Tag Archives: PRU

BN perlu sokongan Cina, India

KUALA LUMPUR 16 April – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Barisan Nasional (BN) akan mengambil beberapa tindakan bagi memperoleh semula sokongan daripada kaum Cina dan India.

Timbalan Perdana Menteri menegaskan, sokongan daripada kaum Cina dan India penting untuk menjamin kemenangan BN pada masa depan.

“BN akan melakukan sesuatu, maknanya merumuskan pelan strategi sesuai untuk menarik balik sokongan kaum Cina dan India, bagaimanapun saya tidak akan nyatakannya sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas mengetuai anggota Jawatankuasa Pengurusan UMNO mengadakan pertemuan tertutup dengan para pemimpin UMNO Selangor di sini hari ini.

Pertemuan tertutup yang melibatkan kira-kira 1,000 pemimpin UMNO Selangor itu turut dihadiri Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Ketua Penerangan, Senator Tan Sri Muhammad Muhd. Taib dan Bendahari UMNO, Datuk Seri Abdul Azim Mohd. Zabidi.

Hadir sama, Ketua Pergerakan Wanita, Datuk Seri Rafidah Aziz; Ketua Pergerakan Pemuda, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Ketua Pergerakan Puteri, Datuk Noraini Ahmad.

Najib turut memberitahu, beliau telah mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa pengurusan BN hari ini yang dihadiri semua presiden-presiden parti komponen lain.

Katanya, dalam mesyuarat itu kesemua parti komponen BN telah bersetuju agar mesyuarat jawatankuasa pengurusan akan diadakan sebulan sekali untuk membincangkan pelbagai perkara.

“Kesemua pemimpin parti komponen BN bersetuju untuk mengamalkan pendekatan berunding dengan lebih kerap serta merapatkan lagi hubungan di antara parti-parti komponen,” katanya.

Mengenai perjumpaan dengan para pemimpin UMNO Selangor, beliau memberitahu, perjumpaan itu berjalan dengan baik yang mana para pemimpin terlibat telah memberi pandangan serta maklum balas berguna kepada jawatankuasa pengurusan parti.

Katanya, perkara-pekara yang dibangkitkan di dalam pertemuan itu ialah mengenai penentuan calon pilihan raya umum.

Ujar beliau, mereka mahukan kaedah penilaian calon bagi pilihan raya umum perlu berasaskan pada penilaian tepat agar calon yang bertanding disenangi ahli akar umbi serta orang ramai.

“Perkara peralihan kuasa juga dikemukakan dalam pertemuan itu dan saya menyatakan perkara ini akan ditentukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada masa serta ketika yang sesuai di samping mengambil kira kaedah bagi kepentingan parti,” katanya.

Ditanya pada pertemuan di antara Abdullah dengan para pemimpin UMNO Johor minggu lalu ada disebut Perdana Menteri akan berundur pada tahun 2010, Najib memberitahu, pada masa ini, tidak ada pernyataan mengenai tarikh peralihan kuasa.

Beliau memberitahu, bila tiba masanya Perdana Menteri akan memberi satu panduan yang jelas tentang peralihan kuasa itu.

Ditanya adakah tempoh masa akan ditentukan oleh UMNO, Najib menegaskan, beliau tidak boleh mendesak bila tempoh itu akan berlaku kerana ia perlu diputuskan serta adalah lebih sesuai ia dinyatakan sendiri oleh Perdana Menteri.

Ujar beliau, pada masa ini, perkara yang paling penting ialah para pemimpin dan ahli-ahli UMNO perlu bersatu dan bekerja sebagai satu pasukan untuk memulihkan UMNO.

Najib memberitahu, UMNO tidak boleh berpecah dan semua anggota parti perlu bekerjasama sebagai satu pasukan. – sumber utusan

nota: keputusan PRU12 yang lepas jelas menunjukkan bahawa kebanyakan kerusi yang BN tewas adalah akibat kegagalan untuk meraih minat pengundi CINA dan INDIA…terdapat berbagai isu yang dimainkan oleh Pakatan Rakyat sehingga berjaya mengaburi mata pengundi bukan Melayu…Antara sentimen seperti Undi BN adalah undi Undi UMNO, isu Malaysian Malaysia, dan isu Melayu sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang telah berjaya menakutkan pengundi yang selama ini merasa kemakmuran negara melalui undi mereka bersama Barisan Nasional. Apa-apa pun langkah BN bagi merapatkan kembali hubungan dengan semua parti komponen hendaklah diambil dengan teliti. Ini disebabkan parti komponen seperti IPF terang-terang menyatakan bahawa undi ahli mereka pada PRU yang lepas diberikan kepada Pakatan Rakyat dan bukan nya Barisan Nasional. Adakah parti komponen seperti ini harus dikekalkan di dalam Barisan Nasional….atau lebih elok lagi digugurkan terus dari BN akibat sikap tikam belakang semangat kerjasama semua parti Komponen Barisan Nasional.

Advertisement

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Perkahwinan tidak direstui angkara perbezaan politik

HULU TERENGGANU 2 April – Sepasang pengantin baru melangsungkan perkahwinan dalam suasana suram apabila bapa pengantin perempuan tidak merestuinya kerana perbezaan fahaman politik dengan keluarga pihak lelaki.

Majlis akad nikah yang diadakan di surau Majlis Daerah Hulu Terengganu di Kuala Berang di sini kira-kira pukul 2.45 petang ini hanya dihadiri beberapa rakan pengantin perempuan dan ahli keluarga pengantin lelaki.

Pengantin lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Mamat, 32, kelihatan gugup dan dia terpaksa mengulangi akad nikah sebanyak tiga kali sebelum diterima oleh Pegawai Agama Daerah, Zahari Sulong yang bertindak sebagai kadi dan tiga saksi.

Pengantin perempuan yang hanya mahu dikenali sebagai Aminah, 24, ketika ditemui selepas selesai majlis itu melahirkan rasa gembira bercampur sedih.

”Saya gembira kerana dapat melangsungkan perkahwinan hari ini tetapi saya juga sedih kerana tiada ahli keluarga yang datang,” katanya.

Dia yang mempunyai sembilan adik-beradik itu berkata, ayahnya tidak merestui perkahwinan itu kerana fahaman politik dan ibu pula hanya menurut kehendak ayah.

”Saya baru sahaja menghubungi ayah memberitahu saya sudah kahwin dan dia memarahi saya kerana berkahwin,” ujarnya dari Kampung Pangkalan Berangan, Marang.

Aminah yang kini mengikuti kursus jahitan berkata, dia mengenali suaminya yang bekerja di sebuah pusat peranginan di sini sejak dua tahun lalu dan ayahnya mengetahui mengenai perhubungan mereka itu.

”Namun apabila kami melahirkan hasrat untuk berkahwin, ayah menentang kerana berbeza fahaman politik,” katanya.

Dia menambah, mereka kemudian memfailkan permohonan kebenaran berkahwin dengan wali hakim di Mahkamah Rendah Syariah di Marang Februari lalu.

Dalam pada itu, Zahari ketika ditemui berkata, beliau menghubungi bapa pengantin perempuan selepas menerima surat kebenaran wali hakim kira-kira pukul 12 tengah hari ini untuk memaklumkan bahawa perkahwinan anaknya itu akan dilangsungkan hari ini.

”Bapa pengantin perempuan menyatakan dia tidak merestui perkahwinan itu dan tidak peduli jika ia diteruskan,” katanya.

dari Utusan Malaysia, 3 April 2008

nota: walaupun terdapat perbezaan ideologi dan pandangan politik..perbezaan ini tidak seharusnya dibawa pulang ke rumah….walaupun ideologi berbeza..tanggungjawab sebagai ahli keluarga tak kira ibu, bapa atau anak tetap sama….yang kite sembah hanya Allah…politik..politiklah…bukannya tidak ada ahli politik yang berbeza parti tetapi mereka adik beradik seperti contoh Dato’ Shahrir Samad dan AP Shah Alam YB Khalid Samad….jangan lah kira menafikan hak ahli keluarga masing hanya kerana pandangan politik kita berbeza

2 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Melayu alat asing jika pilih Anwar

sumber dari malaysiakini….

Serangan lama kira-kira sedekad lalu berulang lagi antara dua tokoh negara ini – Tun Dr Mahathir Mohamad menuduh bekas timbalannya Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ejen asing yang kemudiannya akan memperalatkan orang Melayu.

anwar ibrahim and mahathir argue fight“Kita tahu orang Barat dan Eropah percaya bahawa Anwar tak lama lagi akan jadi Perdana Menteri.

“Tak lama lagi bolehlah cucuk hidung nak heret ke mana-mana,” kata bekas perdana menteri itu di sesi soal-jawab selepas merasmikan mesyuarat agung Persatuan Melayu Tanjong hari ini.

Beliau diminta mengulas laporan media luar negara yang meramalkan kemungkinan Anwar menjadi perdana menteri tidak lama lagi.

Susulan kemenangan besar-besaran pembangkang, termasuk PKR, prospek Anwar sebagai perdana menteri menjadi analisis popular di dalam dan luar negara.

Pilihanraya umum 8 Mac menyaksikan kemaraan deras pembangkang apabila pertama kali berkaya menawan lima negeri dan menafikan majoriti dua pertiga BN di Dewan Rakyat.

Dr Mahathir berkata, orang Melayu akan menjadi alat orang asing jika memilih Anwar sebagai perdana menteri.

“Kalau orang Melayu nak diheret ke sana sini oleh orang asing, sila pilih orang itu (Anwar).

“Saya minta maaflah, dia buat bagi nama saya cukup buruk di seluruh dunia kononnya saya tangkap dia, buang dia masuk penjara,” beliau dipetik Bernama sebagai berkata.

Laporan itu juga menyebut, Dr Mahathir mendakwa Anwar seorang yang pandai berkata-kata dan boleh menarik minat ramai orang daripada pelbagai golongan dan latar belakang.

“Kalau cakap berkenaan agama Islam, semua orang Islam anggap dia sebagai jaguh agama.

“Bila dia bercakap dengan orang kampung bagus juga, bila dia bercakap dengan orang buat kuil pun bagus juga.”

Sewaktu Anwar dipecat daripada kabinet dan Umno pada 1998, isu ejen asing sering dimainkan oleh media tempatan.

Pengikutnya dan pembangkang juga pernah dituduh sedemikian.

Mahathir pernah menuduh Anwar sebagai “ejen asing” sewaktu mengulas dakwaan bekas ketua pemuda PKR (dulu, Parti Keadilan Nasional) Ezam Mohd Nor bahawa beberapa kotak dokumen rasmi kerajaan disimpan di luar negara.

nota: sekiranya dakwaan bekas ketua pemuda PKR itu benar…sesungguhnya Melayu dalam bahaya

26 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Anwar Sesuai Sebg PM Israel???

dipetik dari bigdogdotcom…

Dalam sessi soal jawab, beliau menjelaskan bahawa pemecatan Tun Salleh Abbas sebagai Ketua Hakim Negara pada 1988 ialah mengikut peruntukan Perlembagaan dan berdasarkan undang undang.Mantan Presiden UMNO juga menyifatkan Anwar Ibrahim sebagai “Man of many tongues” dan kerap berkata lain kepada lain lain kumpulan, walaupun atas isu yang sama dan bersetuju bahwa Anwar mendapat sokongan kuta Yahudi seluruh dunia. Beliau juga menambah “Anwar sesuai menjadi PM Israel”.

nota: mentor dan mantan ketua kepada DSAI sendiri mengakui bahawa mantan orang no 2 beliau adalah seorang yang mempunyai lidah bercabang…..makin banyak pendapat tentang DSAI telah diutarakan oleh bekas2 rakan beliau….kini anda sebagai rakyat Malaysia harus pandai menilai pemimpin anda…

7 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Antara Janji-Janji Manis PKR-PAS di Selangor

Sosial dan Kebajikan Rakyat
  • Membuka tabung permulaan RM100 bagi setiap anak kelahiran Selangor.
  • Memberi bantuan RM75 sebulan bagi setiap anak yang dihantar ke nurseri.
  • Memberi bantuan RM50 sebulan seorang bagi pendidikan pra-sekolah.
  • Memberi hadiah RM1000 kepada setiap anak Selangor yang mendapat tawaran ke Universiti.
  • Memberi bantuan dan biasiswa pelajaran untuk anak Selangor.
  • Memberi bantuan kepada anak-anak muda untuk mendirikan rumahtangga.
  • Membuka Pusat Sukan Mini dan Rekreasi bagi belia.
  • Mencarum takaful bernilai RM2,500 untuk warga emas, orang kurang upaya dan anak yatim.
  • Memberi elaun ibu tunggal yang layak.
  • Memberi elaun khas suri rumah yang memilih untuk menjaga sepenuh masa anak-anak kecil mereka.
  • Membantu setiap rakyat Selangor untuk mendapatkan kediaman sendiri.
  • Mewujudkan institusi menyelaraskan hal ehwal agama selain Islam
Kesihatan Rakyat
  • Memberi wanita bekerja 90 hari cuti bersalin.
  • Memberi 14 hari cuti kepada suami yang isterinya bersalin.
  • Memberi sebulan cuti kepada wanita yang kematian suami.
  • Menyediakan perubatan percuma untuk warga 65 tahun ke atas
Ekonomi rakyat
  • Menyediakan premis perniagaan yang cukup.
  • Memberi bimbingan perniagaan kepada golongan belia dan wanita muda.
  • Memberi galakan kepada belia dan wanita muda berniaga dengan sewa minima atau hanya perlu membayar air dan elektrik untuk dua tahun pertama.
  • Mengurangkan cukai pintu rumah kediaman sebanyak 20 peratus dan cukai premis komersial sebanyak 10 peratus.
  • Memberi bekalan air kegunaan domestik secara percuma bagi 20 meter padu pertama setiap bulan.
  • Menjalankan program bagi membolehkan rakyat miskin terutama petani dan nelayan mendapatkan pendapatan yang lebih tinggi di atas garis kemiskinan.
Keselamatan rakyat
  • Menguatkuasa syarat perlindungan alam sekitar bagi mengelakkan bencana seperti tanah runtuh dan banjir.
  • Menggantikan sistem rukun tetangga dengan sistem baru yang lebih berkesan.
  • Mewujudkan pusat khidmat sehenti bagi menangani kes jenayah dan keganasan terhadap wanita

kite tunggu dah lihat….sejauh mana janji2 ni dilunaskan…

1 Comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Strategi pikat hati pengundi Kelantan

pandangan dari – LT. JEN. (B) DATUK ABDULLAH SAMSUDIN- dipetik dari utusan

SAYA harap saudara tidak keberatan berkongsi pandangan saya dengan para pembaca, berkenaan kemenangan Pas di Kelantan.

Barisan Nasional (BN) terperanjat terduduk apabila Pas menang besar di Kelantan, perlulah kita faham satu sebab orang Kelantan menolak BN.

Rakyat Malaysia yang tinggal di luar dari Kelantan biasa mengatakan yang orang Kelantan adalah cherish, dan saya kata mereka juga “patriotik” Kelantan.

Saya telah memahami cara pemikiran orang Kelantan, “biar berniaga kecil-kecil hak kita, buat apa besar bukan hak kita”. Itulah sebabnya rakyat di Kelantan bersyukur di bawah pemerintahan Pas. Segala perniagaan kecil dan besar adalah hak anak Kelantan.

Saya pernah bertugas di Kelantan selaku panglima briged pada tahun 1977 dan 1978. Ramai anggota askar wataniah yang dikerah penuh masa, bertugas di bawah arahan saya. Saya mengenali orang Kelantan melalui askar saya, kerana saya selalu rapat dengan mereka.

Apabila Lebuh Raya Timur – Barat dibina dari Gerik ke Jeli, orang Kelantan tidak senang hati kerana bimbang peniaga dari Perak dan Pulau Pinang akan masuk dengan senang ke Kelantan.

Saya menasihati anggota wataniah untuk memaklumkan kepada orang Kelantan yang lebuh raya ini sangat diperlukan bagi menjaga keselamatan.

Jalan ini adalah dalam kawasan hitam dan tidak boleh digunakan sesuka hati. Saya boleh menutup jalan ini apabila perlu. Ini memberi kesenangan kepada fikiran orang Kelantan daripada pelbagai kaum.

Penduduk Kelantan teramai sekali adalah dalam jajahan Kota Bharu, satu pertiga penduduk didapati dalam jajahan-jajahan lain.

Dalam ceramah pilihan raya tahun 1978, selepas pengisytiharan darurat dan pemerintahan pusat atas Kelantan ditarik balik pada 12 Februari 1978, Tengku Razaleigh Hamzah, Menteri Kewangan telah membuat satu perjanjian dengan pengundi yang memikat hati mereka. Sekiranya BN menang, tol jambatan Kota Bharu akan dimansuhkan.

Jambatan tersebut dibina oleh kerajaan Pas dengan wang pinjaman.

Pada malam kiraan undi lebih kurang pukul tiga pagi, BN telah menang 19 daripada 36 kerusi. Pada saat pengumuman tersebut penduduk Kota Bharu tidak lagi mahu membayar tol.

Maka, tamatlah pembayaran tol jambatan berkenaan pada waktu itu.

Inilah yang memberi keuntungan terus kepada pengundi dan kemenangan BN sebanyak 23 kerusi.

Sayangnya kerajaan BN Kelantan memberi keutamaan menaik taraf bandar Kota Bharu.

Pengundi di jajahan lain tidak merasai apa-apa keuntungan dari pembangunan.

Dalam pilihan raya seterusnya tidak ada “faedah direct benefit” kepada pengundi yang dijanjikan oleh BN.

Dalam fikiran pengundi di Kelantan, jika BN hendak memajukan Kelantan secara besar-besaran pasti ramai orang luar akan masuk Kelantan. Inilah yang tidak direlakan oleh rakyat Kelantan.

Di bawah pemerintahan Pas tidak ada perniagaan luar akan masuk Kelantan dan ini akan menjaminkan kepentingan peniaga kecil dan besar di negeri itu.

Pendapat saya jika hendak memikat hati dan mengubah mindset pengundi di Kelantan, bantulah peniaga kecil membesar sehingga menjadi “yang besar juga hak kita”.

Ini adalah pandangan persendirian dan bukan penganalisis politik, saya bukan ahli parti politik.

nota: idea dan strategi kiriman – LT. JEN. (B) DATUK ABDULLAH SAMSUDIN adalah satu idea yang boleh digunakan oleh BN pada PRU13 nanti. Strategi dan kajian yang mendalam seperti ini sekiranya dibuat insyaAllah akan membuahkan hasil bagi BN. Kajian mengenai apa yang diperlukan(needs) oleh rakyat dan apa yang yang diinginkan(wants) oleh rakyat harus ditekankan di dalam merangka strategi bagi pilihanraya yang akan datang. Ini disebabkan rata-rata kekalahan BN pada PRU12 ini merupakan akibat dari undi protes dari rakyat. Tidak dinafikan bahawa rakyat berhak memilih pemimpin atau parti yang mereka inginkan tetapi sekiranya keputusan undian yang dibuat atas dasar marah,protes dan atas dasar emosi…nescaya keputusan yang dibuat bukanlah satu keputusan yang bijak….Satu pelan bagaimana untuk memenangi kembali hati pengundi harus dirangka mulai sekarang..pelan ini haruslah dirangka secara menyeluruh di mana ia merangkumi kepentingan semua pihak khususnya rakyat itu sendiri

7 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Anwar jangan gelojoh

Penulisan saudara Maulana Purnama di dalam harakahdaily
Mon | Mar 24, 08 | 11:46:03 am MYT
Rasa pelik juga apabila mendengar ada pihak pembangkang sedang membeli wakil-wakil rakyat Barisan Nasional (BN) di Sarawak dan Sabah dalam usaha menubuhkan kerajaan persekutuan Barisan Rakyat (BR).BN menuduh parti-parti pembangkang. DAP menafikan pihaknya melakukannya. PAS pasti tidak melakukannya. Mungkinkah Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) sedang berusaha membeli mereka? Seperti mana seorang calonnya di sebuah kawasan di Selangor dikatakan telah dibeli sebelum penamaan calon hari itu hingga membolehkan calon BN menang? Apapun, membeli ahli politik adalah korupsi. BR mesti bersih daripada korupsi dalam nilai dan amalannya.

Cakap-cakap untuk menubuhkan kerajaan persekutuan BR dalam penggal ini, tanpa melalui pilihan raya umum adalah membimbangkan. Kegelojohan ahli politik sememangnya merisaukan walaupun sifat itulah yang mendorong kepada pencapaian kemenangan bagi mereka secara mengejutkan dan dalam waktu singkat.

Pada tahun-tahun awal 80-an, ketika Yang Dipertua PAS masa itu, Allahyarham Dato’ Asri Muda sedang berkira-kira hendak mencari pemimpin baru bagi partinya, sudah tentu dengan sendirinya beliau mengharapkan Anwar Ibrahim. Masa itu nama Anwar sebagai tokoh muda yang mahu membawa perubahan sedang meningkat naik. Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) itu memberi harapan baru kepada negara, khususnya di kalangan orang Melayu dan Islam tentang masa depan lebih cerah.

Allahyarham Tun Razak juga pernah mempelawa beliau untuk menyertai pihak kerajaan sebagai pemimpin belia yang boleh menyumbang awal kepada negara. Anwar menolak kerana hatinya berada di pihak pembangkang.

Hubungan rapat ABIM dan PAS meletakkan kemungkinan Anwar akan memimpin parti Islam itu. Maklumlah PAS sedang menghadapi ketandusan kepimpinan dan kehadirannya dalam BN tidak begitu disenangi oleh ahli-ahli dan barisan kepimpinan juga sudah kelihatan letih, dan mencari orang yang segar.

Tetapi menjelang pilihan raya tahun 1982, politik Malaysia dikejutkan dengan penyertaan Anwar ke dalam Umno. Inilah bermulanya siri kejutan oleh Anwar yang terus menggoncang politik negara, mungkin sepanjang hayatnya. Banyak penyokong PAS dan gerakan Islam umumnya dirasakan dikhianati. Dengan sendirinya ABIM turut menyebelahi Umno dan keadaan ini mendorong kepada pemberontakan yang akhirnya mengeluarkan Asri daripada PAS.

Beliau kemudian menubuhkan Hizbul Muslimin (HAMIM), membawa HAMIM ke dalam BN, akhirnya beliau juga menyertai Umno. Memanglah Anwar enggan menyertai PAS kerana parti itu tidak mampu untuk memerintah negara kerana bentuknya yang tidak pelbagai kaum dan agama. Tetapi andai kata Anwar memimpin PAS, keadaan itu tentunya berubah dan negara menjadi berbeza daripada apa yang pada hari ini.

Dalam Umno, Anwar naik dengan cepat. Beliau melakukan banyak kejutan. Dengan cepat belaiu menjadi ketua Pergerakanb Pemuda Umno. Daripada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri untuk menjaga hal ehwal agama kepada Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan. Kemudian menjadi Menteri Pertanian dan Menteri Pelajaran.

Dalam parti, beliau jadi Naib Presiden dan kemudiannya Timbalan Presiden, melalui usaha yang tidak pernah dilakukan dalam Umno, meminggirkan Allahyarham Ghafar Baba melalui penubuhan Team Wawasan, terdiri daripada Najib Razak, Muhyiddin Yassin, Muhammad Muhd Taib dan Rahim Thamby Chik. Di pihak pergerakan Wanita ialah Zaharah Sulaiman.

Apabila Indonesia diselubungi geraan Reformasi, Anwar juga melancarkan Reformasi dalam Umno. Dengan penyataannya di Johor, di depan Ghani Othman, beliau pasti dilihat sebagai mencabar Mahathir Mohamad.

Memang Malaysia sering mengikut jejak Indoensia dalam politik, tetapi ia bergerak jauh lebih lambat. Apabila Indeonsia mengisytiharkan kemerdekaan pada tahun 1945, pejuang-pejuang nasionalis di Tanah Melayu juga bersemangat dan menubuhkan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), parti politik pertama orang Melayu untuk memperjuangkan kemerdekaan pada tahun 1946. Pemimpin utamanya ialah Pak Sako, Dr Burhanuddin Al-Hilmy dan Ahmad Boestamam.

Tetapi Tanah Melayu hanya mencapai kemerdekaan 12 tahun kemudian iaitu pada tahun 1957. Ia dicapai bukan oleh PKMM tetapi Perikatan Umno-MCA-MIC. PKMM yang pada mulanya turut bergabung dalam Umno telah keluar daripada gabungan itu.

Dalam Malaya Merdeka, Pak Sako menjadi ketua Parti Buruh Malaya, Dr Burhanuddin ketua PAS dan Ahmad Boestamam ketua Parti Rakyat Malaya. Parti Buruh dan Parti Rakyat bergabung dalam Front Sosialis atau Barisan Sosialis (FS). PAS dan FS adalah barisan pembangkang yang kalah teruk dalam pilihan raya tahun 1964 apabila mereka menolak gagasan Malaysia, dengan menyebalahi Indoesia.

Maka dalam tahun 1998 walaupun Anwar cuba membawa reformasi ke Malaysia, beliau gagal dengan padah yang besar. Reformasi yang dilaungkan pada tahun itu iaitu sama waktu dengan di Indonesia ditolak oleh Umno dan gagal pada tahun 1990.

Hanya lapan tahun kemudian, iaitu dalam pilihan raya umum ke-12, gagasan beliau diterima apabila Barisan Rakyat dapat menafikan majoriti dua pertiga BN. Sekali lagi beliau melakukan kejutan.

Tetapi ahli politik tidak wajar gelojoh. Tunggulah pilihan raya akan datang. Yang membawa reformasi pada masa akan datang tidak semestinya beliau. Tetapi beliau telah membuka ruang.

Pemimpin PAS, DAP dan KeADILan yang asalnya PRM juga sudah masak dengan perangai Anwar. Tentunya Timbalan Presiden PKR, Syed Husin Ali yang dahulunya Presiden PRM sudah lama mengenali Anwar sejak zaman universiti lagi apabila Anwar dan mahasiswa berada di jalan raya berdemonstrasi.

Anwar hampir sampai ke puncak dalam Umno tetapi gagal kerana salah perhitungan yang berakibatkan keadaan yang dahsyat. Bukan saja beliau rugi tetapi juga rakyat dan negara.

Maka ketika berada di puncak sebagai pemimpin de facto bukan saja KeADILan tetapi juga Barisan Rakyat, Anwar mesti berhati-hati dan jangan gelojoh. Banyak pelajaran telah diperoleh daripada apa yang berlaku sejak dua dekad lalu. Janganlah memgulangi kesilapan. – mns

nota: berapa ramai mangsa korban team wawasan anwar yang beliau berjaya korbankan akibat kegelojohan, haloba dan perasaan gilakan kuasa…..

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

“Beli wakil rakyat” fenomena tidak sihat dalam sistem demokrasi

KOTA KINABALU:  Amalan “membeli” wakil rakyat sama ada anggota Parlimen atau Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) tidak sihat dalam sistem demokrasi, kata Pensyarah Ilmu Politik dan Antarabangsa, Sekolah Sains Sosial, Universiti Malaysia Sabah (UMs) Zaini Othman.

Katanya perbuatan berkenaan jika benarbenar berlaku bukan sahaja tidak positif kepada proses demokrasi tetapi boleh dianggap sebagai mengkhianati kepercayaan dan amanah yang diberikan rakyat kepada mereka.

“Dalam demokrasi negara kita majoritinya berasaskan kepada parti. Asasnya ialah parti politik. Macam di Sabah ada Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut (Upko), Parti Bersatu Sabah (PBs) dan sebagainya.

“Pengundi mengundi berdasarkan calon itu mewakili parti mana. Sekiranya berlaku “cross over” atau lebih popularnya dinamakan melompat parti, pada pandangan saya itu sudah mengkhianati pengundi,” katanya kepada Bernama di sini pada hari Sabtu.

Zaini berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu cubaan parti pembangkang “membeli” anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) yang didedahkan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Rabu lepas.

Khamis lalu, Setiausaha Agung Umno dan BN yang baru Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dilaporkan sebagai berkata pihaknya akan menghantar wakil ke Sabah dan Sarawak bagi menyiasat dakwaan kononnya wujud cubaan membeli anggota Parlimen dan ADUN di  kedua-dua negeri itu.

Tengku Adnan juga memberi amaran kepada pihak pembangkang supaya tidak bertindak bodoh dengan cuba “membeli” anggota Parlimen dan ADUN BN kerana wakil rakyat Umno dan BN faham hanya gabungan BN adalah parti mereka.

Menurut Zaini amalan membeli wakil rakyat jika benar-benar wujud adalah tidak baik dan boleh dianggap sebagai rasuah politik.

Katanya saranan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, yang juga Setiausaha Agung DAP, supaya Abdullah membuat laporan polis jika ada bukti mengenai “pembelian wakil rakyat” menunjukkan bahawa DAP tidak merestui elemen rasuah politik ini.

“Kalaulah ada unsurunsur pembelian (wakil rakyat) maka itu suatu elemen rasuah. Bila ada elemen rasuah, perlulah ada tindakan daripada pihak yang berkenaan, termasuk oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) jika ada buktibukti yang jelas.

“Dalam konteks demokrasi kita ini, sama ada pihak kerajaan atau pembangkang kedua-duanya bersetuju bahawa sekiranya ada unsur-unsur pembelian (wakil rakyat) wujud, maka itu suatu kesalahan,” katanya. BERNAMA

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Lompat parti kerja orang tak bermaruah – Nik

KOTA BAHARU: Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata perbuatan melompat parti hanya dilakukan orang yang tidak bermaruah.

Sehubungan itu, beliau yang juga Mursyidul Am PAS berharap undang-undang untuk menghalang perbuatan itu terutama dalam kalangan ahli politik yang menang pada pilihan raya umum 8 Mac lepas, digubal segera.

“Memang melompat (parti) ni bukan kerja orang politik, kerja orang makan upah…  Bukan manusia (kalau) boleh dijual beli ni,” katanya kepada pemberita ketika menghadiri majlis kesyukuran Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Mohd Zaid Ibrahim di kediamannya di sini, pada hari Sabtu.

Nik Aziz berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Mohd Zaid yang menyarankan undangundang anti lompat parti digubal bagi mengelak perbuatan itu berlaku secara berleluasa.

Katanya, beliau sangat bersetuju dengan cadangan seumpama itu bagi mengelak wakil rakyat termasuk daripada PAS berhadapan dengan perkara seumpama itu.

Dalam perkembangan lain, Nik Aziz berharap pemimpin Barisan Nasoinal (BN) kembali bermuhasabah diri bagi melihat punca kekalahan yang dialami dalam pilihan raya umum lepas.

Dalam pilihan raya itu, PAS berjaya memenangi 26 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 45 kerusi yang dipertandingkan di Kelantan.

BN pula memenangi enam kerusi iaitu DUN Paloh dan Nenggiri di Gua Musang; Kuala Balah dan Bukit Bunga di Jeli; Kok Lanas di Parlimen Ketereh dan dan Pengkalan Kubor dalam Parlimen Tumpat selain dua kerusi Parlimen iaitu Gua Musang diwakili Tengku Razaleigh Hamzah serta Parlimen Jeli melalui Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Mustapa Mohamed. BERNAMA

 Jawatan menteri dan timbalan menteri menanti jika BN Sarawak setuju sertai pembangkang

KUCHING: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) mengesahkan ada cubaan untuk menawarkan anggota Parlimen dari parti itu menyertai pembangkang bagi tujuan membentuk kerajaan baru persekutuan dengan menjanjikan jawatan Menteri dan Timbalan Menteri jika bersetuju menerima tawaran itu.

Naib Presiden PBB Datuk Daud Abdul Rahman berkata anggota Parlimen itu yang merupakan muka baru dihubungi pemanggil misteri malam tadi yang membuat tawaran sedemikian dengan pemanggil itu mendakwa ramai wakil rakyat Barisan Nasional (BN) Sarawak telah bersetuju untuk menyertai parti pembangkang.

“Saya telah dihubungi ahli Parlimen tersebut pukul 11.30 malam tadi dan ahli Parlimen tersebut mendakwa pemanggil tersebut mahu menarik lebih ramai wakil rakyat BN Sarawak setelah mendakwa ramai wakil rakyat BN Sarawak menyatakan persetujuan (untuk menyertai pembangkang),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis perarakan sambutan Maulidur Rasul di Jalan Matang Jaya di sini pada hari Sabtu.

Enggan mendedahkan identiti anggota Parlimen tersebut, Daud yang juga Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan Pembangunan Industri) berkata, tawaran itu ditolak oleh anggota Parlimen itu.

“Ahli Parlimen tersebut tak dapat mengenal pasti identiti pemanggil kerana panggilan dibuat menggunakan “private line” yang tidak memaparkan nombor pemanggil itu,” katanya.

Daud yakin kesemua anggota Parlimen BN Sarawak tetap setia kepada BN memandangkan mereka memenangi kerusi Parlimen masing-masing menggunakan logo BN.

Setiausaha Agung BN dan Umno yang baru, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor baru-baru ini dilaporkan berkata BN akan menghantar kumpulan perisik ke seluruh negara untuk menyiasat cubaan pembangkang membeli anggota Parlimen parti komponennya bagi menjatuhkan kerajaan pusat.

Rabu lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata beliau sedar mengenai cubaan pakatan parti pembangkang untuk membeli anggota Parlimen BN dengan menawarkan wang berjuta ringgit dalam usaha menjatuhkan kerajaan.

Sementara itu Timbalan Menteri Sains,Teknologi dan Alam Sekitar Fadillah Yusof  yang juga anggota Parlimen Petra Jaya memberi jaminan akan tetap setia dengan PBB dan BN.

“Kita akan berjuang bersamasama BN sama ada susah atau senang,” katanya ketika diminta mengulas mengenai spekulasi tersebut sambil menambah tindakan sedemikian jika benar berlaku adalah perbuatan tidak bermaruah dan tidak bertanggungjawab.

Fadillah yang juga Ketua Pemuda PBB menganggap wakil BN yang ingin melompat ke parti pembangkang merendahkan integriti wakil rakyat BN dan boleh dilabelkan sebagai menjual maruah mereka.

Dalam pilihan raya umum 8 Mac lepas, BN Sarawak memenangi 30 daripada 31 kerusi Parlimen yang dipertandingkan dengan satu kerusi dimenangi DAP. BERNAMA

nota: budaya inilah yang cuba diterapkan oleh DSAI yang amat yakin bahawa beliau akan menjadi Perdana Menteri menjelang akhir tahun ini. sumber memberitahu bahawa dana dari amerika dan yayasan yahudi telah membantu jentera pembangkang pada pilihanraya yang lalu….

2 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Tolak Negara Islam

DSAI secara terang menolak idea negara ISLAM dalam ceramah beliau…. Inilah hakikat yang perlu diterima oleh semua pengundi beragama ISLAM yang telah mengundi parti atau barisan pimpinan beliau.

9 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda