Tag Archives: MAIPP

Isu Pegawai Agama bukan berlaku di Perak..malah menjadi isu di Pulau Pinang juga

artikel ini diterbitkan di dalam utusan semalam. ada kemungkinan semalam adalah cuti umum, maka isu ini kurang mendapat perhatian ramai.

MAIPP: Shabudin letak jawatan YDP

TASEK GELUGOR 7 April – Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP), Shabudin Yahaya hari ini mengumumkan peletakan jawatannya selaras dengan kehendak kepimpinan kerajaan negeri baru.

Beliau berkata, surat peletakan jawatan itu telah dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 15 April lalu untuk memaklumkan perkara tersebut.

”Sebagai Ketua Agama Negeri Pulau Pinang, Seri Paduka berhak dimaklumkan tentang perkara ini kerana tuanku yang telah melantik saya dan ahli-ahli MAIPP yang lain bermula 1 Januari 2008 hingga Disember 2009,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Peletakan jawatan itu juga dibuat ekoran desakan oleh kerajaan negeri campuran DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang mahu memberikan jawatan itu kepada calon baru yang akan dipilih kelak.

Menurut Shabudin, prosedur pelantikan ahli-ahli MAIPP perlu mengikut Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Pulau Pinang) 2004 yang memperuntukkan Majlis Mesyuarat Kerajaan menasihat Yang Dipertuan Agong.

Beliau berkata, desakan oleh ahli Pas dan PKR supaya beliau meletak jawatan merupakan satu perkara yang tidak boleh diterima kerana jawatan itu dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.

Dalam pada itu, beliau turut mengadakan pertemuan dengan Ahli-ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) bagi memaklumkan cadangan peletakan jawatan itu.

Ini kerana, katanya, semua ahli JKKK dilantik dan dibayar elaun oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) dan tidak munasabah bagi mereka bekerja dengan kerajaan baru.

Sehubungan itu, Shabudin berharap kerajaan negeri sekarang melantik ahli JKKK dan membentuk pentadbiran sendiri tanpa perlu bergantung kepada jentera BN.

”Kita tidak mahu timbul konflik kepimpinan dengan ahli JKKK yang lama dan berharap mereka semua faham bahawa perubahan politik telah berlaku di Pulau Pinang,” katanya.”

“Saya diminta terus terajui MAIPP – Shabudin

Oleh ABDUL MUIN SAPIDIN

TASEK GELUGOR 1 Mei – Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin menolak peletakan jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Berangan, Shabudin Yahaya sebagai Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP).

Sehubungan itu, Shabudin yang telah mengumumkan peletakan jawatannya pada 8 April lalu selaras dengan kehendak kerajaan negeri yang baru telah diminta meneruskan tugasnya sehingga tempoh watikah pelantikan berakhir pada 31 Disember tahun depan.

Menurut Shabudin, beliau bersama ahli majlis MAIPP telah diminta menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Terengganu, Kuala Lumpur pada 28 April lalu untuk memberi penjelasan berhubung peletakan jawatan tersebut.

‘‘Tuanku Mizan berpendapat semua ahli majlis (MAIPP) yang lain perlu meneruskan tugas dan tanggungjawab sehingga berakhir tempoh watikah pelantikan.

‘‘Baginda juga meminta segala perancangan dan usaha yang dirancang untuk kepentingan umat Islam sebelum ini diteruskan bagi mencapai kejayaan yang diharapkan,” katanya.

Shabudin ditemui pada majlis lawatan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Ara Kuda di sini hari ini.

Pada 8 April lalu, Shabudin mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Yang Dipertua MAIPP selepas menerima desakan daripada kerajaan negeri pimpinan DAP-Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang mahu jawatan itu diberi kepada calon baru.

Perkembangan itu sekali gus memberi tamparan hebat kepada kerajaan negeri pimpinan DAP dan PKR yang sebelum ini mendesak Shabudin meletakkan jawatan selepas pakatan pembangkang menguasai Pulau Pinang pada pilihan raya umum lalu.

Shabudin dilantik sebagai Yang Dipertua MAIPP berkuat kuasa 1 Januari 2008 hingga Disember 2009.

Menurut Shabudin, pihaknya yakin perkara tersebut sudah sampai kepada pengetahuan pimpinan kerajaan negeri.”

nota: syukur ke hadrat Illahi, negara kita masih mempunyai Agong yang menjaga perihal agama Islam di negeri-negeri yang tidak mempunyai Sultan. Apakah nasib YDP MAIPP ini sekiranya tanggungjawab perihal agama Islam di Pulau Pinang terletak di atas kuasa ketua menteri atau exco negeri sahaja??

Daulat Tuanku!

1 Comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda