Tag Archives: karpal

Siapa di belakang Karpal?

petikan dari mstar Oleh ARIFFUDDIN ISHAK

Ketuanan Melayu sekali lagi teruji apabila Pengerusi DAP, Karpal Singh dengan lantang mempertikaikan ‘campur tangan’ Sultan Perak berhubung pertukaran Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIP), Datuk Jamry Sury atas arahan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin.

Karpal begitu yakin bermain dengan api yang sekarang ini sedang marak menyala tatkala isu paling sensitif yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan mengenai kedudukan dan peranan Raja-raja sebagai ketua agama Islam cuba digoncang. Hati-hati bermain api, kelak nanti terbakar diri!

Siapa Karpal dan apa haknya untuk mempertikaikan bidang kuasa Raja-raja Melayu? Wujudkah agenda tersembunyi di sebalik kelantangan beliau itu?

Sukar diterima akal seorang peguam berpengalaman seperti Karpal seolah-olah ‘terlepas pandang’ mengenai perkara besar seumpama ini.

Ini bukan perkara remeh yang boleh dicuit atau dicubit untuk dibawa bergurau apatah lagi bila mempersoalkan kuasa dan peranan ketua agama yang terletak di bawah tanggungjawab Raja-raja Melayu.

Nampaknya Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu masih belum puas dalam usahanya untuk menyangkal kuasa Raja-raja Melayu kerana beliau juga sebelum ini petah mencabar bidang kuasa tertinggi itu apabila pernah menyaman Sultan Selangor pada 1987.

Keberanian Karpal menyaman Sultan Selangor ketika itu atas satu isu yang mengundang tindak balas seorang guru silat, Allahyarham Kiyai Arshad Mohd Gamat yang bertindak menampar Karpal di pekarangan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

PENDIRIAN BERCANGGAH

Sesuatu yang cukup merisaukan waima pembangkang atas nama Pakatan Rakyat (PR) belum lagi merampas ‘takhta’ pentadbiran negara yang dicita-citakan mereka selama ini.

Belum pun sempat ‘dewasa’, PR seolah-olah menampakkan taring mereka untuk menidakkan kuasa Raja-raja Melayu. Cukup jelas apabila Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan tindak-tanduk Karpal itu.

Sebaliknya beliau lebih banyak menyalahkan media yang kononnya sengaja memperbesarkan isu yang dianggap remeh ini.

Di sini dapat dilihat sedikit percanggahan pendirian yang dizahirkan oleh bekas Timbalan Perdana Menteri itu apabila ‘bersekongkol’ dengan Karpal mengenai perkara ini.

Memilih untuk ‘bersetuju’ dengan tindakan Karpal. Namun pada masa yang sama cuba menyatakan bahawa kononnya pendirian PR adalah jelas iaitu mempertahankan prinsip Perlembagaan, kemuliaan dan kedaulatan Raja-raja Melayu.

Namun apa yang ‘terhidang’ di depan mata ialah secara terang-terangan perlakuan Karpal itu bertentangan dengan pendirian PR yang disuarakan Anwar. Jadi bagaimana yang dikatakan PR bersedia untuk mempertahankan kedaulatan Raja-raja Melayu?

Jika Sultan sebagai ketua agama Islam di setiap negeri tidak berhak untuk mengutarakan sebarang pendapat dan teguran di bawah kuasanya iaitu mengenai hal ehwal negeri, tidakkah perbuatan itu dianggap menidakkan kuasa Raja-raja Melayu?

PELAMPAU

Pertikaian secara terbuka terhadap tindakan Sultan Azlan Shah dilihat sebagai sesuatu yang cukup melampau dan keterlaluan.

Ternyata tindakan ‘liar’ Karpal mengundang amarah di kalangan kaum Melayu.

Hingga kini sudah 20 laporan polis dibuat terhadap Karpal.

Di kala senario politik negara berada pada tahap yang serba mencabar, Karpal muncul di tengah-tengah kekalutan itu sebagai ‘superhero’ untuk menegakkan pendiriannya.

Malah, beliau dengan angkuh mengatakan tidak akan berganjak dengan pendiriannya walaupun 2,000 laporan dibuat kerana merasakan tidak melakukan sebarang kesalahan.

Karpal bertegas mengatakan Jamry ialah pegawai kerajaan dan Sultan Perak tidak ada hak untuk mengarahkan pertukaran Jamry ditarik balik.

“Gaji Jamry bukan dibayar oleh JAIP tetapi oleh kerajaan, jadi dia ialah pegawai kerajaan,” demikian ujar Ahli Parlimen vateran itu.

Beliau mungkin tidak sedar atau pura-pura tidak sedar bahawa keceluparannya mampu mengundang pergolakan besar dalam masyarakat pelbagai kaum di negara ini terutamanya orang Melayu.

Seluruh umat Melayu sudah pasti tidak akan sewenang-wenangnya bersubahat menelanjangkan maruah Melayu yang berdaulat dan akan terus mempertahankan lambang kemelayuan yang sejati.

Institusi beraja di negara ini akan terus dipelihara sebagai simbol permuafakatan masyarakat majmuk di bawah pemerintahan Yang di-Pertuan Agong di peringkat persekutuan dan Sultan atau Raja di peringkat negeri.

AGENDA MENGHASUT

Agenda di sebalik ‘kelembutan lidah’ politikus itu juga sebenarnya mengandungi unsur hasutan yang cukup merisaukan.

Tidak mustahil konflik membabitkan perundangan seumpama itu akan lebih kerap tercetus sekiranya DAP semakin mempunyai kuasa kelak.

Ada benarnya pandangan mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berhubung isu ini bahawa keadaan sekarang menunjukkan tidak ada pihak yang mampu memberikan tindak balas ke atas tindakan Karpal.

“Adakah anda mahu Karpal ditangkap dan dibawa ke dalam kenderaan polis sama seperti apa yang berlaku kepada Raja Petra. Jika itu yang anda lakukan, maka seluruh dunia akan menyaksikan gambar Karpal dibawa dalam kenderaan polis.

“Saya fikir jika itu yang berlaku ia akan memberikan impak yang teruk kepada negara,” katanya.

Sedari awal Tun Mahathir mengingatkan agar kerajaan sentiasa mengambil langkah berhati-hati dalam menangani isu seumpama ini yang sengaja dicetuskan pembangkang untuk menguji kepimpinan yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Lebih jelas apabila Karpal meminta kerajaan negeri Perak agar tidak tunduk terhadap ‘tekanan’ istana.

KUNCI MULUT

Mohammad Nizar sendiri enggan memberi sebarang komen berhubung siri bantahan Karpal mengenai perkara ini sedangkan beliau yang mula ‘meniup wisel’ untuk Karpal.

Beliau mengambil langkah selamat dengan mengunci mulut, diam seribu bahasa apabila diminta mengulas mengenai kekalutan yang berlaku ini.

Menteri Besar Perak yang dilantik atas tiket Pas ini juga hilang punca dan sebenarnya tiada idea tentang motif utama pemecatan Pengarah JAIP itu.

Jadi dari awal-awal lagi beliau memohon maaf dan akur dengan arahan pihak istana kerana takut dianggap menderhaka kepada Sultan Perak.

Maklumlah, memang sebelum ini Pas cukup sensitif dengan isu istana jika ada di kalangan orang UMNO yang ‘cuba’ membelakangkan kuasa istana.

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat juga bijak dan masih rasional apabila tidak ‘tumpang sekaki’ apabila menempelak Karpal yang begitu berani menegur Sultan secara terbuka adalah  tindakan yang tidak betul dan boleh dianggap sebagai derhaka.

Jadi ternyata Pas sendiri tidak bersetuju dengan tindak tanduk Karpal itu. Namun mustahil juga bagi Pas untuk menghantam Karpal sekeras-kerasnya kerana mereka sama-sama berada dalam PR.

Jadi yang tinggal di belakang Karpal hanyalah PKR yang masih utuh dengan pendirian mereka menyokong perbuatan pemimpin DAP itu. Mungkin bagi mereka ‘alang-alang menyelup pekasam, biar sampai ke pangkal lengan’. Sudah telanjur membantah…baik terus membantah!

nota: sememangnya sikap Karpal yang sering mencabar ketuanan Melayu sering menjadi perhatian di dalam politik di tanah air kita. Mengapa beliau bersikap sebegitu angkuh dan biadap dengan mempertikaikan campur tangan Istana dalam isu JAIP. Tidakkah beliau sedar tindakan beliau mengundang kemarahan orang Melayu. Di mana pendirian Anwar Ibrahim di dalam isu ini. Apakah komen dari Wan Azizah, Azmin Ali dan lain2 ahli pembangkang?..adakah hanya mendiamkan diri ??? Adakah mereka semua ingin melihat institusi beraja di negara kita seperti sebiji bola yang boleh disepak dan ditendang sesuka hati. Adakah menjadi hasrat semua ingin melihat sistem beraja di Malaysia bertukar menjadi sistem Republik dengan presiden menjadi ketua negara?? Penulis ingin memaparkan juga satu artikel menarik di dalam ruangan forum Utusan semalam dari pengirim bergelar taminsari. Penulis berasa sedih melihat senario politik negara mutakhir ini. Tindakan beberapa negeri pakatan rakyat yang menamakan Speaker dari kalangan bukan melayu Islam jelas membelakangkan keutamaan orang melayu. Apa guna bersumpah memegang amanah atas nama Allah sekiranya sumpah itu dilafaz di hadapan orang bukan Islam?? Penulis berharap agar sikap ABU (asal bukan UMNO) yang diterapkan oleh pihak pembangkang ini dapat dihapuskan dengan segera.

DAP ‘abang besar’ Pas, PKR

Apabila secara berterusan Pengerusi DAP, Karpal Singh yang menyentuh dan mempertikaikan hak dan kuasa raja-raja Melayu, setiap hari kita lihat ramai orang Melayu bangkit membantah. Sama ada melalui penulisan di akhbar-akhbar, media-media massa dan juga membuat laporan polis.

Tetapi pada masa yang sama, pemimpin di pihak Pas dan PKR yang mengaku Melayu dan beragama Islam masih mengambil pendirian untuk mendiamkan diri.

Sehingga ke hari ini, tidak kedengaran sebarang kenyataan rasmi daripada pemimpin parti terbabit yang seolah-olah merestui tindakan tersebut. Adakah disebabkan DAP ahli keluarga Pakatan Rakyat, maka adalah lebih baik bagi mereka mengambil pendirian berkecuali.

Adakah mereka sanggup melihat rajaraja Melayu diperlekehkan dengan hanya berpeluk tubuh dan menunggu saat yang memberi keuntungan politik kepada mereka, baru hendak bertindak sesuatu? Adakah untuk menjaga hati DAP, mereka sanggup menjadi pengkhianat bangsa mereka sendiri?

Seperti mana yang kita tahu Pas dan PKR sanggup perjudikan matlamat perjuangan masing-masing semata-mata mahu bergabung dengan DAP. Yang paling ketara ialah Pas hingga sanggup membuang slogan untuk menegakkan negara Islam semasa pilihan raya umum lepas semata-mata hendak bermadu kasih dengan DAP walaupun pemimpin DAP dengan berani dan terus terang menyanggah cita-cita Pas itu.

DAP semata-mata ingin menangguk peluang keemasan di atas kebebalan segelintir orang Melayu, hingga sanggup terima Pas dan PKR dalam Pakatan Rakyat demi menghancur dan memecahbelahkan undi orang Melayu pada Pilihan Raya Umum Ke-12 yang lepas.

DAP masih tetap dengan slogan Malaysian Malaysia dan mahukan Malaysia mengamalkan sistem meritokrasi. Pas, walaupun sebelum pilihan raya mengatakan menarik balik slogan penubuhan negara Islam dan menukar kepada negara berkebajikan, hakikatnya tidak begitu mudah slogan ini digugurkan kalau tidak ada udang di sebalik batu! PKR pula, tetap mengatakan hanya Anwar Ibrahim sahaja yang layak jadi Perdana Menteri!

Ternyata kes di Perak menjadi amaran awal DAP untuk menunjukkan belangnya walaupun baru dapat berkuasa dan kejayaan menguasai Pulau Pinang dan berkongsi memerintah Perak dan Selangor dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas. Yang pasti jika DAP berjaya berkuasa dan menjadi Perdana Menteri, ia akan menghapuskan kedudukan institusi raja-raja Melayu dan hak keistimewaan orang Melayu.

Parti-parti pembangkang berhempaspulas mencari ikhtiar untuk menghapus pengaruh UMNO sehingga mengorbankan nilai-nilai dan adat resam masyarakat kita. Mereka sanggup mengetepikan nilai-nilai Islam sendiri. Inilah yang telah dilakukan oleh Pas dan PKR.

Sebenarnya kedudukan orang Melayu dan Islam kini berada di ambang bahaya jika pembangkang memerintah. Dalam apa jua hal pun, DAP tetap mahu menunjukkan dialah ‘abang besar’ kepada parti pembangkang lain. Sementara Pas dan PKR ikut apa sahaja kehendak DAP.

Apabila DAP kata hitam, hitamlah. Jika DAP kata putih, maka putihlah. Sebab itulah lidah pemimpin-pemimpin Pas dan PKR kelu untuk berkata-kata, apatah lagi mengeluarkan sebarang pernyataan membantah apa yang Karpal Singh lakukan hingga menghina dan memperlekehkan kuasa raja-raja Melayu.

Jelaslah Pakatan Rakyat lebih merupakan eksploitasi kegawatan politik Melayu untuk kepentingan DAP. Sekarang telah nyata bahawa semua parti itu hanya bekerja untuk mendapatkan kerusi dalam pilihan raya dan bukan untuk membela maruah negara.

– TAMINSARI

Shah Alam, Selangor.”

4 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda