Tag Archives: muzakarah umno-pas

MB Perak mahu dialog Umno-PAS dihentikan

Dialog peringkat tinggi Umno-PAS perlu dihentikan memandangkan usaha sedemikian boleh menjurus ke arah spekulasi semata-mata, kata Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Sambil menyifatkan spekulasi sebagai tidak sihat, beliau berkata, hanya Perdana Menteri yang berminat untuk mengadakan perbincangan membabitkan kedua-dua parti.

Pakatan Rakyat tidak terdesak untuk mengadakan hubungan seumpama itu kerana barisan pembangkang adalah kukuh buat masa sekarang, kata beliau di sini hari ini selepas melancarkan konvensyen kumpulan kualiti kerja perkhidmatan awam.

Menteri Besar berkata, beliau juga lebih bersikap terbuka untuk mengadakan  muqabalah atau pertemuan bersemuka.

Ketika ditanya sama ada muqabalah akan mencetuskan rasa tidak senang di kalangan anggota Pakatan Rakyat, beliau memberitahu, situasi sedemikian tidak akan wujud kerana terdapat kefahaman yang baik di antara PKR, PAS dan DAP.

Berhubung syor Penasihat DAP, Lim Kit Siang supaya perbincangan itu seharusnya memberi tumpuan terhadap perpaduan rakyat Malaysia, Nizar berkata, ia akan menjadi salah satu agenda pertemuan.

“Agenda utama menyentuh kepentingan semua rakyat Malaysia dan tidak hanya satu-satu komuniti,” katanya. – mstar

nota: sememangnya agenda utama adalah bagi kepentingan semua rakyat Malaysia dan tidak tertumpu kepada Umat Islam melayu sahaja. Persoalannya sekarang sesudah hampir 4 bulan Pakatan Rakyat memerintah di beberapa negeri seperti Selangor dan Perak, apakah agenda yang telah dilakukan untuk Umat Islam Melayu di negeri terbabit??? tepuk dada tanya selera.

11 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

PAS temui Umno ‘demi Pakatan’

PAS mengadakan pertemuan dengan Umno bertujuan mengelakkan sebarang masalah pembentukan kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor, jelas ahli jawatankuasa kerja PAS Khalid Samad yang menyertai perbincangan tersebut.

“Kita berunding dengan Umno supaya parti itu tidak membuat kacau kepada kerajaan negeri Selangor kerana PAS telah mengeluarkan surat menyokong (wakil PKR, Tan Sri) Abdul Khalid (Ibrahim) sebagai menteri besar,” katanya kepada Malaysiakini.

Ketika itu, tambahnya, Abdul Khalid belum mengangkat sumpah sebagai menteri besar Selangor dan keadaan tidak menentu saat itu membimbangkan Pakatan jika Umno tidak membenarkan pembangkang membentuk kerajaan negeri.

Pada asalnya pertemuan pertama itu diundang oleh Umno untuk membincangkan pembentukan kerajaan negeri Selangor bersama PAS sejurus selepas pilihanraya umum 8 Mac.

“Umno mencadangkan kepada PAS untuk membentuk kerajaan negeri Selangor kerana Abdul Khalid (waktu itu) belum dilantik menjadi menteri besar.

“Tetapi PAS ketika itu telah mengeluarkan surat sokongan kepada Abdul Khalid sebagai menteri besar Selangor,” katanya.

Khalid berkata beliau tidak ingat tarikh tepat pertemuan tersebut tetapi menyatakan hanya beberapa hari selepas pilihanraya.

“Kalau tidak silap saya, pada 10 atau 11 Mac dan tempatnya di Kuala Lumpur,” katanya sambil menambah perbincangan tersebut telah diatur oleh pihak ketiga.

“Tetapi saya tidak tahu siapa pihak ketiga itu,” katanya lagi, mengulas kenyataan perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam bahawa beliau telah mengadakan pertemuan sebanyak tiga kali dengan pemimpin PAS.

Umno diwakili Abdullah sebagai presiden dan bekas menteri besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo.

Manakala PAS pada awalnya bersetuju menghantar presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang, timbalannya Nasharuddin Mat Isa dan pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hassan Ali.

Bagaimanapun, tambah Khalid, penyertaan Abdul Hadi tidak direstui pucuk pimpinan PAS kerana beliau seorang pemimpin tertinggi parti, manakala Dr Hassan diketepikan kerana telah mengadakan pertemuan awal dengan Dr Mohamad Khir.

“Berikutan itu, saya dipilih menggantikan Dr Hassan dan Mustafa menggantikan Abdul Hadi,” katanya lagi.

Sementara itu, Mustafa berkata, perbincangan tersebut diadakan dengan kebenaran parti bagi membincangkan kepentingan orang Melayu dan Islam.

Katanya, kedua-dua parti berbincang mengenai kedudukan orang Melayu Islam sekarang dan nasib mereka sekarang ini.

Pengarah pilihanraya PAS itu berkata, parti itu bebas mengadakan perbincangan dengan Umno tanpa memaklumkan terlebih dahulu kepada PKR, rakan utama Pakatan Rakyat.

“Masa (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) jumpa SAPP, beliau tidak beritahu kita. Semua bebas berjumpa (komponen BN),” katanya ketika ditemui di ibu negara hari ini.

Dalam satu kenyataan lewat malam tadi, Abdul Hadi mendedahkan pertemuan pertama itu yang diketuai Nasharudin dan ia telah dimaklumkan kepada majlis syura dan jawatankuasa pusat PAS.

“Berikutan itu Majlis Syura Ulamak PAS telah mengambil ketetapan bersetuju sebulat suara merestui presiden, timbalan presiden dan setiausaha agung PAS bagi mempertingkatkan usaha yang bersungguh-sungguh dalam menyatupadukan umat Islam dan rakyat Malaysia berlandaskan Islam,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Menurutnya, pertemuan kedua diadakan di bangunan Parlimen antara Nasharudin dengan Abdullah – masa tidak disebut.

Pertemuan ketiga dan seterusnya, yang sedang dirancang, tidak dinyatakan.

Laman web akhbar mingguan Siasah pula memetik kenyataan Khalid yang menyebut nama Dr Hassan tidak disenaraikan untuk ikut serta demi mengelak “pertembungan kepentingan.”

Abd Khalid sebelum ini pernah mendedahkan, beberapa jam selepas keputusan Selangor jatuh ke tangan Pakatan Rakyat, Dr Hassan pernah mengadakan rundingan dengan Dr Mohamad Khir.

“Kerana itu, saya dimasukkan untuk menggantikan Dr Hassan untuk mengelakkan bertembung kepentingan berlaku,” Abd Khalid, yang juga timbalan pesuruhjaya PAS Selangor, dipetik sebagai berkata.

Pada peringkat awalnya, lapor blog rasmi akhbar itu lagi, beliau tidak bersetuju dengan pertemuan itu tetapi selepas perbincangan, wakil-wakil PAS bersetuju bertemu dengan pemimpin BN di sebuah rumah kerajaan berhampiran bangunan Parlimen.

“Yang pasti tidak ada langsung dalam perbincangan sesama pimpinan PAS, pergi jumpa dengan pimpinan Umno ini untuk bekerjama dengan mereka. Yang ada untuk memenuhi janji dan mendengar apa mereka nak tawarkan.

“Jadi kami dengar dan kata ya ya… tetapi kami tak boleh buat keputusan, kena bawa kepada parti dahulu,” jelas Khalid lagi.

Mengulas sebab jemputan itu dibuat oleh Umno, Abd Khalid berkata, ia bermula dengan kerisauan Umno akibat kemenangan besar DAP di Selangor dan hubungannya dengan nasib orang Melayu.

Mengulas lanjut pendedahan Abdullah, Khalid memberitahu Malaysiakini, tindakan perdana menteri itu menimbulkan isu ini di media boleh mencipta keraguan dalam kalangan komponen Pakatan.

Beliau menambah, dengan itu orang Sabah dan Sarawak akan berfikir dua tiga kali sebelum masuk gabungan pembangkang.

“(Kerana) mereka fikir PAS pun lompat Umno,” katanya.

Bagaimanapun, ahli parlimen itu menafikan pertemuan PAS-Umno akan menyebabkan perpecahan dalam kalangan pemimpin PAS.

Naib presiden PAS Datuk Husam Musa semalam berkata, kenyataan Abdullah mengenai rundingan dua parti itu bertujuan “menabur benih perpecahan” dalam PAS.

Husam, yang juga exco kerajaan Kelantan, menegaskan PAS tidak mampu berpecah semata-mata untuk memenuhi impian perdana menteri mendapatkan “keldai korban” yang boleh ditunggang, walaupun sementara.

“Pengumuman sebelah pihak oleh Abdullah tentunya ada motif tersirat. Jujurkah Abdullah apabila beliau umumkan pemimpin decision-makers (pembuat keputusan) PAS telah tiga kali menemui beliau?

“Atau beliau sedang memainkan PAS dengan satu strategi politik dengan umpan yang enak? Sekurang-kurang, dalam keadaan terlalu terdesak, beliau boleh mencapai matlamat politik jangka pendek,” katanya.

sumber – malaysiakini

41 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

PAS akui bertemu dengan Pak Lah

berita dari harakahdaily

PAS tidak menafikan bahawa memang telah ada pertemuan antara pimpinan tertinggi parti dengan YAB Perdana Menterti yang juga selaku Presiden Umno, bagi membincangkan isu-isu kepentingan bersama berkaitan umat Islam dan bangsa Melayu. <!–

–>

Perjumpaan pertama dengan YAB Perdana Menteri berlaku sejurus selepas PRU ke 12 yang lalu yang melibatkan Timbalan Presiden PAS, YB Ustaz Nasharudin Mat Isa; Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Dato’ Mustapha Ali dan ahli parlimen Shah Alam,YB Hj Abd Khalid Samad.

Pertemuan ini telah pun dilaporkan kepada Mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat dan Majlis Syura Ulamak PAS.

Berikutan itu Majlis Syura Ulamak PAS telah mengambil ketetapan bersetuju sebulat suara merestui Presiden, Timbalan Presiden dan Setiausaha Agung PAS bagi mempertingkatkan usaha yang bersungguh-sungguh dalam menyatupadukan umat Islam dan rakyat Malaysia berlandaskan Islam.

Sehubungan dengan ketetapan itu pertemuan telah diadakan lagi di bangunan Parlimen yang melibatkan Timbalan Presiden PAS dan YAB Perdana Menteri, yang telah dilaporkan kepada saya dan Majlis Syura Ulamak.

PAS bersedia bagi menjayakan muzakarah dengan Umno ini demi kebaikan umat islam dan bangsa Melayu di Malaysia. – mr/mks.

20 Julai 2008,
Presiden,
Parti Islam Se Malaysia (PAS).
_

walaubagaimanapun, masih ada pemikiran yang sempit datang dari Naib Presiden Pas sendiri yang mempunyai pandangan negatif terhadap kenyataan Pak Lah yang mengakui sudah bertemu lebih dari sekali dengan para pemimpin tertinggi PAS.

Kenyataan PM bertujuan pecahbelahkan PAS

Kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengenai perundingan dengan PAS bertujuan menabur benih perpecahan di dalam PAS yang mungkin mara mengambil alih tempat Umno pada masa depan, kata Naib Presiden PAS, Datuk Haji Husam Musa. <!–

–>

Membidas kenyataan Perdana Menteri dalam sebuah akhbar harian hari ini, Exco kerajaan negeri Kelantan itu mengulangi penegasan bahawa PAS tidak mampu berpecah semata-mata untuk memenuhi impian Perdana Menteri mendapatkan ‘keldai’ korban yang boleh ditunggang, walaupun sementara.

Perdana Menteri hari ini menyatakan bahawa beliau telahpun tiga kali bertemu pemimpin PAS yang mempunyai kuasa untuk membuat keputusan.

“Pengumuman sebelah pihak oleh Abdullah tentunya ada motif tersirat. Jujurkah Abdullah bila beliau umumkan pemimpin ‘decision-makers’ PAS telah tiga kali menemui beliau?

“Atau beliau sedang memainkan PAS dengan satu strategi politik dengan umpan yang enak? Sekurang-kurang, dalam keadaan terlalu terdesak, beliau boleh mencapai matlamat politik jangka pendek,” katanya.

Presiden Umno itu, kata Husam, cuba menggambarkan gambaran positif terhadap dakwaan pertemuannya itu dengan menggunakan istilah -decision-makers’ – ‘pembuat keputusan’, walaupun dia tahu mana-mana pertubuhan, apatah lagi parti Islam seperti PAS, tidak dimiliki oleh mana-mana pemimpin, sebesar mana pun pemimpin itu.

“PAS sebagai jamaah Islam dikendalikan dengan kaedah dan etika harakah Islamiyyah yang tertentu, termasuk musyawarah,” tegas beliau.

Selain memecahbelahkan PAS, Husam menjangka, antara matlamat politik jangka pendek yang hendak dicapai Perdana Menteri dengan pengumumannya itu ialah mengukuhkan kedudukannya di dalam Umno di tengah pergolakan dalaman yang tidak menentu, menghilangkan keyakinan dalam Pakatan Rakyat dan menghalang Agenda Post Pilhanraya 2008 dan menjarakkan semula PAS dari sokongan masyarakat bukan Melayu, mungkin 40 tahun kebelakang semula.

“Mungkin Abdullah mendapat inspirasi umpan ‘Negara Islam’ yang dilemparkan oleh Dr. Mahathir selepas melihat kemaraan pembangkang dalam pilihanraya 1999 dan umpan itu menjadi sehingga pembangkang undur semula dalam pilihanraya 2004,” katanya.

Husam menegaskan bahawa perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS sudah tentu tidak akan mengkesampingkan perpaduan ummat Islam dan tidak pula menjadikan perpaduan nasional agenda kedua selepas perpaduan Islam.

Perpaduan Islam, tegas beliau, dicapai dalam konteks perpaduan nasional yang semestinya diasaskan bukan di atas asas kaum semata-mata seperti dilakukan oleh Umno selama ini, tetapi di atas asas yang lebih kukuh seperti tiada diskriminasi kaum, tiada diskriminasi berdasarkan fahaman politik dan keadilan untuk semua.

“Perpaduan versi Umno sudah lusuh. Umno sesama Umno pun tidak dapat disatukan. Apatah lagi formula itu hendak digunakan bagi ummat Islam dan nasional,” tegas beliau.

Sambil menyifatkan Perdana Menteri sudah pun mencapai maksud yang diharapkan pada darjah yang tertentu yang belum parah, Husam mengingatkan tugas utama pemimpin PAS pada waktu ini ialah memastikan parti tidak berpecah, bahkan kekal bersatu.

“PASlah satu-satunya parti yang paling stabil, kukuh dan mantap buat masa ini. Jika jangkitan kuman Umno meresap dan memecahkan PAS, perkongsian kuasa dengan Umno hanyalah ulangan percantuman sementara era Barisan Nasional dulu yang berakhir PAS ditolak ke tepi selepas Umno mencapai kekuatan mereka semula,” kata beliau.

PAS juga, katanya, hendaklah memastikan kepercayaan dan harapan masyarakat bukan Islam terhadap PAS tidak dikhianati.

“Islam menekankan kepada kesetian terhadap janji,” tegas beliau.

Jika PAS mempunyai pandangan dan agenda yang berguna untuk kepentingan negara, agenda ini boleh dimaklumkan kepada rakyat secara terbuka dan tuntutan boleh dibuat untuk Umno menerima atau melaksanakannya, tanpa terikat dengan satu perkongsian kuasa yang akan meletakkan PAS selama-lamanya pemain kedua yang bertugas menyelamatkan Umno dengan faham sekularnya yang merosakkan itu, katanya.

“Berulang kali PAS memainkan peranan yang sama,” katanya lagi.

Tetapi itu tidak penting bagi Perdana Menteri, kata Husam, kerana dalam ketidaktentuan sebelum Disember ini, beliau memerlukan segala dahan yang ada untuk berpaut.

Pada waktu kepercayaan kepada kepimpinannya berada pada titik yang paling rendah, keupayaan pengurusan ekonomi yang hampir sifar, hala tuju negara yang amat kabur, keyakinan terhadap kemampuan membawa keharmonian pelbagai kaum yang amat rendah, kehilangan keyakinan terhadap institusi utama seperti kehakiman, polis dan jabatan Peguam Negara, Husam menyifatkan Perdana Menteri memang memerlukan PAS.

“Jawatan kerajaan yang mungkin ditawarkan oleh Abdullah kepada PAS tentulah bukan segala-galanya,” tegas beliau.

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda