Tag Archives: pulau pisang

Pulau Pisang milik mutlak Johor

JOHOR BAHRU 26 Mei – Kedaulatan dan hak milik kerajaan negeri Johor terhadap Pulau Pisang, yang terletak di luar perairan Pontian dan menempatkan sebuah rumah api yang diuruskan oleh Singapura, adalah jelas, kata Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman.

Menurutnya, kewujudan rumah api di pulau yang berkeluasan 178.4 hektar tersebut adalah menerusi perjanjian di antara Sultan Johor ketika itu, Sultan Ibrahim dan kerajaan Inggeris.

“Pulau Pisang itu berada di dalam daftar kerajaan dan ia adalah milik kerajaan negeri Johor. Keperluan rumah api itu adalah sekadar untuk laluan perkapalan, syarat itu hendaklah dipatuhi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis Ijtimak Huffaz Al-Quran Negeri Johor di sini, hari ini.

Beliau berkata, keluasan rumah api kendalian Singapura adalah kira-kira 0.4 hektar dan republik itu turut dibenarkan membina jeti serta laluan darat ke rumah api bagi kemudahan warganya.

Abdul Ghani mengulas gesaan Ahli Parlimen Pontian, Ahmad Maslan semalam, yang mencadangkan agar kerajaan merangka segera program pembangunan Pulau Pisang bagi menjamin status kedaulatan negara ke atas pulau itu berkekalan.

Pada masa yang sama, Ahmad turut meminta Kerajaan Malaysia mengkaji untuk mengambil alih pengurusan rumah api di pulau itu daripada Singapura.

Abdul Ghani menjelaskan, Singapura hanya dibenarkan mendirikan rumah api dan laluan hingga ke jeti membabitkan kawasan seluas kira-kira 0.8 hektar.

“Selebihnya adalah hak mutlak kerajaan Johor dan rakyatnya bebas mengunjunginya tanpa gangguan pihak Singapura,” katanya.

Abdul Ghani menambah, berdasarkan perjanjian antara Sultan Johor dan Inggeris, rumah api itu kekal di situ selagi terdapat kapal-kapal menggunakan perairan tersebut.

Menurutnya, Kerajaan Singapura menempatkan empat petugas rumah api sepenuh masa dan mereka ditukarkan secara bergilir-gilir setiap dua minggu.

“Sejak 2001 mereka dikehendaki melaporkan diri kepada Jabatan Imigresen, Kastam Diraja Malaysia dan Jabatan Laut di Kukup, Pontian setiap kali masuk dan keluar pulau itu,” katanya.

Mengulas lanjut, Abdul Ghani berkata, turut berada di bawah kedaulatan Johor ialah Pulau Tunda dan Pulau Sauh yang terletak berdekatan Pulau Pisang.

Beliau berkata, sebelum ini Pejabat Tanah Pontian telah memberikan kebenaran sementara kepada 82 penduduk Pontian untuk mengusahakan tanaman di pulau tersebut.

“Bagaimanapun, kebenaran ini ditarik balik, tetapi mereka boleh memungut hasil termasuk buah-buahan di pulau itu,” katanya.

Beliau berkata, walaupun dikelilingi batu dan pasir, pulau tersebut berpotensi untuk dibangunkan.

“Namun kita belum mempunyai cadangan konkrit untuk membangunkannya termasuk sebagai pusat pelancongan,” katanya.

1 Comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Jangan jadikan Pulau Pisang Seperti Pulau Batu Putih

Pulau Pisang, Johor

PONTIAN 25 Mei – Kerajaan perlu segera merangka program untuk membangunkan Pulau Pisang bagi menjamin status kedaulatan negara ke atas pulau tersebut berkekalan, selain memberi manfaat kepada masyarakat setempat.

Pada masa yang sama, Kerajaan Malaysia turut diminta mengkaji untuk mengambil alih pengurusan rumah api di pulau itu daripada Singapura.

Ahli Parlimen Pontian, Ahmad Maslan berkata, langkah itu penting kerana pulau tersebut mempunyai persamaan dari segi sejarah dengan Batu Putih.

Katanya, jika ia dibiarkan tanpa sebarang pembangunan sama ada oleh Kerajaan Persekutuan atau negeri, ia dibimbangi boleh membawa kepada satu lagi tuntutan bertindih.

“Ini kerana Pulau Pisang kini menempatkan rumah api yang diuruskan oleh pemerintah Singapura seperti mana yang mereka jalankan ke atas Batu Putih sejak sekian lama,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas merasmikan Mesyuarat Agung Perkumpulan Wanita (WI) Johor, di sini, semalam.

Oleh itu katanya, Kerajaan Pusat atau negeri perlu merangka pembangunan di Pulau Pisang sebagai mengambil iktibar daripada keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) terhadap Batu Putih yang kini menjadi milik republik itu.

“Cukuplah Singapura mempunyai hak ke atas Batu Putih dan menyerahkan sepenuhnya operasi rumah api di Pulau Pisang kepada Kerajaan Malaysia,” tegasnya.

Menurut beliau, Pulau Pisang yang mengandungi empat buah pulau kecil dengan keluasan 178.4 hektar jauh lebih besar daripada Batu Putih yang saiznya hanya 0.1 hektar.

“Mengambil pengalaman pahit orang Johor apabila Batu Putih menjadi milik mutlak Singapura, Pulau Pisang tidak sewajarnya menerima nasib yang sama apabila berlaku tuntutan pada suatu masa nanti.

“Justeru Kerajaan Pusat dan negeri perlu mencari jalan untuk membangunkannya supaya tiada lagi sebarang dakwaan mengenai pemilikannya pada masa depan,” katanya.

Tambah Ahmad, sebagai pulau yang terletak di kawasan Parlimen Pontian, banyak perkara yang boleh dilakukan supaya pulau tersebut ‘diaktifkan’ dan tidak hanya berfungsi sebagai rumah api seperti sekarang.

“Antaranya ialah pembinaan jeti yang dimiliki sepenuhnya oleh Malaysia bagi memudahkan pelawat mendarat pada waktu surut serta bekalan elektrik dan air bersih,” ujarnya.

Sekarang ini hanya terdapat satu jeti di pulau itu yang dikendalikan oleh pihak Singapura untuk tujuan pengurusan rumah api tersebut.

Selain itu kata Ahmad, Perbadanan Taman Negara Johor (PTNJ) boleh mencadangkan Pulau Pisang sebagai Taman Negara seperti Taman Negara Tanjung Piai dan Taman Negara Pulau Kukup.

Katanya, Pulau Pisang juga sesuai dijadikan tapak perkhemahan dengan syarat kemudahan awam seperti surau, tandas, bilik air dan sebagainya disediakan terlebih dahulu.

“Sebagai Ahli Parlimen, saya amat pedih apabila keputusan ICJ mengenai Batu Putih banyak mengkhususkan kepada pemilikan rumah api.

“Bagi mengelakkan perkara seperti itu tidak berulang lagi, Pulau Pisang sewajarnya tidak dibiarkan tanpa ada satu program pembangunan yang menguntungkan Malaysia dan negeri Johor,” jelasnya.

Tambahnya, beliau juga telah melawat Pulau Pisang baru-baru ini dan sebelum itu, Pegawai Daerah Pontian, Mislan Karmani pernah melawat pulau tersebut bersama-sama ketua-ketua jabatan peringkat daerah.

Katanya, segala aspek pembangunan yang dicadang akan dikaji supaya mesra alam dan kepada nelayan yang berteduh daripada cuaca buruk dan sebagainya.

Jelas beliau, Pulau Pisang juga boleh dijadikan destinasi pelancongan bagi Pontian dengan adanya aktiviti serta kegiatan yang ditawarkan kepada orang ramai.

“Tetapi yang penting ialah soal pemilikannya kepada Malaysia dan negeri Johor, walaupun rumah api itu diuruskan oleh Singapura disebabkan faktor sejarah lampau,” jelas Ahmad.

sumber utusan.

nota; Langkah membenarkan Singapura untuk menguruskan rumah api di Pulau Pisang ini boleh diibaratkan seperti menggali kubur sendiri. Ini kerana seperti Pulau Batu Putih, ICJ memutuskan hak Pulau Batu Putih kepada Singapura berdasarkan penggunaan dan pengurusan rumah api di Pulau Batu Putih. Rakyat Malaysia khususnya di Johor tidak mahu lagi berputih mata.  Diharap kerajaan dapat lakukan langkah segera supaya terjamin kedaulatan Pulau Pisang.

3 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda