Tag Archives: umno sabah

PBS kemuka usul utk singkirkan SAPP

sumber malaysiakini

Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Joseph Pairin Kitingan telah membuat usul untuk menyingkirkan Parti Progresif Sabah (SAPP) dari Barisan Nasional (BN) dalam mesyuarat jawatankuasa pengurusan BN semalam.

Usul tersebut disokong oleh VK Liew, presiden sebuah lagi parti komponen BN Sabah, Parti Liberal Demokratik (LDP), demikian menurut satu sumber BN.

Timbalan Perdana Menteri, yang juga ketua wip BN, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang mempengerusikan mesyuarat tersebut, memberitahu pemberita semalam bahawa tindakan akan diambil terhadap SAPP kerana keputusan mereka untuk menyokong undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Pemerhati politik bagaimanapun berkata, SAPP mungkin diberi surat tunjuk sebab, sebelum disingkirkan dari BN. Parti itu diketuai oleh bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Yong Teck Lee, 54.

SAPP mempunyai dua ahli Parlimen dan empat ahli dewan undangan negeri (Adun), termasuk Timbalan Ketua Menteri Sabah (Timbalan Presiden, Datuk Raymond Tan) dan seorang menteri muda (Ketua Wanita, Melanie Chia).

Malaysiakini juga difahamkan bahawa sebuah lagi parti komponen BN, Pertubuhan Bersatu Pasokmomogun Kadazandusun Murut (Upko), tidak hadir dalam mesyuarat tersebut.

“Hanya PBS, PBRS dan LDP menghadirinya,” kata sumber tersebut. PBRS atau Parti Bersatu Rakyat Sabah, diketuai oleh Datuk Joseph Kurup.

Sementara itu, Setiausaha Agung SAPP, Richard Yong memberitahu Malaysiakini bahawa beliau tidak terkejut jika PBS dan LDP mahu SAPP disingkirkan.

Katanya, PBS akan mendapat empat kerusi kosong – kerusi pilihanraya dan jawatan dalam kabinet.

Mengenai ancaman ugutan terhadap dua ahli Parlimen SAPP – Datuk Eric Majimbun (Sepanggar) dan Datuk Dr Chua Soi Bui (Tawau) – ekoran tindakan parti itu untuk menyokong undi tidak percaya tersebut, Richard berkata kedua-duanya belum membuat laporan polis.

“Mereka menunggu masa yang sesuai untuk berbuat demikian,” katanya.

Beliau juga berkata, presiden SAPP belum bertemu dengan pegawai kanan Badan Pencegah Rasuah (BPR) dari Kuala Lumpur untuk memberi kenyataan berhubung dakwaan rasuah membabit RM5 juta, terhadapnya.

Ibupejabat parti itu menghubungi  pejabat BPR semalam tetapi ia ditangguhkan atas beberapa sebab, dan mengikut Richard, pertemuan itu mungkin diadakan hari ini atau esok.

“Yong ada di Kota Kinabalu,” katanya.

nota: merujuk kepada posting awal di blog ini mengenai isu SAPP, penulis telah membuat cadangan agar bilangan dan keahlian parti-parti kompenen di dalam Barisan Nasional dikaji semula. Ini kerana dengan bilangan parti yang banyak iaitu sebanyak 14 parti komponen, terdapat pelbagai kepentingan parti yang dituntut yang seterusnya membawa kepada ketamakan kuasa seperti yang berlaku kepada SAPP. Tindakan tidak hadir ke Parlimen oleh MP BN SAPP semalam merupakan salah satu tindakan yang tidak profesional dan menjadikan ancaman SMS sebagai alasan untuk tidak hadir ke Parlimen. Sekiranya ikhlas untuk berjuang untuk rakyat Sabah, krisis parti tidak harus diheret ke dalam parlimen dengan tindakan tidak hadir ke parlimen.

Advertisement

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Tindakan SAPP akibat sikap tamak Datuk Yong Teck Lee – Pak Lah

sumber bharian

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata tindakan terbaru Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck Lee ada kaitan “Hanya kerana saya tidak mampu menenuhi kehendak peribadinya yang keterlaluan.

Perdana Menteri bagaimanapun tidak memperincikan perkara itu.

Bagaimanapun, rakannya memberitahu bahawa Perdana Menteri akan menjelaskan perkara itu kemudian.

Teck Lee petang ini mengisytiharkan SAPP sudah hilang kepercayaan terhadap Perdana Menteri. – Bernama

nota: walaupun Pak Lah tidak memberi perincian terhadap kehendak peribadi Datuk Yong Teck Lee(YTL), penulis bersetuju dengan pendapat Pak Lah. Ini dikuatkan lagi dengan kenyataan YTL yang memaklumkan pada sidang akhbar petang tadi bahawa beliau telah menemui Penasihat PKR, DSAI dua kali iaitu di Hong Kong dan di Kuala Lumpur. Ternyata murahnya maruah pemimpin utama SAPP YTL yang sudi menerima ‘gula-gula’ yang ditawarkan oleh PKR. Penulis juga menerima satu email yang mengatakan bahawa faktor ‘DENDAM KESUMAT’ YTL menjadi tunggak utama menyokong undi tidka percaya kepada Pak Lah.

Dendam yang dimaksudkan ialah pemansuhan penggiliran Ketua Menteri Sabah yang dilakukan oleh Pak Lah sebaik sahaja menjadi PM Malaysia. YTL tahu bahawa sebagai sebuah parti komponen yang amat kecil dalam BN, sudah tentu wakil SAPP tidak dapat diberi mandat yang besar di dalam kabinet persekutuan Malaysia. Penulis berasa kan bahawa satu pengumuman keluar dari BN akan dibuat oleh SAPP dalam mesyuarat tertinggi parti Jumaat ini.

Ternyata tawaran ‘gula-gula’ DSAI kepada pemimpin parti di Sabah sudah mengena. Tetapi bagaimana pula sekiranya ‘gula-gula’ yang diberikan itu tidak semanis yang disangka. Penulis amat kecewa melihat sidang akhbar YTL di kaca TV lagi. Tindakan angkuh beliau amat mementingkan diri sendiri dengan menjadi negeri Sabah sebagai kuda tunggangan beliau untuk mengemukakan pendirian menyokong undi tidak percaya terhadap PM. Tidakkah beliau sedar bahawa Ahli MP dan ADUN SAPP dipilih di atas tiket Barisan Nasional…dan tidakkah beliau sedar bukan Sabah sahaja negeri yang bernaung di bawah Persekutuan Malaysia yang memerlukan pembelaan dari kerajaan pusat. Bukankah ‘gula-gula’ ini juga adalah satu unsur RASUAH??

Penulis ingin menarik perhatian pembaca dengan kenyataan YTL di dalam kenyataan akhbarnya di Malaysiakini

“Beliau mengkritik rekod BN di Sabah, dengan berkata negeri itu dikenakan undang-undang yang tidak adil dan cukai yang keterlaluan.

“Itulah sebabnya kita perlu membuat segera pengisytiharan tidak percaya kepada PM dan kerajaan, untuk memberitahu kerajaan BN bahawa kita tidak boleh lagi bertolak ansur dengan sikap mereka yang tidak sensitif terhadap isu-isu yang amat serius di Sabah,” katanya dalam satu sidang akhbar di ibupejabat parti itu pada jam 2 petang tadi.“

Apakah tindakan beliau semasa beliau menjadi Pengerusi BN Sabah yang juga sebagai Ketua Menteri Sabah sebelum ini mengenai isu-isu di atas. Adakah disebabkan pada masa itu beliau berada di dalam keadaan selesa sehingga beliau sendiri tidak membawa isu berkenaan kepada pucuk pimpinan Barisan Nasional? Ini adalah salah satu contoh kepimpinan yang buruk yang harus dijauhi oleh semua rakyat. Tatkala beliau berkuasa, beliau hanya mendiamkan diri kononya polisi kerajaan amat sesuai dengan negeri Sabah. Pemimpin talam dua muka seperti ini harus ditolak oleh rakyat terutama kepada rakyat Sabah. Bolehkah anda fikirkan apakah yang bakal dibuat oleh pemimpin seperti YTL sekiranya royalty minyak dinaikkan kepada 20%. Sudah tentu beliau sendiri akan tetap dengan gaya kepimpinan beliau semasa beliau menjadi ketua menteri sabah. Tidak akan ada satu tindakan drastik yang diambil utk diberi perhatian oleh kerajaan pusat. Sikap hanya bertolak ansur ada pada ketika menjawat jawatan tinggi.

Penulis percaya ramai penyokong Pakatan Rakyat bersorak gembira dengan tindakan SAPP ini. Tetapi tidakkah semua melihat perkara seperti ini boleh berlaku sekiranya SAPP menyertai mereka. Persoalan sekarang bukanlah isu-isu domestik Sabah tetapi ia lebih menjerumus kepada isu-isu dan kepentingan peribadi pemimpin yang tamak seperti YTL. DSAI seharusnya tidak gembira dengan berita seperti ini. Tetapi apakan daya bila manusia tamakkan kuasa, sudah pasti DSAI melompat gembira dengan tindakan SAPP ini.

Penulis bersetuju sekiranya parti-parti komponen kecil seperti SAPP dan IPF disingkirkan dari Barisan Nasional. Ini disebabkan:

1. IPF – dengan terang mendakwa bahawa mereka tidak menyokong BN pada PRU yang lepas. Undi mereka diberikan kepada pembangkang.

2. SAPP – Tindakan kurang ajar melanggar semangat setiakawan yang diamalkan selama ini boleh mengundang bencana kepada arena politik Malaysia bukan sahaja BN tetapi PR. Keperluan peribadi diutamakan dan bukannya kepentingan rakyat.

Sudah tiba masanya Barisan Nasional mengkaji semula hubungan dengan parti-parti komponen yang lain. Kajian sama ada semangat muafakat harus dipertingkatkan atau ada parti yang harus digugurkan perlu dilakukan. Ini kerana bukan kuantiti yang diperlukan tetapi kualiti yang diperlukan demi perpaduan parti dikukuhkan seterusnya dapat memberi khidmat yang cemerlang kepada rakyat.

21 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

2 pemimpin nafi lompat parti, Ku Li dakwa komponen BN keluar bulan ini

sumber mstar
(Mutakhir) PETALING JAYA: Sementara dua pemimpin Barisan Nasional (BN) menafikan akan ada wakil rakyat Sabah melompat parti, Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah pula mendakwa sebuah parti komponen BN akan meninggalkan parti itu sebelum hujung bulan ini.

Bekas Menteri Kewangan itu yang dipetik Bernama bagaimanapun tidak menamakan parti yang dikatakan akan keluar dari BN itu.

“Saya mendapat berita bahawa satu parti akan keluar daripada BN sebelum hujung bulan ini,” dakwanya ketika menghadiri majlis Perhimpunan Cawangan-Cawangan Umno Pahang di sini hari ini.

BN terdiri daripada komponen Umno, MCA, MIC, Gerakan, PPP, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu SUPP, SAPP, Parti Bersatu Sabah, Parti Liberal Demokratik (LDP), Parti Bersatu Rakyat Sabah, Pertubuhan Bersatu Pasokmomogun Kadazandusun Murut (Upko), dan Parti Demoktratik Progresif Sarawak (SPDP) serta Parti Rakyat Sarawak.

Dalam pada itu, hari ini dua Ahli Parlimen – seorang dari Semenanjung dan seorang lagi dari Sabah menafikan spekulasi beberapa wakil rakyat dari negeri itu akan menyertai Pakatan Rakyat untuk menubuhkan kerajaan persekutuan yang baru.

Ketua Penerangan Umno, Senator Tan Sri Muhammad Muhammad Taib ketika dihubungi mStar Online di Kota Kinabalu memberitahu, selama empat hari berada di Sabah beliau tidak mendengar tentang akan ada Ahli Parlimen dari negeri itu bakal menyertai Pakatan Rakyat.

“Rakyat sudah bosan dengan cakap-cakap seperti ini. Hanya beberapa personaliti yang membangkitkan isu seperti ini, nak sambung-sambung cerita yang mengatakan akan ada mereka yang akan melompat parti.

“Hanya mereka seperti (Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri) Anwar Ibrahim yang suka mengatakan perkara seperti ini,” kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah ini yang berada di Sabah sejak Rabu lalu.

“Jika PAS dan DAP hendak menubuhkan kerajaan, sepatutnya mereka berbuat demikian 100 hari yang lepas. Sekarang sudah 100 hari selepas pilihan raya umum diadakan, mengapa masih hendak menimbulkan isu lompat-melompat ini.

“Mereka sepatutnya membantu kerajaan menjalankan projek pembangunan, bukan membuat kenyataan-kenyataan seperti ini. Apa yang mereka dapat?

“Mereka wajar berhenti bercakap mengenai isu melompat ini,” kata beliau sambil menambah, selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan 13 insentif untuk Sabah baru-baru ini, rakyat negeri itu ingin melihat projek pembangunan serta janji pilihan raya ditunaikan.

Beliau mengatakan demikian ketika diminta mengulas perkembangan semasa politik tanah air ekoran timbulnya isu bahawa kemungkinan wakil rakyat BN dari Sabah akan melompat Pakatan Rakyat tidak lama lagi.

Isu itu timbul lagi selepas seminggu lalu Anwar mengumumkan bahawa beliau masih kekal dengan sasaran 16 September ini untuk menubuhkan kerajaan persekutuan.

Kelmarin, Agenda Daily melaporkan dua Ahli Parlimen dari Parti Rakyat Sabah (SAPP) disebut secara terbuka merupakan mereka yang akan mengucapkan selamat tinggal kepada BN.

Kedua-dua mereka Enchin Majimbun dan Datuk Chua Soon Bui masing-masing Ahli Parlimen Sepanggar dan Tawau.

Portal itu menyebut, bagaimanapun Majimbun telah menafikan khabar tersebut tetapi menambah, “tapi kita tidak tahulah di masa depan macam mana.”

Chua juga menafikan laporan berkenaan.

Sementara itu, Pengerusi Penyokong Kerajaan BN Sabah di Dewan Rakyat, Datuk Anifah Aman yang pernah ‘mencuri’ perhatian kerana menolak kedudukan dalam Kabinet dan Pengerusi Kumpulan Ahli Parlimen UMNO (UMPG) di Dewan Rakyat juga menafikan khabar angin tersebut.

“Saya tidak tahu. Saya tidak dengar apa-apa setakat ini,” katanya ketika dihubungi.

Kata beliau, pihaknya juga belum ada membincangkan desas-desus terbaru itu dan belum ada rancangan untuk bertemu ahli-ahli Parlimen dari BN di Sabah.

Dewan Rakyat akan mula bersidang semula pada 23 Jun ini.

Kini di Dewan Rakyat BN mempunyai 140 kerusi manakala Pakatan Rakyat pula 82 kerusi.

Umno mempunyai 79 kerusi, MCA (15), MIC (tiga), Gerakan (dua), PBB (14), SUPP (enam), SPDP (empat), PRS (enam), Upko (tiga), PBS (tiga), SAPP (tiga), PBRS (satu) dan LDP (satu).

Pertengahan bulan lalu, Anifah mencetuskan suasana hangat ketika berucap di Dewan Rakyat dengan mendakwa rakyat Sabah dianaktirikan dan dihina dengan dakwaan mahu melompat parti.

Kata Anifah, wakil rakyat Sabah dipandang serong semata-mata kerana menyampaikan keluhan rakyat negeri itu yang beliau dakwa sekian lama dipinggirkan daripada arus pembangunan.

nota: posting terdahulu mengenai ahli mp BN melompat di sini

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Ghapur Salleh letak jawatan Timbalan Menteri Sumber Asli

sumber mstar

TAWAU: Anggota Parlimen Kalabakan Datuk Ghapur Salleh meletak jawatan sebagai Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar berkuatkuasa pada  hari Rabu.

Beliau memberitahu Bernama hari ini bahawa surat peletakan jawatannya diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Putrajaya malam Rabu.

Ghapur, yang menang tanpa bertanding dalam pilihan raya umum 8 Mac lepas, berkata beliau akan terus menjadi wakil rakyat dan Ketua Umno Bahagian Kalabakan.

Ketika ditanya mengapa beliau mengambil keputusan itu selepas lapan hari menerima pelantikan itu, Ghapur berkata :”Saya tidak mahu terikat dengan tugas sebagai timbalan menteri kerana mahu menumpukan sepenuh perhatian kepada penduduk di Kalabakan.”

Ghapur, 64, berkata beliau mempunyai ramai anak yang menuntut di luar negara dan sekiranya terikat dengan tanggungjawab sebagai timbalan menteri ini akan membatasi waktu untuk beliau melawat anakanaknya.

Beliau merupakan Anggota Parlimen kedua dari Sabah dan orang ketiga yang melepaskan jawatan timbalan menteri pusat setelah pilihan raya umum 8 Mac lalu.

Sejurus selepas Abdullah mengumumkan barisan kabinet pada 18 Mac, Anggota Parlimen Kimanis Datuk Anifah Aman menolak pelantikan sebagai Timbalan Menteri Pengangkutan, manakala Datuk Seri Tengku Azlan Abu Bakar menolak jawatan Timbalan Menteri Luar. BERNAMA

nota: tindakan meletakkan jawatan sebagai timbalan menteri sudah dijangkakan oleh ramai pihak. adalah diharapkan agar wakil dari Sabah terus diberi peluang untuk memegang jawatan ini. Keputusan untuk menumpukan masa di kawasan Datuk Ghapur Salleh adalah sesuatu usaha yang amat diperlukan tatkala negeri Sabah agak ketinggalan dari segi pembangunan berbanding negeri-negeri lain. Diharap Datuk Ghapur Salleh akan terus bersuara untuk rakyat sabah.

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda