Tag Archives: Pak Lah

Gobind Berani Dalam Dewam Rakyat Je…

Kesimpulan yang boleh dibuat, Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo, selain dari menunjukkan sikap kurang ajar, rupa-rupanya hanya berani bercakap besar di dalam dewan dengan berselindung di sebalik kekebalan sebagai ahli parlimen.

Ini terbukti apabila beliau diminta mengulangi tuduhan liarnya bahawa Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah seorang pembunuh dalam kes pembunuhan Altantuya yang kini sedang dibicarakan di mahkamah.

“Saya tidak mahu ulang kerana dalam Dewan saya dilindungi oleh kekebalan Ahli Dewan,” katanya kepada pemberita di lobi parlimen selepas diarah keluar oleh Timbalan Speaker, Datuk Ronald Kiandee.

Sebelum itu, sejurus selepas Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Tun Razak menggulung bajet mini di Parlimen Khamis, Gobind mencabar Timbalan Perdana Menteri bangun menjawab kaitannya dengan Altantuya.

Ketika itu beberapa ahl i parlimen Barisan Nasinal termasuk Datuk Seri Jamaluddin Jarjis (Rompian ) dan Datuk Mohamed Aziz (Sri Gading) bangun membantah tuduhan Gobind.

Ini menyebabkan berlaku pertikaman lidah malah pada satu ketika ahli parlimen pembangkang itu menyifatkan Najib sebagai pembunuh dalam kes wanita Monggolia itu.

Keadaan ini memaksa Ronald meminta Gobind tidak meneruskan isu tersebut tetapi dibangkang ahli parlimen Puchong tersebut.

Melihat wakil rakyat itu terus berdegil, timbalan speaker itu mengarahkan Gobind keluar dewan tetapi anak kepada Karpal Sing itu, enggan malah menjawab, “ tindakan speaker itu memalukan diri sendiri,”.

Menurut Ronald, isu itu tidak patut dibangkitkan kerana sedang dibicarakan di mahkamah dan Gobind tidak patut sentuh peribadi seorang ahli dewan (Najib) ketika berhujah di dewan .

Beliau kemudian mengarahkan bentara mengiringi Gobind keluar dewan dan hanya dibenarkan masuk ke dewan selepas persidangan hari ini ditangguhkan.

Dalam keadaan marah dan tidak puashati, Gobind keluar kira-kira jam 4.10 petang.

Mengulas lanjut tindakan timbalan speaker itu di lobi parlimen, Gobind berkata, beliau tidak kisah sekiranya digantung dari menghadiri Dewan kerana kononnya tindakan beliau itu bertujuan menyuarakan kehendak rakyat.

“Saya tidak menyesal langsung. Datuk Najib mesti membuat pengumuman terbuka kerana dia akan menjadi Perdana Menteri tidak lama lagi.,” katanya.

Malah beliau sekali lagi mendesak Najib supaya membuat pengumuman terbuka bahawa beliau tidak terlibat dalam kes bernenaan.

Untuk rekod, Najib sudah beberapa kali telah menafikan penglibatan beliau dalam kes pembunuhan Altantuya malah bersumpah tidak pernah kenal atau berjumpa dengan warga Mongolia itu.

Selain itu, beliau juga semasa menggulung perbahasan bagi pihak Kementerian Pertahanan pada sidang Dewan Rakyat tahun lalu, Najib secara terbuka membuat kenyataan menafikan perkara yang sama .

Berdasarkan kenyataan Najib tersebut, cabaran Gobind supaya Timbalan Perdana Menteri itu membuat pengumuman terbuka tidak berbangkit kerana Najib sebenarnya telah pun berbuat demikian beberapa kali.

2 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Pak Lah Presiden Pertama Barisan Nasional? – REF Malaysiakini

SMS The Star berbunyi

“The Prime Minister has suggested allowing people to become members of Barisan Nasional without joining any component party.

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi said this would make the party more multiracial and allow those who love Barisan to get closer to the party.

He was speaking at Gerakan’s 37th national election here on Saturday.”

Setelah mengumumkan pendirian beliau utk tidak mempertahankan jawatan Presiden UMNO pada pemilihan akan datang, Pak Lah muncul dengan memberi cadangan utk membenarkan rakyat terus menjadi ahli Barisan Nasional tanpa perlu menjadi mana-mana ahli parti komponen BN.

Umum mengetahui bahawa Barisan Nasional merupakan satu perikatan/gabungan yang didaftarkan bersama dengan 13 parti komponen (SAPP keluar BN pada 17 September 2008). Sejak pembentukan 1973, setiap parti komponen yang bertanding akan menggunakan lambang dacing yang melambangkan mereka sebagai wakil dari Barisan Nasional.

Pada zaman Parti Perikatan keahlian terus dibenarkan pada satu ketika tetapi selepas Barisan Nasional ditubuhkan keahlian terus tidak lagi digunapakai. Ini kerana Barisan Nasional terbentuk atas satu gabungan dari pelbagai parti politik.

Sekiranya keahlian terus dibuka kepada semua rakyat Malaysia, maka Barisan Nasional perlu didaftarkan sebagai sebuah parti politik. Sehingga hari ini, jawatan tertinggi Barisan Nasional digelar sebg Pengerusi yang secara tradisinya dipegang oleh Presiden UMNO iaitu parti yang menjadi majoriti di dalam Barisan Nasional.

Sekiranya Barisan Nasional didaftar sebagai sebuah parti politik, maka gabungan parti komponen sudah tidak ada lagi. Parti-parti ini juga tidak seharusnya wujud lagi sekiranya Barisan Nasional ingin di daftar sebagai sebuah parti politik.

Adakah Pak Lah akan menjadi akan menjadi Presiden Pertama Barisan Nasional sekiranya cadangan untuk membuka keahlian terus diterima oleh setiap parti komponen? Adakah parti-parti komponen menerima cadangan ini? Adakah selama ini jawatan Pengerusi BN akan dimansuhkan dan diganti dengan jawatan Presiden  BN dengan Pak Lah sebagai Presiden yang pertama? Bolehkah idea utk mewujudkan satu parti politik ‘multi-racial’ digunapakai sedangkan sekrg ini sudah terdapat beberapa parti yang beridealogi ‘multiracial’ wujud tetapi didominasi oleh satu kaum sahaja?

Sama-sama kita tunggu dan lihat reaksi parti-parti komponen mengenai cadangan ini di dalam usaha memupuk semangat setiakawan antara kaum di negara kita.

1 Comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

5 Inisiatif Terakhir Pak Lah.. – Malaysiakini

:Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu melaksanakan lima inisiatif termasuk menubuhkan tiga suruhanjaya sebelum melepaskan jawatan Perdana Menteri dan Presiden Umno Mac depan.

Ketiga-tiga suruhanjaya yang dimaksudkan Abdullah ialah Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Suruhanjaya Aduan Khas.

Jelas Abdullah, badan kehakiman perlu memperkukuhkan kedudukan dan kredibilitinya di mata rakyat.

“Saya akan membawa rang undang-undang ke Parlimen bagi menubuhkan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman. Suruhanjaya ini akan diberi mandat untuk mencadangkan pelantikan para hakim dengan cara yang telus,” katanya.

Selain itu, kata beliau, negara juga memerlukan sebuah institusi yang dapat memerangi gejala rasuah dengan efektif.

“Oleh itu, saya juga akan membawa rang undang-undang ke Parlimen untuk menubuhkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, yang akan mempunyai kuasa penyelidikan dan penguatkuasaan yang lebih besar berbanding kuasa yang sedia ada pada Badan Pencegah Rasuah,” katanya.

Selain itu, Abdullah berkata, beliau juga akan menubuhkan Suruhanjaya Aduan Khas bagi memperkukuhkan integriti dan keberkesanan agensi penguatkuasaan.

“Tempoh saya sebagai Presiden Umno akan tamat pada bulan Mac 2009. Namun, ada beberapa inisiatif yang saya ingin laksanakan sebelum saya menyerahkan tugas dan tanggungjawab kepada bakal pengganti saya.

“Inisiatif-inisiatif ini adalah penting untuk membolehkan negara kita terus melangkah maju. Inisiatif-inisiatif ini akan memperbaiki daya saing negara dan membolehkan Malaysia mengharungi cabaran-cabaran luaran yang pasti mendatang,” katanya.

Tambah Abdullah, beliau begitu kerap dan sering menegaskan bahawa kekayaan dan hasil kemakmuran negara perlu diagihkan secara lebih adil ke serata negara.

“Ketika membentangkan Bajet 2009 yang lalu, saya telah menjelaskan tentang komitmen kerajaan untuk memperkukuh dan memperluaskan Jaringan Keselamatan Sosial.

“Kita akan meningkatkan usaha bagi memastikan pelaksanaan inisiatif ini dapat disegerakan bagi membantu rakyat Malaysia yang miskin dan memerlukan, tanpa mengira latar belakang, kaum atau agama.

“Saya juga akan bekerja keras untuk memastikan manfaat yang jelas akan dapat mula dinikmati di Iskandar, dan juga koridor-koridor pembangunan yang lain di serata negara,” katanya.

Malah, tambah Abdullah, beliau ingin melihat kerajaan dan Barisan Nasional memperbaharui komitmen mereka terhadap usaha mewujudkan sebuah Negara yang bersatu dan harmoni.

“Hakikatnya, kita telah sama-sama melihat bahawa keharmonian hubungan antara kaum dan agama semakin merosot dan terhakis.

“Pelbagai isu telah dibangkitkan yang berupaya meretak dan menghancurkan perpaduan yang telah kita jalin sekian lama, yang kita banggakan selama ini.

“Isu-isu ini perlu kita depani dengan bijak dan matang, melalui dialog; tangani isu-isu ini secara konstruktif dan adil; bagi memastikan rakyat dapat memahami isu-isu ini dengan jelas, tanpa sebarang keraguan; dan berikan fokus kepada aspek-aspek yang menyatukan kita dan bukannya aspek-aspek yang makin memecah-belahkan kita semua,” katanya.

Bagi tujuan itu, kata Perdana Menteri, beliau akan mengadakan Konvensyen Barisan Nasional pada awal tahun depan.

“Ini sememangnya satu usaha jangka panjang yang saya harap dapat saya mulakan dan akan terus saya berikan sumbangan bagi memastikan kejayaannya,” katanya. “Saya ingin menyerahkan kepada bakal pengganti saya, Malaysia sebagai sebuah negara yang mampu untuk berhadapan dengan sebarang cabaran ekonomi global; Malaysia yang tidak mengira atau memandang miskin atau kaya, tua atau muda, di bandar atau di desa, utara atau selatan, apatah lagi kaum atau agama; melainkan peraduan dan keharmonian,” katanya.

Jelas beliau, ini bukan masanya untuk kita berbalah sesama sendiri atau untuk kita berpolitik secara sempit.

“Ini adalah masa untuk memperkukuhkan peraduan dan kerjasama antara kita Ini adalah masa untuk kita meletakkan kepentingan negara di hadapan, mengatasi segalanya,” katanya lagi. – Mstar

1 Comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

PM Tidak Pertahankan Jawatan Presiden UMNO – REF Malaysiakini

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengesahkan tidak akan mempertahankan kerusi Presiden Umno Mac depan, sekali gus dijangka akan membuka luas gelanggang persaingan pemilihan parti kali ini.

Dalam pada itu, Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin akan membuat pengumuman lusa sama ada bertanding jawatan Timbalan Presiden.

Dengan keputusan Abdullah, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak sudah pasti akan dicalonkan merebut jawatan Presiden.

Ia diumumkan oleh Abdullah pada pertemuan Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) yang bertemu di Menara Dato’ Onn sebentar tadi.

Abdullah mengetuai Umno sejak Oktobet 2003 selepas Tun Dr. Mahathir Mohamad melepaskan jawatan Perdana Menteri.

Beliau, Presiden Umno yang keenam menang tanpa dicabar pada pemilihan 2004.

Mesyuarat Dewan Tertinggi BN bermula pukul 3.45 petang dan berlangsung lebih sejam.

Persidangan perwakilan bahagian Umno bermula esok.

Pendirian itu selari dengan pelan peralihan kuasa antara beliau dengan timbalannya, Datuk Seri Mohd, Najib Tun Razak.

Terdahulu, Menara Dato’ Onn yang menempatkan Ibu Pejabat Umno menjadi tumpuan dengan kawasan pekarangan premis itu sudah sesak dengan orang ramai yang menanti pendirian Abdullah.

Penyokong-penyokong Abdullah berkumpul di pekarangan Menara Dato’ Onn dengan membawa sepanduk tertera mesej “Hormati Peralihan Kuasa, Elakkan Perpecahan Lagi” sambil melaungkan “Hidup Pak Lah”.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak tiba pukul 3.25 petang.

Abdullah tiba 10 minit kemudian untuk mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi BN, yang disusuli dengan laungan “Hidup Pak Lah” dan “Pak Lah Presiden, Najib Timbalan”.

Abdullah akan memperjelaskan pemimpin komponen BN tentang pelan peralihan kuasa beliau dengan Najib. – mstar

nota: Terima Kasih Pak Lah kerana mendengar pandangan akar umbi. Sudah pasti jasa2 Pak Lah akan diingati oleh rakyat. Difahamkan juga bahawa Pak Lah akan mula bercuti dua bulan sebelum tarikh penyerahan kuasa kepada pengganti beliau.

4 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Surat terbuka Zaid Ibrahim- Malaysiakini

Sewaktu mengisytiharkan kemerdekaan negara, Perdana Menteri pertama kita telah melaungkan aspirasi dan mimpi indah rakyat Malaya: bahawa Malaya adalah diasaskan di atas prinsip-prinsip kebebasan dan keadilan serta di atas janji bahawa kita beramai-ramai akan sentiasa berjuang bagi meningkatkan lagi kebajikan dan kebahagiaan rakyatnya.

Bertahun telah berlalu sejak peristiwa penting itu berlangsung, namun aspirasi dan mimpi tersebut masih benar dan masih relevan kepada kita hari ini sepertimana ia benar dan relevan kepada kita sebelum ini. Ini dimungkinkan dengan adanya satu pegangan teguh terhadap asas-asas negara pada peringkat awal kewujudannya. Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang yang dibuat sehubungan dengannya diletakkan di atas asas yang kukuh di mana ia menggabungkan elemen-elemen penting demokrasi yang dibina di atas Kedaulatan Undang-Undang.

Satu ketika dahulu, Kehakiman Malaysia sangat dihormati oleh warga Malaysia malah turut dijadikan panduan oleh negara-negara lain. Perdana Menteri-Perdana Menteri kita yang terdahulu, Tunku Abdul Rahman, Tun Razak and Tun Hussein Onn, adalah pemimpin-pemimpin yang sangat berintegriti, adalah pejuang-pejuang mengikut cara mereka yang tersendiri dan, yang paling penting sekali, adalah individu-individu yang serba sederhana. Mereka mempunyai kepercayaan terhadap prinsip-prinsip dan nilai-nilai yang terkandung dalam Perlembagaan kita dan membina negara ini berpandukan kepadanya.

Tatkala mereka terpaksa meluluskan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), 1960, sekalipun mereka melakukannya dengan sangat berhati-hati dan dengan bersikap apologetic mengenainya. Tunku menyatakan dengan jelas bahawa tujuan Akta ini diluluskan adalah bagi menangani ancaman komunis.

‘Saya dan rakan-rakan saya dalam kabinet berjanji kepada Parlimen dan kepada negara bahawa kuasa-kuasa luas yang diberikan kepada Kerajaan di bawah ISA tidak sesekali akan digunakan bagi mengekang bangkangan dan ketidaksetujuan yang dibuat mengikut undang-undang’ adalah apa yang diucapkan oleh Tunku dahulu. Ketetapan ini dikukuhkan lagi kemudiannya oleh Perdana Menteri ketiga kita, Tun Hussein Onn, yang menyatakan bahawa ISA bukanlah dimaksudkan untuk mengekang bangkangan politik yang dibuat secara sah atau untuk menyekat aktiviti demokrasi rakyat.

Beberapa peristiwa yang berlaku tiga minggu lepas bagaimanapun telah memaksa saya mengkaji semula cara ISA digunakan. Sungguh menyedihkan sekali kerana kesimpulan yang saya perolehi darinya ialah bahawa Kerajaan telah berulang-ulang kali menghampakan rakyat negara ini dengan berulang-ulang kali juga memungkiri janji yang dibuat oleh Tunku Abdul Rahman tersebut.

Ini berlaku kerana Kerajaan dan undang-undang yang digubalnya telah dengan secara tidak betul memberi kuasa kepada Menteri Dalam Negeri untuk menahan sesiapa sahaja atas apa sahaja alasan yang difikirkannya perlu. Budi bicara yang subjektif ini telah disalahgunakan bagi menjaga kepentingan-kepentingan politik tertentu.

Sejarah adalah guru agung yang dapat menjelaskan banyak perkara dalam hal ini. Semakan sepintas lalu ke atas cara ISA digunakan sejak ia diluluskan sekalipun akan mendedahkan betapa tujuan asal ISA telah dikesampingkan oleh keperluan politik semasa.

Adalah dikesali yang Tunku Abdul Rahman sendiri pun telah memungkiri janjinya. Pada 1965, pentadbirannya telah menahan Burhanuddin Helmi, iaitu seorang intelektual Melayu yang cukup hebat dan seorang nasionalis yang kebetulannya juga turut menjadi seorang pemimpin PAS. Dia telah diletakkan dalam tahanan sehingga dia meninggal dunia pada 1969.

Helmi hanyalah seorang musuh politik dan tidak dapat dibayangkan yang dia boleh dikatakan terlibat dalam pemberontakan bersenjata atau komunisme yang ISA dirangka untuk menangani. Penahanannya ini adalah sesuatu yang menyimpang dan menjadi satu detik menyedihkan di mana kepentingan politik telah dibenarkan mengatasi Kedaulatan Undang-Undang.

Ia malangnya seakan menjadi satu ‘precedent’ dan banyak lagi penahanan ke atas individu-individu yang dianggap menjadi ancaman kepada pentadbiran waktu itu menyusulinya tahun demi tahun. Malah tokoh kesusasteraan kita, ‘sasterawan negara’ Allahyarham Tan Sri A. Samad Ismail juga telah ditahan di bawah ISA pada 1976. Bagaimana mungkin beliau boleh menjadi satu ancaman kepada keselamatan negara?

Tidak perlulah saya mengingatkan anda mengenai impak dahsyat Operasi Lalang 1987. Kesannya menghantui Kerajaan sepertimana juga ia menghantui rakyat negara ini yang cintakan keamanan kerana ia menebarkan kegelapan ke atas setiap dari kita. Terdapat banyak soalan yang masih belum terjawab mengenai detik-detik gelap tersebut bila lebih daripada seratus orang telah ditahan kerana dikatakan menjadi ancaman terhadap keselamatan negara. Sebab mengapa mereka ditahan tidak pernah dinyatakan dengan jelas kepada rakyat Malaysia.

Begitu juga tiada penjelasan diberikan tentang sebab mengapa mereka tidak pernah didakwa di mahkamah. Termasuk dalam senarai mereka yang ditahan ini adalah beberapa Ahli Parlimen kanan pembangkang yang masih lagi aktif dalam Parlimen hari ini. Sesatunya perkara yang benar-benar jelas mengenai tempoh itu adalah UMNO pada waktu itu sedang berhadapan dengan satu krisis kepimpinan. Apakah ia bukan satu kebetulan yang tangkapan-tangkapan di bawah ISA baru-baru ini berlaku bila UMNO sekali lagi mengalami satu krisis kepimpinan?

Pada 2001, aktivis-aktivis ‘reformasi’ Keadilan telah ditahan dalam satu tindakan yang kemudiannya diisytiharkan sebagai dibuat secara tidak betul dan tidak sah oleh Mahkamah Persekutuan. Penahanan berterusan mereka yang tidak dibebaskan lebih awal di pusat tahanan Kamunting hanya dibolehkan kerana ISA telah dipinda dalam cara yang meragukan pada 1988 bagi tidak lagi membenarkan semakan kehakiman dibuat ke atas arahan Menteri untuk menahan. Rakyat Malaysia dimaklumkan bahawa tahanan-tahanan ini telah cuba menggulingkan Kerajaan melalui cara-cara militan dan demonstrasi-demonstrasi liar.

Tujuh tahun telah berlalu sejak kejadian ini berlaku tetapi hingga kini belum ada sebarang bukti bagi menyokong dakwaan ini dikemukakan. Menambahkan lagi kekeliruan rakyat, salah seorang daripada mereka yang dikatakan “ganas dan militan” itu ialah Ezam Mohamad Noor. Inilah orangnya yang baru-baru ini disambut kembali ke dalam UMNO dengan sambutan besar-besaran, seolah-olah ianya merupakan satu kejayaan besar.

Lebih kurang pada masa yang sama, ahli-ahli PAS juga telah ditahan kerana dikatakan menjadi militan dan kerana kononnya mempunyai pertalian dengan rangkaian pengganas antarabangsa. Mereka yang ditahan itu termasuklah Nik Adli, anak kepada Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat Menteri Besar Kelantan. Kerajaan ketika itu berjanji akan mendedahkan kepada rakyat Malaysia mengenai bukti kegiatan-kegiatan ganas dan pertalian tahanan-tahanan ini. Sehingga sekarang tiada bukti sebegini pernah diberikan.

Formula yang sama telah digunakan pada akhir 2007 bila 5 pemimpin HINDRAF ditahan. Rakyat Malaysia dimaklumkan sekali lagi bahawa individu-individu ini terlibat dalam aktiviti-aktiviti penggulingan Kerajaan dan mempunyai perkaitan dengan gerakan militan Pemisah Tamil Eelam Sri Lanka. Sehingga sekarang tiada bukti kukuh pernah dikemukakan bagi menyokong dakwaan ini.

Jadi apa yang boleh dilihat ialah kelima-lima mereka ditahan kerana melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti yang membawa kepada satu mobilisasi masyarakat India Malaysia bagi meluahkan secara aman kekecewaan mereka ke marginalisi yang dilakukan ke atas masyarakat mereka. Perjuangan ini kemudiannya telah diiktiraf sebagai satu perjuangan yang sah. Demonstrasi HINDRAF bukanlah sesuatu yang luar biasa kerana perhimpunan-perhimpunan seperti itu diiktiraf di seluruh dunia sebagai satu cara pernyataan yang sah.

Dalam nada yang sama, asas-asas yang diberikan bagi menyokong penahanan terbaru Tan Hoon Cheng, Teresa Kok dan Raja Petra Kamarudin menimbulkan banyak persoalan. Penjelasan bahawa Tan Hoon Cheng ditahan bagi menjamin keselamatan dirinya adalah melucukan. Kenyataan bahawa Teresa Kok telah menyalakan sentimen-sentimen keagamaan juga adalah tidak berasas sebagaimana terbukti oleh pembebasannya selepas itu.

Mengenai pengkritik tersohor Kerajaan, Raja Petra Kamarudin pula, semakan ke atas tulisan-tulisannya akan menunjukkan bahawa dia mungkin telah menghina Kerajaan dan individu-individu tertentu di dalam Kerajaan. Bagaimanapun, bersikap kritikal dan menghina tidak boleh dalam apa cara pun dianggap sebagai satu ancaman terhadap keselamatan negara. Jika tulisan-tulisannya dianggap menghina Islam, orang-orang Islam atau Nabi Muhammad (saw), dia sepatutnya didakwa di bawah Kanun Keseksaan dan bukannya ditahan di bawah ISA.

Apa pun, dia juga telah didakwa atas kesalahan menghasut dan melakukan fitnah jenayah berhubung dengan beberapa kenyataannya. Dia telah meminta dibicarakan, dan ini menunjukkan kesediaan serta kemampuannya untuk mempertahankan dirinya sendiri. Cara terbaik bagi memastikan keadilan terlaksana adalah dengan memberikannya peluang mempertahankan dirinya di mahkamah lebih-lebih lagi di mana dalam pandangan umum Kerajaan adalah dalam satu kedudukan konflik kerana telah menjadi sasaran kritikan kerasnya.

Contoh-contoh yang diberikan di atas menjadi petanda jelas bahawa Kerajaan yang ada sekarang adalah sebuah Kerajaan yang tidak demokratik. Perspektif inilah yang telah sejak lebih 25 tahun lalu membawa kepada Kerajaan kelihatan dengan sewenang-wenangnya menahan musuh-musuh politik, pejuang-pejuang pertubuhan sivil dan kepenggunaan, penulis-penulis, usahawan-usahawan, pelajar-pelajar dan wartawan-wartawan yang kesalahannya, jika ia boleh dikatakan sebagai kesalahan, adalah bersikap kritikal terhadap Kerajaan. Bagaimana individu-individu ini boleh dianggap sebagai ancaman terhadap keselamatan negara adalah di luar dari kefahaman saya. Realiti yang terbukti adalah ketidaksetujuan yang dibuat secara sah telah dan sedang dikekang melalui penggunaan secara semberono ISA.

Terdapat mereka yang menyokong dan memperjuangkan bacaan secara ‘carte-blanche’ ISA ini. Mereka akan berusaha untuk meyakinkan anda bahawa kepentingan-kepentingan negara memerlukan kuasa sebegitu dikekalkan dan bahawa keamanan dan kestabilan yang dinikmati rakyat Malaysia adalah disebabkan oleh kewujudan undang-undang seperti ISA ini. Ini bagaimanapun gagal mengambil kira fakta asas bahawa rakyat Malaysia dari semua kaum mengagungkan keamanan. Kita hidup bersama secara aman sejak 400 tahun lepas bukan kerana adanya undang-undang ini tetapi walaupun adanya undang-undang ini.

Saya percaya rakyat negara ini sudah cukup matang dan bergeliga bagi membezakan di antara tindakan-tindakan yang merupakan satu ancaman ‘sebenar’ terhadap negara dengan tindakan-tindakan yang mengancam kepentingan-kepentingan politik. Rakyat Malaysia telah mengetahui bahawa ISA digunakan terhadap musuh-musuh politik dan kelihatannya bila kepimpinan sedang menghadapi cabaran sama ada dari dalam parti pemerintah sendiri atau dari elemen-elemen luar.

Rakyat Malaysia hari ini mahu melihat sebuah Kerajaan yang komited terhadap proses mahkamah bagi menentukan kebersalahan atau ketidakbersalahan walaupun untuk tindakan-tindakan yang dikatakan mengapi-apikan sentimen perkauman atau keagamaan. Kini mereka tidak begitu mempercayai bahawa hanya seorang individu, iaitu Menteri Dalam Negeri, yang paling tahu mengenai soal-soal keselamatan negara walaupun mereka sebelum ini pernah mempercayainya. Mereka menghargai kebebasan dan perlindungan ke atas kebebasan-kebebasan sivil dan ini pun benar bagi rakyat negara-negara lain juga.

YAB Perdana Menteri, keputusan-keputusan Pilihan Raya Umum lalu adalah petunjuk jelas bahawa rakyat Malaysia sedang menuntut satu pemulihan semula Kedaulatan Undang-Undang. Saya telah dilantik sebagai menteri yang bertanggungjawab ke atas hal ehwal undang-undang dan reformasi kehakiman, walaupun hanya sekejap. Dalam kapasiti itu, saya dapat memahami dengan lebih mendalam betapa ramai dari kita mahukan reformasi, bukan semata-mata atas kepentingan reformasi itu, tetapi atas tahap di mana institusi-institusi kita telah dilemahkan oleh kejadian-kejadian dan impak yang dihadapkannya kepada masyarakat.

Dengan restu anda, saya telah cuba menggerakkan reformasi. Berada di atas dalam senarai keutamaan saya adalah satu pemulihan semula ke atas kuasa kehakiman (judicial review) yang boleh dilakukan melalui satu pengembalian semula satu peruntukan penting perlembagaan ke bentuk sebelum ia dipinda secara kontroversial pada 1988. Tidak perlulah saya mengingatkan anda bahawa pindaan perlembagaan itu didorong oleh satu siri peristiwa sama yang membawa bukan hanya kepada Operasi Lalang tetapi juga kepada pemecatan Ketua Hakim Negara dan dua Hakim Mahkamah Agung pada waktu itu.

Salah satu keutamaan saya ialah cara dalam mana bidang kuasa dan kuasa Mahkamah-Mahkamah untuk membuat pembetulan ke atas tindakan wewenang dan di luar perlembagaan Eksekutif telah dikeluarkan oleh Parlimen dan tahap di mana ini telah menyebabkan berlakunya kemerosotan ke atas kebebasan-kebebasan sivil rakyat Malaysia. Pindaan perlembagaan inilah yang telah membuka jalan kepada peruntukan ‘ouster’ dalam ISA yang secara efektifnya memberi imuniti kepada Menteri dari semakan kehakiman, di mana ini adalah satu peruntukan yang menjadi contoh betapa pindaan perlembagaan 1988 telah membuka ruang untuk berlakunya ketidakadilan.

Saya juga telah cuba memperkenalkan cara-cara dengan mana langkah-langkah boleh diambil bagi membantu Kehakiman memperolehi semula reputasi kebebasan dan kecekapan yang pernah dipunyainya dahulu. Malangnya, ini dianggap tidak diperlukan oleh sesetengah pihak kerana Kehakiman yang bebas akan membawa makna Eksekutif akan menjadi kurang ‘berpengaruh’.

Saya telah cuba melakukan perkara-perkara ini dan perkara-perkara lain kerana menyedari Kedaulatan Undang-Undang dan tradisi-tradisi demokratik di Malaysia sedang terhimpit. Apa pun, tiada orang yang rugi dengan memberikan setiap rakyat negara ini sebuah Kehakiman yang bebas dan peluang ke atas satu perbicaraan yang adil. Ini adalah konsisten dengan norma-norma sejagat mengenai hak-hak asasi manusia dan ia juga adalah konsisten dengan ajaran-ajaran Islam, iaitu agama bagi Persekutuan.

Kuasa tidak terbatas untuk menahan atas kehendak seorang individu adalah penindasan yang paling tinggi. Malah, di Israel, iaitu sebuah negara yang sentiasa berada dalam keadaan berperang sekalipun, kuasa untuk menahan tidak diberikan pada seorang individu seperti di Malaysia dan arahan-arahan penahanan memerlukan pengesahan daripada seorang hakim.

Jika terdapat pertimbangan-pertimbangan keselamatan negara, maka ini boleh ditangani tanpa mengenepikan kawalan-kawalan keselamatan yang dimaksudkan bagi melindungi rakyat dari dihukum secara tidak betul. Dalam bidang-bidang kuasa lain yang terlibat dalam konflik-konflik bersenjata, perbicaraan-perbicaraan dikendalikan secara sulit bagi membenarkan penelitian kehakiman dibuat ke atas bukti yang dianggap terlalu sensitif untuk didedahkan kepada umum bagi memenuhi kehendak-kehendak keadilan. Jika ini boleh dilakukan dalam bidang-bidang kuasa lain, mengapa tidak di sini di mana pertempuran bersenjata terakhir dapat kita saksikan, yang menjadi punca kepada wujudnya ISA, telah berakhir pada 1980-an?

Sebarang keraguan mengenai kerelevanan ISA dalam bentuknya sekarang sepatutnya sudah terhapus oleh rekomendasi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) bahawa ISA perlu dimansuhkan dan bahawa sebuah undang-undang anti-keganasan yang bersesuaian dengan masa kini perlu diluluskan bagi menggantikannya. Mengandungi satu klausa ‘sunset’ dalam masa asalnya, ISA tidak pernah dimaksudkan untuk menjadi satu ciri asas dalam landskap perundangan Malaysia.

Melalui penggunaan berterusannya dalam cara yang diterangkan di atas dan berhadapan dengan sentimen umum, adalah natural bahawa ISA telah melekat di dalam fikiran orang ramai sebagai satu alat penindasan dan Kerajaan yang ada sebagai satu Kerajaan yang membuka ruang untuk berlakunya penindasan. Penggunaan berterusannya tidak menjadi petanda baik bagi sebuah masyarakat yang sedang berjuang untuk mencari tempatnya dalam arena global. Ia juga tidak menjadi petanda baik bagi demokrasi yang sangat penting bagi membolehkan kita membangun secara berterusan.

YAB Perdana Menteri, saya mengingati dengan sangat jelasnya apa yang anda sebutkan dahulu, iaitu bahawa jika seseorang itu mempunyai kesempatan untuk melaksanakan apa yang baik dan betul untuk negaranya, maka dia mestilah melaksanakan tugasan itu. Saya sangat menghormati anda kerananya. YAB, anda masih lagi Perdana Menteri buat masa ini dan masih lagi mempunyai kesempatan untuk meninggalkan jejak anda dalam sejarah Malaysia. Saya menyeru anda berbuat begitu dengan memansuhkan terus ISA.

Marilah kita cuba memenuhi janji yang dibuat oleh Perdana Menteri pertama kita yang dikasihi kepada rakyat negara ini.

Yang benar

ZAID IBRAHIM

nota: Datuk Zaid, ISA ni ada bagusnya…janganlah kita terlalu berlembut dalam semua bidang…terutama bila kita hidup berbilang bangsa…dan jangan pula kita gunakan ISA sebagai senjata…untuk padamkan semua sengketa. Keganasan hari ni tak semesti mengangkat senjata…tetapi ia meliputi dalam minda….itu sebab ikut mulut badan binasa…banyak memfitnah ISA jawabnya…

Apakata Datuk drafkan satu undang2 untuk gantikan ISA ini. Kita tgk macam mana….tapi sejak dua menjak ini lah mula Majlis Peguam berani bersuara pertikaikan hak kita…kenape yer?? hhmmm..tepuk dada tanya selera….

6 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Najib ‘tutup mulut’ tentang pelan peralihan kuasa – REF Malaysiakini

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini enggan menjawab sebarang soalan politik, sambil berkata ianya hanya akan dijawab esok.

Sehubungan itu, Najib yang timbalan presiden Umno, mengesahkan bahawa Majlis Tertinggi (MT) akan mengadakan mesyuarat tergempar esok.

Bercakap kepada pemberita di Putrajaya petang ini, beliau bagaimanapun mengelak menjawab soalan mengenai khabar angin bahawa pemilihan parti mungkin ditangguhkan hingga tahun depan.

“Soalan mengenai politik hanya akan dijawab esok,” katanya.

Reaksi Najib itu memanaskan lagi spekulasi mengenai status kepimpinan Umno.

Najib semalam membatalkan secara mengejut lawatan kerjanya ke Amerika Syarikat, yang sepatutnya bermula hari ini, untuk menghadiri sidang ke-63 perhimpunan agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Beliau digantikan oleh Menteri Luar Datuk Seri Dr Rais Yatim sebagai ketua delegasi Malaysia untuk menyampaikan ucapannya di PBB,  New York, Ahad ini.

Sebelum ini, pihak media dimaklumkan bahawa Majlis Tertinggi Umno akan mengadakan mesyuarat tergempar esok.

Khabar angin bertiup kencang bahawa Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi – dalam usaha untuk mengelak cabaran terhadap jawatan presiden – telah memutuskan untuk menangguhkan pemilihan Umno ke tahun depan.

Juga timbul desas-desus yang mengatakan Abdullah mungkin akan menyerahkan kuasa kepada Najib tahun depan – setahun lebih awal daripada pelan peralihan 2010.

Mulai 9 Oktober hingga 9 November depan, semua 191 bahagian Umno akan mengadakan mesyuarat perwakilan masing-masing di mana mereka akan membuat pencalonan bagi jawatan presiden, timbalan presiden, naib presiden serta bagi kerusi MT.

Manakala pemilihan bagi peringkat pusat ialah pada 16-20 Disember depan.

2 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Peralihan kuasa Jun 2009 – Malaysiakini

sumber tak rasmi memberitahu bahawa peralihan kuasa 2010 akan dipercepatkan ke Jun 2009. Kesahihan berita ini belum dipastikan. Tetapi apa2pun tarikh baru peralihan kuasa akan dibuat sebelum mesyuarat Bahagian UMNO bermula oktober ini.

3 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda