan fahaman politik dan keadilan untuk semua.

“Perpaduan versi Umno sudah lusuh. Umno sesama Umno pun tidak dapat disatukan. Apatah lagi formula itu hendak digunakan bagi ummat Islam dan nasional,” tegas beliau.

Sambil menyifatkan Perdana Menteri sudah pun mencapai maksud yang diharapkan pada darjah yang tertentu yang belum parah, Husam mengingatkan tugas utama pemimpin PAS pada waktu ini ialah memastikan parti tidak berpecah, bahkan kekal bersatu.

“PASlah satu-satunya parti yang paling stabil, kukuh dan mantap buat masa ini. Jika jangkitan kuman Umno meresap dan memecahkan PAS, perkongsian kuasa dengan Umno hanyalah ulangan percantuman sementara era Barisan Nasional dulu yang berakhir PAS ditolak ke tepi selepas Umno mencapai kekuatan mereka semula,” kata beliau.

PAS juga, katanya, hendaklah memastikan kepercayaan dan harapan masyarakat bukan Islam terhadap PAS tidak dikhianati.

“Islam menekankan kepada kesetian terhadap janji,” tegas beliau.

Jika PAS mempunyai pandangan dan agenda yang berguna untuk kepentingan negara, agenda ini boleh dimaklumkan kepada rakyat secara terbuka dan tuntutan boleh dibuat untuk Umno menerima atau melaksanakannya, tanpa terikat dengan satu perkongsian kuasa yang akan meletakkan PAS selama-lamanya pemain kedua yang bertugas menyelamatkan Umno dengan faham sekularnya yang merosakkan itu, katanya.

“Berulang kali PAS memainkan peranan yang sama,” katanya lagi.

Tetapi itu tidak penting bagi Perdana Menteri, kata Husam, kerana dalam ketidaktentuan sebelum Disember ini, beliau memerlukan segala dahan yang ada untuk berpaut.

Pada waktu kepercayaan kepada kepimpinannya berada pada titik yang paling rendah, keupayaan pengurusan ekonomi yang hampir sifar, hala tuju negara yang amat kabur, keyakinan terhadap kemampuan membawa keharmonian pelbagai kaum yang amat rendah, kehilangan keyakinan terhadap institusi utama seperti kehakiman, polis dan jabatan Peguam Negara, Husam menyifatkan Perdana Menteri memang memerlukan PAS.

“Jawatan kerajaan yang mungkin ditawarkan oleh Abdullah kepada PAS tentulah bukan segala-galanya,” tegas beliau.

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Kritikan Hadi pada Anwar, DAP

Pemuda PAS menyifatkan pandangan presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam wawancara minggu lepas sebagai isyarat kritikan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dua lagi parti dalam Pakatan Rakyat “agar tidak menimbulkan masalah” kepada PAS.

“Kita bersetuju dengan kenyataan presiden PAS dan ia juga sebagai satu isyarat kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan juga PKR dan DAP agar tidak sekadar meraih populariti bukan Islam yang akhirnya akan merugikan orang Islam itu sendiri.

“Jangan buat sesuatu yang yang menimbulkan masalah kepada PAS (sebagai parti Pakatan Rakyat) dari luar dan dalam,” kata satu sumber yang dekat dengan Dewan Pemuda.

Kata sumber, insiden-insiden yang boleh meresahkan PAS termasuklah keengganan wakil rakyat DAP memakai songkok dalam persidangan Dewan Undangan negeri Johor dan perbincangan berhubung soal kebebasan dan hak istimewa orang Melayu dan Dasar Ekonomi Baru.

“Jangan tumpu sangat (pada isu-isu itu), nanti orang Melayu marah,” kata sumber.

Menurutnya, beliau tidak mahu hubungan PAS dan Pakatan Rakyat menjadi renggang.

Sumber itu menambah, berharap agar Pakatan Rakyat sama-sama menghormati antara satu dengan lain berhubung dasar masing-masing.

“Dalam soal Melayu dan Islam, kita (PAS) tidak kompromi. Kita bela habis-habisan,” jelasnya lagi.

Sehubungan itu, beliau bimbang dengan perkembangan dalam parti PAS sendiri kerana mulai wujud suara-suara memprotes bentuk kerjasama dalam Pakatan, misalnya isu konsert Mas Idayu dan Ella dan kontroversi kumpulan punck rock Carburetor Dung di stadium Kelana Jaya, minggu lalu.

“Ahli-ahli PAS melihat PAS tidak tegas dalam soal Melayu Islam. Kalau PAS tak tegas, orang lain tambah lagi,” kata sumber tersebut.

Beliau berkata demikian setelah melihat adanya suara-suara kelompok yang dianggap beraliran konservatif yang mencari alasan untuk mendapat ruang dan menguasai parti daripada perkembangan terbaru dalam pembangkang.

Katanya, penguasaan kelompok ini akan menyukarkan kelompok yang digelar “pro-engagement” terutama sekali dalam Dewan Pemuda yang dilihat lebih terbuka.

“Kita tidak mahu kelompok konservatif (sebahagiannya dalam Dewan Ulama)  mendapat balik sokongan ahli-ahli PAS,” tambah sumber itu lagi.

Menurutnya, beliau difahamkan ada ura-ura untuk memperkasakan Dewan Ulama dan ia akan dibincangkan dalam muktamar PAS bulan depan.

Sementara itu, Dewan Pemuda PAS juga menafikan adanya perundingan antara parti dengan Umno bagi menyertai BN demi membela dan mengukuhkan orang Melayu.

Ketegasan dewan tersebut, yang diketuai Salahuddin Ayub, dinyatakan dalam mesyuarat mereka pada Sabtu lalu.

Menurut sumber, Pemuda PAS tetap komited dengan pendirian berada dalam Pakatan Rakyat dan menentang sebarang usaha pimpinan PAS untuk bergabung dengan Umno.

“Kita berasal kesal dengan rakan-rakan dalam PKR yang menganggap PAS tidak boleh dipercayai. Kita sudah lama bertanding dan tidak semudah itu untuk kita bekerjasama dengan Umno,” kata sumber.

Katanya barisan anggota exco dewan itu sepakat menolak bekerjasama dengan Umno.

“Ahli PAS tidak dapat menerima jika PAS bekerjasama dengan Umno,” kata sumber.  – malaysiakini

14 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda