Tag Archives: Tan Sri Gani Patail.

Anwar dedah bukti baru kes Altantuya, Najib nafi temui wanita Mongolia

PETALING JAYA: Pada sidang akhbar hari ini – yang ketiga selepas dakwaan meliwat yang terbaru didedahkan Sabtu lalu, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, polis telah menggugurkan maklumat penting tentang hubungan antara Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak dan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu, yang pernah diberikan oleh bekas penyiasat peribadi Abdul Razak Baginda, P. Balasubramaniam dua tahun lalu.

Bagaimanapun Najib yang ditemui di bangunan Parlimen lewat petang ini sekali lagi menafikan beliau mengenai Altantuya, sebaliknya menegaska tidak pernah menemui wanita Mongolia itu.

Najib juga berkata, akaun bersumpah yang dikeluarkan bertujuan mengalih tumpuan daripada dakwaan kes meliwat dihadapi Anwar sekarang.
Balasubramaniam merupakan salah seorang saksi kes pembunuhan Altantuya yang kini telah masuk peringkat penghujahan pendakwaan.

Ia merupakan akuan bersumpah kedua melibatkan nama Timbalan Perdana Menteri dan keluarganya dikeluarkan.

Dua minggu lalu, penulis blog Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin mengeluarkan akuan bersumpah yang mengaitkan isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor dengan kes pembunuhan Altantuya.

Najib telah pun menyifatkan ia sebagai satu penipuan yang bertujuan mencemarkan imej politik beliau.

Ketika mengumumkan kandungan akuan bersumpah Balasubramaniam di sini pagi ini, Anwar yang juga Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, Balasubramaniam pernah memberikan maklumat berkenaan kepada polis, tetapi ia tidak dibawa ke mahkamah semasa perbicaraan.

“Hari ini kita menyaksikan satu lagi episod petang yang konsisten mengenai penyalahgunaan kuasa dan manipulasi sistem kehakiman jenayah,” kata beliau pada sidang akhbar di sini sambil menambah, “perkara ini adalah kaedah yang sama iaitu memanipulasi maklumat dan tidak direkodkan seperti yang berlaku dalam kes saya tahun 1998.”

Balasubramaniam dan peguamnya, Americk Singh Sindhu juga hadir pada sidang media itu.

Anwar mengadakan sidang akhbar pertama selepas berhadapan dengan isu dakwaan meliwat pada Isnin lalu sejurus ketika keluar dari berlindung di rumah Duta Turki di Kuala Lumpur.

Sidang akhbar susulan diadakan kelmarin selepas membuat laporan polis terhadap Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan Peguam Negara, Tan Sri Gani Patail.

Sabtu lalu pembantu khas Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan, 23, membuat laporan polis mendakwa beliau diliwat oleh bekas timbalan perdana menteri itu di sebuah apartmen mewah di Damansara Heights di sini pada 26 Jun lalu.

Bagaimanapun Anwar menafikan dakwaan itu dan berkata ia adalah konspirasi untuk menjatuhkan karier politiknya.

Khidmat Balasubramaniam telah digunakan oleh Razak Baginda untuk menangani dakwaan gangguan berterusan daripada Altantuya.

Kata Anwar, “hari ini beliau mengeluarkan akuan bersumpah bertarikh 1 Julai 2008 kepada umum dengan memperincikan cerita yang beliau mengetengahkan dan apa yang sebenarnya berlaku dan apa yang diperkatakan oleh beberapa personaliti dalam saga ini termasuk Abdul Razak Baginda dan Altantuya.”

Antara lain akuan bersumpah itu menyebut bahawa Altantuya telah diperkenalkan kepada Razak Baginda, yang ketika itu Pengarah Eksekutif Pusat Kajian Strategik Malaysia (MRSC), oleh Najib pada pameran berlian di Singapura dan ketiga-tiga mereka pernah ditemui semasa makan malam di Paris.

Selain itu, Altantuya juga telah dijanjikan komisyen AS$500,000 atas khidmat sokongannya dalam urusan pembelian kapal selam di Paris.

Kata Anwar lagi, kenyataan Balasubramaniam juga mendedahkan tahap hubungan antara Altantuya dan Najib yang beliau pernah menafikan sebelum ini.

“Bukti Balasubramaniam ini mendedahkan apa yang kami perkatakan sekian lama; tiada penyiasatan teratur berhubung kes Altantuya,” katanya lagi.

Kata Anwar, dakwaan-dakwaan itu memerlukan penubuhan sebuah surahanjaya diraja untuk menjalankan siasatan.

Setakat ini kes pembunuhan Altantuya telah berlangsung selama 124 hari.

Mulai 23 Julai ini, mahkamah akan mendengar lima hujahan dalam perbicaraan setelah Timbalan Pendakwa Raya, Tun Abdul Majid Tun Hamzah menutup prosiding pada peringkat kes pendakwaan yang masuk hari ke-124 pada 23 Jun lalu.

Dalam akuan bersumpah setebal 16 muka surat itu, Balasubramaniam meminta pihak berkuasa membuka semula siasatan kes pembunuhan Altantuya.

Kata Balasubramaniam, terdapat kemungkinan yang kuat ada tiga lagi individu memainkan peranan penting selain tiga tertuduh yang sedang menghadapi kes tersebut. – mstar

nota: tahniah kepada DSAI yang pada hemat penulis berjaya mengalih tumpuan ramai dari kes liwat beliau ke kes pembunuhan mendiang altantunya. Perancangan yang rapi jelas telah dilakukan di ‘camp’ DSAI. Bermula dengan pengakuan bersumpah Raja Petra dua minggu lepas, DSAI sudah menghidu bahawa “sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya akan jatuh ke bumi juga” -merujuk kepada kes liwat saiful azlan. Perang terhadap Dato Sri Najib kini jelas sudah dirancang lebih awal dan kini di tahap ‘all-out’ dan secara ‘do-or-die’. Penulis amat hairan kenapa selepas kes liwat ini dihebohkan mulalah berbagai ‘peluru’ ditembak kepada Dato Sri Najib. Penulis bukanlah penyokong fanatik Dato Sri Najib, tetapi penulis amat meluat dengan tindakan DSAI yang cuba mengalih tumpuan ramai dan seterusnya menggunakan individu seperti Raja Petra dan Balasubramaniam menjadi ‘askar bawahan’ beliau dengan mengunakan pengakuan bersumpah di dalam membunuh kareer politik Dato Sri Najib. Perkataan ‘membunuh kareer politik’ ini juga adalah perkataan yang mula-mula disebut oleh DSAI sebaik sahaja laporan polis dibuat terhadap kes liwat. Pokoknya kenapa sekarang semua peluru ditembak keluar?? kenapa selepas dato Sri Najib dinamakan sebagai successor Pak Lah semua tuduhan/pengakuan dibuat?

Pada penulis dalam soal kes liwat dan kes mendiang altantunya, siasatan dan prosiding mahkamah masih dijalankan. Penulis menyeru semua pembaca tak kira dari UMNO, PAS, PKR atau yang berdiri di atas pagar agar membuka minda dengan mendengar bagi kedua-dua belah pihak. Doalah kepada Allah SWT supaya keadilan akan terbukti demi menyelamatkan Malaysia khususnya orang Melayu Islam yang kini yang bercakaran sesama sendiri. Pada penulis kepentingan majoriti harus dijaga terlebih dahulu sebelum kepentingan peribadi.

38 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda