Tag Archives: Khir Toyo

Jangan bayar cukai pintu, air – Mohamad Khir

sumber utusan malaysia

SHAH ALAM 10 Jun – Penduduk di negeri ini diminta tidak menjelaskan cukai pintu bagi tempoh penggal kedua tahun ini sekiranya kerajaan negeri campuran Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas tidak menurunkan kadar cukai itu sebanyak 20 peratus seperti dijanjikan dalam manifesto pilihan raya mereka.

Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo berkata, ketika ini pihak berkuasa tempatan di Selangor dalam proses mengeluarkan bil cukai pintu untuk tempoh enam bulan kedua tahun ini.

”Kita beritahu rakyat, jangan bayar bil cukai pintu sebab janji mereka dahulu selepas 100 hari, penduduk akan menikmati pengurangan cukai, oleh itu mereka perlu menunaikan janji.

”Kalau kerajaan negeri hendak sita rumah penduduk yang tidak menjelaskan cukai pintu, sitalah beratus ribu rumah, kita mahu lihat sejauhmana mereka mampu bertindak ,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada 5 Mei lepas mengumumkan keputusan kerajaan tidak menurunkan cukai pintu sebanyak 20 peratus untuk kediaman dan 10 peratus bagi premis komersial atas alasan keadaan ekonomi Selangor ketika ini masih belum mencapai tahap memuaskan bagi membolehkan janji tersebut dilaksanakan.

Selain itu, Abdul Khalid bimbang langkah menurunkan cukai taksiran akan menambah beban kerajaan negeri dan mengurangkan hasil menyebabkan peruntukan untuk pembangunan lain di negeri ini tidak mencukupi, meskipun janji itu terkandung dalam manifesto pilihan raya PKR dan Pas.

Pada masa sama, Mohamad Khir yang juga Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) mengulangi pendirian meminta penduduk tidak menjelaskan bil air sebanyak 20 meter padu pertama yang bersamaan RM11.40.

”Tan Sri Khalid dan Datuk Dr. Hassan Ali (Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Islam, Adat Istiadat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Negeri) bercakap dalam Dewan Undangan Negeri, rebat air percuma akan dimasukkan dalam bil Jun, kita tunggulah,” jelasnya.

Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) semalam menolak terma dan syarat pembayaran yang dikemukakan oleh Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) berhubung pemberian air meter percuma itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Syabas, Datuk Ruslan Hassan berkata, keputusan itu dibuat setelah pihaknya tidak berpuas hati dengan cadangan KDEB yang mahu supaya pembayaran air secara percuma kepada pengguna dibuat selepas rancangan penstrukturan semula sistem bekalan air di Selangor siap sepenuhnya September ini.

Ini memandangkan cadangan KDEB itu dilihat secara langsung akan menjejaskan aliran tunai serta operasi Syabas.

6 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Pusat hiburan kian banyak akibat lantikan EXCO Tercemar?

sumber pembangkang selangor

SHAH ALAM 23 Mei – Kerajaan negeri diingatkan supaya melaksanakan penguatkuasaan terhadap pusat-pusat hiburan dengan lebih serius bagi menangani aktiviti maksiat yang boleh memberikan kesan negatif kepada orang ramai.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo berkata, ingatan itu kerana pusat hiburan dikatakan semakin banyak dibuka serta beroperasi melebihi pukul 4 pagi selain aktiviti penjualan video cakera padat (VCD) lucah secara terbuka dan berleluasa.
Lebih memalukan lagi katanya, Exco Kerajaan Tempatan, Penyelidikan dan Pembangunan, Ronnie Liu dikatakan terlibat menghalang pihak polis menjalankan tugas menutup sebuah pusat pelacuran di Subang Jaya.
“Perbuatan ini perlu diambil perhatian kerana boleh menjejaskan imej kerajaan negeri kerana beliau bertanggungjawab dalam soal pihak berkuasa tempatan (PBT) sepatutnya tidak bertindak begini,” katanya ketika membahaskan titah ucapan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.
Mohamad Khir turut menyifatkan wakil rakyat Pakatan Rakyat seperti ‘tinggal dalam hutan’ kerana tidak dapat menerima hakikat Barisan Nasional (BN) telah banyak membawa pembangunan.
“Terimalah kenyataan yang BN telah bawa banyak kejayaan. Kalau selama ini BN gagal mentadbir, kita semua masih tinggal dalam hutan dan pakai selipar. Pakatan Rakyat seperti tidak tahu bersyukur dengan semua kejayaan ini,” katanya.
Tambah Mohamad Khir, kejayaan Selangor pada hari ini merupakan bukti bahawa kerajaan BN telah memerintah dengan baik yang turut dinikmati wakil rakyat Pakatan Rakyat.
Beliau juga mencadangkan kerajaan negeri menjalinkan hubungan baik dengan Kerajaan Pusat kerana masih memerlukan peruntukan kewangan terutama peruntukan untuk PBT.
“Tidak guna kerajaan negeri berkonfrontasi dengan Kerajaan Pusat kerana Selangor memerlukan bantuan kewangan untuk mentadbir termasuk PBT yang kosnya lebih tinggi berbanding pendapatan,” katanya.
Mohamad Khir turut mengingatkan kerajaan negeri supaya merujuk kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) terlebih dahulu sebelum melaksanakan cadangan cuti 90 hari bersalin kepada kakitangan awam sebagaimana yang dijanjikan dalam manifesto pakatan pembangkang pada pilihan raya umum lalu.
Menurutnya, rujukan dengan jabatan itu perlu dilakukan kerana cadangan sedemikian membabitkan syarat-syarat perkhidmatan, pencen, urusan lain yang mungkin menyukarkan pentadbiran di negeri itu.
“Sepatutnya, kerajaan negeri meneliti perkara ini termasuklah perbincangan dengan pihak JPA.
“Kita tidak mahu cadangan ini boleh menimbulkan masalah bukan hanya kepada kakitangan terbabit, tetapi kepada kakitangan itu sendiri termasuklah kerugian yang dialami kedua-dua pihak,” ujarnya.

13 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Hasan Ali Mengamuk Diasak Isu Manifesto

dari pembangkang selangor

YB Datuk Dr. Hasan Ali tertekan dan kelihatan terlalu emosional dengan YB Dato Seri Dr. Mohamad Khir Toyo apabila sepanjang perbahasan beliau banyak menyebut nama bekas Menteri Besar Selangor tersebut beberapa kali.

Dalam perbahasan di Dewan Undangan Negeri hari ini, Hasan Ali beberapa kali meninggikan suara apabila mengulas isu-isu manifesto Pakatan Rakyat dan beberapa isu negeri Islam. Perkataan seperti penyamun turut keluar dari mulut persuruhjaya Pas Selangor ini.

Sehingga suatu ketika Speaker terpaksa meminta Dr. Hasan Ali bersabar agar tidak terkena tekanan darah tinggi.

Kemarahan Hasan Ali berikutan pertanyaan-pertanyaan dari Sungai Panjang, Sungai Burong dan Seri Serdang telah memberi tekanan dengan menyoal mengenai tindakan-tindakan Pas yang sebelum ini menguar-uarkan untuk menubuhkan negeri Islam di Selangor.

Hasan Ali beberapa kali beliau tersalah rujuk Datuk Satim Diman sebagai ADUN Puchong.

Apabila Speaker membetulkan bahawa tiada ADUN Puchong tetapi sebenarnya ADUN Seri Serdang, Hasan Ali menjawab secara biadap dengan mengatakan dia tersilap sebab ternampak Datuk Satim seperti “Pocong”.

Kemarahan Hasan Ali bertambah apabila kesilapan beliau memberi laluan kepada Dr. Mohamad Khir menyebabkan bekas Menteri Besar tersebut telah berjaya membuat penjelasan mengenai tuduhan  terhadap kontrak jalan dan isu Balkis.

Apabila menyedari Dr. Mohamad Khir berjaya mematahkan hujah beliau, Dr. Hasan memohon speaker menghentikan perbahasan dengan alasan Dr. Khir bukan meminta penjelasan tetapi memberi penjelasan.

Selepas itu, ucapan Dr. Hasan ali penuh dengan intonasi marah dan nada yang tinggi.

Pada suatu ketika beliau mempersoalkan mengapa ADUN BN terlalu mengambil berat isu manifesto dengan menyamakan BN seperti anjing.

“Yang menyalak-nyalak ni kenapa?” jerit Hasan Ali.

Hasan Ali bertambah marah apabila Dr. Mohamad Khir sekali lagi mencelah dengan pertanyaan provokasi, “Apa yang kecil hati sangat jika kita bertanya soal manifesto ini.”

Suatu ketika Hasan Ali menjerit-jerit dalam dewan sehingga tidak dapat membezakan antara Seri Serdang dengan Sementa dan mengungkit-ungkit tindakan Datuk Rahman Palil tidak menghadiri majlis penyerahan tugas.

Sekurang-kurangnya Hasan Ali menyebut Sungai Panjang sepuluh kali dalam ucapannya termasuk menyindir bahawa kerusi yang diduduki oleh Dr. Mohamad Khir itu dahulunya tempat beliau.

Malahan apabila Hasan berhenti berbahas, Teng sekali lagi sempat bergurau dengan bertanya Hasan Ali, “sudah legakah?”

34 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Kempen Menuntut Janji Yang Belum Ditunaikan

Penulis telah berbincang dengan ketua cawangan UMNO Jln enggang En Rosman Kassim dan Setiausaha cawangan En Kamarudin Bakar untuk mengadakan kempen di atas. Secara dasarnya, kedua2 mereka bersetuju dengan idea penulis untuk melancarkan kempen di atas. Kempen atau program ini adalah bertujuan untuk mengumpul semua nama anak-anak Selangor yang layak untuk mendapatkan hak mereka seperti yang dijanjikan oleh Pakatan Rakyat di dalam manifesto mereka pada pilihanraya umum yang lepas. Sebagai permulaan kempen/program ini akan dimulakan secara maya atau ‘online’ sebelum ia dikembangkan dengan mengadakan ‘roadshow’ di seluruh kawasan Jalan Enggang dan Ampang. Sebagai rujukan, penulis akan memaparkan semula janji yang ditabur oleh Pakatan rakyat tempohari.

Sosial dan Kebajikan Rakyat
  • Membuka tabung permulaan RM100 bagi setiap anak kelahiran Selangor.
  • Memberi bantuan RM75 sebulan bagi setiap anak yang dihantar ke nurseri.
  • Memberi bantuan RM50 sebulan seorang bagi pendidikan pra-sekolah.
  • Memberi hadiah RM1000 kepada setiap anak Selangor yang mendapat tawaran ke Universiti.
  • Memberi bantuan dan biasiswa pelajaran untuk anak Selangor.
  • Memberi bantuan kepada anak-anak muda untuk mendirikan rumahtangga.
  • Membuka Pusat Sukan Mini dan Rekreasi bagi belia.
  • Mencarum takaful bernilai RM2,500 untuk warga emas, orang kurang upaya dan anak yatim.
  • Memberi elaun ibu tunggal yang layak.
  • Memberi elaun khas suri rumah yang memilih untuk menjaga sepenuh masa anak-anak kecil mereka.
  • Membantu setiap rakyat Selangor untuk mendapatkan kediaman sendiri.
  • Mewujudkan institusi menyelaraskan hal ehwal agama selain Islam

Pihak UMNO cawangan Jalan Enggang akan mengenalpasti satu tarikh yang sesuai untuk mengadakan roadshow program ini di kawasan berhampiran. Program ini akan mengumpulkan semua nama anak-anak atau individu Selangor yang tinggal di kawasan Ampang. Nama-nama ini kemudiannya akan diserahkan kepada kerajaan negeri supaya hak yang layak diterima oleh individu terbabit dapat dibuat oleh kerajaan Khalid Ibrahim. Sebagai permulaan kempen ini akan dilaksanakan secara maya.

Sekiranya anda seorang yang lahir di Selangor dan tinggal di kawasan Ampang, anda layak menuntut janji yang ditabur. Laman web ini memerlukan butiran berikut. Semua butiran ini hendaklah dihantar melalui email ke pemudaenggang@gmail.com. Anda akan dimaklumkan kelak tarikh roadshow yang akan diadakan.
Sila email kepada kami:

Nama:

Alamat:

No. Telefon:

Jenis Bantuan: contoh: tabung permulaan RM100 bagi setiap anak kelahiran Selangor.

Nama Penerima Hak:

Sila email ke pemudaenggang@gmail.com

Ayuh kita tuntut janji manis PAKATAN RAKYAT!!!

*program/kempen ini akan berjalan secara berterusan(on-going). walaubagaimanapun, nama-nama yang dikumpul hanya akan diserahkan kepada kerajaan negeri secara berkala.

8 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Selangor haramkan program Islam Hadhari

Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor yang pertama selepas pilihanraya umum 8 Mac menyaksikan kerajaan Pakatan Rakyat mengumumkan langkah mengharamkan sebarang program yang ada kaitan dengan konsep Islam Hadhari yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di negeri itu.

“Kita haramkan Islam Hadhari di Selangor ini kerana Islam yang kita amalkan dulu dan hari ini tidak berubah dan sudah cukup.

“Oleh yang demikian, kita mahu sandarkan ajaran Islam sebenar untuk memerintah Selangor ini dan bukannya Islam Hadhari,” kata Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Dr Hassan Mohamed Ali semasa menggulung perbahasan di hari akhir sidang DUN itu di Shah Alam Isnin.

Persuruhjaya PAS Selangor itu berkata semua masjid dan surau tidak dibenarkan mengadakan program, termasuk khutbah yang menyentuh atau ada hubung kait dengan Islam Hadhari.


Beliau mencabar mana-mana pihak supaya tampil memberikan bukti yang menunjukkan ada pemimpin PAS, termasuk dirinya yang membuat janji itu kepada rakyat pada pilihan raya.


“Jika ada yang mendakwa saya atau pemimpin PAS yang membuat dasar janji ini, sila tunjukkan bukti, ” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gombak Setia itu berkata, PAS yang bergabung dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP untuk membentuk Pakatan Rakyat mahu mentadbir Selangor dengan menegakkan prinsip sama rata dan keadilan.

“Kita tidak mahu mengamalkan pentadbiran 30 peratus komisen, 50 peratus komisen atau memberi tender kepada kroni.

“Malah kita ubah tender yang diberi secara runding terus kepada tender terbuka kerana tidak mahu membuat dosa,” katanya

nota: Pelbagai usaha kerajaan terdahulu kini mula diharamkan oleh PR. Tidak mengapa mungkin program yang direncana oleh kerajaan dahulu tidak sehaluan dengan ideologi PR. Tetapi sekiranya projek BABI datang dari kerajaan terdahulu mengapa tidak dibatalkan sahaja Projek Ladang Babi itu?? Adakah wakil rakyat PR tidak berani untuk membatalkan projek berkenaan yang mana dilihat akan menguntungkan orang cina yang diwakili oleh DAP?? Penulis ingin menyarankan kepada kerajaan Khalid Ibrahim agar laksanakan janji2 manis semasa pilihanraya terlebih dahulu sebelum membatal/mengharamkan mana-mana program yang direncana oleh kerajaan terdahulu.

13 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Khalid dakwa MB, exco penggal lalu tidak isytihar harta

SHAH ALAM 26 Mei – Kerajaan campuran di Selangor mendakwa bekas Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo serta exco kerajaan negeri sebelum ini tidak membuat engisytiharan harta.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, pihaknya telah membuat semakan dan mendapati hanya ada surat daripada Ketua Setiausaha Sulit bertarikh Disember 1999 dan September 2000 kepada Menteri Besar ketika itu meminta semua Exco dan wakil rakyat mengisytiharkan harta.

Bagaimanapun, ujarnya, tiada dokumen rasmi yang membuktikan perisytiharan harta ada diserahkan oleh Menteri Besar.

“Sepatutnya semua dokumen rasmi dimasukkan dalam fail rasmi kerajaan dan direkodkan mengikut prosedur yang ditetapkan.

“Ini kerana fail rasmi hanya boleh dilupuskan selepas mendapat persetujuan Jabatan Arkib Negara,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Dr. Mohamad Khir (BN-Sungai Panjang) mengenai pengisytiharan harta wakil rakyat dan exco kerajaan negeri yang baru.

Abdul Khalid berkata, kerajaan negeri pakatan pembangkang terpaksa menggunakan contoh Borang Pengisytiharan Harta Ahli Parlimen Kerajaan (APK104).

Katanya, borang APK 104 itu didapati tidak sesuai untuk wakil rakyat di Selangor dan kerajaan negeri terpaksa menyediakan borang pengisytiharan harta dengan khidmat daripada firma perakaunan, Ernst & Young.

“Kita sudah menyerahkan senarai harta semua wakil rakyat dan exco untuk diteliti dan semakan oleh firma berkenaan sebelum diumumkan,” katanya.

Mengenai pengisytiharan harta anak berumur 21 tahun ke bawah, Abdul Khalid berkata, perkara itu tidak termasuk dalam borang APK 104 tetapi kerajaan menjadikannya sebagai satu daripada syarat untuk mengelak anak wakil rakyat dan exco ada kepentingan peribadi dengan kerajaan negeri.

Sementara itu, Mohamad Khir ketika ditemui memberitahu, kerajaan negeri BN di bawah pimpinannya penggal lalu telah menyerahkan borang pengisytiharan harta kepada kerajaan Pusat iaitu Ketua Setiausaha Negara (KSN) setiap tahun dan bukannya kepada kerajaan negeri.

Katanya, penyerahan borang berkenaan adalah sama seperti diwajibkan ke atas setiap kakitangan awam yang lain malah kandungannya turut meliputi maklumat individu yang mempunyai pertalian keluarga.

“Kita serah borang isytihar harta kepada pihak Perdana Menteri, KSN kerana mereka adalah ketua pentadbir dan kita hantar tiap-tiap tahun.

“Atas sebab itulah kita tidak buat rekod di peringkat kerajaan negeri kerana kita hantar kepada kerajaan Pusat memandangkan menteri besar dan exco juga adalah penjawat awam,” katanya. – Utusan

sumber utusan

nota: adalah lebih baik sekiranya pentadbiran negeri Selangor pada masakini melunaskan janji-janji manis yang ditabur dari sibuk menyemak fail-fail lama untuk mendedahkan kelemahan pentadbiran terdahulu. Tindakan seperti sebenarnya cuba lari dari realiti di mana janji-janji yang ditabur tidak dapat dilaksanakan. Tindakan untuk pengisytiharan harta hanya untuk ahli keluarga yang berumur di bawah 21 tahun bagi exco pakatan rakyat juga sebenarnya tidak memberi nilai tambah kepada pentadbiran di bawah tan sri khalid. sekiranya berani untuk telus, minta pengisytiharan harta dibuat oleh ahli DUN PR Selangor meliputi seluruh ahli keluarga mereka tidak mengira peringkat umur. Janganlah menipu rakyat sehingga gelaran Pakatan Rakyat digelar Penipu Rakyat!

2 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Sultan tegur Adun BN boros

sumber malaysiakini.

Sultan Selangor menegur amalan kerajaan negeri bawah pentadbiran Barisan Nasional kerana tidak mengamalkan perbelanjaan berhemah.

“Beta memandang serius perbelanjaan peruntukan (seorang) ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) tahun 2008 yang habis dibelanjakan pada dua bulan pertama tahun ini,” titah Sultan Sharafuddin Idris Shah ketika merasmikan pembukaan persidangan penggal pertama DUN Selangor hari ini.

sultan selangor sharafuddin idris shah 210508“Kerajaan negeri telah melaksanakan budaya perbelanjaan berhemah dengan memastikan semua perbelanjaan dibuat secara lebih efisien dan berkesan bagi mengelakkan berlakunya pembaziran sumber.

“Beberapa surat pekeliling telah dikeluarkan sebagai garis panduan perbelanjaan berhemah yang efektif di mana program-program jabatan dilaksanakan berdasarkan ketepatan kos,” titah baginda lagi.

Sultan Selangor dipercayai merujuk laporan seorang wakil rakyat BN yang membelanjakan RM500,000 tidak sampai 60 hari hingga Februari lalu untuk beberapa projek di kawasan DUN Kampung Tunku.

Butiran lengkap perbelanjaan itu kini beredar di internet, antaranya di blog wakil DAP Kampung Tunku, Lau Weng San.

Baginda bertitah sedemikian ketika menyentuh keperluan pengurusan  kewangan yang cekap dan berkesan sebagai faktor utama bagi menjamin pendapatan maksima negeri.

“Usaha meningkatkan hasil tidak akan memberi makna sekiranya permbaziran dan perbelanjaan yang tidak berhemah sering berlaku,”

khir toyo 181207Bekas menteri besar Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo, yang kini ketua pembangkang di DUN itu, berkata beliau harus melihat data-data tersebut terlebih dahulu sebelum mengulas lanjut.

Bagaimanapun, katanya, perbelanjaan seseorang ahli DUN bergantung kepada wakil rakyat itu sendiri.

“Selagi mengikut peraturan tiada masalah,” katanya kepada Malaysiakini sewaktu diminta mengulas teguran Sultan Selangor.

Menurut Dr Mohamad Khir, sebahagian besar perbelanjaan wakil rakyat  dibuat pada awal tahun dan sambutan Hari Raya.

Di waktu itu, kata wakil Sungai Panjang, banyak bantuan dimohon oleh rakyat, antaranya untuk menyelesaikan masalah yuran dan lain-lain.

Beliau berkata, adalah normal perbelanjan seseorang ahli DUN lebih besar pada awal tahun.

Banyak bantuan daripada wakil rakyat disalurkan kepada sekolah dan pertubuhan bukan kerajaan, tambahnya.

5 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Laman Web Pembangkang Selangor

Laman web di atas boleh dilayari melalui http://www.pembangkangselangor.com/

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Terima Kasih Atas Sokongan Anda Semua

Assalamualaikum wbt,

Berkat limpah kurnia dari NYA dan sokongan dari pembaca tidak kira dari parti politik yang berlainan, blog ini telah pun menerima kujungan lebih dari 21,000 pembaca. Bilangan pembaca yang tinggi ini amat memeranjatkan pihak kami di mana pihak kami beranggapan blogger kecil seperti kami ini tidak mampu mencecah puluhan ribu pembaca. Kunjugan lebih 21,000 orang pembaca ini bermula dari posting pertama laman blog ini iaitu pada tanggal 12 Februari 2008 bertajuk Selamat Datang.

Walaupun pilihanraya ke 12 telah berlalu, laman blog ini terus memaparkan isu-isu semasa politik tanah air dari berbagai sumber. Semoga segala isu yang dipostkan dapat meningkat kesedaran diri kita terhadap persekitaran politik negara kita yang sedang melalui jalan yang berliku.

Pihak kami ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada semua pembaca atas sokongan, komen dan kritikan dari anda semua. Diharap laman blog ini dapat memberi manfaat kepada semua pembaca.

Akhir kata, walaupun terdapat perbezaan ideologi politik di antara kita terutamanya bangsa Melayu, satu perkara yang harus kita sepakat iaitu kita harus terus memperjuangkan dan membangunkan agama Islam dan bangsa Melayu itu sendiri di Malaysia. Kekukuhan agama Islam dan orang Melayu dapat menjamin kestabilan negara bagi menghadapi cabaran untuk 50 tahun yang akan datang. Tonggak kekuatan orang Melayu selama ini adalah bertunjangkan semangat Ketuanan Melayu yang telah digunapakai sejak lebih dari 50 tahun dahulu. Justeru itu, semangat ini harus dipertahankan dan perlu diserlahkan supaya generasi muda Melayu dapat memahami tentang semangat Ketuanan Melayu ini.

Sekian Terima Kasih.

Wassalam

Allahuakbar !! Hidup UMNO !! Hidup Melayu !!

Pergerakan Pemuda UMNO Cawangan Jalan Enggang

Bahagian Ampang

Selangor

3 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Berita Sekitar Mengenai Pemilihan UMNO

Abdullah umum tanding jawatan Presiden

KUALA LUMPUR 14 April – Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, beliau akan mempertahankan jawatan Presiden pada pemilihan UMNO Disember ini.

Mengenai pelan peralihan kuasa, beliau berkata, perkara itu akan dibincangkan dengan timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menentukan bila ia akan dilaksanakan. – sumber Utusan

Rais tidak tanding pada pemilihan UMNO

14/04/2008 1:41pm

PUTRAJAYA 14 April — Menteri Luar dan anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Rais Yatim hari ini mengumumkan beliau tidak akan bertanding sebarang jawatan pada pemilihan Umno yang dijadual akhir tahun ini.

“Saya tidak ada hasrat untuk bertanding sebarang jawatan pada pemilihan parti akan datang. Sebagai anggota Majlis Tertinggi saya lebih suka memainkan peranan untuk menyatu dan mengukuhkan parti,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan delegasi 15 orang pemimpin politik dan ahli perniagaan dari Australia dan New Zealand di Wisma Putra di sini.

Beliau berkata pada masa ini ramai di kalangan pemimpin dan anggota Umno leka untuk bertanding pada pemilihan parti tetapi tiada yang berebut untuk menyatu dan mengukuhkan parti.

“Saya tidak mengejar apa-apa dalam pemilihan Umno. Kerja saya mulai sekarang ialah untuk menyatukan parti dan menjadikannya kuat semula,” katanya.

Sementara itu, Rais berkata adalah menjadi hak anggota Umno untuk meminta Perdana Menteri dan presiden Umno Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meletak jawatan atau mengumumkan pelan peralihan kuasa.

“Saya rasa jika pelan peralihan kuasa diumumkan, pemimpin-pemimpin di peringkat akar umbi akan tahu tempoh yang ditetapkan dan ia adalah baik untuk menstabilkan parti. Peringkat akar umbi sepatutnya dibenar menyatakan apa yang mereka rasa,” katanya.

Semalam, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Indsutri Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga naib presiden Umno berkata parti itu, yang merupakan tulang belakang kepada Barisan Nasional (BN), akan hanyut dan tidak boleh bangkit lagi sekiranya tidak dilakukan perubahan segera terhadap pucuk pimpinan parti.

Rais juga merasakan bahawa sistem kuota yang dikenakan untuk mereka yang ingin bertanding jawatan tertinggi dalam Umno, perlu dihapuskan.

“Sistem kuota yang diamal sekarang saya percaya adalah satu halangan kepada demokrasi. Era sistem itu telah berlalu. Jika kita tidak perbetulkannya sekarang, ia akan menjadi kesalahan paling besar dibuat oleh Umno. Parti-parti komponen lain tidak mempunyai sistem ini, hanya Umno,” katanya.

Beliau berkata sistem kuota yang dilaksanakan oleh Umno hanya akan menimbulkan amalam rasuah kerana pemimpin-pemimpin yang ingin bertanding jawatan itu perlu ’memujuk’ bahagian-bahagian untuk mencalonkan mereka.

“Walaupun ramai yang tidak mahu mendedahkan pemimpin-pemimpin yang melakukannya pada masa lepas, masalah itu ada dan telah berlaku. Sistem itu jelas menimbulkan kelam kabut jadi tidak ada sebab untuk mengekalkannya,” katanya. –  sumber BERNAMA

nota: muka-muka lama ahli MT seperti Dato’ Seri Utama Rais dan Dato Nazri Aziz sudah menyuarakan bahawa mereka tidak akan bertanding…ini memberi laluan kepada muka-muka baru untuk menjadi Ahli Majlis Tertinggi UMNO…Pak Lah telah menyatakan hasrat beliau untuk mempertahankan kerusi Presiden…Ku Li pula sebelum ini difahamkan ingin bertanding bagi kerusi yang sama sekiranya ada pencalonan utk beliau…diharap muka-muka baru sekiranya terpilih sebagai ahli MT dapat memberikan perkhidmatan terbaik demi perpaduan orang melayu. Walaubagaimanapun, Ahli Parlimen yang baru seperti Tan Sri Nor Yaakop telah menyatakan pendirian beliau untuk tidak bertanding sebagai ahli MT. Kerusi-kerusi panas seperti Ketua Pemuda, Puteri yang penyandangnya tidak akan mempertahankan kerusi tersebut sehingga hari ini masih belum ada pihak menyatakan berminat utk mengisi kekosongan selain dari Dato’ Sri Khir Toyo dan dato’ Mukhriz Mahathir. Naib ketua pemuda Khairy Jamaluddin masih lagi membisu tentang jawatan yang beliau ingin bertanding.

1 Comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda