Tag Archives: kes liwat anwar

Pak Lah nafi sudah ada pertemuan dengan Pakatan – Malaysiakini

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menegaskan sehingga kini tiada sebarang pertemuan berlangsung antara Pakatan Rakyat dengan pihaknya bagi membincangkan masa depan politik dan pembentukan kerajaan baru oleh pembangkang.

“Tidak ada sebarang mesyuarat dengan orang-orang Datuk Seri Anwar Ibrahim,” kata Perdana Menteri selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Ekonomi 2008 yang kedua di sini.

Beliau mengulas laporan agensi berita AFP hari ini bahawa pertemuan sudah mula diadakan di antara wakil Perdana Menteri dan Pakatan Rakyat berhubung perkara berkenaan.

Laporan itu memetik Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua bahawa sudah ada usaha awal ke arah itu.

“Itu adalah laporan paling gila yang pernah saya dengar. Kamu perlu fikir dahulu sebelum membuat laporan sedemikian,” katanya.

Pagi ini ketika dihubungi mStar Online Tian berkata, pihaknya akan menggerakkan usaha sedemikian dalam waktu terdekat sama ada untuk membentuk kerajaan baru atau mewujudkan persefahaman di antara kedua-dua pihak berkenaan. – mstar

tapi….PR kata depa tengah berunding?…. baca sini
tapi apa nk dihiraukan kalau PR ni tipu….namapun Penipu Rakyat…kejap 16 Sept…lepas tu 23 Sept…lepas tu 1 Okt…nk cover line…dia cakap plak tengah berunding. Mungkin berunding utk gugurkan kes liwat Anwar kot!!

Advertisement

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Kes liwat Anwar ditangguh hingga 24 September

Kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim ditangguhkan sehingga 24 September bagi membolehkan kedua-dua pihak pasukan pendakwa dan pembela menyediakan hujah masing-masing berhubung permohonan agar tuduhan ini didengar di Mahkamah Tinggi.

Apabila kes itu disebut semula pagi ini pihak pendakwaan memohon akan kes ini dipindahkan ke Mahkamah Tinggi tetapi ia dibantah oleh pasukan peguam Anwar.

Terdahulu Anwar di Mahkamah Sesyen Jalan Duta, Kuala Lumpur sebentar tadi – pukul 9.30 pagi – dengan pasukan peguamnya menolak khabar angin bekas Timbalan Perdana Menteri itu akan dibatalkan jaminan peribadi.

Kes tersebut disebut semula pagi ini dengan kawalan keselamatan ketat di pekarangan Kompleks Mahkamah Jalan Duta.

Ketika ditemui wartawan sebaik tiba di pekarangan mahkamah, Anwar berkata: “Saya tidak pasti apa yang akan berlaku di mahkamah hari ini. Saya berharap jaminan (peribadi) tidak ditarik balik. Sememangnya tiada asas untuk mengenakan tuduhan, jadi mengapa bercakap mengenai ikat jamin?”

Peguamnya, Sankara Nair pula berkata: “Jika pendakwa mahu menafikan jaminan ke atas Anwar, mereka perlu memohon dan kami akan respons. Begitu juga langkah memindahkan kes ke mahkamah lain (Mahkamah Tinggi).”

Ketika dihadapkan di mahkamah awal bulan lalu, Anwar, bekas Timbalan Perdana Menteri, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur terhadap tuduhan melakukan seks luar tabii terhadap bekas pembantu peribadinya, Mohamad Saiful Bukhari Azlan pada Jun lepas.

Beliau diwakili sembilan orang peguam.

Anwar, 61, dituduh melakukan perbuatan itu terhadap Mohamad Saiful, 23, pada antara 3.01 petang dan 4.30 petang 23 Jun 2008 di unit 1151 Desa Damansara Condominium, No 99, Jalan Setiakasih Bukit Damansara, Kuala Lumpur.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat.

Anwar dibebaskan atas bon peribadi RM20,000.

Semalam Sankara ketika dihubungi mStar Online berkata, pihaknya tidak mendengar apa-apa mengenainya tetapi jika ada permintaan daripada pendakwa pihaknya akan membantah langkah sedemikian.

“Kami tidak dengar apa-apa (setakat petang semalam). Bagaimanapun pendakwa boleh meminta (untuk membatalkan jaminan).

“Jika pihak pendakwa berbuat demikian kami akan membantah. Lagipun tiada sebab untuk berbuat demikian,” kata beliau ketika dihubungi mStar Online.

Anwar tiba di mahkamah bersama isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan anak-anak mereka.

Jelas Sankara, mengikut rekod Anwar telah hadir mahkamah dengan tepat sepanjang masa dan beliau yang ke luar negara dari semasa ke semasa juga kembali tanah air termasuk yang terbaru ke Jakarta minggu lalu.

Beliau menyatakan demikian ketika tersebarnya SMS dan emel mengatakan bon jaminan peribadi akan dibatalkan apabila mahkamah bersidang hari ini.

Minggu lalu Sankara berkata, pihaknya berharap kes liwat terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri itu akan digugurkan apabila ia disebut semula hari ini.

Kata Sankara, pihaknya telah pun menyatakan pendirian tersebut sebelum ini dan sehingga kini masih mempertahankan agar kes berkenaan digugurkan.

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Peguam harap kes liwat Anwar digugur

Pasukan peguam Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap kes liwat terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri itu akan digugurkan apabila ia disebut semula minggu depan.

“Kami masih mengekalkan pendirian kami bahawa memang tiada kes, tiada bukti. Kes ini merupakan pendakwaan bermotifkan politik.

“Oleh itu kami berharap kes ini akan digugurkan,” kata salah seorang peguamnya, Sankara Nair ketika dihubungi.

Kata Sankara, pihaknya telah pun menyatakan pendirian tersebut sebelum ini dan sehingga kini masih mempertahankan agar kes berkenaan digugurkan.

Ketika dihadapkan di mahkamah awal bulan lalu, Anwar, bekas Timbalan Perdana Menteri, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur terhadap tuduhan melakukan seks luar tabii terhadap bekas pembantu peribadinya, Mohamad Saiful Bukhari Azlan pada Jun lepas.

Beliau diwakili sembilan orang peguam.

Anwar, 61, dituduh melakukan perbuatan itu terhadap Mohamad Saiful, 23, pada antara 3.01 petang dan 4.30 petang 23 Jun 2008 di unit 1151 Desa Damansara Condominium, No 99, Jalan Setiakasih Bukit Damansara, Kuala Lumpur.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat.

Anwar dibebaskan atas bon peribadi RM20,000.

Kes itu akan disebut semula pada 10 September dan kemungkinan akan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Sankara menambah, tiada peruntukan membolehkan pihaknya memfailkan agar kes berkenaan digugurkan.

Cuma, jelas beliau, pihaknya telah menyatakan wujudnya alibi dan juga kandungan akuan bersumpah doktor yang memeriksan Saiful bagi membolehkan kes berkenaan ditolak.

“Kami tidak boleh membuat permohonan rasmi. Pendakwaan mempunyai kuasa mutlak sama ada hendak mendakwa seseorang ataupun tidak,” kata beliau yang tetap yakin kes berkenaan akan diketepikan.

Malah, Anwar ketika berkempen dalam pilihan raya kecil Permatang seringkali menyatakan bahawa kes yang dibawa terhadap tidak mempunyai bukti dan ia harus diketepikan.

nota: atas dasar apa ingin kes ini digugurkan? tiada kes dan tiada bukti? siapa anda untuk tentukan?? negara ini ada sistem kehakiman, biarlah mahkamah yang tentukan.

2 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Anwar Angkat Sumpah Sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh

Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selesai mengangkat sumpah sebagai ahli Parlimen Permatang Pauh pada jam 10:03 minit pagi di depan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Selepas upacara angkat sumpah tersebut, Anwar menandatagani surat akujanji.

Pandikar kemudiannya mengalu-alukan Anwar sebagai ahli Parlimen yang baru dan mengumumkan kepada ahli Dewan Rakyat mengenai perlantikan Anwar sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen.

Setelah Pandikar mengumumkan Anwar sebagai sebagai Ketua Pembangkang, ahli Parlimen Pakatan Rakyat menepuk meja tanda setuju.

Menteri yang hadir hanya Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapha Mohamed bersama-sama dua Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz,  Datuk Zaid Ibrahim.

Manakala yang lain dihadiri oleh ahli Parlimen Pakatan Rakyat.

Terdahulu Anwar tiba di Lobi Parlimen untuk upacara mengangkat sumpah pada jam 9:50 pagi diiringi isterinya, Datuk Seri Dr.Wan Azizah Wan Ismail dan anaknya, Nurul Izzah.

Turut sama mengiringi beliau adalah, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, Naib Presiden PKR, Azmin Ali, Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Anwar hadir dengan memakai baju Melayu berwarna hitam.

Difahamkan satu sidang media akan diadakan selepas upacara angkat sumpah tersebut.

nota: Demi kuasa, dsai sudi bersumpah. tetapi demi menegakkan kebenaran, sehingga hari ini beliau menolak tuntutan ramai utk bersumpah.

7 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

2 Pengakuan Bersumpah…Anda Tentukan….

1. Pengakuan bersumpah yang dibuat di hadapan dan ditandatangani oleh Pesuruhjaya Sumpah. Contoh pengakuan bersumpah penyiasat persendirian P. Bala, Raja Petra dan Dr Osman(Pusrawi).

2. Pengakuan bersumpah yang dibuat dan dilafazkan di dalam rumah Allah, sambil mengadap kiblat, di dalam dewan tempat umat Islam berjemaah, dengan lafaz Wallahi, Wabillahi, Watallahi sambil tangan memegang Al Quran Al Karim – pedoman manusia.

bagi para pembaca di antara kedua-dua sumpah di atas yang mana satu sumpah yang boleh dilakukan secara konspirasi dan dirancang dengan rapi? Di mana pegangan kita, mempercayai sumpah yang dilafazkan dihadapan seorang manusia atau pengakuan sumpah yang dibuat atas nama Allah SWT.

cuba tanya rakan-rakan kita di PKR, PAS….apa komen mereka. Sudah tentu mereka kata sumpah yang no 1 lebih telus dan ‘valid’ dan sumpah no2 itu adalah konspirasi. adakah manusia lebih berkuasa dari Allah?

fikir2kan

12 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Tun Mahathir Cabar Anwar Ibrahim Bersumpah

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mencabar Penasihat PKR, PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengikuti langkah Mohd Saiful Bukhari Azlan mengangkat sumpah untuk membuktikan beliau tidak bersalah.

“Anwar sepatutnya membuat perkara yang sama, bukannya hanya terus berceramah di merata tempat untuk membuktikan yang dia tidak bersalah,” katanya.

Beliau menegaskan demikian ketika ditemui pemberita semasa melawat Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro-Pelancongan Malaysia 2008 (MAHA), demikian menurut Bernama.

Beliau yang merujuk kepada sumpah laknat yang dibuat Saiful semalam berkata, ia (bersumpah) adalah cara bekas pembantu Anwar itu untuk membuktikan bahawa segala dakwaannya adalah benar.

Semalam Saiful mengangkat sumpah di Masjid Wilayah Persekutuan, mengatakan bahawa beliau bercakap benar mengenai dakwaannya yang beliau diliwat oleh Anwar.

Majlis itu disaksikan beberapa pegawai masjid berkenaan dan ahli keluarga Saiful serta pegawai dari Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), termasuk Pengarahnya, Datuk Che Mat Che Ali.

Mahathir berkata sebagai seorang tokoh dalam arena politik Malaysia, Anwar perlu berkelakuan sempurna dan mengikut sentimen orang ramai yang mahukan beliau bersumpah.

Menurutnya langkah mengangkat sumpah itu boleh dianggap sebagai gerakan politik yang baik, namun Anwar sendiri perlu mengemukakan bukti yang sah, bagi membuktikan yang beliau tidak bersalah berhubung perkara itu.

“Dalam kes ini, hampir mustahil untuk menyediakan empat orang saksi, jadi lebih baik sekiranya ia dibuktikan menerusi pelbagai langkah lain seperti ujian sampel DNA,” katanya. – malaysiakini

nota: penulis percaya bukan Tun Mahathir sahaja yang ingin melihat DSAI bersumpah, malah ramai lagi rakyat marhaen Malaysia ini yang ingin melihat DSAI bersumpah bahawa beliau bukan seorang peliwat. Apalagi DSAI…sahut lah seruan bekas boss anda!!

18 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Kenyataan Saiful Bukhari Azlan

Saya rasa telah tiba masanya untuk saya menunaikan tanggungjawab saya sebagai orang Islam dan rakyat Malaysia bagi menegakkan hak dan menidakkan yang batil. Saya dengan ini telah bersumpah dengan nama Allah di Masjid Wilayah Persekutuan petang tadi mengikut cara yang dituntut oleh agama Islam, sepertimana yang telah dinasihatkan dan ditunjuk ajar oleh ulama dan mufti berkenaan saya telah diliwat oleh Anwar bin Ibrahim.

Akad sumpah ini saya lakukan dengan kerelaan saya sendiri yang datangnya dari lubuk hati saya yang mendalam bagi menegakkan kebenaran sebagai seorang yang beragama Islam, berbangsa Melayu dan sebagai seorang rakyat Malaysia.

Saya juga amat memahami bahawa sumpah dengan nama Allah ini, jika ia tidak benar dan merupakan satu ciptaan saya semata-mata atau mana-mana pihak, maka saya akan dilaknat, ditimpa malapetaka dan bencana kepada saya, serta keluarga, keturunan saya selamanya oleh Allah SWT.

Saya melakukan sumpah dengan nama Allah SWT kerana mahu membuktikan bahawa dakwaan saya amat benar dan oleh kerana itu, saya amat berani bersumpah. Ini jalan terbaik bagi saya mendapat
keadilan di dunia dan akhirat dan mengembalikan maruah dan harga diri saya di mana hanya kepada Allah SWT tempat saya mengadu.

Saya melakukannya kerana Allah SWT. Saya bersumpah di dalam rumah Allah yang mulia tadi bahawa saya telah diaibkan dan diliwat oleh majikan saya Anwar bin Ibrahim dan saya tidak memilih berdolak
dalih dengan pelbagai alasan serta penipuan kepada seluruh masyarakat tentang isu dakwaan liwat saya ini seperti yang dibuat oleh Anwar bin Ibrahim.

Dengan ini saya mencabar Anwar bin Ibrahim bersumpah dengan cara sebenar-benarnya Islam dengan melakukannya di masjid dengan disaksikan oleh ulama dan mufti serta seluruh rakyat Malaysia bagi
menafikan dakwaan saya adalah tidak benar. – malaysiakini

16 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Teks Temuramah Saiful Dengan Wartawan

sumber mkini

Wartawan: Waktu angkat sumpah siapa saksi?

Peguam Zamri Idrus: Semua imam-imam Masjid Wilayah Persekutuan.

Wartawan: Ke mana hilang selama ini?

Mohd Saiful: Saya bukan menghilangkan diri tetapi mendiamkan diri untk mengumpulkan kekuatan kerana saya telah difitnah, dengan macam-macam, terutamanya sekali oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim. Jadi itulah alasan saya.

Wartawan: Kenapa Saiful pilih hari ini dan di Masjid Wilayah Persekutuan?

Mohd Saiful: Saya telah lama berniat nak buat ini tetapi ia perlukan satu kekuatan mental dan juga rohani kerana bersumpah ini bukan sesuatu yang mudah dan boleh dibuat secara suka-suka kerana akibatnya dia boleh dilaknat. Alhamdulillah, Allah SWT telah memberikan saya kekuatan dan saya bersumpah pada hari ini.

Wartawan: Adakah kerana esok penamaan calon di Permatang Pauh.Mohd Saiful: Tidak, tidak, sama sekali.

Wartawan: Bagaimana perasaan Saiful lepas bersumpah?

Mohd Saiful: Alhamdulillah, saya berasa lega dan buat pertama kalinya saya dapat memberanikan diri dan diberikan kekuatan oleh Allah SWT untuk berdepan dengan para wartawan.

Wartawan: Kamu bercadang berkempen di Permatang Pauh?

Mohd Saiful: This is not a political matter (ini bukan satu perkara politik), ini adalah dakwaan kes peribadi antara Anwar Ibrahim dan saya.

Wartawan: Tetapi ingat, tuduhan ke atas Anwar adalah suka sama suka?

Mohd Saiful: Saya ingin tegaskan di sini bahawa perkara itu berlaku tanpa kerelaan hati saya.

Wartawan: Ada yang kata lebih daripada sekali.

Mohd Saiful: Itu saya akan beri keterangan di mahkamah.

Wartawan: Betul kamu buat pemeriksaan di Pusrawi?

Mohd Saiful: Itu saya akan jawab di mahkamah.

Wartawan: Kenapa pada mulanya kamu pergi ke Hospital Pusrawi?

Mohd Saiful: Itu keterangan di mahkamah nanti.

Wartawan: Tapi betul Saiful pergi ke Pusrawi hari itu?

Mohd Saiful: Keterangan di mahkamah. Saya akan bagi keterangan. Dan iyalah, saya bukan seperti Datuk Serri Anwar Ibrahim ingin melaksanankan media trial, jadi saya akan memberikan keterangan saya dan bekerjasama semasa di mahkamah nanti.

Wartawan: Ini kali pertama kamu diliwat?

Mohd Saiful: Ya, pertama kali.

Wartawan: Besok penamaan calon, kenapa hari ini… saya harap kamu faham. Saya bukan nak buat apa-apa, tanya saja.

Mohd Saiful: Saya faham, secara kebetulan saja. Kalau nak ikutkan kita pun tak tahu Anwar akan bertanding. Laporan saya itu pun 28 Jun, kita tak tahu dia akan bertanding bila. Tetapi saya ingin tegaskan di sini, saya memerlukan kekuatan dan alhamdulillah Allah SWT memberikan saya kekuatan untuk mengadakan sumpah hari ini. Dan hari ini hari Jumaat, hari yang sangat dirahmati Allah SWT.

Wartawan: Anwar kata masa itu dia ada saksi dan dia tak pernah keseorangan dengan Saiful pada masa tersebut.

Mohd Saiful: Itu kita tengoklah di mahkamah nanti.

Wartawan: Benar kamu buat laporan polis? Kamu ada salinan laporan polis?

Mohd Saiful: Saya nak tegaskan di sini, saya buat laporan polis 5.30 tetapi saya tengok dalam 6.30 dah terpapar di SMS dan lamanweb. Saya tidak tahu kenapa. Dan saya sendiri yang menulis laporan
polis tersebut.

Wartawan: Adakah kamu bertemu Datuk Najib?

Mohd Saiful: Itu saya akan jawab di mahkamah.

Wartawan: Kalau Anwar melakukan sumpah, apa pandangan kamu?

Mohd Saiful: Ok tidak apa. Saya telah melakukan tanggungjawab saya. Saya sudah lakukannya. Jikalau beliau hendak lakukan, terpulang kepada beliau sebab ia bukan tentukan sama ada salah atau tidak. Kita tengok di mahkamah nanti.

Video angkat sumpah ditayangkan.

Mohd Saiful: Jumpa 10 haribulan nanti di mahkamah. Terima kasih.

14 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Saiful bersumpah diliwat Anwar

dari mstar

Selepas lebih seminggu kes diliwat disebut di mahkamah, Mohd Saiful Bukhari Azlan, bekas pembantu peribadi Datuk Seri Anwar Ibrahim melakukan sumpah mubahalah di Masjid Wilayah Persekutuan di sini petang ini.

Saiful, 23, memilih hari Jumaat untuk menyempurnakan upacara sumpahnya.

Pada pukul 6.23 petang, Saiful yang berpakaian baju Melayu warna coklat dengan songkok sambil diperhatikan oleh ayahnya, Azlan Mohd Lazim yang berbaju Melayu biru telah melafazkan sumpah.

Turut menyaksikan upacara itu ialah Imam Masjid Wilayah Persekutuan dan bapa saudara Saiful, ‘Uncle Pet.’

Sambil memegang al-Quran, Saiful yang duduk bersila di atas sejadah sambil mengadap kiblat dan diperhatikan bapanya, telah memulakan upacara ‘bermubahalah’ dimulai dengan mengucap dua kalimah Syahadah sebanyak tiga kali dan bacaan Al-Fatihah.

“Bismillahirrahman nirrahim. Pada hari ini, 14 Ogos 2008, saya Mohd Saiful Bukhari Bin Azlan, No Kad Pengenalan 850706-01-5687 dengan ini sesungguhnya dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang berikrar dan bersumpah seperti berikut….A’uzubilahiminasyaitanirrajim. Bismillahirrahman nirrahim. Wallahi…Wabillahi….Wata’alahi. Saya bersumpah bahawa saya telah diliwat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 26 hb Jun 2008 iaitu pada tarikh tersebut Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memasukkan zakarnya ke dalam lubang dubur saya. Jika saya berdusta, atas pengakuan ini, maka saya berdusta terhadap Allah dan saya sanggup menerima azab, laknat dan kutukan daripada Allah hingga ke kiamat. Wallahualam.”

Sejurus selepas upacara bersumpah itu, Saiful telah bergegas meninggalkan masjid tanpa memberi peluang kepada pihak wartawan untuk menemuramahnya.

Anwar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada 7 Ogos lalu terhadap tuduhan melakukan seks luar tabii terhadap Saiful pada Jun lepas.

Anwar, 61, dituduh melakukan perbuatan itu terhadap Mohamad Saiful, 23, pada antara 3.01 petang dan 4.30 petang 23 Jun 2008 di unit 1151 Desa Damansara Condominium, No 99, Jalan Setiakasih Bukit Damansara di sini.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat.

Anwar dibebaskan atas bon peribadi RM20,000.

Kes itu akan disebut semula pada 10 September dan kemungkinan akan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Majlis Wilayah Persekutuan terletak berdekatan dengan Kompleks Mahkamah Jalan Duta.

Upacara itu diadakan sehari sebelum Anwar mengemukakan borang pencalonan untuk bertanding dalam pilihan raya kecil kerusi Permatang Pauh.

Tinjauan mendapati sebelum itu Saiful melakukan sumpah, pihak media telah berkumpul sejak selepas Asar tadi setelah diberitahu upacara sumpah ‘mubahalah’ akan dilakukan oleh Saiful.

Dalam pukul 5.30 petang tadi, lebih kurang 30 wartawan cuba menyelinap masuk ke dalam Masjid Wilayah Persekutuan untuk melihat apa yang berlaku tetapi telah dihalau oleh pihak keselamatan pada mulanya.

Apabila ditanya kenapa wartawan dihalau, pihak keselamatan berkata itu, adalah arahan pihak atasan.

Bagaimanapun, pihak wartawan berjaya juga memasuki masjid itu.

Kelihatan dua orang pengawal keselamatan bersama seorang lelaki dan dua orang wanita sedang menunggu di hadapan pintu masuk masjid sementara di hadapan pintu pejabat pentadbiran masjid, kelihatan seorang lelaki yang memakai baju Melayu berwarna unggu sedang berbual-bual dengan pengawal keselamatan.

Difahamkan, Saiful telah ‘disorokkan’ di salah sebuah bilik dalam masjid itu.

Juga kelihatan bapa saudara Saiful, yang lebih dikenali dengan nama ‘Uncle Pet’ sedang bercakap dalam telefon bimbitnya dan dari sumber percakapan seperti mengatakan sesuatu tentang mengambil ‘wudhu.’

Sejurus selepas itu, Uncle Pat memberitahu kepada wartawan yang Saiful ada di dalam.

“Dia kat dalam…,” kata Uncle Pat tapi enggan mengulas dengan lebih lanjut.

Cadangan ‘bermubahalah’ ini pertama kali diusulkan oleh Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin Julai lalu.

Gesaan ini dibuat untuk meredakan kekalutan yang sedang berlaku sekarang di mana Anwar menghadapi tuduhan meliwat oleh Saiful Bukhari. Ini adalah kali kedua Anwar menghadapi isu dakwaan meliwat. Kali pertama ialah pada tahun 1998.

Menurut Asri, “kedua-dua mereka (Saiful dan Anwar), baik yang menuduh atau yang dituduh meliwat hendaklah bermubahalah kerana inilah cara yang pernah Nabi buat dulu.”

69 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Anwar: Pejabat PM dan Polis Terlibat

dari malaysiakini

Datuk Seri Anwar Ibrahim menyalahkan perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berhubung pertuduhan liwat yang akan dihadapkan kepada penasihat PKR itu di mahkamah sesyen esok.

“Saya minta perdana menteri bertanggungjawab bagi kerosakan yang bakal dilakukan kepada negara ini dan integriti dan kehormatan orang Melayu,” katanya di sidang media khas tentang kes mahkamahnya.

Polis tengah hari tadi menyerahkan notis bertulis di rumah Anwar memintanya hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Jalan Duta pada pukul 10 pagi esok untuk mendakwanya bawah kesalahan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Penasihat PKR itu juga mendakwa beberapa individu di keliling perdana menteri bertegas mahu beliau dituduh di mahkamah, selain pegawai-pegawai polis walaupun pandangan profesional di pejabat Peguam Negara berbeza.

“Esok saya akan didakwa dengan satu jenayah yang saya tidak lakukan.

“Penjenayah-penjenayah sebenarnya, dalam usaha mereka menghina saya dan mengalihkan hasrat orang ramai menyaksikan perubahan, bersembunyi di belakang tabir yang dicipta oleh media arus perdana,” katanya.

“Ia akan berlaku dengan sokongan aktif dan pembabitan berunsur jenayah peringkat tertinggi pasukan polis dan ahli politik – termasuk pejabat perdana menteri.”

Anwar menuduh Abdullah berbuat demikian kepadanya demi menyelamatkan imejnya yang merosot teruk, termasuk gagal memajukan ekonomi Malaysia.

“Beliau sekarang membakar seluruh hutan demi menyelamatkan sebatang pokoknya sendiri,” katanya.

Mantan timbalan perdana menteri malah menyifatkan Abdullah sebagai “penasihat ulung” kepada “jaksa negara” ketika menjawab soalan seorang pemberita daripada media Indonesia.

Diminta mengulas gesaan Mohd Saiful agar beliau bersumpah untuk membuktikannya tidak bersalah, Anwar berkata persoalan sumpah bukanlah isu politik, tetapi jenayah.

Daripada segi Islam, tambahnya, tuduhan yang dibuat mesti dikemukakan dengan bukti.

Mengulas lanjut soalan seorang wartawan Agendadaily.com berhubung perkara itu, Anwar berkata:

“Sumpah hanya cadangan Putera Umno yang patut belajar baca al-Fatihah supaya betul. Sebab itu saya tanya, apa motif saudara bertanya, kalau nak bincang soal politik atau budaya Melayu, kita sumpah demi angin dan lautan dan jembalang, saya bersumpah.”

“Tetapi kalau hendak sebut (sumpah) guna nama Allah, jangan politikkan hal ini,” katanya lagi, menyebabkan kumpulan wartawan ketawa.

Mengulas kesediaan bekas setiausaha politiknya Mohamad Ezam Mohd Nor mendedahkan “rahsianya” jika dikaitkan dengan konspirasi terhadapnya, Anwar enggan mengulas.

Tidak mengapa, itu (isu Mohamad Ezam) pun macam sumpah juga,” katanya.

Pada 12 Julai lalu, Mohamad Ezam berkata beliau akan membongkar segala keaiban Anwar jika pemimpin PKR itu dan isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengaitkan bekas ketua Pemuda PKR itu dengan konspirasi politik berhubung kes liwat.

Ditanya bagaimana beliau akan membuktikan dirinya tidak bersalah di mahkamah, Anwar berkata:

“Rakyat umum sudah tahu. Kamu buat tuduhan jahat tentang sodomi, sudah diperiksa duburnya (Mohd Saiful) tidak ada kesan (diliwat).

“Bagaimanapun, saya hendak katakan, doktor itu (dari Hospital Pusrawi) didera berhari-hari (supaya) menukar keterangannya. Ini negara apa? Ini hukum rimba namanya.”

Cara Anwar menjawab soalan pemberita Indonesia menggunakan telo republik itu menyebabkan pemberita tempatan ketawa kecil.

Ditanya lagi tentang bukti berbentuk dokumen, beliau berkata:

“Dokumen itu bukan sekadar kuat. Sudah sah, ‘nggak boleh dipertikai lagi. Sudah terlalu kuat. Sebab itu, mereka punya masalah tatkala mendapatkan pengesahan jaksa negara untuk memerintah supaya pendakwaan berlaku.

“Kalau begitu, apa motif mereka meneruskan pendakwaan? Motifnya politik, (ia bertujuan) untuk mengalihkan pandangan (awam) bahawa Pak Abdullah gagal mentadbir negara dan tahap popularitasnya merudum jatuh.”

Selain Dr Wan Azizah, timbalannya Dr Syed Husin Ali dan para pemimpin kanan PKR, kelihatan di sidang media itu peguam- peguamnya Sulaiman Abdullah dan Sankara Nair.

nota: Laporan polis dibuat, kertas siasatan pun siap. Setelah dikaji maka laporan liwat ini harus dibawa ke mahkamah. Soal dakwaan ke mahkamah bukanlah satu soal yang boleh dibuat secara membuta-tuli. Ia harus dikemukakan dengan fakta. Kredibiliti badan kehakiman hanya dipertikaikan oleh DSAI semasa dakwaan dibuat keatas beliau. Bagaimana persepsi beliau dengan badan kehakiman semasa beliau dibebaskan tempohari?? Apabila ada bukti dan dakwaan terhadap DSAI, semua ‘fabrication’ dan bukti itu diada-adakan. Adakah DSAI seorang individu yang sememangnya bebas dari melakukan kesilapan atau pendek kata maksum???

Penulis tidak menafikan kehebatan ‘aura’ DSAI. Penulis pernah duduk satu pesawat dengan beliau sambil berborak tanpa menyentuh isu politik. Cara beliau menyampaikan hujah dalam satu perkara amat ‘convincing’ . Arwah ayahanda penulis pernah berkhidmat bersama-sama DSAI semasa beliau menjadi Ketua Pemuda UMNO Malaysia di mana Dato’ Najib Naib Ketua. Ketika itu arwah ayahanda penulis merupakan Timbalan Pengerusi Tetap Pemuda UMNO Malaysia. Agak terkejut beliau apabila penulis menunjukkan gambar lama beliau bersama Dato Najib dan arwah ayahanda yang penulis simpan di dalam telefon bimbit. Gambar persidangan agung Pemuda UMNO Malaysia. Tersipu-sipu DSAI melihat gambar tersebut.

Bukanlah tujuan penulis ingin menulis sejarah lama di sini, cuma penulis ingin tekankan bahawa ‘aura’ DSAI berjaya mempengaruhi rakyat. Segala hujah yang beliau berikan sekiranya tidak dikaji dan diterima bulat-bulat, pasti ramai yang percaya. Janganlah kita terlalu percaya atau yakin dengan apa yang dikata tanpa mengkaji setiap sudut fakta yang ada. Biarlah JPM atau polis yang terlibat, tunggulah sehingga prosiding mahkamah selesai.

20 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda