Tag Archives: MT UMNO

MT perlu bertindak segera

Majlis Tertinggi (MT) UMNO digesa melakukan ‘sesuatu yang drastik’ bagi membendung kejutan-kejutan di luar budaya parti itu yang semakin membimbangkan dan dikhuatiri petanda ‘keranapan’ parti pejuang kemerdekaan negara itu.

Ahli MT, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, beliau terpanggil mengeluarkan gesaan itu kerana ahli UMNO kini tidak lagi menampilkan sifat budaya keMelayuan apabila banyak peristiwa tidak diingini berlaku semasa dan menjelang pemilihan tertinggi parti.

Antara yang cukup membimbangkan, kata beliau, ialah penggunaan wang yang berleluasa dan keterlaluan untuk melobi pencalonan, rasuah melibatkan tangkapan Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan pergaduhan besar sesama ahli hanya kerana mengejar jawatan.

”Bukan itu sahaja, ada ahli UMNO juga melakukan kejutan vandalisme, kalau ada poster parti lawan…ia dipotong.

”Di Segamat pula, ahli UMNO bergaduh hingga patah kerusi semasa mesyuarat cawangan. Pemilihan parti lebih sengit daripada pilihan raya. Ini berlaku di kebanyakan tempat di Johor, Negeri Sembilan, Selangor dan Perak.

”Yang jelas ialah pengawasan UMNO di peringkat negeri tidak mampu… Jadi, lekas-lekaslah MT ambil tindakan agar semangat silaturrahim ini segera dipulihkan,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Rais merujuk kebimbangannya itu terhadap beberapa insiden melibatkan ahli UMNO yang dipercayai ada kaitan dengan usaha mengejar jawatan dan melobi pencalonan pada pemilihan parti.

Terbaru di Kota Bharu hari ini, Ketua UMNO Cawangan Limau Manis, Datuk Azaha Abdul Rani, cedera parah disimbah asid oleh seorang lelaki yang tidak dikenali di pekarangan rumahnya di Kampung Chekok, Panji, dekat sini awal pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 pagi itu, Azaha, 48, yang mengalami lecur di muka dan badan kini dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian dan keadaannya dilaporkan stabil.

Semalam, Naib Ketua UMNO Bahagian Seremban, Mohd. Noor Awang, 47, dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan merasuah Ketua Cawangan UMNO Taman Zaiton Indah, Sikamat Rezwat Shahril Zainal Ariffin supaya mencalonkannya untuk jawatan Ketua UMNO Bahagian Seremban.

Semalam juga menyaksikan kejadian pembunuhan Timbalan Ketua UMNO cawangan Bukit Merah, Taib Ali, 61, yang mati ditembak dari jarak dekat oleh dua lelaki bermotosikal di hadapan sekolah anaknya di Jalan Gunung Semanggol-Bukit Merah.

Bagaimanapun polis masih menyiasat motif pembunuhan itu.

Beberapa insiden pertelingkahan termasuk kejadian membaling kerusi dan penggunaan wang juga dilaporkan berlaku semasa mesyuarat cawangan baru-baru ini.

Banyak pihak percaya ia akan menjadi semakin hangat menjelang pemilihan peringkat bahagian bulan depan dan pusat Disember ini.

1 Comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Retreat MT UMNO Minggu ini

sumber mstar

PETALING JAYA: Majlis Tertinggi (MT) Umno akan mengadakan pertemuan informal khas atau retreat selama dua hari minggu ini, antara lain bagi membincangkan pelbagai isu semasa dan strategi memulih dan memperkukuhkan parti.

Pertemuan tersebut yang akan berlangsung di Shah Alam pada Khamis dan Jumaat ini merupakan yang pertama sejak pilihan raya umum ke-12 pada 8 Mac lalu.

Malah ia juga dilihat sebagai pertemuan pertama membabitkan anggota MT, yang bertemu secara tidak formal bagi membincangkan usaha memperkukuhkan parti selepas pilihan raya umum.

Lazimnya MT akan mengadakan pertemuan formal di ibu pejabatnya di Kuala Lumpur dan pernah mengadakan mesyuarat di luar ibu negara iaitu di Ipoh, Perak beberapa tahun lalu.

Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib ketika dihubungi mStar Online juga mengesahkan pertemuan tersebut.

“Ia pertemuan biasa. Kita akan membincangkan pelbagai isu yang berlaku sejak kebelakangan ini. Tiada perkara khusus, ada banyak isu semasa,” kata beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor.

Ia dijadual dipengerusikan oleh Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Timbalannya, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak juga akan hadir sama.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor juga mengesahkan pertemuan itu kepada The Star.

“Kesemua ahli MT telah dimaklumkan supaya hadir dalam pertemuan itu,” katanya.

mStar Online difahamkan pertemuan itu penting selepas pencapaian Umno dan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum ke-12 tiga bulan lalu.

BN kehilangan lima negeri iaitu Selangor – tuan rumah pertemuan tersebut, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Kelantan. Sepuluh daripada 11 kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur juga ditawan pembangkang.

Di peringkat Parlimen, BN tidak dapat mempertahankan kerusi majoriti dua pertiga.

Umno, parti dominan BN, hanya menang di 79 daripada 109 kerusi ditandingi.

Selepas isu pencapaian dalam pilihan raya, Umno dan BN juga berhadapan dengan pelbagai isu lain termasuk pemilihan pucuk kepimpinan Disember ini.

Malah pucuk kepimpinan juga berhadapan dengan kecaman dan kritikan banyak pihak termasuk dari dalam parti.

Umno telah mengadakan majlis ulang tahun ke-62 penubuhannya bulan lalu.

Parti itu telah dikejutkan dengan tindakan bekas Presiden Umno, Tun Dr. Mahathir Mohamad keluar parti dua minggu lalu.

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Permohonan Ezam sertai Umno perlu kelulusan MT: Muhyiddin

sumber bharian

KANGAR: Permohonan bekas Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamad Ezam Mohd Noor untuk menyertai Umno perlu mendapat kelulusan Majlis Tertinggi (MT) kerana beliau “ada rekod”, kata Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Katanya, MT perlu membuat pertimbangan itu kerana Ezam pernah meninggalkan parti dan menyertai pembangkang dan kini memohon menyertai semula Umno.

“MT mempunyai kuasa untuk menerima atau menolak,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan taklimat mengenai tata etika Umno kepada pemimpin Umno Perlis di sini hari ini.

Muhyiddin berkata Ezam tidak boleh diterima sebagai anggota parti secara automatik kerana rekod politiknya.

“Kalau tak ada rekod tak apa. Ini (kes yang ada rekod) mesti dibawa ke MT,” katanya.

Semalam, Mohamad Ezam yang menyertai PKR pada 1999 dan meninggalkan parti itu sejak April tahun lalu menyerahkan borang keanggotaan Umno kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi selaku Presiden Umno.

Penyerahan borang serta wang yuran keanggotaan seumur hidup berjumlah RM100 itu mendapat liputan meluas media massa, termasuk stesen televisyen.

Muhyiddin hairan mengapa permohonan Ezam diberi liputan secara besar-besaran oleh media kerana menurutnya Umno adalah parti yang terbuka kepada semua orang Melayu dan Bumiputera untuk menyertainya.

“Kita tak mahu sangka buruk (kepada Ezam). Terserah kepada beliau sendiri.

“Beliau pernah jadi ahli Umno (kemudian) keluar dan masuk parti lawan. Lepas tu masuk balik. Orang kurang jelas apa sebenarnya,” katanya.

Beliau berkata, sudah pasti Mohamad Ezam akan terbeban untuk membuktikan keikhlasannya menyertai Umno untuk membantu parti kerana keikhlasan itu terletak pada beliau sendiri.

Semalam Abdullah dilaporkan berkata Mohamad Ezam menyertai Umno secara ikhlas dan tanpa syarat serta tidak akan diberi layanan istimewa. — Bernama

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda