Tag Archives: Shahbery Cheek

Debat Bersejarah Antara Wakil Kerajaan dan Pembangkang

Ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan menteri penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek mengambil bahagian dalam perdebatan bersejarah mengenai kenaikan harga minyak yang disiarkan secara langsung malam ini.

Perdebatan tersebut yang bertajuk “Hari ini membentuk kerajaan, esok turun harga minyak” berlangsung di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di Kuala Lumpur.

Ia bermula jam 9 malam selama sejam.

Orang ramai menonton secara langsung perdebatan tersebut di internet melalu Global Media Channel dan BernamaTV – atau di saluran-saluran televisyen yang disiarkan oleh TV9, Astro Awani dan Bernama TV.

anwar ibrahim and ahmad shabery cheek debate 150708 02Perdebatan tersebut bermula dengan Anwar dan Shabery, masing-masing diberi masa empat minit sebagai pembuka bicara. Ia diikuti dengan soalan dari moderator Datuk Johan Jaaffar yang juga pengerusi DBP.

Kemudiannya dua ahli panel yang masing-masing mewakili Shabery dan Anwar bertanya soalan kepada kedua-duanyanya – editor Siasah, Zulkifli Sulong dan naib canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Datuk Nordin Kardi.

Anwar berkata kerajaan boleh menjimatkan sekurang-kurang RM2 bilion sekiranya ia mengurangkan tahap simpanan tenaga negara daripada 40 peratus sekarang kepada 20 peratus dan dimanfaatkan untuk menurun harga minyak bagi mengurangkan beban rakyat.

Dengan itu, katanya, kerajaan dapat mengurangkan bayaran yang tinggi kepada syarikat penjana kuasa bebas (IPP) dan mengelak Petronas dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) daripada terus menanggung kerugian.

Di samping itu, katanya, lebih banyak lagi dapat diselamatkan jika dapat dikurangkan kebocoran yang berlaku, termasuk RM700 juta akibat kebocoran dan penyelewengan dalam pembekalan diesel.

Menurutnya, kerajaan juga boleh memperuntukkan RM1 bilion daripada dividen khas sebanyak RM6 bilion yang dibayar oleh Petronas kepada kerajaan untuk mengurangkan kadar harga minyak.

Berdasarkan cadangan tersebut, katanya, harga petrol boleh diturunkan sebanyak 50 sen kepada RM2.20 seliter.

“Saya minta dengan baik dan ikhlas, betulkan ini, kita boleh jimat ini,” katanya.

Dalam ucapan pembukaannya, Anwar menegaskan melalui pengurusan ekonomi yang baik dan pembasmian rasuah, penjimatan kos membolehkan harga petrol dikurangkan sebanyak 50 sen, bagi meringan beban rakyat akibat kenaikan mendadak harga bahan bakar tersebut.

Menurutnya, pengurangan pembayaran kepada IPP serta keuntungan yang dicatatkan oleh Petronas yang hampir mencecah RM100 juta membolehkan kerajaan memperuntukkan RM3 bilion untuk diagihkan kepada rakyat melalui pengurangan harga minyak.

Shabery pula menjawab kerajaan terpaksa membayar subsidi sebanyak RM50 bilion jika ia mengekalkan harga minyak pada kadar RM1.92 seliter dan akan menjejaskan peruntukan untuk pembangunan yang lain.

Lagi pula, tambahnya, harga minyak dipengaruhi oleh faktor global. Beliau mengimbau krisis global pada 1973-74 ketika rakyat menyokong tindakan Tun Razak Hussein menubuhkan Petronas, tetapi mendakwa Anwar membantahnya, seperti yang dilakukannya sekarang.

Menurut Shabery lagi, jika subsidi ditingkatkan, ia akan menguntung orang berada dan juga rakyat asing. Oleh itu, katanya, mengapa tidak wang disalurkan terus kepada rakyat yang memerlukannya.

anwar ibrahim and ahmad shabery cheek debate 150708 05Menurutnya lagi, Finland dan Norway sebagai contoh, tidak memberi subsidi dan mempunyai prestasi ekonomi yang baik.

Anwar bagaimanapun berkata, negara ini tidak boleh dibandingkan dengan Norway yang mempunyai 10 kali ganda pendapatan perkapita daripada Malaysia.

Menurutnya, kenaikan mendadak harga minyak telah membebankan golongan miskin dan terpinggir dan meningkatkan lagi beban hidup mereka.

Tambahnya, Petronas mengaut keuntungan besar dan menduduki kumpulan 10 syarikat minyak tertinggi dari segi keuntungannya.

Bagaimanapun, katanya, Petronas adalah hak rakyat dan pengurangan 50 sen harga petrol adalah langkah pertama ke arah itu. Malah, katanya, kenaikan harga minyak tidak disokong oleh rakyat, kecuali ahli-ahli parlimen BN sahaja.

Shabery kemudiannya menarik perhatian hadirin ke negara Venezuela dan Iran, yang mempunyai harga minyak yang murah tetapi kadar inflasi yang tinggi.

Tetapi di Malaysia, katanya, kerajaan berjaya menangani krisis makanan, malah menurutnya harga beras di negara ini lebih murah dari di Thailand. Jadi, katanya, tidak perlu mengadakan demonstrasi di jalan – merujuk tindakan pembangkang membantah kenaikan harga minyak.

Anwar pula menegaskan bahawa bagi setiap AS$1 kenaikan harga minyak dunia, Malaysia memperolehi RM360 juta. Dan kenaikan kadar inflasi yang tinggi akan memburukkan ekonomi negara.

Shabery kemudiannya membangkitkan bahawa IPP wujud ketika Anwar dalam kerajaan, dan mendakwa bekas menteri kewangan itu mempertahankan kontrak mereka ketika itu.

Malah, katanya, Anwar menggunakan kaedah Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) untuk cuba menangani krisis pada 1997-98. Tambahnya, walaupun rakyat dalam kesukaran, tetapi mereka masih cukup untuk makan.

Anwar pula bertanya mengapa kerajaan memungkiri janji pilihanraya untuk tidak menaikkan harga minyak. Sebaliknya, kata beliau, kita harus melihat Malaysia sebagai sebuah negara pengeksport minyak.

Shabery kemudiannya menegaskan bahawa Malaysia bukan sebuah negara utama pengeluar minyak dan menurutnya hanya 26 peratus keuntungan Petronas datangnya dari sumber tempatan dan syarikat minyak negara itu menggunakan keuntungannya untuk mencari minyak di luar negara. Dan Petronas kini muncul sebagai sebuah syarikat minyak terkemuka.

Anwar mengakui bahawa IPP diwujudkan ketika beliau dalam kerajaan, tetapi meminta Shabery meneliti rekod mengenai perkara itu.

Beliau berkata, Tan Sri Ani Arope (pengerusi TNB ketika itu) membantah terhadap EPU (Unit Perancang Ekonomi) dan Jabatan Perdana Menteri (JPM) berhubung IPP.

Dan sebab itulah beliau meletakkan jawatan, jelas Anwar.

Menurutnya, IPP mengaut keuntungan berbilion ringgit tetapi Petronas dan TNB menanggung kerugian.

Katanya, kebocoran dan kronisme boleh ditangani dan menjimatkan sejumlah RM3 bilion. Malah, kata Anwar lagi, tindakan menaikkan secara mendadak harga minyak sekarang adalah preskripsi IMF.

Oleh itu, katanya, adalah satu fitnah untuk mengatakan bahawa beliau tunduk kepada kehendak IMF sewaktu krisis ekonomi pada 1997-98.

Anwar berkata, terdapat dividen khas sebanyak RM6 bilion yang dibayar kepada kerajaan tahun ini, dan mengapa tidak boleh diambil RM1 bilion untuk mengurangkan harga minyak. – malaysiakini

nota. Tahniah diucapkan kepada YB Datuk Shahbery Cheek dan juga Datuk Seri Anwar Ibrahim. Tidak lupa juga sekalung tahniah kepada Moderator Datuk Johan Jaafar serta penganjur Agendadaily.com. Di dada internet hari ini banyak mempersoalkan siapa menang dan siapa kalah pada debat malam tadi. Pada penulis tiada pemenang mutlak pada debat khas malam ini. Ini kerana masing-masing ada kekuatan dan kelemahan sendiri. Keberanian YB Datuk Shahbery Cheek untuk muncul sebagai wakil kerajaan di dalam debat khas semalam berdepan dengan Mantan TPM,Menteri Kewangan dan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim harus dipuji. Tahniah juga kepada Datuk Seri Anwar yang berani untuk berdebat walaupun sedang dihimpit dengan isu-isu politik disekeliling beliau. Bagi penulis program debat seperti ini wajar diteruskan kerana ia secara tidak langsung dapat membentuk satu sinergi di dalam arena politik tanahair kita seterusnya hasil debat ini dapat diolah oleh pihak berkenaan demi kepentingan rakyat. Tidak mustahil ada hujah2 dari DSAI yang boleh diterimapakai untuk mengurangkan beban rakyat. Walaubagaimanapun, setiap langkah yang diambil ada baikburuknya. Cuma persoalan yang bagi penulis gagal diutarakan oleh wakil pihak pendebat ialah “adakah dengan penurunan harga minyak sebanyak 50sen, ia dapat mengurangkan kembali kenaikan harga barang dan seterusnya mengimbangi kadar inflasi Malaysia?”.

Angka 50sen itu juga menggerakkan fikiran penulis utk berfikir sejenak….adakah penurunan 50sen yang dicadangkan itu diambilkira pada harga minyak runcit sekarang ataupun penuruan 50sen itu berdasarkan harga minyak sebelum pilihanraya iaitu pada RM1.92 seliter. Sekiranya penurunan 50sen berdasarkan harga semasa iaitu RM2.70, ini bermakna janji DSAI untuk menurunkan harga minyak semasa pilihanraya yang lepas merupakan satu janji kosong kepada rakyat. Sepatutnya jika dilihat dengan harga semasa RM2.7 dengan kadar 50sen yang dihanjikan sebelum pilihanraya, kadar penurunan yang sepatutnya dijanjikan oleh DSAI bukan 50sen tetapi RM1.28 seliter iaitu harga minyak sekiranya Pakatan Rakyat memerintah sepatutnya berada pada RM1.42 seliter dan bukan RM2.20.

19 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Syabas dan Tahniah Kepada RTM

Penulis ingin merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada RTM kerana berjaya menyiarkan debat khas isu kenaikan harga minyak sebentar tadi. Diharap pada masa hadapan, debat seperti ini dapat disiarkan dalam tempoh masa yang lebih lama sedikit. Apa-apapun terima kasih kepada YB Salahuddin Ayob yang menyuarakan suara dan persoalan dari 26juta rakyat(tidak pasti sama ada anak-anak kecil juga mempersoalkan tindakan kerajaan menaikkan harga minyak) dan terima kasih kepada YB Datuk Shahrir Samad atas penjelasan yang disampaikan. Kepada moderator debat dan tetamu wartawan diucapkan terima kasih juga. Walaupun tempoh agak singkat diberikan kepada debat khas ini, sedikit persoalan rakyat terjawab juga walaupun ada pihak berpendapat bahawa penerangan yang diberikan tidak sampai kepada fikiran ramai. Diharap YB Menteri Penerangan dapat memberi kelonggaran supaya rancangan seperti debat khas ini dapat disiarkan lebih masa dari tempoh 1 jam.

Bagi penulis isu sama ada keutamaan patut diberikan kepada subsidi minyak atau keperluan makanan rakyat Malaysia merupakan faktor utama kenaikan harga minyak sebanyak 78sen tempohari. Penulis merasakan keutamaan perlu diberikan kepada keperluan makanan rakyat dan bukannya pada subsidi minyak. Tidak dinafikan bahawa kenaikan harga minyak ini mendorong kepada kenaikan bahan makanan di Malaysia, tetapi apa yang penting di sini ialah cukupnya bekalan makanan utk dibekalkan kepada rakyat Malaysia.

YB menteri juga bersetuju bahawa keputusan kenaikan minyak bukanlah sesuatu keputusan yang popular tetapi ia ada satu keputusan yang perlu dilakukan demi menjamin kesejahteraan generasi muda pada masa hadapan. Diharap rakyat malaysia tidak muda terpedaya dengan kenyataan popular Anwar Ibrahim yang mengatakan bahawa dia akan menurunkan harga minyak sekiranya Pakatan Rakyat memerintah negara. Ia merupakan salah satu tindakan untuk meraih populariti demi tamakkan kuasa. Kerajaan hari ini boleh sekiranya ingin meraih populariti rakyat dengan menurunkan harga minyak sewenang-wenangnya. Persoalannya ialah mengapa kerajaan tidak mengambil keputusan berkenaan?? Ada pendapat bahawa keputusan kerajaan menaikkan harga minyak merosakkan lagi Barisan Nasional seterusnya UMNO. Penulis memberi tanggapan sebaliknya. Kini sudah tiba masanya untuk kerajaan mengambil langkah telus tanpa mengira populariti terhadap keputusan yang diambil. Bak kata pujangga, lakukanlah kebenaran walaupun tindakan itu bakal menikam diri sendiri.

Biarlah rating populariti UMNO dan Barisan Nasional menurun, asalkan generasi muda kita tidak dihimpit kesusahan bila tiba masa mereka menjadi pemerintah. Janganlah kita hanya memandang kepada kesenangan jangka pendek apabila pada tempoh yang panjang negara kita menjadi miskin. Sudah banyak negara yang menderita akibat memberi sering memberi kesenangan kepada rakyatnya pada hari ini tanpa memikirkan generasi akan datang.

38 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda