Tag Archives: PAU2008

Peralihan kuasa sebahagian Pelan Pemulihan Politik UMNO

Pelan Peralihan Kuasa yang disebut-sebut sebagai salah satu isu utama dalam UMNO difahamkan turut menjadi salah satu perkara yang dibincangkan oleh Majlis Tertinggi (MT) UMNO pada ‘perkampungan’ MT yang berlangsung bermula hari Khamis hingga Jumaat.

Menurut sumber daripada kalangan Ahli MT memberitahu Agendadaily, soal peralihan kuasa perlu ditangani dan diselesaikan kerana ia merupakan isu yang menjadi tumpuan di kalangan ahli-ahli UMNO dan juga rakyat umum keseluruhannya.

“Ia bukan soal mendesak sesiapa meletakkan jawatan tetapi dalam usaha pemulihan politik UMNO, perkara ini sebahagian daripada perkara yang perlu dibahaskan secara terbuka dan diselesaikan,” katanya.

Sumber berkenaan menyatakan demikian di sela-sela bengkel perbincangan Pelan Pemulihan Politik UMNO berhenti rehat tengahari Khamis.

Menurut sumber tersebut, selain soal peralihan kuasa, perbincangan turut menyentuh mengenai perkara-perkara yang termaktub di dalam Perlembagaan UMNO yang perlu dilaksanakan kerana selama ini ia tidak diberi perhatian.

Sebagai contoh kata sumber itu, dalam senario politik sekarang sudah ada pandangan sama ada di kalangan orang Melayu mahupun rakyat umum bercakap tidak perlunya keistimewaan diberikan kepada orang Melayu dan mahukan kesamarataan diberikan kepada semua kaum.

“Pandangan ini adalah hasil persepsi yang UMNO hanya pentingkan orang Melayu dan seolah-olah nafikan hak kaum lain. Sedangkan hakikatnya, dalam Perlembagaan UMNO termaktub UMNO juga menjamin hak kaum-kaum lain. Inilah yang perlu dilaksanakan dan diperjelaskan bagi memastikan UMNO dilihat relevan kepada semua kaum,” ujar beliau.

Mengulas lebih lanjut mengenai perbincangan yang berlangsung ketika ditanya secara keseluruhannya apakah perkara-perkara yang menjadi fokus pelan pemulihan politik UMNO itu, sumber berkenaan secara analoginya memberikan kenyataan berikut:

“Kita hendak merawat penyakit buta iaitu nampak tapi tak melihat. pekak iaitu dengar tapi tidak faham dan bisu iaitu tidak bercakap perkara yang benar.

“Maksudnya, penyakit buta ialah apabila telah terlalu lama berkuasa sampai tidak melihat jalan keluar untuk beri laluan kepada golongan pelapis. Pekak pula tidak mahu mendengar pandangan yang sepatutnya didengar manakala bisu pula tidak berani untuk menyatakan perkara yang sebenar,” jelasnya.

Bagaimanapun ketika ditanya apa yang boleh diharapkan daripada perbincangan pelan pemulihan politik tersebut, sumber itu berkata, berdasarkan perbincangan awal dan keseriusan yang ditunjukkan oleh Ahli-Ahli MT, beliau yakin satu pelan yang konkrit akan dapat dihasilkan dan boleh mengembalikan semula keyakinan rakyat kepaa UMNO. – 5/6/2008 – sumber agendadaily

nota: Pelan peralihan kuasa ini harus dirancang dengan teliti dan cermat. Ini kerana individu yang memegang jawatan Presiden UMNO secara tidak langsung akan menjadi Perdana Mentei Malaysia. Walaupun terdapat pihak yang ingin mencuba nasib untuk bertanding dalam PAU Disember nanti, pelan peralihan kuasa ini tetap perlu disediakan. Berita terkini yang diterima dari MYKMUJohor pula mengatakan DS Najib bersedia utk bertanding jawatan Presiden. Ini akan memperlihatkan saingan 3 penjuru bagi jawatan Presiden termasuk Ku Li dan Pak Lah sendiri.


Berita terbaharu yang saya terima sendiri dari orang kanan kedua-dua pemimpin harapan rakyat Malaysia pada ketika ini iaitu Datuk Seri Najib dan Tan Sri Muhyiddin adalah bahawa sudah ada persefahaman untuk menerima hakikat bahawa akar umbi UMNO mahukan perubahan segera kepimpinan tertinggi UMNO.

Justeru berita yang paling menggembirakan kita semua pada hari ini adalah YAB Datuk Seri Najib dikatakan telah bersetuju untuk menerima pencalonan bagi jawatan Presiden UMNO berganding bersama Tan Sri Muhyiddin sebagai Timbalan Presiden UMNO.

Keputusan ini dikatakan dibuat berdasarkan meningkatnya desakan ahli dan pemimpin UMNO di peringkat akar umbi yang menyuarakan desakan supaya Pak Lah segera melakukan proses peralihan kuasa kepada Timbalannya ini.

Ditanya mengapa sebelum ini Datuk Seri Najib berpendirian untuk bersama-sama berganding dengan Pak Lah, sumber saya mengatakan bahawa Datuk Seri Najib menyangkakan Pak Lah akan melakukan proses peralihan kuasa sebelum pemilihan UMNO pada bulan Disember nanti. Pernyataan Pak Lah ini yang semakin berubah amat berbeza dengan penyataannya yang dibuat selepas mengadakan pertemuan dengan UMNO Johor bulan lalu dan ini membuatkan Datuk Seri Najib semakin ragu dengan keikhlasan Pak Lah untuk melakukan proses peralihan kuasa.

Berdasarkan senario politik semasa yang agak tidak menentu serta persepsi buruk rakyat terhadap UMNO dan kerajaan ditambah pula dengan keadaan ekonomi dan krisis tenaga dan makanan yang kian meruncing, maka terdapat keperluan bagi Datuk Seri Najib mengambil langkah kehadapan bagi menyelamatkan parti dan negara ke arah membaiki segala kelemahan yang telah dilakukan oleh Pak Lah.

“Memandangkan tidak banyak tindakan yang telah dilakukan oleh Pak Lah bagi membaiki dan menangani segala kelemahan dalam pentadbirannya serta campurtangan keluarganya maka Datuk Seri Najib merasa bertanggungjawab dan terpanggil untuk menyahut desakan seluruh ahli UMNO dan rakyat Malaysia dari semua peringkat untuk mengetuai proses menguatkan semula UMNO dan memulihkan persepsi rakyat terhadap UMNO, Barisan Nasional dan Kerajaan.”

Sumber itu menyatakan bahawa “proses ini dijangka akan mengambil masa selama 6 bulan sahaja. Selepas bulan Disember atau mulai tahun 2009, Kerajaan di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib selaku Perdana Menteri sudah boleh memfokuskan kepada menangani segala cabaran yang sedang dihadapi oleh rakyat termasuk isu kenaikan harga minyak dan krisis makanan.”

Justeru itu saya menyeru kepada semua pembaca supaya bergandingbahu bagi memastikan usaha pembaharuan ini akan berjaya dilakukan. Pada ketika ini semua pihak di dalam UMNO harus memastikan YAB Datuk Seri Najib dan Tan Sri Muhyiddin mendapat pencalonan yang secukupnya bagi melayakkan mereka bertanding jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO.

Semoga Allah merestui perjuangan mereka untuk agama, bangsa dan negara.

3 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda