Tag Archives: sumpah saiful bukhari azlan

Imam naik pentas PKR, dakwa diarah hadir sumpah Saiful

Seorang imam Masjid Wilayah Persekutuan yang menyaksikan acara bersumpah laknat Mohd Saiful Bukhari Azlan hari ini mencipta kegemparan apabila berucap di atas pentas PKR dalam pilihanraya kecil Permatang Pauh.

Ramlang Porigi  menjelaskan beliau telah diarahkan hadir di majlis sumpah pemuda itu pada 15 Ogos lalu, yang mendakwa diliwat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, calon PKR di kawasan parlimen itu.

Seperti penjelasannya kepada Malaysiakini Khamis lalu, Ramlang yang juga seorang ahli Umno di bahagian Bukit Mertajam bagaimanapun tidak menyatakan lebih lanjut pihak yang mengarahkannya berbuat demikian.

Imam itu juga meminta beliau tidak dikaitkan dengan majlis sumpah Mohd Saiful  kerana hadir tanpa perancangan awal dan hanya kebetulan berada di masjid untuk urusan pernikahan.

Ramlang muncul lebih kurang 10 minit di satu ceramah besar anjuran PKR di Padang Ibu di Penanti menjelang jam 11.30 malam ini.

Beliau tiba di majlis kempen pembangkang itu ketika pesuruhjaya PAS Pahang, Tuan Ibrahim Tuan Man sedang menyampaikan ceramahnya.
Tuan Man, bekas wakil rakyat Jengka, memberikan laluan kepada Ramlang sebelum menyambung semula ceramahnya.

Beberapa ribu penyokong pembangkang dan pengundi Permatang Pauh hadir.

Sebelum itu Ramlang, yang diiring dengan kawalan ketat oleh 10 lelaki, menyampaikan penjelasannya yang sama di satu majlis ceramah PKR di Kampung Belah Dua dalam kawasan parlimen itu.

Kira-kira 1,000 pendengar hadir di program itu.

Selain Ramlang, pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Datuk Che Mat Che Ali dan bapa Mohd Saiful berada di masjid itu di Jalan Duta, Kuala Lumpur.

Latar belakang Ramlang menjadi bahan tohmahan dan perbincangan di internet sejak beberapa hari lalu, antaranya mendedahkan bahawa beliau adalah seorang ahli Umno dan pengundi di parlimen Permatang Pauh.

Emel tersebut juga mengandungi dua lampiran yang menyebut bahawa Ramlang menganggotai Umno cawangan Seri Machang, dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Machang Bubuk.

Turut dilampirkan ialah maklumat mengenai pendaftarannya sebagai pengundi parlimen Permatang Pauh – pilihanraya kecil kerusi ini akan diadakan 26 Ogos.

Sewaktu bercakap kepada Malaysiakini, Ramlang mengesahkan bahawa beliau seorang daripada lebih 58,000 pengundi di situ.

Ketika ditanya mengenai keanggotaannya dalam Umno, Ramlang berkata: “Saya pernah mendaftar sebagai ahli pada 2003, atas sebab-sebab tertentu”.

Beliau enggan mengulas lanjut apabila ditanya maksudnya “atas sebab-sebab tertentu”.

Bagaimanapun, Ramlang berkata, beliau bukan seorang ahli aktif dan tidak memegang apa-apa jawatan dalam Umno di sebarang peringkat.

Mengulas lanjut mengenai majlis bersumpah Mohd Saiful, Ramlang berkata, beliau bukannya menjadi saksi sumpah Saiful.

“Apabila kebetulan Saiful tersalah sebut lafaz sumpahnya, oleh kerana saya berada di situ, jadi saya tegurlah,” katanya.

Oleh itu, jelasnya, beliau tidak ada sebarang kaitan dengan sumpah Saiful, yang diadakan sehari sebelum penamaan calon pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh.

Anwar adalah antara tiga calon yang bertanding dalam pilihanraya tersebut.

Dua lagi adalah calon Barisan Nasional (BN), Datuk Arif Shah Omar Shah dan Hanafi Hamat dari Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim).

Ramlang bertugas sebagai seorang daripada sembilan imam di masjid tersergam indah itu sejak Jun 2005. – malaysiakini

29 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Pendapat mengenai sumpah Saiful

Banyak pendapat diutarakan oleh pembaca selepas Saiful Bukhari Azlan membuat pengakuan bersumpah Al Quran terhadap kes liwat beliau. Ada pihak yang mengatakan ia adalah lakonan dan konspirasi semata-mata. Ada pihak juga yang tidak menafikan kebenaran pengakuan bersumpah ini. Bagi DSAI ia adalah pengakuan akibat paksaan dari pihak berkuasa. Persoalan sekarang siapa lebih berkuasa?? DSAI, pihak berkuasa atau Allah SWT?

Penulis percaya tidak ada orang yang waras dan matang fikiran sanggup dilaknati oleh Allah seluruh kaum kerabatnya hanya demi mengejar wang ringgit dan bertujuan untuk menjatuhkan kareer politik seseorang.

Penulis percaya hukum Allah SWT sahaja yang paling mutlak kebenarannya. Justeru, penulis meminta para pembaca tidak membuat andaian sendiri dengan mengatakan bahawa sumpah ini bermotifkan politik dan rekaan semata-mata.

57 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda