Tag Archives: pemuda pas

Pemuda Pas Selangor cabar Anwar bersumpah

Dewan Pemuda Pas Selangor mencabar Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya melakukan sumpah laknat jika beliau di pihak yang benar.

Ketuanya, Sallehen Mukhyi berkata, ia merupakan langkah terbaik bagi bekas Timbalan Perdana Menteri itu untuk menyelesaikan masalah peribadinya sekali gus membersihkan namanya.

Beliau berkata, semua pihak harus menerima baik sumpah laknat bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd. Saiful Bukhari Azlan yang berbuat demikian kerana mahu menjaga nama baik diri dan keluarga.

“Terdapat dua cara untuk menyelesaikan kes ini sama ada pihak penuduh mengemukakan bukti kukuh di mahkamah atau tertuduh (Anwar) sendiri membuat pengakuan.

“Namun, sekiranya Anwar merasakan beliau tidak bersalah, beliau boleh membuat pengakuan di mahkamah ataupun membuat sumpah laknat… terpulang kepadanya,” kata Sallehen ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas desakan pelbagai pihak yang mahu Anwar, calon PKR dalam pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh, berhenti mempertikaikan sumpah laknat Mohd. Saiful yang dilafazkan pada 15 Ogos lalu.

Menurut Sallehen, tindakan Mohd. Saiful, 23, itu dapat dilihat sebagai salah satu cara yang membolehkan beliau memberitahu masyarakat bahawa dakwaannya mengenai perbuatan liwat Anwar adalah benar.
sumber utusan.

nota: terdapat beberapa khabar angin bahawa DSAI akan membuat pengakuan bersumpah esok selepas solat Jumaat. walaubagaimanapun kesahihan maklumat ini masih belum dapat dipastikan.

6 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Kenyataan Artis tentang Bantahan Konsert Mas Idayu & Ella

sumber malaysiakini

Komposer terkenal Roslan Aziz menyifatkan tindakan Pemuda PAS Selangor membantah konsert penyanyi terkenal Ella dan Mas Idayu sebagai tindakan “ego” golongan agama dan bermotifkan politik.
“Orang yang tahu fasal agama, ego dia lebih tinggi. Cuba kita pergi kepada seorang ustaz dan kata kepada dia, hadis ustaz salah, sanad tak betul. (Awak) ingat dia boleh terima? Mereka ini hendak tunjuk suci,” katanya kepada Malaysiakini.

Mengulas larangan mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin terhadap penyanyi Faizal Tahir, Roslan berkata:

“Kalau nak ikut betul-betul, berapa ramai ahli parlimen tidak boleh masuk Perlis. Tengoklah perangai mereka dalam parlimen macam mana. Itu lebih teruk daripada Faizal Tahir.”

Kumpulan rock terkenal Nitrus pula berkata Pemuda PAS berhak membantah tetapi tidak boleh mengetepikan hak orang lain.

“Dia ada hak beri pandangan mereka. Pihak yang lain juga ada hak. Yang perlu dibuat adalah diskusi, mesyuarat. Soal aurat, suara perempuan itu tidak terperinci(dijelaskan). (Bantahan) itu sesuatu yang kritikal. Ramai orang Islam yang cari
makan dengan muzik, macam kami.

“Perkembangan budaya juga penting untuk pembangunan masyarakat. Diskusi patut melibatkan ahli akademik dan orang industri sendiri. Bincang, kemudian umumkan,” kata vokalis kumpulan bebas itu Syed Helmy Syed Hood.

Ditanya sama ada mereka bersetuju dengan alasan moral dan pembaziran yang diberikan Pemuda PAS, Syed berkata: “Kurang setuju. Tuduhan itu kurang konkrit, macam cakap tak ada dalil, tak ada alasan (terperinci). Kalau kata tak setuju, nyatakan batasan, garis panduan yang jelas.

Sementara itu, penggiat muzik dan pelukis Mazir Ibrahim pula berkata, bantahan Pemuda PAS itu tidak wajar.

“Kerajaan baru harus utamakan pembangunan masyarakat, bukan politik semata-mata. Takkan kerajaan baru kerjanya hanya mengharamkan. (Mereka) mesti sediakan (ruang) untuk semua. Bukan hal-hal yang dia suka saja,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Aktivis politik Amin Iskandar berkata tindakan Pemuda PAS Selangor itu sebagai “menipu” rakyat kerana bercanggah dengan manifesto parti itu dalam pilihanraya umum lalu.

“Tindakan ini tidak demokratik. Kenapa tidak tulis dalam manifesto dulu?
Tindakan ini menipu rakyat. Kalau dulu tulis, itu OK. Dia kena sedar, Pakatan
menang, termasuk PAS, dalam kawasan berkomposisi pelbagai kaum. Jadi tuntutan
itu tidak sesuai dengan aspirasi Pakatan.

“Yang memenangkan mereka dulu bukan (penyokong) PAS saja, tetapi semua pihak. Jangan lupa pada Cina yang buka bilik gerakan untuk mereka dan India yang bertakbir selepas ceramah PAS dulu,” katanya.

Tindakan Pemuda PAS ini hanya menunjukkan parti itu tidak bersedia memerintah Malaysia, tambahnya.

12 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda