Tag Archives: Tengku Razaleigh

Pak Lah Silap Langkah – Ku Li

dari mstar

KOTA BAHARU: Ketua Umno Bahagian Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah menyifatkan langkah Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan pelan peralihan kuasa pada pertengahan 2010 dan bertanding sebagai Presiden UMNO merupakan satu langkah yang silap.

Kata Razaleigh, jawatan Presiden UMNO itu ditentukan oleh ahli UMNO dari peringkat akar umbi dan tidak wajar bagi Abdullah untuk serahkan kuasa kepada sesiapa pun.

“Banyak pihak tidak menyedari bahawa Perdana Menteri perlu mendapatkan restu pelbagai pihak terutamanya dari Yang di-Pertuan Agong,” katanya kepada pemberita selepas pertemuan dengan ketua-ketua cawangan UMNO di jajahan Bachok di sini Khamis malam.

Beliau berkata, selama ini Abdullah merupakan “caretaker” (penjaga) kepada UMNO kerana pemilihan parti itu sepatutnya berlaku tahun lepas namun ia ditunda berikutan pilihan raya umum ke-12.

Tengku Razaleigh, Ahli Parlimen Gua Musang berkata, keputusan Abdullah itu tidak akan mengubah pendirian beliau untuk bertanding bagi jawatan presiden pada pemilihan parti yang dijangka Disember ini.

Beliau merupakan antara mereka yang mahukan perubahan kepimpinan parti sejak pilihan raya umum lalu dan menawarkan diri untuk bertanding kerusi Presiden kali ini.

nota: ramai juga berpendapat bahawa tempoh peralihan kuasa dua tahun ini adalah terlalu lama. sesetengah pihak merasakan bahawa peralihan kuasa perlu dilakukan dengan segera yakni pada pemilihan UMNO yang akan datang. walaupun terdapat banyak pandangan dan pendapat mengenai tempoh peralihan kuasa ini dan peranan YDP Agong di dalam soal perlantikan Perdana Menteri, penulis percaya Pak Lah dan Najib ada pendapat tersendiri mengenai peralihan kuasa ini.

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Ku Li cakap tidak logik

Itu kata Tengku Razaleigh Hamzah pada Agendadaily bagi mengulas dakwaan Datuk Seri Anwar Ibrahim beliau mampu turunkan harga minyak esoknya sebaik saja Pakatan Rakyat berkuasa.Pengasas Petronas itu kata ia kenyataan populis.Beliau hairan bagaimana nak turunkan harga minyak sedangkan harga minyak dunia terus meningkat.Menurut Ku Li negara boleh bangkrap jika nak buat macam Anwar kata tu

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Lantang tak bermakna keluar BN – SAPP

sumber agendadaily

Dakwaan bahawa ada parti komponen Barisan Nasional (BN) dari Sabah akan keluar meninggalkan gagasan tersebut yang menjurus kepada Parti Maju Sabah (SAPP) dinafikan oleh orang nombor dua parti tersebut dan menyifatkan ia hanya spekulasi, Datuk Raymond Tan.

Katanya, beliau tidak faham kenapa tumpuan diberikan SAPP apabila adanya dakwaan tersebut sedangkan parti itu tidak pernah membincangkan sebarang langkah untuk keluar dariapda menjadi komponen BN.

Malah, beliau berkata, kelantangan parti itu menyuarakan beberapa isu kemungkinan telah menyebabkan timbulnya salah faham bahawa mereka akan meninggalkan BN.

“Bersuara lantang dan kritikal tidak bermaksud kami akan meninggalkan BN. Memang ada perkara yang kami tidak puashati macam orang lain juga tapi itu tidak bermaksud kami akan keluar BN. Malah Sepanjang pengetahuan saya dan juga dalam komunikasi dengan Presiden, Datuk Yong Teck Lee, kami tidak pernah membuat keputusan untuk meninggalkan BN dan jika mereka menimbulkan spekulasi itu sebab nak suruh kami menutup mulut, mereka silap kerana kami akan terus bersuara.

“Tumpuan kami ialah beberapa isu semasa yang penting tapi keluar daripada BN bukan satu daripadanya,” katanya selepas perasmian Persidangan Ketua Pegawai Eksekutif Antarabangsa (ICC) 2008 Kedua di Sutera Harbour Resort di Kota Kinabalu hari Isnin.

Hari Jumaat, Ahli Parlimen Gua Musang, Tan Sri Razaleigh hamzah mendakwa ada sebuah parti komponan BN akan meninggalkan gabungan itu akhir bulan ini. Malah pada hari Ahad, beliau dilaporkan berkata, parti berkenaan adalah dari Sabah tetapi enggan mendedahkan nama parti berkenaan.

Menurut Raymond yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, tindakan itu tidak pernah dibincang walaupun SAPP kerap menyuarakan ketidakpuasan hati berhubung pelbagai perkara kepada kerajaan.

“Kami sedar ramai yang menuding jari kepada SAPP tapi itu semua spekulasi, malah saya tidak faham mengapa akhbar menamakan SAPP sebagai tajuk utama berita hari ini,” ujar beliau. – 16/6/2008

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Peralihan kuasa sebahagian Pelan Pemulihan Politik UMNO

Pelan Peralihan Kuasa yang disebut-sebut sebagai salah satu isu utama dalam UMNO difahamkan turut menjadi salah satu perkara yang dibincangkan oleh Majlis Tertinggi (MT) UMNO pada ‘perkampungan’ MT yang berlangsung bermula hari Khamis hingga Jumaat.

Menurut sumber daripada kalangan Ahli MT memberitahu Agendadaily, soal peralihan kuasa perlu ditangani dan diselesaikan kerana ia merupakan isu yang menjadi tumpuan di kalangan ahli-ahli UMNO dan juga rakyat umum keseluruhannya.

“Ia bukan soal mendesak sesiapa meletakkan jawatan tetapi dalam usaha pemulihan politik UMNO, perkara ini sebahagian daripada perkara yang perlu dibahaskan secara terbuka dan diselesaikan,” katanya.

Sumber berkenaan menyatakan demikian di sela-sela bengkel perbincangan Pelan Pemulihan Politik UMNO berhenti rehat tengahari Khamis.

Menurut sumber tersebut, selain soal peralihan kuasa, perbincangan turut menyentuh mengenai perkara-perkara yang termaktub di dalam Perlembagaan UMNO yang perlu dilaksanakan kerana selama ini ia tidak diberi perhatian.

Sebagai contoh kata sumber itu, dalam senario politik sekarang sudah ada pandangan sama ada di kalangan orang Melayu mahupun rakyat umum bercakap tidak perlunya keistimewaan diberikan kepada orang Melayu dan mahukan kesamarataan diberikan kepada semua kaum.

“Pandangan ini adalah hasil persepsi yang UMNO hanya pentingkan orang Melayu dan seolah-olah nafikan hak kaum lain. Sedangkan hakikatnya, dalam Perlembagaan UMNO termaktub UMNO juga menjamin hak kaum-kaum lain. Inilah yang perlu dilaksanakan dan diperjelaskan bagi memastikan UMNO dilihat relevan kepada semua kaum,” ujar beliau.

Mengulas lebih lanjut mengenai perbincangan yang berlangsung ketika ditanya secara keseluruhannya apakah perkara-perkara yang menjadi fokus pelan pemulihan politik UMNO itu, sumber berkenaan secara analoginya memberikan kenyataan berikut:

“Kita hendak merawat penyakit buta iaitu nampak tapi tak melihat. pekak iaitu dengar tapi tidak faham dan bisu iaitu tidak bercakap perkara yang benar.

“Maksudnya, penyakit buta ialah apabila telah terlalu lama berkuasa sampai tidak melihat jalan keluar untuk beri laluan kepada golongan pelapis. Pekak pula tidak mahu mendengar pandangan yang sepatutnya didengar manakala bisu pula tidak berani untuk menyatakan perkara yang sebenar,” jelasnya.

Bagaimanapun ketika ditanya apa yang boleh diharapkan daripada perbincangan pelan pemulihan politik tersebut, sumber itu berkata, berdasarkan perbincangan awal dan keseriusan yang ditunjukkan oleh Ahli-Ahli MT, beliau yakin satu pelan yang konkrit akan dapat dihasilkan dan boleh mengembalikan semula keyakinan rakyat kepaa UMNO. – 5/6/2008 – sumber agendadaily

nota: Pelan peralihan kuasa ini harus dirancang dengan teliti dan cermat. Ini kerana individu yang memegang jawatan Presiden UMNO secara tidak langsung akan menjadi Perdana Mentei Malaysia. Walaupun terdapat pihak yang ingin mencuba nasib untuk bertanding dalam PAU Disember nanti, pelan peralihan kuasa ini tetap perlu disediakan. Berita terkini yang diterima dari MYKMUJohor pula mengatakan DS Najib bersedia utk bertanding jawatan Presiden. Ini akan memperlihatkan saingan 3 penjuru bagi jawatan Presiden termasuk Ku Li dan Pak Lah sendiri.


Berita terbaharu yang saya terima sendiri dari orang kanan kedua-dua pemimpin harapan rakyat Malaysia pada ketika ini iaitu Datuk Seri Najib dan Tan Sri Muhyiddin adalah bahawa sudah ada persefahaman untuk menerima hakikat bahawa akar umbi UMNO mahukan perubahan segera kepimpinan tertinggi UMNO.

Justeru berita yang paling menggembirakan kita semua pada hari ini adalah YAB Datuk Seri Najib dikatakan telah bersetuju untuk menerima pencalonan bagi jawatan Presiden UMNO berganding bersama Tan Sri Muhyiddin sebagai Timbalan Presiden UMNO.

Keputusan ini dikatakan dibuat berdasarkan meningkatnya desakan ahli dan pemimpin UMNO di peringkat akar umbi yang menyuarakan desakan supaya Pak Lah segera melakukan proses peralihan kuasa kepada Timbalannya ini.

Ditanya mengapa sebelum ini Datuk Seri Najib berpendirian untuk bersama-sama berganding dengan Pak Lah, sumber saya mengatakan bahawa Datuk Seri Najib menyangkakan Pak Lah akan melakukan proses peralihan kuasa sebelum pemilihan UMNO pada bulan Disember nanti. Pernyataan Pak Lah ini yang semakin berubah amat berbeza dengan penyataannya yang dibuat selepas mengadakan pertemuan dengan UMNO Johor bulan lalu dan ini membuatkan Datuk Seri Najib semakin ragu dengan keikhlasan Pak Lah untuk melakukan proses peralihan kuasa.

Berdasarkan senario politik semasa yang agak tidak menentu serta persepsi buruk rakyat terhadap UMNO dan kerajaan ditambah pula dengan keadaan ekonomi dan krisis tenaga dan makanan yang kian meruncing, maka terdapat keperluan bagi Datuk Seri Najib mengambil langkah kehadapan bagi menyelamatkan parti dan negara ke arah membaiki segala kelemahan yang telah dilakukan oleh Pak Lah.

“Memandangkan tidak banyak tindakan yang telah dilakukan oleh Pak Lah bagi membaiki dan menangani segala kelemahan dalam pentadbirannya serta campurtangan keluarganya maka Datuk Seri Najib merasa bertanggungjawab dan terpanggil untuk menyahut desakan seluruh ahli UMNO dan rakyat Malaysia dari semua peringkat untuk mengetuai proses menguatkan semula UMNO dan memulihkan persepsi rakyat terhadap UMNO, Barisan Nasional dan Kerajaan.”

Sumber itu menyatakan bahawa “proses ini dijangka akan mengambil masa selama 6 bulan sahaja. Selepas bulan Disember atau mulai tahun 2009, Kerajaan di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib selaku Perdana Menteri sudah boleh memfokuskan kepada menangani segala cabaran yang sedang dihadapi oleh rakyat termasuk isu kenaikan harga minyak dan krisis makanan.”

Justeru itu saya menyeru kepada semua pembaca supaya bergandingbahu bagi memastikan usaha pembaharuan ini akan berjaya dilakukan. Pada ketika ini semua pihak di dalam UMNO harus memastikan YAB Datuk Seri Najib dan Tan Sri Muhyiddin mendapat pencalonan yang secukupnya bagi melayakkan mereka bertanding jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO.

Semoga Allah merestui perjuangan mereka untuk agama, bangsa dan negara.

3 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Tengku Razaleigh minta dicalon

KOTA KINABALU 25 Mei – Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah meminta bahagian-bahagian UMNO di Sabah tidak takut untuk mencalonkan beliau bertanding jawatan Presiden parti pada pemilihan Disember ini.

Katanya, mereka perlu berani berbuat demikian jika mahukan perubahan.

”Janganlah takut untuk mencalonkan saya, jika rakyat Sabah mahukan perubahan, sekarang adalah masanya untuk menunjukkan keberanian.

“Sabah bukan lagi rakyat kelas kedua dan tidak kurang berbanding dengan rakyat di Semenanjung,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada pertemuan dengan para pemimpin peringkat akar umbi UMNO Sabah pada satu majlis di sini malam tadi.

Pertemuan yang bermula pada pukul 8 malam itu, dihadiri kira-kira 1,000 ahli UMNO dari seluruh negeri ini dan Razaleigh dikatakan menggunakan majlis tersebut untuk meraih sokongan bertanding jawatan Presiden UMNO.

Bagaimanapun, dalam pertemuan yang berlangsung hampir tiga jam itu tiada ketua UMNO sama ada di peringkat bahagian atau negeri hadir.

Tengku Razaleigh berkata, banyak perubahan perlu dilakukan kepada rakyat di negeri ini termasuk dalam aspek pemberian royalti minyak, jawatan dalam kerajaan dan beberapa isu berkaitan dasar cukai.

Menjawab beberapa soalan pada sesi dialog, beliau berkata, pihak pengurusan tertinggi UMNO perlu membuat beberapa perubahan termasuk pelantikan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri dan calon pilihan raya yang sepatutnya mengikut kehendak akar umbi.

”Kita mahu mengubah agar UMNO lebih demokratik, kita mahu dihentikan amalan ketua perhubungan ditunjuk oleh orang di Kuala Lumpur tetapi ditentukan oleh bahagian-bahagian,” ujar beliau.

Sementara itu, Tengku Razaleigh pada sidang akhbar selepas itu berjanji akan menunaikan permintaan rakyat Sabah jika terbukti mereka berani membawa pencalonan serta memberi kemenangan kepadanya merebut jawatan Presiden UMNO.

”Saya katakan jika rakyat Sabah berani buktikan dengan pencalonan saya, saya jamin boleh selesaikan banyak perkara, asalkan rakyat Sabah mahu menyelesaikannya.

”Saya janji, demi Allah apa yang saya cakap, saya sudah 71 tahun, kalau mati lepas itu masuk nerakalah sebab tidak tunai janji,” katanya.

Ditanya sama ada beliau yakin akan melepasi kuota pencalonan untuk bertanding, beliau berkata, masih terlalu awal untuk mengetahui kerana UMNO cawangan belum bermesyuarat.

“Masih terlalu awal, cawangan belum bermesyuarat dan ini akan ditentukan selepas calon-calon UMNO bermesyuarat barulah mereka dapat menentukan siapa yang akan dicalonkan,” ujarnya.

Beliau juga menegaskan, tidak akan merajuk atau membuat apa-apa tindakan di luar batasan jika tidak mendapat jumlah pencalonan yang mencukupi.

“Ini bukan untuk saya, saya cuma mahu menjadi calon untuk membawa perubahan tetapi kalau orang tidak mahu perubahan, saya tempah tiket ke Mekah buat umrah… buat apa saya nak sakit kepala,” katanya.

nota: Tidak dinafikan Ku Li mempunyai kredibiliti di dalam memacu UMNO utk mara ke depan dengan perubahan yang ingin dibawa oleh beliau. Tidak lupakan Pak Lah mempunyai kelebihan tersendiri. Diharap tidak kira Ku Li atau Pak Lah terpilih menjadi Presiden UMNO diharap UMNO lebih kukuh. Penulis sendiri duduk semeja dengan orang kuat Ku Li pada minggu lepas. Beliau menerangkan angin perubahan yang ingin dibawa. Dari pengamatan penulisan, Ku Li mungkin berjaya melepasi kuota pencalonan bagi jawatan Presiden UMNO. Penulis diajukan soalan adakah UMNO Ampang sedia menerima perubahan yang ingin dibawa? Penulis hanya tersenyum.

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda