Tag Archives: Samy Vellu

Kaum India diperalat oleh pembangkang: Samy

28-02-2008 07:08:37 PM LUMUT: Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu berpuas hati dengan sokongan padu pengundi India terhadap Barisan Nasional (BN) yang dapat dilihatnya semasa berkempen di kawasan yang diwakili calon MIC menjelang pilihan raya umum 8 Mac.

Beliau Khamis berkereta dari kawasan Parlimen Sungai Siput di mana beliau terbabit dalam pertandingan tiga penjuru, ke kerusi Dewan Undangan Negeri Pasir Panjang di Perak di mana wakil MIC Dr S. Vasan akan berdepan calon PAS Mohamad Nizar Jamaluddin.

Samy Vellu berkata sejak kempen pilihan raya umum ini bermula Ahad lepas, beliau telah melawat beberapa kawasan dan gembira dengan sokongan yang diberikan pengundi khususnya kaum India.

“Walaupun pembangkang cuba menganggu, kami berjaya bertemu dengan ribuan pengundi di semua tempat yang kami lawati,” katanya kepada pemberita semasa ditemui di satu lokasi di Pasir Panjang.

Mereka juga melahirkan kemarahan dan kekecewaan terhadap pembangkang yang mengelirukan kaum India dan memperalatkan mereka bagi kepentingan politik mereka, katanya.

Beliau berkata pembangkang telah menggunakan taktik menakut-nakutkan dalam kempen mereka dan ini telah menimbulkan kegemparan di kalangan masyarakat India.

Katanya pembangkang telah memperalatkan belia India untuk memperjuangkan politik mereka melalui kaedah melanggar undang-undang.

“Dengan memperalatkan belia ini, mereka memberikan gambaran tidak betul bahawa masyarakat India tidak menyokong BN,” katanya.

Samy Vellu berkata pembangkang menggunakan taktik kotor itu kerana terdesak untuk menafikan majoriti besar-besaran BN dalam pilihan raya ini.

“Mereka tahu mereka tiada apa untuk dibuktikan kepada rakyat. Apa yang mereka cuba lakukan ialah mewujudkan tanggapan bahawa BN dan MIC telah gagal memperjuangkan nasib kaum India,” katanya.

Beliau yakin “majoriti pengundi senyap” kaum India akan keluar beramai-ramai untuk menunaikan tanggungjawab mereka pada hari pengundian 8 Mac ini dengan memilih BN.

Samy Vellu berkata pengundi India tidak akan mengkhianati MIC yang telah memperjuangkan hak dan masa depan mereka di negara ini. “Inilah kebenarannya,” katanya. BERNAMA

nota: mutakhir ini kecoh akan hal dan masalah yang dihadapi oleh kaum India di Malaysia. Pihak2 tidak bertanggungjawab seperti HINDRAF dan tidak ketinggalan pihak pembangkang cuba menjadi HERO bagi masyarakat India di Malaysia. Umum tahu kemunculan HERO-HERO ini adalah bersifat sementara di mana janji ditabur tunai janji adalah kabur. Pendekatan melalui demonstrasi jalanan bagi menunjukkan ketidakpuashatian masyarakat India telah dimanipulasi oleh pembangkang di dalam usaha cuba meraih sokongan dari kaum India. Justeru itu, masyarakat India jangan terpengaruh dengan janji-janji kosong yang telah dibuat oleh pihak pembangkang kerana sudah terbukti dari dahulu lagi Barisan Nasional adalah hero dan penyelamat masyarakat India di Malaysia   .

Advertisement

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda