Tag Archives: joseph pairin kitingan

PBS kemuka usul utk singkirkan SAPP

sumber malaysiakini

Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Joseph Pairin Kitingan telah membuat usul untuk menyingkirkan Parti Progresif Sabah (SAPP) dari Barisan Nasional (BN) dalam mesyuarat jawatankuasa pengurusan BN semalam.

Usul tersebut disokong oleh VK Liew, presiden sebuah lagi parti komponen BN Sabah, Parti Liberal Demokratik (LDP), demikian menurut satu sumber BN.

Timbalan Perdana Menteri, yang juga ketua wip BN, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang mempengerusikan mesyuarat tersebut, memberitahu pemberita semalam bahawa tindakan akan diambil terhadap SAPP kerana keputusan mereka untuk menyokong undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Pemerhati politik bagaimanapun berkata, SAPP mungkin diberi surat tunjuk sebab, sebelum disingkirkan dari BN. Parti itu diketuai oleh bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Yong Teck Lee, 54.

SAPP mempunyai dua ahli Parlimen dan empat ahli dewan undangan negeri (Adun), termasuk Timbalan Ketua Menteri Sabah (Timbalan Presiden, Datuk Raymond Tan) dan seorang menteri muda (Ketua Wanita, Melanie Chia).

Malaysiakini juga difahamkan bahawa sebuah lagi parti komponen BN, Pertubuhan Bersatu Pasokmomogun Kadazandusun Murut (Upko), tidak hadir dalam mesyuarat tersebut.

“Hanya PBS, PBRS dan LDP menghadirinya,” kata sumber tersebut. PBRS atau Parti Bersatu Rakyat Sabah, diketuai oleh Datuk Joseph Kurup.

Sementara itu, Setiausaha Agung SAPP, Richard Yong memberitahu Malaysiakini bahawa beliau tidak terkejut jika PBS dan LDP mahu SAPP disingkirkan.

Katanya, PBS akan mendapat empat kerusi kosong – kerusi pilihanraya dan jawatan dalam kabinet.

Mengenai ancaman ugutan terhadap dua ahli Parlimen SAPP – Datuk Eric Majimbun (Sepanggar) dan Datuk Dr Chua Soi Bui (Tawau) – ekoran tindakan parti itu untuk menyokong undi tidak percaya tersebut, Richard berkata kedua-duanya belum membuat laporan polis.

“Mereka menunggu masa yang sesuai untuk berbuat demikian,” katanya.

Beliau juga berkata, presiden SAPP belum bertemu dengan pegawai kanan Badan Pencegah Rasuah (BPR) dari Kuala Lumpur untuk memberi kenyataan berhubung dakwaan rasuah membabit RM5 juta, terhadapnya.

Ibupejabat parti itu menghubungi  pejabat BPR semalam tetapi ia ditangguhkan atas beberapa sebab, dan mengikut Richard, pertemuan itu mungkin diadakan hari ini atau esok.

“Yong ada di Kota Kinabalu,” katanya.

nota: merujuk kepada posting awal di blog ini mengenai isu SAPP, penulis telah membuat cadangan agar bilangan dan keahlian parti-parti kompenen di dalam Barisan Nasional dikaji semula. Ini kerana dengan bilangan parti yang banyak iaitu sebanyak 14 parti komponen, terdapat pelbagai kepentingan parti yang dituntut yang seterusnya membawa kepada ketamakan kuasa seperti yang berlaku kepada SAPP. Tindakan tidak hadir ke Parlimen oleh MP BN SAPP semalam merupakan salah satu tindakan yang tidak profesional dan menjadikan ancaman SMS sebagai alasan untuk tidak hadir ke Parlimen. Sekiranya ikhlas untuk berjuang untuk rakyat Sabah, krisis parti tidak harus diheret ke dalam parlimen dengan tindakan tidak hadir ke parlimen.

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda