Tag Archives: open

Harga Minyak Naik Ogos Ini?

sumber mstar

KUALA LUMPUR: Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Shahrir Abdul Samad hari ini membayangkan harga minyak petrol dan diesel akan naik mulai Ogos depan.

“Ia akan berlaku… harga petrol akan naik, saya fikir mungkin dalam Ogos tahun ini apabila sistem subsidi diberi penstrukturan semula,” katanya.

Kenaikan harga minyak itu selari dengan penstrukturan mekanisme baru skim subsidi minyak yang dinikmati rakyat kini.

“Sudahpun ada beberapa cadangan dan mekanismenya sudah disampaikan kepada Kementerian Kewangan dan ia akan diputuskan secara terbaik,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini.

Beliau berkata walaupun harga minyak naik, subsidi minyak masih akan dinikmati rakyat berasaskan keperluan bukannya penggunaan.

“Kalau hari ini kita lihat subsidi yang kita terima tu, dia berasaskan kepada jumlah yang kita pakai. Kalau kita guna 200 liter sebulan pun kita akan dapat subsidi bagi setiap liter yang kita beli, kalau kita guna hanya 100 liter pun kita akan dapat subsidi, jadi bermakna tak ada sekatan kepada subsidi yang kita peroleh kerana ia berasaskan kepada kegunaan kita.

“Itu bermakna ia satu sistem subsidi yang tak terjurus kepada masalah. Sepatutnya subsidi itu kepada kumpulan yang memerlukan pertolongan dan memerlukan subsidi, bukan hanya diberikan ikut kemampuan kita menggunakannya (bahan yang bersubsidi),” katanya.

Shahrir berkata penstrukturan itu juga adalah antara pendekatan kerajaan dalam menangani peningkatan beban tanggungan subsidi berikutan kenaikan mendadak harga minyak dunia sehingga mencecah lebih AS$130 setong ketika ini.

Beliau berkata jumlah subsidi yang dijangka ditanggung kerajaan untuk petrol, diesel dan LPG tahun ini ialah RM56 bilion dan ia berbeza dari tahun 2000 hingga 2007 iaitu RM37.4 bilion.

Shahrir berkata larangan penjualan petrol dan diesel oleh stesen minyak beroperasi dalam lingkungan 50km dari sempadan kepada kenderaan asing, adalah hanya langkah sementara.

Katanya larangan itu mungkin sehingga sistem pengurusan subsidi bahan api yang sesuai diputuskan oleh Jawatankuasa Kabinet Menangani Inflasi pada Ogos ini.

“Ini adalah tindakan sementara dan ia bukan satu tindakan yang berpanjangan kerana akhirnya kerajaan akan uruskan soal subsidi petrol dan diesel.

“Sekatan ini perlu untuk halang kenderaan masuk hanya untuk ambil minyak seterusnya membuat rakyat sedar memang besar subsidi yang diberikan kepada petrol dan diesel. Apabila sistem pengurusan subsidi dapat kita putuskan, sekatan tak akan timbul lagi,” katanya.

Beliau berkata larangan penjualan itu sudah berkuatkuasa di sempadan Malaysia dan Thailand hari ini manakala bagi sempadan Singapura, ia akan berkuatkuasa pada 9 Jun ini.

“Larangan penjualan minyak itu tidak membabitkan mereka yang menunggang motosikal kerana kerajaan sentiasa mengambil berat terhadap golongan yang berpendapatan rendah dan membuat keputusan untuk mengecualikan mereka,” katanya.

Shahrir berkata beliau tidak melihat larangan itu akan menjejaskan ekonomi negara walaupun terdapat rungutan daripada pengusaha stesen minyak terbabit.

“Saya dapati daripada laporan yang diterima memanglah perniagaan di sebelah sempadan itu dari segi pelanggan kereta kenderaan Thailand bisnesnya di stesen minyak itu telah berkurang sikit, dah tak berpusu-pusu macam dulu.

“Jika ekonomi negara bergerak hanya kerana penjualan barangan subsidi, maknanya kita tak mantap. Saya tak lihat bahawa ia boleh menimbulkan masalah dari segi ekonomi,” katanya.   BERNAMA

nota: penulis percaya kenaikan yang akan berlaku ini adalah sesuatu yang tidak boleh ditangguhkan. Lihat negara jiran Indonesia yang baru sahaja menaikkan harga bahan bakar sebanyak 30% dan juga telah mengumumkan untuk keluar sebagai ahli OPEC. Faktor pasaran masa depan komoditi utama ini merupakan musuh utama yang menyebabkan harga minyak naik mendadak mutakhir ini. Penulis percaya pihak pembangkang akan memanipulasi isu kenaikan minyak ini terutama DSAI akan menjadi pelakon utama. Beliau sudah pasti akan mengatakan bahawa beliau adalah menteri yang berjaya mengekalkan harga minyak pada paras terendah pada zaman beliau. Persoalannya adakah harga satu tong minyak pada hari ini sama dengan harga semasa beliau menjadi menteri kewangan dahulu?

2 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda