Tag Archives: Mufti Perlis

Mufti Perlis bersara?? – Malaysiakini

Di sebalik kemeriahan sambutan Syawal, desas desus tentang persaraan Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin sedang hangat diperkatakan sekarang.

Menurut satu sumber yang dekat dengan beliau, Dr Asri tidak berminat untuk menyambungkan kontraknya ke tahun depan, iaitu sehingga bulan Oktober 2009.

“Besar kemungkinan, Dr Asri akan bersara tidak lama lagi dan akan meninggalkan Malaysia untuk satu tempoh yang tidak dapat dipastikan lagi,” ujar sumber itu.

Difahamkan, antara sebab mengapa Dr Asri tawar hati dan tidak berminat untuk meneruskan khidmatnya adalah kerana beliau kecewa dengan pergolakan politik yang berlaku sekarang.

“Segala teguran yang diberi oleh beliau tidak diambil serius dan beliau kecewa apabila ahli politik lebih mementingkan kepentingan peribadi dari kepentingan dan keperluan rakyat,” jelas sumber itu.

Menurut sumber itu lagi, Dr Asri ada mendapat tawaran untuk mencebur diri dalam bidang politik tetapi beliau tidak berminat.

Di kalangan ahli politik, Dr Asri merupakan tokoh ulama dan ilmuan agama yang paling menonjol sekali.

Teguran dan pandangan beliau tentang isu semasa seperti ISA, peralihan kuasa, sumpah mubahalah, Tugu Negara, Kerajaan perlu bertaubat dan melarang penyanyi Faizal Tahir ke Perlis (antara lain) dan banyak lagi mendapat liputan akhbar yang meluas.

Lontaran berani Dr Asri tentang isu semasa menyebabkan beliau sering digelar mufti yang kontroversi.

Kata sumber itu lagi, “Ada juga sesetengah pihak yang salahtafsir teguran berani beliau. Pandangan Dr Asri sebenarnya neutral, bijak dan tidak memihak kepada mana-mana parti politik.

“Kadang kala pandangan sinis dan teguran tajam membuat ramai yang salahtafsir niat beliau sedangkan itu hanyalah satu pandangan yang dituntut oleh agama,” kata sumber itu.

Jelasnya lagi, “Dr Asri sering menjadi mangsa keadaan dan dikecam oleh golongan fanatik sesuatu parti. Mungkin itu salah satu sebab kenapa beliau bosan dan kecewa, kerana selalu disalahtafsir.”

Malah website peribadi beliau, http://www.drmaza.com juga mendapat sambutan yang memberangsangkan.

Tidak keterlaluan jika dikatakan Dr Asri banyak memberi pandangan positif kepada ahli-ahli politik baik dari kalangan Umno, PAS mahupun PKR.

Disebabkan luas keilmuan dan tajam pemikiran yang dimilikinya, kedudukan Dr Asri agak istimewa di mata tokoh-tokoh politik seperti Datuk Sri Abdullah Badawi, Tun Mahathir, Datuk Seri Najib. Datuk Seri Nik Aziz malah Datuk Anwar Ibrahim sendiri.

Menurut sumber terdekat itu lagi, Dr Asri kelihatan berbincang panjang di Rumah Terbuka Perdana Menteri di Kepala Batas semalam.

Sebelum ini, Dr Asri pernah diundang memberi ‘tazkirah Ramadan’ kepada menteri-menteri kabinet di PWTC pada 18 September sempena majlis berbuka puasa di sana.

Dan dua hari sebelum itu, Mufti Perlis yang lantang bersuara kelihatan menghadirkan diri di majlis kelolaan PAS di Kota Bharu atas undangan Nik Aziz. Difahamkan juga, Dr Asri turut diundang ke satu majlis anjuran PKR selang beberapa hari kemudian tetapi tidak dapat ditunaikan disebabkan oleh jadualnya yang padat.

Di dalam kolum Minda Mufti siaran akhbar Mingguan Malaysia hari ini, Dr Asri turut menitip pesanan tentang peralihan kuasa yang sibuk dibicarakan akhir-akhir ini. Di bawah tajuk ‘Tanggungjawab mencari pengganti yang berwibawa,’ antara lain petikan artikel itu berbunyi,”Krisis kepimpinan dalam masyarakat umat Islam hari ini adalah berpunca kerana ada pihak pihak yang hanya menumpukan di sudut al-Quwwah iaitu kemampuan atau kewibawaan atau karismatik seseorang tokoh dalam politik, tetapi melupakan sudut amanah yang membabit mengenai pegangan agama atau kesolehan seseorang pemimpin.

“Jangan jatuh ke tangan yang berkemampuan dan wibawa, tapi tidak amanah. Jangan juga jatuh ke tangan yang amanah, tapi tidak berkemampuan melaksanakan bebanan tugas,” katanya.

Namun begitu, ketika dihubungi untuk mendapatkan kesahihan berita tentang persaraan beliau, Dr Asri enggan memberi sebarang komen. “Sampai masa nanti saya akan bagi komen,” kata beliau.

2 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Pilih calon ‘kurang’ mudaratkan agama, negara – Mufti Perlis

Tanpa menyebut nama calon, Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abdidin berharap pengundi-pengundi di Permatang Pauh akan memilih calon yang “paling ringan mudarat” atau “membahayakan” agama dan negara, esok.

“Siapakah yang layak dipilih dalam keadaan begitu? Bagi saya pengundi yang matang hendaklah menilai manakah pihak yang paling ringan mudaratnya dibandingkan yang satu lagi,” kata beliau.

Beliau salah seorang pemilih berdaftar di bahagian Parlimen Permatang Pauh berkata, pengundi-pengundi perlu menilai siapa yang paling kurang bahaya dibandingkan dengan yang lain untuk masa depan negara dan umat.

“Seperti orang sakit yang terpaksa memotong anggotanya untuk mengelakkan maut.

“Walaupun dia tidak rela memotong anggotanya, namun jika dibiarkan akan menyebabkan maut, maka dia terpaksa memilih keadaan yang lebih ringan antara keduanya.

“Begitulah keputusan dalam pemilihan di suasana ini,” katanya.

Pengundian pilihan raya kecil kerusi Parlimen Permatang Pauh akan diadakan esok.

Datuk Seri Anwar Ibrahim mewakili Pakatan Rakyat manakala Datuk Arif Shah Omar Shah pula bertanding atas tiket Barisan Nasional dan Hanafi Mamat dari Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM).

“Satu pemilihan mesti dilakukan,” kata beliau dalam rungannya di Mingguan Malaysia semalam.’

Jelas beliau, jika tidak pun untuk memilih yang terbaik, sekurang-kurang memilih yang kurang mudarat antara semua.

“Setelah direnung dan ditenung, maka barulah seseorang pengundi muslim membuat keputusan yang diyakini paling menghampiri keredaan Allah.

“Undi ada nilai dosa dan pahala,” katanya lagi.

Bagaimanapun tambah beliau, “barangkali memilih calon pada musim ini amat meragukan, maka beristikharahlah.”

3 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Lagi gesaan supaya DS Anwar Ibrahim untuk bersumpah

kini Mufti Perak Datuk Harussani dan Mursyidul Am PAS TG Nik Aziz sudah bersuara..

PETALING JAYA: Mufti Perak, Datuk Seri Dr. Harussani Zakaria berpendapat Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu mengemukakan bukti di mahkamah sekiranya beliau tidak bersalah seperti yang didakwa oleh bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Harussani berkata demikian ketika diminta pendapat beliau tentang cadangan mubahalah (bersumpah) yang dicadangkan oleh Mufti Perlis, Dr. Asri Zainul Abdin semalam.

Katanya lagi, “Setiap keterangan yang diberikan perlu dibuktikan. Jika tiada keterangan untuk dijawab, barulah beliau (Anwar) perlu bersumpah.”

Semalam, Asri telah menggesa Anwar yang dituduh meliwat kali kedua dan pembantu khasnya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan supaya bermubahalah’ atau bersumpah.

Katanya lagi: “Kedua-dua pihak (Anwar dan Saiful) hendaklah bersumpah. Kalau tidak puas hati lagi, bermubahalah seperti ini… ‘Jika dia tidak melakukan kepada saya, laknat Allah kepada saya, jika saya melakukannya laknat Allah kepada saya’ dan hendaklah bersumpah dengan Wallahi, Wabillahi, Watallahi… saya tidak melakukannya.”

Ketika ditanya sama ada beliau bersetuju atau tidak untuk meminta Anwar, Penasihat Parti Keadilan Rakyat bersumpah berhubung dakwaan liwatnya, beliau berkata: “Keterangan mesti diberikan oleh orang yang didakwa (Anwar). Apabila sesuatu perkara itu dizahirkan, ia mesti ada bukti.”

“Sekiranya tidak ada bukti, barulah diambil pendekatan bersumpah ini,” tambah beliau ketika dihubungi mStar Online hari ini.

Kata Harussani lagi, Anwar perlu memberi bukti di mahkamah sekiranya beliau tidak terlibat dengan dakwaan tersebut.

Beliau menganggap isu liwat ini timbul disebabkan pertelingkahan antara dua parti politik yang berlaku sekarang.

KOTA BHARU: Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata “mubahalah” atau bersumpah dengan menjunjung al-Quran adalah cara untuk menentukan kebenaran dan juga sesuatu yang dituntut dalam Islam.

Sambil menyokong cadangan Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin berhubung perkara itu, beliau berkata melalui cara demikian, Allah SWT boleh melaknatkan manamana pihak yang bersalah.

“Dalam Quran sudah menyebut, setelah sudah tiada ikhtiar lagi dalam menyelesaikan kemelut yang memalukan itu, siapa yang tidak bersalah Tuhan tolong,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini, hari ini.

Beliau yang juga Mursyidul Am PAS berkata demikian sebagai mengulas cadangan Mohd Asri supaya keduadua individu yang dikaitkan dengan kes liwat iaitu Penasihat Parti Keadilan Rakyat Malaysia (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan “bermubahalah” atau bersumpah.

Dalam kenyataannya semalam, Mohd Asri berkata isu liwat yang membabitkan Anwar sudah semakin rumit dan rakyat pula menjadi keliru. BERNAMA

-mstar

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Kes Liwat: Mufti Perlis minta Anwar, Saiful bersumpah

PETALING JAYA: Mufti Perlis, Dr. Asri Zainul Abidin menggesa Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini kali kedua berhadapan dengan isu dakwaan meliwat dan bekas pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan supaya ‘mubahalah’ (bersumpah).

“Daripada bertengkar tidak tentu arah, saya syorkan mubahalah agar dapat menyelesaikan kekalutan isu liwat ini. Disebabkan isu yang semakin kalut ini, rakyat menjadi celaru,” kata beliau dalam Kuliah Hadith lewat malam semalam di Masjid Alwi, Kangar Perlis.

(Rakaman ucapan Mufti Perlis boleh diakses di laman web beliau http://www.drmaza.com).

Asri menjelaskan: “Kita tidak tahu siapa sebenarnya yang berbohong. Dia kata dia, ada kata orang ni. Ada kata konspirasi, niat jahat sampai rakyat berkelahi dan bertumbuk. Macam-macam cerita kita dengar.

Di sebalik isu berkenaan, Asri berkata, beliau kecewa kerana politik tanah air kini menjurus ke arah tindakan mengaibkan satu sama lain.

“Dalam Islam, pada asalnya tidak boleh buka aib orang, cerita peribadi orang tidak boleh dedah pada orang lain. Tapi dalam politik Malaysia sekarang, main lawan dedah aib. Dua kali lima, lima kali dua. Semua dok pakat bongkar hal orang,” katanya lagi.

Tambah Asri, beliau tidak berhasrat membela sesiapa dalam isu liwat tersebut.

“Saya tak nak bela sesiapa. Yang untungnya, surat khabar laku. Asalnya memang perkara peribadi macam ini tidak boleh dedah,” katanya.

“Ada orang kata kena kemukakan empat orang saksi. Saya tidak setuju sebab budak (Saiful) ini mendakwa diri dia sendiri (seorang diri), bukan orang lain.

“Pihak yang mendakwa (Saiful) hendaklah mendatangkan bai’nah (bukti). Sila bersumpah pada orang yang dituduh yang dia tidak melakukannya.

“Kedua-dua pihak (Anwar dan Saiful) hendaklah bersumpah. Kalau tidak puas hati lagi, bermubahalah seperti ini… ‘Jika dia tidak melakukan kepada saya, laknat Allah kepada saya, jika saya melakukannya laknat Allah kepada saya’ dan hendaklah bersumpah dengan Wallahi, Wabillahi, Watallahi… saya tidak melakukannya,” katanya.

Selepas bersumpah, kata Asri, kedua-dua pihak dan semua orang kena senyap dan tidak perlu memberikan sebarang ulasan lanjut.

“Ini benda peribadi tapi sudah jadi urusan rakyat. Serahkan pada Allah kerana ini urusan Allah,” kata Asri.

Kata Asri, politik pada asalnya ialah satu tanggungjawab khilafah yakni memakmurkan dunia dan khalifah yang dilantik mesti menegakkan agama dan menguruskan dunia.

“Tapi sekarang politik sudah jadi lawan tuduh dan lawan dedah. Gelanggang yang kotor. Tokoh Turki Badiuzzaman Said Nursi pernah berkata ‘Aku berlindung dengan Allah daripada syaitan dan politik’,” ujar beliau.

Katanya, tokoh agama Rasyid Ridha pula pernah berkata, “Aku berlindung dengan Allah daripada politik dan apa sahaja terbitan politik”.

Beliau turut merujuk pertama kali mubahalah dilakukan dalam satu peristiwa pada zaman Nabi apabila puak Kristian di Najran mempertikaikan kebenaran Nabi.

“Nabi telah membawa Hussin, Hassan dan Fatimah dan mencabar puak Kristian di Najran untuk bermubahalah iaitu laknat-melaknati atas nama Tuhan tapi puak Kristian Najran tidak berani…,” katanya.

Seperti yang terkandung dalam Ayat 59-61, Surah Ali-Imran di mana antara lain, Allah berfirman,”Kebenaran itu dari Tuhanmu. Jangan kamu termasuk dalam golongan mereka yang ragu. Setelah datang kepada engkau keterangan dan ilmu. Katakanlah pada mereka semua…”

Katanya lagi, ulamak Al Abbas pernah melakukan mubahalah, begitu juga Ibnu Hajar Al-Asqalani (penyusun kitab Bulughul Maram) pernah mencabar pendapat kesesatan ahli sufi Ibnu Arabi dengan mubahalah apabila pertengkaran mereka melarat sampai ke pengetahuan Sultan.

“Ketika itu, Ibnu Hajar dan Ibnu Arabi bermubahalah di mana dia berkata kalau Ibnu Hajar berada di atas petunjuk Allah, Allah akan laknat aku dan begitu juga jika dia berada di atas kesesatan Allah.”

Kata Asri, mubahalah itu dilakukan pada bulan Ramadan. Bila tiba bulan Zulkaedah, bapa saudara Ibnu Arabi buta mata dan mati.

nota: Pengakuan bersumpah DSAI sudah dinanti oleh ramai pihak sejak dari tahun 1998. Dua ‘askar’ beliau sudah bersumpah tetapi hanya di depan manusia yang layak menurun tandatangan mereka di atas ke atas pengakuan tersebut. Dengan bayaran serendah RM4 utk mendapat tandatangan pihak berkenaan, ramai orang juga mampu membuat pengakuan bersumpah. Tetapi bagi kes DSAI, ‘mubahalah’ adalah cara paling terbaik. DSAI sahutlah seruan Dr Asri sekiranya DSAI di pihak benar dan sayangkan Islam, Melayu dan Malaysia.

7 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Mufti Perlis: Sedia 20 dalil sebab Pak Lah perlu berhenti

sumber mstar

PUTRAJAYA: Mufti Perlis, Dr Asri Zainul Abidin menyarankankan agar mereka yang tidak puas hati dengan Datuk Seri Abdullah Badawi agar senaraikan masalah yang timbul dari kepimpinannya dan beri ruang untuk beliau mengatasinya.

“Jangan sibuk timbulkan isu tidak percaya kepada kepemimpinannya. Bertanya dulu siapa calon yang hendak dilantik dan bukan soalkan siapa yang hendak ditumbangkan. Takut nanti penggantinya lebih buruk.

“Adakah penggantinya lebih baik darinya? Kalau tidak nanti, takut keluar mulut harimau, masuk mulut buaya,” kata beliau kepada mStar Online di sini hari ini.

Beliau mengesyorkan agar disenaraikan dulu 20 dalil kenapa Pak Lah perlu berhenti dan 20 dalil bagi membuktikan penggantinya lebih baik dan bukan sekadar menukar orang sahaja.

Tambah beliau, persoalan sekarang tidak berkisar pada Barisan Nasional (BN) lagi kerana dalam BN ada desas desus yang tidak suka kepimpinan Pak Lah.

Menurut Dr Asri, terpulang pada kejujuran Abdullah sendiri untuk mengatasi masalah yang telah disenaraikan ini.

“Jika soal-soal yang membabitkan keluarga, tengok sejauhmana ketulusan beliau menangani masalah ini. Atau adakah ideanya yang tidak cukup bernas supaya kita boleh selesaikan perkara ini dengan lebih objektif kerana situasi ini sudah menjadi sentimen umum,” jelasnya.

Beliau turut melahirkan kebimbangan berhubung pengganti Abdullah.

“Mungkin nanti penggantinya juga ada masalah yang sama atau lebih buruk,” katanya.

Kata Dr Asri lagi, masalahnya sekarang, sistem demokrasi kita sudah begitu yakni sistem demokrasi ala barat walaupun dicorak dalam acuan sendiri.

“Islam ada pendekatan sendiri untuk mengatasi masalah ini seperti mengadakan majlis syura dengan mereka yang berkenaan. Bukannya mengikut cakap para penyokong dan pengampu,” katanya.

Krisis politik sekarang perlu dilihat dengan kaca mata yang lebih objektif, ujar Dr Asri.

“Kalau hendak berbalahpun, berbalahlah tapi kena lihat kesan dari perbalahan itu yang meninggalkan kesan besar pada rakyat.

“Saya sendiri setuju Pasca PRU 12 telah membuktikan beberapa perkara seperti ia berjaya mematahkan keegoaan, keangkuhan dan kesombongan sesetengah ahli politik Barisan Nasional yang selama ini ingat mereka tidak boleh tumbang dan jatuh.

Tapi episod itu sudah berlalu dan PRU telah membayar dan menunaikan hasrat rakyat. Sudah cukup pengajaran itu. Orang yang hendak dihukum telahpun dihukum. Jangan bicara lagi pasal hukuman, lihat kesan pada hukuman. Umno pun telah dihukum, yang tinggalpun nyawa-nyawa ikan…,” kata Dr Asri.

Kata Dr Asri, jangan disebabkan kita ghairah menumbangkan satu keegoan, kita timbulkan satu keegoaan yang baru. Pihak alternatif hendaklah memastikan mereka tidak mengulangi kesilapan dan kesombongan BN.

“Kini masanya untuk uruskan negara dengan baik bukan untuk berbalah,” kata Dr Asri.

Beliau juga berpendapat walaupun kepimpinan Abdullah banyak dikritik, tapi hakikatnya setuju atau tidak Abdullah telah memberikan kebebasan kepada media.

“Memang benar banyak perkara yang kerajaan hendak lakukan tidak boleh dilakukan kerana kerajaan tidak cukup kuat. Tapi kita juga kena akur, di bawah kepimpinan Pak Lak banyak ruang telah diberikan pada pihak akhbar, yang mana peluang ini tidak pernah diberikan sebelum ini. Begitu juga dengan Badan Kehakiman. Jadi kita kena timbang tara dengan adil kesemua kelemahan dan kekuatan Pak Lah secara rasional.

“Buat pertama kali kita menikmati kebebasan akhbar. Cuma ditakuti kebebasan yang diberikan itu akan mengulangi kesilapan Presiden BJ Habibi Indonesia bila mana ia membuka ruang tapi akhirnya ruang itu telah menyusahkannya,” kata Dr Asri.

“Sepatutnya apabila kita memberi senjata pada orang, kita sendiri kena tangkas bermain dengan senjata barulah terserlah kehebatan kita. Walau bagaimanapun Pak Lah bukan seorang yang zalim,” jelas Dr Asri mengakhiri perbualan.

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda