Tag Archives: harga petrol

Ku Li cakap tidak logik

Itu kata Tengku Razaleigh Hamzah pada Agendadaily bagi mengulas dakwaan Datuk Seri Anwar Ibrahim beliau mampu turunkan harga minyak esoknya sebaik saja Pakatan Rakyat berkuasa.Pengasas Petronas itu kata ia kenyataan populis.Beliau hairan bagaimana nak turunkan harga minyak sedangkan harga minyak dunia terus meningkat.Menurut Ku Li negara boleh bangkrap jika nak buat macam Anwar kata tu

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Kenapa rakyat Malaysia perlu bayar lebih untuk bahan api

KUALA LUMPUR: Kira-kira pukul 7 malam Rabu lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi membuat keputusan untuk menghadiri satu majlis taklimat yang diatur sebelumnya bagi semua anggota Dewan Negara di Bangunan Parlimen di sini.

Setengah jam kemudian, beliau tiba di sana dan terus memberi penjelasan kepada mereka tentang keputusan kerajaan menaikkan harga bahan bakar sebanyak 41 peratus, seperti yang beliau umumkan tiga jam sebelum itu di pejabatnya di Putrajaya.

“Melalui cara beliau bercakap, cara beliau menyatakan sebab-sebabnya dan cara beliau memberi penjelasan tentang isu itu, Perdana Menteri kelihatan memahami apa yang beliau lakukan. Semuanya (penjelasan itu) diberi tanpa berpandukan teks dan beliau memberi menjelasan tentang perkara itu secara panjang lebar.

“Abdullah memberi penerangan tentang isu itu secara jelas dan padat. Ringkasnya, setelah sesi itu berakhir, kesimpulan saya ialah beliau tahu apa yang beliau perkatakan,” kata Senator Datuk Gooi Hoe Hin, yang menghadiri taklimat tertutup itu.

Bagi kerajaan, langkah mengurangkan subsidi bahan bakar merupakan cara terbaik untuk memastikan wang yang diperoleh daripada pembayar cukai, digunakan secara lebih produktif seperti menambah baik kemudahan pendidikan, kesihatan dan prasarana demi faedah rakyat sendiri, daripada membiarkan sebahagian besarnya dibelanjakan secara tidak berhemat oleh pemilik kenderaan.

Kerajaan membuat keputusan untuk menangani isu itu secara berterus terang bagi mengelak rakyat menjadi semakin marah berikutan kenaikan harga bahan bakar.

Langkah konkrit

Sejajar dengan itu, kerajaan juga akan mengumumkan beberapa langkah konkrit minggu ini bagi meringankan beban yang dipikul pengguna.

Gooi menerima hakikat bahawa kerajaan tidak lagi mampu untuk terus  memberi subsidi terhadap bahan bakar apabila harga minyak mentah mencecah hampir AS$140 setong.

Bagaimanapun, kata beliau, kerajaan sepatutnya mengurangkan subsidi itu secara beransur-ansur, berdasarkan harga di pasaran antarabangsa.

“Memberi subsidi umpama memberi candu. Apabila rakyat sudah menjadi penagihnya, amat sukar untuk menariknya kembali kerana mereka akan mula mempersoalkan kenapa ia perlu dikurangkan,” katanya.

Mulai sekarang, Malaysia perlu menghentikan pemberian subsidi bahan bakar dan bukan menunggu hingga tibanya keadaan di mana kerajaan tidak lagi mampu meneruskannya, kata beliau.

Malaysia, yang merupakan negara pengeluar minyak, memperkenalkan subsidi bahan bakar pada 1982 bagi mengurangkan kesan buruk yang ditanggung oleh pemilik kenderaan akibat kenaikan harga minyak mentah di pasaran dunia. Kini, pemberian subsidi ini melibatkan hampir sepertiga daripada jumlah bajet negara.

Keputusan berisiko

Pandangan Gooi itu itu dikongsi oleh banyak pakar ekonomi dan penganalisis politik, yang percaya bahawa Malaysia terpaksa menerima saja pengajaran yang menyakitkan itu ketika kerajaan perlu membuat “keputusan yang berisiko tinggi daripada segi politik” dalam menangani isu berkenaan.

Presiden Persatuan Pelabur Malaysia (MIA) Datuk P.H.S. Lim berkata sebelum ini, kerajaan tidak menaikkan harga bahan bakar kerana ingin menjadi popular.

Beliau berpendapat kerajaan sepatutnya hanya memberi subsidi bagi bahan makanan dan pengangkutan awam, bukan terhadap bahan bakar kegunaan kenderaan persendirian kerana langkah itu mengakibatkan wujudnya ketidakcekapan dalam sistem ekonomi.

Kerajaan juga, kata beliau, sepatutnya memperkenalkan setem makanan bagi membantu mengurangkan perbelanjaan yang terpaksa ditanggung oleh golongan berpendapatan rendah untuk membeli bahan makanan.

“Baru-baru ini, saya ditanya, apabila kerajaan memberi diesel pada harga lebih murah kepada nelayan, adakah pengguna mendapat ikan pada harga lebih murah,” katanya.

Penganalisis politik Khoo Kay Peng pula berkata, jumlah subsidi bahan bakar telah meningkat dengan mendadak sejak 1982 dan apabila Abdullah mengambil alih teraju pentadbiran negara ini pada 2004, keadaan sudah mencapai tahap yang tidak lagi mengizinkan kerajaan untuk terus menghulurkan subsidi berikutan harga minyak yang melonjak.

Kata beliau pentadbiran Abdullah berpendapat bahawa penjimatan wang pembayar cukai hasil daripada pengurangan pemberian subsidi, perlu disalurkan ke jalan lebih baik seperti menambah baik sistem pengangkutan awam untuk memberi lebih banyak manfaat kepada golongan berpendapatan rendah.

“Sejak 2004, kerajaan sudahpun bercadang memotongnya, tapi saya tak tahu kenapa ia tidak berbuat demikian. Kerajaan tahu, suatu hari nanti, tindakan itu perlu juga diambil.

Tindakan terus

Kalau tindakan ini terus ditangguhkan dan tibatiba keputusan terpaksa dibuat untuk membuat pemotongan besar, sudah tentu rakyat menjadi amat marah,” kata Khoo.
Beliau berharap penjimatan sebanyak RM13.5 bilion daripada subsidi bahan bakar akan digunakan secara bijak dan produktif.

Tindakan kerajaan menghentikan pemberian subsidi bahan bakar juga disokong badan antarabangsa seperti Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA).

Berdasarkan data IEA, subsidi bahan bakar di China, India dan Asia Barat saja melibatkan AS$50 bilion tahun lepas.

Jumlah ini akan menjadi lebih besar pada 2008 jika harga minyak terus meningkat, kata Pengarah Eksekutif IEA Nobuo Tanaka.

Malah, beliau berkata “bukanlah suatu andaian yang tidak masuk akal” kos melindungi pengguna daripada harga pasaran di ekonomi sedang muncul ini akan meningkat kepada AS$100 bilion tahun ini.

Tanaka berkata, subsidi memberi ruang kepada pengguna untuk terus menggunakan minyak secara tidak berhemat dan melonjakkan harga minyak dunia, hinggakan dalam banyak keadaan, ia menjadi beban ekonomi yang tidak lagi mampu ditanggung oleh kerajaan, yang lama kelamaan, memaksa kerajaan perlu mengubah dasarnya bagi membiarkan kuasa pasaran mengawal permintaan.

Petronas meraih

Hakikat bahawa Malaysia adalah negara pengeluar minyak dan Petronas meraih keuntungan sejak sekian lama, sering mendorong kebanyakan rakyat Malaysia untuk bertanya kenapakah subsidi minyak tidak boleh terus diberi kepada mereka.

Ahli politik pembangkang mendakwa penjelasan kerajaan bahawa harga runcit petrol RM2.70 sekarang masih rendah berbanding di negara lain di rantau ini, tidak boleh diterima kerana ia sepatutnya dibandingkan dengan harga di negara pengeluar minyak mentah lain.

Bagi menguatkan hujah mereka, ketua Pembangkang Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengemukakan satu senarai perbandingan: Emiriyah Arab Bersatu (RM1.19 seliter), Mesir(RM1.03 seliter), Kuwait (RM0.67 seliter), Arab Saudi (RM0.38 seliter), Nigeria (RM0.32 seliter) dan Venezuala (RM0.16 seliter).

Mengulas perkara ini, Ketua Ahli Ekonomi RAM Consultancy Services Dr Yeah Kean Leng berkata, memang tidak dapat dinafikan bahawa negara pengeluar minyak lain dan malah, sesetengah negara membangun, memberi subsidi yang besar jumlahnya bagi harga bahan bakar.

“Tapi, apa yang menjadi persoalan ialah saiz subsidi yang mereka berikan kerana kebanyakannya hanya berjumlah kirakira 2.0 hingga 4.0 peratus daripada KDNK mereka, kecuali sesetengah negara pengeluar minyak seperti Brunei, memberi hingga 5.0 peratus daripada kadar KDNKnya.

“Malaysia memberi kira-kira 6.0 hingga 7.0 peratus daripada jumlah KDNKnya berdasarkan harga AS$135, iaitu suatu jumlah yang terlalu besar dan kerajaan perlu mengambil langkah segera untuk mengurangkannya,” kata beliau.

Mendadak

Yeah berkata kenaikan mendadak harga bahan bakar baru-baru ini tidak dapat dielakkan setelah kerajaan membiarkan jurang antara harga pasaran dan harga yang disubsidi menjadi terlalu lebar dan pelarasan tidak dibuat sepanjang tahun ini apabila harga minyak mentah melonjak daripada AS$50 kepada lebih AS$100 setong.

“Sebab itulah kuantum yang perlu dipelaraskan begitu besar supaya ia mencapai tahap yang mampu ditanggung,” katanya.

Penganalisis politik Ong Kian Ming pula berkata, Petronas tidak boleh terus memberi subsidi terhadap harga bahan bakar memandangkan keuntungan kasarnya sudahpun dimasukkan ke dalam tabung kerajaan melalui cukai, dividen dan royalti.

“Separuh lagi perlu digunakan bagi dilaburkan semula ke dalam kegiatan penyelidikan dan pembangunanm medan minyak di dalam dan di luar Malaysia. Jika semua keuntungannya digunakan bagi menanggung subsidi bahan api untuk kegunaan domestik, suatu hari nanti, kita mungkin akan mencapai tahap menjadi pengimport sepenuhnya,” kata beliau.

Lagipun, kata beliau, Petronas hanya menguasai 30 peratus daripada pasaran runcit tempatan dan ini bererti subsidi selebihnya akan jatuh ke tangan syarikat minyak asing.

Ketika membentangkan penilaian beliau tentang keadaan semasa, Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Tan Sri Hassan Marican secara berterus terang berkata Petronas akan gulung tikar dalam tempoh 10 tahun lagi jika semua keuntungan yang diperolehnya diserahkan kepada kerajaan bagi membiayai subsidi bahan bakar.

Banyak syarikat minyak telah berkubur atau menghadapi masalah kewangan kerana keuntungan mereka habis diambil bagi tujuan seperti itu, katanya.

Untuk rekod, Petronas membayar RM52.3 bilion kepada kerajaan dalam bentuk cukai, royalti dan dividen pada tahun kewangan lepas dan jumlah ini merupakan 32 peratus daripada hasil yang dijana oleh kerajaan pusat.

Sejak ditubuhkan pada 1974 hingga tahun lepas, Petronas membayar kepada kerajaan sejumlah RM335.7 bilion daripada keuntungannya yang berjumlah RM570 bilion. BERNAMA

sumber mstar

nota: ““Memberi subsidi umpama memberi candu. Apabila rakyat sudah menjadi penagihnya, amat sukar untuk menariknya kembali kerana mereka akan mula mempersoalkan kenapa ia perlu dikurangkan,” katanya.” Penulis bersetuju dengan pendapat ini. Ia disebabkan rakyat rata-rata amat ‘selesa’ dengan subsidi yang diberikan sehinggakan sesuap nasi yang masuk ke dalam mulut juga disubsidi oleh kerajaan. Persoalan sekarang sampai bila kerajaan harus memberi kepada rakyat terutama dalam keperluan persendirian pengguna seperti bahan api? Alangkah baiknya sekiranya wang subsidi yang dibelanjakan untuk bahan api disalurkan kepada pemberian perubatan percuma kepada rakyat. Terimalah hakikat bahawa di dalam menuju ke arah negara maju, rakyat tidak seharusnya bergantung kepada subsidi.

5 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Harga petrol dijangka naik 78 sen mulai Ogos

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dijangka mengumumkan hari ini kenaikan harga petrol sebanyak 78 sen Ogos ini – satu pertambahan besar dari RM1.92 sekarang kepada RM2.70.

Sidang akhbar dijangka bermula sebaik sahaja perdana menteri tiba di pejabatnya di Putrajaya.

Bagaimanapun, belum diketahui bila skim harga baru itu akan dikuatkuasakan.

Kenaikan harga itu adalah sebahagian daripada langkah kerajaan untuk mengawal subsidi bagi menampung kenaikan petrol, diesel dan gas, yang dijangka berjumlah RM56 bilion tahun ini.

Kerajaan juga mengumumkan pemberian rebet kepada pengguna kenderaan.

Mengikut skim tersebut tersebut, kenderaan di bawah 2000cc akan menerima RM625 setahun – rebat bagi 800 liter di bawah harga baru.

Pemilik motosikal pula akan diberi rebet RM120. Bayaran akan dibuat melalui wang pos.

Difahamkan rebet teresbut akan dibayar apabila pemilik kenderaan memperbaharui cukai jalan kenderaan mereka.

Kerajaan dijangka menjimatkan RM4 bilion di bawah penstrukturan semula skim subsidi tersebut.

Jika harga petrol dijual mengikut harga penuh pasaran, ia boleh mencecah setinggi hampir RM4 seliter – naik 100 peratus.

Bagaimanapun, kerajaan dijangka menuju ke arah memansuhkan terus pemberian subsidi pada masa depan.

sumber malaysiakini

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Harga Minyak Naik Ogos Ini?

sumber mstar

KUALA LUMPUR: Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Shahrir Abdul Samad hari ini membayangkan harga minyak petrol dan diesel akan naik mulai Ogos depan.

“Ia akan berlaku… harga petrol akan naik, saya fikir mungkin dalam Ogos tahun ini apabila sistem subsidi diberi penstrukturan semula,” katanya.

Kenaikan harga minyak itu selari dengan penstrukturan mekanisme baru skim subsidi minyak yang dinikmati rakyat kini.

“Sudahpun ada beberapa cadangan dan mekanismenya sudah disampaikan kepada Kementerian Kewangan dan ia akan diputuskan secara terbaik,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini.

Beliau berkata walaupun harga minyak naik, subsidi minyak masih akan dinikmati rakyat berasaskan keperluan bukannya penggunaan.

“Kalau hari ini kita lihat subsidi yang kita terima tu, dia berasaskan kepada jumlah yang kita pakai. Kalau kita guna 200 liter sebulan pun kita akan dapat subsidi bagi setiap liter yang kita beli, kalau kita guna hanya 100 liter pun kita akan dapat subsidi, jadi bermakna tak ada sekatan kepada subsidi yang kita peroleh kerana ia berasaskan kepada kegunaan kita.

“Itu bermakna ia satu sistem subsidi yang tak terjurus kepada masalah. Sepatutnya subsidi itu kepada kumpulan yang memerlukan pertolongan dan memerlukan subsidi, bukan hanya diberikan ikut kemampuan kita menggunakannya (bahan yang bersubsidi),” katanya.

Shahrir berkata penstrukturan itu juga adalah antara pendekatan kerajaan dalam menangani peningkatan beban tanggungan subsidi berikutan kenaikan mendadak harga minyak dunia sehingga mencecah lebih AS$130 setong ketika ini.

Beliau berkata jumlah subsidi yang dijangka ditanggung kerajaan untuk petrol, diesel dan LPG tahun ini ialah RM56 bilion dan ia berbeza dari tahun 2000 hingga 2007 iaitu RM37.4 bilion.

Shahrir berkata larangan penjualan petrol dan diesel oleh stesen minyak beroperasi dalam lingkungan 50km dari sempadan kepada kenderaan asing, adalah hanya langkah sementara.

Katanya larangan itu mungkin sehingga sistem pengurusan subsidi bahan api yang sesuai diputuskan oleh Jawatankuasa Kabinet Menangani Inflasi pada Ogos ini.

“Ini adalah tindakan sementara dan ia bukan satu tindakan yang berpanjangan kerana akhirnya kerajaan akan uruskan soal subsidi petrol dan diesel.

“Sekatan ini perlu untuk halang kenderaan masuk hanya untuk ambil minyak seterusnya membuat rakyat sedar memang besar subsidi yang diberikan kepada petrol dan diesel. Apabila sistem pengurusan subsidi dapat kita putuskan, sekatan tak akan timbul lagi,” katanya.

Beliau berkata larangan penjualan itu sudah berkuatkuasa di sempadan Malaysia dan Thailand hari ini manakala bagi sempadan Singapura, ia akan berkuatkuasa pada 9 Jun ini.

“Larangan penjualan minyak itu tidak membabitkan mereka yang menunggang motosikal kerana kerajaan sentiasa mengambil berat terhadap golongan yang berpendapatan rendah dan membuat keputusan untuk mengecualikan mereka,” katanya.

Shahrir berkata beliau tidak melihat larangan itu akan menjejaskan ekonomi negara walaupun terdapat rungutan daripada pengusaha stesen minyak terbabit.

“Saya dapati daripada laporan yang diterima memanglah perniagaan di sebelah sempadan itu dari segi pelanggan kereta kenderaan Thailand bisnesnya di stesen minyak itu telah berkurang sikit, dah tak berpusu-pusu macam dulu.

“Jika ekonomi negara bergerak hanya kerana penjualan barangan subsidi, maknanya kita tak mantap. Saya tak lihat bahawa ia boleh menimbulkan masalah dari segi ekonomi,” katanya.   BERNAMA

nota: penulis percaya kenaikan yang akan berlaku ini adalah sesuatu yang tidak boleh ditangguhkan. Lihat negara jiran Indonesia yang baru sahaja menaikkan harga bahan bakar sebanyak 30% dan juga telah mengumumkan untuk keluar sebagai ahli OPEC. Faktor pasaran masa depan komoditi utama ini merupakan musuh utama yang menyebabkan harga minyak naik mendadak mutakhir ini. Penulis percaya pihak pembangkang akan memanipulasi isu kenaikan minyak ini terutama DSAI akan menjadi pelakon utama. Beliau sudah pasti akan mengatakan bahawa beliau adalah menteri yang berjaya mengekalkan harga minyak pada paras terendah pada zaman beliau. Persoalannya adakah harga satu tong minyak pada hari ini sama dengan harga semasa beliau menjadi menteri kewangan dahulu?

2 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Harga Petrol Dijangka Lebih Murah

petikan dari Berita Harian

JOHOR BAHRU: Pengguna di negara ini dijangka dapat menikmati harga petrol biasa yang lebih rendah tidak lama lagi, berikutan cadangan kerajaan untuk menstruktur semula jenis petrol di pasaran dan pemberian lebih banyak subsidi bagi petrol biasa.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Samad, berkata perubahan harga petrol itu akan dibuat melalui kajian semula subsidi petrol yang berada di pasaran seperti petrol berplumbum dan tanpa plumbum RON 92 serta RON 97.

Katanya, mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Membendung Inflasi yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Selasa lalu sudah menimbangkan cadangan memansuhkan petrol RON 92 dan RON 97 untuk digantikan dengan petrol RON 95 dan RON 99.

Beliau berkata, ketika ini petrol RON 92 kebanyakannya digunakan oleh motosikal, manakala kenderaan lain menggunakan RON 97.

“Petrol RON 95 boleh digunakan pengguna berpendapatan rendah dan sederhana kerana ia bakal menggantikan RON 92 dan RON 97, manakala petrol RON 99 yang lebih mahal adalah sesuai untuk kenderaan mewah dan pengguna yang mementingkan kuasa pemanduan serta prestasi.

“Mengikut sistem baru itu, kerajaan akan memberi lebih subsidi bagi petrol RON 95. Matlamatnya ialah membantu golongan berpendapatan rendah dan sederhana, manakala bagi mereka yang berpendapatan mewah boleh memilih sama ada menggunakan petrol biasa atau berkuasa tinggi,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat khas Perhubungan Umno Johor, di sini semalam.

Shahrir berkata, kerajaan dijangka dapat menjimatkan peruntukan perbelanjaan dengan memberi sebahagian besar subsidi kepada petrol jenis RON 95, berbanding sebelum ini subsidi yang sama diberikan untuk kedua-dua jenis petrol iaitu RON 92 dan RON 97.

“Mereka yang menggunakan petrol RON 99 juga akan mendapat subsidi, tetapi jumlahnya sedikit,” katanya.

Beliau berkata, mutu petrol RON 95 lebih rendah berbanding RON 97, tetapi ia boleh digunakan oleh kebanyakan kenderaan di negara ini. Kebanyakan negara di Asia dan Eropah kini sudah menggunakan petrol jenis RON 95.

“Melalui cadangan sistem baru ini, kita bukan saja menukar cara menyenaraikan harga petrol, tetapi juga membantu mengurangkan beban kepada golongan berpendapatan rendah serta sederhana.

“Golongan kaya juga boleh menggunakan RON 95 bagi kenderaan seperti Mercedes Benz, BMW dan kenderaan mewah lain, tetapi mereka tidak mendapat manfaat seperti penggunaan petrol RON 99,” katanya.

Januari lalu, Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, dilaporkan berkata kerajaan terpaksa mengeluarkan RM35 bilion untuk subsidi harga diesel, petrol RON 92 dan RON 97, jika harga minyak mentah naik AS$100 satu tong di pasaran dunia.

Pada masa ini, petrol RON 92 dijual pada harga RM1.88 seliter di Semenanjung, Sabah dan Sarawak, manakala RON 97 berharga RM1.92 seliter di Semenanjung, berbanding RM1.90 sen di Sabah dan RM1.91 di Sarawak.

nota: ini adalah langkah yang ditunggu oleh Rakyat Malaysia selama ini. Diharap dengan penurunan harga minyak, rakyat akan bertambah yakin dengan usaha kerajaan yang sememangnya prihatin dengan masalah rakyat…para pembaca dinasihatkan supaya merujuk kepada buku panduan kenderaan anda semua supaya apabila langkah penukaran siri minyak kepada RON 99 dan 95 ini dilaksanakan..ini kerana setiap kenderaan di jalan raya mempunyai spesifikasi keperluan penggunaan bahan bakar yang berbeza..

4 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda