Tag Archives: pemuda bahagian ampang

22 laman web, blog disiasat – utusan

KUALA LUMPUR 26 Mei – Sebanyak 22 buah laman web dan blog telah disiasat di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berikutan memaparkan kandungan yang menyalahi peraturan.

Timbalan Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Joseph Salang Gandum berkata, daripada jumlah itu, 17 disekat sementara kertas siasatan terhadap tiga laman yang berkenaan telah disiapkan.

“Kertas siasatan ini juga telah dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan undang-undang selanjutnya termasuk pendakwaan di mahkamah.

“Perlu ditegaskan bahawa setiap kandungan di Internet telah ditetapkan sebagai tidak boleh menyebarkan kandungan yang bersifat palsu, mengancam atau yang jelik.

“Ini ditetapkan di bawah Seksyen 211 dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang jika sabit kesalahan, individu boleh didenda sehingga RM50,000 atau dipenjarakan tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan asal Senator Sharifah Azizah Syed Zain pada sesi soal jawab persidangan Dewan Negara di sini hari ini.

Menurut Joseph, mereka yang teraniaya dengan penyiaran di laman web dan blog termasuk ahli politik yang difitnah boleh mengemukakan aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).

Beliau menambah, selain SKMM, sebenarnya salah laku pengendali laman web dan blog juga boleh diambil tindakan di bawah akta lain dan oleh agensi kerajaan yang lain.

“Antaranya Akta Hasutan, Kanun Keseksaan, Akta Syarikat, Akta Bank dan Institusi Kewangan yang memberi bidang kuasa kepada agensi seperti Bank Negara dan polis untuk bertindak.

“Malah orang perseorangan juga boleh mengambil tindakan terhadap pengendali laman blog melalui undang-undang sivil sekiranya merasakan telah difitnah dan sebagainya,” jelasnya.

Bagaimanapun, ujar beliau, kerajaan buat masa ini belum bercadang menubuhkan sebuah badan khusus bagi memantau laman-laman blog.

“Memang ada beberapa kekangan dalam kita bertindak ke atas laman blog yang melakukan pelanggaran undang-undang antaranya sebab pengendalinya menggunakan platform luar negara selain blog itu sendiri tidak dilesenkan.

“Namun kerajaan mempunyai mekanisme tersendiri melalui penubuhan pasukan petugas operasi yang turut merangkumi Majlis Keselamatan Negara (MKN),” ujarnya. -Utusan

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Terima Kasih Atas Sokongan Anda Semua

Assalamualaikum wbt,

Berkat limpah kurnia dari NYA dan sokongan dari pembaca tidak kira dari parti politik yang berlainan, blog ini telah pun menerima kujungan lebih dari 21,000 pembaca. Bilangan pembaca yang tinggi ini amat memeranjatkan pihak kami di mana pihak kami beranggapan blogger kecil seperti kami ini tidak mampu mencecah puluhan ribu pembaca. Kunjugan lebih 21,000 orang pembaca ini bermula dari posting pertama laman blog ini iaitu pada tanggal 12 Februari 2008 bertajuk Selamat Datang.

Walaupun pilihanraya ke 12 telah berlalu, laman blog ini terus memaparkan isu-isu semasa politik tanah air dari berbagai sumber. Semoga segala isu yang dipostkan dapat meningkat kesedaran diri kita terhadap persekitaran politik negara kita yang sedang melalui jalan yang berliku.

Pihak kami ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada semua pembaca atas sokongan, komen dan kritikan dari anda semua. Diharap laman blog ini dapat memberi manfaat kepada semua pembaca.

Akhir kata, walaupun terdapat perbezaan ideologi politik di antara kita terutamanya bangsa Melayu, satu perkara yang harus kita sepakat iaitu kita harus terus memperjuangkan dan membangunkan agama Islam dan bangsa Melayu itu sendiri di Malaysia. Kekukuhan agama Islam dan orang Melayu dapat menjamin kestabilan negara bagi menghadapi cabaran untuk 50 tahun yang akan datang. Tonggak kekuatan orang Melayu selama ini adalah bertunjangkan semangat Ketuanan Melayu yang telah digunapakai sejak lebih dari 50 tahun dahulu. Justeru itu, semangat ini harus dipertahankan dan perlu diserlahkan supaya generasi muda Melayu dapat memahami tentang semangat Ketuanan Melayu ini.

Sekian Terima Kasih.

Wassalam

Allahuakbar !! Hidup UMNO !! Hidup Melayu !!

Pergerakan Pemuda UMNO Cawangan Jalan Enggang

Bahagian Ampang

Selangor

3 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda