Ribuan orang akan digerakkan untuk menyertai protes membantah kenaikan besar harga minyak di Menara Berkembar Kuala Lumpur pada jam 3 petang 12 Julai.
Penganjur Gabungan Anti-Inflasi (Protes) berharap dapat menghimpun 100,000 orang untuk mendesak kerajaan supaya mengurangkan harga minyak ke paras asalnya, sebelum ini.
“Kami percaya, dengan kenaikan drastik harga minyak, kami akan mendapat sokongan rakyat…
“Ini tidak sama dengan perhimpunan anjuran Bersih. Ia akan lebih besar. Impaknya juga akan lebih besar,” kata penyelaras Protes, Dr Hatta Ramli dalam sidang akhbar hari ini.
Hatta menjelaskan bahawa Menara Berkembar KLCC dipilih sebagai tempat protes tersebut kerana ia merupakan ibupejabat syarikat minyak negara, Petronas.
Menurutnya, Malaysia adalah sebuah negara pengeluar minyak dan keuntungan yang dicatatkan oleh Petronas sepetutnya digunakan untuk meringan beban rakyat, akibat kenaikan harga minyak.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan harga petrol naik 78 sen atau 41 peratus kepada RM2.70 manakala harga diesel naik RM1 atau 63.3 peratus kepada RM2.58.
Kenaikan harga minyak itu adalah antara langkah drastik kerajaan untuk menangani kenaikan subsidi minyak, yang dijangka mencecah RM56 bilion tahun ini.
Selepas membuat pengumuman tersebut, Abdullah berharap rakyat Malaysia tidak mengadakan demonstrasi membantah kenaikan harga bahan api itu. – sumber malaysiakini
nota: Mutakhir ini, kerap negara dilanda berbagai dengan demostrasi protes bermula dengan gerakan BERSIH dan HINDRAFF. Ironinya, protes besar-besaran ini ditunjangi oleh ahli politik pembangkang yang mengejar keuntungan politik. Sekiranya ikhlas di dalam menjadi ahli politik, kesemua ahli politik tak kira dari BN atau PR hendaklah duduk semeja berbincang tentang bagaimana masalah kenaikan harga dapat dibendung. Adakah mereka bersifat prihatin dengan mengadakan protes walaupun ia dijalankan secara aman? Adakah kita ingin melihat keadaan seperti di negara jiran yang hampir setiap hari melakukan protes terhadap kenaikan harga minyak?Apakah keuntungan protes ini? Yang jelas ialah keuntungan bagi ahli politik pembangkang. Sekiranya tercetus kejadian yang tidak diingini, merekalah yang akan lari menyelamatkan diri dahulu sambil meninggalkan peserta protes sendirian di jalanan.
Pendapat penulis ialah sekiranya penganjur masih ingin mengadakan protes ini, adalah lebih baik ia dianjurkan di dalam stadium supaya keadaan lebih terkawal dan pengajur bebas mengadakan ceramah sekiranya perlu. Tidak perlulah menunjukkan hero dengan mengadakan demostrasi di kawasan segi bintang emas seperti di KLCC kerana ia memberi imej buruk kepada negara. Bukan sahaja imej tercemar malah ia menyusahkan rakyat lain.