Tag Archives: power transition

Pelan Peralihan Kuasa Berkuatkuasa 2010??

berita ini sumber dari agendadaily dan utusan…

“Saya dengar…saya bukan pekak,” itulah kenyataan spontan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika diajukan soalan mengenai desakan supaya beliau mengemukakan pelan peralihan kuasa sebagai usaha untuk memulihkan UMNO.

Beliau berkata, beliau faham dengan pandangan yang diberikan dan mendengar pandangan pihak-pihak tertentu dalam soal peralihan kuasa tetapi beliau mahu proses berkenaan berjalan dengan lancar dan parti berada dalam keadaan baik.

“Takkan saya nak serahkan kepada Datuk Seri Najib begitu sahaja. Saya mahu peralihan kuasa itu berjalan dengan baik bukan tinggal begitu saja,” katanya dalam sidang media yang didampingi oleh Timbalannnya, Naiib selepas majlis taklimat bersama Ahli Parlimen, ADUN dan Ahli Dewan Negara di PWTC, hari Isnin.

Sidang media hari ini dihadiri oleh puluhan wartawan dalam dan luar negeri sesak kerana ada cerita-cerita yang disebarkan kononnya Abdullah akan membuat pengumuman mengenai peralihan kuasa.

Menurut beliau, ada pandangan yang mahukan peralihan kuasa itu dilakukan segera tetapi tidak kurang juga yang memberikan pandangan perkara itu tidak perlu tergesa-gesa dilaksanakan.

Sementara itu sumber yang layak dipercayai memberitahu Agendadaily sebenarnya pelan peralihan kuasa Abdullah kepada Najib sudah set hendak dilaksanakan pada tahun 2010 atau lebih awal daripada tempoh berkenaan.

Katanya ia tidak akan berlaku dalam masa terdekat.

Sumber itu tidak faham kenapa timbul desakan berterusan dibuat dan ada kenyataan daripada pemimpin UMNO Johor seperti Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memberikan gambaran seolah-olah peralihan kuasa tersebut masih tidak jelas.

Sementara itu Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Muhammad Muhd Taib ketika diminta mengulas mengenai desakan berterusan supaya peralihan kuasa dilakukan berkata, semua pihak perlu faham bahawa mesej mereka jelas dan telah diterima oleh pucuk pimpinan.

“Cara isu ini dibangkitkan secara berterusan bagi saya tidak mengikut adat Melayu. Mesej mereka merngenai perkara ini telah sampai kepada pucuk pimpinan. Biarlah pucuk pimpinan dalam konteks ini Pak Lah dan Datuk Seri Najib membincangkannya,” ujar beliau.

Ditanya desakan itu dibuat kerana prestasi buruk dalam pilihan raya yang lalu, Muhammad berkata, UMNO pada pilihan raya lalu sebenarnya masih mempunyai kekuatan dengan banyak kerusinya menang tetapi yang menghadapi masalah adalah parti komponen.

Soalnya kata beliau, kenapa parti-parti komponen mengambil sikap berdiam diri dan membiarkan kesalahan dan beban diletakkan kepada Abdullah seorang sahaja.

“Di Perak kita menang 27 daripada 28 kerusi DUN yang menang, begitu juga di Selangor, UMNO memang dan yang kalah teruk adalah daripada parti komponen tetapi kenapa Pak Lah yang terus diserang,” jelasnya.

Abdullah dalam sidang media itu turut ditanya mengenai dakwaan berterusan pihak pembangkang akan berlaku undi tidak percaya terhadap beliau pada sidang Dewan Rakyat akan datang, Abdullah dengan pantas dan penuh keyakinan menjawab : “Itu dakwa pembangkang. Saya yakin Ahli-Ahli Dewan Rakyat Barisan Nasional patuh dan setia kepada Barisan Nasional”.

Majlis taklimat hari ini berlangsung kira-kira satu jam dan berkisar tentang peranan yang seharusnya dimainkan oleh Ahli-Ahli Parlimen, ADUN dan Ahli Dewan Negara sebagai wakil rakyat BN.

Perdana Menteri juga menekankan perlunya label buruk seperti sombong, angkuh dan rasuah tidak melekat pada diri wakil-wakil rakyat BN di samping wakil-wakil rakyat di negeri yang dikuasai pihak lain mestilah menjadi pembangkang yang berwibawa. – 14/4/2008

________________

Pelan peralihan kuasa sudah ditentukan – Najib

14/04/2008 3:59pm

IPOH 14 April – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kaedah pelan peralihan kuasa antara beliau dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sudah ditentukan tetapi ia perlu dirundingkan dengan sebaik-baiknya.

Beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, soal kepimpinan parti dan kerajaan memang telah dibangkitkan banyak pihak dan beliau akan berjumpa Abdullah untuk mengadakan rundingan apabila sampai pada masanya.

Kata beliau, selaku Presiden parti, Abdullah telah pun membuat kenyataan dan pengakuan secara terbuka mengenai perkara itu dan semua pihak mesti memberi masa serta tempoh kepadanya untuk menentukan tindakan lanjut.

“Berilah peluang untuk beliau (Abdullah) memperbetulkan beberapa perkara yang pada pendapatnya perlu dilakukan.

“Biar kita tentukan, kita ada cara dalaman dalam parti. Kita akan menentukannya (sebab) kita ada pengalaman dan tradisi UMNO,” katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan tertutup dengan pemimpin UMNO negeri Perak di sini hari ini.- Utusan

nota – peralihan kuasa tampuk pemerintahan negara bukan lah sesuatu benda yang boleh dipandang remeh. walaupun ada desakan supaya peralihan kuasa ini dilakukan dengan segera, penulis beranggapan walau sesegera manapun ia diperlukan….keutamaan terhadap perlaksanaan pelan peralihan ini berjalan dengan licin dan lancar perlu diberikan. diharap pihak2 tertentu supaya bersabar dengan desakan mereka dan sambil berdoa akan segala yang dirancang akan berjalan dengan lancarnya hendakNYA…AMIN

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda