Tag Archives: Jalan Pasar

Anwar Tetap Pendirian Boleh Turun Harga Minyak

sumber mstar

KUALA LUMPUR: Ketika kerajaan mengumumkan kenaikan harga petrol dan diesel yang dikuatkuasakan hari ini, pemimpin pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim pula mengulangi pendirian Pakatan Rakyat untuk mengurangkan harga minyak.

“Saya ulangi pendirian saya dan Pakatan Rakyat untuk menurunkan harga minyak dan meletakkan asas ekonomi manusiawi.

“Dasar tersebut harus menjurus kapada pertumbuhan segar dan pantas, namun tetap prihatin terhadap kehidupan rakyat,” kata Anwar, bekas Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dalam blognya.

Pendirian pembangkang untuk menurunkan harga minyak merupakan salah satu kandungan manifesto dalam pilihan raya umum ke-12 Mac lalu.

“Rakyat pastinya dirundung kehidupan rumit. Bermula dari harga minyak, menjalar ke bil eletrik, tertekan parah dengan kos pengangkutan dan harga barang keperluan lainnya,” katanya.

Bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad juga mengulas mengenai isu berkenaan dalam blognya hari ini sambil menyifatkan ia akan membebankan rakyat.

Dalam pada itu, DAP, salah satu komponen Pakatan Rakyat mengadakan tunjuk perasaan secara aman di Jalan Pudu pagi tadi membantah kenaikan harga minyak diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam.

Bernama melaporkan, sekumpulan penyokong DAP hari ini mengadakan demonstrasi secara aman di Jalan Pasar Pudu bagi membantah kenaikan harga minyak.

Kumpulan itu disertai wakil-wakil rakyat DAP terdiri Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai, Anggota Parlimen Kepong, Dr Tan Seng Giaw, Anggota Parlimen Seputeh, Theresa Kok, Anggota Parlimen Segambut, Lim Lip Eng, dan Anggota Parlimen Bukit Bintang, Fung Kui Lun dan anggota Dewan Undangan Negeri Selangor kawasan Teratai, Janice Lee.

Mereka berkumpul sejak 11 pagi sebelum berarak menuju ke kawasan penjaja sambil diawasi anggota Unit Tindakan Simpanan Persekutuan (FRU).

Tan berkata beliau tidak setuju subsidi minyak dikurangkan kerana kenaikan harga minyak membebankan golongan berpendapatan rendah.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Mohd Zulkarnain Abdul Rahman berkata kumpulan itu bersurai pada 12.30 tengah hari dan tiada tangkapan dibuat.

Abdullah juga melahirkan harapan agar rakyat tidak mengadakan demonstrasi membantah kenaikan harga petrol dan diesel.

1 Comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda