Tag Archives: Mohd. Saiful Bukhari Azlan

Transkrip soal jawab sidang media Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak

-mstar

PERTAMANYA saya hendak ulangi bahawa apa-apa perkara yang disebut boleh dianggap subjudice kerana kes ini masih dalam perbicaraan dalam mahkamah.

Namun demikian, saya ingin mengulangi dan menyatakan dengan setegas-tegasnya bahawa saya tidak pernah mengenali atau berjumpa dengan wanita Mongolia yang disebut dalam akuan bersumpah itu. Oleh itu akuan bersumpah itu saya anggap sebagai satu pembohongan yang amat dahsyat dan rekaan semata-mata dan berniat jahat berunsur fitnah dan bertujuan untuk mencemar imej saya.

Saya amat yakin bahawa tindakan ini merupakan satu usaha yang terdesak atau very desperate attempt oleh (Datuk Seri) Anwar Ibrahim untuk mengalih pandangan daripada tuduhan liwat yang beliau hadapi sekarang.

Apa yang penting sekarang ini ialah bukan apa-apa perkara yang dibangkitkan sebagai mengalih pandangan orang ramai, tetapi rakyat hendak tahu sama ada perkara itu, kes liwat itu berlaku atau tidak. Saya harap pihak berkenaan akan siasat sepenuhnya dan buat ketetapan dan buat pengumuman untuk pengetahuan umum secepat mungkin.

Berhubung akuan bersumpah ini, oleh kerana akuan bersumpah ini bercanggah dengan kenyataan di mahkamah dan juga dengan laporannya pada pihak polis, maka saya menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat sepenuhnya. Pihak bertanggungjawab mesti sanggup menerima apa-apa tindakan akibat perbuatannya itu sekiranya pihak berkuasa mendapati ada kesalahan dari segi undang-undang.


Soalan: Adakah Datuk Seri akan membuat lpaoran polis atau mengambil tindakan undang-undang.?

Jawapan: Setakat ini saya menyerahkan kepada polis untuk ambil tindakan, tetapi saya ada hak juga sebagai warganegara. Soalnya kenapa berlaku sekarang, bila kes liwatnya (Anwar) timbul, tiba-tiba semua pihak diserang. Ketua Polis Negara diserang, Peguam Negara di searang, saya diserang. Kenapa sekarang, persoalannya? Jadi kita tidak boleh alih daripada isu utama. Isu utama ialah kita hendak tahu sama kes liwat itu berlaku atau tidak. Ini yang kita hendak tahu.


Soalan: Mengapa Datuk Seri fikir Anwar serang Datuk Seri secara peribadi?

Jawapan: Saya tidak tahu. Mungkin dia anggap saya di belakang budak ini (Mohd. Saiful Bukhari Azlan). Sebenarnya tidak ada konspirasi. Budak ini datang jumpa saya kerana mengadu hal bahawa dia telah diliwat oleh Anwar. Saya mula-mula tidak yakin sama ada cerita ini benar atau tidak. Jadi saya menyerah kepada dia untuk serah pada polis untuk menentukan apa-apa tindakan selanjutnya. Saya terima kedatangannya atas sifat saya sebagai pemimpin dan dia sebagai rakyat biasa yang ingin mengadu pada saya. Saya tidak pernah mengenali beliau sebelum ini.


Soalan: Bila dia datang jumpa Datuk Seri.

Jawapan: Beberapa hari lalu, tetapi saya hanya beritahu dia, terpulanglah kepada dia.

Soalan: Beberapa hari lalu sebelum dia (Saiful) buat laporan polis?

Jawapan: Sebelum dia buat laporan polis. Tetapi saya sceptical (kurang percaya). Saya tidak pasti sama ada terdapat sebarang asas, sama ada dia berkata benar. Saya agak bimbang, jadi saya kata, terpulanglah pada dia.

Soalan: Mengapa dia datang berjumpa Datuk Seri?

Jawapan: Mungkin kerana dia memerlukan bantuan dan dia kenal salah seorang pegawai saya.
Soalan: Setelah mendengar keterangan Saiful, Datuk rasa ada asas?

Jawapan: Saya nampak dia seolah-olah berkata benar sebab saya nampak dia dalam ketakutan. Tangannya seram sejuk. Tetapi saya tak berani buat kesimpulan jadi saya nasihatkan “awak sendiri buat keputusan.” Dia ceritakanlah segala-galanya yang berlaku.

Soalan: Apa yang dia cerita….?

Jawapan: Oh banyak, cerita-cerita itu banyak. Satu hari nanti saya mungkin boleh cerita, tetapi selepas kes mahkamah.

Soalan: Datuk Seri nasihatkan dia buat laporan polis?

Jawapan: Tidak. Saya katakan pada dia, terpulanglah kepada dia. Saya sendiri tidak pasti sama ada dia akan buat laporan polis atau tidak.
Soalan: Datuk Seri bersedia untuk beri keterangan pada polis?

Jawapan: Mengapa saya, saya dengar saja. Keterangan daripada dia, bukan saya.
Soalan: Adaka Datuk Seri mempunyai hubungan seksual dengan wanita itu?

Jawapan: Tidak. Sekali-kali tidak.

Soalan: Adakah Datuk Seri terlibat dalam konspirasi untuk menutup satu kes bunuh?

Jawapan: Tidak, sudah tentu tidak. Saya tidak pun pernah bertemu dengannya (Altantuya).
Soalan: Adakah Datuk Seri bercadangan mengambil tindakan undang-undang terhadap orang yang menuduh Datuk Seri?

Jawapan: Saya membiarkan polis untuk mengambil tindakan. Apa yang penting ialah tindakan diambil oleh pihak berkuasa terhadap yang terlibat kerana terdapat peruntukan undang-undang lain seperti Akta Fitnah.
Soalan: Dulu Datuk Seri kata Saiful pernah datang ke pejabat.

Jawapan: Ia adalah dua kejadian berbeza. Dia datang ke pejabat saya untuk mendapatkan bantuan untuk mendapatkan biasiswa. Dia hanya bertemu dengan pegawai khas saya. Dia datang ke rumah saya kerana dia memerlukan bantuan kerana dia dalam keadaan trauma. Saya beritahu semua ini kerana tidak pernah wujud konspirasi kerana anda tidak boleh kaitkan dua kejadian berasingan itu dan saya tidak bertemu dalam kejadian pertama.
Soalan: Ketua Polis Negara dan Peguam Negara dan kini Datuk Seri dikaitkan Anwar dalam kesnya. Tidakkah Datuk Seri fikir Ketua Polis Negara dan Peguam Negara perlu menarik diri?

Jawapan: Hanya jika ia melibatkan kedudukan peribadi mereka. Tetapi mereka masih kekal ketua kepada organisasi masing-masing dan mereka mesti meneruskan tugas mereka.
Soalan: Adakah ini akan menjejaskan reputasi Datuk Seri atau adakah ia ada kena mengena dengan pemilihan Umno akan datang?

Jawapan: Tidak. Saya releks seperti anda boleh lihat, saya masih tersenyum. Saya tidak bimbang kerana saya tahun kebenaran akan diketahui kelak. Saya percaya pada sistem negara ini dan saya tidak melakukan sebarang kesalahan jadi tidak ada sebab untuk saya berasa bimbang. Bagi saya, ia adalah seperti biasa, business as usual.
Soalan: Adakah Datuk Seri bersedia untuk disiasat?

Jawapan: Mengapa pula saya perlu disiasat. Beri saya satu sebab mengapa saya mesti disiasat. Polis telah pun menjalankan siasatan dalam kes Altantuya dan tidak terdapat sebarang bukti (penglibatan saya).
Soalan: Adakah Datuk Seri berpandangan segala-gala dakwaan itu direka oleh Anwar?

Jawapan: Segala-galanya sengaja diada-adakan. Mengapa tiba-tiba, pada ketika ini, dia membangkitkan semua ini. Jika dia benar-benar ambil berat kes ini, mengapa tidak dibangkitkan lebih awal, mengapa sekarang?

2 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Anwar dedah bukti baru kes Altantuya, Najib nafi temui wanita Mongolia

PETALING JAYA: Pada sidang akhbar hari ini – yang ketiga selepas dakwaan meliwat yang terbaru didedahkan Sabtu lalu, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, polis telah menggugurkan maklumat penting tentang hubungan antara Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak dan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu, yang pernah diberikan oleh bekas penyiasat peribadi Abdul Razak Baginda, P. Balasubramaniam dua tahun lalu.

Bagaimanapun Najib yang ditemui di bangunan Parlimen lewat petang ini sekali lagi menafikan beliau mengenai Altantuya, sebaliknya menegaska tidak pernah menemui wanita Mongolia itu.

Najib juga berkata, akaun bersumpah yang dikeluarkan bertujuan mengalih tumpuan daripada dakwaan kes meliwat dihadapi Anwar sekarang.
Balasubramaniam merupakan salah seorang saksi kes pembunuhan Altantuya yang kini telah masuk peringkat penghujahan pendakwaan.

Ia merupakan akuan bersumpah kedua melibatkan nama Timbalan Perdana Menteri dan keluarganya dikeluarkan.

Dua minggu lalu, penulis blog Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin mengeluarkan akuan bersumpah yang mengaitkan isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor dengan kes pembunuhan Altantuya.

Najib telah pun menyifatkan ia sebagai satu penipuan yang bertujuan mencemarkan imej politik beliau.

Ketika mengumumkan kandungan akuan bersumpah Balasubramaniam di sini pagi ini, Anwar yang juga Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, Balasubramaniam pernah memberikan maklumat berkenaan kepada polis, tetapi ia tidak dibawa ke mahkamah semasa perbicaraan.

“Hari ini kita menyaksikan satu lagi episod petang yang konsisten mengenai penyalahgunaan kuasa dan manipulasi sistem kehakiman jenayah,” kata beliau pada sidang akhbar di sini sambil menambah, “perkara ini adalah kaedah yang sama iaitu memanipulasi maklumat dan tidak direkodkan seperti yang berlaku dalam kes saya tahun 1998.”

Balasubramaniam dan peguamnya, Americk Singh Sindhu juga hadir pada sidang media itu.

Anwar mengadakan sidang akhbar pertama selepas berhadapan dengan isu dakwaan meliwat pada Isnin lalu sejurus ketika keluar dari berlindung di rumah Duta Turki di Kuala Lumpur.

Sidang akhbar susulan diadakan kelmarin selepas membuat laporan polis terhadap Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan Peguam Negara, Tan Sri Gani Patail.

Sabtu lalu pembantu khas Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan, 23, membuat laporan polis mendakwa beliau diliwat oleh bekas timbalan perdana menteri itu di sebuah apartmen mewah di Damansara Heights di sini pada 26 Jun lalu.

Bagaimanapun Anwar menafikan dakwaan itu dan berkata ia adalah konspirasi untuk menjatuhkan karier politiknya.

Khidmat Balasubramaniam telah digunakan oleh Razak Baginda untuk menangani dakwaan gangguan berterusan daripada Altantuya.

Kata Anwar, “hari ini beliau mengeluarkan akuan bersumpah bertarikh 1 Julai 2008 kepada umum dengan memperincikan cerita yang beliau mengetengahkan dan apa yang sebenarnya berlaku dan apa yang diperkatakan oleh beberapa personaliti dalam saga ini termasuk Abdul Razak Baginda dan Altantuya.”

Antara lain akuan bersumpah itu menyebut bahawa Altantuya telah diperkenalkan kepada Razak Baginda, yang ketika itu Pengarah Eksekutif Pusat Kajian Strategik Malaysia (MRSC), oleh Najib pada pameran berlian di Singapura dan ketiga-tiga mereka pernah ditemui semasa makan malam di Paris.

Selain itu, Altantuya juga telah dijanjikan komisyen AS$500,000 atas khidmat sokongannya dalam urusan pembelian kapal selam di Paris.

Kata Anwar lagi, kenyataan Balasubramaniam juga mendedahkan tahap hubungan antara Altantuya dan Najib yang beliau pernah menafikan sebelum ini.

“Bukti Balasubramaniam ini mendedahkan apa yang kami perkatakan sekian lama; tiada penyiasatan teratur berhubung kes Altantuya,” katanya lagi.

Kata Anwar, dakwaan-dakwaan itu memerlukan penubuhan sebuah surahanjaya diraja untuk menjalankan siasatan.

Setakat ini kes pembunuhan Altantuya telah berlangsung selama 124 hari.

Mulai 23 Julai ini, mahkamah akan mendengar lima hujahan dalam perbicaraan setelah Timbalan Pendakwa Raya, Tun Abdul Majid Tun Hamzah menutup prosiding pada peringkat kes pendakwaan yang masuk hari ke-124 pada 23 Jun lalu.

Dalam akuan bersumpah setebal 16 muka surat itu, Balasubramaniam meminta pihak berkuasa membuka semula siasatan kes pembunuhan Altantuya.

Kata Balasubramaniam, terdapat kemungkinan yang kuat ada tiga lagi individu memainkan peranan penting selain tiga tertuduh yang sedang menghadapi kes tersebut. – mstar

nota: tahniah kepada DSAI yang pada hemat penulis berjaya mengalih tumpuan ramai dari kes liwat beliau ke kes pembunuhan mendiang altantunya. Perancangan yang rapi jelas telah dilakukan di ‘camp’ DSAI. Bermula dengan pengakuan bersumpah Raja Petra dua minggu lepas, DSAI sudah menghidu bahawa “sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya akan jatuh ke bumi juga” -merujuk kepada kes liwat saiful azlan. Perang terhadap Dato Sri Najib kini jelas sudah dirancang lebih awal dan kini di tahap ‘all-out’ dan secara ‘do-or-die’. Penulis amat hairan kenapa selepas kes liwat ini dihebohkan mulalah berbagai ‘peluru’ ditembak kepada Dato Sri Najib. Penulis bukanlah penyokong fanatik Dato Sri Najib, tetapi penulis amat meluat dengan tindakan DSAI yang cuba mengalih tumpuan ramai dan seterusnya menggunakan individu seperti Raja Petra dan Balasubramaniam menjadi ‘askar bawahan’ beliau dengan mengunakan pengakuan bersumpah di dalam membunuh kareer politik Dato Sri Najib. Perkataan ‘membunuh kareer politik’ ini juga adalah perkataan yang mula-mula disebut oleh DSAI sebaik sahaja laporan polis dibuat terhadap kes liwat. Pokoknya kenapa sekarang semua peluru ditembak keluar?? kenapa selepas dato Sri Najib dinamakan sebagai successor Pak Lah semua tuduhan/pengakuan dibuat?

Pada penulis dalam soal kes liwat dan kes mendiang altantunya, siasatan dan prosiding mahkamah masih dijalankan. Penulis menyeru semua pembaca tak kira dari UMNO, PAS, PKR atau yang berdiri di atas pagar agar membuka minda dengan mendengar bagi kedua-dua belah pihak. Doalah kepada Allah SWT supaya keadilan akan terbukti demi menyelamatkan Malaysia khususnya orang Melayu Islam yang kini yang bercakaran sesama sendiri. Pada penulis kepentingan majoriti harus dijaga terlebih dahulu sebelum kepentingan peribadi.

38 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Pas, UMNO perlu bersatu bantah campur tangan AS

KUALA LUMPUR 2 Julai – Barisan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM) merayu Pas dan UMNO bersatu untuk menghalang campur tangan Amerika Syarikat (AS) dalam urusan dalaman negara.

Ketua Umumnya, Osman Abu Bakar berkata, kedua-dua parti orang Melayu itu perlu segera berbuat demikian demi mempertahankan kedaulatan bangsa dan agama Islam di negara ini.

Beliau berkata, kegagalan kedua-dua parti itu untuk bersatu dalam keadaan sekarang akan membolehkan maka AS menjajah negara ini dengan pendekatan berbeza.

”Bila ini terjadi, kedaulatan kita sebagai warganegara Malaysia dan Islam sebagai agama rasmi pasti terjejas seperti yang kita saksikan di Iraq dan Afghanistan sekarang.

”Jika bukan Pas dan UMNO siapa lagi, campur tangan AS harus dihalang demi survival politik, ekonomi dan agama orang Melayu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Osman mengulas kenyataan jurucakap Jabatan Negara AS, Tom Casey yang menentang sebarang siasatan atau pendakwaan bermotifkan politik ke atas Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Negara kuasa besar itu mengeluarkan kenyataan tersebut selepas Mohd. Saiful Bukhari Azlan, 23, menuduh Anwar, 60, meliwatnya beberapa kali, satu tuduhan yang dinafikan oleh bekas timbalan perdana menteri itu.

Justeru kata Osman, Pas juga perlu meninggalkan PKR kerana parti itu secara jelas tidak memperjuangkan komponen-komponen utama dalam Perlembagaan Persekutuan seperti kedaulatan Islam dan ketuanan Melayu.

Beliau berkata, PKR sehingga kini tidak membantah campur tangan AS dalam urusan negara kerana ia penting dalam sebarang isu membabitkan Anwar.

Beliau menambah, negara juga perlu bebas daripada sebarang bentuk tekanan AS selaras dengan imejnya sebagai bekas Pengerusi Pertubuhan Persidangan Islam (OIC).

Dalam pada itu, Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM) mengutuk sekeras-kerasnya kenyataan Casey itu.

Presiden Penaja IRIMM, Amir Amsaa Alla Pitchay berkata, kenyataan yang menekan kepimpinan negara itu adalah satu bentuk konspirasi yang tidak boleh dimaafkan.

”Kenyataan Casey itu juga menggugat keamanan masyarakat majmuk dan kedaulatan negara ini,” ujarnya. – utusan

nota: amat meluat dengan beberapa pendapat di laman malaysiakini yang mengutuk Menteri Dalam Negeri kerana berang dengan tindakan Amerika Syarikat cuba mencampur tangan di dalam urusan domestik Malaysia. Sila rujuk di sini. Penulis bukanlah ini bersifat ‘racist’ tetapi komen awal diterbitkan datangnya dari bukan Melayu yang rata-rata kurang senang dengan kontrak sosial mutakhir ini. Sebagai masyarakat dan rakyat Malaysia, sepatutnya tidak kira sama ada Melayu, India, Cina atau bangsa lain mengutuk keras tindakan Amerika Syarikat yang cuba mencampuri urusan negara. Sehingga kini tidak ada kenyataan rasmi dari pihak DAP dan PKR mengenai campur tangan Amerika ini. Mungkin saat inilah dinantikan oleh mereka. Urusan Amerika yang ingin mencampuri urusan dalam Malaysia ini bukanlah sesuatu yang baru kerana ia sudah bermula sejak dari penubuhan Petronas satu ketika dahulu.  Amerika pada ketika itu mengirim surat kepada Allahyarham Tun Razak meminta beliau supaya memecat Tengku Razaleigh kerana idea beliau untuk menubuhkan Petronas dilihat sebagai satu ancaman. Tidak ketinggalan pada zaman reformasi satu ketika dahulu, di dalam satu persidangan di Kuala Lumpur, mantan Naib Presiden US Al Gore memuji tindakan berani kumpulan reformasi di Malaysia. Tetapi sayang sekali, ramai rakyat Malaysia melihat tindakan Amerika ini sebagai satu tindakan yang betul dan positif untuk menekan kerajaaan Barisan Nasional. Padah pasti menanti sekiranya Amerika berjaya mencampuri urusan negara kita sekiranya DSAI berjaya menjadi PM. Jangan kita biarkan Malaysia menjadi seperti IRAQ.

4 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Saiful beri keterangan malam tadi

Mohd. Saiful Bukhari Azlan yang membuat laporan polis mendakwa dia di liwat oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibarahim malam ini dibawa ke balai polis Brickfield untuk diambil keterangan.

Mohd. Saiful yang tinggi lampai tiba di IPD Brickfields pada pukul 8.10 malam. Dia memakai baju kemeja lengan panjang berwarna putih, berseluar gelap dan menjinjing sebuah beg kecil berwarna hitam.

Dia diiringi masuk ke IPD itu oleh seorang anggota polis berpakaian preman. Mohd. Saiful, 23, tersenyum memandang sekumpulan pemberita dan jurugambar yang berada di pekarangan balai dan sempat melambai-lambaikan tangannya.

1 Comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Hisham pelik AS hanya minat pasal Anwar

KUALA LUMPUR 1 Julai – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein melahirkan rasa pelik dengan sikap Amerika Syarikat (AS) yang hanya campur tangan dalam kes-kes mahkamah di Malaysia apabila ia melibatkan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut beliau, sikap AS yang hanya menjurus kepada pihak tertentu jelas mempunyai tujuan tersembunyi.

“Kenapa AS hanya bersikap campur tangan dalam kes-kes yang melibatkan Anwar? Kenapa mereka tidak cuba campur tangan dalam hal-hal lain dan kes orang lain?

“Bagi saya, sikap AS ini memang agak pelik dan menjadi tanda tanya… nampaknya mereka memilih kes dan isu tertentu,’’ katanya di sini hari ini.

Hishammuddin mengulas kenyataan pentadbiran AS semalam yang menyatakan ia menentang siasatan atau pendakwaan ke atas Anwar yang bermotifkan politik.

“Sudah pasti (kita) akan menentang sebarang penguatkuasaan undang-undang atau prosedur kehakiman atau apa juga yang tidak mengikut undang-undang.

“Perkara utama bagi kami adalah kedaulatan undang-undang mengatasi politik,’’ kata jurucakap Jabatan Negara AS, Tom Casey.

Pentadbiran AS memberikan reaksi itu selepas seorang pembantu Anwar, Mohd. Saiful Bukhari Azlan, 23, menuduh Anwar, 60, meliwatnya beberapa kali, satu tuduhan yang dinafikan oleh Anwar.

Ini merupakan kali kedua bekas Timbalan Perdana Menteri itu didakwa terlibat dalam jenayah seks luar tabii selepas tuduhan sama 10 tahun lalu yang turut mendapat simpati AS.

Menurut Hishammuddin, Washington tidak mempunyai hak untuk campur tangan dalam urusan perundangan negara lain termasuk dalam kes dakwaan liwat melibatkan Anwar.

AS, katanya, tidak boleh mempertikaikan kewibawaan perundangan Malaysia serta siasatan yang dijalankan oleh pihak berkuasa negara ini dalam kes tersebut.

“Pemuda UMNO menentang sekeras-kerasnya campur tangan AS ini,’’ tegas Menteri Pelajaran itu.

Beliau memberitahu, Pemuda UMNO mahu siasatan dakwaan liwat melibatkan Anwar dijalankan dengan ketelusan dan keterbukaan tanpa pembabitan pihak lain.

“Pemuda juga mahu pemeriksaan kesihatan ke atas Mohd. Saiful Bukhari Azlan yang mendakwa dirinya diliwat oleh Anwar dijalankan dengan telus dan terbuka.

“Kalau boleh hasil laporan penuh pemeriksaan tersebut perlu didedahkan kepada umum,’’ katanya.

Beliau kecewa dengan tuduhan pihak pembangkang yang membuat andaian dakwaan liwat itu adalah konspirasi kerajaan.

Hishammuddin menasihatkan semua pihak memberi peluang kepada polis bagi mengetahui kebenaran kes itu.

nota: Penulis percaya kebiaDAPan Amerika cuba ingin campur tangan dengan hal ehwal domestik Malaysia lebih mengundang kebencian rakyat terhadap negara ‘polis dunia’ itu. Lihatlah seperti Iraq dan Afghanistan, kerja tangan Amerikan yang membinasakan kuasa Islam di sana. Tentu ramai rakyat Malaysia yang sayangkan negara tidak senang, marah dan pelik dengan sikap DSAI yang mengadu dumba dengan Amerika Syarikat.

5 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda