Tag Archives: YB Dato’ Mukhriz Mahathir

Berani Berubah!! – YB Dato’ Mukhriz Mahathir – Calon KP UMNO Malaysia

Krisis Kepimpinan pada hari ini menghilangkan kegemilangan yang telah dibina Kerajaan dan seolah-olah kita kini bermasalah mengurus kejayaan kita sendiri. Saya berpendapat bahawa ini berlaku kerana kita telah tinggalkan perjuangan UMNO yang sebenar, yakni perjuangan Agama, Bangsa dan Negara.

Kita tidak lagi memegang teguh kepada sifat-sifat mulia yang dituntut bagi pemimpin di semua peringkat dan parti politik. Keputusan Pilihanraya Umum ke 12 dan Pilihanraya Kecil Permatang Pauh adalah bukti bahawa rakyat tidak lagi percayakan kita. Malah rakan-rakan parti komponen Barisan Nasional kini mempersoalkan kredibiliti kepimpinan UMNO. Ini telah membolehkan parti-parti membangkang mengambil kesempatan.

Saya sedar ada di kalangan kita yang merasakan diri mereka kerdil dan tidak bertenaga untuk membuat perubahan. Ada di kalangan mereka yang juga percaya bahawa UMNO akan membetulkan dirinya sendiri. Jika ini menjadi kepercayaan dan sikap ahli UMNO, maka jangan terkejut jikalau hayat UMNO berakhir.

Kita harus sanggup membuat perubahan yang mampu mengembalikan semula keyakinan rakyat terhadap UMNO. Kita mesti membersihkan diri dari sebarang sifat keji dan amanah memegang tanggungjawab terhadap rakyat. Kita juga mesti sanggup berkorban dan menolak semua amalan yang membinasakan.

Kita mesti sanggup berkorban sekali lagi jika kita mahu menyelamatkan UMNO. Saya menyeru semua pihak untuk bersama saya menyelamatkan dan memperkasakan semula UMNO. Bagi tujuan itu, saya bersedia memikul tanggungjawab dan amanah ini. Saya juga yakin bahawa saya bukan berseorangan dalam perjuangan ini.

Demi meneruskan perjuangan ini, saya dengan rendah diri dan dengan nama Allah yang Maha Penyayang lagi Maha Mengasihani, menawarkan diri untuk dipilih sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia.

YB Dato’ Mukhriz Mahathir

6 September 2008, bersamaan 6 Ramadhan 1429

Pondok Maharizan, Titi Gajah

nota: harap YB Mukhriz boleh berblog dengan segera. kami ahli akar umbi ingin mengikuti perkembangan YB dengan lebih dekat.

Sekian. Terima kasih.

8 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Usul: Surat Mukhriz kepada 22,000 cawangan Umno

sumber mstar

YB Dato’ Mukhriz Mahathir

B-13-D2, Plaza Mont’ Kiara, No. 2 Jalan Kiara,

50480, Kuala Lumpur.

15hb Julai 2008

YANG DIHORMATI KETUA-KETUA CAWANGAN UMNO

Assalamualaikum wbt. dan salam sejahtera

PER: USUL MESYUARAT CAWANGAN UMNO

Di doakan semoga Yang Dihormati Ketua- Ketua Cawangan UMNO dan seluruh warga Cawangan berada dalam keadaan sihat dan sejahtera.

Dengan segala hormatnya saya merujuk kepada perkara di atas. Saya memohon perhatian Yang Dihormati Ketua-Ketua Cawangan UMNO kepada cadangan yang ingin saya kemukakan untuk pertimbangan pihak Tuan dan Cawangan-Cawangan UMNO.

Seperti yang kita sedia maklum, musim mesyuarat Cawangan dan semua Cawangan- cawangan sayap parti bermula pada 17hb Julai ini. Dalam keadaan di mana parti yang kita sayangi ini telah dikejutkan dengan keputusan Pilihan Raya Umum baru-baru ini, sudah pasti Pemilihan yang bakal kita lalui ini akan menentukan timbul mahupun tenggelamnya UMNO.

Sokongan terhadap UMNO dan Barisan Nasional yang telah merosot kebelakangan ini, seperti yang telah terbukti dengan prestasi PRU-12 yang mengecewakan telah menyedarkan kita bahawa suara ahli akar umbi wajib di dengar dan diambil kira. Malangnya, walaupun UMNO adalah parti politik dengan bilangan keahlian yang terbesar di dalam negara kita, hanya lebih kurang 2500 orang perwakilan yang menghadiri Perhimpunan Agung UMNO sahaja yang akan memilih Presiden parti dan juga seluruh barisan kepimpinan UMNO di peringkat tertinggi. Lebih malang lagi apabila berlakunya gejala rasuah politik di dalam pemilihan UMNO seperti yang telah berlaku di dalam pemilihan- pemilihan sebelum ini sehingga merosakkan kredibiliti UMNO itu sendiri. Mungkin sudah tiba masanya kini, hak untuk memilih kepimpinan teringgi parti harus bermula dari peringkat cawangan lagi.

UMNO sudah berada persimpangan ketika ini. Sudah tiba masanya ahli-ahli UMNO secara keseluruhannya menuntut hak untuk memilih pemimpin tertinggi parti. Sudah sampai ketikanya untuk kehendak rakyat, khususnya kaum Melayu, dizahirkan di dalam pemilihan parti kali ini melalui ahli-ahli UMNO diperingkat Cawangan.

Atas sebab-sebab berikut, saya dengan rasa amat rendah diri ingin mencadangkan agar Mesyuarat Cawangan-cawangan UMNO di seluruh negara mengusulkan senarai nama-nama untuk dicalonkan bagi setiap jawatan tertinggi parti dari Presiden, Timbalan Presiden, Naib-Naib Presiden, dan kalau boleh termasuklah Ahli- ahli Majlis Tertinggi UMNO untuk pertimbangan Mesyuarat Bahagian. Dengan cara ini, kita dapat :

1. memperkasakan dan memanfaatkan mesyuarat Cawangan kerana ahli-ahli yang hadir mesyuarat dapat turut terlibat dalam pemilihan pucuk pimpinan, sekaligus membantu mencukupkan korum mesyuarat

2. menunjukkan sokongan ahli-ahli akar umbi terhadap kepimpinan yang bakal dipilih

3. mendekatkan pemimpin dengan ahli-ahli akar umbi

4. menghindar dari berleluasanya gejala rasuah politik

Saya lampirkan cadangan format usul yang dimaksudkan untuk kegunaan Tuan di mesyuarat Cawangan nanti. Diharapkan cadangan saya ini dapat diterima baik oleh pihak Tuan dan Cawangan yang Tuan terajui. Dengan cadangan ikhlas ini, diharapkan kekuatan UMNO di semua peringkat dapat digarap kembali demi perjuangan parti iaitu untuk Menegakkan Syiar Islam, Memartabatkan Bangsa Melayu, dan Memajukan Tanahair tercinta, Insya’Allah.

Salam hormat.

Yang ikhlas,

YB Dato’ Mukhriz Mahathir

1 Comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda