Tag Archives: politics

Pembangkang tamak kuasa

KUALA LUMPUR 15 Mei – Tawaran kepada Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) untuk melompat parti merupakan taktik pintu belakang pihak pembangkang yang tamak kuasa selepas Pilihan Raya Umum Mac lalu.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mustapa Mohamed berkata, taktik tersebut merupakan strategi politik yang tidak demokratik dan tidak beretika sama sekali.

Beliau berkata, rakyat sudah membuat keputusan pada pilihan raya umum lalu dengan memberikan mandat sekali lagi kepada BN.

Oleh itu, kata beliau, semua pihak perlu meneruskan kehidupan dan tugas seperti biasa.

”Pada masa ini, banyak tugas perlu dilaksanakan dan saya berharap tidak ada gangguan melalui permainan politik seperti ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mustapa diminta mengulas pendedahan Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahlan yang mendakwa ditawarkan sejumlah wang yang lumayan untuk menyertai parti pembangkang.

Beliau ditemui selepas merasmikan Konvensyen Pasar Tani Kebangsaan 2008 dan Pelancaran e-pasartani@FAMA di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Abdul Rahman dilaporkan berkata, jumlah yang ditawarkan oleh pembangkang supaya beliau menyertai mereka cukup untuk beliau hidup senang-lenang tiga generasi.

Mustapa ketika mengulas lanjut berkata, pihak pembangkang sepatutnya menunggu pilihan raya umum akan datang dalam tempoh empat atau lima tahun lagi.

Beliau berkata, pembangkang tidak seharusnya menggunakan taktik kotor seperti ini.

nota: perang psikologi telah dimulakan sejak bebasnya DSAI untuk kembali berpolitik. hampir setiap hari PR memaklumkan kepada media bahawa jumlah MP utk melompat sudah mencukupi. MP yang bakal melompat dikhabarkan berasal dari MP Sarawak dan Sabah. Persoalannya …adakah dengan melompat parti dapat menjamin pembangunan yang mampan di Sabah dan Sarawak. Apakah PR mempunyai kebolehan dan keupayaan untuk mentadbir Malaysia di mana hampir setiap urusan yang berkaitan politik PR dibuat oleh seorang individu sahaja iaitu DSAI. Adakah dengan memberi imbuhan jutaan ringgit kepada MP BN supaya melompat satu budaya politik yang diinginkan oleh rakyat sabah dan sarawak? Persoalan yang kuat bermain difikiran…dimanakah datang dana bernilai jutaan ringgit yang bakal digunakan untuk memancing MP BN?? adakah budaya lompat- melompat ini satu amalan yang rakyat MALAYSIA inginkan??? fikir2kan…jgn kerana kuasa…harga diri mudah dijual beli…

3 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Tun Dr Mahathir kini memiliki blog beliau sendiri

Tanggal 1 Mei 2008, mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamed secara rasminya telah membuka laman blog beliau. Laman blog beliau boleh diakses melalui http://www.chedet.com/

Adalah diharapkan agar semua wakil-wakil rakyat dapat menyediakan laman web/blog mereka sendiri. Ini kerana pada PRU12 yang lepas, media alternatif seperti laman web/blog telah terbukti memainkan peranan yang berkesan kepada para pengundi. Melalui laman web/blog ini juga, ia memudahkan rakyat di kawasan mereka untuk meluahkan rasa tidak puas hati ataupun cadangan secara terus kepada wakil yang dipilih oleh mereka.

38 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Hishamuddin mohon maaf hunus keris

KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein hari ini memohon maaf kepada orang Melayu dan bukan Melayu berhubung isu keris yang dihunusnya, dua tahun lalu.

Hishammuddin berkata sebagai pemimpin parti yang bertanggungjawab beliau harus berbuat demikian jika tindakannya menghunus keris “Panca Warisan” pada perhimpunan agung Pemuda Umno itu menyumbang kepada kekalahan Barisan Nasional (BN) di lima negeri pada pilihan raya umum bulan lepas.

Beliau berkata isu keris antara beberapa perkara yang disentuh secara terbuka dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pusat Pemuda BN yang dipengerusikannya bagi melihat punca kemerosotan parti pada pilihan raya umum lepas.

“Saya beritahu kepada mereka bahawa saya sendiri bertanggungjawab terhadap apa yang dilakukan. Kalau sekiranya ia jejas prestasi (parti) kita tak boleh lari daripada realiti.

“Dan kalau itu boleh menjejaskan sesiapa, saya kata saya minta maaf kepada bukan Melayu dan Melayu,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat itu yang berlangsung lebih tiga jam sejak pukul 3.30 petang di Tingkat 38, Menara Dato Onn di sini.

Hishammuddin yang juga Menteri Pelajaran berkata realiti sebenar kenapa keris itu dihunus telah dimanipulasi pihak tertentu.

“(Saya minta maaf) kepada bukan Melayu kerana mereka rasa diri mereka takut-takut dengan satu simbol tapi kepada orang Melayu saya minta maaf kerana tak dapat mempertahankan simbol warisan kita yang nilai sebenarnya tidak seperti yang digembar-gemburkan. Tapi realitinya memang begitu,” katanya dalam nada kesal.

Hishammuddin bagaimanapun berkata sebagai pemimpin beliau akan menerima hakikat jika benar isu keris itu antara penyebab kepada kekalahan BN.

“Saya bukannya orang yang angkuh atau `arrogant’ yang tak boleh terima hakikat itu. Itu merupakan satu pengajaran yang sedih.

“Tapi kalau politik sebegitu rupa, kita sebagai pemimpin mesti besar hati dan jiwa meletakkan kedudukan BN (parti) lebih penting daripada sesuatu,” katanya.

Ditanya apakah itu bermakna keris Panca Warisan tidak lagi bermakna, Hishammuddin berkata ia amat bermakna kepadanya sebagai orang Melayu tetapi tidak ramai yang mempertahankannya.

“Keris itu takkan ke mana. Apa yang dipegang Datuk Onn Jaafar (Pengasas Umno) 46 tahun dulu itu baru disedari hari ini,” tegasnya.

Isu keris telah dimainkan parti bukan BN khususnya DAP bagi menarik sokongan pengundi kaum bukan Melayu pada pilihan raya umum lepas dengan membentuk persepsi negatif.

Hishammuddin berkata Pemuda BN hari ini telah bersepakat untuk melihat ke hadapan dan menumpukan usaha bagi mengembalikan keyakinan rakyat kepada parti itu.

Beliau berkata BN telah terbukti memerintah negara dengan baik dan bukannya seperti parti lain yang baru membentuk pakatan untuk memerintah negara.

Bagaimanapun Hishammuddin berkata, Pemuda BN menerima suara rakyat yang mahu perubahan dan telah menunjukkannya dalam keputusan pilihan raya umum 8 Mac lepas.

Beliau berkata mesyuarat hari ini juga bersetuju bahawa Pemuda BN Sabah dan Sarawak perlu diberi peranan penting dalam politik arus perdana di peringkat nasional.

Mereka perlu memainkan peranan penting bukan sekadar meminta jawatan Kabinet dan royalti minyak tetapi berkongsi kejayaan menarik sokongan pengundi di Sabah dan Sarawak dalam konteks masyarakat berbilang bangsa dan agama, katanya.

Ketika ditemui pemberita kemudiannya, Ketua Pemuda MCA, Datuk Liow Tiong Lai memuji tindakan Hishammuddin yang berani memohon maaf secara terbuka itu dalam konteks kepentingan semua kaum di negara ini.

“Hishammuddin berani untuk menilai semula (tindakannya) dan memohon maaf jika menghunus keris itu menyakitkan mana-mana pihak,” katanya.

Mengenai kenyataan Presiden MCA, Datuk Seri Ong Ka Ting semalam bahawa parti itu tidak bersetuju dengan ketuanan Melayu dan manamana dasar yang mementingkan kaum tertentu, Liow berkata MCA adalah parti komponen BN yang mengambi kira kepentingan semua kaum

“Kita tak main politik perkauman, kita politik pelbagai kaum,” katanya mengulas laporan akhbar Cina memetik Ong sebagai berkata demikian dalam satu temubual. BERNAMA

nota: sekiranya isu hunus keris dijadikan sebagai isu politik oleh parti pembangkang pada PRU yang lepas, kini isu tersebut sepatutnya mulai reda dengan permohonan maaf yang dibuat oleh Datuk Seri Hishamuddin. Permohonan maaf ini bukan bermakna bahawa Pemuda UMNO tunduk kepada atas desakan mana-mana pihak, tetapi ia merupakan atas dasar sifat tolak ansur yang diterapkan di dalam jiwa setiap pemimpin parti-parti kompenen BN.

1 Comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Kemiskinan Tegar Sifar Menjelang 2010

PUTRAJAYA 21 April – Kerajaan memberi jaminan akan memastikan sasaran kemiskinan tegar sifar serta matlamat mengurangkan kemiskinan relatif tanpa mengira kaum dapat dicapai menjelang 2010.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, pada masa sama, beliau mahu pembangunan modal insan yang berkualiti dipertingkatkan termasuk dalam kalangan tenaga eksekutif muda daripada sektor swasta sebagai satu strategi meningkatkan produktiviti dan daya saing negara.

“Pembasmian kemiskinan tegar ini satu janji dan ia tercapai (dikurangkan) daripada 2 peratus pada 2006 kepada 0.7 peratus pada 2007… kita perlukan lebih daripada itu.

“Pada masa sama, berilah perhatian untuk tambah nilai pembangunan modal insan, ia bukan setakat di sekolah sahaja, tetapi yang bekerja ini perlu ditunjuk ajar menerusi kursus untuk tenaga eksekutif,” kata Abdullah yang juga Menteri Kewangan.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Konsultasi Bajet 2009 di Kementerian Kewangan di sini hari ini.

Menurut Abdullah, isu keselamatan dan keamanan juga tidak kurang penting dan menjadi salah satu agenda utama negara untuk diberi tumpuan.

“Dalam hubungan ini, saya menyeru supaya semua pihak dapat memberi pandangan yang membina bagi meningkatkan tahap keselamatan awam serta membanteras jenayah.

“Selain itu, isu alam sekitar wajar diberi perhatian memandangkan kesan pemanasan global yang semakin ketara sejak kebelakangan ini yang boleh menjejaskan kualiti hidup rakyat,” katanya.

Perdana Menteri turut menyeru sektor swasta menyumbang dalam memacu peningkatan nilai tambah, memantapkan daya saing dan ketahanan serta mempelbagaikan ekonomi negara.

“Dalam konteks memastikan kemakmuran hasil daripada pertumbuhan ekonomi dapat dinikmati semua rakyat, pihak swasta perlu juga memainkan peranan dalam menjayakan agenda sosioekonomi negara termasuk pemantapan tanggungjawab sosial korporat,” katanya. sumber-umno online

3 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Senarai 29 Ahli Parlimen

berikut adalah senarai 29 orang Ahli Parlimen yang gagal untuk mengemukakan soalan bagi persidangan Parlimen yang dijadualkan ada 28 April 2008. Untuk pengetahuan semua, semua ahli parlimen dikehendaki untuk mengemukakan soalan bagi persidangan sekurang-kurang 21 hari sebelum parlimen bersidang.

Ahli-ahli parlimen yang terlibat ialah:

1. Abd. Rahman bin Bakri – Sabak Bernam – BN
2. Datuk Haji Wahab bin Haji Dolah – Igan – BN
3. Dato’ Dr Abdullah bin Md Zin – Besut – BN
4. Ahmad Lai bin Bujang – Sibuti – BN
5. Datuk Anifah bin Aman @ Haniff Amman – Kimanis – BN
6. Abit Joo Hulu – Rajang – BN
7. Ding Kuong Hiing – Sarikei – BN
8. Datuk Seri Dr Jamaluddin bin Mohd Jarjis – Rompin – BN
9. Dato’ Dr James Dawos Mamit – Mambong – BN
10. Dato’ Seri Mohd Radzi bin Sheikh Ahmad – Kangar – BN
11. Dato’ Sri Muhammad Leo Michael Toyad Abdullah – Mukah – BN
12. Dato’ Seri Rafidah binti Aziz – Kuala Kangsar – BN
13. Datuk Dr Tekhee @ Tiki Anak Lafe Mas – Gading – BN
14. William @ Nyallau Anak Badak Lubok – Antu – BN
15. Datuk Haji Yusoff Bin Mahal – Labuan – BN
16. Charles Anthony a/l R Santiago – Klang – DAP
17. Er Teck Hwa – Bakri – DAP
18. Hiew King Cheu – Kota Kinabalu – DAP
19. John a/l Fernandez – Seremban – DAP
20. Prof Dr P Ramasamy a/l Palanisamy – Batu Kawan – DAP
21. Abdullah Sani bin Abdul Hamid – Kuala Langat – PKR
22. Haji Ahmad Kassim – Kuala Kedah – PKR
23. Chua Tian Chang – Batu – PKR
24. Gobalakrishnan a/l Nagapan – Padang Serai – PKR
25. Dato’ Kamarul Baharin Abbas – Telok Kemang – PKR
26. Manikavasagam A/L Sundaram – Kapar – PKR
27. Dato’ Rashid Bin Din – Merbok – PKR
28. William Leong Jee Keen – Selayang – PKR
29. Datuk Dr Zainal Abidin Bin Ahmad – Hulu Selangor – PKR

Berbagai alasan diberikan. Ada yang lupa dan ada yang sibuk sangat dan ada juga berkata berlakunya ‘communication breakdown’. Apa-apa pun alasan mereka, harap tiada lagi insiden seperti ini berlaku!

sumber – iammalaysian dan the star

1 Comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

3 Timbalan Menteri Baru Dilantik

Maznah Mazlan, Abdul Rahim Bakri dan Lajim Ukin


KUALA LUMPUR 18 April – Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini mengumumkan pelantikan tiga timbalan menteri baru termasuk dua pemimpin dari Sabah.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, beliau berkata, mereka yang dilantik ialah Datuk Maznah Mazlan sebagai Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Abdul Rahim Bakri sebagai Timbalan Menteri Luar dan Datuk Lajim Ukin sebagai Timbalan Menteri Pengangkutan.

Pelantikan tersebut berkuat kuasa selepas mereka mengangkat sumpah jawatan di Istana Negara Rabu ini.

Perdana Menteri berkata, pelantikan tersebut telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin mengikut Fasal (1) Perkara 43A Perlembagaan Persekutuan.

Abdul Rahim merupakan Ahli Parlimen Kudat manakala Lajim ialah Ahli Parlimen Beaufort.

Maznah pula merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Pelancongan, Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri Pahang.

Maznah ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Muadzam Shah. Beliau merupakan Ketua Wanita UMNO Pahang.

Menurut Perdana Menteri, Yang di-Pertuan Agong juga telah memperkenankan pelantikan Maznah sebagai Ahli Dewan Negara bagi membolehkan beliau dilantik sebagai Timbalan Menteri.

Mac lalu Ahli Parlimen Kalabakan dari Sabah, Datuk Ghafur Salleh melepaskan jawatan sebagai Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar manakala dua lagi Ahli Parlimen menolak tawaran menyertai pentadbiran kerajaan.

Mereka ialah Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Anifah Aman yang menolak jawatan Timbalan Menteri Pengangkutan dan Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Seri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar yang menolak pelantikan sebagai Timbalan Menteri Luar.

– Sumber dari Utusan

nota: selamat berkhidmat diucapkan kepada kesemua timbalan menteri yang baru dilantik.

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Terima Kasih Atas Sokongan Anda Semua

Assalamualaikum wbt,

Berkat limpah kurnia dari NYA dan sokongan dari pembaca tidak kira dari parti politik yang berlainan, blog ini telah pun menerima kujungan lebih dari 21,000 pembaca. Bilangan pembaca yang tinggi ini amat memeranjatkan pihak kami di mana pihak kami beranggapan blogger kecil seperti kami ini tidak mampu mencecah puluhan ribu pembaca. Kunjugan lebih 21,000 orang pembaca ini bermula dari posting pertama laman blog ini iaitu pada tanggal 12 Februari 2008 bertajuk Selamat Datang.

Walaupun pilihanraya ke 12 telah berlalu, laman blog ini terus memaparkan isu-isu semasa politik tanah air dari berbagai sumber. Semoga segala isu yang dipostkan dapat meningkat kesedaran diri kita terhadap persekitaran politik negara kita yang sedang melalui jalan yang berliku.

Pihak kami ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada semua pembaca atas sokongan, komen dan kritikan dari anda semua. Diharap laman blog ini dapat memberi manfaat kepada semua pembaca.

Akhir kata, walaupun terdapat perbezaan ideologi politik di antara kita terutamanya bangsa Melayu, satu perkara yang harus kita sepakat iaitu kita harus terus memperjuangkan dan membangunkan agama Islam dan bangsa Melayu itu sendiri di Malaysia. Kekukuhan agama Islam dan orang Melayu dapat menjamin kestabilan negara bagi menghadapi cabaran untuk 50 tahun yang akan datang. Tonggak kekuatan orang Melayu selama ini adalah bertunjangkan semangat Ketuanan Melayu yang telah digunapakai sejak lebih dari 50 tahun dahulu. Justeru itu, semangat ini harus dipertahankan dan perlu diserlahkan supaya generasi muda Melayu dapat memahami tentang semangat Ketuanan Melayu ini.

Sekian Terima Kasih.

Wassalam

Allahuakbar !! Hidup UMNO !! Hidup Melayu !!

Pergerakan Pemuda UMNO Cawangan Jalan Enggang

Bahagian Ampang

Selangor

3 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

BN perlu sokongan Cina, India

KUALA LUMPUR 16 April – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Barisan Nasional (BN) akan mengambil beberapa tindakan bagi memperoleh semula sokongan daripada kaum Cina dan India.

Timbalan Perdana Menteri menegaskan, sokongan daripada kaum Cina dan India penting untuk menjamin kemenangan BN pada masa depan.

“BN akan melakukan sesuatu, maknanya merumuskan pelan strategi sesuai untuk menarik balik sokongan kaum Cina dan India, bagaimanapun saya tidak akan nyatakannya sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas mengetuai anggota Jawatankuasa Pengurusan UMNO mengadakan pertemuan tertutup dengan para pemimpin UMNO Selangor di sini hari ini.

Pertemuan tertutup yang melibatkan kira-kira 1,000 pemimpin UMNO Selangor itu turut dihadiri Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Ketua Penerangan, Senator Tan Sri Muhammad Muhd. Taib dan Bendahari UMNO, Datuk Seri Abdul Azim Mohd. Zabidi.

Hadir sama, Ketua Pergerakan Wanita, Datuk Seri Rafidah Aziz; Ketua Pergerakan Pemuda, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Ketua Pergerakan Puteri, Datuk Noraini Ahmad.

Najib turut memberitahu, beliau telah mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa pengurusan BN hari ini yang dihadiri semua presiden-presiden parti komponen lain.

Katanya, dalam mesyuarat itu kesemua parti komponen BN telah bersetuju agar mesyuarat jawatankuasa pengurusan akan diadakan sebulan sekali untuk membincangkan pelbagai perkara.

“Kesemua pemimpin parti komponen BN bersetuju untuk mengamalkan pendekatan berunding dengan lebih kerap serta merapatkan lagi hubungan di antara parti-parti komponen,” katanya.

Mengenai perjumpaan dengan para pemimpin UMNO Selangor, beliau memberitahu, perjumpaan itu berjalan dengan baik yang mana para pemimpin terlibat telah memberi pandangan serta maklum balas berguna kepada jawatankuasa pengurusan parti.

Katanya, perkara-pekara yang dibangkitkan di dalam pertemuan itu ialah mengenai penentuan calon pilihan raya umum.

Ujar beliau, mereka mahukan kaedah penilaian calon bagi pilihan raya umum perlu berasaskan pada penilaian tepat agar calon yang bertanding disenangi ahli akar umbi serta orang ramai.

“Perkara peralihan kuasa juga dikemukakan dalam pertemuan itu dan saya menyatakan perkara ini akan ditentukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada masa serta ketika yang sesuai di samping mengambil kira kaedah bagi kepentingan parti,” katanya.

Ditanya pada pertemuan di antara Abdullah dengan para pemimpin UMNO Johor minggu lalu ada disebut Perdana Menteri akan berundur pada tahun 2010, Najib memberitahu, pada masa ini, tidak ada pernyataan mengenai tarikh peralihan kuasa.

Beliau memberitahu, bila tiba masanya Perdana Menteri akan memberi satu panduan yang jelas tentang peralihan kuasa itu.

Ditanya adakah tempoh masa akan ditentukan oleh UMNO, Najib menegaskan, beliau tidak boleh mendesak bila tempoh itu akan berlaku kerana ia perlu diputuskan serta adalah lebih sesuai ia dinyatakan sendiri oleh Perdana Menteri.

Ujar beliau, pada masa ini, perkara yang paling penting ialah para pemimpin dan ahli-ahli UMNO perlu bersatu dan bekerja sebagai satu pasukan untuk memulihkan UMNO.

Najib memberitahu, UMNO tidak boleh berpecah dan semua anggota parti perlu bekerjasama sebagai satu pasukan. – sumber utusan

nota: keputusan PRU12 yang lepas jelas menunjukkan bahawa kebanyakan kerusi yang BN tewas adalah akibat kegagalan untuk meraih minat pengundi CINA dan INDIA…terdapat berbagai isu yang dimainkan oleh Pakatan Rakyat sehingga berjaya mengaburi mata pengundi bukan Melayu…Antara sentimen seperti Undi BN adalah undi Undi UMNO, isu Malaysian Malaysia, dan isu Melayu sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang telah berjaya menakutkan pengundi yang selama ini merasa kemakmuran negara melalui undi mereka bersama Barisan Nasional. Apa-apa pun langkah BN bagi merapatkan kembali hubungan dengan semua parti komponen hendaklah diambil dengan teliti. Ini disebabkan parti komponen seperti IPF terang-terang menyatakan bahawa undi ahli mereka pada PRU yang lepas diberikan kepada Pakatan Rakyat dan bukan nya Barisan Nasional. Adakah parti komponen seperti ini harus dikekalkan di dalam Barisan Nasional….atau lebih elok lagi digugurkan terus dari BN akibat sikap tikam belakang semangat kerjasama semua parti Komponen Barisan Nasional.

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Artikel 153 Perlembagaan Malaysia, Ketuanan Melayu dan Kontrak Sosial

Salam semua,

Blog ini menerima email daripada seorang pembaca supaya artikel mengenai Ketuanan Melayu dituliskan di dalam blog ini supaya orang ramai faham mengenai perkara di atas. Ini disebabkan menurut beliau, rata-rata generasi muda melayu tidak faham mengapa ketuanan melayu harus dipertahankan. Penulis membuat sedikit carian dan kajian mengenai Ketuanan Melayu dan mendapati bahawa bukan isu mengenai Ketuanan Melayu harus dipostkan tetapi juga mengenai Artikel 153 dan kontrak sosial Malaysia harus dipostkan kerana ia saling mengaitkan antara satu sama lain. Sumber rujukan dari wikipedia dan lawnet.

Artikel 153 Perlembagaan Malaysia

Artikel 153 Perlembagaan Malaysia memberikan tanggungjawab kepada Yang di-Pertuan Agong menjaga hak keistimewaan orang Melayu dan penduduk asal Malaysia, secara kumpulannya dirujuk sebagai Bumiputera. Artikel mengspesifikkan bagaimana kerajaan pusat melindungi kepentingan kumpulan-kumpulan ini dengan mendirikan kuota kemasukan ke dalam perkhidmatan awam, biasiswa dan pendidikan awam. Ia juga biasanya dianggap sebagai sebahagian daripada sosial kontrak, dan biasanya dikatakan sebagai pertahanan legal bagi ketuanan Melayu — kepercayaan orang Melayu bahawa mereka adalah penduduk asal Malaysia.

Berikut adalah penyataan penuh Artikel 153 Perlembagaan Malaysia.

Perkara 153. Perizaban kuota berkenaan dengan perkhidmatan, permit, dsb. bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak.

(1) Menjadi tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut peruntukan Perkara ini.

(2) Walau apa pun apa-aa jua dalam Perlembagaan ini, tetapi tertakluk kepada peruntukan Perkara 40 dan peruntukan Perkara ini, Yang di-Pertuan Agong hendaklah menjalnakan fungsinya di bawah Perlembagaan ini dan undang-undang persekutuan mengikut apa-apa cara yang perlu untuk meindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan untuk memastikan perizaban bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak apa-apa perkadaran yang difikirkan munasabah oleh Yang di-Pertuan Agong daripada jawatan dalam perkhidmatan awam (selain perkhidmatan awam sesuatu Negeri) dan daripada biasiswa, danasiswa dan keistimewaan pendidikan atau latihan yang seumpamanya atau kemudahan khas lain yang diberikan atau diadakan oleh Kerajaan Persekutuan dan, apabila apa-apa permit atau lesen dikehendaki oleh undang-undang persekutuan bagi mengendalikan apa-apa pertukangan atau perniagaan, maka, tertakluk kepada peruntukan undang-undang itu dan Perkara ini, daripada permit dan lesen itu.

(3) Yang di-Pertuan Agong boleh, bagi memastikan, mengikut Fasal (2), perizaban bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak jawatan-jawatan dalam perkhidmatan awam dan biasiswa, danasiswa dan keistimewaan pendidikan atau latihan atau kemudahan khas lain, memberikan apa-apa arahan am yang dikehendaki bagi maksud itu kepada mana-mana Suruhanjaya yang baginya Bahagian X terpakai atau kepada mana-mana pihak berkuasa yang dipertanggungkan dengan tanggungjawab bagi pemberian biasiswa, danasiswa atau keistimewaan pendidikan atau latihan atau kemudahan khas lain itu; dan Suruhanjaya atau pihak berkuasa itu hendaklah mematuhi arahan itu dengan sewajarnya.

(4) Pada menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan ini dan undang-undang persekutuan mengikut Fasal (1) hingga (3) Yang di-Pertuan Agong tidak boleh melucutkan mana-mana orang daripada apa-apa jawatan awam yang dipegang olehnya atau daripada terus mendapat biasiswa, danasiswa atau keistimewaan pendidikan atau latihan atau kemudahan khas lain yang dinikmati olehnya.

(5) Perkara ini tidaklah mengurangkan peruntukan Perkara 136.

(6) Jika menurut undang-undang persekutuan yang sedia ada suatu permit atau lesen dikehendaki bagi mengendalikan apa-apa pertukangan atau perniagaan, maka Yang di-Pertuan Agong boleh menjalankan fungsinya di bawah undang-undang itu mengikut apa-apa cara, atau memberikan apa-apa arahan am kepada mana-mana pihak berkuasa yang dipertanggungkan di bawah undang-undang itu dengan pemberian permit atau lesen itu, sebagaimana yang dikehendaki untuk memastikan perizaban apa-apa perkadaran daripada permit atau lesen itu bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak sebagaimana yang difikirkan munasabah oleh Yang di-Pertuan Agong; dan pihak berkuasa itu hendaklaah mematuhi arahan itu dengan sewajarnya.

(7) Tiada apa-apa jua dalam Perkara ini boleh berkuat kuasa untuk melucutkan atau memberi kuasa supaya dilucutkan apa-apa hak, keistimewaan, permit atau lesen mana-mana orang, yang terakru kepada orang itu atau yang dinikmati atau dipegang oleh orang itu atau untuk memberi kuasa untuk menolak pembaharuan mana-mana permit atau lesen mana-mana orang atau untuk menolak pemberian apa-apa permit atau lesen kepada waris, pengganti atau penerima serah hak seseorang jika pembaharuan atau pemberian itu mungkin semunasabahnya dijangkakan mengikut perjalanan biasa keadaan.

(8) Walau apa pun apa-apa jua dalam Perlembagaan ini, jika menurut mana-mana undang-undang persekutuan apa-apa permit atau lesen dikehendaki bagi mengendalikan apa-apa pertukangan atau perniagaan, maka undang-undang itu boleh membuat peruntukan bagi perizaban apa-apa perkadaran daripada permit atau lesen itu bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak; tetapi tiada undang-undang sedemikian boleh, bagi maksud memastikan perizaban itu—

(a) melucutkan atau memberi kuasa supaya dilucutkan apa-apa hak, keistimewaan, permit atau lesen mana-mana orang, yang terakru kepada orang itu atau yang dinikmati atau dipegang oleh orang itu; atau

(b) memberi kuasa untuk menolak pembaharuan mana-mana permit atau lesen mana-manaa orang atau untuk menolak pemberian apa-apa permit atau lesen kepada waris, pengganti atau penerima serah hak mana-mana orang jika pembaharuan atau pemberian itu mengikut peruntukan yang lain dalam undang-undang itu mungkin semunasabahnya dijangkakan mengikut perjalanan biasa keadaan, atau menghalang mana-mana orang daripada memindahkan hakmilik bersama dengan perniagaannya apa-apa lesen yang boleh dipindahkan hakmiliknya untuk mengendalikan perniagaan itu; atau

(c) jika tiada permit atau lesen dahuluya dikehendaki bagi mengendalikan pertukangan atau perniagaan itu, memberi kuasa untuk menolak pemberian permit atau lesen kepada mana-mana orang bagi mengendalikan apa-apa pertukangan atau perniagaan yang telah dijalankan olehnya secara bona fide sebaik sebelum undang-undang itu mula berkuat kuasa, atau memberi kuasa untuk menolak pembaharuan kemudiannya mana-mana permit atau lesen mana-mana orang, atau untuk menolak pemberian mana-mana permit atau lesen sedemikian kepada waris, pengganti atau penerima serah hak mana-mana orang itu jika, mengikut peruntukan yang lain dalam undang-undang itu, pembaharuan atau pemberian itu mungkin semunasabahnya dijangkakan mengikut perjalanan biasa keadaan.

(8A) Walau apa pun apa-apa jua dalam Perlembagaan ini, jika di dalam mana-mana Universiti, Kolej dan institusi pendidikan lain yang memberikan pendidikan selepas Malaysian Certificate of Education atau yang setaraf dengannya, bilangan tempat yang ditawarkan oleh pihak berkuasa yang bertanggungjawab bagi pengurusan Universiti, Kolej atau institusi pendidikan itu kepada calon-calon bagi apa-apa kursus pengajian adalah kurang daripada bilangan calon yang layak mendapat tempat-tempat itu, maka adalah sah bagi Yang di-Pertuan Agong menurut kuasa Perkara ini memberikan apa-apa arahan yang perlu kepada pihak berkuasa itu untuk memastikan perizaban apa-apa perkadaran daripada tempat-tempat itu bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak sebagaimana yang difikirkan munasabah oleh Yang di-Pertuan Agong; dan pihak berkuasa itu hendaklah mematuhi arahan itu dengan sewajarnya.

(9) Tiada apa-apa jua dalam Perkara ini boleh memberi Parlimen kuasa untuk menyekat perniagaan atau pertukangan semata-mata bagi maksud perizaban bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak.

(9A) Dalam Perkara ini ungkapan “anak negeri” berhubung dengan Negeri Sabah atau Sarawak hendaklah mempunyai erti yang diberikan kepadanya dalam Perkara 161A.

(10) Perlembagaan Negeri yang ber-Raja boleh membuat peruntukan yang bersamaan (dengan ubah suaian yang perlu) dengan peruntukan Perkara ini.

Terdapat perbezaan ketara di antara artikel 153 perlembagaan Malaysia dengan artikel 153 perlembagaan Singapura yang masing-masing menyebut mengenai hak istimewa orang Melayu. Artikel 153 (Malaysia) lebih spesifik dengan menjelaskan bagaimana hak-hak orang Melayu dan Bumiputra Malaysia dipertahankan.

Ketuanan Melayu

Ketuanan Melayu ialah konsep perkauman yang mendakwa bahawa orang Melayu adalah tuan kepada Persekutuan Tanah Melayu (sekarang) Malaysia . Orang Cina dan India di Malaysia yang dianggap sebagai pendatang (yang dibawa masuk oleh British) disifatkan terhutang budi kepada orang Melayu kerana kesanggupan dan kesediaan orang Melayu menerima mereka sebagai warganegara Persekutuan Tanah Melayu (sekarang) Malaysia sebagai prasyarat British memberikan kemerdekaan kepada Persekutuan Tanah Melayu. Sebagai timbal balik kerana kesanggupan dan kesediaan apa yang disifatkan sebagai pengorbanan orang Melayu itu, perlembagaan memberi peruntukan khas kepada orang Melayu dalam bentuk hak istimewa dan ini dimaktubkan di dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu (sekarang) Malaysia). Persetujuan quid pro quo atau saling beri-memberi ini biasanya dipanggil Kontrak Sosial. Konsep Ketuanan Melayu ini sering kali dijadikan retorik ahli politik Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu yang berpengaruh semenjak 50 tahun Persekutuan Tanah Melayu (sekarang Malaysia) mencapai kemerdekaannya dari British sebagai usaha meraih sokongan orang Melayu walaupun pada hakikatnya tidak ramai orang Melayu yang arif tentang konsep atau fahaman ini.

Walaupun retorik ini wujud sebelum Malaysia mencapai kemerdekaan, frasa ketuanan Melayu tidak menjadi satu perkara yang disebut ramai hingga ke awal tahun 2000-an. Kebanyakan tentangan konsep ini adalah daripada parti-parti yang tidak berdasarkan kaum Melayu, seperti Parti Tindakan Demokratik (DAP), tetapi sebelum kemerdekaan orang Baba dan Nyonya juga menentang konsep ini. Konsep keulungan kaum Melayu mendapat perhatian dalam tahun 1940-an apabila orang Melayu bersatu untuk menentang penubuhan Malayan Union dan kemudian, berjuang untuk kemerdekaan. Semasa tahun 60-an, terdapat usaha yang cukup besar untuk mencabar ketuanan Melayu, diketuai oleh Parti Tindakan Rakyat (PAP) dari Singapura — yang merupakan negeri Malaysia dari 1963 hingga 1965 — dan DAP selepas pemisahan Singapura. Walaupun begitu, sebahagian Perlembagaan berkaitan ketuanan Melayu berakar umbi selepas rusuhan kaum Mei 13, 1969 yang terjadi akibat kempen pilihan raya yang menjadikan hak-hak orang bukan Melayu dan ketuanan Melayu sebagai isu tumpuan. Tempoh ini juga menyaksikan kebangkitan ultra yang mendesak agar kerajaan parti tunggal diketuai UMNO, dan pertambahan penekanan bahawa orang Melayu merupakan “orang asal” Malaysia — iaitu hanya orang Melayu boleh dianggap penduduk asal Malaysia.

Tentangan yang dimainkan oleh DAP ini sebenarnya merupakan lanjutan tentangan yang dimainkan oleh parti induk DAP iaitu parti PAP(Singapura).

Berikut adalah tentangan mengenai ketuanan Melayu di dalam fasal 153 Perlembagaan Malaysia oleh PAP.

Ahli politik Singapura, Lee Kuan Yew (kemudian menjadi Perdana Menteri Singapura) Parti Tindakan Rakyat (PAP; cawangannya di Malaysia kemudiannya menjadi Parti Tindakan Demokratik atau DAP) secara umumnya mempersoalkan keperluan Artikel 153 dalam Parliamen, dan menyeru satu “Malaysian Malaysia”. Mempersoalkan kontrak sosial , Lee telah menyatakan: “Merujuk kepada sejarah, orang Melayu telah mula untuk berhijrah ke Malaysia dalam bilangan yang banyak hanya kira-kira 700 tahun yang lalu. Dalam 39 peratus orang Melayu di Malaysia hari ini, kira-kira sepertiga secara perbandingan hanya imigran seperti setiausaha agung UMNO, Dato’ Syed Ja’afar Albar, yang datang ke Malaya dari Indonesia sebelum perang ketika berumur lebih tiga puluh tahun.

Kontrak Sosial

Kontrak sosial di Malaysia merujuk kepada perjanjian oleh bapa-bapa kemerdekaan negara dalam Perlembagaan, dan merupakan penggantian beri-memberi atau quid pro quo melalui Perkara 14–18 yang berkenaan dengan pemberian kewarganegaraan Malaysia kepada orang-orang bukan Melayu, dan Perkara 153 yang memberikan hak istimewa rakyat kepada mereka daripada kaum bumiputera. Istilah ini juga kekadang digunakan untuk merujuk kepada bahagian-bahagian yang lain dalam Perlembagaan, seperti Perkara yang mengatakan bahawa Malaysia adalah sebuah negara sekular.

Dalam konteks biasa yang berkaitan dengan hubungan ras, kontrak sosial telah kerap kali dibidaskan, termasuk juga oleh ahli-ahli politik dalam kerajaan campuran Barisan Nasional yang menegaskan bahawa tidak habis-habis bercakap tentang hutang orang-orang bukan Melayu kepada orang-orang Melayu terhadap kewarganegaraan yang diberikan telah merenggangkan golongan-golongan bukan Melayu daripada negara mereka. Kritikan-kritikan seumpama ini telah ditentang oleh media Melayu dan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), parti politik yang terbesar dalam Barisan Nasional. Banyak orang Melayu, biasanya daripada UMNO, telah mempergunakan kontrak sosial ini untuk mempertahankan prinsip Ketuanan Melayu.

Kontrak sosial selama ini telah lama diamalkan oleh para pemimpin terutamanya pemimpin dari parti kompenen Barisan Nasional. Tidak terdapat syarat-syarat formal mengenai kontrak sosial ini. Di bawah sedikit petikan mengenai kontrak sosial.

Perlembagaan Malaysia tidak merujuk kepada sebuah “kontrak sosial” (dari segi hak kewarganegaraan dan hak istimewa) secara ketara, dan tidak terdapat sebarang undang-undang atau dokumen yang pernah menjelaskan syarat-syarat kontrak sosial secara penuh. Pembela-pembelanya sering merujuk kepada Perlembagaan sebagai mengemukakan kontrak sosial, dan bapa-bapa kemerdekaaan juga bersetuju dengannya, walaupun rujukan kepada kontrak sosial tidak dibuat dalam Perlembagaan. Sebaliknya, kontrak sosial biasanya dianggap sebagai suatu persetujuan yang memberikan kewarganegaraan kepada orang-orang bukan Melayu dan bukan orang asli (kebanyakannya orang Malaysia Cina dan Malaysia India) sebagai ganti untuk pemberian hak keistimewaan kepada orang-orang Melayu dan orang-orang asli (dirujuk secara kolektif sebagai Bumiputera). Sebuah buku teks kajian Malaysia pendidikan tinggi yang menepati sukatan pelajaran kerajaan mengatakan: “Oleh sebab pemimpin-pemimpin Melayu bersetuju untuk melonggarkan syarat-syarat kewarganegaraan, pemimpin-pemimpin komuniti Cina dan India telah menerima kedudukan istimewa Melayu sebagai penduduk asli Malaya. Dengan penubuhan Malaysia, status kedudukan istimewa itu diperluas untuk merangkumi komuniti-komuniti penduduk asli Sabah dan Sarawak.” [1]

Perlembagaan secara ketara memberikan tanah rizab Bumiputera, kuota dalam perkhidmatan awam, biasiswa dan pendidikan awam, kuota untuk lesen perniagaan, dan kebenaran untuk memonopoli industri-industri yang tertentu, jika kerajaan membenarkan. Bagaimanapun pada hakikatnya, khususunya selepas pengenalan Dasar Ekonomi Baru Malaysia (NEP), akibat rusuhan kaum pada 13 Mei 1969 ketika kaum Melayu hanya memiliki 4% daripada ekonomi Malaysia, hak-hak istimewa Bumiputera diperluas kepada bidang-bidang yang lain; kuota-kuota ditentukan untuk ekuiti Bumiputera dalam perbadanan awam, dan diskaun-diskaun sebanyak 5% hingga 15% untuk membeli kereta dan harta tanah diberikan.

Setengah-setengah orang mengatakan bahawa kecondongan terhadap orang-orang Melayu dalam pendidikan dan politik sebahagiannya merupakan tindak balas terhadap keupayaan orang-orang Malaysia Cina untuk memperoleh kebanyakan kekayaan negara itu. Bagaimanapaun, orang-orang Malaysia India boleh mengemukakan hujah bahawa merekalah yang mengalami kerugian yang paling banyak, walaupun ini boleh dipertikaikan.

Kerajaan ada mengundurkan sistem kuota untuk kemasukan ke universiti-universiti awam pada 2003 dan memperkenalkan dasar “meritokrasi”. Bagaimanapun, sistem baru ini dikritik secara meluas oleh orang-orang bukan Bumiputera kerana hanya memanfaatkan kaum Bumiputera yang ditempatkan dalam rancangan matrikulasi yang menonjolkan kerja kursus yang agak mudah sedangkan orang-orang bukan Bumiputera terpaksa mengambil Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM). Walaupun secara teori, orang-orang bukan Bumiputra boleh masuk aliran matrikulasi, ini jarang berlaku pada hakikatnya. Meritokrasi juga dikritik oleh sebilangan pihak dalam UMNO sebagai berdiskriminasi kerana ia mengakibatkan orang-orang Melayu luar bandar terkebelakang dalam kadar kemasukan universiti.

Suruhanjaya Reid yang menyediakan kerangka Perlembagaan menyatakan dalam laporannya bahawa Perkara 153, tulang belakang kontrak sosial, adalah bersifat sementara, dan menyesyorkan bahawa ia dikaji semula 15 tahun selepas kemerdekaan. Suruhanjaya juga menyatakan bahawa perkara itu dan peruntukan-peruntukannya hanya diperlukan untuk mengelakkan keadaan tiba-tiba yang tidak menguntungkan kepada orang-orang Melayu dalam persaingan dengan ahli-ahli masyarakat Malaysia yang lain, dan hak-hak istimewa yang diberikan kepada orang-orang Melayu oleh perkara itu harus dikurangkan secara beransur-ansur dan akhirnya dihapuskan. Bagaimanapun, disebabkan Peristiwa 13 Mei yang menyebabkan pengisytiharan darurat, tahun 1972 yang merupakan tahun kajian semula Perkara 153 berlangsung tanpa sebarang peristiwa.

Menurut penyokong-penyokong kontrak sosial, sebagai balasan untuk enakmen peruntukan-peruntukan yang pada asalnya bersifat sementara, orang-orang Malaysia bukan Melayu diberikan kewarganegaraan di bawah Bab I Bahagian III dalam Perlembagaan. Kecuali hak-haki istimewa Bumiputera, orang-orang bukan Bumiputera dianggap sebagai sama saja dengan orang-orang Bumiputera dan diberikan semua hak kewarganegaraan di bawah Bahagian II dalam Perlembagaan. Pada tahun-tahun kebelakangan ini, sebilangan orang telah mencuba untuk membekalkan warganegara-warganegara Melayu dengan lebih banyak hak politik menurut falsafah ketuanan Melayu. Kebanyakan penyokong ketuanan Melayu memperdebatkan bahawa hak-hak tambahan ini telah ditulis dalam undang-undang dan hanya perlu dipertahankan daripada pembangkang-pembangkang.

Apabila mengambil alih jawatan presiden UMNO, Tunku Abdul Rahman (kemudian menjadi Perdana Menteri Malaysia pertama) menyatakan bahawa “…apabila kami (orang-orang Melayu) menentang Malayan Union (yang menjejaskan kedudukan hak-hak orang Melayu), kaum-kaum lain tidak mengambil bahagian kerana mereka mengatakan ini hanya merupakan masalah Melayu, dan bukan masalah mereka. Mereka juga menunjukkan bahawa kesetiaan mereka adalah kepada negara-negara asal mereka dan oleh itu, menentang Laporan Barnes yang bertujuan untuk menjadikan bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan. Jika kami menyerahkan orang-orang Melayu kepada orang-orang yang dikatakan orang Malaya ketika kerakyatan mereka masih belum ditakrifkan, kami akan menghadapi banyak masalah pada masa hadapan.” Bagaimanapun, dia menambah bahawa “Bagi mereka yang mencintai dan berasa bahawa mereka terhutang kesetiaan yang tidak berbelah bagi, kami menyambut mereka sebagai orang Malaya. Mereka harus merupakan orang Malaya yang benar, dan mereka akan mempunyai hak-hak dan hak-hak istimewa yang sama dengan orang-orang Melayu.”

Ketiga-tiga di atas merupakan sentimen yang sering dimainkan oleh parti-parti politik sejak kebelakangan ini. Semangan muhibah dikalangan pemimpin-pemimpin awal negara seakan-akan dipermainkan oleh anak cucu mereka yang menjadi pemimpin parti-parti politik pada hari ini. Persoalannya ketika isu kontrak sosial dimainkan oleh pemimpin bukan melayu…di mana pemimpin-pemimpin Melayu terutama dari pembangkang tampil mempertahankan kontrak sosial yang sudah sekian lama terbina?? Adakah adil sekiranya kita membiarkan konsep Ketuanan Melayu ini dihapuskan dan diganti dengan konsep Ketuanan Rakyat (sedangkan Ketuanan Melayu juga adalah sama kecuali penekanan yang lebih diberikan kepada orang Melayu) yang belum terbukti lagi menjamin masa depan orang Melayu? Adilkah sekiranya anak-anak kita terpaksa mengharungi keperitan untuk ‘survive’ di masa hadapan sedangkan kita telah membesar dengan agak selesa sehingga apa yang kita kecapi setakat hari ini adalah hasil dari konsep Ketuanan Melayu. Diharap anak-anak muda faham akan kenapa walaupun negara kita sudah 50tahun merdeka konsep ini masih digunapakai. Konsep ini bukan lah sesuatu yang baru dan sejarah membukti bahawa terpisahnya Malaysia dengan Singapura adalah akibat perbuatan tidak bertanggungjawab pemimpin parti induk DAP iaitu PAP yang memainkan isu ketuanan Melayu ini. Adakah anda lebih gemar konsep Ketuanan Melayu ini digugurkan dan digantikan dengan konsep Malaysian Malaysia atau konsep Ketuanan Rakyat??? Bukankah pemimpin parti seperti PKR dan PAS ini merupakan anak-anak yang membesar hasil dari konsep Ketuanan Melayu ini. Cuba fikirkan di mana pemimpin-pemimpin ini berada sekiranya konsep Ketuanan Melayu dihapuskan dahulu?? Adakah mereka akan begelar pemimpin??

Terkini:

Istilah “Ketuanan Melayu” perlu dilihat dalam konteks perjuangan orang Melayu sebelum merdeka yang menganggap Semenenjung Tanah Melayu sebagai tanah pusaka (sons of the soil) seperti yang diakui oleh pihak penjajah British ketika itu. Istilah ini juga merujuk kepada situasi sebelum merdeka yang menjelaskan reaksi orang Melayu terhadap penubuhan Malayan Union yang telah menghapuskan “Ketuanan Melayu” dari segi kedaulatan, kuasa politik dan isu kewarganegaraan yang longgar. “Ketuanan Melayu” dilaungkan oleh pemimpin Melayu pada ketika itu bagi menyatupadukan orang Melayu menentang Malayan Union dan bukannya menuntut kemerdekaan. Oleh itu, konsep ini ialah peristiwa dan reality sejarah pada ketika itu dan ia dimasukkan bukan bertujuan untuk menggugat perpaduan masyarakat Malaysia.

Istilah di atas merupakan penjelasan Kementerian Pendidikan mengenai Ketuanan Melayu. Penjelasan ini dipetik dari blog LKS.

34 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Pelan Peralihan Kuasa Berkuatkuasa 2010??

berita ini sumber dari agendadaily dan utusan…

“Saya dengar…saya bukan pekak,” itulah kenyataan spontan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika diajukan soalan mengenai desakan supaya beliau mengemukakan pelan peralihan kuasa sebagai usaha untuk memulihkan UMNO.

Beliau berkata, beliau faham dengan pandangan yang diberikan dan mendengar pandangan pihak-pihak tertentu dalam soal peralihan kuasa tetapi beliau mahu proses berkenaan berjalan dengan lancar dan parti berada dalam keadaan baik.

“Takkan saya nak serahkan kepada Datuk Seri Najib begitu sahaja. Saya mahu peralihan kuasa itu berjalan dengan baik bukan tinggal begitu saja,” katanya dalam sidang media yang didampingi oleh Timbalannnya, Naiib selepas majlis taklimat bersama Ahli Parlimen, ADUN dan Ahli Dewan Negara di PWTC, hari Isnin.

Sidang media hari ini dihadiri oleh puluhan wartawan dalam dan luar negeri sesak kerana ada cerita-cerita yang disebarkan kononnya Abdullah akan membuat pengumuman mengenai peralihan kuasa.

Menurut beliau, ada pandangan yang mahukan peralihan kuasa itu dilakukan segera tetapi tidak kurang juga yang memberikan pandangan perkara itu tidak perlu tergesa-gesa dilaksanakan.

Sementara itu sumber yang layak dipercayai memberitahu Agendadaily sebenarnya pelan peralihan kuasa Abdullah kepada Najib sudah set hendak dilaksanakan pada tahun 2010 atau lebih awal daripada tempoh berkenaan.

Katanya ia tidak akan berlaku dalam masa terdekat.

Sumber itu tidak faham kenapa timbul desakan berterusan dibuat dan ada kenyataan daripada pemimpin UMNO Johor seperti Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memberikan gambaran seolah-olah peralihan kuasa tersebut masih tidak jelas.

Sementara itu Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Muhammad Muhd Taib ketika diminta mengulas mengenai desakan berterusan supaya peralihan kuasa dilakukan berkata, semua pihak perlu faham bahawa mesej mereka jelas dan telah diterima oleh pucuk pimpinan.

“Cara isu ini dibangkitkan secara berterusan bagi saya tidak mengikut adat Melayu. Mesej mereka merngenai perkara ini telah sampai kepada pucuk pimpinan. Biarlah pucuk pimpinan dalam konteks ini Pak Lah dan Datuk Seri Najib membincangkannya,” ujar beliau.

Ditanya desakan itu dibuat kerana prestasi buruk dalam pilihan raya yang lalu, Muhammad berkata, UMNO pada pilihan raya lalu sebenarnya masih mempunyai kekuatan dengan banyak kerusinya menang tetapi yang menghadapi masalah adalah parti komponen.

Soalnya kata beliau, kenapa parti-parti komponen mengambil sikap berdiam diri dan membiarkan kesalahan dan beban diletakkan kepada Abdullah seorang sahaja.

“Di Perak kita menang 27 daripada 28 kerusi DUN yang menang, begitu juga di Selangor, UMNO memang dan yang kalah teruk adalah daripada parti komponen tetapi kenapa Pak Lah yang terus diserang,” jelasnya.

Abdullah dalam sidang media itu turut ditanya mengenai dakwaan berterusan pihak pembangkang akan berlaku undi tidak percaya terhadap beliau pada sidang Dewan Rakyat akan datang, Abdullah dengan pantas dan penuh keyakinan menjawab : “Itu dakwa pembangkang. Saya yakin Ahli-Ahli Dewan Rakyat Barisan Nasional patuh dan setia kepada Barisan Nasional”.

Majlis taklimat hari ini berlangsung kira-kira satu jam dan berkisar tentang peranan yang seharusnya dimainkan oleh Ahli-Ahli Parlimen, ADUN dan Ahli Dewan Negara sebagai wakil rakyat BN.

Perdana Menteri juga menekankan perlunya label buruk seperti sombong, angkuh dan rasuah tidak melekat pada diri wakil-wakil rakyat BN di samping wakil-wakil rakyat di negeri yang dikuasai pihak lain mestilah menjadi pembangkang yang berwibawa. – 14/4/2008

________________

Pelan peralihan kuasa sudah ditentukan – Najib

14/04/2008 3:59pm

IPOH 14 April – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kaedah pelan peralihan kuasa antara beliau dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sudah ditentukan tetapi ia perlu dirundingkan dengan sebaik-baiknya.

Beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, soal kepimpinan parti dan kerajaan memang telah dibangkitkan banyak pihak dan beliau akan berjumpa Abdullah untuk mengadakan rundingan apabila sampai pada masanya.

Kata beliau, selaku Presiden parti, Abdullah telah pun membuat kenyataan dan pengakuan secara terbuka mengenai perkara itu dan semua pihak mesti memberi masa serta tempoh kepadanya untuk menentukan tindakan lanjut.

“Berilah peluang untuk beliau (Abdullah) memperbetulkan beberapa perkara yang pada pendapatnya perlu dilakukan.

“Biar kita tentukan, kita ada cara dalaman dalam parti. Kita akan menentukannya (sebab) kita ada pengalaman dan tradisi UMNO,” katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan tertutup dengan pemimpin UMNO negeri Perak di sini hari ini.- Utusan

nota – peralihan kuasa tampuk pemerintahan negara bukan lah sesuatu benda yang boleh dipandang remeh. walaupun ada desakan supaya peralihan kuasa ini dilakukan dengan segera, penulis beranggapan walau sesegera manapun ia diperlukan….keutamaan terhadap perlaksanaan pelan peralihan ini berjalan dengan licin dan lancar perlu diberikan. diharap pihak2 tertentu supaya bersabar dengan desakan mereka dan sambil berdoa akan segala yang dirancang akan berjalan dengan lancarnya hendakNYA…AMIN

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda