Tag Archives: umno bahagian ampang

NOTIS PERSIDANGAN AGUNG UMNO CAWANGAN JALAN ENGGANG

ASSALAMUALAIKUM W.B.T

Kepada, Tarikh: 10 Julai 2008
Rujukan:U/JE/BA/01/2008
Semua Ahli UMNO Cawangan Jalan Enggang

Ybhg Dato’/Datin/Tuan/Puan,

NOTIS PERSIDANGAN AGUNG TAHUNAN 2008
1. UMNO CAWANGAN JALAN ENGGANG
2. PERGERAKAN PEMUDA UMNO CAWANGAN JALAN ENGGANG

Perkara di atas dirujuk.

Sukacita dimaklumkan bahawa saya diarah untuk memaklumkan dan dengan hormatnya menjemput Ybhg Dato’/Datin/Tuan/Puan untuk hadir ke Persidangan Agung Tahunan UMNO Cawangan Jalan Enggang dan Pergerakan Pemuda UMNO Jalan Enggang. Butiran persidangan adalah seperti berikut:

Tarikh : 26 Jun 2008 (Sabtu)
Masa : 8.00 Malam
Tempat : Dewan UMNO Cawangan Jalan Enggang
Taman Keramat (Bersebelahan Bazar Taman Keramat)

Diharap Ybhg Dato’/Datin/Tuan/Puan dapat menghadirkan diri bagi meneruskan tanggungjawab dan perjuangan kita bagi memartabatkan lagi kedaulatan agama, bangsa dan negara.

Sebarang pertanyaan mengenai lokasi mesyuarat sila hubungi Sdr Rosman Kassim (013-3763341), Sdr Kamarudin Bakar (016-3155701)atau Sdr Noor Ali (013-3851287).

Sekian Terima Kasih

Bersatu Bersedia Berkhidmat

Yang Menjalankan Tugas

(KAMARUDIN BIN BAKAR)
Setiausaha UMNO
Cawangan Jalan Enggang
Bahagian Ampang

s.k Setiausaha UMNO Bahagian Ampang, Selangor

http://www.pemuda-enggang.org

nota: diharap sekiranya para pembaca mempunyai rakan atau saudara-mara yang menjadi ahli UMNO di cawangan kami, dapat dipanjangkan notis ini. notis ini sudah pun dihantar ke rumah ahli-ahli berdasarkan rekod alamat yang diberikan semasa menjadi ahli UMNO. Terima Kasih

1 Comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Kempen Menuntut Janji Yang Belum Ditunaikan

Penulis telah berbincang dengan ketua cawangan UMNO Jln enggang En Rosman Kassim dan Setiausaha cawangan En Kamarudin Bakar untuk mengadakan kempen di atas. Secara dasarnya, kedua2 mereka bersetuju dengan idea penulis untuk melancarkan kempen di atas. Kempen atau program ini adalah bertujuan untuk mengumpul semua nama anak-anak Selangor yang layak untuk mendapatkan hak mereka seperti yang dijanjikan oleh Pakatan Rakyat di dalam manifesto mereka pada pilihanraya umum yang lepas. Sebagai permulaan kempen/program ini akan dimulakan secara maya atau ‘online’ sebelum ia dikembangkan dengan mengadakan ‘roadshow’ di seluruh kawasan Jalan Enggang dan Ampang. Sebagai rujukan, penulis akan memaparkan semula janji yang ditabur oleh Pakatan rakyat tempohari.

Sosial dan Kebajikan Rakyat
  • Membuka tabung permulaan RM100 bagi setiap anak kelahiran Selangor.
  • Memberi bantuan RM75 sebulan bagi setiap anak yang dihantar ke nurseri.
  • Memberi bantuan RM50 sebulan seorang bagi pendidikan pra-sekolah.
  • Memberi hadiah RM1000 kepada setiap anak Selangor yang mendapat tawaran ke Universiti.
  • Memberi bantuan dan biasiswa pelajaran untuk anak Selangor.
  • Memberi bantuan kepada anak-anak muda untuk mendirikan rumahtangga.
  • Membuka Pusat Sukan Mini dan Rekreasi bagi belia.
  • Mencarum takaful bernilai RM2,500 untuk warga emas, orang kurang upaya dan anak yatim.
  • Memberi elaun ibu tunggal yang layak.
  • Memberi elaun khas suri rumah yang memilih untuk menjaga sepenuh masa anak-anak kecil mereka.
  • Membantu setiap rakyat Selangor untuk mendapatkan kediaman sendiri.
  • Mewujudkan institusi menyelaraskan hal ehwal agama selain Islam

Pihak UMNO cawangan Jalan Enggang akan mengenalpasti satu tarikh yang sesuai untuk mengadakan roadshow program ini di kawasan berhampiran. Program ini akan mengumpulkan semua nama anak-anak atau individu Selangor yang tinggal di kawasan Ampang. Nama-nama ini kemudiannya akan diserahkan kepada kerajaan negeri supaya hak yang layak diterima oleh individu terbabit dapat dibuat oleh kerajaan Khalid Ibrahim. Sebagai permulaan kempen ini akan dilaksanakan secara maya.

Sekiranya anda seorang yang lahir di Selangor dan tinggal di kawasan Ampang, anda layak menuntut janji yang ditabur. Laman web ini memerlukan butiran berikut. Semua butiran ini hendaklah dihantar melalui email ke pemudaenggang@gmail.com. Anda akan dimaklumkan kelak tarikh roadshow yang akan diadakan.
Sila email kepada kami:

Nama:

Alamat:

No. Telefon:

Jenis Bantuan: contoh: tabung permulaan RM100 bagi setiap anak kelahiran Selangor.

Nama Penerima Hak:

Sila email ke pemudaenggang@gmail.com

Ayuh kita tuntut janji manis PAKATAN RAKYAT!!!

*program/kempen ini akan berjalan secara berterusan(on-going). walaubagaimanapun, nama-nama yang dikumpul hanya akan diserahkan kepada kerajaan negeri secara berkala.

8 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

22 laman web, blog disiasat – utusan

KUALA LUMPUR 26 Mei – Sebanyak 22 buah laman web dan blog telah disiasat di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berikutan memaparkan kandungan yang menyalahi peraturan.

Timbalan Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Joseph Salang Gandum berkata, daripada jumlah itu, 17 disekat sementara kertas siasatan terhadap tiga laman yang berkenaan telah disiapkan.

“Kertas siasatan ini juga telah dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan undang-undang selanjutnya termasuk pendakwaan di mahkamah.

“Perlu ditegaskan bahawa setiap kandungan di Internet telah ditetapkan sebagai tidak boleh menyebarkan kandungan yang bersifat palsu, mengancam atau yang jelik.

“Ini ditetapkan di bawah Seksyen 211 dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang jika sabit kesalahan, individu boleh didenda sehingga RM50,000 atau dipenjarakan tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan asal Senator Sharifah Azizah Syed Zain pada sesi soal jawab persidangan Dewan Negara di sini hari ini.

Menurut Joseph, mereka yang teraniaya dengan penyiaran di laman web dan blog termasuk ahli politik yang difitnah boleh mengemukakan aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).

Beliau menambah, selain SKMM, sebenarnya salah laku pengendali laman web dan blog juga boleh diambil tindakan di bawah akta lain dan oleh agensi kerajaan yang lain.

“Antaranya Akta Hasutan, Kanun Keseksaan, Akta Syarikat, Akta Bank dan Institusi Kewangan yang memberi bidang kuasa kepada agensi seperti Bank Negara dan polis untuk bertindak.

“Malah orang perseorangan juga boleh mengambil tindakan terhadap pengendali laman blog melalui undang-undang sivil sekiranya merasakan telah difitnah dan sebagainya,” jelasnya.

Bagaimanapun, ujar beliau, kerajaan buat masa ini belum bercadang menubuhkan sebuah badan khusus bagi memantau laman-laman blog.

“Memang ada beberapa kekangan dalam kita bertindak ke atas laman blog yang melakukan pelanggaran undang-undang antaranya sebab pengendalinya menggunakan platform luar negara selain blog itu sendiri tidak dilesenkan.

“Namun kerajaan mempunyai mekanisme tersendiri melalui penubuhan pasukan petugas operasi yang turut merangkumi Majlis Keselamatan Negara (MKN),” ujarnya. -Utusan

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Hishammuddin kecam Mukhriz letak syarat desak Pak Lah undur

(Dikemas kini) KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein hari ini mengecam tindakan Datuk Mukhriz Mahathir yang meletakkan syarat agar Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berundur daripada semua jawatan sebelum Julai ini.

Tegas Hishammuddin, Mukhriz yang juga Ahli Parlimen dan Exco Pergerakan Pemuda Umno tidak wajar memberikan syarat-syarat sedemikian.

“Saya kecewa dengan kenyataan Mukhriz,” kata beliau kepada pemberita di Parlimen.

Semalam, Mukhriz, anak Tun Dr. Mahathir Mohamad mengumumkan yang beliau akan tetap kekal dalam Umno.

“Selaku Ketua Pemuda, saya merasakan kesetiaan kepada parti tidak boleh dijual beli dan dipersendakan. Bayangkan perasaan akar umbi yang sedang bertungkus-lumus menyelamatkan parti dan mereka tetap setia.

“Macam mana perasaan mereka apabila mendengar seorang pemimpin yang bakal bertanding memimpin Ketua Pemuda meletakkan syarat sebegini.

“Tergamaknya beliau meletakkan syarat dengan memberi tempoh kepada Presiden untuk meletakkan jawatan. Ini merupakan perkara yang berbeza daripada apa yang diluahkan dalam surat (kepada Abdullah dua bulan lalu),” katanya.

Bagaimanapun, Hishammuddin tetap mengakui bahawa kata dua Mukhriz itu sebagai satu bentuk ancaman kepada parti.

“Proses peralihan kepimpinan parti tidak akan berjalan lancar sekiranya kita meletakkan desakan dan ugutan,” katanya lagi.

Sebaliknya, beliau menggesa Abdullah agar berundur untuk menyelamatkan Umno dan Barisan Nasional (BN).

Malam kelmarin, Mukhriz telah mengadakan pertemuan dengan Hishammuddin dan Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin di kediaman Hishammuddin.

Semalam, beliau berkata,Majlis Tertinggi (MT) Umno juga perlu membuka seluas-luasnya ruang demokrasi kepada anggota Umno untuk menyuarakan pandangan mereka termasuk melalui mesyuarat agung luar biasa.

Katanya, MT Umno juga tidak harus menghalang atau mengeluarkan arahan mengekang mana-mana anggota atau pemimpin daripada apa-apa perkara untuk kebaikan parti selagi ia selari dengan prinsip demokrasi seperti yang termaktub dalam perlembagaan parti.

Ketika ditanya sama ada Mukhriz akan dikenakan tindakan disiplin, Hishammuddin memberitahu, beliau menyerahkan perkara tersebut kepada Jawatankuasa Pengurusan untuk memutuskan.

“Sebagai Ketua Pemuda saya tegas dengan apa yang berlaku ini dan terpulang kepada jawatankuasa itu sama ada akan mengenakan tindakan disiplin terhadap Mukhriz atau tidak memandangkan Pemuda tidak mempunyai kuasa untuk bertindak sedemikian,” katanya.

Hishammuddin berkata, beliau juga akan bertemu tiga lagi anggota exco Pemuda Umno iaitu Pengerusi Biro Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Azizul Nizam Bidin; Timbalan Pengerusi Biro Pendidikan, Harisson Hassan dan Timbalan Pengerusi Biro Pendaftaran dan Daftar Pemilih, Kamarulzaman Kamdias yang berada bersama Mukhriz pada sidang akhbar semalam dan menyokongnya.

“Saya nak tahu apa sebenarnya pendirian mereka…apakah mereka bersetuju dengan tindakan Mukhriz…tetapi berdasarkan maklum balas yang diterima dari akar umbi, tindakan (Mukhriz) meletakkan syarat itu merupakan prinsip dan dasar perjuangan yang tidak boleh diterima dan amat mengecewakan.

“Sebelum ini (Mukhriz) pernah menyatakan akan berbincang terlebih dahulu dengan rakan-rakan exco sebelum mengambil sebarang pendirian. Jelas prinsip ini bercanggah dengan semangat perjuangan dalam berpasukan,” katanya.

Mukhriz nafi keluar Umno Julai

KUALA LUMPUR: Anggota Exco Pemuda Umno, Datuk Mukhriz Mahathir hari ini menafikan yang beliau akan keluar parti jika Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak meletakkan jawatan parti dan kerajaan sebelum Julai ini.

“Saya tidak kata menjelang Julai jika Perdana Menteri tidak berundur, maka saya akan keluar parti,” jelas beliau kepada pemberita di Parlimen di petang ini – beberapa jam selepas Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengecam kenyataannya dikeluarkan semalam.

Jelas Mukhriz, apa yang disuarakan semalam ialah beliau mempunyai hak untuk mengubah pendirian pada bila-bila masa mengikut perkembangan semasa dan beliau tidak menyatakan hanya ada satu cara iaitu keluar parti sedangkan banyak lagi cara lain yang boleh diambil.

Hishammuddin kesal dengan kenyataan Muhkriz semalam sambil menegaskan, beliau akan merujuk perkara itu kepada Jawatankuasa Pengurusan Umno.

Dalam reaksinya, Mukhriz menambah, beliau sedia untuk menghadapi sebarang tindakan yang bakal dikenakan terhadapnya dan merasakan proses dilalui sekarang ini akan terus memberikan kekuatan kepada Pemuda Umno.

“Saya tidak akan keluarkan sebarang kenyataan kalau saya sendiri tidak sanggup menerima tindakan termasuk daripada Jawatankuasa Pengurusan,” katanya sambil menganggap kenyataan Hishammuddin itu ekoran daripada salah faham terhadap kenyataannya semalam.

Mukhriz berkata, beliau akan menghadiri mesyuarat Exco Pemuda Jumaat ini seperti biasa kerana ini bukan kali pertama beliau berdepan dengan kritikan dari kalangan rakanrakannya sendiri.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Jerlun berkata, bulan Julai merujuk kepada mesyuarat cawangan yang akan bermula dan beliau berharap satu perubahan drastik akan berlaku sebelum mesyuarat cawangan bermula dan bukan mengambil keputusan keluar parti.

Mukhriz pada sidang akhbar semalam, dilaporkan mengeluarkan kenyataan bahawa beliau tidak teragak-agak untuk mengubah pendiriannya itu jika sehingga Julai, Abdullah tidak meletak jawatan.

Malah, Mukhriz juga menyatakan tidak akan mengikut jejak langkah bapanya, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang keluar dari Umno kelmarin.

Beliau berkata, tidak perlu keluar dari parti kerana banyak lagi tanggungjawab yang perlu dilaksanakan dan diperjuangkan bukan sahaja untuk parti malah bagi kawasan Parlimen yang diwakilinya.

nota: walau sejak mutakhir ini kita lihat YB Mukhriz amat lantang mengkritik kepimpinan UMNO/Pak Lah, adalah diharapkan agar YB Mukhriz dapat ‘cool down’ buat seketika. Ramai berpendapat bahawa YB Mukhriz adalah pemimpin masa depan di dalam UMNO. Janganlah disebabkan perselisihan faham Tun Mahathir dan Paklah, YB Mukhriz juga campur tangan. Perjalanan politik YB Mukhriz masih lagi panjang dan amat cerah sekiranya beliau dapat mengorak langkah yang betul. Adakah YB Mukhriz ingin menyarung baju PKR atau PAS pada pilihanraya yang akan datang sesudah Ketua Umum PKR dilabelkan sebagai agen yahudi oleh YB Mukhriz di dalam parlimen tempoh hari? Nasihat penulis agar YB Mukhriz tidak terlalu agresif dan tidak juga terlalu lembut di dalam mengkritik kepimpinan UMNO masa kini. Tetapi kritikan yang dilakukan haruslah jujur dan jangan kritikan dihamburkan bersama unsur peras ugut(meletakkan syarat). Penulis yakin bahawa Pak Lah akan berundur tidak lama lagi. Cuma pada fikiran penulis, biarlah PAU diadakan dahulu. Biarlah Pak Lah berundur secara terhormat dan bukannya disingkirkan akibat tekanan luaran. Apakah kita sesama Melayu gembira melihat budaya jatuh-menjatuhkan sesama sendiri berlaku? Adakah benar cakap orang yang mengatakan orang melayu kaya dengan perasaan hasad dengki?? Fikir-fikirkan..

3 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Nazrin: Kestabilan minda Melayu penting

sumber dari malaysiakini

“Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah bertitah bahawa sebarang pandangan prejudis antara kaum di negara ini dapat dihilangkan jika minda masyarakat Melayu berada dalam keadaan stabil dan selesa, seterusnya hubungan harmoni akan terjalin.

Baginda bertitah kestabilan minda masyarakat Melayu amat penting dan ia adalah satu prasyarat kepada kestabilan negara.

“Agama Islam, kedaulatan Raja-Raja Melayu, Bahasa Melayu dan kedudukan istimewa orang Melayu adalah antara perkara yang tidak pernah lepas daripada perhatian Raja-Raja Melayu.

raja nazrin and malay malaysia sultan sultanate power”Raja-Raja Melayu amat memahami bahawa kestabilan politik negara sangat bergantung kepada persediaan minda orang-orang Melayu menghadapi perubahan,” titah baginda ketika menyampaikan titah sembah setia sempena sambutan Hari Keputeraan Ke-80 Sultan Perak Sultan Azlan Shah di Istana Iskandariah di Kuala Kangsar hari ini.

Turut berangkat di majlis tersebut ialah Raja Pemaisuri Perak Tuanku Bainun, Raja Dihilir Perak Raja Jaffar Raja Muda Musa, Raja Puan Muda Raja Normahani Raja Shahar Shah, kerabat diraja Perak, Menteri Besar Mohammad Nizar Jamaluddin, barisan exco kerajaan negeri, ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan.

Menurut laporan Bernama, Raja Dr Nazrin bertitahnya sejak Durbar pertama yang berlangsung di Kuala Kangsar pada 13 Julai 1897, Raja-Raja Melayu terbukti sentiasa memberi perhatian dan menyuarakan kepentingan orang Melayu dan agama Islam.

Oleh itu titah baginda, dengan perkenan Sultan Perak, baginda akan berusaha dan merintis langkah ke arah memastikan pemikiran serta persepsi orang-orang Melayu tidak akan membawa mereka berada dalam kegelisahan dan ketidakstabilan.

Keyakinan terhadap Raja

Baginda bertitah Raja menjadi pilihan rakyat untuk bernaung ketika merasakan kedudukan diri mereka sebagai pribumi bagaikan tergugat dan ia merupakan satu penghormatan serta keyakinan terhadap Raja ketika rakyat cemas menghadapi krisis.

Raja Dr Nazrin mahu seluruh rakyat menerima realiti bahawa Malaysia mempunyai pelbagai kaum dan usaha memupuk perpaduan dan usaha mengikis sebarang prasanga negatif antara kaum adalah menjadi agenda penting serta satu prasyarat kepada kestabulan politik di samping menjadi keperluan untuk jaminan ketenteraman awam.

“Bumi Malaysia haruslah mengamalkan satu kesaksamaan yang tidak membenarkan berlaku diskriminasi atau tindakan negatif berunsur rasis. Semangat berpijak di bumi sama, dan menjunjung langit yang sama perlu dipupuk dan dihayati supaya terbina kekuatan warga yang teguh berpadu, cekal bersatu lalu sama-sama dapat membangunkan sebuah negara merdeka yang kekal berdaulat,” titah baginda.

Selain itu Raja Dr Nazrin bertitah baginda akan memastikan bahawa institusi agama yang berada di bawah bidang kuasa Sultan Perak seperti masjid, surau dan institusi pendidikan Islam akan dijadikan alat penyatuan dan tidak dibenarkan menjadi pentas politik yang boleh membawa perpecahan.

Baginda bertitah masyarakat Islam akan rugi jika terus bertelagah dan berselisih hingga akhirnya “yang menang menjadi arang dan yang kalah menjadi abu” kerana Islam menyeru kepada perpaduan dan amat menekan aspek perdamaian serta mengajak umat untuk membina semangat ukhuwah di samping menjalinkan silaturrahim.

“Umat Islam hari ini bukan umat yang kuat, baik di dunia begitu juga di negara ini. Umat Islam tidak boleh berpecah kepada kumpulan-kumpulan kecil hingga akhirnya menjadi umat yang lebih lemah. Umat Islam jangan terlalu taksub berselisih hingga ke peringkat `berkerat rotan, berpatah arang’. Umat Islam haruslah arif lagi bijaksana memastikan antara permata dan kaca,” titah baginda.

Raja Dr Nazrin bertitah umat Islam perlu berpegang kepada ‘semangat kiambang yang akan kembali bertaut sebaik biduk berlalu’ kerana mampu menjadi tenaga yang kuat jika mengamalkan semangat bermaaf-maafan, memberi dan menerima, semangat musyawarah dan persaudaraan yang akan membawa penemuan kata sepakat.

Kuasa memerintah

Menteri Besar dalam ucapan persembahan tahniah dan setianya, berkata kerajaan negeri sedang merangka pelan strategik yang berteraskan prinsip-prinsip amanah, adil, telus dan berkebajikan di samping meneruskan agenda pembangunan yang telah dirancang oleh kerajaan terdahulu.

“Keutamaan yang akan patik dan kerajaan lakukan hari ini ialah program-program yang memberi kebajikan dan kesejahteraan rakyat…kerajaan negeri berazam meneruskan dan memperkukuhkan dasar pembangunan negeri berpaksikan prinsip dan nilai sejagat,” kata Mohammad Nizar yang mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar pada 17 Mac lalu.

Sebuah kerajaan yang diberi kuasa memerintah dan mentadbir negeri serta rakyatnya adalah amanah besar daripada Allah s.w.t, katanya.

“Menyedari hakikat…maka sayugialah kerajaan itu melaksanakan tanggungjawab selari dengan ketetapan Allah S.W.T. yakni menegakkan yang makruf dan mencegah kemungkaran serta menjadi ‘negara berkebajikan dan mendapat keampunan’,” katanya.

Mohammad Nizar juga berkata kerajaan negeri akan sentiasa memelihara dan meningkatkan kestabilan sosioekonomi dan politik, kedaulatan institusi Raja, adat istiadat dan juga agama.

“Kerajaan negeri di bawah bimbingan patik sangat mengharapkan bimbingan dan teguran Paduka Seri Tuanku yang adil lagi bijaksana agar pemerintahan hari ini akan lebih maju, aman, makmur, amanah dan berkebajikan…Insyallah kerajaan yang ada sekarang tidak akan mensia-siakan hasrat rakyat Perak yang telah membuat perubahan.

“Patik akan sentiasa mendukung institusi Raja Berperlembagaan di negeri ini yang sentiasa merupakan sebahagian sejarah dan sistem berkerajaan di bumi Melayu. Patik akur dan menyedari bahawa institusi Raja Berpelembagaan akan kekal relevan dan memenuhi peranan besar pada sepanjang masa seiring dengan undang-undang tubuh negeri yang menyatakan bahawa kuasa pemerintah negeri hendaklah terletak hak kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku,” katanya.”

nota: Daulat Tuanku!

1 Comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Terima Kasih Atas Sokongan Anda Semua

Assalamualaikum wbt,

Berkat limpah kurnia dari NYA dan sokongan dari pembaca tidak kira dari parti politik yang berlainan, blog ini telah pun menerima kujungan lebih dari 21,000 pembaca. Bilangan pembaca yang tinggi ini amat memeranjatkan pihak kami di mana pihak kami beranggapan blogger kecil seperti kami ini tidak mampu mencecah puluhan ribu pembaca. Kunjugan lebih 21,000 orang pembaca ini bermula dari posting pertama laman blog ini iaitu pada tanggal 12 Februari 2008 bertajuk Selamat Datang.

Walaupun pilihanraya ke 12 telah berlalu, laman blog ini terus memaparkan isu-isu semasa politik tanah air dari berbagai sumber. Semoga segala isu yang dipostkan dapat meningkat kesedaran diri kita terhadap persekitaran politik negara kita yang sedang melalui jalan yang berliku.

Pihak kami ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada semua pembaca atas sokongan, komen dan kritikan dari anda semua. Diharap laman blog ini dapat memberi manfaat kepada semua pembaca.

Akhir kata, walaupun terdapat perbezaan ideologi politik di antara kita terutamanya bangsa Melayu, satu perkara yang harus kita sepakat iaitu kita harus terus memperjuangkan dan membangunkan agama Islam dan bangsa Melayu itu sendiri di Malaysia. Kekukuhan agama Islam dan orang Melayu dapat menjamin kestabilan negara bagi menghadapi cabaran untuk 50 tahun yang akan datang. Tonggak kekuatan orang Melayu selama ini adalah bertunjangkan semangat Ketuanan Melayu yang telah digunapakai sejak lebih dari 50 tahun dahulu. Justeru itu, semangat ini harus dipertahankan dan perlu diserlahkan supaya generasi muda Melayu dapat memahami tentang semangat Ketuanan Melayu ini.

Sekian Terima Kasih.

Wassalam

Allahuakbar !! Hidup UMNO !! Hidup Melayu !!

Pergerakan Pemuda UMNO Cawangan Jalan Enggang

Bahagian Ampang

Selangor

3 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Akses ke Laman Blog Pemuda Enggang

Salam semua pembaca,

sila maklum bahawa para pembaca boleh mengakses ke laman blog ini melalui

http://www.pemuda-enggang.org

sekiranya terdapat masalah proksi di rangkaian, anda boleh juga mengakses blog ini melalui

https://pemudaenggang.wordpress.com

Pihak Pemuda Jalan Enggang masih lagi di dalam usaha bersama dengan Domain Name Provider untuk mengatasi akses ke laman web melalui domain http://www.pemuda-enggang.org.

Sekian Terima Kasih.

Wassalam!

1 Comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda