Tag Archives: sumpah laknat

Dua perkara Orang Melayu tak berani buat

dari mstar

Orang Melayu tidak akan sewenang-wenang melakukan dua perbuatan dalam hidupnya iaitu memakan daging khinzir dan bersumpah dengan nama Allah S.W.T melibatkan perkara yang berat.

“Kalau berani junjunglah Al-Quran,” atau “aku berani junjung Al-Quran” adalah ungkapan biasa dilafazkan apabila orang Melayu mencabar kawan atau lawan menegakkan sesuatu dakwaan atau apabila seseorang hendak membuktikan dakwaannya benar.

Lazimnya yang dicabar bersumpah atau yang mendakwa berani bersumpah tidak melakukannya kerana takut balasan daripada Allah.

Bilakah kali terakhir kita terdengar atau menyaksikan manamana orang Melayu bersumpah “Wallahi, Wabillahi, Watallahi” secara rasmi atau pada suatu upacara kerana hendak membuktikan sesuatu dakwaan?.

Lebih-lebih lagi bersumpah laknat atau mubahalah iaitu dengan menyebut “jika aku berdusta tuhan akan melaknat aku”.

Inilah karektor Melayu Islam yang unik berbanding dengan orang Islam dari rantau lain bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di seluruh kepulauan Melayu.

Oleh demikian jarang berlaku orang Islam bersumpah secara rasmi kecuali pada 1960an apabila presiden PAS dan Menteri Besar Kelantan ketika itu Allahyarham Datuk Mohd Asri Muda dan perdana menteri pertama Almarhum Tunku Abdul Rahman melafazkan sumpah mengikut Islam berhubung suatu tuduhan Tunku terhadap Asri.

Menurut veteran Umno dan juga Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang, Datuk Mohd Yusof Latiff, Tunku mendakwa Asri ada menerima bantuan kewangan dari negara luar untuk menjatuhkan kerajaan.

“Asri menafikan dakwaan itu dan mencabar Tunku bersumpah di dalam masjid bagi membuktikan kebenaran,” katanya sambil menambah Tunku menyahut cabaran dan bersumpah di Masjid Zahir, Alor Star, Kedah dan disaksikan oleh wakil PAS, Allahyarham Yusof Rawa.

Sementara Asri pula turut bersumpah menafikan tuduhan itu di sebuah masjid di Kota Baharu, Kelantan dan disaksikan oleh wakil Umno Tengku Razaleigh Hamzah.

Dalam konteks dan latar belakang sosiobudaya inilah kita menyaksikan seorang pemuda berusia 23 tahun, Mohd Saiful Bukhari Azlan, bekas pembantu Datuk Seri Anwar Ibrahim, melakukan sumpah mengikut Islam di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta Kuala Lumpur pada 15 Ogos lepas untuk menegakkan dakwaan yang dirinya diliwat bekas majikannya itu.

Oleh kerana sumpah dianggap perkara besar dan bukan sesuatu untuk dipermainkan pada pandangan orang Melayu, Mohd Saiful dilaporkan berkata beliau memberanikan diri untuk bersumpah bagi membuktikan kebenaran di pihaknya.

Bagi sesetengah pihak terutama penyokong Anwar, tindakan Mohd Saiful dikatakan bermotif politik untuk menjejaskan peluang Anwar calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada pilihan raya kecil kawasan Parlimen Permatang Pauh 26 Ogos ini.

Mohd Saiful berkata tindakannya tiada motif politik dan beliau membuat keputusan untuk bersumpah kerana mahu membuktikan beliau bercakap yang benar.

Anwar bertanding menentang calon Barisan Nasional (BN) Datuk Arif Shah Omar Shah dan seorang lagi calon dari Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim) Hanafi Mamat selepas kerusi Parlimen itu yang dikosongkan oleh isteri Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail.

Negara kemudian turut menyaksikan menerusi televisyen Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pula melakukannya pada Jumaat lepas.

Najib selepas solat Isya’ di Masjid Guar Perahu, Permatang Pauh bersumpah menafikan tuduhan musuh politiknya bahawa beliau dan isterinya terbabit dalam pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Ulama-ulama telah memberikan pelbagai pandangan mengenai tindakan Saiful bersumpah termasuk tentang kaedah dan tempat.

Bagaimanapun bekas pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan Datuk Dr Ismail Ibrahim berkata apabila seorang Islam bersumpah, ia adalah antaranya dengan Allah dan syarat pokoknya ialah menyebut nama Allah.

Beliau berkata perbezaan pendapat ulamaulama tentang kaedah sumpah adalah perkara biasa tetapi ia tidak harus menjurus kepada pertikaian kerana bersumpah adalah antara hamba dan penciptanya.

nota: memang ada kebenaran tentang dua perkara di atas. penulis percaya pegangan kepada ajaran Islam oleh orang Melayu di Malaysia masih kuat dan tebal. ingatlah bahawa hukum Allah lebih adil dan berkuasa.

5 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda