Tag Archives: raja nazrin shah

Majlis angkat sumpah MB Perak dibatalkan

dari utusan 13/03/2008 5:37pm

IPOH 13 Mac – Majlis mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Perak oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas, Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin yang dijadualkan berlangsung di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar petang ini, dibatalkan.

Pembatalan itu dipercayai ekoran polemik pelantikan Menteri Besar Ke-10 tersebut yang semalam dibantah oleh salah satu parti pembangkang, DAP yang menjalin pakatan bersama Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk menghadapi pilihan raya umum Sabtu lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Panjang dari Pas, Ir. Mohamad Nizar Jamaluddin sepatutnya mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar pukul 4 petang ini di hadapan Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Seri Raja Mansor Raja Razman di Istana Iskandariah mengumumkan penangguhan istiadat angkat sumpah itu ke tarikh baru yang belum ditetapkan.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang semalam mengarahkan kesemua 18 wakil rakyat DAP di Perak tidak menghadiri istiadat mengangkat sumpah itu kerana tidak bersetuju dengan pemilihan wakil Pas sebagai Menteri Besar. Kit Siang hari ini memohon maaf atas kenyataan itu. Sementara itu, Istana Kinta dalam kenyataannya yang difakskan kepada Bernama memaklumkan bahawa penangguhan itu dibuat berdasarkan kepada perkembangan terkini yang menunjukkan DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas tidak mencapai kata sepakat yang ketara dalam penubuhan kerajaan campuran.

1 Comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda