Tag Archives: melayu boleh

Melayu rugi berpecah- Titah TM Pahang

sumber mstar

KUANTAN 19 Jun – Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah melahirkan kebimbangan terhadap perpecahan di kalangan orang Melayu kerana ia boleh mendatangkan kesan yang merugikan masa depan kaum itu.

Baginda bertitah, apabila orang Melayu tidak bersatu, mereka seolah-olah menyerah dan melepaskan kuasa yang ada dan akhirnya boleh mengakibatkan bukan sahaja orang Melayu tidak relevan malah agama Islam juga terpinggir.

Sehubungan itu, Tengku Mahkota menyarankan agar perpaduan Melayu digerak dan diusahakan tanpa berlandaskan sebarang fahaman atau ideologi politik.

Dalam masa sama, baginda berharap, institusi raja Melayu tidak seharusnya dianggap musuh oleh pihak tertentu di negara ini sebaliknya perlu mempunyai semangat ‘wujud bersama’ bagi menjamin kesejahteraan dan kedaulatan negara.

Tengku Mahkota Pahang bertitah, adalah tidak adil sesetengah pihak mempertikaikan peranan raja-raja Melayu kerana kemakmuran dan kemajuan yang dikecapi negara ketika ini turut disumbangkan oleh golongan terbabit.

”Kita seharusnya memahami peranan kita sesama sendiri, bukan menjadikan institusi raja Melayu sebagai musuh pula. Saya berasa terkilan juga dengan pihak-pihak yang cuba mempersoalkan peranan raja-raja,” titah baginda dalam satu wawancara yang disiarkan menerusi portal rasmi kerajaan negeri Pahang.

Baginda menegaskan, raja adalah penjaga negeri, pelindung hak orang Melayu dan ketua kepada semua kaum.

“UMNO patut mengambil kira tentang cara-cara untuk mengukuhkan institusi raja Melayu. Bukannya kita hendak kuasa lebih tetapi kita perlu kaji supaya institusi ini tidak boleh diperkotak-katik, dipersenda atau diperkecilkan oleh mana-mana pihak,” titahnya.

Mengulas keadaan negara, tegas baginda, Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu menunjukkan seolah-olah cita rasa dan buah fikiran rakyat sudah berbeza dan ini yang mungkin Barisan Nasional (BN) dan pemimpinnya tidak menyedari atau terlepas pandang.

1 Comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Perpaduan Umat Islam dan Melayu–4 pemimpin duduk semeja?

dari agendadaily

Bayangkan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim duduk semeja bincang bagi meleraikan kekusutan membabitkan umat Islam dan orang Melayu.

Bagi pihak Menteri Besar Kelantan ia tidak jadi hal. “Lama dah kita (PAS) minta nak diadakan pertemuan seperti ini tetapi UMNO yang tidak mahu”,katanya kepada para wartawan di Kota Bharu Isnin sebagai mengulas cadangan yang dibuat oleh Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin itu.

Dr Mohd Asri Zainul Abidin mengesyorkan empat pemimpin utama Melayu itu duduk semeja bagi membincangkan kepentingan umat Islam yang kedudukannya semakin meruncing.

Nik Aziz berkata senario sekarang adalah masa yang sangat sesuai untuk diadakan pertemuan penting sebegitu kerana jika dibiarkan berlanjutan, ia akan memburukkan lagi keadaan.

“Sekarang Melayu sama Melayu dah bertengkar tetapi keikhlasan sebenarnya ada dalam PAS dan bukannya dalam UMNO selagi dia pegang kepada (konsep) nasionalis,” katanya.

“Bila pembangkang dah dapat lima negeri (selepas pilihan raya umum lalu) baru timbul nak adakan pertemuan,” katanya.

Sementara itu Ahli Parlimen Jerlun Datuk Mukhriz Mahathir yang ditemui lepas satu majlis di PWTC,Kuala Lumpur petang Isnin untuk mengulas hal berkenaan menyambut baik cadangan Dr Mohd Asri dan kesanggupan Nik Aziz untuk duduk semeja dengan bapanya,Perdana Menteri dan Penasihat Parti Keadilan Rakyat untuk tujuan berkenaan.

Katanya beliau mengalu-alukan apa juga usaha untuk menyatupadukan orang-orang Melayu.

Menurut Mukhriz perkara tersebut pernah dibuat dalam MAPEN dulu khusus mengenai ekonomi tetapi kurang mendapat sambutan.

nota: penulis amat bersetuju sekiranya keempat2 pemimpin Melayu di atas dapat duduk semeja dan berbincang mengenai masa depan orang Melayu. Kepentingan politik harus diketepikan tatkala perbincangan ini bermula. Perbincangan ini hendaklah dibuat atas dasar ikhlas dan bukannya bagi meraih populariti politik semata-mata. Diharap pertemuan ini dapat diadakan dalam tempoh yang terdekat.

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Nazrin: Kestabilan minda Melayu penting

sumber dari malaysiakini

“Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah bertitah bahawa sebarang pandangan prejudis antara kaum di negara ini dapat dihilangkan jika minda masyarakat Melayu berada dalam keadaan stabil dan selesa, seterusnya hubungan harmoni akan terjalin.

Baginda bertitah kestabilan minda masyarakat Melayu amat penting dan ia adalah satu prasyarat kepada kestabilan negara.

“Agama Islam, kedaulatan Raja-Raja Melayu, Bahasa Melayu dan kedudukan istimewa orang Melayu adalah antara perkara yang tidak pernah lepas daripada perhatian Raja-Raja Melayu.

raja nazrin and malay malaysia sultan sultanate power”Raja-Raja Melayu amat memahami bahawa kestabilan politik negara sangat bergantung kepada persediaan minda orang-orang Melayu menghadapi perubahan,” titah baginda ketika menyampaikan titah sembah setia sempena sambutan Hari Keputeraan Ke-80 Sultan Perak Sultan Azlan Shah di Istana Iskandariah di Kuala Kangsar hari ini.

Turut berangkat di majlis tersebut ialah Raja Pemaisuri Perak Tuanku Bainun, Raja Dihilir Perak Raja Jaffar Raja Muda Musa, Raja Puan Muda Raja Normahani Raja Shahar Shah, kerabat diraja Perak, Menteri Besar Mohammad Nizar Jamaluddin, barisan exco kerajaan negeri, ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan.

Menurut laporan Bernama, Raja Dr Nazrin bertitahnya sejak Durbar pertama yang berlangsung di Kuala Kangsar pada 13 Julai 1897, Raja-Raja Melayu terbukti sentiasa memberi perhatian dan menyuarakan kepentingan orang Melayu dan agama Islam.

Oleh itu titah baginda, dengan perkenan Sultan Perak, baginda akan berusaha dan merintis langkah ke arah memastikan pemikiran serta persepsi orang-orang Melayu tidak akan membawa mereka berada dalam kegelisahan dan ketidakstabilan.

Keyakinan terhadap Raja

Baginda bertitah Raja menjadi pilihan rakyat untuk bernaung ketika merasakan kedudukan diri mereka sebagai pribumi bagaikan tergugat dan ia merupakan satu penghormatan serta keyakinan terhadap Raja ketika rakyat cemas menghadapi krisis.

Raja Dr Nazrin mahu seluruh rakyat menerima realiti bahawa Malaysia mempunyai pelbagai kaum dan usaha memupuk perpaduan dan usaha mengikis sebarang prasanga negatif antara kaum adalah menjadi agenda penting serta satu prasyarat kepada kestabulan politik di samping menjadi keperluan untuk jaminan ketenteraman awam.

“Bumi Malaysia haruslah mengamalkan satu kesaksamaan yang tidak membenarkan berlaku diskriminasi atau tindakan negatif berunsur rasis. Semangat berpijak di bumi sama, dan menjunjung langit yang sama perlu dipupuk dan dihayati supaya terbina kekuatan warga yang teguh berpadu, cekal bersatu lalu sama-sama dapat membangunkan sebuah negara merdeka yang kekal berdaulat,” titah baginda.

Selain itu Raja Dr Nazrin bertitah baginda akan memastikan bahawa institusi agama yang berada di bawah bidang kuasa Sultan Perak seperti masjid, surau dan institusi pendidikan Islam akan dijadikan alat penyatuan dan tidak dibenarkan menjadi pentas politik yang boleh membawa perpecahan.

Baginda bertitah masyarakat Islam akan rugi jika terus bertelagah dan berselisih hingga akhirnya “yang menang menjadi arang dan yang kalah menjadi abu” kerana Islam menyeru kepada perpaduan dan amat menekan aspek perdamaian serta mengajak umat untuk membina semangat ukhuwah di samping menjalinkan silaturrahim.

“Umat Islam hari ini bukan umat yang kuat, baik di dunia begitu juga di negara ini. Umat Islam tidak boleh berpecah kepada kumpulan-kumpulan kecil hingga akhirnya menjadi umat yang lebih lemah. Umat Islam jangan terlalu taksub berselisih hingga ke peringkat `berkerat rotan, berpatah arang’. Umat Islam haruslah arif lagi bijaksana memastikan antara permata dan kaca,” titah baginda.

Raja Dr Nazrin bertitah umat Islam perlu berpegang kepada ‘semangat kiambang yang akan kembali bertaut sebaik biduk berlalu’ kerana mampu menjadi tenaga yang kuat jika mengamalkan semangat bermaaf-maafan, memberi dan menerima, semangat musyawarah dan persaudaraan yang akan membawa penemuan kata sepakat.

Kuasa memerintah

Menteri Besar dalam ucapan persembahan tahniah dan setianya, berkata kerajaan negeri sedang merangka pelan strategik yang berteraskan prinsip-prinsip amanah, adil, telus dan berkebajikan di samping meneruskan agenda pembangunan yang telah dirancang oleh kerajaan terdahulu.

“Keutamaan yang akan patik dan kerajaan lakukan hari ini ialah program-program yang memberi kebajikan dan kesejahteraan rakyat…kerajaan negeri berazam meneruskan dan memperkukuhkan dasar pembangunan negeri berpaksikan prinsip dan nilai sejagat,” kata Mohammad Nizar yang mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar pada 17 Mac lalu.

Sebuah kerajaan yang diberi kuasa memerintah dan mentadbir negeri serta rakyatnya adalah amanah besar daripada Allah s.w.t, katanya.

“Menyedari hakikat…maka sayugialah kerajaan itu melaksanakan tanggungjawab selari dengan ketetapan Allah S.W.T. yakni menegakkan yang makruf dan mencegah kemungkaran serta menjadi ‘negara berkebajikan dan mendapat keampunan’,” katanya.

Mohammad Nizar juga berkata kerajaan negeri akan sentiasa memelihara dan meningkatkan kestabilan sosioekonomi dan politik, kedaulatan institusi Raja, adat istiadat dan juga agama.

“Kerajaan negeri di bawah bimbingan patik sangat mengharapkan bimbingan dan teguran Paduka Seri Tuanku yang adil lagi bijaksana agar pemerintahan hari ini akan lebih maju, aman, makmur, amanah dan berkebajikan…Insyallah kerajaan yang ada sekarang tidak akan mensia-siakan hasrat rakyat Perak yang telah membuat perubahan.

“Patik akan sentiasa mendukung institusi Raja Berperlembagaan di negeri ini yang sentiasa merupakan sebahagian sejarah dan sistem berkerajaan di bumi Melayu. Patik akur dan menyedari bahawa institusi Raja Berpelembagaan akan kekal relevan dan memenuhi peranan besar pada sepanjang masa seiring dengan undang-undang tubuh negeri yang menyatakan bahawa kuasa pemerintah negeri hendaklah terletak hak kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku,” katanya.”

nota: Daulat Tuanku!

1 Comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

BN perlu sokongan Cina, India

KUALA LUMPUR 16 April – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Barisan Nasional (BN) akan mengambil beberapa tindakan bagi memperoleh semula sokongan daripada kaum Cina dan India.

Timbalan Perdana Menteri menegaskan, sokongan daripada kaum Cina dan India penting untuk menjamin kemenangan BN pada masa depan.

“BN akan melakukan sesuatu, maknanya merumuskan pelan strategi sesuai untuk menarik balik sokongan kaum Cina dan India, bagaimanapun saya tidak akan nyatakannya sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas mengetuai anggota Jawatankuasa Pengurusan UMNO mengadakan pertemuan tertutup dengan para pemimpin UMNO Selangor di sini hari ini.

Pertemuan tertutup yang melibatkan kira-kira 1,000 pemimpin UMNO Selangor itu turut dihadiri Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Ketua Penerangan, Senator Tan Sri Muhammad Muhd. Taib dan Bendahari UMNO, Datuk Seri Abdul Azim Mohd. Zabidi.

Hadir sama, Ketua Pergerakan Wanita, Datuk Seri Rafidah Aziz; Ketua Pergerakan Pemuda, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Ketua Pergerakan Puteri, Datuk Noraini Ahmad.

Najib turut memberitahu, beliau telah mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa pengurusan BN hari ini yang dihadiri semua presiden-presiden parti komponen lain.

Katanya, dalam mesyuarat itu kesemua parti komponen BN telah bersetuju agar mesyuarat jawatankuasa pengurusan akan diadakan sebulan sekali untuk membincangkan pelbagai perkara.

“Kesemua pemimpin parti komponen BN bersetuju untuk mengamalkan pendekatan berunding dengan lebih kerap serta merapatkan lagi hubungan di antara parti-parti komponen,” katanya.

Mengenai perjumpaan dengan para pemimpin UMNO Selangor, beliau memberitahu, perjumpaan itu berjalan dengan baik yang mana para pemimpin terlibat telah memberi pandangan serta maklum balas berguna kepada jawatankuasa pengurusan parti.

Katanya, perkara-pekara yang dibangkitkan di dalam pertemuan itu ialah mengenai penentuan calon pilihan raya umum.

Ujar beliau, mereka mahukan kaedah penilaian calon bagi pilihan raya umum perlu berasaskan pada penilaian tepat agar calon yang bertanding disenangi ahli akar umbi serta orang ramai.

“Perkara peralihan kuasa juga dikemukakan dalam pertemuan itu dan saya menyatakan perkara ini akan ditentukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada masa serta ketika yang sesuai di samping mengambil kira kaedah bagi kepentingan parti,” katanya.

Ditanya pada pertemuan di antara Abdullah dengan para pemimpin UMNO Johor minggu lalu ada disebut Perdana Menteri akan berundur pada tahun 2010, Najib memberitahu, pada masa ini, tidak ada pernyataan mengenai tarikh peralihan kuasa.

Beliau memberitahu, bila tiba masanya Perdana Menteri akan memberi satu panduan yang jelas tentang peralihan kuasa itu.

Ditanya adakah tempoh masa akan ditentukan oleh UMNO, Najib menegaskan, beliau tidak boleh mendesak bila tempoh itu akan berlaku kerana ia perlu diputuskan serta adalah lebih sesuai ia dinyatakan sendiri oleh Perdana Menteri.

Ujar beliau, pada masa ini, perkara yang paling penting ialah para pemimpin dan ahli-ahli UMNO perlu bersatu dan bekerja sebagai satu pasukan untuk memulihkan UMNO.

Najib memberitahu, UMNO tidak boleh berpecah dan semua anggota parti perlu bekerjasama sebagai satu pasukan. – sumber utusan

nota: keputusan PRU12 yang lepas jelas menunjukkan bahawa kebanyakan kerusi yang BN tewas adalah akibat kegagalan untuk meraih minat pengundi CINA dan INDIA…terdapat berbagai isu yang dimainkan oleh Pakatan Rakyat sehingga berjaya mengaburi mata pengundi bukan Melayu…Antara sentimen seperti Undi BN adalah undi Undi UMNO, isu Malaysian Malaysia, dan isu Melayu sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang telah berjaya menakutkan pengundi yang selama ini merasa kemakmuran negara melalui undi mereka bersama Barisan Nasional. Apa-apa pun langkah BN bagi merapatkan kembali hubungan dengan semua parti komponen hendaklah diambil dengan teliti. Ini disebabkan parti komponen seperti IPF terang-terang menyatakan bahawa undi ahli mereka pada PRU yang lepas diberikan kepada Pakatan Rakyat dan bukan nya Barisan Nasional. Adakah parti komponen seperti ini harus dikekalkan di dalam Barisan Nasional….atau lebih elok lagi digugurkan terus dari BN akibat sikap tikam belakang semangat kerjasama semua parti Komponen Barisan Nasional.

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda