Tag Archives: perikatan

Tiada sebab MCA perlu keluar

Setiausaha Agung MCA, Datuk Seri Ong Ka Chuan hari ini berkata, tidak ada sebab untuk parti itu keluar daripada Barisan Nasional (BN) seperti mana gesaan daripada anggota akar umbinya.

Beliau berkata, MCA bukanlah ’orang luar’, sebaliknya bersama-sama UMNO dan MIC sebagai pengasas kepada pembentukan parti Perikatan yang kini dikenali sebagai BN.

“Maka sebab itu sekiranya terdapat sebarang masalah, kita perlu menyelesaikannya bersama-sama. Itulah semangat yang patut kita ada dan bukannya membangkitkan soal menarik diri daripada BN. Menarik diri tidak akan menyelesaikan masalah,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, pada ketika ini perpaduan dalam kalangan parti komponen BN lebih penting daripada bercakaran sesama sendiri, apatah lagi dengan dakwaan pihak tertentu kerajaan BN akan ditumbangkan menjelang 16 September ini.

“Sebenarnya bukan orang lain yang akan menumbangkan kita sebaliknya kita (BN) sendiri yang akan menumbangkan diri kita. Kita perlu ambil pengajaran daripada perkara itu. Berhenti bergaduh, berhenti membangkitkan isu-isu yang boleh melukakan hati pihak lain dan bekerjalah secara berpasukan mencakupi konteks rakyat Malaysia keseluruhannya,” katanya.

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda