Tag Archives: peralihan kuasa

Nantikan…pengumuman Pak Lah Hari Rabu Ini – Malaysiakini

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan mengumumkan sama ada akan mempertahankan jawatannya sebagai Presiden Umno sama ada esok atau lusa.

“Tunggulah dalam masa yang tak lama lagi, esok atau Rabu (umumkan)”, katanya.

Pada Rabu ini Abdullah akan mengadakan pertemuan dengan ketua-ketua parti komponen Barisan Nasional (BN).

26 Oktober lalu beliau berkata akan mengumumkan mengenai keputusannya untuk mempertahankan jawatannya itu sebelum 9 Oktober iaitu sebelum bermulanya persidangan peringkat bahagian.

Rabu lalu, Abdullah berkata beliau akan memberi penjelasan kepada ketua parti komponen BN mengenai pelan peralihan kuasa antara beliau dan timbalannya, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak. – mstar

nota: moga apa jua pengumuman dari Pak Lah, seluruh ahli UMNO akan menerima dengan hati yang terbuka.

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

PAU Ditangguhkan Utk Percepat Peralihan Kuasa – Malaysiakini

Perhimpunan Agung Tahunan Umno yang sepatutnya diadakan Disember ini ditangguhkan sehingga Mac depan bagi membolehkan peralihan pucuk kepimpinan parti dan kerajaan diawalkan.

Bagaimanapun persidangan perwakilan bahagian akan berlangsung sebagaimana telah dijadualkan – mulai 9 Oktober ini.

Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan mengumumkan sama ada mempertahankan jawatannya ataupun tidak sebelum 9 Oktober ini.

Ia merupakan tiga perkara utama diputuskan oleh MT Umno pada mesyuarat khas yang selesai tengah hari tadi. Mesyuarat kira-kira 90 minit itu bermula pukul 10.30 pagi tadi.

Sebelum mempengerusikan mesyuarat MT, Abdullah telah mengadakan pertemuan ringkas dengan timbalannya, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak bagi membincangkan supaya persidangan perwakilan diteruskan bagi mengelakkan masalah.
Perhimpunan Agung Tahunan kali ini menyaksikan pemilihan bagi jawatan-jawatan tertinggi parti – Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden serta kerusi MT.

Keputusan mesyuarat diumumkan oleh Abdullah pada sidang media kira-kira 10 minit.

Abdullah juga berkata, beliau akan mengumumkan sama ada mempertahankan jawatannya ataupun tidak sebelum 9 Oktober ini.

“Saya belum membuat sebarang pengumuman mengenai perkara ini. Saya berhasrat untuk mengumumkannya sebelum mesyuarat bahagian,” katanya.

“Bertanding atau tidak, keputusan di tangan saya,” katanya lagi.

Kata beliau, keputusan itu dicapai ekoran langkah mempercepatkan pelan peralihan kuasa 2010, yang diputuskan Julai lalu.

Pelan peralihan kuasa sepatutnya berkuat kuasa Jun 2010.

Ditanya lanjut mengenai pelan peralihan kuasa 2010, Abdullah berkata: “Kalau sudah diawalkan tidak timbullah (pelan) 2010 itu.”

Ditanya sama ada pelan asal peralihan kuasa pada Jun 2010 akan dikekalkan, beliau berkata: “kalau diawalkan, tidak adalah original punya 2010 itu. Tak timbullah.”

Ketika diminta penjelasan mengenai maksud bagi melicinkan proses peralihan kuasa awal, Abdullah berkata “ia adalah bagi membuat penyerahan apa juga yang diperlukan… peraturan-peraturan apa yang hendak saya laksanakan nanti, apa juga.”

“Ini akan diputuskan antara saya dan Najib,” katanya.

Abdullah yang mengambil alih kepimpinan Umno pada Oktober 2003 daripada Tun Dr. Mahathir Mohamad memberitahu, peralihan kuasa yang diawalkan ini berhubung kait dengan tugas beliau selama ini.

“Semua ada hubung kait dengan kerja saya. Bila habis kerja saya habislah,” katanya.

Jelas beliau, keputusan bagi mengawalkan peralihan kuasa bukan disebabkan tekanan sebilangan anggota MT.

“Tida ada apa-apa pada hari ini (desakan)… mungkin ada dua atau tiga orang yang rasa begitu.

“Tapi kebanyakan tidak menunjukkan apa-apa sebab untuk memberi tekanan.

“Mereka juga tahu hubungan saya dengan Najib adalah satu hubungan yang baik dan apa-apa perkara pun, kedua-dua kami mempunyai persefahaman yang baik.

“Jadi tidak ada masalah yang patut timbul mengenai perkara ini,” kata Abdullah, yang juga Menteri Pertahanan.

Ditanya sama ada tindakan untuk berundur lebih awal adalah yang sesuatu yang terbaik kepada parti, Abdullah menjelaskan:

“Apa yang saya tahu saya sayangkan parti saya, walaupun menghadapi masalah yang teruk, saya tidak pernah tinggalkan parti.

“Saya tidak sertai mana-mana parti lain. Saya tidak pernah berada di platform pembangkang bagi bercakap sesuatu yang bertentangan dengan Umno dan tidak ada rekod saya yang menentang Umno pada bila-bila masa pun.”

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Peralihan kuasa mungkin diawalkan

PUTRAJAYA: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, pelan peralihan kuasa yang telah dipersetujui dengan timbalannya Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2010 mungkin dapat dilaksanakan lebih awal.

“Tempoh waktunya fleksibel. Ia mungkin jika saya mahu pergi lebih awal tetapi tidak melangkaui 2010,” kata Perdana Menteri dalam sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini. Turut hadir ialah Najib.

Abdullah berkata pelan peralihan kuasa itu antara lain bergantung kepada prestasi Najib.

Menjawab soalan berhubung tempoh masa itu, Abdullah berkata: Ia boleh jadi di antara sekarang dengan Jun 2010.”

Sambil menyatakan bahawa keduadua pemimpin komited dengan pelan penyerahan, Abdullah berkata, beliau akan mengekalkan kerusi Presiden UMNO manakala Najib mengesahkan bahawa beliau tidak akan mencabar Abdullah dalam pemilihan UMNO pada Disember.

Ketika ditanya lebih lanjut berhubung tempoh masa itu, Abdullah berkata: ” Ia bukan untuk anda tanya dan untuk saya menjawab.”

Abdullah berkata perkara itu akan diputuskan dengan sewajarnya apabila proses penyerahan mengambil tempat.

Sementara itu, Najib berkata beliau dan Perdana Menteri telah mencapai persetujuan seperti yang digambarkan oleh Abdullah.Sehubungan dengan itu, beliau berharap pelan peralihan kuasa itu dapat diterima oleh parti demi kestabilan negara dan keutuhan parti.

Najib juga berkata beliau tidak menerima sebarang pencalonan untuk kerusi Presiden kerana beliau komited dengan pelan penyerahan kuasa itu. -mstar

6 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Pak Lah & Najib Tukar Portfolio – Malaysiakini

Pak Lah hari ini mengumumkan pertukaran portfolio kementerian dengan Datuk Seri Najib berkuatkuasa hari ini. Pak Lah akan menjadi Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan manakalah Datuk Seri Najib Timb Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan.

Difahamkan pertukaran ini adalah sebahagian dari pelan peralihan kuasa 2010.

9 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Transkrip Penuh Pak Lah Mengenai Peralihan Kuasa

S:Kelmarin, Datuk Seri mengumumkan tarikh peralihan kuasa akan diadakan pada tahun 2010. Kenapa Datuk Seri memilih 2010 sebagai tarikh peralihan kuasa dan bukan tahun-tahun lain?

J:Itu adalah tahun penamat Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9). Tahun 2010 itu juga saya berharap tahun kejayaan menghapuskan kemiskinan tegar.

S:Ada yang kata tempoh dua tahun itu terlalu lama dan ada juga dalam masa yang sama berkata tak cukup untuk Pak Lah untuk menyelesaikan kerja-kerja yang hendak dilakukan?

J:Banyak yang perlu dikerjakan dan pembangunan perlu diteruskan dan kerja-kerja yang hendak saya laksanakan itu adalah kerja-kerja yang ada hubungkait dengan yang dijanjikan dalam manifesto, yang perlu saya laksanakan. Tambahan pula ada pembangunan Koridor (pembangunan wilayah) masih belum lagi dilaksanakan.

S:Jadi, pada 2010 itu Pak Lah merasakan waktu itu segala-galanya akan nampak hasil dan kejayaan?

J:Harapan saya ialah pada tahun 2010 banyak dah (kerja diselesaikan), dah pun bergerak dengan baik, itu harapan saya.

S:Dari segi kepuasan diri, adakah Datuk Seri merasakan pada 2010 segala apa yang dirancang, dibina dan dilaksanakan sudah menampakkan kejayaan dan ia satu tempoh yang mencukupi bagi semua itu?

J:Seperti saya katakan tadi, janji-janji kepada rakyat telah dibuat, janji di dalam manifesto dan antaranya ialah janji-janji yang dilihat sebagai janji saya (walaupun) manifestonya adalah manifesto Barisan Nasional. Saya rasa worth it untuk saya melaksanakannya.

S:Nampaknya dalam hati kecil Datuk Seri, masih ada rasa tanggungjawab untuk menyelesaikan kerja-kerja yang dimulakan dan janji yang dibuat.

J:Saya masih ada tanggungjawab pada waktu ini dan sebab dua tahun lamanya itu, memang saya akui memang tanggungjawab Perdana Menteri itu adalah tanggungjawab saya. Kuasa ada pada saya, dan saya perlu gunakan dengan sebaik-baiknya untuk menjayakan pembangunan dan lain-lain lagi.

S:Mungkin Pak Lah boleh jelaskan sekali lagi tentang tidak adanya sebarang tekanan luar sehingga keputusan ini dibuat.

J:Sebenarnya begini. Sayalah orang yang mula-mula sebut perkara ini iaitu pada satu pertemuan tertutup dengan pegawai-pegawai penerangan Umno dari seluruh negara. Saya sebut tentang proses peralihan kepimpinan parti sebagai proses biasa apabila tiba pemilihan parti. Seperti biasa, yang nak pergi pergilah, yang patah, patahlah tetapi yang ganti mesti ada. Inilah proses yang berlaku di dalam Umno yang dah lama, jadi, bila dah sebut yang lama itu, apa jadi pada kita? Ada yang kata you also dah berumur, dah lama, dah lama terlibat dalam parti pun, dah mula menjadi anggota parti sejak tahun 1965, mula aktif dalam pentadbiran pada 1978. Satu hari saya akan pergi juga dan saya juga mahukan proses peralihan itu berjalan dengan baik, daripada saya kepada pengganti saya. That was the one that makes the people talk (Itulah yang membuatkan orang mula bercakap).

S:Bolehkah Datuk Seri jelaskan kebaikan pelan peralihan kuasa yang diumumkan berbanding dengan jika ada pertandingan di peringkat tertinggi parti yang boleh menggugat kestabilan parti?

J:Lebih baik pada parti (jika tiada pertandingan). Orang yang bergaduh (bertanding) ni, bila lihat orang atas berkelahi, semua habis terlibat daripada cawangan sampai ke bahagian. Ini menyusahkan, dengan orang bawa macam-macam teori, pandangan.

S:Jadi, pelan peralihan kuasa yang diumumkan adalah bagi mengekalkan tradisi yang sedia ada di dalam Umno?

J:Tradisinya ialah supaya peralihan itu berjalan dengan baik, jika peralihan itu berjalan dengan baik, kita perlu rancang.

S:Apa signifikannya Pak Lah umumkan pada waktu ini apabila menjelang hanya sehari dua sebelum bermula mesyuarat Umno di peringkat cawangan.

J:Jika nak buat pengumuman, lebih baik dibuat sebelum bermulanya pemilihan di peringkat cawangan. Let’s the people get settled first (Biarkan mereka bertenang dahulu). Sebelum pemilihan cawangan, buat siap-siap, supaya semua orang tahu awal-awal, jadi inilah keadaannya. Bila ada pertandingan, yang menang tak rasa selesa, yang kalah lagi rasa tak selesa. Kita mahu pastikan pemilihan dalam parti berjalan lancar.

S:Adakah Pak Lah yakin ahli parti di semua peringkat dapat menghayati niat baik Pak Lah itu atau menghormati apa yang diputuskan oleh Pak Lah?

J:Ramai yang telahpun menunjukkan bahawa mereka puas hati.

S:Bila sebenarnya Datuk Seri buat keputusan tentang peralihan kuasa itu?

J:Bila tarikh pemilihan mesyuarat cawangan dah nak bermula, pada masa itulah pada saya ia perlu dipercepatkan.

S:Ada yang menganggap proses peralihan kuasa itu hanya satu strategi Datuk Seri untuk memberi masa memperkukuhkan kedudukan Datuk Seri sendiri?

J:Memang dah nak retire (bersara), yang pentingnya kita buat kerja. Dalam period (tempoh) ini pun, saya buat kerja, Datuk Seri Najib pun buat kerja. Dan jika kerja-kerja yang dilaksanakan bakal membuahkan hasil yang dapat dinikmati oleh rakyat yang bakal diterima baik oleh rakyat. Dengan itu, ia juga membantu menguatkan lagi parti untuk mendapat sokongan rakyat.

S:Adakah Datuk Seri Najib akan diberi peranan yang lebih dari sekarang sehingga 2010?

J:Adalah peranan-peranan yang saya akan bagi kepada dia. Saya juga perlu melakukan lebih lagi. Dalam kombinasi presiden dan timbalan, ia tentang membantu untuk memperkukuhkan parti. Ia mengenai pelaksanaan banyak perkara yang kami ingin lakukan. Kami juga perlu memperoleh sokongan daripada rakyat. Kita akan membuat kerja untuk menguntungkan mereka.

S:Adakah kemungkinan Pak Lah akan melanjutkan tempoh sebagai Perdana Menteri (selepas 2010) sekiranya sesuatu berlaku seperti krisis ekonomi atau perkara lain?

J:Saya sama sekali tidak akan berbuat demikian. Saya tidak akan pergi kepada Najib dan berkata kepadanya “Mereka sukakan saya sekarang, bolehkah anda benarkan saya teruskan untuk setahun lagi?” Kalau ada apa yang berlaku (seperti krisis ekonomi), dia yang selesaikanlah. Kalau (ada apa yang) berlaku (pada ketika itu) dan bila tiba masanya untuk saya pergi, saya akan pergi. Paling buruk, beliau perlu menanganinya. Dan dengan sesiapa sahaja yang beliau pilih untuk menjadi gandingannya.

S:Siapakah tokoh-tokoh dalam dalam UMNO yang layak untuk menjadi Timbalan Presiden yang baru kemudian?

J:Saya tidak mahu menyebut nama sesiapa. Ada beberapa orang yang akan menjadi calon yang baik.

S:Pak Lah mahu dikenang sebagai apa?

J:Tak payahlah. Saya tidak tahu. Terpulang kepada orang ramai untuk menilai. (Masih terlalu awal dan saya masih Perdana Menteri) dan dalam masa dua tahun akan datang kita tidak tahu apa yang akan berlaku. Secara jujur, I tak pernah fikir. Saya mahu bersara dengan rasa puas bahawa saya telah melakukan sesuatu.

S:Ada orang kata Pak Lah akan dikenang sebagai orang yang membawa negara ke tahap lebih demokratik?

J:Satu-satunya perkara perkara yang saya boleh beritahu anda ialah pandangan popular yang saya telah dengar.

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Pak Lah Silap Langkah – Ku Li

dari mstar

KOTA BAHARU: Ketua Umno Bahagian Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah menyifatkan langkah Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan pelan peralihan kuasa pada pertengahan 2010 dan bertanding sebagai Presiden UMNO merupakan satu langkah yang silap.

Kata Razaleigh, jawatan Presiden UMNO itu ditentukan oleh ahli UMNO dari peringkat akar umbi dan tidak wajar bagi Abdullah untuk serahkan kuasa kepada sesiapa pun.

“Banyak pihak tidak menyedari bahawa Perdana Menteri perlu mendapatkan restu pelbagai pihak terutamanya dari Yang di-Pertuan Agong,” katanya kepada pemberita selepas pertemuan dengan ketua-ketua cawangan UMNO di jajahan Bachok di sini Khamis malam.

Beliau berkata, selama ini Abdullah merupakan “caretaker” (penjaga) kepada UMNO kerana pemilihan parti itu sepatutnya berlaku tahun lepas namun ia ditunda berikutan pilihan raya umum ke-12.

Tengku Razaleigh, Ahli Parlimen Gua Musang berkata, keputusan Abdullah itu tidak akan mengubah pendirian beliau untuk bertanding bagi jawatan presiden pada pemilihan parti yang dijangka Disember ini.

Beliau merupakan antara mereka yang mahukan perubahan kepimpinan parti sejak pilihan raya umum lalu dan menawarkan diri untuk bertanding kerusi Presiden kali ini.

nota: ramai juga berpendapat bahawa tempoh peralihan kuasa dua tahun ini adalah terlalu lama. sesetengah pihak merasakan bahawa peralihan kuasa perlu dilakukan dengan segera yakni pada pemilihan UMNO yang akan datang. walaupun terdapat banyak pandangan dan pendapat mengenai tempoh peralihan kuasa ini dan peranan YDP Agong di dalam soal perlantikan Perdana Menteri, penulis percaya Pak Lah dan Najib ada pendapat tersendiri mengenai peralihan kuasa ini.

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Gempar: Pengakuan Bersumpah Raja Petra

sumber imej dari malaysia kini. klik sini utk imej sepenuhnya

nota: Pengakuan ini bersumpah ini merupakan satu tamparan hebat bagi Dato’ Seri Najib tatkala isu peralihan kuasa sibuk diperkatakan. Penulis percaya Dato’ Seri Najib nampaknya terpaksa membuat ‘kerja-rumah’ yang lebih sebelum beliau menjadi Perdana Menteri. Terdapat berbagai versi cerita pembunuhan Mendiang Altantunya yang didengari. Apa2pun prosiding mahkamah masih dilakukan dan penulis percaya tindakan yang seadil-adilnya akan dibuat terhadap pembunuh Altantunya. Apakah dengan pengakuan akan melambatkan proses peralihan kuasa yang telah dijanjikan oleh Pak Lah. Adakah peralihan kuasa ini masih menamakan Dato’ Seri Najib sebagai Perdana Menteri ke 6 Malaysia sesudah pengakuan bersumpah ini dibuat atau nama lain akan disebut untuk dipilih oleh Pak Lah sebagai ‘successor’ beliau?

Apa2pun diharap polis dapat melakukan siasatan mengenai pengakuan bersumpah ini.

4 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Saya juga tidak akan pecah belah Umno – Pak Lah

sumber mstar
KOTA BAHARU: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini melahirkan kenyataan senada dengan timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa beliau juga tidak akan merosakkan Umno.

Jelas beliau, seperti yang dinyatakan oleh Najib yang menegaskan bahawa beliau tidak akan melakukan sesuatu yang akan merosakkan parti yang diasaskan oleh bapanya, Allahyarham Tun Abdul Razak, beliau juga tidak sekalikali akan memecahbelahkan parti keramat Umno.

“Saya tidak akan memecahbelahkan Umno. Di utara, Umno di asas oleh bapa dan datuk saya sendiri,” kata Presiden Umno pada majlis makan malam anjuran Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK) di sini malam tadi.

Beliau dipetik Bernama berkata, apa yang berlaku kepada Umno selepas pilihan raya umum 8 Mac lepas tidak melemahkan Umno dan parti itu tetap mempunyai kekuatan untuk bangkit semula.

Di London dua hari lalu, Najib berkata, beliau merupakan “anggota parti yang setia” dan bukannya anak lelaki yang akan memusnahkan parti, yang bapanya pernah terbabit dalam penubuhan parti itu, hanya demi kepentingan untuk memegang kuasa.

Anak sulung Perdana Menteri Malaysia kedua Tun Abdul Razak Hussein berkata, beliau “percaya peralihan kuasa (dalam Umno) perlu dilakukan secara tradisi konvensional dan bukannya dengan mewujudkan puak-puak”.

Dalam kenyataannya di sini Abdullah berkata: “Saya sedih dan terharu menerima keputusan pilihan raya yang lalu. Tetapi kita masih lagi ada tenaga, kita masih ada kekuatan.”

Merujuk kepada keputusan pilihan raya umum lepas, Abdullah berkata, anggota Umno tidak perlu merasa kecewa sehingga sanggup berbalah sesama sendiri dan akhirnya boleh merosakkan parti.

“Umno telah melalui pelbagai ujian sejak sebelum merdeka lagi sehinggalah sekarang, tetapi Alhamdulillah Umno masih kukuh dan mempunyai pejuang untuk mempertahankan bangsa dan negara.

“Sepertimana PAS di Kelantan yang pernah menang tipis tetapi kali ini kuat semula, dan saya yakin Umno juga akan seperti itu,” katanya.

Perdana Menteri berkata, dalam lawatannya ke beberapa negara lain, beliau pernah ditanya mengenai Barisan Nasional (BN) yang kini memerintah negara tanpa memprolehi majoriti dua per tiga.

Kata mereka, BN menang selesa sebenarnya dan tidak ada sebab bagi kerajaan yang ada tidak berbuat sesuatu untuk membangunkan negara dan rakyat.

“Saya berazam untuk pulihkan semula Umno,” katanya.

Menurut Abdullah, dalam lawatan seharinya ke Kelantan hari ini, beliau mendapati Umno Kelantan masih kuat walaupun kekuatannya masih belum mencukupi untuk merampas kembali Kelantan.

Sehubungan itu, beliau meminta anggota Umno di peringkat cawangan untuk lebih berusaha keras bagi memperkasakan cawangan masingmasing.

“Kuatnya cawangan kuatlah bahagian dan saya gembira perpaduan yang ada di kalangan mereka cukup kuat,” katanya.

Yang turut hadir ialah Datin Seri Jeanne Abdullah, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Tan Sri Annuar Musa serta lebih 2,000 anggota Umno.

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Abdullah-Najib telah sepakat tentukan masa penyerahan kuasa

sumber utusan

KOTA BHARU 13 Jun – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini sekali lagi memperjelaskan bahawa hubungannya dengan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sememang terjalin baik tanpa sebarang masalah dan kedua-dua mereka telah sepakat dalam menentukan masa yang terbaik bagi penyerahan kuasa.

Perkara itu dibangkitkan oleh Perdana Menteri berikutan masih ada pihak yang sangsi hubungan antara beliau dan timbalannya itu termasuk ditimbulkan oleh pemimpin-pemimpin Umno Kelantan pada mesyuarat Badan Perhubungan Umno negeri itu hari ini.

“Saya dan Datuk Seri Najib dah tentukan bila masanya yang sesuai bagi saya menyerahkan jawatan kepada be liau.

“Kami tiada masalah dan hubungan kami berdua adalah baik,” katanya semasa berucap pada majlis makan tengah hari bersama pemimpin masyarakat dan pegawai-pegawai kanan kerajaan sempena lawatan seharinya ke Kelantan di sini.

Abdullah yang juga Presiden Umno berkata “bila tiba masanya nanti” penyerahan kuasa itu akan pasti berlaku.

Terdahulu, sejurus tiba di sini, Abdullah mempengerusikan mesyuarat badan perhubungan itu selama dua jam. – BERNAMA.

2 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Pelan Peralihan Kuasa Berkuatkuasa 2010??

berita ini sumber dari agendadaily dan utusan…

“Saya dengar…saya bukan pekak,” itulah kenyataan spontan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika diajukan soalan mengenai desakan supaya beliau mengemukakan pelan peralihan kuasa sebagai usaha untuk memulihkan UMNO.

Beliau berkata, beliau faham dengan pandangan yang diberikan dan mendengar pandangan pihak-pihak tertentu dalam soal peralihan kuasa tetapi beliau mahu proses berkenaan berjalan dengan lancar dan parti berada dalam keadaan baik.

“Takkan saya nak serahkan kepada Datuk Seri Najib begitu sahaja. Saya mahu peralihan kuasa itu berjalan dengan baik bukan tinggal begitu saja,” katanya dalam sidang media yang didampingi oleh Timbalannnya, Naiib selepas majlis taklimat bersama Ahli Parlimen, ADUN dan Ahli Dewan Negara di PWTC, hari Isnin.

Sidang media hari ini dihadiri oleh puluhan wartawan dalam dan luar negeri sesak kerana ada cerita-cerita yang disebarkan kononnya Abdullah akan membuat pengumuman mengenai peralihan kuasa.

Menurut beliau, ada pandangan yang mahukan peralihan kuasa itu dilakukan segera tetapi tidak kurang juga yang memberikan pandangan perkara itu tidak perlu tergesa-gesa dilaksanakan.

Sementara itu sumber yang layak dipercayai memberitahu Agendadaily sebenarnya pelan peralihan kuasa Abdullah kepada Najib sudah set hendak dilaksanakan pada tahun 2010 atau lebih awal daripada tempoh berkenaan.

Katanya ia tidak akan berlaku dalam masa terdekat.

Sumber itu tidak faham kenapa timbul desakan berterusan dibuat dan ada kenyataan daripada pemimpin UMNO Johor seperti Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memberikan gambaran seolah-olah peralihan kuasa tersebut masih tidak jelas.

Sementara itu Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Muhammad Muhd Taib ketika diminta mengulas mengenai desakan berterusan supaya peralihan kuasa dilakukan berkata, semua pihak perlu faham bahawa mesej mereka jelas dan telah diterima oleh pucuk pimpinan.

“Cara isu ini dibangkitkan secara berterusan bagi saya tidak mengikut adat Melayu. Mesej mereka merngenai perkara ini telah sampai kepada pucuk pimpinan. Biarlah pucuk pimpinan dalam konteks ini Pak Lah dan Datuk Seri Najib membincangkannya,” ujar beliau.

Ditanya desakan itu dibuat kerana prestasi buruk dalam pilihan raya yang lalu, Muhammad berkata, UMNO pada pilihan raya lalu sebenarnya masih mempunyai kekuatan dengan banyak kerusinya menang tetapi yang menghadapi masalah adalah parti komponen.

Soalnya kata beliau, kenapa parti-parti komponen mengambil sikap berdiam diri dan membiarkan kesalahan dan beban diletakkan kepada Abdullah seorang sahaja.

“Di Perak kita menang 27 daripada 28 kerusi DUN yang menang, begitu juga di Selangor, UMNO memang dan yang kalah teruk adalah daripada parti komponen tetapi kenapa Pak Lah yang terus diserang,” jelasnya.

Abdullah dalam sidang media itu turut ditanya mengenai dakwaan berterusan pihak pembangkang akan berlaku undi tidak percaya terhadap beliau pada sidang Dewan Rakyat akan datang, Abdullah dengan pantas dan penuh keyakinan menjawab : “Itu dakwa pembangkang. Saya yakin Ahli-Ahli Dewan Rakyat Barisan Nasional patuh dan setia kepada Barisan Nasional”.

Majlis taklimat hari ini berlangsung kira-kira satu jam dan berkisar tentang peranan yang seharusnya dimainkan oleh Ahli-Ahli Parlimen, ADUN dan Ahli Dewan Negara sebagai wakil rakyat BN.

Perdana Menteri juga menekankan perlunya label buruk seperti sombong, angkuh dan rasuah tidak melekat pada diri wakil-wakil rakyat BN di samping wakil-wakil rakyat di negeri yang dikuasai pihak lain mestilah menjadi pembangkang yang berwibawa. – 14/4/2008

________________

Pelan peralihan kuasa sudah ditentukan – Najib

14/04/2008 3:59pm

IPOH 14 April – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kaedah pelan peralihan kuasa antara beliau dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sudah ditentukan tetapi ia perlu dirundingkan dengan sebaik-baiknya.

Beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, soal kepimpinan parti dan kerajaan memang telah dibangkitkan banyak pihak dan beliau akan berjumpa Abdullah untuk mengadakan rundingan apabila sampai pada masanya.

Kata beliau, selaku Presiden parti, Abdullah telah pun membuat kenyataan dan pengakuan secara terbuka mengenai perkara itu dan semua pihak mesti memberi masa serta tempoh kepadanya untuk menentukan tindakan lanjut.

“Berilah peluang untuk beliau (Abdullah) memperbetulkan beberapa perkara yang pada pendapatnya perlu dilakukan.

“Biar kita tentukan, kita ada cara dalaman dalam parti. Kita akan menentukannya (sebab) kita ada pengalaman dan tradisi UMNO,” katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan tertutup dengan pemimpin UMNO negeri Perak di sini hari ini.- Utusan

nota – peralihan kuasa tampuk pemerintahan negara bukan lah sesuatu benda yang boleh dipandang remeh. walaupun ada desakan supaya peralihan kuasa ini dilakukan dengan segera, penulis beranggapan walau sesegera manapun ia diperlukan….keutamaan terhadap perlaksanaan pelan peralihan ini berjalan dengan licin dan lancar perlu diberikan. diharap pihak2 tertentu supaya bersabar dengan desakan mereka dan sambil berdoa akan segala yang dirancang akan berjalan dengan lancarnya hendakNYA…AMIN

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda