Manifesto BN Sarawak Bagi PRN 11

Barisan Nasional (BN) Sarawak hari ini melancarkan manifesto 15 perkara yang berpaksikan rakyat bagi pilihan raya negeri ke-11.

Manifesto dengan tema ‘Beri Peluang Kepada TeamAdenan’ dilancarkan oleh Pengerusi BN Sarawak, Tan Sri Adenan Satem di ibu pejabat PBB, di sini Selasa.

15 perkara manifesto adalah seperti berikut:

1. Menegakkan Hak Sarawak dan Rakyatnya

• Kami komited melindungi hak-hak rakyat Sarawak seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, Perjanjian Malaysia 1963, Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) dan Laporan Suruhanjaya Cobbold.

• Kami berjaya dalam rundingan fasa pertama dengan Kerajaan Persekutuan mengenai penurunan kuasa, dan memperkasa tadbir urus Kerajaan Negeri.

• Kami akan meneruskan rundingan fasa kedua yang melibatkan hal berkaitan perundangan dan fasa ketiga yang melibatkan hal kewangan.

• Kami juga akan meneruskan rundingan untuk meningkatkan bayaran royalti minyak dan gas dari lima peratus kepada 20 peratus untuk Sarawak.

2. Mempertahankan Keamanan dan Keharmonian Negeri Kita

• Keharmonian dan keamanan adalah cara hidup rakyat Sarawak dan Kerajaan BN Sarawak akan memastikan tiada elemen negatif merosakkannya.

• Untuk melindungi keamanan dan keharmonian di Sarawak, kami tidak akan teragak-agak menggunakan undang-undang Imigresen untuk menghindarkan tindakan golongan pelampau dan unsur-unsur negatif.

3. Memelihara Budaya, Warisan dan Kepercayaan Pelbagai Kaum di Sarawak

• Kami akan terus mengukuhkan amalan hormat-menghormati di kalangan masyarakat berbilang kaum dan membenarkan setiap individu mengamalkan agama masing-masing.

• Kepelbagaian adalah kekuatan kita dan kami akan terus memelihara perpaduan dan keharmonian untuk keamanan dan kemajuan serta kemakmuran.

4. Menjamin Hak Rakyat ke Atas Tanah Mereka • Kami tetap melindungi hak rakyat ke atas tanah mereka.

• Kami akan meneruskan kerja-kerja survei perimeter semua tanah NCR, dan akan menjalankan kerja survei individu sehingga surat hak milik tanah dikeluarkan untuk semua lot individu.

5. Melindungi dan Memulihara Alam Semula Jadi

• Kami komited untuk mewarta sekurang-kurangnya 10 peratus daripada keluasan tanah negeri sebagai Kawasan Dilindungi Sepenuhnya (TPA). Sarawak telah menetapkan sasaran untuk mempunyai sekurang-kurangnya satu juta hektar TPA menjelang tahun 2020.

• Kami akan terus melindungi alam semula jadi melalui penguatkuasaan yang lebih berkesan dan menggunapakai teknologi terkini.

6. Mempertingkatkan Kebajikan Golongan yang Kurang Bernasib Baik

• Sebagai kerajaan yang prihatin, kami komited untuk meningkatkan lagi kualiti hidup golongan yang kurang bernasib baik dalam masyarakat dan tidak akan membiarkan mereka tercicir dari jaringan keselamatan sosial.

7. Menyediakan Lebih Banyak Rumah Mampu Milik untuk Golongan Berpendapatan Rendah dan Sederhana

• Kami akan mempermudahkan kelayakan bagi membolehkan lebih ramai rakyat Sarawak untuk memiliki rumah mampu milik.

• Dalam tempoh lima tahun akan datang, kami menetapkan sasaran untuk membina 15,000 rumah di bawah projek PR1MA, Rumah Mampu Milik (RMM), Program Perumahan Rakyat (PPR) dan Rumah Mesra Rakyat (RMR).

Skim Pembesaran Kampung

• Kami akan terus menyediakan lebih banyak lot kediaman di bawah Skim Pembesaran Kampung. Program Bantuan Rumah (PBR)

• Kami akan terus membaik pulih kediaman atau membina rumah baharu untuk golongan miskin. 3,678 unit rumah akan dibina atau dibaik pulih pada tahun 2016 di bawah PBR.

Kediaman PR1MA

• Rumah mampu milik yang berkualiti akan dibina di bawah projek PR1MA. Golongan sasar projek ini adalah mereka yang berpendapatan sederhana. Harga rumah yang ditawarkan adalah sehingga 20% lebih rendah daripada harga pasaran.

8. Mempercepatkan Pembangunan Jaringan Jalan, Liputan Bekalan Air, Elektrik dan Telekomunikasi

• Projek infrastruktur terbesar di Sarawak, Lebuhraya Pan Borneo sejauh 1,089 km akan menghubungkan Telok Melano, Lundu di selatan dan Merapok, Lawas di utara. • Kami juga akan membina lebih banyak jambatan dan jalan raya feeder dalam tempoh lima tahun akan datang.

• Kami akan menambah baik jaringan jalan pesisir melalui pembinaan Jambatan Batang Sadong dan Jambatan Batang Lupar.

• Dalam tempoh lima tahun akan datang, kami akan: – membina 1,625 km jalan baharu;

– membekalkan 39,000 isi rumah baharu dengan bekalan elektrik 24 jam,

– bagi meningkatkan liputan kepada 98 peratus isi rumah di Sarawak;

– menyediakan bekalan air terawat kepada 79,000 isi rumah baharu, untuk meningkatkan liputan kepada 96 peratus isi rumah di Sarawak; dan

– meningkatkan liputan jalur lebar kepada 95 peratus di Sarawak.

9. Meningkatkan Akses kepada Perkhidmatan Kesihatan

• Kami komited dalam meningkatkan infrastruktur dan akses kepada perkhidmatan kesihatan yang lebih baik di bandar dan luar bandar.

• Dalam tempoh lima tahun akan datang, kita akan mempunyai nisbah 1 doktor bagi setiap 400 pesakit.

• Nisbah doktor kepada pesakit: – 2010 – 1 doktor bagi setiap 2,000 pesakit – 2015 – 1 doktor bagi setiap 980 pesakit 10. Meningkatkan Penyertaan Wanita dalam Aktiviti Sosio-Ekonomi

• Kami komited meningkatkan peranan wanita dalam bidang industri dan perniagaan serta dalam pembangunan negara.

• Pada tahun 2015, lebih daripada 20 peratus jawatan pembuat keputusan dipegang oleh wanita. Kami akan memastikan bahawa peratusan ini akan meningkat di peringkat negeri dan persekutuan di masa hadapan.

• Kami akan memansuhkan semua undang-undang dan dasar-dasar yang mendiskriminasikan wanita.

11. Mengiktiraf dan Membangunkan Potensi Belia Demi Masa Depan Kita

• Kami mengiktiraf bahawa golongan belia adalah pemimpin-pemimpin masa hadapan.

• Belia di Sarawak akan diberi lebih banyak peluang dalam bidang: – pendidikan; – perniagaan; – pekerjaan; dan – aktiviti sosial, dengan melibatkan mereka dalam program-program pembangunan.

12. Memajukan Pendidikan dan Latihan Teknikal

• Dalam tempoh lima tahun akan datang, kami akan membina lebih banyak pusat kemahiran teknikal dan pusat pendidikan:

– Centre of Technical Excellence (CENTEXS);

– Pusat Pembangunan Kemahiran Sarawak (PPKS);

– Institut Latihan Perindustrian (ILP); dan

– Maktab Rendah Sains MARA (MRSM).

• Dalam tempoh lima tahun akan datang kami akan membina:

– 16 sekolah rendah; dan – 6 sekolah menengah.

• Kami akan membaiki dan menaiktaraf 34 sekolah rendah dan menengah.

13. Mewujudkan Lebih Banyak Peluang Pekerjaan untuk Rakyat Sarawak

• Kami mempunyai Pelan Pembangunan yang komprehensif untuk mentransformasikan ekonomi Sarawak melalui pembangunan sektor pembuatan, perkhidmatan dan pertanian.

• Menerusi SCORE sahaja, lebih satu juta pekerjaan baharu akan diwujudkan menjelang tahun 2030 di mana lebih daripada 50% adalah pekerjaan mahir dan separa mahir.

Program GETS

• Program Graduate Enhancement Training Sarawak (GETS) selama tiga tahun dari 2016 hingga 2018 akan melatih sehingga 5,000 pemegang diploma dan ijazah yang menganggur untuk mempertingkatkan peluang mereka mendapat pekerjaan.

14. Membangunkan Persekitaran Perniagaan yang Kondusif untuk Pelaburan dan Keusahawanan

• Kami komited dalam menyediakan persekitaran yang mesra perniagaan bagi pelabur dan usahawan menerusi kestabilan politik dan ekonomi di negeri ini.

• Menerusi program pengindustrian yang terancang, kami akan menyediakan lebih banyak peluang perniagaan dan pekerjaan serta mewujudkan ekosistem yang lebih baik untuk pembangunan usahawan.

15. Industrialisasikan Negeri Melalui Sektor Pembuatan, Pelancongan dan Transformasi Luar Bandar

• Kerajaan BN Sarawak telah meluluskan peruntukan pembangunan sebanyak RM20 bilion di bawah Rancangan Malaysia ke-11, selain daripada peruntukan Kerajaan Persekutuan.

• Daripada jumlah tersebut, kami memperuntukkan RM1.5 bilion bagi Projek Transformasi Luar Bandar (RTP).

• Kami akan mempromosi dan menarik lebih banyak pelaburan dalam: – aktiviti hiliran sektor pembuatan di SCORE; – mentransformasikan Bintulu sebagai hab petrokimia di rantau ini; dan – industri berteknologi tinggi di Zon Perindustrian Bebas Sama Jaya.

• Kami akan membangunkan infrastruktur pelancongan dan juga menyediakan lebih banyak insentif untuk menyokong pertumbuhan sektor pelancongan di negeri ini.

• Bagi membangunkan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), kami akan membina lebih banyak estet perindustrian termasuk di peringkat daerah.

• Bantuan kewangan dan bukan kewangan akan juga diberikan kepada PKS di Sarawak. – BERNAMA

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Teks ucapan perdana menteri bentang RMK11

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam 1 Malaysia.

Alhamdulillahi Rabbil A’lamin, wa bihi Nastai’n
Selawat dan Salam kepada Rasul Junjungan, Nabi Muhammad SAW, suri tauladan sepanjang zaman.

Tuan Yang Dipertua,

Saya dengan penuh ta’zim berdiri dalam Dewan yang mulia ini, untuk mengemukakan satu usul:

Bahawa Dewan ini,

Menyedari akan cabaran pertumbuhan ekonomi serta pencapaian sosioekonomi semasa pelaksanaan Rancangan Malaysia Kesepuluh;

Merestui usaha Kerajaan untuk meneruskan Dasar Transformasi Nasional atau DTN dalam merangka dan merencana Rancangan Malaysia ke 11 seterusnya;

Meluluskan pelaksanaannya bertunjangkan falsafah Dasar Transformasi Nasional dalam ikhtiar menjadi sebuah negara maju pada tahun 2020, menurut Kertas Perintah 23 Tahun 2015; dan

Bahawa dalam meluluskan Rancangan Malaysia Ke-11, Dewan yang mulia ini menyeru agar semua pihak bersama-sama dan berusaha menjayakan matlamatnya.

Tuan Yang Dipertua serta Ahli-Ahli Yang Berhormat,

1. Beberapa hari yang lalu, kita baru sahaja meninggalkan bulan Rejab. Hari ini pula, Khamis 21 Mei, jatuhnya bersamaan 3 Syaaban 1436 Hijrah, pada salah satu bulan yang mulia, sampailah masa dan ketika yang ditetapkan oleh Allah SWT, bahawa, sebuah lagi dokumen penting lagi bersejarah akan dipersembahkan.

2. Sepertimana tercatat dalam kitab suci Al-Quran, Surah Ali-Imran Ayat 26 dan Ayat 54. Mafhumnya, naik turun atau jatuh bangun sesebuah kerajaan itu adalah dalam rahsia dan kekuasaan penuh Pemilik semesta raya, bukannya di tangan makhluk.

3. Begitulah juga, kemampuan manusia merancang, amat terbatas, kerana sebaik-baik Perancang adalah Tuhan seru sekalian alam.

Tuan Yang Dipertua,

4. Menyusur titian masa, semenjak tahun 1971 hingga 1990, kita telah melalui Dasar Ekonomi Baru atau DEB, dipelopori oleh Allahyarham Tun Abdul Razak, yang mengutamakan pembasmian kemiskinan dan penyusunan semula masyarakat.

5. Di mana ketika itu, untuk mencapai sasaran sosio ekonomi yang lebih saksama, sebagai satu cara mewujudkan keharmonian dan perpaduan dalam negara, yang terdiri daripada pelbagai kumpulan etnik dan agama.

6. Kemudiannya, bermula tahun 1991, sampai kepada tahun 2000, diperkenalkan pula, oleh Tun Dr. Mahathir, Dasar Pembangunan Nasional yang berfokuskan pembangunan seimbang dan membawa kepada lahirnya Wawasan 2020.

7. Dalam pada itu, Dasar Wawasan Negara dilaksanakan, melewati tahun 2001 hingga 2010. Dasar ini pula, memberi penekanan kepada pembangunan masyarakat berasaskan pengetahuan dan mewujudkan bangsa Malaysia yang bersatu padu, progresif lagi makmur, menuju negara maju menjelang 2020.

8. Selanjutnya, dalam episod-episod bersilih ganti, diperkukuhkan lagi dengan beberapa gagasan dan misi nasional oleh Allahyarham Tun Hussein Onn dan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Tuan Yang Dipertua,

9. Sebelum itu, elok saya menjelaskan kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat, khususnya, dan rakyat dikasihi di luar sana, tentang pelbagai dokumen yang dibentangkan oleh pihak Kerajaan, sama ada dalam parlimen atau, di majlis-majlis rasmi.

10. Pertamanya, saban tahun, dalam dewan yang mulia ini, kerajaan usulkan bajet-bajet negara, yang diselaraskan oleh Kementerian Kewangan.

11. Manakala, kira-kira 3 minggu yang lepas, di Angkasapuri, saya telah menyampaikan Laporan Tahunan, merangkumi Program Transformasi Kerajaan dan Program Transformasi Ekonomi.

12. Dokumen itu pula, diseliakan oleh pasukan PEMANDU, bersama kementerian-kementerian dan agensi yang berkaitan.

13. Rancangan Malaysia ini pula, ianya di bawah kelolaan Unit Perancang Ekonomi atau EPU. Untuk pengetahuan ramai, semenjak Unit ini ditubuhkan pada tahun 1961, tugas utamanya adalah untuk menyediakan Rancangan pembangunan negara.

14. Jadinya, jika dihimbau semenjak 5 dekad lalu, melalui 10 rancangan Malaysia, kerajaan Barisan Nasional telah menempa dan mencipta pelbagai ceritera kejayaan yang dapat diperbanggakan.

15. Ini bermakna, Alhamdulillah, negara bertuah ini telah mencapai kemajuan yang dikagumi, dan terus berada di jajaran yang betul serta kukuh.

Tuan Yang Dipertua,

16. Di sinilah, satu hal yang perlu difahami baik-baik, bahawa, kesemua dasar dan wawasan,… setiap satu rancangan,… adalah tali temali, saling kait berkait dan lengkap melengkapi antara satu sama lain secara konsisten sejak puluhan tahun yang lalu.

17. Ertinya,… adalah tidak benar, jika sesetengah pihak menuduh kononnya, dasar Kerajaan hari ini terpisah daripada dasar-dasar yang sebelumnya.

18. Dalam konteks ini, ingin saya tegaskan bahawa, segala perancangan,… gagasan dan dasar kerajaan Perikatan, membawa kepada Barisan Nasional,… sejak meraih kemerdekaan,… bawah pimpinan Tunku Abdul Rahman ketika itu,… hinggalah kini, kita terus berkesinambungan dan beristiqamah pada landasan dan menuju matlamat yang sama.

19. Jelasnya,… bertitik tolak dari Rancangan Malaysia Pertama yang dilaksanakan oleh pucuk pimpinan Parti Perikatan selepas Pilihanraya Umum Malaysia yang pertama tahun 1964, sehinggalah Rancangan Malaysia Kesepuluh, kita telah mampu memperoleh pelbagai nikmat kejayaan.

Tuan Yang Dipertua,

20.Antara 10 pencapaian dan kisah yang boleh diperbanggakan sepanjang sepuluh Rancangan Malaysia yang lalu adalah,… Pertamanya,… pada tahun 1970 nilai KDNK adalah 71.1 bilion ringgit, berbanding pada tahun 2014, ia telah meningkat kepada 1.1 trilion ringgit.

21. Malaysia juga boleh berbangga, kerana telah berjaya mencatat pertumbuhan ekonomi, antara yang tertinggi di Asia, yakni secara purata pada kadar 6.2 peratus setahun sejak lima dekad yang lalu.

22. Kedua, dari sudut struktur ekonomi, kita telah beralih daripada sebuah negara dominan sektor pertanian, dengan sumbangan 31.8 peratus kepada KDNK pada tahun 1970, kepada sebuah negara berasaskan pembuatan dan perkhidmatan, dengan sumbangan pada kadar 76.5 peratus kepada KDNK. Walhal, sektor pertanian telah menguncup kepada paras 9.2 peratus pada tahun lepas.

23. Ketiga, pendapatan bulanan purata isi rumah, juga meningkat lebih 20 kali ganda. Yakni, daripada 264 ringgit sebulan pada tahun 1970 kepada 6,141 ringgit sebulan pada tahun 2014. Manakala, pendapatan penengah atau median income sebulan pada tahun 1970 daripada 166 ringgit, telah meningkat kepada 4,585 ringgit sebulan tahun lalu.

24. Keempat, setakat RMK-10, sebanyak 76.1 peratus daripada isi rumah keseluruhan sudah memiliki kediaman. Bagi isi rumah miskin pula, 75.3 peratus telah berjaya mempunyai rumah sendiri.

25. Kelima, sehingga kini, 95.1 peratus daripada penduduk di seluruh negara, telah mendapat akses kepada bekalan air bersih, dan 97.6 peratus pula, mendapat bekalan elektrik.

26. Keenam, jika pada tahun 1970, hanya 75 peratus rakyat Malaysia boleh membaca dan menulis. Syukurlah, hal ini, kadar literasi telah meningkat kepada 98 peratus.

27. Ketujuh, sebanyak 27 peratus daripada tenaga buruh kini mempunyai pendidikan tertiari, iaitu meningkat empat kali ganda berbanding 6 peratus pada tahun 1980 ketika penghujung Rancangan Malaysia Ketiga.

28. Kelapan, kadar pengangguran telah menurun daripada 7.4 peratus pada tahun 1970 kepada hanya 2.9 peratus pada 2014.

29. Kesembilan, hak milik ekuiti Bumiputera dalam sektor korporat pula, telah meningkat sebanyak 10 kali ganda, yakni, daripada 2.4 peratus pada tahun 1970, kepada 23.5 peratus pada tahun 2011.

30. Dan kesepuluhnya, kadar kemiskinan telah berkurang daripada 49.3 peratus pada tahun 1970, kepada hanya 0.6 peratus pada 2014 yang lalu. Jadinya, bersyukur kita bahawa, kemiskinan tegar telah berjaya dibasmikan.

Tuan Yang Dipertua,

31. Sebermulanya saya mengambil tampuk kepimpinan negara pada 3 April 2009, Kerajaan telah melakarkan Dasar Transformasi Nasional, sebagai falsafah teras kepada pentadbiran negara dihitung dari tahun 2011 sehingga 2020.

32. Dasar Transformasi Nasional ini, dirangka sebagai satu peta halatuju negara, dengan tujuan mentransformasi Malaysia secara tuntas dan holistik, demi melonjakkan kita sebagai sebuah negara maju, High Income Advanced Economy.

33. Ia berasaskan kriteria-kriteria antaranya, untuk mencapai pertumbuhan yang bersifat inklusif, sustainable, growth with equity, kompetitif, progresif, rakyat yang bersahsiah dan morally strong, dalam satu kehidupan masyarakat yang saling berpadu, mengamalkan pula kesederhanaan yakni wasatiyyah, berpaksikan kepada prinsip 1Malaysia.

34. Ringkasnya, kita mahu mencapai satu bentuk kecapan kemakmuran dan kejayaan negara kepada seluruh rakyat, di mana tidak ada mana-mana golongan pun yang akan berasa tercicir atau terpinggir.

Tuan Yang Dipertua,

35. Di bawah lembayung Dasar Transformasi Nasional inilah, lahirnya setakat ini 6 program. Program Transformasi Kerajaan, Program Transformasi Ekonomi, Program Transformasi Politik, Program Transformasi Komuniti, Program Transformasi Sosial dan Program Transformasi Fiskal. Hari ini, satu lagi kertas mustahak, akan saya sampaikan, yakni Rancangan Malaysia Kesebelas.

36. Berhubung rapat dengan falsafah tunjang Dasar Transformasi Nasional yang saya takrifkan sebentar tadi pula, sebelum saya meneruskan dengan pembentangan, moleklah diberi gambaran, bagaimanakah yang dikatakan rupa wajah sebuah Malaysia yang maju itu kelak, pabila tiba penghujungnya Rancangan Malaysia Kesebelas ini.

37. Sebagaimana kita perlu faham, Rancangan Malaysia Kesebelas ini merupakan pelonjak akhir sebelum kita memasuki gelanggang negara maju. Pada waktu itu, kita seharusnya telah mencapai beberapa perkara seperti:

38. Pendapatan Negara Kasar per Kapita telah mencecah 15 ribu dolar Amerika. Dari piawaian antarabangsa, nilai ini telah menepati tahap pendapatan sebagai negara maju. Walaupun demikian, sesebuah negara maju tidak boleh hanya didefinasikan dari sudut pendapatan per kapita.

39. Ringkasnya, pada hemah saya, kita perlu membangunkan sebuah tamadun holistik, di mana masyarakatnya memiliki nilai-nilai tinggi, berakhlak, mencintai pula ilmu pengetahuan, rajin membaca, menghargai seni budaya dan warisan serta memiliki minda yang mencerminkan pula rakyat sebuah negara maju.

Tuan Yang Dipertua,

40. Makanya, melangkah ke hadapan, buat julung kali setelah menerima mandat daripada rakyat secara demokrasi pada pilihanraya umum ke-13 yang lalu, dengan kehendak dan izin yang Maha Berkuasa, saya bentangkan di sini, Rancangan Malaysia Kesebelas dengan Enam Strategi Tumpuan :

Pertama : Inklusiviti;
Kedua : Kesejahteraan Rakyat;
Ketiga : Modal Insan;
Keempat : Pertumbuhan Hijau;
Kelima : Infrastruktur; dan
Keenam : Inovasi dan Produktiviti

41. Bagi mempastikan Enam Strategi Tumpuan RMK-11 ini berjaya mencapai matlamatnya, game changers berikut, akan dilaksanakan sebagai pemangkin ke arah lonjakan yang signifikan bagi menjana pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat secara inklusif.

Pertama : Meningkatkan Produktiviti;
Kedua : Menjana Kekayaan Melalui Inovasi;
Ketiga : Mempertingkat peratusan masyarakat kelas menengah;
Keempat : Menteraskan Pendidikan dan Latihan Teknikal atau TVET;
Kelima : Melaksana Pertumbuhan Hijau; dan
Keenam : Melabur di Bandar-bandar Berdaya Saing.

Tuan Yang Dipertua,

42. Merujuk strategi tumpuan inklusiviti, Kerajaan akan berikhtiar bersungguh-sungguh agar tiada golongan rakyat yang akan tercicir daripada menikmati manfaat kemakmuran dan pembangunan negara.

43. Adalah hakikat, di dunia ini, bagaimana maju pun sesebuah negara itu seperti Amerika Syarikat, United Kingdom dan Jepun, there will always be vulnerable groups, mereka yang berpendapatan rendah,… golongan gelandangan dan yang tidak mempunyai pekerjaan.

44. Selain daripada itu, Malaysia akan terus menangani golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah yakni Bottom 40 percent, atau selepas ini saya akan sebut sebagai B40. Untuk makluman, menurut perangkaan, golongan B40 ini, kini adalah sekitar 2.7 juta isi rumah.

45. Oleh yang demikian, dalam tempoh Rancangan ini, kerajaan mensasarkan pendapatan purata isi rumah B40 meningkat daripada lebih kurang 2,500 ringgit sebulan pada tahun 2014 kepada lebih 5 ribu ringgit sebulan pada tahun 2020 kelak. Ke arah ini, Kerajaan akan mengambil usaha-usaha yang intensif antaranya merapatkan jurang pencapaian pendidikan dan kemahiran serta meningkatkan produktiviti.

46. Bahkan, kadar pekali Gini negara dijangka semakin mengecil daripada 0.401 pada tahun 2014, kepada 0.385 pada tahun 2020. Untuk makluman semua, dari sudut ekonomi, lebih kecil nilai pekali  Gini, bererti kita makin berada dalam keadaan lebih baik, dengan pengagihan pendapatan yang lebih saksama di kalangan rakyat.

47. Bagi menangani kos sara hidup isi rumah B40 ini, inisiatif-inisiatif seperti Klinik 1Malaysia, Menu Rakyat 1Malaysia, Kedai Rakyat 1Malaysia, Kedai Kain 1Malaysia dan Kedai Agrobazaar Rakyat  1Malaysia akan terus dilaksanakan. Pelbagai lagi inisiatif baru akan dibuat dan diperkenalkan sepanjang tempoh Rancangan ini.

48. Pendapatan isi rumah B40 juga dapat dipertingkatkan melalui pendidikan dan kemahiran tinggi. Bagi yang berminat untuk berniaga pula, program sokongan keusahawanan akan ditambah baik  khususnya, perusahaan mikro dan kecil.

49. Di samping itu, saya menyeru dan mahukan sektor swasta, terutamanya syarikat multinasional dan syarikat besar tempatan, supaya menyumbang kepada pembangunan golongan ini dengan cara  menempatkan premis perniagaan atau kilang-kilang mereka, di kawasan majoriti penduduk B40.

50. Seperkara lagi, masyarakat kelas menengah seperti yang dihasratkan oleh kerajaan, dapat ditingkatkan saiznya daripada 40 peratus sekarang, kepada 45 peratus bila tibanya tahun 2020.

Tuan Yang Dipertua,

51. Dalam hal memperkasa komuniti untuk membina masyarakat yang produktif dan sejahtera, tentulah tumpuan akan diberikan kepada kanak-kanak, belia, warga emas, wanita dan kaum majoriti Bumiputera.

52. Bagi golongan wanita, peranan mereka bukan sahaja terhad kepada pembentukan keluarga yang bahagia tetapi juga menyumbang kepada kemajuan sosioekonomi.

53. Kadar penglibatan tenaga kerja wanita akan meningkat daripada 54 peratus pada tahun 2014, kepada 59 peratus menjelang 2020.

54. Kerajaan juga akan terus melaksanakan dasar yang menentukan pembabitan wanita di peringkat pengurusan dan pembuat keputusan pada kadar 30 peratus di sektor awam dan swasta.

55. Kepada golongan belia pula, yang menjadi harapan dan aset penting negara, dengan Dasar Belia Negara yang baru, kerajaan mahukan potensi mereka dicapai sepenuhnya melalui pengupayaan, pendidikan dan latihan kemahiran, keusahawanan, sukan dan kesukarelawan.

56. Ke arah ini, seperti mana dalam Bajet 2015 yang lalu, Kerajaan telah mengumumkan cadangan pelaksanaan tiga projek perintis bagi 1Malaysia Youth City, iaitu di Semenanjung, Sabah dan Sarawak dengan peruntukan sebanyak 100 juta ringgit.

57. Di bawah RMK-11 pula, 1Malaysia Youth City akan mempunyai ekosistem komprehensif, bagi membolehkan belia meningkatkan keupayaan dan memajukan diri dalam pekerjaan dan keusahawanan di samping menikmati kemudahan rekreasi, perumahan, termasuklah rumah transit.

58. Bagi golongan kanak-kanak pula, pusat penjagaan kanak-kanak berkeperluan khas akan diperbanyak. Sementara itu, bagi yang berumur 13 hingga bawah 18 tahun, dan tinggal di institusi kebajikan akan diberi peluang untuk mendapat pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional atau TVET.

59. Selanjutnya, sumbangan dan khidmat bakti yang telah ditabur oleh warga emas kepada negara ini akan senantiasa dihargai. Justeru, sebagai masyarakat penyayang dan prihatin, fasiliti penjagaan  warga emas akan ditambah baik dan diperbanyakkan dari masa ke semasa sepanjang tempoh Rancangan ini.

60. Seterusnya, bagi golongan orang kurang upaya, kerajaan akan memperkukuh kesejahteraan mereka dengan memperluaskan lagi peluang pendidikan, latihan kemahiran dan keusahawanan kepada mereka.

61. Melalui Rancangan ini, Kerajaan dengan kerjasama sektor swasta mensasarkan penambahan 7 lagi pusat kehidupan berdikari baharu di seluruh negara, yang akan memberi manfaat kepada sejumlah hampir 11 ribu OKU.

62. Kerajaan juga komited mencapai sasaran penyertaan OKU untuk mengisi lebih 16 ribu jawatan dalam sektor awam melalui pertimbangan khas. Kini, seramai hampir 4 ribu OKU sedang berkhidmat dalam sektor awam.

Tuan Yang Dipertua,

63. Selaras dengan konsep inklusiviti, bagi mempastikan pertumbuhan ekonomi negara dapat dinikmati oleh rakyat Malaysia tanpa mengira gender, etnik, status sosioekonomi dan kedudukan geografi, tumpuan turut diberikan kepada semua kumpulan etnik, sub-etnik dan kumpulan minoriti hatta rakyat Malaysia berketurunan Siam dan Portugis.

64. Antaranya, Program Skim Pinjaman Khas Kampung Baru Cina akan diteruskan dengan menumpukan kepada pinjaman mikro kredit.

65. Bagi masyarakat India pula, satu Blueprint yang menggariskan hala tuju pembangunan sosioekonomi mereka akan disediakan.

66. Untuk Orang Asli dan Bumiputera di Sabah serta Sarawak, tumpuan akan diberikan kepada pemberian hak milik tanah adat atau NCR bagi menggalakkan pembangunan tanah dengan teknologi moden melalui agensi kerajaan berkaitan.

67. Kepada masyarakat Melayu di perkampungan tradisi terutama nelayan dan petani serta isi rumah yang bekerja sendiri, akan disediakan kemudahan-kemudahan asas yang diperlukan termasuk memodenkan aktiviti-aktiviti bagi meningkatkan produktiviti serta pendapatan mereka.

Tuan Yang Dipertua,

68. Bercakap tentang pembangunan bandar dan luar bandar secara saling melengkapi, penyediaan prasarana asas luar bandar seperti jalanraya akan diteruskan, terutamanya di Sabah dan Sarawak.

69. Kerajaan akan membina 3 ribu kilometer jalan berturap lagi di luar bandar bagi tempoh 2016 sehingga 2020. Akses kepada bekalan air dan elektrik di seluruh negara pula, akan dipertingkatkan kepada 99 peratus pada tahun 2020.

70. Bagi bekalan air bersih dan terawat melalui Projek Bekalan Air Luar Bandar pula, sukacita dinyatakan, lebih 10 bilion ringgit akan diluluskan.

71. Manakala, lebih 3 bilion ringgit lagi, turut diluluskan untuk Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar. Ini,… akan memberi impak kepada hampir 40 ribu rumah.

Tuan Yang Dipertua,

72. Dari aspek pembangunan ekonomi wilayah, dalam tempoh 2011 sehingga 2014, lima koridor, iaitu Iskandar Malaysia, Koridor Pembangunan Sabah, Wilayah Ekonomi Pantai Timur, Koridor Utara dan Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak, telah berjaya menarik pelaburan komited sebanyak 307 bilion ringgit, dengan 57 peratus atau 175 bilion ringgit pelaburan. Jumlah pelaburan ini, menjana sebanyak lebih 427 ribu peluang pekerjaan.

73. Maka, untuk RMK-11 ini, kerajaan mensasarkan sebanyak 236 bilion ringgit pelaburan dan mewujudkan sebanyak 470 ribu pekerjaan lagi di kelima-lima koridor wilayah tersebut.

Tuan Yang Dipertua,

74. Berhubung hal pembangunan ekonomi wilayah juga, sukacita saya umumkan,… kerajaan akan mewujudkan Malaysia Vision Valley.

75. Malaysia Vision Valley ini yang terletak di bahagian barat Negeri Sembilan, meliputi Nilai, Seremban dan Port Dickson dengan cadangan kawasan seluas 108 ribu hektar.

76. Sebagai makluman, Malaysia Vision Valley ini merupakan satu lagi projek pembangunan bersepadu baharu, meliputi beberapa kluster strategik yang bertujuan untuk melengkapi pembangunan di Lembah Klang, khususnya di Putrajaya dan Kuala Lumpur.

Tuan Yang Dipertua,

77. Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera pula, akan terus menjadi agenda nasional. Peratus Bumiputera kepada populasi negara kini, adalah 68 peratus berbanding 62 peratus 25 tahun yang lalu.

78. Maka dengan itu, inisiatif-inisiatif bagi Bumiputera bukan sekadar harus, tetapi wajib dilaksanakan. Kerajaan akan tetap memperjuangkan dasar-dasar Bumiputera, tetapi mestilah berasaskan meritokrasi sesama Bumiputera.

79. Seterusnya, ucapan Agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera yang dilancarkan pada 2013, kita komited dan berazam sepenuhnya, untuk mensasarkan kadar 30 peratus Pemilikan Ekuiti Bumiputera, berjaya dicapai menjelang 2020 nanti. Insya-Allah.

80. Seterusnya lagi, untuk meningkatkan pemilikan ekuiti korporat Bumiputera, sukacita saya ingin memaklumkan bahawa, pengeluaran wang dari Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja untuk melabur dalam Amanah Saham Bumiputera 2 akan dilancarkan, tertakluk kepada syarat penabungan minima.

Tuan Yang Dipertua,

81. Kesejahteraan rakyat adalah segala-galanya. Apa ertinya kemajuan tanpa sentosa dan bahagia mendatangi kehidupan.

82. Oleh itu, di bawah RMK-11 ini, tahap kesihatan rakyat dan kualiti penjagaan kesihatan akan terus dipertingkatkan. Ke arah itu, antara inisiatifnya, bilangan katil di kedua-dua hospital awam dan swasta akan ditingkatkan sebanyak 25 peratus kepada 73 ribu katil pada tahun 2020.

83. Sasaran ini akan dicapai antaranya, menerusi pembinaan 6 hospital baru di Kemaman, Bentong, Baling, Pendang, Pasir Gudang dan Maran. Manakala, 2 buah hospital di Sabah iaitu Hospital Tawau dan Hospital Kota Marudu serta Hospital Miri di Sarawak akan dinaiktaraf. Selain pembinaan hospital baru, Kerajaan juga sedang giat menyiapkan hospital di Sri Aman, Sarawak.

84. Di samping itu, bagi menambahbaik akses kepada penjagaan kesihatan terutamanya di kawasan luar bandar, sebanyak 165 buah Klinik 1Malaysia akan dibina dengan kos sebanyak 33 juta ringgit.

85. Pada masa yang sama, lebih ramai pakar perubatan dan kakitangan kesihatan yang berkemahiran tinggi akan disediakan. Matlamat Rancangan ini, menjelang tahun 2020, nisbah doktor kepada penduduk dijangka meningkat kepada seorang doktor bagi setiap 400 penduduk.

86. Dalam perkara ini, sekalipun World Health Organization atau WHO, tidak menetapkan apa-apa nisbah khusus, namun sekadar perbandingan dan makluman, Ahli-Ahli Yang Berhormat, nisbah doktor kepada populasi kita kalau nak dibandingkan dengan negara Singapura 1 kepada 502, manakala di United Kingdom adalah 1 kepada 358. Ini adalah satu hal yang sungguh positif.

87. Bahkan, selain daripada perkhidmatan kesihatan awam kita yang hampir percuma, yakni bayaran hanya seringgit jika kita ke Hospital Kerajaan dan Klinik 1 Malaysia,…bagi rawatan pesakit luar.

88. Secara keseluruhannya lagi, WHO telah mengiktiraf bahawa, sistem perkhidmatan kesihatan di negara ini adalah antara yang terbaik di rantau Pasifik Barat.

89. Meskipun begitu, kita perakui hakikat bahawa kita masih perlu menangani kekurangan pakar-pakar perubatan khususnya, di kawasan-kawasan luar bandar.

Tuan Yang Dipertua,

90. Rumah tempat tinggal, dan bumbung tempat berlindung dari panas dan hujan, adalah antara 3 keperluan asas kehidupan kepada semua.

91. Seiring ini, bagi meneruskan agenda pemilikan perumahan rakyat, semenjak 2013, Kerajaan mensasarkan untuk membina 1 juta rumah mampu milik untuk rakyat.
92. Jadinya, bagi merealisasikan sasaran tersebut, pembinaan perumahan mampu milik kepada rakyat dibuat melalui kerjasama antara kerajaan negeri dan sektor swasta antaranya, menerusi program PR1MA, Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia, Projek Perumahan Rakyat dan Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia.

93. Daripada jumlah 1 juta unit rumah yang dihasratkan tersebut, sebanyak 182 ribu unit rumah dijangka dapat disiapkan sepenuhnya pada akhir tahun 2015. Di samping itu, kira-kira lebih 23 ribu unit telah disediakan oleh kerajaan negeri dan FELDA.

94. Jikalau, dalam tempoh RMK-10, sekitar 74,300 unit rumah mampu milik telah dibina oleh sektor swasta di pelbagai negeri, di bawah RMK-11 pula, sejumlah 653 ribu unit rumah lagi akan dibina juga oleh pelbagai pihak.

Tuan Yang Dipertua,

95. Sebagai satu program baru lagi, yang akan mengubah wajah rumah-rumah di kampung dan luar bandar, sukacita saya mengumumkan bahawa, satu program baik-pulih secara besar-besaran melibatkan sebanyak 400,000 rumah dalam tempoh Rancangan. Sebanyak 5,000 ringgit hingga 10,000 ringgit akan diperuntukkan kepada setiap rumah.

Tuan Yang Dipertua,

96. Sememangnya bidang sukan merupakan medium perpaduan yang sangat diminati dan popular di kalangan rakyat. Oleh itu, Kerajaan akan menggalakkan bidang ini demi melahirkan atlet-atlet jagoan dan bertaraf dunia seperti Dato’ Lee Chong Wei, Datuk Nicol Ann David, Sazali Abdul Samad dan Pandelela Rinong.

97. Lantaran itu, bagi melahirkan lebih ramai atlet yang cemerlang, di bawah RMK-11, Universiti Malaya dipilih untuk menumpukan kecemerlangan dalam sukan badminton, manakala Universiti Teknologi MARA akan menumpukan kepada kecemerlangan sukan bola sepak.

98. Di samping itu, Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari, di Gambang Pahang, yang telah dilancarkan pada tahun 2014 akan terus diperhebat demi mempastikan pembangunan pemain, kejurulatihan, kemudahan dan pertandingan secara berterusan, dilaksanakan pada peringkat usia muda.

Tuan Yang Dipertua,

99. Kemajuan juga bererti berkembangnya kesenian, kebudayaan dan ketamadunan. Sebab itulah, RMK-11 turut mementingkan golongan karyawan dan penggiat seni tanahair.

100. Untuk itu, aktiviti kesenian akan dipergiat dengan menaik taraf Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan atau ASWARA, daripada tahap akademi kepada status universiti dalam usaha menghasilkan penggiat seni dan budayawan yang berkaliber. Sehubungan itu juga, industri kreatif akan terus dipergalakkan.

Tuan Yang Dipertua,

101. Modal insan adalah sumber terpenting kepada pembangunan negara. Maju atau mundurnya sesebuah negara bergantung penuh kepada kekuatan dan kehebatan nilai, kompetensi dan kemahiran insaniah.

102. Berhubung ini, sukalah saya maklumkan, melalui RMK-11 ini sejumlah 1.5 juta peluang pekerjaan baharu, bakal diwujudkan.

103. Antara langkah yang akan diambil ialah, menambah baik produktiviti buruh dan gaji, serta mempertingkatkan kecekapan operasi pasaran buruh.

104. Selanjutnya, pada akhir tempoh RMK-11 kelak, Kerajaan mensasarkan peningkatan produktiviti buruh pada kadar purata 3.7 peratus setahun, berbanding 2.6 peratus setahun pada RMK-10.

105. Dalam Rancangan ini, Kerajaan juga mensasarkan agihan pampasan pekerja kepada KDNK meningkat kepada 40 peratus, berbanding dengan 34 peratus pada tahun 2013. Maksudnya, jika sesebuah syarikat menjana 10 ribu ringgit, agihan yang diberikan kepada pekerja adalah secara puratanya 4 ribu ringgit.

Tuan Yang Dipertua,

106. Merujuk kepentingan dan kebajikan warga kerja, Kerajaan akan memperkenalkan Indeks Gaji Nasional sebagai petunjuk dan penanda aras kepada majikan dalam menetapkan gaji yang setimpal dengan produktiviti, kemahiran, kelayakan dan kepakaran pekerja.

107. Dalam pada itu, paras Gaji Minimum akan terus dikaji secara berkala berasaskan persetujuan tripartite, yakni pihak Kerajaan, majikan dan kesatuan pekerja.

Tuan Yang Dipertua,

108. Realitinya lagi, dalam menuju negara maju, kita memerlukan lebih ramai pekerja yang berkemahiran tinggi. Oleh sebab itu, Kerajaan mahu supaya lebih ramai pelajar yang mendapat pendidikan  berbentuk kemahiran dan vokasional dilatih dan dilahirkan, yang jumlahnya kini hanya 25 peratus daripada tenaga kerja.

109. Rancangan ini bermatlamat melonjakkan jumlahnya kepada 35 peratus, supaya dapat beriring dengan graduan akademik dan profesional.

110. Sebab itulah, dalam mengatasi dan mendepani keperluan ini, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional atau TVET akan diperkasakan.

111. Ke arah ini, sukacita saya mengumumkan antara lain, 1 bilion ringgit akan diperuntukkan kepada Tabung Pembangunan Kemahiran, berbanding 500 juta ringgit pada tempoh Rancangan yang lalu.

112. Melalui program ini, lepasan TVET berpeluang untuk mendapat pekerjaan dengan kadar pendapatan nilai tambah yang tinggi dalam sektor-sektor seperti minyak dan gas, kejuruteraan penerbangan, perkapalan serta automotif.

113. Selain itu, Program Sistem Latihan Dual Nasional disesuaikan daripada model latihan TVET di negara Jerman yang 70 peratus kandungan latihan adalah berorientasikan apprenticeship. Ianya dijangka meningkatkan jumlah pelatihnya daripada 164 ribu kepada 225 ribu pelatih pada tahun 2020.

114. Sehubungan ini, bagi menggalakkan penglibatan sektor swasta dalam program apprenticeship ini, Kerajaan bercadang memberi insentif berbentuk geran dan pengecualian cukai pendapatan.

Tuan Yang Dipertua,

115. Laginya, dalam ikhtiar meningkatkan kualiti penyampaian pendidikan, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 sedang dilaksanakan dengan rapi.

116. Daya saing sesebuah negara bergantung kepada penguasaan kita dalam pendidikan STEM atau Science, Technology, Engineering and Mathematics. Begitu juga, pentingnya penguasaan Bahasa Inggeris yang baik dan bahasa kebangsaan sebagai pengukuhan jati diri rakyat Malaysia.

117. Di samping itu, Kemahiran Berfikir Aras Tinggi serta pendidikan agama dan moral adalah di antara subjek yang perlu diberi keutamaan.

Tuan Yang Dipertua,

118. Seperkara yang mustahak lagi, ingin saya nyatakan kepada Dewan yang mulia, dalam tempoh Rancangan,… kadar penyertaan murid dari peringkat prasekolah sehingga sekolah menengah akan disasarkan kepada 100 peratus enrolmennya menjelang 2020.

119. Untuk pendidikan rendah dan menengah juga, sejumlah sekurang-kurangnya 80 buah sekolah baru akan dibina di seluruh negara dalam tempoh 2 tahun pertama semasa Rancangan, meliputi antaranya 2 buah di Perlis, 2 buah di Melaka, 5 buah di Sabah dan 5 buah lagi di Sarawak.

120. Ini tidak termasuk sebagai contoh, dua buah Maktab Rendah Sains MARA yang akan dibina di Sik, Kedah dan Tanah Merah, Kelantan, serta sebuah sekolah menengah yang majoritinya Orang Asli di  Sungai Siput, Perak yang sudah hampir siap binaannya.

121. Manakala, beberapa buah Sekolah Berasrama Penuh akan dibina, seperti di Keningau, Sabah dan Manjung, Perak.

122. Menyentuh pendidikan tinggi pula, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) merupakan antara strategi utama RMK-11.

123. Langkah ini dijangka dapat menyokong pencapaian sasaran 80 peratus graduan mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas menamatkan pengajian.
Tuan Yang Dipertua,

124. Berbicara tentang pertumbuhan hijau, pada Sidang Kemuncak Perubahan Iklim Copenhagen 2009, Malaysia telah dengan secara sukarela mensasarkan pengurangan intensiti pelepasan gas rumah kaca atau Greenhouse Gas daripada KDNK, sehingga 40 peratus menjelang tahun 2020.

125. Sehingga akhir tahun 2013, Malaysia telah berjaya mengurangkan sebanyak 33 peratus intensiti pelepasan Greenhouse Gas daripada KDNK, hasil daripada pelaksanaan langkah mitigasi.

126. Di sudut ini juga, senario global warming yang berlaku di seluruh dunia telah mengakibatkan pelbagai bencana alam seperti banjir, hakisan pantai dan tanah runtuh. Ini telah menjejaskan aktiviti ekonomi serta punca pendapatan dan keselamatan rakyat.

127. Selain itu, untuk projek Rancangan Tebatan Banjir atau RTB, antaranya, Kerajaan akan melaksanakan RTB Sungai Kelantan secara bersepadu melalui pembinaan empangan Nenggiri dan Lebir.

128. Projek-projek lain termasuklah RTB Sungai Kuantan, Pahang, Sungai Moyog di Sabah, Sungai Perak dan Sungai Kemaman di Terengganu.

Tuan Yang Dipertua,

129. Pembangunan infrastruktur adalah tulang belakang dalam melonjakkan kemajuan negara serta kesejahteraan rakyat.

130. Rancangan ini menarik perhatian kepada antaranya beberapa pembangunan infrastruktur yang akan memberi impak tertinggi dalam mencapai status negara maju. Ini, termasuklah pembinaan lebuhraya, kemudahan MRT dan LRT, loji janakuasa elektrik, loji rawatan air, dan inisiatif jalur lebar berkelajuan tinggi.

131. Bagi pembangunan rangkaian jalan raya, Lebuh Raya Pan Borneo sepanjang 2,239 kilometer yang sedang dibina, akan meningkatkan hubung-jalin di Sabah dan Sarawak.

132. Manakala, Central Spine Road, yang menghubungkan Kuala Krai ke Simpang Pelangai Pahang dan Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai akan menambah-baik hubung-jalin di Semenanjung Malaysia dan memangkin pertumbuhan di wilayah pantai timur.
133. Kemudiannya lagi, Lebuh Raya Pantai Barat yang dijangka siap pada tahun 2019, akan menyediakan akses yang lebih baik kepada penduduk pantai barat di Perak dan Selangor.

134. Juga, Projek Landasan Berkembar Gemas-Johor Bahru dengan jarak 197 kilometer akan dilaksanakan.

Tuan Yang Dipertua,

135. Bagi pengangkutan awam juga, suka saya kongsikan, pembinaan Klang Valley Mass Rapid Transit Laluan Sungai Buloh ke Kajang, Laluan Sungai Buloh – Serdang – Putrajaya dan LRT3, kesemuanya akan berlangsung dalam RMK-11.

136. Pembinaan High Speed Rail juga untuk makluman Tuan Yang Dipertua, yang akan menjajari Bandar Malaysia di Kuala Lumpur, hingga ke Jurong East di Singapura, akan dilaksanakan.

137. Kemudahan ini bakal mempercepatkan perjalanan KL ke Singapura, pada hanya 90 minit. Setelah siapnya projek ini kelak, akan meningkatkan manfaat ekonomi antara kedua-dua buah negara yang paling pesat membangun di rantau ini.

Tuan Yang Dipertua,

138. Berkait perkhidmatan jalur lebar pula, Kerajaan akan meningkatkan liputannya secara menyeluruh, melalui Inisiatif Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi atau HSBB2, dan Inisiatif Jalur Lebar Pinggir Bandar untuk menyokong pertumbuhan ekonomi.

139. Dengan ini, sukacita dimaklumkan, menjelang 2020, semua isi rumah di ibu negeri dan kawasan pertumbuhan berimpak tinggi, akan mendapatkan akses perkhidmatan jalur lebar berkelajuan 100 megabit sesaat.

140. Manakala, saudara-saudara kita di kawasan pinggir bandar dan luar bandar pula akan dapat akses perkhidmatan jalur lebar 20 megabit sesaat…dalam kata lain, lagi laju daripada rumah kita sekarang ini.

Tuan Yang Dipertua,

141. Seterusnya, loji-loji janakuasa elektrik baharu untuk menjana 7,626 Megawatt kuasa elektrik akan dibina. Antaranya adalah 3 buah projek loji janakuasa elektrik arang batu di Johor, Perak dan Negeri Sembilan serta 2 buah projek loji janakuasa elektrik gas di Pulau Pinang dan Johor.

142. Ini semua, dengan anggaran jumlah kos pelaburan sebanyak 28 bilion ringgit dan akan mewujudkan lebih kurang 35,000 jumlah peluang pekerjaan baharu.

Tuan Yang Dipertua,

143. Loji Rawatan Air Langat 2 pula adalah penting bagi menjamin bekalan air yang berterusan. Margin rizab bagi Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada masa sekarang adalah lebih kurang 4 peratus.

144. Bagi mempastikan margin rizab di antara 10 hingga 15 peratus seperti yang digariskan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara, pelaksanaan ini perlu disegerakan. Kelewatan pelaksanaan projek ini akan menyebabkan integriti bekalan air dan kesejahteraan rakyat Selangor serta Lembah Kelang terjejas.

Tuan Yang Dipertua,

145. Di sudut lain, perkhidmatan pembetungan bersambung pula disasarkan meningkat daripada 63 peratus kepada 80 peratus di bandar utama. Oleh itu, Projek Loji Rawatan Serantau dan Rangkaian Paip Pembetungan di Kinta Barat, Papan, Perak,… akan dibina dengan anggaran kos berjumlah 2 bilion ringgit.

Tuan Yang Dipertua,

146. Berhubung sumber gas asli, medan gas yang sedia ada, khususnya di Semenanjung Malaysia semakin matang. Dari itu, kemudahan pengimportan gas asli perlu ditambah untuk memenuhi permintaan gas asli pada masa hadapan.

147. Lantasnya, Terminal Regasifikasi 2 sedang dibina di Pengerang, Johor sebagai tambahan kepada Terminal Regasifikasi 1 di Melaka, yang mula beroperasi pada tahun 2013.

148. Selain itu, pembangunan Kompleks Bersepadu Petroleum Pengerang akan terus dilaksanakan dengan pelaburan sebanyak 53 bilion ringgit pada 2016.

149. Selain daripada itu, projek infra utama yang akan dilaksanakan dalam Rancangan ini, termasuklah pembinaan lapangan terbang Mukah dan Lawas di Sarawak, pembesaran lapangan terbang Kota Bharu dan penambahbaikan Pelabuhan Kuantan. Terminal Padang Besar juga akan dinaiktaraf dalam merancakkan lagi kendalian kargo dari Selatan Thailand untuk dieksport melalui Pelabuhan Klang.

Tuan Yang Dipertua,

150. Seterusnya, kajian empirikal membuktikan bahawa wujudnya korelasi yang kuat antara inovasi dan produktiviti. Survival dan berjayanya sesebuah organisasi atau negara itu, sangat bergantung kepada penekanan terhadap dua perkara ini.

151. Justeru, untuk sentiasa kekal mendepani kelok kemajuan, Malaysia akan terus membudayakan inovasi yang membawa kepada peningkatan produktiviti dalam semua peringkat, sama ada di peringkat nasional, industri mahupun perusahaan.

152. Sehubungan itu, satu Blueprint Produktiviti Nasional akan digubal bagi menggariskan hala tuju serta merangka tindakan komprehensif lagi spesifik dalam memacu produktiviti. Bagi maksud ini, Majlis Produktiviti Nasional akan diwujudkan.

153. Salah satu langkah untuk meningkatkan produktiviti, Pasukan Petugas Logistik Kebangsaan akan ditubuhkan untuk menyelaras, dan memantau pelaksanaan Pelan Induk Logistik dan Fasilitasi Perdagangan.

154. Sektor industri pengangkutan dan penyimpanan dijangka berupaya mewujudkan sejumlah 146 ribu peluang pekerjaan baharu berkemahiran tinggi kepada rakyat.

155. Dalam usaha meningkatkan tahap inovasi negara lagi, Kerajaan akan turut mengambil pendekatan yang pelbagai. Umpamanya, peralihan daripada pendekatan secara Government-centric kepada pendekatan keseluruhan masyarakat dan memberi peluang kepada penglibatan organisasi berasaskan komuniti.

156. Selaras itu, kerjasama penyelidikan antara Kerajaan, industri dan ahli akademik akan terus diperkemas. Salah satu contoh sedia ada adalah, seperti Steinbeis Malaysia Foundation, SIRIM-Fraunhofer dan Jaringan Penyelidikan Awam Swasta yang ditubuhkan bagi meningkatkan pengkomersialan hasil penyelidikan.

157. Makanya, menjelang tahun 2020, pengkomersialan output R&D disasar meningkat kepada 10 peratus berbanding 5 peratus pada tahun 2013.

Tuan Yang Dipertua,

158. Melalui Rancangan ini juga, sektor-sektor utama seperti perkhidmatan, pembuatan, pertanian, perusahaan kecil dan sederhana, akan terus dipastikan signifikasi sumbangannya kepada KDNK negara.

159. Dalam sektor perkhidmatan, antara industri yang akan digalakkan adalah kewangan Islam, ICT, minyak dan gas, penjagaan kesihatan swasta, pendidikan tinggi swasta, pelancongan dan industri Halal.

160. Pada tahun ini, Blueprint Sektor Perkhidmatan yang mempunyai 29 pelan tindakan, mensasarkan peningkatan produktiviti buruh dari 68,111 ringgit pada tahun 2015, kepada 83,411 ringgit menjelang tahun 2020. Sektor ini, Insya-Allah, dijangka menyumbang sebanyak 55.3 peratus kepada KDNK.

161. Bagi sektor pembuatan pula, akan dipacu oleh beberapa subsektor pemangkin iaitu kimia, elektrik dan elektronik, mesin dan peralatan, peranti perubatan serta aeroangkasa. Yang penting, sektor ini akan membuka 2.8 juta lagi peluang pekerjaan.

162. Seterusnya, bagi merancakkan pertumbuhan eksport baru-baru ini, Majlis Eksport Negara telah ditubuhkan. Majlis ini bertanggungjawab bagi menggalakkan pertumbuhan eksport termasuk meningkatkan ekosistem eksport dengan menaik taraf infrastruktur, meningkatkan aktiviti dalam rantaian nilai, memaksimumkan peluang perdagangan terutamanya dengan negara-negara ASEAN dalam jangkamasa pendek dan sederhana.

Tuan Yang Dipertua,

163. Jika negara perlu melakukan inovasi, bandar-bandar utama kita juga perlu melakukan inovasinya supaya kekal relevan. Kini, bandaraya-bandaraya besar dunia, bukan hanya berlumba-lumba mencari pelaburan, tetapi ia menjadi persaingan bakat-bakat terbaik dunia untuk mentransformasikan bandar-bandar ini dan seterusnya negara mereka.

164. Jika dahulu, kalau berbicara tentang negara China, hanya bandar Beijing dan Shanghai diperkatakan. Namun kebelakangan ini, bandar-bandar lain di negara China seperti Shenzhen atau Guangzhou, menjadi sebutan di persada dunia.

165. Justeru, bagi meningkatkan daya saing negara, bandar-bandar Kuala Lumpur, Johor Bahru, Kuching dan Kota Kinabalu telah dikenal pasti untuk melonjak pertumbuhan ekonomi. Bandar-bandar ini akan merangka pelan induk persaingan masing-masing supaya selaras dengan aspirasi negara di bawah RMK-11.

Tuan Yang Dipertua,

166. Sesungguhnya, kita sentiasa menghargai jasa dan khidmat kakitangan awam dan anggota keselamatan. Untuk itu, dalam Rancangan ini, Kerajaan akan terus menjamin kebajikan mereka seperti pembangunan kerjaya, skim perkhidmatan dan perumahan dari masa ke semasa.

167. Di samping itu, penyampaian perkhidmatan awam kepada rakyat akan terus dimantapkan dari segi kepantasan khidmat, kecekapan dan integriti.

Tuan Yang Dipertua,

168. Bagi keseluruhan pelaksanaan Rancangan Malaysia Kesebelas ini, Kerajaan akan menyediakan siling peruntukan perbelanjaan pembangunan sebanyak 260 bilion ringgit sepanjang tempoh 2016 hingga 2020.

PENUTUP

Tuan Yang Dipertua,

169. Seandai dan sekira diqabul dan diperkenankan oleh Allah jua, realitinya, dalam pada kita menongkah separuh jalan Rancangan ini, tinggal hanya setahun dua saja lagi, era yang disebut sebagai beyond 2020.

170. Meskipun dengan segala perencanaan yang kita perbuat ini, gambaran dan warna Malaysia pasca 2020 nanti, adalah amat penting untuk dijiwai suasana dan keadaannya kala itu. Barulah kita dapat berfirasat dalam meneruskan momentum pertumbuhan dan rentak perjalanan, sebuah kelana negara ini supaya tidak tersasar.

171. Ini bermaksud, bayangan dan corak Malaysia contohnya, pada tahun 2030, antaranya, jumlah penduduk mencecah kira-kira 36 juta, kadar urbanisasi meningkat kepada 80 peratus, KDNK sebanyak 2.6 trilion ringgit, KDNK per kapita pula melebihi 117 ribu ringgit dan perdagangan dunia dijangka menjangkau 44 trilion dolar Amerika.

172. Yang terlebih utama, kita mahu adalah, wujudnya National Consensus atau Kesefahaman Nasional tentang halatuju negara pasca 2020.

173. Berbalik dan berpasak kepada pelbagai prakarsa atau inisiatif besar, selama bertahun-tahun ini, seperti bajet 2015, telah dirangka atas keseimbangan antara capital economy dan people economy.

174. Tatkala, berdepan dengan ketidak tentuan harga minyak dan kemelut ekonomi global, pada awal tahun ini pula, kerajaan tanpa berlengah telah membuat pengumuman khas, untuk mengambil langkah-langkah proaktif mengubah polisi-polisi bagi mempastikan negara kekal berada di trajektori dan landasan yang betul lagi tepat.

175. Ini membuktikan, kerajaan Barisan Nasional adalah sebuah Kerajaan yang pragmatik dan sistematik dalam menyusun dan mencartakan apa jua kepentingan rakyat,… sekalipun dalam banyak hal, kita telah berbuat sehabis baik begini-begini,… namun,… ditohmahnya pula oleh orang, begitu-begitu,…..

Tuan Yang Dipertua,

176. Dalam hal lain,… apabila Kerajaan dengan ikhlasnya pulak,… memutuskan supaya subsidi pukal diganti dengan subsidi bersasar agar bantuan dapat diberi terus kepada golongan yang sangat memerlukan melalui BR1M,… tiba-tiba,… dituduh dan diperkata pulak,… sekian-sekian.

Tuan Yang Dipertua,

177. Berkenaan GST, umum berpendapat ia adalah baik untuk negara. Namun, setelah mendengar rungutan dan hingga berlakunya kekeliruan kepada rakyat, kita perakui sistem ini, mengambil masa bagi proses pelaksanaannya yang lebih efisien dan memuaskan semua pihak.

178. Sehubungan ini, saya nak nyatakan dalam Dewan Yang Mulia, rakyat sekalian janganlah gundah dan runsing,… kerana,… pihak kerajaan akan memaklumkan tentang hasil kutipan GST ini, ke arah mana perbelanjaannya.

179. Kerana itu,… pagi ini,… saya bagi pihak kerajaan yang menepati janji, ingin menegaskan bahawa,… kita akan mempastikan hasil GST akan diperuntukkan kembali kepada manfaat dan keperluan rakyat keseluruhannya.

Tuan Yang Dipertua,

180. Walaupun, mutakhir ini, pelbagai dugaan dan rintangan dihadapkan, saya dan pihak kerajaan memilih hanya SATU jalan, iaitu terus melangkah ke hadapan dan sekali-kali tidak akan berbalik haluan.

181. Ternyata, benarlah kata-kata para alim dan pujangga, hidup ini sememangnya adalah sebuah perjuangan, laksana lautan yang jarang tenang. Sekali ombak naik, sekali ombak turun. Pergantian musim hujan dan musim panas, adakala masa susah dan adakala masa senang.

182. Justeru,… saya menyeru kepada rakan-rakan yang setia,… sekiranya kita bersabar,… seandainya kita terus kukuhkan kepercayaan,… juga keyakinan di dada,… bertawakal kepada yang Maha Kuasa,… kelak… akan terbentanglah jalan keluar dan kemenangan buat kita.

183. Begitulah, kita wajib menghitung doa dan berharap bahawa Rancangan Malaysia Kesebelas ini, akan disokong dan memanfaati semua lapisan.

184. Tak kiralah,… Pak Tani di kebun, Pesawah di bendang, para nelayan, golongan kolar biru dan putih, ahli-ahli korporat mahupun cendekiawan.

185. Hatta, kepada saudara-saudari kita,… di seberang sana, saya mengajak agar sama-sama mendokong usaha murni Kerajaan untuk menjulang Malaysia gagah dan megah di persada antarabangsa.

Tuan Yang Dipertua,

186. Sesungguhnya, perjuangan ini adalah perjuangan yang murni, demi bangsa Malaysia dan pertiwi. Sememangnya jua, beban dan amanah yang sedang digalas ini, adalah berat dan memerlukan jiwa-jiwa besar serta kekuatan dari segenap penjuru. Barulah sebuah negara bangsa yang maju dan berjaya dapat dijelmakan.

187. Pucuk pangkalnya, janganlah dipersiakan, apa yang sudah kita secara susah payah raih dan kecapi. Jauh sekali meruntuhkannya, nauzubillah,… kelak menyesal tidak berguna lagi,….

188. Lantas, marilah kita merenung bait-bait lagu Kebangsaan, “Negaraku, …. Tanah Tumpahnya Darahku,… Rakyat Hidup Bersatu dan Maju…” Itulah tema,… itulah rahsia,… kecemerlangan kita selama ini.

189. Disimpulkan kalam,… Ya Ilahi,… Ya Robbi,… satukanlah hati-hati kami,… berkatilah perjuangan ini,… seraya kita maktub dan keramatkan rancangan Malaysia Kesebelas ini.

Tuan Yang Dipertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat,

190. Pastinya,…pastinya… setiap satu amal dan setiap satu usaha kita semua,… akan dipersaksi oleh masa dan dihakimi oleh waktu.…

191. Bak kata orang dulu-dulu,… Yang benar tetap benar,…. Buktinya kelak jadi sejarah.

Tuan Yang Dipertua,

Saya mohon mencadangkan.

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Teks penuh ucapan Bajet 2015

to be or not to be

“Bajet 2015: Ekonomi Keperluan Rakyat”.

Tuan Yang Dipertua,

Saya mohon mencadangkan supaya Rang Undang-undang bertajuk “Suatu Akta bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk perkhidmatan bagi tahun 2015 dan bagi memperuntukkan wang itu untuk perkhidmatan bagi tahun itu” dibaca bagi kali kedua.

MUKADIMAH

Tuan Yang Dipertua,

1. Dengan lafaz Bismillahhirahmanirrahim, Alhamdulillahi Rabbil A’lamin, Wa bihi Nastai’n. Diiring pula selawat serta salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW. Marilah bersama
berdoa, dan yang beragama Islam, menadah kedua-dua tangan setingginya, pohon limpah keberkatan juga inayah- Nya, bagi saya membentang sebuah dokumen penting, yakni Bajet 2015 agar dapat didengar dan dihadami sebaiknya oleh Sidang Dewan dan Rakyat Malaysia seluruhnya.

2. Sebelum meneruskan pembentangan, saya bagi mewakili pihak Kerajaan mengucapkan takziah atas kembalinya ke Rahmatullah Allahyarham Tun Hajah Suhaila Binti Tan Sri Mohammad Noah yang merupakan isteri kepada Perdana Menteri ketiga. Semoga rohnya diletakkan di kalangan para solihin dan solihat.

3.Saya…

View original post 11,709 more words

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Intipati Bajet 2015

Berikut ialah sorotan Bajet 2015 bertemakan “BAJET 2015 : EKONOMI KEPERLUAN RAKYAT” yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Rakyat, hari ini.

* Bajet 2015 pelengkap kepada Rancangan Malaysia Ke-10.

* Rancangan Malaysia Ke-11 akan dilancarkan pada Mei 2015.

* Satu pendekatan baharu di kenali sebagai Strategi Pembangunan Nasional Malaysia (MyNDS) sedang digariskan.

* Bajet 2016 akan menjadi pemula kepada pelonjak akhir memacu separuh dekad Malaysia dalam menuju status ekonomi maju berpendapatan tinggi menjelang 2020.

* Sejak 2009, sejumlah 196 projek daripada 12 NKEA dan 6 SRI telah dilaksanakan.

* Jumlah pelaburan mencecah RM219 bilion dan dan lebih 437,000 peluang pekerjaan bernilai tinggi telah diwujudkan.

* Malaysia mencatatkan pertumbuhan KDNK sebanyak 6.3 peratus, yang paling tinggi dalam kalangan negara Asean bagi tempoh separuh pertama 2014.

* FBM KLCI meningkat 114 peratus daripada 884.45 mata pada Januari 2009 kepada 1,892.65 mata pada Julai 2014.

* Permodalan pasaran juga meningkat 162 peratus daripada RM667.87 bilion kepada RM1,749.49 bilion pada 7 Oktober 2014.

* Pendapatan Negara Kasar Per kapita meningkat 50 peratus daripada US$6,700 kepada US$10,060 dalam tempoh lima tahun ini.

* Tahun ini Malaysia dijangka mencapai pertumbuhan ekonomi kukuh antara 5.5 peratus dan 6.0 peratus.

* Defisit fiskal dijangka juga terus turun kepada 3.5 peratus daripada KDNK pada 2014,  3.9 peratus pada 2013, 6.7 peratus pada 2009′

* Bagi 2015, pertumbuhan ekonomi dijangka kekal kukuh antara 5.0 peratus dan 6.0 peratus.

* Defisit fiskal diunjur terus turun kepada 3 peratus daripada KDNK.

* FBM KLCI mencecah 1,892.65 mata pada Julai 2014, mencapai paras tertinggi dalam sejarah negara.

* FDI sebanyak RM38.7 bilion pada 2013 merupakan pelaburan terealisasi sebenar tertinggi sehingga kini.

* Bajet 2015 memperuntuk RM273.9 bilion, peningkatan sebanyak RM9.8 bilion berbanding peruntukan asal 2014.

* Perbelanjaan Mengurus RM223.4 bilion, Perbelanjaan Pembangunan RM50.5 bilion.

* Pada 2015, kutipan hasil Kerajaan Persekutuan diunjurkan sebanyak RM235.2 bilion, peningkatan RM10.2 bilion berbanding 2014.

* Hasil kutipan daripada GST pada 2015 dianggarkan sebanyak RM23.2 bilion.

* Kerajaan mengecualikan beberapa barangan daripada GST berjumlah RM3.8 bilion.

* Pemansuhan SST akan menyaksikan kehilangan hasil sebanyak RM13.8 bilion.

* Kerajaan akan mempunyai baki hasil berjumlah RM5.6 bilion selepas ditolak RM3.8 bilion dan RM13.8 bilion.

* Daripada jumlah tersebut, RM4.9 bilion disalurkan kembali kepada rakyat melalui pakej-pakej bantuan seperti  BR1M.

* Akhirnya, hasil bersih kutipan GST hanya berjumlah RM690 juta.

* Bajet 2015 digubal berfokuskan kepada Ekonomi Keperluan rakyat dengan menggariskan tujuh strategi utama

* Kerajaan melaksanakan Pelan Tindakan Sektor Perkhidmatan

* Skim Jaminan Sektor Perkhidmatan berjumlah RM5 bilion bagi PKS

* Skim Insentif Penyelidikan bagi Perusahaan (RISE) dengan peruntukan RM10 juta

* Memperkenalkan semula Dana Perkhidmatan Eksport (SEF) berjumlah RM300 juta.

* Mengukuhkan Skim Pembangunan Francais dengan peruntukan RM20 juta

* Platform Akaun Pelaburan (IAP) akan diperkenalkan dengan dana permulaan sebanyak RM150 juta

* Sekuriti Kerajaan Malaysia dan terbitan Pelaburan Kerajaan akan disenaraikan dan diurusniagakan di ETBS

* Perbelanjaan menerbitkan sukuk berasaskan prinsip Ijarah dan Wakalah dilanjutkan selama tiga tahun lagi sehingga tahun taksiran 2018

* Kelab Perlindungan dan Ganti Rugi luar negara akan ditubuhkan di bawah Exim Bank, menawarkan perlindungan liabiliti pihak ketiga pada kadar premium yang berpatutan

* Insentif dengan 100 peratus pengecualian cukai pendapatan bagi tempoh lima tahun akan disediakan untuk menggalakkan sektor swasta menyelenggara dan menambah baik kawasan perindustrian di kawasan kurang membangun

* Insentif 70 peratus pengecualian cukai pendapatan bagi tempoh lima tahun akan disediakan kepada pihak swasta yang menguruskan kawasan perindustrian di kawasan lain

* Bagi industri yang mempunyai kebergantungan buruh yang tinggi, elaun modal perbelanjaan automasi sebanyak 200 peratus akan disediakan ke atas RM4 juta perbelanjaan pertama bagi tempoh 2015-2017.

* Bagi industri lain, elaun modal automasi 200 peratus akan disediakan ke atas RM2 juta perbelanjaan modal pertama bagi tempoh 2015 hingga 2020.

* Lebuh Raya Sungai Besi-Ulu Klang (SUKE) sepanjang 59 kilometer yang bernilai RM5.3 bilion akan dibina.

* Lebuh Raya Pantai Barat dari Taiping ke Banting sejauh 276 kilometer dengan kos pembinaan RM5 bilion akan dibina.

* Lebuh Raya Lingkaran Luar Kuala Lumpur – Hubungan Timur sepanjang 36 kilometer dengan kos pembinaan RM1.6 bilion akan dibina.

* Menaik taraf landasan kereta api sektor Pantai Timur melibatkan jajaran Gemas-Mentakab, Jerantut-Sungai Yu, dan Gua Musang-Tumpat dengan peruntukan RM150 juta.

* Pembinaan MRT Jajaran Kedua sepanjang 56 kilometer dari Selayang ke Putrajaya dengan kos pembinaan RM23 bilion.

* Projek LRT 3 yang bakal menghubungkan Bandar Utama sehingga Shah Alam dan Klang dengan anggaran kos RM9 bilion.

* Projek Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang dengan nilai pelaburan RM69 bilion untuk mewujudkan lebih 10,000 peluang pekerjaan

* Dana Mobiliti Mapan berjumlah RM70 juta akan disediakan di bawah SME Bank untuk membangunkan industri pembuatan kenderaan elektrik.

* 50 bas elektrik akan diperkenalkan.

* Peruntukan RM200 juta bagi MyCreative Ventures pada 2012.

* Peruntukan RM100 juta bagi Dana Industri Kandungan Digital.

* Kira-kira 354 jenis barang dan perkhidmatan akan mengalami kenaikan harga tidak melebihi 5.8 peratus susulan pelaksanaan GST

* Kerajaan akan mengeluarkan garis panduan pengguna bagi membolehkan mereka membuat perbandingan harga sebelum dan selepas GST.

* 300,000 pembayar cukai individu tidak lagi perlu membayar cukai pendapatan pada 2015 susulan pelaksanaan GST

* Bagi 2015, pembayar cukai dengan golongan berkeluarga yang berpendapatan RM4,000 sebulan tidak lagi mempunyai tanggungan cukai.

* Cukai pendapatan individu juga akan distrukturkan semula pada 2015 di mana pendapatan bercukai pada kadar maksimum dinaikkan daripada melebihi RM100,000 kepada melebihi RM400,000.

* Kadar cukai pendapatan koperasi juga dikurangkan satu hingga dua mata peratusan tahun depan.

* Pada 2016, kadar cukai pendapatan syarikat akan dikurangkan sebanyak satu mata peratusan kepada 24 peratus dan kadar cukai pendapatan bagi PKS akan dikurangkan sebanyak satu mata peratusan kepada 19 peratus.

* Perniagaan akan menerima geran latihan sebanyak RM100 juta untuk menghantar kakitangan mereka menjalani latihan tentang GST.

* Perusahaan kecil dan sederhana akan mendapat bantuan kewangan berjumlah RM150 juta bagi membeli perisian perakaunan

* Elaun Modal Dipercepatkan bagi pembelian peralatan dan perisian ICT.

* Perbelanjaan latihan perakaunan dan ICT berkaitan CBP akan diberikan potongan cukai tambahan.

* Kerajaan akan meningkatkan peruntukan bagi pelbagai subsidi kepada RM40.5 juta pada 2014.

* Peruntukan bagi subsidi telah meningkat 14 kali daripada RM1.65 bilion pada 2002 kepada RM23.5 bilion pada 2013, semata-mata untuk mengekalkan harga runcit petrol yang rendah disebabkan peningkatan jumlah kenderaan.

* Kerajaan akan mengumumkan satu mekanisme baharu pemberian subsidi petroleum tidak lama lagi.

* Bagi menarik lebih ramai usahawan ekspatriat membuka syarikat di Malaysia, modal berbayar kini ditetapkan pada RM75,000.

* Kira-kira 354 jenis barang dan perkhidmatan akan mengalami kenaikan harga tidak melebihi 5.8 peratus susulan pelaksanaan GST.

* Kerajaan akan mengeluarkan garis panduan pengguna bagi membolehkan mereka membuat perbandingan harga sebelum dan selepas GST.

* 300,000 pembayar cukai individu tidak lagi perlu membayar cukai pendapatan pada 2015 susulan pelaksanaan GST.

* Bagi 2015, pembayar cukai dengan golongan berkeluarga yang berpendapatan RM4,000 sebulan tidak lagi mempunyai tanggungan cukai.

* Cukai pendapatan individu juga akan distrukturkan semula pada 2015 di mana pendapatan bercukai pada kadar maksimum dinaikkan daripada melebihi RM100,000 kepada melebihi RM400,000.

* Kadar cukai pendapatan koperasi juga dikurangkan satu hingga dua mata peratusan tahun depan

* Pada 2016, kadar cukai pendapatan syarikat akan dikurangkan sebanyak satu mata peratusan kepada 24 peratus dan kadar cukai pendapatan bagi PKS akan dikurangkan sebanyak satu mata peratusan kepada 19 peratus.

* Perniagaan akan menerima geran latihan sebanyak RM100 juta untuk menghantar kakitangan mereka menjalani latihan tentang GST.

* Perusahaan kecil dan sederhana akan mendapat bantuan kewangan berjumlah RM150 juta bagi membeli perisian perakaunan

* Elaun Modal Dipercepatkan bagi pembelian peralatan dan perisian ICT.

* Perbelanjaan latihan perakaunan dan ICT berkaitan CBP akan diberikan potongan cukai tambahan.

* Kerajaan akan meningkatkan peruntukan bagi pelbagai subsidi kepada RM40.5 juta pada 2014.

* Peruntukan bagi subsidi telah meningkat 14 kali daripada RM1.65 bilion pada 2002 kepada RM23.5 bilion pada 2013, semata-mata untuk mengekalkan harga runcit petrol yang rendah disebabkan peningkatan jumlah kenderaan.

* Kerajaan akan mengumumkan satu mekanisme baharu pemberian subsidi petroleum tidak lama lagi.

* Bagi menarik lebih ramai usahawan ekspatriat membuka syarikat di Malaysia, modal berbayar kini ditetapkan pada RM75,000.

* Usahawan ekspatriat syarikat permulaan akan mendapat pas kerja setahun.

* EKUINAS akan menerima RM600 juta untuk meningkatkan pemilikan ekuiti Bumiputera dalam syarikat swasta dan syarikat berkaitan kerajaan.

* Sehingga kini, EKUINAS  telah melaksanakan pelaburan kumulatif bernilai RM2.3 bilion dalam pelbagai sektor.

* Memperkukuh peranan Institut Keusahawanan Negara sebagai pusat kecemerlangan Keusahawanan Bumiputera.

* Merancakkan lagi Skim Usahawan Permulaan Bumiputera dengan peruntukan tambahan RM30 juta.

* Skim Usahawan Permulaan Bumiputera juga akan diperluaskan ke Sabah dan Sarawak.

* Program pra-eksport akan diperkenalkan bagi 60 syarikat Bumiputera Berprestasi Tinggi untuk meningkatkan penjenamaan, persijilan antarabangsa dan kaji selidik pasaran bagi produk Bumiputera.

* Lembaga Tabung Haji akan memperuntukkan RM200 juta bagi penubuhan Akaun Pelaburan Terhad patuh syariah di Bank Islam, bagi menyediakan pembiayaan dan kredit antara RM50,000 dan RM1 juta mulai Januari 2015.

* Amanah Ikhtiar Malaysia akan menggunakan sumber dalaman berjumlah RM1.8 bilion bagi pembiayaan untuk memberi manfaat kepada 346,000 Sahabat AIM

* Lembaga Getah Malaysia (LGM) akan memperuntukkan RM100 juta untuk melaksanakan mekanisme kawal selia harga di peringkat ladang.

* LGM akan menyediakan pinjaman mudah berjumlah RM6.4 juta sebagai modal kerja kepada 64 koperasi pekebun kecil bagi membeli getah terus daripada 442,000 pekebun kecil getah di seluruh negara.

* Peruntukan RM41 juta bagi pekebun kecil untuk penanaman baharu dan penanaman semula.

* Pengecualian duti eksport bagi minyak sawit mentah dilanjutkan sehingga Disember 2014

* Sebanyak RM1.3 bilion diperuntukkan untuk membina 80,000 unit di bawah Program Perumahan Rakyat 1Malaysia.

* Had kelayakan pendapatan isi rumah dinaikkan kepada RM10,000 daripada RM8,000 bagi membolehkan lebih ramai rakyat memiliki rumah.

* Skim Pembiayaan Sewa-Beli akan diperkenalkan kepada individu yang tidak berupaya mendapat pembiayaan daripada bank.

* Jabatan Perumahan Negara akan mendapat peruntukan RM644 juta bagi membina 26,000 unit di bawah Program Perumahan Rakyat.

* Syarikat Perumahan Negara Bhd akan membina 12,000 unit “Rumah Mesra Rakyat”, 5,000 unit “Rumah Idaman Rakyat” dan 20,000 unit “Rumah Aspirasi Rakyat” di tanah persendirian.

* Kerajaan akan melanjutkan pengecualian duti setem 50 peratus ke atas surat cara pindah milik dan perjanjian pinjaman sehingga Disember 2016.

* Kerajaan akan menaikkan had harga rumah daripada “Skim Rumah Pertamaku” kepada RM500,000.

* Kad kelayakan umur peminjam bagi skim ini akan dinaikkan daripada 35 kepada 40 tahun.

* Program Penyelenggaraan Perumahan Awam akan mendapat peruntukan RM40 juta.

* RM100 juta akan diperuntukkan di bawah Tabung Penyelenggaraan 1Malaysia bagi penyelenggaraan perumahan kos rendah swasta.

* Cukai keuntungan ke atas pelupusan harta tanah akan ditaksir secara sendiri oleh pembayar cukai mulai 2016.

* Had kelayakan minimum pinjaman perumahan penjawat awam dinaikkan kepada RM120,000 daripada RM80,000 dan had kelayakan maksimum kepada RM600,000 daripada RM450,000 tahun depan.

* Wang pemprosesan permohonan pinjaman perumahan sebanyak RM100 bagi penjawat awam dimansuhkan.

Bernama

1 Comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Kronologi #mh370

Misteri kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH370 terjawab pada hari ke-17 operasi mencari dan menyelamat yang disertai pelbagai negara, apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penerbangan itu berakhir di selatan Lautan Hindi.
    
Berikut kronologi insiden kehilangan MH370:
    
8 Mac Pesawat MH370, jenis Boeing 777-200, membawa 239 penumpang dan anak kapal berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 12.41 pagi dan dijadual mendarat di Beijing, China pada 6.30 pagi hari yang sama.

8 Mac Pesawat MH370 dilaporkan hilang daripada radar awam Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCA) pada 1.30 pagi 120 batu nautika di timur perairan Kota Bharu, Kelantan.

8 Mac Operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerak pada 5.30 pagi melibatkan 15 pesawat TUDM, termasuk empat Hercules C130, sebuah CN 235, empat EC 725, dua helikopter Augusta serta enam kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan tiga kapal Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

8 Mac Kenyataan media Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAS Ahmad Jauhari Yahya pada 7.30 pagi mengesahkan kehilangan pesawat itu dan kesemua keluarga penumpang dimaklumkan; pecahan kerakyatan penumpang MH370 iaitu 38 rakyat Malaysia, 153 rakyat China, Indonesia (12), Australia (7), Perancis (3), Amerika Syarikat (3), New Zealand (2), Ukraine (2), Kanada (2), Rusia (1), Itali (1), Taiwan (1), Belanda (1) dan Austria (1).

9 Mac Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkata kawasan pencarian diperluas di Laut China Selatan dan Selat Melaka.

9 Mac Ketua Pengarah DCA Datuk Azharuddin Abdul Rahman mengesahkan hanya dua penumpang yang menggunakan pasport palsu Itali dan Austria, menaiki pesawat MH370.

10 Mac Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berikrar kerajaan akan melakukan yang terbaik dalam operasi mencari dan menyelamat MH370.

10 Mac APMM menerima keputusan ujian sampel tompokan minyak yang ditemuidi perairan Vietnam, yang negatif minyak pesawat dan disahkan sebagai minyak bagi kapal kargo.

11 Mac Misteri dua penumpang terjawab apabila Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan ibu pejabat Interpol mendedahkan identiti mereka iaitu warga Iran yang dikenali sebagai Pouria Nour Mohammad Mehrdad, 19, dan Delavar Seyed Mohammad Erza, 29.  Kedua-dua mereka disahkan tidak mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas dan dipercayai cuba berhijrah ke Eropah.

12 Mac Hishammuddin memperjelas beberapa isu termasuk ada sedikit kemungkinan MH370 melewati Selat Melaka, kerjasama dengan pakar penerbangan luar negara dan semua orang yang mendaftar dalam penerbangan MH370 menaiki pesawat.

Empat penumpang tidak muncul semasa mendaftar. Mereka diganti dengan penumpang daripada senarai menunggu. Penumpang berkenaan menaiki pesawat. Tiada bagasi yang tidak dimuatkan.

Dua lelaki rakyat Iran, yang memasuki dan meninggalkan Malaysia menaiki pesawat MH370, menggunakan pasport yang sama.

13 Mac Hishammuddin menafikan dakwaan bahawa pesawat itu mungkin terbang kira-kira empat sejam selepas ia hilang dari skrin radar.

13 Mac China menyatakan bahawa tiada bukti objek terapung yang dikesan satelit di Laut China Selatan pada Ahad mempunyai hubung kait dengan pesawat MAS yang hilang. Pihak berkuasa China juga berkata berlaku kesilapan ketika mengeluarkan imej itu.

14 Mac Pencarian diperluas sehingga ke Lautan Hindi. Armada Ketujuh Tentera Laut Amerika Syarikat USS Kidd tiba di Selat Melaka untuk membantu pencarian.

14 Mac Pihak berkuasa mengkaji empat hingga lima kemungkinan bagaimana transponder pesawat ditutup.

15 Mac Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak dapat mengesahkan laporan kemungkinan pesawat dirampas.

Najib berkata komunikasi terakhir pesawat dengan satelit dikesan di satu daripada dua koridor; koridor utara merentangi kawasan dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan ke bahagian utara Thailand atau koridor selatan yang merentangi kawasan dari Indonesia ke bahagian selatan Lautan Hindi.

Najib berkata operasi mencari dan menyelamat di Laut China Selatan ditamatkan.

16 Mac Hishammuddin berkata tiada sebarang tuntutan dibuat berhubungkehilangan pesawat.

16 Mac Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata insiden kehilangan MH370 disiasat mengikut Seksyen 130(C) Kanun Keseksaan bagi kesalahan merampas, keganasan dan sabotaj, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 dan Akta Kesalahan Penerbangan 2003.

16 Mac Polis mengambil simulator penerbangan dari rumah juruterbang MH370 Kapten Zaharie Ahmad Shah.

17 Mac Hishammuddin berkata operasi pencarian multinasional membabitkan 26 negara di koridor utara dan selatan bermula.

18 Mac Hishammuddin berkata tiga juta orang mungkin terbabit dalam usahamencari pesawat itu dengan dibantu pengusaha satelit DigitalGlobe.

19 Mac Hishammuddin menafikan laporan bahawa pesawat itu dilihat terbangrendah di ruang udara Maldives.

20 Mac Perdana Menteri Australia Tony Abbot menghubungi Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak pada 10 pagi untuk memaklumkan bahawa objek yang dikesan satelit negara itu mungkin ada kaitan dengan pesawat yang hilang

Satelit Australian Maritime Safety Authority (AMSA) mengesan imej dua objek di bahagian selatan Lautan Hindi terletak kira-kira 2,500 kilometer barat daya Perth.

Hishammuddin berkata operasi pencarian pesawat itu diteruskan dan objek yang dikesan di Australia akan ditentukan sama ada sebahagian daripada MH370.

21 Mac Malaysia masih menunggu maklumat daripada pihak berkuasa Australia sama ada objek yang dikesan di selatan Lautan Hindi pada Khamis ada kaitan dengan MH370.

Hishammuddin berkata agensi perisikan antarabangsa tidak menemui sebarang keganjilan berdasarkan manifes penumpang pesawat itu.

Hishammuddin berkata siasatan terhadap penumpang tunggal warga Ukraine yang dijalankan oleh pihak berkuasa negara itu juga mengesahkan latar belakang penumpang berkenaan bersih.

22 Mac transkrip komunikasi yang didakwa antara pesawat MH370 dan pusat kawalan trafik udara pada malam pesawat dilapor hilang diklasifikasi sebagai tidak tepat dan tidak sah, kata DCA.

Hishammuddin berkata satelit China mencerap imej objek terapung berukuran 22.5 meter x 13 meter.

Hishammuddin berkata pihak berkuasa Australia tidak mengesan sebarang objek dalam pencarian di kawasan berkedudukan kira-kira 2,500 km dari barat daya Perth.

23 Mac Hishammuddin berkata Malaysia menyerahkan imej baharu yang dicerap oleh satelit pihak berkuasa Perancis kepada pusat koordinasi menyelamat Australia.

Hishammuddin berkata setakat 2.30 petang waktu Malaysia, pihak Australia memaklumkan mereka tidak menemui sebarang petunjuk baharu berhubung MH370.

24 Mac Hishammuddin berkata polis sudah mengambil keterangan lebih 100 orang termasuk keluarga juruterbang MH370.

Pada 10 malam, Najib mengumumkan kedudukan terakhir penerbangan MH370 dikesan di tengah-tengah Lautan Hindi, di barat Perth.

MAS meluahkan rasa duka penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi.

Bernama

 

1 Comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Bahang perkauman kerana Cina tolak konsep perkongsian, kata Dr Mahathir

Tun Dr Mahathir Mohamad berkata tindakan masyarakat Cina menolak konsep “perkongsian” dengan mengundi Pakatan Rakyat (PR) pada pilihan raya lalu merupakan punca bahang perkauman di negara ini semakin tegang.

Bekas perdana menteri itu menyifatkan pengundi kaum Cina sebagai punca Barisan Nasional (BN) berada dalam keadaan lemah ketika ini.

“Melayu terpecah kepada tiga parti dan setiap daripadanya memerlukan sokongan Cina untuk menang.

 

“Cina memiliki undi penentu dan berada dalam kedudukan untuk memberi kemenangan kepada yang mereka percayai boleh membuang konsep perkongsian,” tulis Dr Mahathir dalam blog chedet.cc hari ini.

Dr Mahathir berkata, kesempatan diambil pembangkang apabila menggunakan isu tersebut untuk meraih undi daripada kaum Cina pada pilihan raya tahun lalu.

“Slogan ‘Ini Kali lah’ yang digunakan sebagai isyarat kuasa politik boleh dirampas daripada BN dan pembangkang boleh membentuk kerajaan.

“Kerajaan pembangkang ini akan mengabaikan prinsip perkongsian,” kata Dr Mahathir.

Menurutnya, ramai bukan Melayu yang menyokong BN sebelum ini terpedaya dengan helah pembangkang tersebut.

“Ramai penyokong bukan Melayu parti komponen BN yakin bahawa dengan menarik balik sokongan mereka, BN akan tewas, begitu juga idea perkongsian kuasa politik dan ekonomi antara kaum,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Mahathir menyalahkan liberalisasi dan kerajaan BN yang lemah sebagai punca konflik antara kaum semakin hangat.

“Mengambil kesempatan liberalisasi dan kerajaan BN yang lemah, konflik antara kaum semakin tegang.

“Keadaan di Malaysia tidak setegang ini sebelumnya,” kata Dr Mahathir lagi, sambil menggesa semua masyarakat di Malaysia membuang pemikiran konsep dominasi kaum supaya dapat hidup tanpa sengketa.

“Rakyat Malaysia, sama ada Melayu, Cina dan India atau penduduk asal Sabah dan Sarawak mestilah buang konsep dominasi kaum daripada pemikiran.

“Negara ini perlulah dikongsi dan dikongsi secara adil semua kaum,” katanya.

BN di bawah pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak buat kali pertama dalam sejarah hilang undi popular pada pilihan raya ke-13 tahun lalu, dan pengundi masyarakat Cina telah disalahkan oleh pemimpin Umno sebagai punca utama prestasi buruk tersebut.

Najib sendiri, dalam ucapan selepas pengumuman keputusan pilihan raya, telah menggunakan istilah “tsunami Cina” sebagai punca gagal memperoleh majoriti dua pertiga, dan cuma memenangi 133 daripada 222 kerusi Parlimen. – 27 Januari, 2014.

1 Comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

UCAPAN DASAR KETUA PERGERAKAN PEMUDA UMNO MALAYSIA SEMPENA PERHIMPUNAN AGUNG PERGERAKAN PEMUDA UMNO MALAYSIA 2013

 

1 SAFAR 1435 / 4 DISEMBER 2013
8.30 PAGI, DEWAN MERDEKA, PWTC

“BERSEDIA UNTUK ESOK”

Yang Berbahagia Dato’ Pengerusi Tetap,
Yang Berbahagia Saudara Timbalan Pengerusi Tetap,
Wakil-wakil Majlis Tertinggi:
YAB Dato’ Seri Ir. Haji Idris Haron
YB Dato’ Seri Idris Jusoh
YB Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek
Yang Berbahagia Saudara Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia
Ahli-ahli Jawatankuasa Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia
Ketua-ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri
Para Perwakilan dan Pemerhati

Melayu itu kalau merantau sampai ke Deli
Kalau berperang sampai ke rawan
Kalau mempertahan putih sumsum tulang
Kalau menjajah langsung jadi pahlawan
Dari Riau ke Selat Melaka
Dari Palembang ke Tanah Jawa.

Melayu baru bila berfikir jadi Dr. Maza
Bila berseni indie, jadi Wani Ardy
Bila bikin muzik jadi Yuna
Bila menyanyi dengan sopan… jadilah Siti Nurhaliza

Melayu itu halus
Bila marah menikam dengan pantun
Menyanggah dengan senyum
Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak

Jangan lupa tempelak Usman Awang
Melayu itu kuat bersorak
Terlalu ghairah pesta temasya
Sedangkan kampung telah tergadai
Sawah sejalur tinggal sejengkal

Tapi itu Melayu yang dulu
Melayu sekarang melanggar pantang
Kadang tersadung adat dan sopan
Menata merdeka menonggak wawasan

Melayu hari ini Melayu cemerlang
Gah bak helang menyongsong awan
Minda progresif menakhoda masa depan
Jadi obor menyuluh zaman

Alhamdullilah, segala puji-pujian untuk Allah S.W.T, Tuhan yang maha pemurah lagi penyayang. Juga selawat dan salam ke atas junjungan terpuji Nabi Muhammad S.A.W. dan para sahabat. Kita mensyukuri rahmat Yang Maha Esa, kerana dengan limpah kurniaNya, dapat kita bertemu pagi ini di Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia ke 61.

Jika di perhimpunan tahun lepas, kita sibuk melurus barisan, mengatur strategi, untuk menghadapi PRU13 – pilihan raya paling getir dalam sejarah UMNO, tahun ini, saya mulakan dengan setulus terima kasih kepada seluruh jentera Pemuda UMNO. Anda semua tak kenal siang malam, tak hirau penat di badan, ketika mengharungi pilihan raya Mei lepas. Bukan calang-calang rintangan yang kita tempuh, tanpa Pemuda di barisan hadapan, belum tentu kita menang, silap haribulan boleh kecundang!

Di perhimpunan tahun ini juga kita membuka lembaran segar dengan meraikan barisan kepimpinan yang baru. Saya ingin mengucapkan tahniah kepada saudara-saudara sekalian yang telah memenangi jawatan di peringkat pusat, bahagian dan juga cawangan masing-masing. Saya juga amat berterima kasih dengan jasa dan khidmat bakti yang telah dicurahkan oleh barisan kepimpinan sebelum ini. Kalau tiada yang lama, manakan dapat mereka yang baru. Kalau yang lama enggan menunjuk jalan, masakan yang baru tahu haluan.

Sebelum PRU13, kita gesa Presiden kita, Y.A.B. Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak, untuk memberi peluang kepada wakil pemuda diangkat jadi calon. Rasionalnya enteng saja, bila bercakap tentang soal suara anak muda, ia wajib dicorongkan melalui orang muda juga. Alhamdullilah, pucuk pimpinan mendengar cadangan kita bila 45 daripada sayap Pemuda UMNO jadi calon ahli parlimen dan ADUN. Ini suatu pengiktirafan yang besar kepada institusi Pemuda UMNO. Memang lumrah kehidupan, kalah menang adat pertandingan. Walau begitu, saya bangga dengan pengiktirafan yang diberi, bila dua dari calon Pemuda diangkat jadi menteri dan timbalan menteri. Manakala enam lagi duduk di kerusi exco kerajaan negeri. Kami Pemuda UMNO, insya Allah, akan melunaskan amanah yang diberi dengan kamil.

Cuma peluang orang muda dijadikan calon itu, sebenarnya boleh diunjur, boleh diperlebihkan lagi. Kalau kita perhatikan pihak sebelah sana, PAS, DAP dan PKR, mereka tampak lebih bersedia menonjolkan calon muda, jika nak dibandingkan dengan kita. Mungkin ini sesuatu yang boleh pucuk pimpinan pertimbangkan di masa akan datang, barulah UMNO dilihat segar dan melaksanakan peremajaan sepenuhnya.

Sidang perwakilan sekalian,

Tahun ini kita telah melakar sejarah baru untuk UMNO dengan menggunakan sistem pemilihan baru, yang bertunjangkan suara akar umbi dalam menentukan kepimpinan parti. Inilah bukti transformasi yang dimaksudkan oleh Y.A.B. Presiden untuk parti UMNO. Ini adalah suatu pengiktirafan yang ulung dari pucuk pimpinan. Walau bagaimanapun Pemuda menggesa agar post mortem segera dilaksanakan. Bukanlah kita ini ibarat mengetuk pahat bila rumah siap, tapi penambahbaikan perlu untuk memastikan keputusan pemilihan saksama, dihormati dan tiada ruang untuk pertikaian. Justeru, sebarang kelemahan harus tangkas diperbetulkan. Jika tidak, langkah transformasi kita ini umpama pukat terlabuh ikan tak dapat.

Proses pemilihan itu sendiri, misalnya, masih punya ruang untuk diperkemas dan dimantapkan lagi. Jangan ada kertas undi yang sama warna hingga menimbulkan ragu mengelirukan perwakilan. Bila mengumumkan siapa menang siapa kalah, keputusan yang sampai ke ibu pejabat, mesti sama dengan yang apa telah disahkan oleh wakil-wakil calon di bahagian. Jangan si polan A menang di bahagian, si polan B pula diumumkan menang bila keputusan diisytiharkan di ibu pejabat. Menyentuh tentang logistik pula, aspek kerahsiaan hendaklah dijaga, perlu ada galang penghadang semasa proses mengundi dijalankan. Kita mesti menyediakan tenaga kerja yang cukup untuk memantau proses pengundian, barulah ahli tidak ragu, tidak bimbang. Tatacara rayuan pula mestilah sekata dan telus. Proses rayuan itu juga tidak boleh dilihat umpama menghukum atau menyebelahi mana-mana pihak. Kriteria untuk pengundian semula hendaklah diperbutirkan dengan jelas oleh ibu pejabat, jangan sampai mencelarukan.

Namun demikian, kita bersyukur kerana UMNO terbukti mampu memberi ruang yang mampan untuk ahli menentukan pucuk pimpinan parti. Fitrah antara kita dan pembangkang tak serupa, gerombolan pembangkang hanya gah bertempik, kononnya merekalah juara demokrasi, tapi sumbang di gelanggang sendiri.

Lihat sahaja DAP dan PAS yang tak sudah-sudah menabrak sistem pilihan raya negara dan SPR, sudahnya malu sendiri. Pilihan raya DAP yang ada dua ribu lebih pemilih pun tunggang langgang, habis semua orang disalahkan. Akhirnya terpaksa buat pemilihan semula selepas sembilan bulan pemilihan pertama dibatalkan. Tapi biasalah… semua itu bukan salah mereka.

PAS bulan lepas apa kurangnya? Berdalih melewatkan keputusan, konon silap sistem yang menguruskan cuma seribu orang itu. Tiba giliran PKR, lain plot cerita, gegak gempita memperjuang ketelusan, pemimpin wahid sendiri kebal demokrasi. Bahkan jawatan pun langsung tak wujud dalam perlembagaan parti.

Inilah bezanya kita dengan pembangkang. Berbanding DAP dan PAS yang hanya memberi muka kepada dua tiga ribu pemilih di peringkat pusat, kita pula membuka aula kepada 150 ribu ahli di peringkat akar umbi untuk mengundi. Berbanding PKR yang berketua umum-kan jawatan khayalan, seluruh jawatan dalam UMNO sah termaktub mengikut perlembagaan parti.

Selagi kita masih bercakap soal pemilihan parti, saya bersyukur kepada Ilahi dan berterima kasih kepada setiap ahli Pemuda, yang telah memberi mandat seratus peratus untuk saya. Insya-Allah, amanah dan kepercayaan ini akan saya lunaskan sebaik mungkin.

Dalam pada itu, proses demokrasi parti kita juga menyaksikan persaingan sengit di peringkat Naib Ketua Pemuda, Exco serta jawatan-jawatan Pemuda di peringkat bahagian, mahupun cawangan. Tapi sidang perwakilan yang saya hormati, kita ini carik-carik bulu ayam lama-lama bercantum kembali. Janganlah apa yang terkhilaf semasa pemilihan UMNO dijadikan kudis di badan atau api di dalam sekam. Jalan di hadapan masih panjang, inilah masa dan ketikanya untuk kita bersatu kembali mengukuhkan parti.

Hakikatnya, pemilihan parti adalah persaingan kekeluargaan sesama kita. Marilah kita hulurkan tangan, dakapkan ukhwah, eratkan perpaduan. Sedarlah semua, musuh politik yang sebenar bukan sesama kita tapi pembangkang di luar sana. Bak kata orang, menembak beralamat, berkata bertujuan – sesama pemuda kita muafakat, dengan musuh kita berdepan.

Dalam keutuhan persaudaraan ini, dalam kita menyusun langkah dan strategi, dalam kita menyahut peranan dan tuntutan organisasi, jangan kita sesekali terleka dibuai jawatan. Kita perlu sentiasa menginsafi bahawa apa yang kita pegang ini adalah satu amanah – bukan sahaja kepada rakyat, parti dan negara, tetapi yang paling utamanya amanah dan accountability kepada Yang Maha Esa. Amanah itu bukan sahaja luas dan berat tetapi juga perlu di jaga, kerana kita tak boleh menyimpanginya, walau tersorok di lubuk hati. Accountability kepada Allah S.W.T. bukan sekadar kepada tindak tanduk kita tetapi juga niat yang tersirat dalam hati kita, sebagaimana firman Allah S.W.T. di dalam Surah Al-Baqarah ayat ke 284:

al-baqarah-284

Yang bermaksud: “Segala yang ada di langit dan yang ada di bumi adalah kepunyaan Allah dan jika kamu melahirkan apa yang ada di dalam hati kamu atau kamu menyembunyikannya, nescaya Allah akan menghitung dan menyatakannya kepada kamu.”

Ingatlah juga, amanah yang ditanggung demi harapan rakyat dan ahli UMNO ini hendaklah kita lunaskan dengan terbaik dan penuh keadilan. Bahawasanya jawatan yang kita pegang ini hanyalah dipinjamkan oleh rakyat dan ahli dengan harapan kita menengakkan keadilan untuk semua, sepertimana pesanan Allah S.W.T. kepada kita di dalam surah An-Nisa’, ayat 58:

an-nisa-58

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya) dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil.”

Pada masa yang sama, selain dari melunaskan amanah sebaik mungkin, akhlak dan budi dilupa jangan, kerana jawatan itu bukannya tiket untuk bermegah dan sombong. Sama-samalah kita sentiasa merendah diri, sama-samalah kita sentiasa ingat pada akar umbi. Allah S.W.T. berfirman di dalam Surah Al-Isra’ ayat ke 37:

al-isra-37

Yang bermaksud: “Dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong, kerana sesungguhnya engkau tidak akan dapat menembusi bumi dan engkau tidak akan dapat menyamai setinggi gunung-ganang.”

Atas nama saling mengingati sesama sendiri, saya berpesan untuk mereka yang di atas pentas ini, janganlah kita sombong dan lupakan kawan-kawan, jangan hanya bangga dengan jawatan. Jangan setelah menang tak angkat telefon atau jawab Whatsapp dan BBM. Peringatan yang serupa saya beritahu diri sendiri juga.

Ayam rintik di pinggir hutan
Nampak dari tepi telaga
Rapatkan saf luruskan barisan
Bersatu teguh kita bersama

Pisang kelat digonggong helang
Jatuh ke lubuk di Indragiri
Amanah rakyat kukuh dipegang
Sumpah keramat hidup dan mati

Sidang perwakilan sekalian,

Bila cerita PRU13 dan pemilihan parti kita arkibkan, kini tiba masanya kita tentukan kemudi Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia.

Kita muhasabah, kita cermin diri, kita perhalusi sekali lagi jalan perjuangan yang sudah diteroka sekian lama. Nilai yang bagaimana ingin kita teladankan untuk rujukan pelapis? Peranan mana paling molek untuk kita kelek dalam menyumbang ke arah kejayaan parti? Untuk menjawab soalan-soalan ini mungkin elok jika kita mengimbau perjalanan kita beberapa tahun ini, agar sumbangan kita kepada parti tidak monolitik dan tradisional. Pemuda UMNO sentiasa perlu berada dalam langgam orang muda.

Gemala rukun Pemuda UMNO yang digariskan empat tahun lalu, masih jadi paksi perjuangan mutakhir kita – yakni Berprinsip, Inklusif, Relevan, Proaktif dan Bersatu. Saya percaya lima teras ini telah dirangkumkan dalam satu pendekatan baru yang lebih progresif – satu pendekatan yang telah membuka lembaran baru dalam perjuangan kita. Lembaran baru yang kita selak bersama harapan untuk jadi lebih baik. Pengalaman itu guru paling berkesan untuk insan. Dan pengalaman harus dilalui, ia tak bisa dipinjam atau dibeli.

Progresif tidak bermakna lupa diri atau perjuangan asas, percaya kepada pendekatan berbeza dan moden, tidak bermakna Pemuda menggadaikan identiti dan perjuangan bangsa merdeka.

Gagasan progresif Pemuda bukan sekadar sembang kosong atas angin. Malah, pendekatan progresif kita telah dizahirkan melalui program yang membuahkan perubahan sebenar di akar umbi. Melalui pendekatan ini kita telah bergerak atas dasar politik khidmat bakti sebagai kiblat perjuangan kita.

Pelbagai isu yang membelenggu rakyat – dari pendapatan, pendidikan, pekerjaan dan perumahan untuk orang muda – telah dibangkitkan dan diperjuangkan oleh Pemuda UMNO. Di atas antelas yang sama, kita bukan sekadar suara pembela rakyat, politik khidmat bakti telah menuntut kita melangkah jauh, mendahului zaman, sebagai ejen penyelesai masalah rakyat. Anak muda kini semakin menilai, bagi mereka retorik janji sudah tak laku.

Alhamdulillah, kita kotakan apa yang dikata melalui program Pemuda UMNO dan BN seperti Karnival Kerjaya Pemuda BN, Expo Perumahan Pemuda BN (HOPE), Jelajah 1Malaysia (JOM), Biasiswa Pendidikan Pemuda BN (BNYES) dan pelbagai program lain. Pemuda UMNO telah merintis jalan, membawa harapan untuk rakyat. Ternyata kita bukan hanya lantang bersuara tapi juga berjaya bertindak. Di mata generasi baru, Pemuda yang hebat bukan Pemuda yang sembang deras, cerita lebat. Pemuda yang hebat adalah Pemuda yang membawa kesan jelas dalam kehidupan seharian rakyat.

Orang lama telah mengajar kita agar selalu beringat, jangan jadi seperti orang hendak menepung, tiada berberas. Program-program kita ini tidak pernah bersifat syok sendiri yang hanya diketahui dan dirasai dalam kepompong sesama kita sahaja. Terbentang untuk rakyat hari ini, program-program anjuran Pemuda UMNO yang terkenal seantero negara.

Kita dakap pendekatan progresif ini kerana sekadar melaungkan “Hidup Melayu” itu lompong jika nasib anak bangsa masih di takuk lama. Walau ada antara kita yang berasa cukup hanya dengan bersorak “Hidup Melayu,” kita jangan ambil pendekatan yang serupa. “Hidup Melayu” itu sudah ketentuan – tapi soalnya kita mahu Melayu hidup bagaimana? Sudah tentu lebih mulia bila Melayu hidup bermartabat dari hidup merempat. Sudah tentu lebih penting hasil dan keberkesanan program kita dari melaungkan slogan semata-mata.

Nyata perlaksanaan program melalui lensa sejagat dan pendekatan progresif telah menjadi wahana bakti kita untuk bangsa. Lihat sahaja daripada 160 ribu yang berjaya mendapat kerja melalui Karnival Kerjaya kita, majoritinya adalah anak Melayu. Daripada 500 ribu yang bakal menikmati Bantuan Lesen 1Malaysia (BL1M), majoritinya adalah anak Melayu. Daripada pelajar yang telah ditaja melalui Biasiswa Pendidikan Pemuda BN, majoritinya adalah anak Melayu. Apabila gaji minimum diperkenalkan dek desakan Pemuda – golongan yang meningkat pendapatan mereka, majoritinya adalah anak Melayu. Apabila kita memperjuangkan isu pelepasan status muflis untuk orang muda, siapa golongan yang bakal mendapat peluang kedua? Tetap anak Melayu.

Natijahnya, usaha kita tertumpu kepada isu-isu utama yang dialami pemuda Melayu. Melalui pendekatan dan program sejagat, agenda bangsa jelas terlaksana, nasib bangsa tetap terpelihara.

Sidang perwakilan yang saya hormati,

Tujuan saya membangkitkan pencapaian kita, bukan untuk mendabik dada. Kita kongsi semula pencapaian kita hari ini, agar jadi pemangkin untuk melahirkan idea-idea baru di masa akan datang. Saya dambakan sayap Pemuda mendahului zaman, tak gentar dengan perubahan, tetap relevan dalam ekosistem politik yang sentiasa berubah.

Dalam konotasi yang serupa, fitrah politik Pemuda UMNO perlu sejajar dengan tuntutan semasa. Kita tidak lagi boleh bergantung dengan formula lama, sekadar jadi geng pendesak – membangkit semangat dan emosi semata – tapi gagal meninggalkan kesan jangka panjang untuk agama, bangsa dan negara. Apa guna jadi Pak Kaduk, menang sorak kampung tergadai? Apa guna mengerah jentera mengangkat sepanduk, jika nasib dan pencapaian bangsa tak sampai ke mana?

Pemuda UMNO bukan seperti pancang digoyang arus, bukan niat kita memperkecilkan pendekatan lama – di mana Pemuda dilihat sebagai kumpulan pendesak kerajaan, pasca merdeka. Pendekatan sebegitu sesuai dengan keperluan semasa – dan ternyata telah membawa kejayaan kepada Pemuda, di era tersebut. Tetapi zaman sudah berubah, masyarakat alaf ini sentiasa mementingkan keberhasilan dan kebertanggungjawaban. Dalam konteks ini, rakyat tidak lagi lut dengan retorik sekiranya ia tidak membawa apa-apa kesan progresif dalam hidup mereka.

Penjenamaan baru ini tidak bermakna kita menggadaikan prinsip. Sepertimana saya sebut beberapa tahun dahulu, kita perlu berani mengubah manhaj atau pendekatan, tanpa meninggalkan maqasid yakni matlamat sesebuah perjuangan. Agenda memperkasa agama, bangsa dan negara takkan sirna dari jati diri Pemuda, seperti mana juga tugas kita sebagai sayap utama UMNO untuk membantu ke arah kejayaan politik parti. Dalam mencapai matlamat ini, kayu ukur yang menilai betul atau khilaf sesuatu pendekatan adalah melalui pilihan raya – melihat sama ada rakyat menerima kita sebagai pembela kepentingan mereka. Jika pendekatan dan pengisian perjuangan tak serasi dengan nadi rakyat – khususnya generasi muda yang menjadi tumpuan kita – maka mereka tidak akan mengundi Barisan Nasional.

Kejayaan BN dalam PRU13 menjadi bukti bahawa pendekatan progresif ini lebih tepat. Malah, kajian Merdeka Centre mendapati 54 peratus pengundi Melayu bawah umur 30 tahun, telah mengundi Barisan Nasional dalam PRU baru-baru ini. Bukan mudah berdepan janji-janji manis minyak turun, tol percuma, pendidikan percuma, PTPTN tak payah bayar semula, dalam nirwana ciptaan pembangkang. Kendatipun cabaran menggunung, kemampuan kita bergerak bersama zaman, mencorak pendekatan, telah membawa pulangan politik, bila Barisan Nasional dikekalkan di tampuk pentadbiran.

Tapi jangan lupa rakan-rakan, walaupun kita berjaya meraih sokongan sebahagian besar golongan muda Melayu, kita masih punya banyak kelemahan. Kita ingat fenomena tsunami politik 2008 dahulu – di mana kedengaran ungkapan “berubah atau rebah” dari segenap pengulas dan pemerhati. Pada waktu itu, kita bermuhasabah – menyedari bahawa UMNO dan BN memerlukan pembaharuan hakiki untuk kembali bangkit dari belenggu kekecewaan PRU12. Syukur, kita tidak perlu pandang jauh untuk mencari inspirasi – kerana kita telah mengambil iktibar dari contoh perubahan hampir serupa yang dilalui Y.A.B. Presiden kita sendiri.

Saya masih teringat ketika mana Y.A.B. Presiden telah melalui cabaran getir di kerusi Parlimen Pekan pada tahun 1999. Namun, berkat kebijakan mencongak strategi yang progresif dan inklusif, beliau berjaya mengubah pendulum politik sehingga mencatat antara majoriti kemenangan terbesar pada pilihan raya umum 2004. Inilah satu kisah kejayaan dan peringatan yang besar untuk kita semua. Sebagaimana pepatah Arab ada menyebut: “man jadda wa jada, wa man shabara zhafira” yang bermaksud siapa yang bekerja keras pasti beroleh kejayaan, dan siapa yang sabar, merekalah yang beruntung.

Saya sendiri telah belajar dan mengambil iktibar dari pengalaman Y.A.B. Presiden. Di PRU12 dahulu, saya menang dengan majoriti kecil 5 ribu undi – turun jauh dari majoriti BN sebanyak 18 ribu lebih pada pilihan raya sebelumnya. Saya sedar pada waktu itu, kalau salah catuan dan tanpa pendekatan yang betul, mungkin saya di Rembau sepenggal cuma. Lalu saya terapkan pendekatan politik progresif cara saya di sana – kerap turun padang selesai masalah, cuba meningkat taraf hidup dan ekonomi Rembau, tak kisah lah kawasan putih, kelabu atau hitam. Waima kawasan Melayu, Cina, India, atau orang asli, pekan atau desa, tua atau muda, tidak terkecuali dari tanggungjawab selaku wakil rakyat. Malah ada yang mempersoal pendekatan saya, “kenapa KJ masih layan peti undi bukan Melayu walhal dulu tewas semua?”

Tetapi selain daripada kegigihan, saya juga telah melihat Y.A.B. Presiden sebagai contoh terbaik bahawa kepimpinan sejati adalah berteraskan kebenaran dan keadilan untuk semua. Selaku pemimpin dan wakil rakyat, kita wajib berusaha berlaku adil kepada semua; berusaha meraih sokongan dari segenap lapisan masyarakat. Alhamdulillah, berkat usaha serta bantuan keluarga, taulan dan Pemuda UMNO, di PRU13 tempoh hari saya berjaya meningkatkan majoriti tiga kali ganda – mendapat undi bukan sahaja dari pengundi Melayu, tetapi juga bukan Melayu. Maka percayalah, usaha gigih berterusan, insya-Allah akan membuahkan hasil – ingatlah bila berjuang biar dahi berluluk, asal tanduk mengena. Namun, sungguhpun kerja keras itu pucuk pangkalnya, adil dan saksama kepada semua rakyat Malaysia pula menjadi terasnya. Ini kerana, rakyat juga nanti yang menilai, mana yang baik mahupun buruk, bak kata bicara orang dahulu, alang berjawab, tepuk berbalas.

Saya pohon sahabat perwakilan mencontohi Y.A.B. Presiden. Kalau kena gaya, didorong pula oleh pendekatan dan strategi yang tepat, UMNO akan kekal jadi pemimpin dan pembela untuk semua – sejajar dengan hasrat bapa-bapa pengasas parti UMNO sebelum ini. Tak betul jika mereka kata UMNO disokong sesetengah kelompok sahaja. Tak betul jika mereka kata UMNO telah “senja,” bagaimana pula kita “senja” bila kita menambah lebih lapan kerusi pada PRU13 yang lepas? Bahkan UMNOlah parti yang mendahului zamannya dan progresif, dengan formula kerjasama pelbagai kaum yang meliputi semua, bukan sahaja yang di bandar mahupun di desa, yang berharta mahupun yang berkelana. UMNOlah jua parti yang menerajui perpaduan tanahair.

Ini sejajar dengan pendekatan wasatiyyah yang dibawa Y.A.B. Presiden – pendekatan yang sederhana, pertengahan, seimbang dan adil. Falsafah yang datang dari agama suci Islam kita sendiri, menjadi petunjuk kepada satu model kepimpinan negara yang bijaksana dan berhikmah, sesuai dengan tuntutan realiti kepimpinan dalam sebuah masyarakat majmuk. Dalam konteks ini, konsep wasatiyyah yang diterajui Y.A.B. Presiden di negara kita amat penting dalam menolak pendekatan ekstrim atau melampau, sekaligus menghancurkan formula kemajuan dan kemakmuran yang dikecapi selama ini.

Malah jika kita imbas sejarah tamadun manusia pun, persoalan falsafah kesederhanaan ini sudah lama bertapak di kalangan tokoh-tokoh pemikir dunia. Tokoh falsafah Yunani, Aristotle, menulis lebih 2 ribu tahun dahulu mengenai Golden Mean yang mencari titik tengah antara dua kutub, mencari ramuan seimbang antara dua baku. Serupa juga dengan konsep Middle Path yang diikuti oleh penganut agama Buddha, di mana mereka percaya bahawa kunci kepada keamanan jiwa dan rohani bila seseorang itu tidak terserong dengan godaan nafsu melampau.

Natijahnya, prinsip haluan tengah inilah yang patut kita amalkan dalam mencorak pendekatan Pemuda hari ini. Malah, konsep dan budaya sederhana ini bukan asing kepada kita – jauh sekali, ia jelas tercatit dalam perjuangan awal bapa-bapa kemerdekaan.

Jangan terpadam dalam ingatan, ketika mana pemimpin UMNO Tunku Abdul Rahman bersama-sama Tun Tan Cheng Lock dan Tun Sambathan meneroka era baru kemerdekaan negara, mula-mula di bawah gerbang Perikatan, kini Barisan Nasional. Kegemilangan dan kerjasama ini bukannya ditempa atas dasar pura-pura atau sekejap cuma, tetapi termeterai demi maslahat besar kepentingan majmuk dan nusa. Sesungguhnya, benih pendekatan progresif ini sudah lama tertanam, jadi darah daging parti kita. Berbekal azam dan formula baru, kita bina satu era kegemilangan yang progresif untuk UMNO – kekal memimpin negara untuk tahun-tahun mendatang.

Sidang perwakilan sekalian,

Semua usaha yang saya gariskan tadi – menyentuh pendekatan, kegigihan, keadilan ke arah kembali ke zaman kegemilangan – hanya mampu tercapai sekiranya diiringi oleh proses pemantapan organisasi. Maka, saya menyifatkan usaha dalaman ini sebagai salah satu agenda utama saya untuk penggal mendatang. Pemantapan organisasi yang saya maksudkan adalah tertumpu kepada modal insan Pemuda itu sendiri, mengukuhkan kekuatan akar organisasi kita, yakni pemimpin di peringkat bawahan.

Kemampuan modal insan di peringkat pimpinan atasan sahaja tak memadai. Sebaliknya, Pemuda di peringkat cawangan juga harus diberi nafas dan iltizam baru melalui kursus-kursus kepimpinan dan pemantapan organisasi. Atas semangat yang sama, Y.A.B. Presiden telah bersetuju dengan cadangan Pemuda menubuhkan Akademi Kepimpinan Kapten Hussein (AKHI), sempena penghormatan kepada Ketua Pemuda yang pertama. AKHI akan menjadi pusat pengkaderan pemimpin-pemimpin masa depan – sekaligus memastikan generasi seterusnya kekal unggul dalam meneraju Pemuda dan UMNO pada masa akan datang.

Agenda peningkatan modal insan Pemuda juga memperlihatkan beberapa usaha baru di peringkat Exco. Saya telah melantik dua individu profesional dalam umur 20-an dari luar struktur tradisi parti, dan buat pertama kalinya, wakil dari mahasiswa tempatan diberikan ruang untuk berucap di perhimpunan kita. Biro-biro juga telah disyaratkan melantik sekurang-kurangnya seorang profesional muda berumur 20-an dan seorang mahasiswa, di mana kaedah ini insya-Allah, akan memudahkan proses peremajaan parti melalui pembabitan muka-muka baru. Untuk menunjang pencapaian, setiap biro akan diukur menurut skala KPI masing-masing. Apa yang kita mahukan adalah prestasi dan pencapaian dari saudara-saudara yang berada atas pentas sekarang.

Semua usaha ini adalah untuk menyediakan landasan menuju kegemilangan. Kemampuan pemimpin-pemimpin dari kilang Pemuda telah diiktiraf parti, bahkan kita mengucap terima kasih kepada perwakilan parti induk, kerana memilih tiga mantan Pemuda ke Majlis Tertinggi baru-baru ini. Ia merupakan penghargaan besar kepada seluruh jentera Pemuda. Tetapi kita perlu meningkatkan modal insan supaya kepimpinan Pemuda masa hadapan terus dilihat sebagai sumber kekuatan kepada parti. Kelangsungan Pemuda besok adalah amanah dan tanggungjawab kita selaku pemimpin Pemuda hari ini. Sedarlah, kejayaan seseorang pemimpin diukur bukan hanya melalui pencapaiannya sewaktu memegang jawatan, tetapi juga melalui apa yang ditinggalkan kepada organisasi dan juga kewibawaan penggantinya.

Sidang perwakilan sekalian,

Sebagaimana tradisi sanawi setiap ucapan dasar saya di Perhimpunan Agung Pemuda UMNO, sekali lagi Pemuda membawa cadangan-cadangan bernas untuk dipertimbang, dan kalau elok boleh dilaksanakan oleh kerajaan.

Menjunjung prakarsa sulung tahun ini, Pemuda menyambut baik Agenda Pemerkasaan Bumiputera yang menjadi contoh afirmatif, bahawa kita tidak pernah bersifat rasis. Agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera yang telah diumumkan oleh Y.A.B. Presiden September lalu, adalah pelan tindakan menyeluruh untuk menaik taraf tahap sosioekonomi masyarakat Bumiputera, berlandaskan prinsip keadilan sosial. Agenda ulung itu langsung tidak mencantas hak orang lain, malah, apa yang kita usahakan adalah untuk memastikan kek ekonomi dapat dibesar dan diagihkan dengan adil untuk kemakmuran bersama.

Walaubagaimanapun Agenda Ekonomi Bumiputera ini tidak akan berjaya selagi dikekang halangan-halangan yang samada sengaja atau tidak sengaja didirikan untuk membantutkan kemajuan orang Melayu. Sebagai contoh kajian yang dibuat oleh Dr Mohammed Abdul Hamid dari UKM dan Dr Lee Hwok Aun dari UM, mendapati amalan pilih kasih dan diskriminasi masih berleluasa terutama dalam syarikat bukan Bumiputera terhadap pekerja Bumiputera. Menurut kajian tersebut, sungguhpun menepati dari segi merit dan kelayakkan, rata-rata Bumiputera tidak menerima perhatian yang sewajarnya. Malah ada yang dapat gaji yang kurang berbanding dengan pekerja lain yang sama kebolehan atau kelayakan. Apa yang lebih menyedihkan, kita sering nampak iklan-iklan pekerjaan yang terang-terang mengutamakan satu bangsa sahaja, dan menganaktirikan bangsa lain.

Diskriminasi ini harus segera dikekang, jadi Pemuda menggesa kerajaan untuk memastikan bahawa perkara seperti ini tidak lagi membantut usaha Kerajaan untuk melihat lebih ramai professional Bumiputera di sektor swasta. Kita akur mungkin ada yang berkata bahawa dalam aspek pengambilan pekerja, kaum Bumiputera lebih diutamakan di sektor awam. Tetapi dari segi pengurusan kanan, semakin ramai Ketua Setiausaha Kementerian dilantik dari kaum bukan Bumiputera. Malangnya hingga kini, kita masih susah sangat untuk melihat seorangpun Ketua Pegawai Eksekutif Melayu, di syarikat-syarikat milik kaum yang lain.

Cadangan kedua tahun ini melibatkan aspek keusahawanan – ramai kontraktor Bumiputera kelas G1 hingga G7, merungut tentang kekurangan kerja. Sungguhpun macam-macam projek mega diumumkan kerajaan, mereka masih ketinggalan dan perlu diberi peluang. Sehubungan dengan itu, Pemuda meminta kerajaan untuk mempelbagaikan projek-projek berskala kecil melalui inisiatif Unit Pemerkasaan Bumiputera. Pada masa yang sama, kita cari jalan untuk menambahkan peluang kepada kontraktor kecil dan sederhana yang berwibawa, agar mereka dapat menyertai projek berskala besar menerusi proses pengecilan kerja dan carving out.

Beralih pula kepada cadangan yang ketiga. Pemuda meminta kerajaan mengkaji semula pendekatan syarikat di bawah seliaan kerajaan untuk membeli barangan pembinaan seperti simen, batu, pasir dan besi, sebagaimana model terdahulu iaitu Pernas dan UDA Trading. Langkah ini boleh membantu kontraktor binaan mengatasi kekangan penawaran bahan dan harga. Namun demikian, pendekatan baru yang tuntas perlu diadakan untuk membantu usahawan yang benar-benar mahu berjaya – bukan yang mahu jadi broker saja. Cadangan ini sebenarnya sudah lama diperjuangkan tetapi masih belum jadi realiti. Pemuda meminta kerajaan menyegerakan penubuhan satu entiti yang dapat membeli bahan pembinaan dengan pukal dan menjualnya kepada kontraktor-kontraktor kecil dan sederhana pada harga berpatutan.

Dalam melestarikan tradisi sebagai pejuang orang muda, Pemuda juga mendesak agar penekanan dapat ditingkatkan dalam bidang vokasional dan kemahiran. Bagi Pemuda, inilah juga agenda bangsa yang sebenar. Latihan kemahiran bukan sahaja dapat menempa ruang kerjaya, tetapi mampu mengubah masa depan anak bangsa. Jangan kita lupa, tidak semua anak-anak muda kita berkeinginan untuk melanjutkan pengajian akademik di peringkat lebih tinggi. Untuk yang tidak sampai ke menara gading, laluan alternatif perlu disediakan. Sebagai Menteri Belia dan Sukan yang memayungi institusi kemahiran seperti Institut Kemahiran Belia Negara atau IKBN, saya amat mengerti masalah ini.

Saya berterima kasih kepada Y.A.B. Presiden yang telah bersetuju untuk menambah pengambilan pelatih IKBN sebanyak lima ribu lagi. Kualiti dan kepelbagaian latihan serta pembelajaran IKBN juga akan ditingkatkan sewajarnya. Walaubagaimanapun, Pemuda menyarankan supaya jumlah pengambilan pelatih kemahiran dapat digandakan lagi, memandangkan pelajar lepasan SPM setiap tahun mencecah hampir 500 ribu orang. Daripada jumlah ini tak sampai 40 peratus yang dapat masuk ke IPT. Apa pula tindakan kita untuk 60 peratus yang tak dapat masuk IPT? Mestilah kerajaan menyediakan lebih tempat di institut-institut latihan awam supaya mereka ini juga ada masa depan yang cerah dan tidak tercicir daripada arus perdana pembangunan.

Dan yang kelima, kerajaan telah menyediakan macam-macam peruntukan dan kemudahan untuk golongan petani, nelayan dan penternak – yang majoritinya adalah golongan Bumiputera. Walaubagaimanapun, objektif untuk meningkatkan taraf sosioekonomi golongan ini tumpul dek kerenah orang tengah yang mengaut keuntungan berlebihan. Faktor ini juga menyebabkan harga makanan di pasaran lebih tinggi daripada sepatutnya, yang mana mendatangkan beban besar kepada rakyat. Dalam hal ini, Pemuda menggesa agar rantaian nilai produk pertanian dapat dikuasai oleh golongan petani, nelayan dan penternak itu sendiri, dengan bantuan agensi kerajaan yang berkaitan. Pemuda menyokong usaha Menteri Pertanian dalam memerangi gejala orang tengah, yang telah sekian lama membantutkan usaha kerajaan memajukan petani kecil dan menghalang penurunan harga barang-barang perlu. Selain itu, sistem AP bagi produk pertanian perlu dilaksanakan secara telus dan terbuka, agar tidak wujud monopoli atau kartel yang akan menguntungkan sesetengah pihak sahaja. Melalui langkah-langkah terperinci ini, Pemuda yakin rakyat akan memperolehi manfaat dari segi harga pasaran yang lebih berpatutan.

Begitu juga apabila kita menyentuh soal rasionalisasi subsidi. Ya, Pemuda akur bahawa demi kelangsungan dan kemampanan ekonomi, subsidi perlu distruktur semula, supaya tidak bersifat pukal dan lebih menjurus kepada mereka yang memerlukan. Dalam semangat yang sama, konsisten pula dengan cadangan yang dibawa oleh Pemuda tahun lalu, kami menggesa agar kerajaan mengkaji semula sistem kebajikan yang ada sekarang. Jika perlu, kita rombak mekanisme sedia ada, kita tambah peruntukan bulanan, agar ianya benar-benar membantu golongan yang memerlukan.

Bayangkan, ada satu kes di Kampong Bongek Tengah, di kawasan parlimen saya sendiri. Seorang ibu tunggal, berumur 64 tahun, sudahlah anaknya ramai lapan orang, yang ketujuh pula OKU dan mampu terlantar saja. Si ibu tak bekerja demi menjaga anak, tapi tuan-tuan bayangkan, bantuan kebajikan yang diterima hanya RM300 sebulan sahaja. Apalah yang boleh dibeli, apa yang mampu ditampung dengan 300 itu? Nak makan pun tak cukup, apalagi nak beli ubat atau lampin. Justeru, nilai bantuan kebajikan perlu dikaji semula supaya dalam kes-kes tertentu apa yang dihulurkan benar-benar dapat meringankan beban yang ditanggung.

Sekarang rakyat dan komuniti perniagaan pula mengeluh tentang tarif elektrik yang akan naik awal tahun depan. Namun kita difahamkan bahawa peningkatan tarif elektrik ini bukan sekadar untuk menampung peningkatan harga bahan api, tetapi juga bagi menambahkan laba keuntungan TNB yang sudah berbilion ringgit jumlahnya. Sebagai GLC, TNB perlu prihatin kepada rakyat dan tidak boleh bermotifkan keuntungan semata-mata. Bagi Pemuda, kenaikan tarif yang tidak setara dengan peningkatan kos bahan api hanya menguntungkan TNB yang tampak mementingkan kantung pemegang saham, bukan rakyat jelata. Kepada TNB dan juga GLC-GLC yang lain Pemuda mendesak janganlah terlalu mementingkan prestasi kewangan semata, tanggungjawab kepada rakyat jangan sesekali dilupa.

Seterusnya yang ketujuh, saban tahun kita dengar laporan Ketua Audit Negara yang mendedahkan salah laku dan kecuaian dalam menguruskan aset atau perbelanjaan negara. Pemuda memandang serius hal ini dan mendesak agar tindakan tegas dapat diambil terhadap mereka yang terbukti bersalah. Jika ada salah laku yang nyata, kita wajib dakwa, jangan sampai rakyat tertanya-tanya. Pada masa yang sama, Pemuda mahukan agar proses audit yang berorientasikan pemantauan dan penambahbaikan dapat dilaksanakan dengan segera. Ini bagi membolehkan sebarang ketirisan dapat diketengahkan untuk tindakan kementerian yang terbabit semasa pengauditan dibuat, bukannya selepas seluruh proses itu selesai.

Isu yang kelapan ini sebenarnya tidak baru. Sebagaimana tahun lalu, Pemuda sekali lagi menyentuh isu perumahan yang merupakan masalah ruji anak muda hari ini. Kita sambut baik langkah Kerajaan mengadakan Program Rumah Transit untuk pasangan muda baru berkahwin. Tapi kerajaan mesti menambah jumlah rumah transit ini, kerana setakat 632 unit yang bakal dilancarkan tahun depan, itu tidak mencukupi berbanding dengan keperluan yang amat mendesak. Bagi tujuan ini, Pemuda memohon agar kerajaan dapat meningkatkan peruntukan kepada Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur untuk membina perumahan mampu mililk bagi generasi muda.

Kesembilan, dalam aspek hal ehwal bandar, Pemuda mengalu-ngalukan langkah kerajaan yang akan menubuhkan Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP) di 148 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), seluruh negara. Moga-moga JPP yang dilantik akan menjadi jambatan yang menghubungkan penduduk bandar dan pinggiran bandar bersama kerajaan – sama seperti Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) untuk kawasan luar bandar. Namun demikian, memandangkan ramai anak muda bermastautin di bandar, Pemuda harap agar ada kuota khas untuk golongan muda dalam setiap JPP 20 atau 30 peratus, supaya isu dan keperluan mereka akan dapat diambilkira oleh kerajaan.

Akhir sekali, Pemuda mengutuk sekeras-kerasnya negara-negara asing yang dilapor mengintip Malaysia baru-baru ini. Jangan sesekali ada yang mengambil kesempatan atas diplomasi dan semangat persahabatan yang kita tunjukkan selama ini di peringkat antarabangsa. Ini suatu penjarahan terhadap kedaulatan serta maruah negara kita. Lantaran itu, Pemuda menggesa agar Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pertahanan, Kementerian Komunikasi dan Multimedia dan Kementerian Luar Negeri dapat menyiasat punca dan cara pengintipan ini dijalankan. Pada masa yang sama, kita mesti tahu adakah negara punyai kapasiti untuk mengesan hubaya mengintip di peringkat awal lagi. Jika perlu, negara harus melaburkan wang untuk menambahbaik sistem mengesan dan memantau pengintipan asing. Kita tidak boleh ambil pendekatan acuh tak acuh dalam soal mempertahankan kedaulatan negara.

Sidang perwakilan sekalian,

Dewasa ini, makin jelas tembelang pembangkang di mata rakyat. Kalau dulu mereka pukul canang, Selangor paling hebat dalam mengamalkan pentadbiran berhemah dan berjimat-cermat, kini tindakan kerajaan Selangor menaikkan gaji Speaker, Timbalan Speaker dan Ahli Dewan Undangan Negeri mereka sehingga ratusan peratus, apa pula ceritanya? Takkan itu juga demi rakyat?

Matematik saya senang saja, kalau gaji Speaker Selangor RM22,500 sebulan, bermakna setahun RM270,000. DUN Selangor pula bersidang kira-kira, kita ambil purata, 30 hari dalam setahun. Malahan tahun lalu, persidangan DUN Selangor hanya sebanyak 21 hari sahaja. Dengan sehari saja speaker bertugas, sudah dapat RM9,000. Gaji Menteri Besar usah cerita, lagi banyak daripada gaji Perdana Menteri yang menjaga satu negara. Pihak pembangkang ini macam bunga dedap, sungguh merah berbau tidak.

Ego dan keceluparan pembangkang pula tiada batas. Semakin lama berkuasa semakin angkuh dan bongkak. DAP apabila tak kena gaya, mereka tak teragak-agak untuk memanggil penjawat awam atau sesiapa saja “anjing” atau “kucing kurap”. Bila minta maaf pun nampak sangat tak ikhlas.

Itu baru kes celupar, belum kes Karpal Singh mahu mengharamkan parti politik berasaskan kaum dan agama di negara ini. Terus naik angin Dewan Pemuda PAS dibuatnya. Sekarang, barulah PAS sedar dan lihat belang sebenar DAP, sehingga tercetus semula isu untuk muzakarah dengan UMNO. Pemuda UMNO tidak menolak apa-apa kebarangkalian, cuma harapnya janganlah idea muzakarah itu sekadar untuk menggertak DAP, tetapi lahir ikhlas dari hati PAS sendiri. Bagi Pemuda UMNO, ianya satu langkah yang murni ke arah impian menyatupadukan orang Melayu, demi kelangsungan survival ummah, bangsa dan agama.

Anak punai anak merbah
Terbang turun meredah awan
UMNO dan PAS satu ukhwah
Rapatkan jurang berpisah jangan

Saudara-saudara sekalian,

Walaupun kepincangan pembangkang semakin nyata, jangan hanya kita bersandarkan kepada kelemahan mereka untuk menang dalam pertaruhan akan datang. Biarkan si luncai terjun dengan labunya tetapi kita mesti mara dan berjuang atas kekuatan kita sendiri. Kita mesti menang bukan atas kekurangan musuh tetapi atas kehebatan kita sendiri. Tetapi jangan kita ingat perang yang akan datang itu sesuatu yang mudah. Kita berada dalam persekitaran politik yang amat mencabar. Betul kita menang PRU lepas tetapi kita masih tidak dapat menebus maruah kita sepenuhnya. Di bandar kita ketinggalan, undi bukan Bumiputera kita ketinggalan, undi popular pula tidak memihak kepada kita. Jangan kita nafikan kelemahan yang nyata.

Empat tahun bukanlah satu masa yang lama, dalam sekelip mata sekali lagi kita kembali kepada rakyat untuk menentukan survival parti. Tetapi UMNO tak pernah gentar dengan cabaran. Kita tak pernah lekang dari diuji dan telah bangkit berkali-kali dalam sejarah. Ingatlah, peranan Pemuda penting untuk memenangi hati dan jiwa pengundi muda di PRU14. Saudara semua telah memberi mandat yang besar untuk saya kekal sebagai Ketua Pemuda, tetapi saya tidak mampu melaksanakan tangggungjawab ini sendirian. Saya pohon bantuan anda semua, saya perlukan kita semua bersatu, hanya dengan bersatu kita mampu mengatasi cabaran mendatang.

Dalam seiras semangat juang, bangunlah anak bangsa jangan kau diam. Kita kerah segala kudrat atas nama perjuangan, atas nama melunas amanah, membangun nusa dan membela bangsa. Membujur lalu melintang patah, patah sayap bertongkat paruh, patah paruh bertongkat siku, tetap cekal walau jalan berliku.

Janganlah kau gentar wahai orang muda, walau sebesar mana badai melanda, walau setinggi mana puncak cita-cita, walau jauh beribu batu, walau sepanas mana lautan api – kita Pemuda UMNO tetap tidak berganjak, sanggup menggadaikan jiwa dan raga demi agama, bangsa dan tanah merdeka.

Saudara-saudaraku sekalian,

Jika ditanya siapa kita, siapa kita?
Kitalah sayap hulubang parti,
Kitalah penabur khidmat dan bakti
Kita bangkit bila jatuh, berjalan kita dengan tegap, berlari kita dengan memecut,
Kitalah pejuang paling hadapan,
Kitalah denyut dan nadi anak watan,
Kitalah penegak kewarasan iltizam,
Kitalah nakhoda meredah zaman,
Kitalah sayap Pemuda UMNO!

HIDUP UMNO!
HIDUP UMNO!
HIDUP UMNO!

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda