Tag Archives: klpos

Mahfuz nafi wujud usaha ‘kahwinkan’ semula PAS dgn UMNO

sumber klpos

TIDAK semena-mena bertiup kencang cerita PAS sedang berunding dengan Umno untuk mengadakan kerjasama atau pakatan politik, kononnya demi ketuanan politik Melayu. Entah siapa yang memulakannya, tetapi ia telah tersebar luas di blog-blog dan juga berkeliaran dalam sms.

Ramai juga peminat politik yang percayakan desas-desus ini kerana mungkin logik juga kalau hendak dicarikan sebab mengapa PAS perlu bekerjasama dengan Umno. Tetapi ramai yang memandang jejek kepada perbuatan ini jika PAS berhasrat demikian.

“PAS tidak akan menjual maruahnya dengan harga yang murah kepada Umno, sebaliknya akan terus mempertahankan prinsip demi kepentingan dan kebajikan rakyat yang sudah lama dipijak-pijak oleh Umno/BN apatah lagi kini dengan kenaikan harga minyak, kerajaan Umno/BN tergamak membawa satu usul dalam perlimen bagi menghalalkan tindakan untuk menindas rakyat. Maka ternyatalah 129 ahli-ahli perlimen BN menyokong usul untuk menindas rakyat”

Tidak timbul isu ini benar atau tidak, kerana saya sudah pun menafikan adanya rundingan sulit untuk ‘mengahwinkan’ PAS dengan Umno. Lagipun perkahwinan politik seperti ini mungkin ‘tidak sah’ kerana antara PAS dan Umno memang tidak ‘sekufu’.

PAS mempunyai dasar Islam, sedangkan Umno ‘beraqidah’ Islam Hadhari. Jika Umno itu ‘ahli Kitab’ ada juga tendensinya, tetapi dengan Islam Hadhari ini PAS terpaksa menjauhkan diri.

Lagipun PAS amat tidak sekufu dengan Umno kerana PAS adalah parti yang masih suci, sedangkan Umno sudah terpalit dengan noda-noda rasuah, politik wang, kronisme, nepotisme dan macam-macam kebejatan yang lain.

Ada pihak yang berpandangan supaya PAS tidak harus ‘menjual mahal’ dalam konteks kepentingan politik nasional, tetapi isu yang berbangkit sekarang bukannya kepentingan negara, sebaliknya adalah kepentingan survival politik Umno itu sendiri.

Kerjasama ini adalah talian hayat yang amat diharapkan oleh Umno dan sudah tentu mereka sanggup bergolok-gadai untuk memenuhi keperluan PAS demi talian hayat ini.

PAS tidak akan menjual maruahnya dengan harga yang murah kepada Umno, sebaliknya akan terus mempertahankan prinsip demi kepentingan dan kebajikan rakyat yang sudah lama dipijak-pijak oleh Umno/BN apatah lagi kini dengan kenaikan harga minyak, kerajaan Umno/BN tergamak membawa satu usul dalam perlimen bagi menghalalkan tindakan untuk menindas rakyat.

Maka ternyatalah 129 ahli-ahli perlimen BN menyokong usul untuk menindas rakyat.

PAS akan terus memikul amanah dan kepercayaan rakyat kepada Pakatan Rakyat, dan akan terus memberikan pembelaan kepada rakyat yang ditindas oleh kerajaan BN.

Sejarah telah membuktikan bahawa PAS adalah parti yang paling terbuka di negara ini sehingga menjadi parti yang paling banyak menjalin kerjasama politik. Keterbukaan Islam yang didukung oleh PAS diterjemahkan melalui siri-siri kerjasama sama bukan sahaja dengan orang Melayu, bahkan semua kaum.

PAS pernah duduk semeja dengan Parti Kemerdekaan Malaya (IMP), MIC dan Persatuan Ceylonese Malaya dalam National Conference pada 1953, kemudian menyertai National Convention yang turut diserati oleh Umno dan MCA mulai September tahun yang sama.

PAS juga berpakat dengan parti-parti kiri ketika memperjuangkan kemerdekaan, sebelum bekerjasama dengan Dato’ Onn dalam pilihan raya 1959. Kerana kerjasama PAS Dato’ Onn menang di Terengganu.

PAS juga mempunyai hubungan yang baik dengan Sosialis Front pada 1959 dan 1964 walaupun pakatan itu dianggotai oleh pendukung sosialis seperti Parti Rakyat, Parti Buruh dan National Convention Party.

Selepas krisis politik 1969, PAS telah memilih untuk bekerjasama dengan Perikatan yang ketika itu sudah disertai oleh parti-parti dari Sabah dan Sarawak, selain PPP dan Gerakan.

Pada 1986, PAS bersama tiga parti lain menubuhkan Harakah Keadilan rakyat (HAK), di samping hubungan dengan masyarakat Cina melalui CCC.

Kemudian PAS menyertai pula Angkatan Perpaduan Ummah (1988-1996) dan Barisan Alternatif (1999-2008) sebelum Pakatan Rakyat ditubuhkan selepas pilihan raya ini. Inilah keterbukaan PAS!

Dengan Umno sendiri, PAS sudah dua kali berpengalaman. Pada 1953, atas usaha keras bapa Perdana Menteri, Ustaz Haji Ahmad Badawi, PAS meninggalkan Dato’ Onn dan National Conference untuk menyertai National Convention yang ditaja oleh Umno-MCA.

“Hari ini apabila Umno sudah tersepit, mereka mencari PAS semula seperti mana Tun Razak lakukan dahulu. Mereka sanggup tawarkan apa sahaja jika PAS bersedia. Tidak cukup dengan itu, dek cemburu oleh kejayaan kerajaan-kerajaan Pakatan Rakyat di lima buah negeri, mereka melancarkan perang saraf kononnya PAS sedang berunding dengan Umno. Mereka mahu PAS renggang dengan rakan Pakatan Rakyat dan terus menggoda PAS supaya terima sahaja tawaran mereka”

Apabila berunding tentang pilihan raya pertama, cadangan PAS untuk membela kepentingan orang Melayu dengan menolak jus soli dalam hak mengundi serta menambahkan wakil ekonomi Melayu dalam Dewan Undangan Persekutuan telah ditolak oleh Umno.

Umno bersikap demikian kerana menjaga kepentingan MCA.

PAS tidak dapat menerima kerjasama yang membunuh bangsa sendiri, lalu keluar daripada National Convention sebelum 1953 berakhir.

Apabila berlaku peristiwa 13 Mei 1969, PAS memandang kepentingan perpaduan nasional dan survival politik orang Melayu. Walaupun Muktamar Khas PAS meluluskan dengan majoriti mudah – sebagai tanda berat hati PAS – Kerajaan Campuran PAS-Perikatan dibentuk pada 1973.

Kemudian PAS bersama-sama parti lain menubuhkan Barisan Nasional pada 1974. PAS yang mencadangkan nama Perikatan ditukar kepada BN dan simbol dacing itupun dicadang oleh Dato’ Mohd Asri bagi menggantikan Kapal Layar.

Tun Ghafar Baba melukiskan simbol dacing itu. Tetapi Umno mengkhianati PAS dengan memainkan peranan untuk melagakan pimpinan PAS di Kelantan, kemudian didaruratkan Kelantan.

Akibat darurat itu, PAS kehilangan Kelantan yang dikuasainya sejak 1959. PAS terpaksa menentang usul mendaruratkan Kelantan kerana percaya ada tujuan politik sulit di sebalik undang-undang darurat itu.

Tetapi PAS tidak mengkhianati BN dengan keluar dari pakatan itu seperti yang dilakukan oleh PBS pada 1990 dahulu. Sebaliknya, Umno yang mencadangkan supaya PAS disingkirkan pada Disember 1977 dan akhirnya PAS tidak lagi sebulu dengan Umno.

Sejak itu, PAS sentiasa ditindas dalam berbagai-bagai isu seperti Pembunuhan Memali, Ops Lalang, Ops Kenari dan lain-lain. Namun, PAS masih bersedia duduk semeja dengan Umno ketika membantah isu nuklear dan isu Palestin kerana kepentingan kemanusiaan.

Hari ini apabila Umno sudah tersepit, mereka mencari PAS semula seperti mana Tun Razak lakukan dahulu. Mereka sanggup tawarkan apa sahaja jika PAS bersedia. Tidak cukup dengan itu, dek cemburu oleh kejayaan kerajaan-kerajaan Pakatan Rakyat di lima buah negeri, mereka melancarkan perang saraf kononnya PAS sedang berunding dengan Umno.

Mereka mahu PAS renggang dengan rakan Pakatan Rakyat dan terus menggoda PAS supaya terima sahaja tawaran mereka.

PAS sedar tawaran ini bukannya untuk menjayakan matlamat politik PAS, tetapi memberikan nyawa baru kepada Umno yang sudah tidak diyakini lagi oleh rakan-rakan BN mereka. Bila adalah wartawan mengatakan PAS adalah ‘real kingmaker’, Umno merasakan PAS pasti terjerat.

“Kalau kita percayakan khabar angin ini, maka kita seolah-olah tidak siuman sebenarnya, bahkan Umno sendiripun tidak siuman jika terus mewar-warkan berita palsu ini. Bukan PAS namanya jika kita meninggalkan harapan besar rakyat, kerana mengejarkan pangkat dan wang ringgit yang ditaburkan”

PAS tidak akan mengambil sikap demikian walaupun ada pandangan pemerhati politik picisan yang melihat bahawa PAS perlu memanfaatkan peluang ini jika mahu melaksanakan dasar-dasar Islam yang diperjuangkannya.

Pemerhati-pemerhati politik ini berpandangan bahawa PAS masih sukar ‘bernafas’ dalam Pakatan Rakyat yang ada DAP ini. Mereka membangkitkan keadaan di Selangor yang lebih ‘mesra kandang babi’ daripada ‘mesra masjid’.

Inilah peluang PAS untuk memaksa Umno melaksanakan Islam, kata mereka. Ada kebenarannya.

Tetapi kepimpinan PAS melihat bahawa tawaran kerjasama dengan Umno ini tidak akan membawa PAS ke matlamatnya, sebaliknnya menjadi alat untuk memulihkan semula Umno yang sudah parah itu.

Pada saya, walaupun banyak perkara yang perlu dirunding dan disepakati oleh parti-parti dalam Pakatan Rakyat yang memerintah di lima negeri, tetapi semua harus faham umur Kerajaan Pakatan Rakyat baru mencapai 100 hari dan amat memerlukan kesabaran komitmen semua pihak.

PAS tetap bersabar dengan karenah rakan-rakan yang baru belajar memerintah dan yakin rakan-rakan Pakatan Rakyat tidak memandang sebelah mata kepada PAS.

Kesemua pihak dalam Pakatan Rakyat mestilah boleh menerima dan memberi yang penting semua parti mesti setia sebagai rakan pakatan.

Ketiga-tiga parti mesti melihat bahawa setiap antara mereka ada wibawanya yang harus dihormati, dengan itu sahaja pakatan ini boleh dipertahankan.

Jika ketiga-tiga parti Pakatan Rakyat adil sesama senndiri, maka saraf Umno untuk memecahkan pakatan ini akan menjadi seperti menjual buah yang tidak laku dan akhirnya busuk begitu sahaja.

Tetapi, jika kita sengaja membiarkan ketidakpuasan hati ahli-ahli dan penyokong-penyokong pakatan di bawah, mungkin mereka akan berubah sikap terhadap pakatan ini. Sebab itu mungkin ada ahli dan penyokong-penyokong bersikap positif dengan desas-desus kerjasama ini.

PAS sudah beberapa kali belajar daripada ‘eksploitasi politik’ Umno ini dan adalah mustahil PAS dipatuk pada lubang yang sama sekali lagi.

Pimpinan tertinggi PAS sudah bertegas bahawa tidak akan ada rundingan dan kerjasama politik PAS-Umno selagi Umno dengan wajah yang sedia ada. Mursyidul Am PAS sudah bertegas dalam soal ini.

Pada masa ini ahli-ahli PAS atau ahli serta penyokong Pakatan Rakyat jangan terpengaruh dengan dakyah palsu ini. Ia adalah serangan minda untuk melumpuhkan Pakatan Rakyat bagi menyelamatkan masa depan Umno.

Pimpinan PAS amat sedar tentang siuman atau tidak untuk menerima kerjasama ini.

Kalau kita percayakan khabar angin ini, maka kita seolah-olah tidak siuman sebenarnya, bahkan Umno sendiripun tidak siuman jika terus mewar-warkan berita palsu ini.

Bukan PAS namanya jika kita meninggalkan harapan besar rakyat, kerana mengejarkan pangkat dan wang ringgit yang ditaburkan.

Lebih tidak siuman jika kagum dengan dunia sehingga melupakan perjuangan panjangnya. Adalah menjadi tanggungjawab PAS untuk mengukuhkan Pakatan Rakyat yang dibinanya dan ‘memuziumkan’ Umno bersama kebobrokannya.

nota: pada hemat penulis tidak salah sekiranya ada usaha-usaha untuk menyatukan semula UMNO-PAS sekiranya ia dilihat sebagai satu langkah utk memperkasakan umat ISLAM khususnya orang Melayu di Malaysia ini. Tidak dinafikan memang UMNO dahulu yang ‘menendang’ PAS keluar dari Perikatan pada satu masa dahulu. Tetapi itu adalah satu kisah yang lampau di mana setiap kesilapan yang dilakukan sama ada di pihak UMNO atau PAS pada zaman tersebut hendaklah dijadikan sempadan pada senario politik hari ini.  Tidak salah sekiranya di pihak UMNO atau PAS bersikap bertolak ansur dengan satu sama lain demi memperkasakan Agama Islam dan Bangsa Melayu yang mutakhir ini kurang dihormati oleh pihak lain.  Penulis percaya sekiranya terjalin satu perhubungan politik yang stabil di antara PAS dan UMNO, tidak mustahil Malaysia dapat dijadikan sebuah negara contoh terbaik baik dari segi pembangunan materialistik dan juga spiritualnya. Yang baik kita jadikan teladan dan yang buruk kita jadikan sempadan.

14 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

“Saya tinggalkan Anwar kerana prinsip Islam” Ezam

sumber klpos

KUALA TERENGGANU: Bekas Ketua Pemuda PKR, Mohamad Ezam Mohd Nor semalam bersumpah atas nama Allah SWT dan Rasul akan menghalang Datuk Seri Anwar Ibrahim dari menjadi Perdana Menteri kerana ‘prinsip seorang Muslim”.

Ezam yang berceramah di sini, semalam dilaporkan berkata, beliau sedia untuk ‘all-out’ bagi menghalang Anwar dari menjadi Perdana Menteri ‘atas sebab-sebab tertentu’.

“Saya bukan jenis orang yang suka mengaibkan orang lain, tapi jangan cabar saya,” kata Ezam di Dewan Tunku Abdul Rahman di sini.

Dalam ceramah bertajuk ‘Mempertahankan Perjuangan Pengasas Bangsa’ itu, Ezam menjelaskan politik cara Anwar Ibrahim akan menghancurkan kestabilan negara dari segi keselamatan dan ekonomi.

Dalam ceramah sulung di pentas UMNO itu, Ezam yang pernah berkhidmat sebagai setiausaha politik Anwar berkata, tindakan beliau meninggalkan bekas boss nya itu semata-mata atas dasar prinsip.

Menurut beliau, biarpun ada dakwaan kononnya beliau disogok jutaan ringgit serta jawatan tertentu oleh UMNO, namun hakikat sebenarnya adalah beliau hilang kepercayaan pada perjuangan PKR.

“Dengan nama ALLAH saya tinggalkan Anwar atas prinsip sebagai seorang Muslim yang berpegang kepada prinsip Islam yang tidak membenarkan saya membantu beliau menjadi pemimpin dalam apa cara sekalipun,” kata Ezam.

Jelas Ezam, sejak mengumumkan menyertai UMNO, beliau menjadi mangsa fitnah pihak tertentu.

Katanya, beliau tidak gentar sama sekali dengan fitnah-fitnah tersebut bahkan beliau memberi amaran bahawa kesabarannya ada batas.

“Saya tidak suka aibkan orang, tapi kalau terus memfitnah saya akan gempur habis-habisan,” katanya.

Turut hadir dalam ceramah tersebut adalah Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wan Farid Wan Salleh.

nota: kini orang kanan dsai sudah bersuara…apakah prinsip ISLAM yang diperkatakan oleh Ezam sehingga beliau bertindak meninggalkan perjuangan DSAI itu sendiri?? Diharap saudara ezam dapat memberi pendedahan demi menyelamatkan Malaysia dari dipimpin oleh seorang yang songsang amalannya.

32 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Hadiah’ untuk pengundi Pakatan Rakyat di Selangor

KIRA-KIRA 10 tahun lalu, penduduk di sebuah taman perumahan yang majoritinya beragama Islam di Shah Alam, gempar apabila tersebar berita sebuah gereja yang terbesar di Asia Tenggara, bakal dibina berhampiran di kawasan mereka.

Ekoran itu, penduduk dan jawatankuasa masjid berhampiran menubuhkan jawatankuasa bertindak membantah cadangan pembinaan gereja itu dengan menyerahkan memorandum kepada pihak berkuasa termasuk Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.

Malah, jawatankuasa berkenaan turut menganjurkan forum yang mana salah seorang daripada ahli panel ialah peguam, Mohamed Hanipa Maidin, yang juga Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, yang menjelaskan secara panjang lebar mengenai kedudukan agama Islam dalam Perlembagaan.

Setelah isu itu senyap, tiba-tiba rakyat negara ini dikejutkan dengan kenyataan Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin negeri, Dr. Xavier Jayakumar selepas mengadakan pertemuan dengan pemimpin bukan Islam daripada pelbagai kaum, Jumaat lalu.

Tanpa menghiraukan sensitiviti masyarakat Islam, Dr. Xavier memaklumkan cadangan kerajaan negeri menghapuskan peraturan keluasan rumah ibadat bukan Islam yang tidak boleh melebihi 10,000 kaki persegi atas alasan larangan terhadap saiz, panjang dan ketinggian itu tidak lagi sesuai.

Sambil meminta pemaju perumahan mengambil kira keperluan penduduk bukan beragama Islam agar menyediakan tapak yang lebih luas berbanding hanya 0.4 hektar sahaja ketika ini, beliau juga berjanji akan menambah peruntukan tahunan kepada rumah ibadat bukan Islam daripada RM3 juta ketika ini.

Dr. Xavier mungkin menyedari langkah itu bakal mendapat pujian masyarakat bukan Islam yang akan mengangkatnya sebagai ‘pejuang’, di samping menggunakan sepenuhnya peluang menduduki kerusi Exco kerajaan negeri ketika pakatan pembangkang berkuasa.

Persoalannya di mana suara wakil-wakil Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) lain yang beragama Islam. Meskipun ia baru di peringkat cadangan, tetapi adakan disebabkan alasan untuk memenuhi keperluan penganut agama lain, mereka sedia bertolak-ansur mengenai perkara itu.

Adakah pemimpin-pemimpin Pas negeri kini semakin menyimpang daripada matlamat membina negara Islam yang menjadi wadah perjuangan mereka selama ini, sehingga sanggup mendengar sahaja kenyataan seorang pemimpin yang satu ‘selimut’ dengan mereka mahu menghapuskan peraturan mempertahankan kedudukan Islam seperti termaktub dalam perlembagaan, sesuatu yang sentiasa tidak disenangi puak- puak cauvinisme.

Tenggelam nada itu disuarakan bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo yang melihat biarpun ada wakil Pas dalam barisan kerajaan negeri, tetapi perjuangan Islam mereka seperti tenggelam manakala PKR pula asyik dengan konsep kesamarataan mereka, hatta terhadap masjid atau surau dengan rumah ibadat bukan Islam.

Baginya, cadangan itu sekiranya dipersetujui, seakan memberi lampu hijau bahawa rumah ibadat boleh dibina tanpa sebarang had walaupun di kawasan perumahan yang didiami pelbagai kaum sedangkan selama ini peraturan yang hendak dihapuskan itu berlandaskan garis panduan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, berupaya memastikan keperluan sesuatu rumah ibadat di Selangor seimbang dengan jumlah penganutnya sekali gus dapat memelihara keharmonian kaum.

Di Selangor, penduduk beragama Hindu berjumlah kira-kira 700,000 orang tetapi mempunyai lebih 1,000 kuil sedangkan hanya terdapat 380 masjid di seluruh negeri dengan jumlah penduduk beragama Islam seramai empat juta orang.

Bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan negeri, Iskandar Abdul Samad sambil mempertahankan cadangan itu berpendapat, walaupun tidak ada had dari segi saiz, namun pembinaan rumah ibadat bukan Islam tetap tertakluk kepada peraturan dengan mengambil kira sensitiviti penduduk setempat.

Timbalan Pesuruhjaya 3 Pas Selangor yang juga Yang Dipertua Pas Pandan itu melihat cadangan berkenaan mampu mengawal bilangan rumah ibadat bukan Islam yang dibina secara haram.

Beliau memberikan contoh di sebuah penempatan setinggan di Selayang yang mempunyai sehingga 20 buah kuil Hindu.

“Mungkin keperluan penduduk kawasan itu tidak mencukupi, jika dibina sebuah kuil yang besar, ia sudah memadai dan tidak akan ada lagi kuil-kuil pada jarak hanya beberapa ratus meter sahaja antara satu sama lain.

“Oleh itu saya melihat cadangan ini tidak menimbulkan masalah kerana pembinaannya tetap tertakluk kepada syarat dan hanya sesuai di penempatan majoriti bukan Islam, bukan boleh dibina dengan sewenang-wenang sahaja.

“Hak orang bukan Islam pun perlu dijaga, itu hak mereka dengan syarat mereka tidak menjejaskan atau mengancam hak orang lain. Boleh besar tetapi kena tengok tempat, jika menyebabkan sensitiviti umat Islam, ia tidak seharusnya dibina,” katanya yang mengakui perkara itu pernah disentuh mesyuarat Exco tetapi belum ada kata putus dicapai.

Beliau menolak tanggapan Pas bersetuju dengan cadangan itu demi kepentingan politik kerana menurutnya, jika tidak ditangani dengan betul, ia boleh menimbulkan kemarahan penduduk Melayu pula.

Apa pun, hakikatnya peraturan yang mengehadkan saiz itulah yang mahu dihapuskan Dr. Xavier, yang mungkin tidak disedari oleh Iskandar.

Tidak mustahil apabila dihapuskan peraturan itu, kita boleh melihat rumah ibadat bukan Islam yang menyamai keluasan Masjid Shah Alam memandangkan mereka sudah tentu tidak akan menghadapi masalah dari segi kewangan.

Sudah banyak orang Melayu beralah kepada tuntutan dan desakan kaum lain, jadi sebelum terlambat, kata putus perlu dicapai bagi memastikan suasana harmoni yang dinikmati sebelum ini, teguh terpelihara.

Setelah berkeras mahu melaksanakan projek ternakan babi yang didakwa menggunakan sistem termoden di Sepang, pakatan pembangkang di Selangor terus ‘menunaikan janji’ dengan menghadiahkan sesuatu yang tidak dijangka oleh umat Islam, semata-mata atas prinsip kesamarataan. sumber klpos

nota: Di mana suara Hassan Ali…?? adakah dia sedang lena dibuai oleh sikap tamakkan kuasa atau diam  membisu akibat dirantai dengan perjanjian kuasa yang dibuat oleh Pakatan Rakyat..?? Berapa ramai pemimpin Pas yang bersuara demi menegakkan dan mempertahankan kedaulatan umat Islam di Selangor atau mereka semua sudah menukar impian mereka dari ingin melihat sebuah kerajaan Islam kepada sebuah kerajaan berkebajikan yang pruden tanpa berpaksikan Islam??

4 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda