Tag Archives: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB)

Sarawak amal rundingan cara baik dengan Pusat

KUCHING 26 Mei – Kerajaan Sarawak tidak akan mengambil jalan ‘berperang secara terbuka’ terhadap Kerajaan Pusat sekiranya tidak berpuas hati dengan sesuatu keputusan yang dibuat.

Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB), Datuk Seri Abang Johari Tun Abang Openg berkata, Sarawak mengamalkan dasar politiknya yang tersendiri yang berbeza dengan Sabah.

Katanya, politik kerajaan Barisan Nasional (BN) negeri ini mempunyai kualiti tertentu iaitu tidak akan berperang secara terbuka, sebaliknya mengadakan perundingan secara baik dengan Kerajaan Pusat.

”Harus diingat, BN di Sarawak bermula dari tahun 1963 dan pakatan kerajaan negeri dengan BN tidak pernah terganggu dari tempoh itu hingga sekarang,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, beliau merasmikan Seminar Pencegahan Rasuah, Pengurusan Kewangan dan Keselamatan bagi Ketua Masyarakat dan Jawatankuasa Keselamatan dan Kebajikan Kampung (JKKK) untuk Daerah Kuching di Wisma Bapa Malaysia di sini.

Abang Johari yang juga Menteri Perumahan Sarawak mengulas mengenai kelantangan sesetengah Ahli Parlimen Sabah yang menuntut beberapa jawatan dari kerajaan pusat.

Beliau berkata, beliau ‘tidak berani’ mengulas mengenai politik negeri Sabah kerana bukan berasal dari negeri itu.

”Hakikatnya, hubungan Kerajaan Negeri Sarawak dan kerajaan BN tidak pernah terganggu semenjak Sarawak menyertai Malaysia pada tahun 1963” ujarnya.

Sementara itu, Abang Johari berkata, tiada wakil rakyat BN di negeri ini yang akan melompat parti.

”Kita (wakil rakyat BN) tidak akan tergopoh-gapah untuk mengejar jawatan yang tinggi kerana bagi kita… asalkan negara baik, maka rakyat akan hidup dengan sejahtera,” jelas beliau.

Menurutnya, BN Sarawak tidak mempunyai ‘mata-mata’ seperti yang dilakukan pihak pembangkang.

”Bagi kita, semua wakil rakyat kita telah turun padang dan masing-masing tahu buat kerja mereka.

”Mandat yang diberi rakyat hendaklah dilaksanakan dengan sebaik-baiknya dan tidak timbul soal intip,” jelas beliau.

Tambah beliau, biarlah rakyat yang menilai wakil rakyat mereka itu sendiri.

sumber utusan

1 Comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda