Tag Archives: PAS

Habuan Seks = Sedekah?? – Malaysiakini

Ahli Majlis Daerah Perak Tengah, Zul Hassan, yang menyamakan habuan seks dengan sedekah setelah mendakwa dirinya diperangkap oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) melakukan perbuatan itu dengan seorang wanita dari China, disarankan supaya bertaubat.

Ahli Dewan Undangan Negeri Perak kawasan Sungai Manik, Zainol Fadzi Paharuddin, yang terkejut dan kesal dengan kenyataan itu berkata, sebagai orang Islam, Zul seharusnya faham dan sedar ungkapan yang digunakan itu secara terang telah memalukan umat Islam.

Dalam satu kenyataan di sini hari ini, beliau juga meminta ulama khususnya daripada Pas memberikan nasihat dan mentarbiyyah Zul.

“Janganlah pula selepas ini ulama-ulama Pas mencari dalil dan alasan untuk menutup perkara berkenaan,” katanya.

Zul, seorang anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR), membuat kenyataan itu selepas mengadakan pertemuan dengan Jabatan Agama Islam Perak (JAIP) untuk meminta jabatan itu menyiasat dan mengambil tindakan terhadap orang tertentu yang kononnya telah memfitnah, menghina dan menganiaya beliau kerana mendakwa dia terlibat dalam skandal seks membabitkan wanita dari China itu.

Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria sebelum ini berkata bahawa kenyataan Zul itu biasanya dikeluarkan oleh orang yang jahil tentang hukum agama selain merupakan satu tindakan yang cukup bodoh jika kenyataan itu bertujuan mempertahankan diri daripada kesalahan yang telah dilakukan.

Zainol Fadzi, yang juga Ketua Pemuda Umno Perak, berkata pengakuan seorang lagi anggota PKR, Fairul Azrim Ismail, 30, bahawa dia (Fairul Azrim) telah mengadakan hubungan seks dengan seorang wanita China juga membuktikan amalan rasuah telah berlaku dalam sebuah kerajaan (Pakatan Rakyat Perak) yang kononnya mengamalkan prinsip kebenaran dan ketelusan.

“Malah kepada Penasihat PKR sendiri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pengakuan tersebut merupakan satu kejayaan besar kepada beliau kerana telah berjaya mendidik anakanak buahnya menjadi berani mengakui perbuatan yang dilarang dalam Islam,” katanya.

Fairul Azrim pernah ditahan BPR berhubung dakwaan rasuah dan seks membabitkan sebuah projek pembangun di Seri Iskandar dekat sini tetapi dilepaskan pada 21 Ogos lalu.

Zul pula bersama-sama juruteknik Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP), Ruslan Sahat, dan dua Exco Perak dari PKR, Kapten (B) Mohd Osman Mohd Jailu dan Jamaluddin Mohd Radzi, serta bekas Adun Bota juga dari PKR, Kapten (B) Usaili Alias, kini menghadapi 16 tuduhan rasuah yang akan dibicarakan serentak selama tiga hari bermula 11 Februari depan di Mahkamah Sesyen di sini.

PKR Perak dijadual mengadakan satu sidang akhbar berhubung kontroversi kenyataan Zul dan pengakuan Fairul Azrim itu di sini pada 10 pagi esok. – BERNAMA (mstar)

Nota: WOW !!!!……seronoknya kalau ini perumpamaan politik terbaru, sudah tentu ramai akan melakukan perkara yang sama atas ‘precedent’ yang telah ditetapkan oleh YB Zul Hassan. Apa komen MB Perak?? Janganlah matlamat menghalalkan cara. Menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal!!!

13 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

PAS akan sertai kerajaan baru dengan syarat

PAS akan tetap menyertai perubahan kerajaan dengan syarat kerajaan itu nanti mestilah dipandu oleh Islam.

Demikian ditegaskan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang semasa menyampaikan Ceramah Nuzul Quran Dan Penjelasan Isu 16 September di Kompleks PAS Kedah, di sini semalam.

“Sekarang kita dalam usaha membuat perubahan walaupun disebut 16 September, sudah lepas 16 September hari ini. Walaupun sudah lepas, tetapi kita berusaha hendak buat perubahan, perubahan untuk menukar kerajaan.

“PAS akan menyertai perubahan kerajaan ini dengan syarat. Syaratnya ialah kerajaan ini mestilah dipandu oleh Islam. Dipandu oleh orang-orang Islam. Ini syarat yang dikenakan oleh PAS,” tegas beliau yang disambut dengan laungan takbir.

Menurut beliau, jika syarat ini tidak dipenuhi, PAS tidak akan menyertai perubahan tersebut. Pun begitu, katanya, sehingga hari ini PAS melihat tanda-tanda awal bahawa syarat itu hendak diterima.

“Tetapi kalau syarat itu tidak diterima, kita teguh dengan prinsip. Kita minta pengikut-pengikut PAS setia dengan perjuangan. Ikut arahan, jangan lari dari jamaah biar apa sekalipun berlaku. Ini tanggungjawab dan kewajipan,” tegasnya.

Terdahulu, Pesuruhjaya PAS Kedah, Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak yang turut menyampaikan ucapan pada ceramah tersebut melahirkan keyakinan kepada kepimpinan Ustaz Abdul Hadi.

“Kita tetap dengan Ustaz Abdul Hadi sebagai Presiden PAS, kita tidak akan gadai perjuangan kita, kita tidak akan bertukar ganti prinsip. Ustaz Abdul hadi telahpun membawa maruah PAS,” ujar beliau yang juga Menteri Besar Kedah.

Majlis semalam dimulakan dengan tahlil dan berbuka puasa yang turut disertai Dato’ Seri Presiden PAS. Lebih 5,000 hadirin memenuhi Kompleks PAS Kedah itu semalam mendengar ceramah dua tokoh terbabit. / Harakah

nota: Wahai pengikut2 PAS, berpeganglah pada prinsip. Itu saranan MB KEdah. Berhati-hatilah, pengaruh Anwar sedang merebak di dalam PAS. Hasil pertama sudah berjaya! Perselisihan antara TG Nik Aziz dan Mustapha. Takkan korang tak nampak lagi!!!

3 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Hentikan Sengketa – Raja Dr Nazri @Malaysiakini

Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah hari ini menyeru barisan kepimpinan negara supaya berhenti bersengketa sesama mereka dan sebaliknya menumpukan kepada usaha membangunkan sumber negara bagi kesejahteraan rakyat.

Baginda bertitah, dunia sedang menghadapi iklim ekonomi yang suram dengan kenaikan harga minyak dan makanan yang memerlukan kerajaan memastikan bekalan makanan terjamin, meningkatkan produktiviti, menyakinkan pelabur dan mewujudkan pekerjaan baru untuk meringankan tanggungan rakyat.

“Ia merupakan cabaran besar kepada mana-mana kerajaan sekalipun. Ia tidak akan dicapai melalui retorik politik semata-mata.

“Ia tidak akan dicapai jika di kalangan barisan kepimpinan, baik yang berada di dalam atau di luar kerajaan terus bersengketa,” titah baginda di Persidangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIAMP) ke-162 di Kompleks Islam Darul Ridzuan di Ipoh hari ini, demikian menurut laporan Bernama.

Raja Dr Nazrin bertitah suasana muram ekonomi dunia memerlukan para pemimpin mentafsirkannya sebagai cabaran terhadap negara dan bangsa yang memerlukan mereka bersama-sama menumpukan fikiran dan usaha untuk melaksanakan kerja yang produktif.

“Jika cabaran berat ini gagal ditangani, dibimbangi kestabilan dan ketenteraman negara akan terjejas; segala kejayaan yang telah dicapai sejak 51 tahun merdeka akan turut hilang dan pupus,” titah baginda.

Titah Raja Dr Nazrin, semangat Ramadan sebagai asas membina akhlak mulia, disusuli semangat Syawal membina persaudaraan, hendaklah diterjemahkan dalam urusan harian berkeluarga, bermasyarakat, berkerajaan dan bernegara.

Tunjuk contoh teladan

“Begitu besar nikmat jika perpaduan dapat dipupuk, malah rahmat akan dilimpahkan di kalangan warga dan negara yang berada dalam harmoni; di sebaliknya persengketaan akan berakhir dengan perpecahan hingga kemakmuran tidak mungkin tercapai,” titah baginda.

Raja Dr Nazrin yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak turut menyeru barisan pemimpin Islam dan Melayu untuk menunjukkan sebaik-baik contoh teladan, menyemarakkan semangat persaudaraan, memperkukuhkan perpaduan, memberhentikan pertelingkahan dan menumpukan perhatian membangunkan kesejahteraan ummah.

“Perbezaan pendekatan dan kaedah, kelainan fahaman dan tafsiran, jangan sampai ke peringkat umat Islam dan orang Melayu berpecah dan terpisah, berpatah arang dan berkerat rotan, hingga yang menang menjadi arang, yang kalah menjadi abu,” titah baginda.

Terdahulu pada majlis berasingan Raja Dr Nazrin berkenan menyampaikan kurniaan daripada Yayasan Sultan Azlan Shah kepada 59 badan sukarela, pertubuhan amal dan kebajikan yang di kendalikan oleh pelbagai kumpulan agama dan etnik di negeri ini bertempat di Auditorium, Kompleks Islam Darul Ridzuan.

Raja Dr Nazrin pada majlis itu bertitah Sultan Perak Sultan Azlan Shah telah berkenan mengurniakan RM20,000 bagi setiap organisasi dengan keseluruhan kurniaan berjumlah RM1.18 juta.

Baginda bertitah enam bulan dari sekarang, setiap organisasi akan diminta mengemukakan akaun memperlihatkan bagaimana kurniaan itu telah dibelanjakan supaya urusetia Yayasan Sultan Azlan Shah dapat membuat penilaian sebelum memperakukan apa-apa kurniaan di masa hadapan.

nota: punca sengketa adalah akibat sifat rakus dan tamakkan kuasa seorang individu di barisan pembangkang. kerana beliau jugalah politik malaysia kurang stabil

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

16 September mustahil, PAS belum ‘setuju’ penuh

PAS yakin tidak mungkin berlaku perubahan kerajaan pada Selasa ini sebagaimana digariskan oleh Ketua Umum Pakatan Rakyat. Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak enam bulan yang lalu.

Pengarah Pilihan Raya Pusat PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, analisis beliau menunjukkan bahawa perubahan yang dirancang tidak akan berlaku disebabkan faktor teknikal dan politik.

“Sekarang, sepanjang Ramadan, Parlimen tidak bersidang. Dan apabila Parlimen tidak bersidang bagaimana kerajaan boleh bertukar?

“Kerana pertukaran kerajaan sedia ada kepada kerajaan yang baru mesti melalui proses demokrasi. Kerajaan yang ada mesti digulingkan, barulah sebuah kerajaan baru didirikan,” kata beliau yang Pesuruhjaya PAS Terengganu dalam temu bual dengan Harakah.

Temu bual itu akan diterbitkan dalam edisi esok.

Semalam, Anwar berkata, Pakatan Rakyat sedang menimbangkang kemungkinan beranjak jika terhadap halangan untuk merealisasikan sasaran 16 September.

Temu bual itu diadakan awal minggu ini.

Anwar berkata, jika bukan 16 September, pihaknya akan memilih 20 September bagi mencapai matlamat mereka ketika segala perancangan berjalan dengan lancar.

Meskipun Mustafa tidak lagi memegang jawatan terpenting dalam PAS, namun pandangan dan tanggapannya terhadap perkembangan politik sentiasa dinanti banyak pihak.

“Saya bercakap tidak mewakili PAS tetapi mewakili peribadi saya… 16 September akan berlaku. Tidak mungkin tarikh melompat dari 15 September kepada 17!

“Tetapi perubahan terancang tidak akan berlaku, berdasarkan dua faktor (politik dan teknikal),” kata Mustafa.

Jelas beliau, dalam keadaan Parlimen tidak bersidang tidak boleh diadakan undi tidak percaya dan kerajaan semasa tidak boleh digulingkan sekali pun bilangan wakil rakyat mungkin cukup untuk menjatuhkan kerajaan.

“Dari segi teknikal ia mungkin tidak berlaku. Saya tidak tahu siapa yang memilih tarikh 16 September,” katanya.

Malah, kata beliau, dari segi politik, timbul pelbagai spekulasi mengenai bilangan ahli Parlimen yang hendak melompat parti.

“Ada yang kata sudah ada angka 30, angka 40 dan beberapa angka lagi, yakni jumlah mereka yang akan meninggalkan BN dan akan menyertai Pakatan Rakyat.

“Saya tidak yakin sebab tidak mudah bagi seorang ahli Parlimen daripada parti yang memerintah hendak menyeberang kepada parti bukan kerajaan,” katanya lagi.

Tambah beliau, dalam sejarah negara ini, pernah berlaku cross over masa lalu iaitu daripada parti pembangkang kepada parti memerintah.

“Dan tidak pernah berlaku daripada parti memerintah kepada parti pembangkang. Berdasarkan proses demokrasi di Malaysia selama ini, ia tidak akan berlaku,” katanya.

Mengenai tarikh 16 September, beliau berkata, “dalam konteks 16 September tidak mungkin berlaku.”

“Tarikh lain kita tengok nanti. Apa yang berlaku dalam parti-parti komponen BN mempunyai dinamika tersendiri.

“Gerakan nak reviu kedudukan dalam BN. Berdasarkan pengamatan saya, Gerakan akan meninggalkan BN. Namun MCA tidak mungkin meninggalkan BN.

“MCA adalah pengasas Perikatan dahulu. Kalau kenyataan Setiausaha Agungnya boleh dipakai, MCA tidak akan meninggalkan BN. Mengenai soal lawatan, ia merupakan satu reaksi melampau dan dan panik yang tak tentu pasal,” katanya lagi.

Mengenai pendirian PAS, kata beliau, “sebenarnya saya tidak sempat kaji siapa orang dalam PAS yang ghairah dengan 16 September dan siapa yang tidak.’

Ini kerana, jelas beliau, pihaknya tidak pernah membincangkan secara serius mengenai hal berkenaan.

“Bagaimanapun, hari ini (Ahad lalu), Lim Kit Siang ada buat kenyataan, jika orang yang hendak lompat ini ada kepentingan peribadi, beliau tidak bersetuju. Karpal Singh juga pernah buat kenyataan serupa. Dari segi ini, nampak DAP juga tidak ghairah sekiranya lompat itu didorong kepentingan diri,” katanya.

8 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Teks wawancara Mohamad Sabu Dengan Malaysiakini

Tuan Haji sebut kemenangan besar PAS disebabkan peralihan undi dari bukan Melayu. Jadi, apakah makna peralihan undi ini kepada PAS?

Politik Malaysia ini lebih berdasarkan kaum, terutamanya selepas merdeka, memang parti Umno, walaupun memperjuangkan Melayu, tetapi orang-orang bukan Melayu merasakan mereka sebagai sahabat, sebagai kawan. Tetapi PAS memang ditakuti orang Melayu, terutamanya orang bukan Melayu.

Kita tahulah, pilihanraya, parti politik, ini atas persepsi. Kita boleh bercakap apa pun tetapi persepsi orang begitu, digambarkan begitu. Jadi, kita kata dua parti dominan pembangkang – PAS dengan DAP – selagi orang Melayu takut kepada DAP, selagi DAP takut kepada PAS, selagi itulah BN akan berkuasa.

Ini trend politk dalam negara kita. Sebab itu kita lihat pada tahun 1986, 1994 dan 1999, isunya banyak, tetapi kita hendak bawa orang Cina mengundi PAS, orang PAS mengundi DAP memang agak sukar, walaupun kami di peringkat pimpinan, boleh bertemu dan berbincang.
Oleh kerana berlaku peristiwa (perhimpunan besar) Bersih, Hindraf , kemudian dengan (krisis badan) kehakiman, (kes) VK Lingam, berlaku kenaikan harga minyak pada waktu tu, kenaikan harga barang, maka rakyat kali ini tidak peduli, sampai orang buat khidmat pesanan ringkas (SMS) mudah – ABU – Asalkan Bukan Umno – kita undi.

Tuan Haji lihat peralihan  undi daripada golongan Cina ini menggambarkan mereka mula menerima dasar-dasar PAS, bersifat sementara kerana tidak sukakan BN atau tanda demokrasi kita makin matang?

Saya melihat tanda demokrasi semakin matang. Perkara ini bukan jadi dengan begitu saja, walaupun ia tsunami. PAS sendiri membuat pendekatan dengan orang bukan Melayu ini secara agak agresif, bermula pada pilihanraya umum 1986 melalui Majlis Perundingan Cina (CCC). Tetapi oleh kerana badan itu kecil, ia kurang berjaya.

Kemudian, kita terus dengan DAP pada tahun 1999. Tetapi propaganda BN menyebabkan orang Tionghua sendiri takut untuk mengundi DAP. Disebarkan di Pulau Pinang (foto) Lim Kit Siang pakai serban dalam pilihanraya itu. Jadi, itu propaganda. Jadi, sampai bila rakyat Malaysia hendak berada dalam suasana itu? 

Sekarang ini rakyat Malaysia ada akses kepada internet, kepada laman-laman web, blog dan sebagainya.

Jadi, teknologi informasi membantu kemenangan PAS?

Ya, juga pendekatan PAS kebelakangan ini.

Tetapi adakah dasar-dasar PAS itu dapat diterima?

Kita tidak kata mereka menerima secara bulat. Sekarang ini mereka datang dengar penerangan langsung daripada kita. Dan saya rasa perubahan ini tidak sementara. Tetapi kita tidak boleh diam begitu sahaja. Kena teruskan pendekatan yang dibuat.

Bagaimana faktor Anwar Ibrahim memainkan peranan mengubah undi?

Faktor Anwar Ibrahim di kalangan orang bukan Melayu. Beliau hendak memperkenalkan dasar baru. Walaupun beliau tidak lagi meletakkan apakah dasar baru itu, tetapi memberi harapan kepada orang bukan Melayu.

Bagi orang Melayu, faktornya ada tetapi tidak sebesar mana. Kepada orang bukan Melayu, memberikan harapan.

Bagaimana peranan beliau menggabungkan ketiga-tiga parti dalam Pakatan?

Setakat ini, kita di peringkat jawatankuasa penyelaras. Sudah ada di peringkat pusat. Ia berjalan dengan baik di Perak dan di lain-lain negeri. Kita buat dalam bentuk mesyuarat. Pertama sekali, Pakatan ini berjalan dengan baik walaupun kita, majoritinya kecil di Perak ini, tetapi berjalan dengan baik.

Selain itu ada dakwaan PKR mendominasi Pakatan sedangkan semua parti-parti yang bergabung bersetuju tiada pihak lebih besar dalam Pakatan.

Iyalah, siapa pun mendapat kerusi lebih, jadi mereka merasa mereka hebat. Biasalah itu. Macam dalam BN, Umno kerusi terbanyak. Sekarang dalam Pakatan, dalam pilihanraya lepas, keadilan yang
terbanyak (dengan) 31 kerusi, DAP 28 kerusi, PAS 22 kerusi. Jadi, kalau orang-orang PKR merasakan begitu, tidak ada masalah. Sebab dia masa sekarang ini mendahului daripada sudut jumlah kerusi.
Tetapi dominan saya tidak nampak, tidak timbul dalam parti (PAS) ini.

Anwar Ibrahim yang dominan membuat kenyataan bagi pihak Pakatan, adakah itu juga pandangan bersama PAS dan DAP bersama?

Kenyataan Anwar dalam bentuk umum, kita kata itu pandangan beliaulah. Jadi, beliau sendiri pun jarang membuat kenyataan di atas nama Pakatan Rakyat, di atas nama peribadi dia. Tetapi kenyataan
misalnya kalau memerintah, harga minyak akan turun, walaupun itu peribadi, tetapi itu boleh diterima akal. Itu tidak ada masalah.

PAS setuju bincang dengan DAP dan masalahnya persepsi media?

Orang Melayu tidak ada masalah dah sejak tahun 1999 lagi. Tetapi kita faham masalah DAP ini, orang Cina takut kepada negara Islam. Sebab itu kita kata, persefahaman, perundingan itu banyak berlaku dan orang tengahnya adalah PKR.

Persefahaman parti-parti dalam Pakatan dikatakan sebagai “tersimpul mati”?

(Ketawa) Tidak sampai “tersimpul mati”. Itu bahasa saya. Itu hendak gambarkan perpaduan, sebab dalam politik ini, payah hendak baca. Buat masa sekarang, Pakatan itu makin baik.

Maksudnya PAS masih merisaukan hubungan dalam Pakatan di masa akan datang? Begitu? Tidak “tersimpul mati” itu maksudnya ada kerisauan lagi.

Ya, Kita kena terbukalah. Sikap parti politik ini memang begitu keadaannya.

Tetapi kerunsingan utama PAS atas dasar apa?

Politik ini adalah saingan kuasa. Dan PAS tidak dapat lari, kelangsungannya selama 57 tahun di atas dasar Islam. Sebab itu kita hendak mempertahankan dasar, dalam masa yang sama bekerjasama dengan orang lain. Bila ahli kita melihat PAS tidak lagi memperdulikan soal dasar dan sebagainya, itulah yang merunsingkan kita.

Jadi, jaminan hendak mempertahankan perlembagaan PAS, sebab apabila tandatangan saja borang PAS, kalau dia seorang cikgu, mungkin dia kena tukar. Kalau dia pegawai, mungkin tidak naik pangkat. Dan dia memilih PAS kerana dia menjunjung dasar yang kita janjikan.

Sebab dalam Pakatan, kita hendak berkawan dan bagaimana dengan mempertahankan dasar kita itu. Ini yang menjadi, bukan kerunsingan, tetapi antara cabaran yang kita kena (hadapi)…

Oleh kerana hubungan persefahaman yang kuat setakat ini, kenapa ada suara-suara dalam PAS ingin berunding dengan Umno?

Begini, berunding bukan hendak berkuasa bersama. Sebab ada di kalangan pemimpin dan ahli-ali PAS melihat orang-orang Islam berpolitik, bergaduh dalam semua perkara.

Kita lihat misalnya kalau di kalangan parti-parti politik bukan Melayu ini, ini fikiran orang yang hendak berbincang dengan Umno, kita lihat dalam isu pelajaran, DAP dan MCA berlainan parti tetapi bercakap
mempertahankan hak bangsa, kaum mereka senada. Ada juga di kalangan intelektual Melayu senada, kenapa  orang Islam tidak boleh buat begitu?

Dalam Pakatan, apa masalah lain yang dihadapi untuk ke depan?

Bagi kami, itulah, dalam hendak mempertahankan dasar Islam dan DAP yang secara terang menyebut mereka menolak negara Islam dan sebagainya, bagaimana dua kumpulan ini hendak bnekerjasama. Ini
merupakan cabaran yang besar kepada kami. Tetapi kami tidak melihat itu sebagai satu masalah yang tidak boleh selesai.

Yang paling penting sekali ialah bersedia duduk semeja berunding. Itu yang paling penting.

Macam mana hendak selesai? Baru-baru ini, dalam kongres DAP, beberapa perwakilan mendakwa PAS tidak menghargai undi bukan Melayu kerana hendak melaksanakam undang-undang Islam, sedangkan DAP tetap dari dulu hingga sekarang menolak sebarang usaha menjadikan Malaysia sebagai negara teokratik. Bagaimana kita hendak mempertemukan kedua-dua pandangan itu?

Ini satu cabaran kepada kita. (Penyelesaian objektif) A, B, C, D tidak boleh. Ini soalan kemanusiaan, soal persepsi. Bagi kita, pencapaian setakat ini pun orang PAS mengundi calon DAP, orang Cina
mengundi calon PAS. Itu sudah besar. Jadi yang lain-lain, prosesnya mesti melalui pertemuan dan perundingan. Akan ada pantang laranglah.

Setakat mana PAS boleh bertolak ansur tentang dasar, undang-undang Islam?

Sekurang-kurangnya paling minimum ialah perlembagaaan, Islam agama rasmi, kuasa Islam di peringkat negeri dan sebagainya. Dan saya rasa DAP pun tidak ada masalah. Di sini ada pertemuan. Dan kita pun sebut, kalau di peringkat persamaan undang-undang syariat, dia akan kena pada orang Islam.

Iyalah, tetapi itu pun tidak dapat diterima oleh DAP untuk penguatkuasaan undang-undang Islam itu?

Tidak mengapa. Dari masa ke semasa kita bincang teruslah, kalau kita hendak menjadi parti pemerintah. Tidak menjadi masalah kepada kita untuk terus berbincang. Macam sekarang ini, kita boleh berjalan di Perak, di Selangor.

Jadi, adakah Tuan Haji melihat sebuah jalan yang sukar oleh PAS dalam Pakatan untuk tempoh akan datang?

Sukar tetapi boleh dilalui. Sukar sebab kita mentadbir manusia. (Ketawa) Umno sama Umno pun kita tengok lagi teruk. Tidak ada benda yang tidak boleh kita cabar, benda-benda seperti ini.

Sekarang ini PAS disebut-sebut mempunyai dua aliran, pertama moderat, kedua konservatif. Apa komen Tuan Haji?

Itu biasa dalam mana-mana parti politik dan aliran pemikiran. Jadi, parti politik yang mencecah sejuta, aliran-alirannya itu adalah perkara biasa. Tetapi sudah tentu keputusan parti, keputusan muktamar itu yang didokong bersama. Aliran pemikiran tidak ada masalah.

Maksudnya wujud?

Dalam mana-mana parti politik biasalah. Macam Umno dulu, kononnya ada aliran kiri, ada aliran kanan. Tetapi mereka itu Umno-lah. Ini pun semacamlah, ada dikatakan aliran keras, ada aliran sederhana. Tetapi semuanya mendokong dasar Islam. Bagi saya berlainan pendekatan itu lumrah.

Sebenarnya, berapa aliran dalam PAS setakat ini?

(Ketawa) Satu aliran saja, aliran Islam.

Apa perbezaan antara kedua-dua aliran tadi (konservatif dan moderat)?

Kalau di sebelah Pantai Barat, tentulah kecenderungan hendak mendekatkan ideologi Islam kepada non-muslim menjadi agenda utama. Kalau di sebelah Pantai Timur, bagaimana hendak mendekatkan Islam kepada orang yang sudah Islam menjadi agenda utama.

Jadi, kalau kita lihat, secara individunya, orang-orang itu, tidak ada perbezaan sama ada satu kumpulan menerima pandangan komunis (contohnya) atau satu kumpulan pandangan Islam. Tidak ada sampai ke peringkat itu.

(Ketawa) macam kita kata, gaya belah rambut sahaja. Sama ada hendak belah tengah atau belah tepi. Sampai peringkat pertarungan ideologi dalam parti, itu tidak ada.

Tuan Haji dengar, baru-baru ini ada satu kumpulan dalam PAS dikenali sebagai Kumpulan Erdogan disebut dalam sebuah blog.  Katanya Kumpulan Erdogan ini diketuai Datu Husam Musa.  Beberapa pemimpin PAS diletakkan dalam kategori ini?

Saya berpendapat, begitulah, kalau ada, pandangan-pandangan peribadi, tetapi semuanya bekerja dalam konsep tidak lari daripada dasar Islam tadi.

Tetapi kumpulan ini wujud atau tidak dari segi kesefahaman, ideologi dan pendekatan yang serupa?

Tidak ada, tidak ada. Saya tidak nampak ada.

sumber mkini

6 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Pas hipokrit!

Kerajaan Pas Kelantan tidak seharusnya bersikap hipokrit apabila hendak menjadikan 16 September sebagai cuti umum, kata Menteri Penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata ini kerana mengikut sejarah, kerajaan Pas Kelantan telah mempertikaikan penggabungan Semenanjung, Sabah dan Sarawak bagi membentuk Malaysia.

Malah, katanya, kerajaan Kelantan Pas pernah membawa kes ke mahkamah kerana mempertikaikan penggabungan tersebut, tetapi kes itu ditolak oleh Mahkamah Persekutuan pada 14 September 1963.

“Nasib baik mahkamah telah menolaknya, kalau tidak mungkin Malaysia tidak akan terbentuk seperti yang ada sekarang,” katanya dalam satu kenyataan kepada Bernama hari ini.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini menyatakan Kelantan setuju dengan cadangan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadikan 16 September iaitu tarikh ulang tahun penubuhan Malaysia sebagai cuti umum.

Ahmad Shabery berkata, adakah dengan sekadar mempertikaikan tarikh tersebut sebagai cuti umum, kesilapan masa lampau Pas Kelantan yang menentang usaha Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman dan pemimpin terdahulu dapat dilupakan begitu sahaja.

Katanya adakah orang seperti Tunku Abdul Rahman tidak cukup semangat Malaysianya hanya kerana tidak mengisytiharkan cuti pada masa tersebut.

“Janganlah hanya untuk mendapatkan ‘secalit perhatian’ dalam permainan politik, mereka sanggup menjadi hipokrit dengan menyatakan persetujuan cadangan itu.

“Jangan juga hanya kerana untuk mendapatkan mata dalam permainan politik, mereka lupa akan sejarah dan pendirian mereka suatu ketika dahulu,” katanya. – utusan

6 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Blog kecam Husam, ‘kumpulan Erdogan’

sila layari http://antihusam.blogspot.com

Isu muqabalah PAS-Umno dan hubungannya dalam Pakatan Rakyat masih berlarutan di internet walaupun selepas berakhir muktamar tahunan parti itu pertengahan bulan ini.

Kali ini satu blog khas dibangunkan secara khusus untuk mengecam Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa yang dianggap mewakili kumpulan yang menentang rundingan sulit parti itu dengan Umno.

Selain itu ia juga mengutuk beberapa pemimpin kanan PAS yang digelarnya “kumpulan Erdogan” yang didakwa diketuai oleh Husam.

Setiausaha agung Datuk Kamarudin Jaafar dan bendahari Dr Hatta Ramli turut menjadi mangsa serangannya. Terbaru, sasarannya dihadapkan kepada timbalan pesuruhjaya II PAS Selangor, Khalid Samad.

Dipercayai dibina oleh orang dalam parti itu sendiri menjelang muktamar PAS ke-54 baru-baru ini, Anti Husam (www.antihusam.blogspot.com) turut mendakwa pemimpin kanan itu ke luar negara bersama penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim tanpa restu PAS.

Blog turut mendakwa Anwar berjanji “memberikan jawatan timbalan perdana menteri kepada Husam (setelah dilantik sebagai senator) apabila kerajaan persekutuan yang baru dibentuk oleh Pakatan Rakyat pada 16 September nanti.”

Jawatan Husam itu didakwa dijanjikan oleh Anwar sewaktu mereka di Dubai pada Jun lalu – yang digelar blog itu sebagai “Deklarasi Dubai” – bagi membincangkan strategi menghalang muqabalah PAS-Umno.

“Pertemuan (PAS-Umno) itu adalah ancaman besar buat Anwar dan Husam. Maka mereka merancang supaya sebarang usaha mempertemukan PAS dan Umno akan gagal sama sekali di masa hadapan,” satu artikel blog itu dipetik.

Ia mendakwa, untuk mencapai matlamat sedemikian, exco kerajaan Kelantan itu mengumpulkan “orang-orangnya” termasuk dua ahli jawatankuasa pusat Dr Dzulkifli Ahmad serta Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi, dan ketua Pemuda PAS Salahuddin Ayub.

Penulis blog Anti Husam, yang tidak mendedahkan identitinya, menamakan pemimpin-pemimpin ini sebagai “kumpulan Erdogan”, dipercayai merujuk nama perdana menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan yang mewakili parti Islam beraliran moderat untuk menyesuaikan dengan konteks politik negara itu yang pro-sekular.

“Maka bersungguh-sungguhlah mereka (secara sedar mahupun tanpa disedari) mempertikaikan dan menyanggah keputusan Majlis Syura Ulama PAS yang mengizinkan presiden dan timbalannya mengadakan pertemuan dengan Umno.

“Manakala tugas terpenting buat Husam ialah untuk mempengaruhi Tok Guru Mursyidul Am (Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) supaya beliau juga tidak bersetuju dengan sebarang bentuk pertemuan di antara PAS dan Umno.

“Sebab itulah kita melihat Tok Guru kita seringkali membuat kenyataan yang agak bercanggah dengan Tuan Guru Presiden dan Majlis Syura…,” coretan yang sama bertarikh 11 Ogos dipetik.

Dalam muktamar PAS di Ipoh antara 14 hingga 17 Ogos lalu, isu muqabalah dengan Umno dan kerjasama PAS dengan Pakatan Rakyat terus-meneruskan dibangkitkan sehingga memperlihatkan kecenderungan dua aliran dalam parti itu yang condong kepada muqabalah dan satu lagi yang pro-kerjasama dengan Pakatan.

Di sidang muktamar Pemuda PAS, isu muqabalah memuncak sehingga jelas membelah kumpulan perwakilan dewan itu yang menyokong muqabalah, antaranya disuarakan perwakilan-perwakilan Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Wilayah Persekutuan.

Seorang perwakilan Terengganu mendesak Husam bersama Salahuddin dan ketua penerangan PAS Mahfuz Omar dikenakan tindakan disiplin dengan alasan pernah mengeluarkan kenyataan terbuka yang dianggap melanggar keputusan pucuk kepemimpinan PAS termasuk presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang pro-muqabalah.

Dalam ucapan penggulunggannya, Abdul Hadi menegaskan PAS akan tetap bersama Pakatan Rakyat tetapi tidak menolak pertemuan dengan mana-mana pihak, termasuk Umno.

Tidak betah dengan kritikan Anti Husam minggu lalu, Khalid kelmarin melalui blognya (www.khalidsamad-shahalam.blogspot.com) menjawab tuduhan beliau “biadab, tiada akhlak dan menuju ke arah syakhsiyah jahiliyah” kepada presiden PAS.

“Cubalah kita bayangkan betapa rendahnya martabat tuan guru presiden menurut kaca mata Khalid sehingga di-aku-engkau-kan,” dakwa Anti Husam.

Sambil menegaskan rasa hormatnya sewaktu berkata-kata kepada Abdul Hadi dan Nik Aziz, Khalid yang juga ahli parlimen Shah Alam menjawab:

“Kalimah ‘aku’ kadang-kadang saya gunakan semasa bergurau dengan sahabat handai, tetapi tidak sekali-kali semasa bercakap dengan mereka. ‘Engkau’ saya tidak pernah pakai dan sebaliknya menggunakan ‘awak’ secara kebiasaan.”

Khalid juga menafikan beliau sebahagaian pengikut Husam dan menafikan wujudnya puak-puak dalam PAS.

“Dalam mesyuarat, adakalanya saya menyanggah pandangan Dr  Dzulkifli, adakalanya pandangan Husam dan juga sebaliknya. Itu perkara biasa bagi kami. Kita ingin mencari keputusan yang terbaik,” katanya lagi.

Pemimpin kanan PAS Selangor itu juga menjawab dakwaan beliau “berlagak pandai” mengenai kedudukan PAS dalam Pakatan Rakyat di negeri itu yang kini ditadbir oleh gabungan tersebut.

Anti Husam berkata pemimpin yang berhak bercakap hubungan parti itu dalam Pakatan di Selangor adalah pesuruhjayanya Datuk Dr Hassan Ali dan ketua Pemuda PAS negeri Sallehen Mukhyi.

Khalid menjelaskan, sebagai pemimpin kanan di Selangor, beliau juga dilantik sebagai pengerusi PASKAD iaitu unit kajian dasar dan strategik PAS negeri.

“Saya tahu apa yang berlaku. Namun saya merasakan masalah yang kita sedang hadapi dalam Pakatan Rakyat adalah perkara biasa,” jelas Khalid.

Bagaimanapun, Khalid tidak menafikan wujudnya perbezaan dengan Sallehen, namun menurutnya “kita tahu adabul ikhtilaf dan tidak membodohkan satu sama lain.”

Anti Husam juga mendakwa Khalid cuba membela kaum Cina dengan meminggirkan Melayu sendiri di Selangor, termasuk pengagihan kerusi ahli Majlis Bandaraya Shah Alam yang didakwa sewajarnya untuk ahli PAS.

Bagaimanapun, ahli parlimen Shah Alam menjelaskan, bahawa Anti Husam menganut sikap perkauman dan berfikiran sempit.

“Sebenarnya, peruntukan untuk PAS diisi oleh orang PAS. Ada pula peruntukan untuk NGO dan profesional. Ang yang saya cadangkan adalah pengerusi Persatuan Penduduk Taman Berkeley. Saya cadangkan nama beliau untuk mengisi peruntukan NGO,” kata Khalid.

Khalid menjelaskan, pemimpin persatuan penduduk itu “amat berjasa kepada PAS kerana berkerja keras untuk PAS semasa pilihanraya umum 1999 hingga 2008”.

Khalid juga menolak dakwaan Anti Husam yang menyifatkan dirinya sebagai “hero DAP” kerana cuba menenangkan pertikaian dua ahli parlimen Pakatan Rakyat di Dewan Rakyat, Zulkifli Nordin (PKR-Kulim Bandar Baharu) dan Chong Eng (DAP-Bukit Mertajam) minggu lepas.

“Sebenarnya Zulkifli dan Chong bertelagah hasil jolokan Umno-BN. Isu asal berhubung bahasa kebangsaan dan Islam sebagai agama rasmi sengaja dikaitkan kepada forum Majlis Peguam.

“Saya masuk untuk menghentikan perbalahan di antara dua wakil Pakatan Rakyat dengan membawa perbahasan kembali kepada isu asal iaitu Bahasa Kebangsaan dan Islam sebagai agama rasmi,” jelas Khalid.

Anti Husam mendakwa bendahari PAS pernah berkata “hah… masuklah Umno kalau macam itu!” sewaktu Timbalan Mursyidul Amnya Datuk Dr Harun Din menggulung perbahasannya di muktamar.

Oleh itu, blog itu mendakwa Dr Hatta bersikap “cukup kurang ajar” kepada tokoh ulama PAS itu.

Blog itu juga mendakwa Dr Hatta menyelewengkan sumber kewangan parti dan menegaskan “kalau ada masa dan setelah mendapat bukti yang cukup, saya akan bongkarkan penyelewengan yang beliau lakukan dalam menguruskan kewangan PAS.”

Mengenai setiausaha agung parti, Anti Husam mengkritiknya berhubung isu rasa tidak puas hati pemimpin PAS Pulau Pinang dalam pengagihan jawatan di negeri itu dan hasrat mereka untuk memboikot kempen Anwar dalam pilihanraya kecil Permatang Pauh yang berakhir hari ini.

Kamaruddin menganggap isu ini “sudah selesai” tetapi blog itu pula mempersoalkan sama ada masalah PAS negeri berkenaan pernah dibincangkan dengan Abdul Hadi dan timbalan presiden Nasharuddin Mat Isa.

“Atau Datuk (Kamaruddin) hanya perlu menerima arahan daripada bos lama Datuk, iaitu Anwar dan Husam Musa sahaja?

“Ataupun Datuk dah cukup besar kepala, nak langkah bendul mendahului presiden dan timbalan presiden PAS dan cuba menyelesai dan memadam kemelut PAS Pulau Pinang ini dengan cara Datuk sendiri,” Anti Husam terus mengecam lagi.

nota: ini adalah kisah pertembungan golongan ulama dan golongan profesional di dalam parti yang berpaksikan ajaran Islam. Para ulama lebih mengutamakan soal perpaduan bangsa manakala satu kumpulan lagi mengutamakan soal kuasa. Jika dalam umno, KJ dilihat tidak disukai ramai, dalam pun KJ juga tidak disukai ramai.

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

PAS Rela Tinggalkan Pakatan Demi Islam

PAS tegas mempertahankan Islam sebagai asas perjuangan parti dan sanggup meninggalkan Pakatan Rakyat jika ia tidak menguntungkan Islam.

Perkara itu ditegaskan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika berucap merasmikan konvensyen PAS Pulau Pinang, Ahad lalu.

Ia disahkan oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang, Mohamed Hafiz Nordin diketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Akhbar tabloid harian, Sinar Harian melaporkan perkara yang sama di muka hadapannya hari ini.

Hafiz berkata, pendirian tersebut menunjukkan bahawa perjuangan PAS mempertahankan Islam konsisten sejak dahulu lagi.

Katanya, ucapan Abdul Hadi itu merujuk tanggal 16 September depan apabila ahli-ahli parlimen Barisan Nasional (BN) melompat kepada Pakatan Rakyat.

Seperti yang telah dinyatakan oleh penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, penyertaan mereka cukup untuk memboleh Pakatan mengambil alih pemerintahan negara.

Bantu calon PKR

Sementara itu, Hafiz berkata, dalam ucapannya Ahad lalu, presiden PAS itu menegaskan jika ahli Parlimen bukan Islam lebih ramai daripada ahli Parlimen Islam, PAS tidak akan menyertai kerajaan Pakatan Rakyat.

“Tuan Guru (Abdul Hadi) menegaskan dalam ucapannya bahawa kita bukan perkauman tetapi menjadi tanggungjawab parti untuk mempertahankan dasar Islam.

“Beliau juga menegaskan bahawa setelah 50 tahun orang Melayu memerintah negara ini, tetapi jika orang bukan Melayu mengambilalih, (maka) ia sukar kepada negara dan rakyat.

“Oleh itu, kata Tuan Guru lagi, jika ahli Parlimen bukan Islam lebih ramai, ia akan menggugat orang Islam,” kata Hafiz.

Katanya, ucapan Abdul Hadi mendapat sokongan dari lebih 100 pemimpin PAS negeri yang menghadiri konvenyen tersebut.

Bagaimanapun, kata Hafiz, Abdul Hadi telah menyatakan bahawa PAS akan tetap menyokong calon Pakatan Rakyat dalam pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh. – MALAYSIAKINI

NOTA: Alhamdulillah, kelantangan PAS demi menegakkan Islam amat penulis puji. Jangan digadai Islam demi kuasa. Alangkah elok sekiranya PAS bekerjasama dengan UMNO di Perak dan Selangor.

1 Comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

UMNO Dan PAS Dibubarkan

Menyusul isu muzakarah-muqabalah, hari ini Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mencadangkan supaya UMNO dan parti itu dibubarkan dengan menubuhkan sebuah parti baru berlandaskan Islam bagi menyatukan orang Melayu dan sebagai tempat berlindung kepada semua pihak termasuk bukan Islam.

Selepas tiga hari pemimpin kanan PAS bertemu dan tiga hari selepas mesyuarat Majlis Tertinggi Umno yang menyentuh isu syor muzakarah-muqabalah, Menteri Besar Kelantan itu berkata, Islam menepati semua matlamat perjuangan termasuk politik dan perlu dijadikan asas kepada perjuangan manamana parti politik yang inginkan kepada perjuangan sebenar.

“UMNO bubar PAS pun bubar, tubuh parti lain dengan syarat berdasarkan kepada Islam,” kata beliau dipetik Bernama selepas merasmikan Muktamar Dewan Ulama Pas Kelantan Ke-37 di sini.

Nik Abdul Aziz memberitahu, UMNO tidak ada sebab untuk menolak dasar Islam yang dicadangkan oleh PAS melalui parti itu kerana Islam milik semua kaum termasuk bukan Melayu di negara ini.

“Kalau tidak kena dengan Islam di manamana, cuba beritahu dan kalau UMNO itu benar dan tidak bertentangan dengan agama cuba beritahu,” katanya ketika mengulas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang membayangkan kemungkinan diadakan kerjasama politik dengan PAS suatu masa nanti.

Nik Abdul Aziz berkata, dengan cara demikian ia dapat mengembalikan kekuatan Islam di negara ini di samping merapatkan hubungan antara kaum termasuk bukan Islam.

“Islam untuk semua kaum, bukan untuk orang Melayu sahaja atau Cina, India dan Orang Putih, semua perlu bersatu di bawah Islam,” katanya. – mstar

nota: Penulis berpendapat tidak perlu UMNO dan PAS tidak perlu dibubarkan bagi mewujudkan kerjasama politik sekiranya perlu diadakan. Sebaliknya keterbukaan di dalam perjuangan parti masing2 hendaklah dilaksanakan. Permasalahan isu muzakarah atau muqabalah sekarang ini adalah kerana sikap dan pemikiran sempit beberapa individu dari kedua-dua parti yang menganggap kerjasama pas/umno melalui muzakarah/muqabalah ini sebagai satu ancaman kepada kedua2 parti dan secara tidak langsung ancaman kepada individu tersebut.

17 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

MB Perak mahu dialog Umno-PAS dihentikan

Dialog peringkat tinggi Umno-PAS perlu dihentikan memandangkan usaha sedemikian boleh menjurus ke arah spekulasi semata-mata, kata Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Sambil menyifatkan spekulasi sebagai tidak sihat, beliau berkata, hanya Perdana Menteri yang berminat untuk mengadakan perbincangan membabitkan kedua-dua parti.

Pakatan Rakyat tidak terdesak untuk mengadakan hubungan seumpama itu kerana barisan pembangkang adalah kukuh buat masa sekarang, kata beliau di sini hari ini selepas melancarkan konvensyen kumpulan kualiti kerja perkhidmatan awam.

Menteri Besar berkata, beliau juga lebih bersikap terbuka untuk mengadakan  muqabalah atau pertemuan bersemuka.

Ketika ditanya sama ada muqabalah akan mencetuskan rasa tidak senang di kalangan anggota Pakatan Rakyat, beliau memberitahu, situasi sedemikian tidak akan wujud kerana terdapat kefahaman yang baik di antara PKR, PAS dan DAP.

Berhubung syor Penasihat DAP, Lim Kit Siang supaya perbincangan itu seharusnya memberi tumpuan terhadap perpaduan rakyat Malaysia, Nizar berkata, ia akan menjadi salah satu agenda pertemuan.

“Agenda utama menyentuh kepentingan semua rakyat Malaysia dan tidak hanya satu-satu komuniti,” katanya. – mstar

nota: sememangnya agenda utama adalah bagi kepentingan semua rakyat Malaysia dan tidak tertumpu kepada Umat Islam melayu sahaja. Persoalannya sekarang sesudah hampir 4 bulan Pakatan Rakyat memerintah di beberapa negeri seperti Selangor dan Perak, apakah agenda yang telah dilakukan untuk Umat Islam Melayu di negeri terbabit??? tepuk dada tanya selera.

11 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda