Tag Archives: Islam Hadhari

Tiada lagi Islam Hadhari di Penang

petikan malaysiakini

Pulau Pinang mengambil keputusan rasmi menghentikan promosi program Islam hadhari di negeri itu, kata timbalan ketua menteri Mohammad Fairus Khairuddin.

Menurutnya, perkara itu akan diumumkan secara rasmi selewat-lewatnya minggu depan.

“Saya akan membuat sidang akhbar itu mungkin di sekitar hujung minggu ini atau minggu depan. Jadi keputusan kita, di Pulau Pinang ini, kita tidak menggunakan istilah haram (mengharamkan Islam hadhari).

“Kita tidak akan meneruskan sama sekali program Islam hadhari ini.

fairus khairuddin and penang”Kita akan menumpukan untuk membangunkan dan menggerakkan sebanyak-banyaknya segala program-program Islam yang telah sedia ada dan kita syiarkan tujuan itu tanpa perlu menggunakan istilah-istilah yang mengelirukan,” katanya kepada Malaysiakini petang ini.

Menjelaskan maksud “tidak meneruskan” itu, Mohammad Fairus berkata, “ertinya, segala program (Islam hadhari) mesti dihentikanlah dan ditumpu (kepada usaha) menghidupkan apa yang ada di dalam Islam, sebagaimana yang nabi bawa sejak 1400 tahun lalu.”

Keputusan itu diambil – tidak lama selepas Selangor mengambil langkah yang sama pada 26 Mei lalu – setelah mendapat nasihat lebih 20 orang pakar agama dan bekas mufti, katanya.

“Setelah saya berbincang dan mendapat nasihat daripada beberapa pakar agama, malah beberapa bekas mufti, tokoh agama, ulama ini bersetuju,” katanya.

Beliau bagaimanapun enggan menyebut beberapa tokoh ulama dan pakar yang dirujuknya.

Diminta mengulas jika terdapat pihak yang enggan mematuhi arahan ini, Mohammad Fairus berkata:

“Itu bermaksud mereka engkar pada ketetapan penguasa negeri. Dan kita menyatakan keputusan kita, kita tak akan meneruskan (program Islam hadhari).”

Ditanya tindakan yang bakal diambil mereka, beliau berkata kerajaan negeri belum memutuskan tindakan lanjut.

“Yang itu, saya akan tentukan kemudian,” tambahnya.

Mohammad Fairus berkata kerajaan negeri telah menghentikan program mempromosikan versi Islam tersebut walaupun tiada pengumuman rasmi dikeluarkan sebelum ini.

Sementara itu, kumpulan aktivis muda Komunite Seni Jalan Telawi (KsJT) melihat tindakan kerajaan Selangor mengharamkan Islam hadhari itu sebagai “terperangkap dalam usaha BN.”

“Kami yakin, tentulah harapan rakyat kepada kerajaan baru di Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Perak adalah bagi melihat kerajaan Pakatan Rakyat memainkan peranan membela nasib golongan terpinggir seperti peniaga kecil, ibu tunggal, mahasiswa dan semua lapisan masyarakat daripada hanya terbelit dengan ‘perangkap’ Umno dan BN,” kata jurucakapnya Hasmi Hashim.

“Tatkala rakyat merintih kekurangan beras di dapur dan ribuan nelayan yang kekeringan diesel untuk ke laut, tindakan mengharamkan Islam hadhari boleh sahaja dianggap sebagai mengalih isu yang sedang dideritai rakyat.”

hasmi PKR 200407Hasmi, juga ketua bahagian PKR Parit Sulong berkata, niat asal perjuangan reformasi 1998 untuk menuntut kebebasan bersuara wajar direnung kembali ketika kerajaan-kerajaan negeri Pakatan, termasuk Selangor, bakal menyambut 100 hari pentadbiran mereka.

“Kami bimbang dengan pemaksaan kuasa termasuk pengharaman Islam hadhari hanya membayangkan bagaimana kerajaan baru ini dilihat mirip autoritarian ala kerajaan (BN) terdahulu,” kata Hasmi dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor bulan lepas, exco hal-ehwal agama Datuk Dr Hassan Mohamed Ali berkata: “kerajaan telah membuat keputusan, Islam hadhari tidak diizinkan untuk diperkembangkan di negeri Selangor, cukuplah dengan dinul (agama) Islam.”

Susulan kenyataan tersebut, mufti-mufti Perlis dan Perak mempertahankan Islam hadhari.

mohd asri zainul abidin”Istilah Islam hadhari telah mengelirukan banyak pihak, namun isi kandungannya baik. Malangnya, pelaksanaan isi kandungan itu kurang kelihatan, selebihnya hanya jenamanya sahaja yang diuar-uarkan,” kata Dr Mohd Asri Zainul Abidin baru- baru ini.

“Saya mencadangkan kepada pihak yang menolak secara ‘pakej’ (Islam hadhari) supaya menilai dengan objektif, menerima aktiviti yang baik atau dasar-dasar yang baik yang termuat dalam Islam hadhari dan boleh menolak jenama yang mengelirukan itu.”

Mufti Perak dilaporkan berkata tidak wajar mengharamkan program berkonsepkan Islam hadhari.

Datuk Seri Dr Harussani Zakaria berkata, tindakan tersebut boleh mengelirukan umat Islam terhadap konsep Islam tersebut yang diperkenalkan perdana menteri.

harussani mufti perak”Saya rasa kita kena faham betul-betul dahulu tentang konsep Islam Hadhari itu sebelum mengambil tindakan.

“Apa yang saya faham setelah berbincang dengan perdana menteri dahulu, Islam hadhari menepati tujuan Islam,” katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zahid Hamidi hari ini dilaporkan berkata Dr Hassan “tidak menolak konsep” Islam hadhari dan tidak juga mengharamkannya.

Mengulas lanjut kenyataan awalnya itu, Dr Hassan pernah memberitahu Malaysiakini: “Kita mengambil keputusan tidak mempromosikan Islam hadhari di sekolah, dalam khutbah Jumaat dan program-program keagamaan.”

Pada 27 Mei, media rasmi PAS Harakahdaily.net melaporkan bahawa Hassan mengingatkan imam-imam yang membaca khutbah berunsurkan Islam Hadhari akan ditarik balik tauliahnya.

nota: Penang merupakan negeri kedua selepas Selangor yang bertindak untuk tidak meneruskan(mengharamkan) sebarang pendekatan dan promosi berkaitan Islam Hadhari. Pada penulis tindakan kedua-dua negeri utk ‘mengharamkan’ Islam Hadhari ini eloklah dibuat sekiranya program-program yang mempromosikan Islam Hadhari digantikan dengan program-program penghayatan Islam di kedua-dua negeri ini. Penulis amat gusar sekiranya tiada program-program penghayatan Islam diadakan di Pulau Pinang maka akan terucaplah dari mulut penulis Syabas dan Tahniah Penang seperti mana penulis ucapkan kepada negeri Selangor. lihat post awal di sini. Apa nak jadi dengan umat Islam di negara kita yang bercakaran tentang pendekatan penghayatan Islam seperti Islam Hadhari ini sedang umat agama lain bertepuk sorak melihat kita sesama Islam bercakaran.

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Henti keluar kenyataan cabar orang Melayu

MELAKA 28 Mei – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam meminta Penasihat DAP, Lim Kit Siang menghentikan perbuatannya mengeluarkan kenyataan berkaitan ketuanan Melayu kerana ia mencetuskan suasana tidak selesa di kalangan orang Melayu di negara ini.

Menurut beliau, Kit Siang tidak sepatutnya mempertikaikan ketuanan Melayu kerana ia sememangnya hak mutlak orang Melayu yang merupakan penduduk asal negara ini.

“Kit Siang tidak perlu sibuk-sibuk mengeluarkan kenyataan berkaitan ketuanan Melayu kerana tanah ini hak orang Melayu, jadi, tiada siapa yang berhak boleh mempertikaikannya,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Kit Siang di Parlimen baru-baru ini yang mendakwa rakyat hari ini telah bosan dengan konsep ketuanan dan kedaulatan Melayu.

Mohd. Ali berkata, konsep ketuanan dan kedaulatan Melayu jelas tercatat dalam sejarah dan tidak perlu diungkit-ungkit terutama oleh pihak pembangkang.

Kata Ketua Menteri Melaka itu, DAP sengaja membangkitkan isu tersebut semata-mata ingin menarik perhatian rakyat dan pada masa sama tidak mempedulikan perasaan orang Melayu.

Beliau menjelaskan, ketuanan Melayu bukan menganggap kaum lain sebagai hamba dan berlagak sebagai `tuan’ seperti yang dianggap oleh DAP.

“Pembangkang amat jelas tidak memahami konsep tersebut.

“ Kit Siang tidak tahu konsep ketuanan dan kedaulatan Melayu sebab itu beliau boleh buat kenyataan sedemikian,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Ali turut mempertikaikan tindakan kerajaan negeri Selangor mengharamkan sebarang program berkaitan konsep Islam Hadhari yang dilihat lebih bersifat politik dan tidak mementingkan soal masyarakat itu sendiri.

Katanya, penganjuran Islam Hadhari telah diiktiraf oleh para mufti dan ulama tempatan malah disokong oleh negara-negara jiran terutama di kalangan negara Dunia Melayu Dunia Islam.

“Memang jelas pembangkang yang memimpin kerajaan Selangor sekarang tidak tahu langsung konsep Islam Hadhari, mereka hanya ingin mainkan isu ini kerana untuk menarik perhatian rakyat untuk menyokong mereka,” katanya. -utusan

1 Comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda