Tag Archives: Nik Aziz

Mustafa, Nik Aziz bertemu –

Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Pengarah Pilihanraya Pusat parti itu, Datuk Mustafa Ali mengadakan pertemuan ’empat mata’ hari ini difahamkan bagi menyelesaikan ‘pertelagahan’ antara mereka berhubung isu peralihan kuasa yang diusahakan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Nik Aziz yang juga menteri besar Kelantan dilihat sentiasa memberi sokongan moral kepada Anwar untuk menjadikan peralihan kuasa itu satu realiti.

Manakala Mustafa yang juga pesuruhjaya PAS Terengganu pula dilihat tidak yakin usaha Anwar itu akan menjadi kenyataan.

Dalam pertemuan tersebut, Malaysiakini difahamkan kedua-dua pemimpin tertinggi PAS telah memperjelaskan pendirian masing-masing dan ‘hubungan mereka kini kembali seperti sediakala’

Ketika dihubungi Malaysiakini, Mustafa mengesahkan mengadakan pertemuan tersebut di Kota Bharu pagi tadi atas permintaan Nik Aziz.

Mustafa enggan mengulas lanjut mengenai pertemuan yang bermula jam 10 pagi tadi, tetapi beliau kedengaran ceria ketika bercakap dengan Malaysiakini.

Menurutnya, pertelagahannya dengan Nik Aziz itu berpunca daripada “salah faham” semata-mata.

“(Perkara ini) macam ayah dengan anak,” tambahnya.

Ahad lalu, dalam ceramahnya di Taman Melewar, Gombak, Nik Aziz secara terbuka mengkritik kenyataan Mustafa yang tidak yakin pertukaran kerajaan pada 16 September.

Merujuk kepada kenyataan Mustafa yang dilaporkan oleh Utusan Malaysia serta wawancaranya dengan Harakah mengenai isu tersebut, Nik Aziz menyifatkan pengarah pilihanraya PAS itu “sudah menjadi lidah Umno” dan “betul-betul serupa dengan nada presiden Umno”.

Malah, Nik Aziz turut menyifatkan PAS Terengganu “telah tersalah memilih seorang pesuruhjaya”.

Bagaimanapun, Mustafa sebelum ini, enggan mengulas kritikan menteri besar Kelantan itu.

“Dalam pertemuan pagi tadi, (kami) bincang perkara itu (perselisihan faham) sekejap saja. Yang lain kita sembang-sembanglah,” kata Mustafa.

nota: Kasihan dengan Parti PAS yang kini terbahagi kepada dua golongan. Golongan pertama ialah golongan yang benar2 ikhlas untuk berjuang dan satu golongan lagi yang Pro-Anwar. Ternyata pengaruh Anwar sudah berjaya meresap ke dalam Parti PAS. Pengaruh ini juga telah berjaya mempengaruhi TG Nik Aziz yang sememangnya terkenal dengan sikap tegasnya. Tetapi mutakhir ini ketegasan beliau diragui. Ini disebabkan pengaruh sekularisme-anwar telah hampir berjaya menukar identiti PAS dari parti ISLAM menjadi parti Islam sekular.

Ahli-ahli PAS, bangkitlah. Berhati-hatilah dengan mainan politik orang2 pro-Anwar di dalam PAS. Kelak nanti anda yang rugi!!!

Advertisement

6 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Projek 16 Sept – tunjul keretakan PAS – Malaysiakini

Gara-gara projek pembentukan kerajaan baru pada 16 September seperti diura-urakan penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, PAS pula yang terpaksa bertelagah sesama sendiri khususnya antara Mursyidul Amnya Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dengan Pesuruhjaya PAS Terengganu Datuk Mustafa Ali.

Susulan sikap kritikal Mustafa terhadap projek Anwar dalam wawancaranya dengan Harakah dan Utusan Malaysia minggu lalu, Nik Aziz menyifatkan pengarah pilihanraya parti itu “sudah menjadi lidah Umno” dan “betul-betul serupa dengan nada presiden Umno”.

Dalam kenyataannya sebagai reaksi terhadap pandangan Mustafa, Nik Aziz turut menyifatkan PAS Terengganu “telah tersalah memilih seorang pesuruhjaya” dengan membandingkan kenyataan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamed yang menganggap tersilap memilih penggantinya Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Tokoh besar PAS itu turut membayangkan Mustafa kemungkinan akan meninggalkan PAS dan menyertai Umno.

Bagaimanapun beberapa bahagian panas kenyataan panjang Nik Aziz ini, yang dikirimkan kepada Harakah, tidak dimuatkan dalam akhbar rasmi parti itu dalam edisi terbarunya.

Tidak cukup dengan serangan itu, Nik Aziz mengulangi kritikannya kepada Mustafa dalam ceramah di Markaz Tarbiah PAS di Gombak, Ahad lepas, dua hari selepas kenyataan kontroversi itu diterbitkan.

Dihubungi Malaysiakini semalam, pesuruhjaya itu enggan mengulas kenyataan Nik Aziz.

Mustafa dalam kedua-dua akhbar itu berpendapat perubahan kerajaan yang cuba diusahakan Anwar hari ini “tidak mungkin berlaku” dengan dua alasan.

Pertama, pada tarikh itu, Dewan Rakyat tidak bersidang, maka undi tidak percaya terhadap perdana menteri tidak boleh dibawa walaupun majoriti ahli parlimen menyebelahi Pakatan Rakyat.

Beliau juga dilaporkan berkata, secara politiknya, tidak pernah berlaku wakil rakyat kerajaan melompat parti untuk menyertai pembangkang.

Beberapa jam sebelum serangan sinis Nik Aziz kelmarin, seorang wartawan Harakah terpaksa menarik balik kenyataan penuh menteri besar Kelantan itu daripada blognya atas arahan ketua pengarang eksekutif akhbar itu Ahmad Lutfi Othman.

“Beberapa alasan telah diberi, namun saya pasti sebenarnya beliau tersepit. Malangnya oleh kerana kebimbangan saya di atas beberapa sebab, saya dengan itu menarik kembali artikel tersebut dengan rasa berat hati dan merasai kebebasan bersuara telah disekat,” catat Wan Nordin Wan Yaakob di blognya Politik Suku Sakat (wannordinwanyaakob.blogspot.com).

Tambahnya, seorang lagi wartawan akhbar rasmi PAS itu “turut menerima tamparan apabila seorang pemimpin menghubunginya dan meminta isu itu jangan dihebahkan, malah kenyataan Tok Guru (Nik Aziz) itu katanya (pemimpin itu) melampau.”

“Saya hanya penulis picisan yang terhimpit dengan ideologi politik suku-sakat, dan inilah yang dikatakan ‘Politik Suku Sakat’, akhirnya saya juga yang terkena penahan mereka,” kata wartawan itu lagi.

Wan Nordin bagaimanapun tidak mendedahkan pemimpin-pemimpin PAS yang mengganggu beliau dan seorang wartawan wanita itu.

Usaha Malaysiakini menghubunginya hari ini gagal.

Dalam kenyataan yang sama, kini beredar lebih meluas dalam kalangan penyokong PAS yang pro-kerjasama dengan Pakatan Rakyat, Nik Aziz turut melahirkan kebimbangannya apabila Harakah sendiri terlibat menyiarkan pandangan Mustafa yang meragui usaha menumbangkan kerajaan BN gaya Anwar itu.

“Saya tidak dapat bayangkan bagaimana Harakah boleh memainkan peranan sebagai lidah rasmi parti dan organ parti, apabila orang nombor satu (Mustafa) yang merupakan pesuruhjaya PAS Terengganu ini telah mengambil sikap membelakangi keputusan Muktamar,” kata Nik Aziz.

“Saya percaya, ini sedikit sebanyak akan mempengaruhi pojok, cerita, berita dan analisis yang dibuat.

“Dengan dibenarkan penerbitan dua kali seminggu maka lebih cepat lagilah ia boleh merosakkan imej Harakah. Pada logiknya, pembaca Harakah akan berkurangan. Saya fikir suatu keputusan perlu dibuat mengenai perkara ini.”

2 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Kecoh dalam diam…

dari agendadaily

Mengikut laman web rasmi Datuk Seri Anwar Ibrahim antara yang akan hadir menyampaikan ucapan pada majlis sambutan Hari Malaysia di Stadium Kelana Jaya Isnin malam ialah Presiden PAS Datuk Seri Haji Hadi Awang.

“ Program bermula dengan Majlis Buka Puasa, Solat Maghrib, Isya, Tarawikh dan diikuti dengan ucapan pemimpin Pakatan Rakyat. YB Lim Kit Siang dan YB Tuan Guru Dato’ Seri Hadi Awang akan menyusul selepas Solat Tarawikh di lapangan stadium. Program kemuncak adalah perutusan YB Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena Hari Malaysia 16 September .” Itulah seperti yang dinyatakan.

Namun sampai ke sudah kelibat Presiden PAS itu pun tak nampak.

Apakah nama Haji Hadi digunakan hanya untuk jadi daya penarik para ahli PAS menghadiri majlis itu?

Ini bukan pertama kali beliau tidak hadir pada satu majlis yang diadakan di stadium berkenaan.

Tidak lama dulu masa majlis protes kenaikan harga minyak anjuran badan yang dinaungi oleh Bendahari PAS Pusat Dr Hatta Ramli yang pro Anwar ,beliau disenaraikan akan hadir tetapi tidak datang.

Kalau nak kira majlis Hari Malaysia ini merupakan malam penting bagi barisan pembangkang apa lagi sambutannya pada saat menjelang tarikh 16 September.

Para pemimpin utama DAP, Kit Siang dan anaknya Guang Eng turun.Sebaliknya tidak ramai para pemimpin utama PAS hadir kecuali Setiausaha Agung Datuk Kamaruddin Jaafar,Dr Hatta dan beberapa yang lain.

Malah Pesuruhjaya PAS Selangor juga Exco kerajaan negeri, Datuk Dr Hassan Ali juga tidak kelihatan.

Apakah ini ada kaitan dengan rasa kurang yakin pada gembar gembur Anwar mengenai kerajaan 16 September?

Disebalik semua ini rupanya ada kecoh dalam diam-diam menyangkut isu ini.

Kenyataan terbuka Persuruhjaya PAS Terengganu Datuk Mustapha Ali bahawa dakwaan Anwar dapat mengambilalih kerajaan dari Barisan Nasional menerusi lompat parti pasti tak akan jadi dikatakan telah mencetuskan rasa kurang senang dikalangan golongan yang pro-Anwar dalam parti itu.

Mustapha diketahui adalah penasihat politik kepada Haji Hadi.

Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Aziz Nik Mat telah mengeluarkan satu kenyataan yang panjang menghentam Mustapha.

Ikut ceritanya kenyataan bertarikh 11 September itu telah dihantar untuk disiarkan dalam akhbar Harakah.Namum ia telah ditolak.

Makanya kenyataan penuh itu kini disiarkan dalam laman blog milik seorang yang rapat dengan Datuk Husam Musa.

Husam pula diketahui sangat berpengaruh keatas Nik Aziz.

Husam juga diketahui merupakan kalangan pemimpin PAS yang pro-Anwar.

Berikut ialah kenyataan penuh Datuk Niz Aziz yang disiarkan dalam laman blog berkenaan dibawah tajuk ‘ Kenyataan Nik Abdul Aziz yang di ‘ haramkan’ :

RAKYAT TERENGGANU SALAH PILIH PESURUHJAYA

1. Saya telah membaca dengan teliti pandangan Pesuruhjaya PAS Terengganu yang kali ini lebih gemar menggunakan nama beliau sebagai pengamal dan penganalisis politik daripada bertindak sebagai seorang Pesuruhjaya PAS Negeri. Walaupun sewaktu beliau berdiri sebagai penganalisis politik dalam mana-mana waktu sekalipun, pada saya, beliau tetaplah Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu. Baik dalam keadaan berdiri, duduk, atau berbaring, Mustafa bin Ali adalah seorang Pesuruhjaya PAS.

2. Dengan demikian, mahu tidak mahu pandangan beliau itu tetap mencerminkan pandangan PAS Terengganu. Lebih mendukacitakan lagi ialah apabila pandangan beliau ini bersifat anti keputusan Muktamar. Sekaligus, ia menentang arus Syura yang memutuskan untuk mengukuhkan Pakatan Rakyat dan tidak sebaliknya seperti yang sedang dilakukan oleh Mustafa Ali. Dalam respons dan setiap ayat yang digunakan, saya tidak nampak sikap Mustafa yang boleh mengukuhkan Pakatan Rakyat seperti yang diputuskanoleh Muktamar secara “standing ovation”.

3. Sepatutnya tugas pemimpin termasuk Pesuruhjaya ialah mendukung dan mengukuhkan keputusan Muktamar. Sifat rajin mengeluarkan kenyataan walaupun tidak disuruh adalah sesuatu yang aneh dan menghairankan. Lebih-lebih lagilah ia mencanggahi keputusan Muktamar. Sepatutnya ceramah atau temuramah bersifat lanjutan kepada keputusan Muktamar.

4. Saya membuat perbandingan antara kenyataan Mustafa di muka surat 1 dan 3 Utusan Malaysia, 11 September 2008 dengan kenyataan Dato’ Johari Baharom, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri sendiri termasuk kenyataan PM sendiri dalam Berita Harian pada hari yang sama. Mesejnya sama iaitu tidak ada apa yang akan berlaku pada 16 September 2008 iaitu “tidak mungkin ada undi tidak percaya kerana Parlimen tidak bersidang.” Sentimen Mustafa yang “terus terang tidak yakin adanya bilangan sebanyak 30 orang yang akan melompat parti” betul-betul serupa dengan nada Presiden Umno. Betul-betul serupa.

5. Lidah Mustafa boleh dikatakan sudah menjadi lidah Umno. Kita kena faham bahawa lidah ini adalah jurubahasa kepada hati. Jika begitu keadaannya apa yang ada dalam hati, maka lebih baik terang-terang sokong Umno. Hujah untuk “meredakan keresahan rakyat” yang digunakan oleh Mustafa tidak tepat. Apa yang tepat ialah kita kena tanya rakyat resah kerana apa? Jawabnya, rakyat resah kerana pimpinan di bawah Umno selama ini telah menimbulkan seribu satu macam keresahan. Usaha Pakatan Rakyat yang sama-sama sedang didukung oleh PAS, PKR dan DAP ini adalah usaha untuk memulihkan keresahan rakyat. Pemulihan dan keyakinan akan berlaku apabila Pakatan Rakyat menguasai di peringkat Pusat. “Cross over” kepada Pakatan Rakyat yang menuju ke arah peralihan kuasa sama ada 16, 17, 18, 19 atau 20 September 2008 hendaklah menjadi agenda setiap orang : agenda setiap Pesuruhjaya PAS Negeri termasuklah Mustafa bin Ali. Inilah semangat Muktamar yang telah kita sama-sama putuskan secara sebulat suara. “Standing ovation” itu adalah sebulat suaralah tu. Keputusan Muktamar ini, bukan kerja main-main.

6. Apa tujuan kita adakan kursus, seminar, ceramah, tamrin, usrah, doa, sembahyang hajat, munajat, pagi, petang, siang dan malam kalau tidak kerana untuk menumbangkan sebuah pemerintahan yang tidak cenderung kepada Islam. Jika Umno hendakkan Islam, sudah lama dia laksanakan Islam.

7. Saya tidak fahamlah bila Mustafa menyebut bahawa dia bercakap secara bebas dan pendirian beliau bertaraf peribadi; bukan atas kapasiti seorang pemimpin PAS. Pada saya, beliau adalah Pesuruhjaya PAS Terengganu. Dalam Islam, seseorang itu hanya boleh mempunyai satu sahsiah saja. Sesiapa yang cuba bermain-main dengan dua atau lebih rupa sahsiah, tidak layak menjadi pemimpin gerakan Islam. Sebab itu, Islam selalu menekankan soal tauhid, yakni penyatuan segala perkara di atas satu dan menuju kepada satu. Dalam PAS, tidak ada dua wajah sahsiah. Jika ada juga, maka ia sesuai untuk mewakili Umno.

8. Jika Dr. Mahathir pernah berkata bahawa ia tersalah pilih Perdana Menteri maka dalam konteks ini boleh jadilah Terengganu sudah tersalah pilih seorang Pesuruhjaya. Dalam akhir ayat Mustafa Ali, ada juga saya terbaca beliau menyifatkan isu ini timbul disebabkan keghairahan satu pihak untuk mengambil alih kerajaan. Di sini, saya cukup tidak fahamlah. Seolah-olah pada Mustafa, adalah satu kesalahan apabila kita ghairah nak gantikan kerajaan secara demokrasi. Sejak bila pula Mustafa jadi begini? Kita kena faham bahawa isu menghuruharakan ini timbul kerana sejak 50 tahun Umno memimpin negara, rakyat tidak dipimpin dengan jelas dan betul dari segi Islam atau demokrasi. Keadilan tidak diberi kepada orang-orang Melayu, Cina, India, Siam atau Kadazan. Ini yang kita ghairah untuk menggantikan kerajaan. Kita bawa Islam kerana Islam itu adil. Islam itu untuk keamanan dan kesejahteraan seluruh kaum yang bermastautin di Malaysia. Apabila nampak bahawa Kerajaan BN/Umno sudah panik dan resah sehingga terpaksa melarikan 50 Wakil Rakyat, maka pada saya, ini adalah petanda kejayaan. Tak tahu lah pula saya kenapa Mustafa Ali terpaksa bersusah payah untuk menjelaskan situasi sebenar demi meredakan. Meredakan hati siapa? Hati pemimpin Umno?

9. Dalam keadaan beginilah hati saya cepat-cepat teringat tentang HARAKAH. Saya tak dapat bayangkan bagaimana HARAKAH boleh memainkan peranan sebagai lidah rasmi parti dan organ parti, apabila orang nombor satu yang merupakan Pesuruhjaya PAS Terengganu ini telah mengambil sikap membelakangi keputusan Muktamar. Saya percaya, ini sedikit sebanyak akan mempengaruhi pojok, cerita, berita dan analisis yang dibuat. Dengan dibenarkan penerbitan dua kali seminggu maka lebih cepat lagilah ia boleh merosakkan imej HARAKAH. Pada logiknya, pembaca HARAKAH akan berkurangan. Saya fikir suatu keputusan perlu dibuat mengenai perkara ini.

10. Saya sebenarnya masih mahu mengambil sikap bertangguh dari terlalu cepat mengemukakan respons. Dengan begitu, saya akan cuba ikuti lagi apa rentak yang akan dibawa oleh pemimpin seperti Mustafa Ali. Saya percaya, mungkin ada satu atau dua orang lagi yang bersama dengan beliau. Selaku orang tua dalam parti, saya telah mengikuti orang penting dan orang yang tidak penting keluar masuk ke dalam parti. Bahkan Allahyarham Dato’ Haji Asri Muda sekalipun pernah meninggalkan Parti PAS. Pada waktu itu beliau adalah di kerusi Presiden. Beliau akhirnya masuk Umno dan semua orang tahu bagaimana beliau mengakhiri karier politiknya.

NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT

Bertarikh : 11 Ramadhan 1429
11 September 2008.

p/s Kenyataan di atas telah diarah ditarik siarannya dari Harakah. Terdapat tangan-tangan hitam di puncak Raja Laut yang begitu taksub dengan UMNO sehingga tindakan mereka pun sudah sama dengan UMNO.

3 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

UMNO Dan PAS Dibubarkan

Menyusul isu muzakarah-muqabalah, hari ini Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mencadangkan supaya UMNO dan parti itu dibubarkan dengan menubuhkan sebuah parti baru berlandaskan Islam bagi menyatukan orang Melayu dan sebagai tempat berlindung kepada semua pihak termasuk bukan Islam.

Selepas tiga hari pemimpin kanan PAS bertemu dan tiga hari selepas mesyuarat Majlis Tertinggi Umno yang menyentuh isu syor muzakarah-muqabalah, Menteri Besar Kelantan itu berkata, Islam menepati semua matlamat perjuangan termasuk politik dan perlu dijadikan asas kepada perjuangan manamana parti politik yang inginkan kepada perjuangan sebenar.

“UMNO bubar PAS pun bubar, tubuh parti lain dengan syarat berdasarkan kepada Islam,” kata beliau dipetik Bernama selepas merasmikan Muktamar Dewan Ulama Pas Kelantan Ke-37 di sini.

Nik Abdul Aziz memberitahu, UMNO tidak ada sebab untuk menolak dasar Islam yang dicadangkan oleh PAS melalui parti itu kerana Islam milik semua kaum termasuk bukan Melayu di negara ini.

“Kalau tidak kena dengan Islam di manamana, cuba beritahu dan kalau UMNO itu benar dan tidak bertentangan dengan agama cuba beritahu,” katanya ketika mengulas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang membayangkan kemungkinan diadakan kerjasama politik dengan PAS suatu masa nanti.

Nik Abdul Aziz berkata, dengan cara demikian ia dapat mengembalikan kekuatan Islam di negara ini di samping merapatkan hubungan antara kaum termasuk bukan Islam.

“Islam untuk semua kaum, bukan untuk orang Melayu sahaja atau Cina, India dan Orang Putih, semua perlu bersatu di bawah Islam,” katanya. – mstar

nota: Penulis berpendapat tidak perlu UMNO dan PAS tidak perlu dibubarkan bagi mewujudkan kerjasama politik sekiranya perlu diadakan. Sebaliknya keterbukaan di dalam perjuangan parti masing2 hendaklah dilaksanakan. Permasalahan isu muzakarah atau muqabalah sekarang ini adalah kerana sikap dan pemikiran sempit beberapa individu dari kedua-dua parti yang menganggap kerjasama pas/umno melalui muzakarah/muqabalah ini sebagai satu ancaman kepada kedua2 parti dan secara tidak langsung ancaman kepada individu tersebut.

17 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Pak Lah terima baik cadangan berbincang dengan PAS

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menerima baik cadangan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk berbincang dengan Umno mengenai isu-isu yang berkaitan dengan orang Melayu dan Islam.

Perdana Menteri berkata Umno sedia untuk berbincang dengan PAS untuk mewujudkan persefahaman supaya perbalahan yang berkait dengan Melayu dan Islam dapat dikurangkan.

“Jika ada persefahaman, maka kuranglah satu masalah yang melibatkan orang Melayu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan mengenai golongan miskin dan berpendapatan rendah di bandar, di sini hari ini.

Namun, katanya, Abdullah apa sahaja yang perlu dilakukan untuk kebaikan orang Melayu juga perlu mengambil kira kebaikan rakyat keturunan lain.

Dalam satu temubual dengan akhbar PAS, Harakah, baru-baru ini, Hadi mengakui bahawa terdapat individu PAS mengadakan perbincangan dengan individu Umno bagi menerokai kerjasama.

Mengenai tindakan polis mengadakan sekatan jalan raya di beberapa lokasi di ibu negara, Perdana Menteri berkata pasukan keselamatan hanya menjalankan tugas, terutamanya untuk mengurangkan gangguan kepada lalu lintas akibat tunjuk perasaan  anti kerajaan.

“Kumpulan yang mahu mengadakan tunjuk perasaan ini menyebabkan kesesakan lalu lintas yang teruk. Polis cuba menyekat kekacauan,” katanya.

Abdullah berkata demonstrasi sebegitu tidak seharusnya berlaku dalam bandar raya kerana ia menjejaskan perniagaan dan aktiviti harian orang ramai.

“Pekedai mahu berniaga dan mereka mempunyai hak terhadap jaminan tidak ada kekacauan. Oleh itu, polis mengambil langkah memastikan kekacauan jalanan tidak berlaku.

“Pada masa yang sama, penunjuk perasaan kata mereka tidak sepatutnya dihalang. Namun, polis bertanggungjawab memastikan tidak ada kekacauan,” katanya.

Abdullah berkata perhimpunan seperti itu sepatutnya diadakan di stadium supaya tidak berlaku gangguan kepada orang ramai.  – mstar

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Nik Aziz akui hubungan PAS-PKR belum sempurna

Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengakui hubungan PAS dan Parti Keadilan Rakyat Malaysia (PKR) belum sempurna kerana dibentuk dalam masa yang singkat.

“Barisan Nasional (BN) yang dibentuk bertahun-tahun pun tidak stabil, macam mana (PAS dan PKR) yang baru setahun jagung hendak sempurna,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Majlis Hari Yayasan Islam Kelantan di sini, hari ini.

Beliau berkata, hubungan antara PAS dan PKR tidak sampai setahun, sedangkan kedua-dua parti itu yang mempunyai perbezaan dasar, memerlukan masa agak panjang untuk stabil.

Mursyidul Am PAS itu berkata keadaan itu adalah perkara biasa yang berlaku dalam setiap ikatan dua parti apatah lagi kedua-dua terlalu muda dan memerlukan persefahaman.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas satu laporan media hari ini yang mendakwa hubungan PAS dan PKR mulai retak berikutan prinsip perjuangan keduadua parti itu jauh berbeza. – mstar

nota: mutakhir ini banyak cakap-cakap yang mengatakan PAS tidak teragak-agak untuk keluar dari Pakatan Rakyat. Ini dikuatkan lagi dengan kenyataan Pemuda Pas Selangor yang akur sekiranya PAS keluar dari Pakatan Rakyat. Penulis amat menyokong sekiranya Pas keluar dari Pakatan Rakyat dan masuk bersama Barisan Nasional atau berjuang atas tiket sendiri. Buangkan yang keruh ambillah yang jernih sekiranya PAS bersetuju untuk bersama UMNO kembali.

4 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Perjanjian Pangkor II – PAS Pusat tidak pasti

dari utusan

Pas Pusat tidak pasti mengenai kewujudan ‘Perjanjian Pangkor II’ antara Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dengan pemimpin DAP berkaitan perjuangan menegakkan pemerintahan Islam di negeri itu.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Kamaruddin Jaafar berkata, perbincangan berhubung pembahagian kuasa antara parti-parti dalam pakatan pembangkang di negeri yang ditadbir mereka memang pernah dibuat.

“Tetapi saya tidak pastilah sama ada wujud sebarang bentuk perjanjian, di peringkat pusat memang tidak ada tetapi di negeri, kamu kena tanya dengan yang berada di sana.

“Kita tidak ada maklumat pasal itu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan abang kepada Mohammad Nizar, Mohd. Fadzil menganggap adiknya itu tidak layak menerajui negeri Perak kerana menandatangani ‘Perjanjian Pangkor II’ dengan DAP yang antara isi kandungannya melarang Menteri Besar daripada menyebut negeri Perak diperintah oleh Islam.

Dalam perjanjian itu, Mohammad Nizar juga dikatakan tidak dibenarkan menyebut terma-terma politik yang berkaitan dengan Pas atau bahasa Arab seperti hudud dan qisas.

Pakatan DAP, PKR dan Pas memerintah Perak selepas pilihan raya umum 8 Mac lalu apabila mereka memenangi 31 kerusi Dewan Undanan Negeri berbanding Barisan Nasional (BN) yang mempunyai 28 kerusi.

DAP mempunyai 18 kerusi, Parti Keadilan Rakyat (PKR) memenangi tujuh kerusi dan Pas hanya memiliki enam wakil rakyat termasuk Mohammad Nizar.

Tambah Kamaruddin, perbincangan mengenai pembahagian kuasa adalah sesuatu yang normal di kalangan parti pembangkang tetapi menandatangani sebarang bentuk perjanjian adalah sesuatu yang agak luar biasa jika ia berlaku

nota: MB Perak wajar dipanggil oleh PAS Pusat bagi menerang isu perjanjian ini sekiranya ia merupakan satu perjanjian yang dibuat secara tertutup tanpa persetujuan dari Pas pusat. Penulis percaya sekiranya perjanjian ini diketahui dari awal lagi oleh Pas Pusat sudah tentu Perak tidak akan menjadi negeri boneka DAP.

1 Comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Pas anggap Protes gagal capai matlamat & Nik Aziz Kecewa

SHAH ALAM 8 Julai – Pas Selangor menyifatkan Perhimpunan Protes Sejuta Rakyat-Protes Sampai Turun di Kelana Jaya, Ahad lalu, sebagai tidak relevan dan gagal mencapai matlamatnya.

Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hassan Mohamed Ali berkata, perhimpunan itu gagal selepas tindakan penganjur mengundang kumpulan muzik underground sehingga mencetuskan insiden aksi penyanyinya melondehkan seluar pada persembahannya.

Katanya, pihak penganjur seharusnya peka dengan budaya serta agama kerana tindakan penyanyi kumpulan Carburetor Dung, Alak jelas bertentangan dengan budaya dan agama yang diamalkan di negara ini.

Menurut beliau, insiden berkenaan juga dilihat tidak menjurus kepada matlamat sebenar perhimpunan itu diadakan bagi membantah kenaikan harga minyak yang dikatakan membebankan rakyat ketika ini.

‘‘Saya tidak nampak apa relevannya pihak penganjur mengundang kumpulan itu mengadakan persembahan sedemikian kerana ia jelas tidak sesuai dengan tujuan sebenar perhimpunan itu. Malah, ia juga dilihat seolah-olah satu pertunjukan hiburan.

‘‘Saya difahamkan juga, ketika perhimpunan itu, kira-kira 700 orang Unit Badan Amal Pas turut menarik diri sebagai urus setia dan saya tak salahkan mereka.

‘‘Tetapi saya fikir, jika itu (persembahan) merupakan tarikan orang ramai hadir ke perhimpunan tersebut, saya anggap ia tidak mencapai sasaran dan tidak berjaya,’’ jelas beliau yang juga Exco Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor, di sini hari ini.

dan

KOTA BHARU 8 Julai – Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kecewa dengan perjalanan perhimpunan Protes Sejuta Rakyat-Protes Sampai Turun kelmarin yang bertukar menjadi majlis ‘seronok-seronok’.

Menurut Nik Abdul Aziz, beliau tidak terfikir program yang digerakkan oleh pakatan pembangkang bagi membantah kenaikan harga minyak turut diselitkan dengan persembahan muzik liar dan melampau itu.

“Saya kecewa betul, saya tak terfikir benda tu boleh berlaku, macam mana saya pun tak faham,” katanya yang juga Menteri Besar Kelantan kepada pemberita selepas sidang Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Sehubungan itu, katanya, beliau bersetuju dengan tindakan ahli Pas termasuk unit amalnya yang dikatakan bertindak keluar dari stadium kerana tidak menyenangi apa yang berlaku.

“Saya memang setuju, buat apa kita turut orang, turun dari rumah kita nak protes, tiba-tiba sampai di sana, orang lain buat cara bukan nak protes, tapi nak seronok-seronok, tak boleh,” katanya.

nota: tujuan utama himpunan ini amat diragui. Ia jelas bahawa himpunan ini adalah bermotifkan politik. Ramai rakyat yang tertipu. Itulah Pakatan Rakyat..Islam Hadhari Ditolak…Budaya PUNK dijemput!!!

4 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

SAPP parti orang kecewa: NIk Aziz

KOTA BHARU: Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan tindakan Parti Maju Sabah (SAPP) mengisytiharkan sudah hilang kepercayaan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai tindakan tikam belakang yang dilakukan oleh orang yang kecewa.

“Tikam kawan ini kerja orang yang kecewa, sepatutnya kita kena bincang,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Bandar Satelit Islam Pasir Tumboh di sini, hari ini.

Presiden SAPP, Datuk Yong Teck Lee semalam mengisytiharkan parti itu sudah hilang kepercayaan terhadap Abdullah dan akan menyokong usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri.

Nik Aziz berkata tindakan SAPP itu adalah “titik pertemuan” SAPP dengan parti pembangkang dalam Pakatan Rakyat.

“Saya tak biasa lagi dengan dia ni, tapi dia sudah mulai ikut ‘line’ (laluan) pembangkang, maknanya sudah ada titik pertemuan di antara kami dengan dia. Cukuplah tu untuk permulaan,” katanya. – sumber bharian

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Mengapa Israel Prihatin Terhadap Politik Malaysia?

petikan dari utusan dan kmu..

ORANG Melayu yang beragama Islam mesti berwaspada dan hendaklah selalu mengingatkan diri betapa bahayanya mainan Yahudi terhadap umat Islam. Lihatlah negara dan rakyat Palestin bertahun-tahun menderita akibat kekejaman Yahudi.

Sebab itu apabila akhbar Israel Jerusalem Post meramalkan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal menjadi Perdana Menteri Malaysia (Anwar Ibrahim: Malaysia‘s Future Prime Minister), saya bukan gusar Anwar menjadi Perdana Menteri, tetapi saya risau jika negara kita diperalatkan Yahudi.

Biasalah kerja akhbar membuat ramalan seperti itu. DAP pun buat ramalan yang sama: “Anwar Prime Minister in the making.” Tetapi yang menimbulkan musykil kenapa daripada beribu-ribu akhbar di dunia, akhbar Yahudi saja yang membuat ramalan? Mengapa daripada sekian banyak pemimpin di dunia, hanya Anwar yang menarik minatnya?
Israel sendiri tahu Malaysia adalah salah satu negara Islam yang lantang menentang keras pencerobohan dan penindasan yang dilakukannya ke atas negara dan penduduk Palestin. Apakah dengan membuat ramalan itu sebagai satu daripada cara Yahudi memanipulasi keadaan untuk kepentingannya?
Kita ingin tahu apa sebenarnya yang berlaku? Apakah ada udang di sebalik batu? Kita harap PKR atau Datuk Seri Anwar sendiri menyatakan pendiriannya.
Mungkin mereka akan mengatakan itu adalah kebebasan akhbar. Walaupun alasan itu betul tetapi dalam masa yang sama ia tidak semestinya mengorbankan prinsip.
Amerika Syarikat (AS) sebagai sebuah negara super power di dunia boleh tunduk kepada Israel, inikan pula sebuah negara kecil seperti Malaysia tidak mustahil boleh tertiarap di kaki Israel. Yahudi menguasai politik AS bukan baru. Kesemua presidennya mengikut telunjuk Israel. Mereka yang tidak mengikut kemahuan Israel tidak akan dapat bertahan lama sebagai Presiden AS.
Bagi orang Islam Yahudi tetap musuh Islam. Allah S.W.T. memberi penegasan jelas di dalam al-Quran mengenai Yahudi. Jangan hanya kerana kepentingan politik kita tidak mempedulikannya.
Kalaulah ramalan akhbar Israel itu menjadi kenyataan pasti seluruh Malaysia akan memuji ramalan Yahudi itu betul. Dan akhbar Yahudi akan membuat pengiktirafan. Mungkin dalam sejarah Islam, inilah satu-satunya pemimpin yang diiktiraf oleh Yahudi.
Semua orang tahu, Islam mengajar umatnya perlu bijak memilih kawan. Kita boleh berkawan dengan orang kafir, tetapi kafir yang bagaimana? Ini perintah Tuhan.
Pilihlah kafir yang bersedia untuk bertolak ansur dengan kita. Islam menghalang kita memilih orang kafir menjadi pemimpin kita.
Saya harap andaian saya ini hanyalah satu khayalan. Ini kerana saya berpegang kepada ajaran Islam bahawa Yahudi tetap Yahudi. Sebaik mana pun mereka adalah musuh Islam, bangsa yang dilaknati Tuhan. Saya tidak terfikir ada orang Islam sanggup menggadai maruahnya kepada Yahudi.
Sebenarnya saya masih musykil mengapa akhbar Israel tiba-tiba begitu berminat dengan hal ehwal Malaysia? Saya harap kita tidak tertipu dengan mainan Yahudi. Saya harap Pas patut memberi ulasan mengenainya.
Dalam hal ini pemimpin ulama patut memberi nasihat yang betul kepada Anwar. Malah Pas patut memperbetulkan pendiriannya apabila menerima DAP dalam Pakatan Rakyat. Saya tidak perlu menghurai atau memperjelaskan siapa DAP.
Semua orang tahu.

Orang Yahudi sedang menunggu saat untuk bertepuk tangan melihat sebuah kerajaan pimpinan orang Islam jatuh di kaki bangsanya sendiri. Mungkin ketika itu orang Melayu akan turut bersorak-sorai memuji, betullah apa yang diramalkan oleh akhbar Yahudi, Jerusalem Post. Semoga kita tidak menang sorak, kampung tergadai. ”

nota: negara dikejutkan dengan laporan sebuah akhbar israel iaitu Jerusalem post yang membuat liputan mengenai Anwar Ibrahim – Malaysia’ Future Prime Minister.. boleh di baca di sini dan sebelum itu, Tun Mahathir sendiri mengakui bahawa melayu akan menjadi alat kepada orang asing sekiranya Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri… petikan boleh dibaca di sini ….. Jawatan anwar ibrahim sebagai pengerusi yayasan masa depan atau future foundation amat meragukan. Ini kerana yayasan masa depan ini hanya menumpukan usaha mereka yang kononnya memperjuangkan kebebasan dan demokrasi di negara2 timur tengah dan afrika utara yang mana majoriti negara2 tersebut adalah negara ISLAM yang kita tahu sedang aman dan makmur seperti Arab Saudi, UAE, Qatar,  Bahrain dan lain2…tidak dinafikan ada negara yang agak bergolak tetapi masih berjaya dikawal kerana pegangan terhadap ajaran Al Quran mereka masih kuat… sila baca pendapat awal mengenai yayasan ini di sini… Sedih melihat masih lagi yang beranggapan bahawa anwar ibrahim adalah bersih dan tiada kaitan dengan usa atau yahudi…. sehingga hari ini belum pernah lagi kita dengar kritikan anwar terhadap israel dan usa….di mana pendirian anwar apabila islam diperbodohkan oleh Ahli Parlimen Belanda menerusi filem Fitna?? Tidak memeranjatkan sekiranya apabila anwar menjadi PM Malaysia, rakyat Malaysia bebas utk pergi melancong ke Israel….(sekrg dlm passpot sudah nyatakan rakyat malaysia tidak dibenarkan ke Israel)….tidak memeranjatkan ekonomi Malaysia rancak ….dijana oleh dana kewangan Yahudi….tidak memeranjatkan banyak syarikat asing masuk melabur ke Malaysia..syarikat yang disokong oleh Yahudi seperti di Singapura….

Anda nilaikan….anda tentukan….bagi penulis biarlah Malaysia spt sekrg….jangan kerana emosi kita bertindak…kerana emosi bukan tempat terbaik untuk berfikir…..sebaiknya…gunakan akal fikiran yang Allah SWT berikan..insyaAllah tindakan terbaik yang kita akan ambil..Sehingga hari ini, para pemimpin PAS tidak mengeluarkan apa2 pendirian mereka terhadap liputan anwar di dada akhbar Yahudi Israel ini. Ini jelas kerana mereka sememangnya dahagakan kuasa, populariti dan ingin melihat Islam khususnya orang melayu menderita di tanah sendiri….ape tah lagi DAP…mereka sememangnya anti Islam…..

wassalam

9 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda