Tag Archives: politik wang

MT perlu bertindak segera

Majlis Tertinggi (MT) UMNO digesa melakukan ‘sesuatu yang drastik’ bagi membendung kejutan-kejutan di luar budaya parti itu yang semakin membimbangkan dan dikhuatiri petanda ‘keranapan’ parti pejuang kemerdekaan negara itu.

Ahli MT, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, beliau terpanggil mengeluarkan gesaan itu kerana ahli UMNO kini tidak lagi menampilkan sifat budaya keMelayuan apabila banyak peristiwa tidak diingini berlaku semasa dan menjelang pemilihan tertinggi parti.

Antara yang cukup membimbangkan, kata beliau, ialah penggunaan wang yang berleluasa dan keterlaluan untuk melobi pencalonan, rasuah melibatkan tangkapan Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan pergaduhan besar sesama ahli hanya kerana mengejar jawatan.

”Bukan itu sahaja, ada ahli UMNO juga melakukan kejutan vandalisme, kalau ada poster parti lawan…ia dipotong.

”Di Segamat pula, ahli UMNO bergaduh hingga patah kerusi semasa mesyuarat cawangan. Pemilihan parti lebih sengit daripada pilihan raya. Ini berlaku di kebanyakan tempat di Johor, Negeri Sembilan, Selangor dan Perak.

”Yang jelas ialah pengawasan UMNO di peringkat negeri tidak mampu… Jadi, lekas-lekaslah MT ambil tindakan agar semangat silaturrahim ini segera dipulihkan,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Rais merujuk kebimbangannya itu terhadap beberapa insiden melibatkan ahli UMNO yang dipercayai ada kaitan dengan usaha mengejar jawatan dan melobi pencalonan pada pemilihan parti.

Terbaru di Kota Bharu hari ini, Ketua UMNO Cawangan Limau Manis, Datuk Azaha Abdul Rani, cedera parah disimbah asid oleh seorang lelaki yang tidak dikenali di pekarangan rumahnya di Kampung Chekok, Panji, dekat sini awal pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 pagi itu, Azaha, 48, yang mengalami lecur di muka dan badan kini dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian dan keadaannya dilaporkan stabil.

Semalam, Naib Ketua UMNO Bahagian Seremban, Mohd. Noor Awang, 47, dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan merasuah Ketua Cawangan UMNO Taman Zaiton Indah, Sikamat Rezwat Shahril Zainal Ariffin supaya mencalonkannya untuk jawatan Ketua UMNO Bahagian Seremban.

Semalam juga menyaksikan kejadian pembunuhan Timbalan Ketua UMNO cawangan Bukit Merah, Taib Ali, 61, yang mati ditembak dari jarak dekat oleh dua lelaki bermotosikal di hadapan sekolah anaknya di Jalan Gunung Semanggol-Bukit Merah.

Bagaimanapun polis masih menyiasat motif pembunuhan itu.

Beberapa insiden pertelingkahan termasuk kejadian membaling kerusi dan penggunaan wang juga dilaporkan berlaku semasa mesyuarat cawangan baru-baru ini.

Banyak pihak percaya ia akan menjadi semakin hangat menjelang pemilihan peringkat bahagian bulan depan dan pusat Disember ini.

1 Comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Naib Ketua Umno Seremban dituduh rasuah

Naib Ketua Umno Bahagian Seremban dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas dua tuduhan rasuah.

Mohd Nor Awang, 47, seorang ahli perniagaan, dituduh secara rasuah memberi suapan RM200 kepada Ketua Cawangan Umno Taman Zaiton Indah, Sikamat, Rezwat Shahril Zainal Ariffin.

Wang itu sebagai dorongan supaya Rezwat Shahril semasa dalam mesyuarat agung Umno cawangan itu 3 Ogos lalu, mencalonkan Mohd Nor sebagai calon ketua Umno bahagian Seremban bagi pemilihan untuk bagi sesi 2008-2011.

Menurut laporan Bernama, Mohd Nor dituduh melakukan kesalahan itu dalam kereta NBK 16 di tempat letak kereta di belakang Restoran Negeri, Taman Catleya, Senawang pada kira-kira jam 12.20 tengah hari 1 Ogos lalu.

Bagi tuduhan kedua, dia didakwa secara rasuah memberi suapan RM500 kepada orang yang sama (Rezwat Shahril Zainal Ariffin) untuk tujuan sama.

Kesalahan itu dilakukannya didalam kereta NBK 16 di tempat letak kereta di belakang Centre Point di sini pada kira-kira 4.30 petang pada 2 Ogos lalu.

Mohd Nor didakwa di bawah Seksyen 10 (b) (aa) Akta Pencegahan Rasuah 1997.

Beliau yang diwakili peguam Abdul Halim Lokman mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.

Hakim Allaudeen Ismail menetapkan 28 dan 29 Januari 2009 sebagai tarikh perbicaraan.

Mohd Nor dibebaskan dengan ikat jamin RM3,500 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwaraya Badan Pencegah Rasuah (BPR), Mohd Asnawi Abu Hanipah.

nota: UMNO semakin parah akibat perbuatan ahlinya sendiri. Bila tamakkan kuasa, inilah bahananya!!

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Tan Sri Isa kini sudah bebas…

sumber agendadaily

TERBARU: Bekas Naib Presiden UMNO, Tan Sri Isa Samad, mengesahkan telah menerima surat pembebasan daripada penggantungan keahlian UMNO sejak tiga tahun lalu ekoran terlibat dengan politik wang. Beliau yang menerima surat berkenaan Jumaat lalu berkata, pembebasannya berkuat kuasa hari Isnin (23 Jun 2008). Beliau berkata demikian kepada Agendadaily ketika dihubungi hari ini. Sementara itu Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor ketika ditanya mengenai perkara berkenaan, mengesahkan surat berkenaan telah dihantar kepada Isa. – 23/6/2008 (12.05 tengahari)

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda