Monthly Archives: September 2009

Isa Samad sah calon BN DUN Bagan Pinang

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Samad dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang.

Perkara tersebut diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di bilik operasi BN di sini, sebentar tadi. Pilihan raya itu akan diadakan pada 11 Okt manakala penamaan calon akan berlangsung Sabtu ini.

Kerusi DUN Bagan Pinang kosong berikutan kematian penyandangnya, Azman Mohammad Noor daripada BN pada 4 September lalu.

PAS dijangka mengumumkan calonnya malam ini.

1 Comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Teng, Santiago ‘serang’ Hasan

Pesuruhjaya PAS dan ahli Exco Selangor, Datuk Dr Hasan Ali sengaja menumpukan kepada isu remeh-temeh di negeri itu sebagai percubaan untuk merosakkan reputasi Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim dan pentadbirannya, dakwa Speaker Selangor, Teng Chang Khim.

Malah Teng dalam serangan paling pedas ke atas Exco dari PAS itu berkata, Dr Hasan cuba untuk menggambarkan Khalid sebagai seorang yang tidak cekap, tidak tegas dan tidak berkemampuan dalam melaksanakan tugasnya.

Menurut Teng, apa yang dilakukan oleh Dr Hasan beberapa bulan kebelakangan ini menunjukkan yang beliau mahu menyusahkan Khalid dan pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor.

Dan ini dilakukan oleh Dr Hasan secara terancang dan sistematik, kata Teng lagi.

Beliau menambah, Dr Hasan pada mulanya membantah pelantikan Low Siew Moi sebagai pengurus besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), diikuti dengan tindakan mengeluarkan kenyataan meminta Khalid menjelaskan berhubung dakwaan pembelian lembu bagi kawasan parlimennya menggunakan wang kerajaan negeri dan penggunaan kenderaan peribadinya sebagai kereta rasmi Menteri Besar.

Teng berkata, Dr Hasan kemudiannya menimbulkan kekecohan berhubung penjualan arak di Selangor dan yang terbaru, ‘serangannya’ terhadap Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan DUN Selangor (Selcat).

Ahli Parlimen Klang dari DAP, Charles Santiago juga berpendapat, tindakan Dr Hasan bertujuan melemahkan Khalid dan pentadbirannya.

Menurut Santiago, sebagai Exco, Dr Hasan tidak akur dengan tanggungjawab bersama yang diamalkan di negeri itu.

Katanya, Dr Hasan cuba sedaya upaya untuk menggambarkan dirinya sebagai jaguh dan suara kepada kaum Melayu di negeri itu.

Dengan pergolakan yang sedang berlaku ini kata Santiago, Dr Hasan berharap beliau dapat menuntut jawatan Menteri Besar daripada Khalid.

Sementara itu, Teng berkata, serangan terbaru Dr Hasan terhadap Selcat juga turut disertai penipuan-penipuan besar.

“Beliau menuduh saya berkata yang Pegawai Daerah Klang, Bakhtiar Hussin tidak efektif dan tidak layak memegang jawatan itu.

“Saya tidak pernah berkata perkara seperti itu,” kata Teng.

Beliau menambah, Dr Hasan pada mulanya berkata, hakim-hakim yang telah bersara sepatutnya dilantik sebagai ahli Selcat namun kemudian menafikan perkara itu.

“Beliau juga berkata, Selcat mesti dianggotai oleh orang-orang yang dihormati dan boleh dipercayai. Adakah beliau bermaksud yang panel pada masa ini tidak cukup dihormati dan dipercayai?,” kata Teng.

Menurutnya lagi, selepas mengkritik Selcat, Dr Hasan tidak pernah sekalipun menghubungi beliau untuk membincangkan isu itu.

“Beliau ada nombor (telefon) saya tapi masih belum menghubungi saya walaupun sekali sejak dua minggu lalu,” katanya.

Teng berkata, ini merupakan sesuatu yang ironik memandangkan Dr Hasan merupakan orang pertama yang menghubungi beliau bagi membincangkan mengenai penubuhan kerajaan campuran selepas pilihan raya umum tahun lalu.

“Beliau boleh menghubungi saya pada ketika itu tetapi tidak pada masa ini,” kata Teng.

Malah katanya, Dr Hasan tidak mempunyai hujah yang kukuh untuk menyokong apa sahaja isu yang cuba dicetuskannya.

Beliau meminta supaya siasatan Selcat dijalankan secara tertutup bagi melindungi integriti pegawai-pegawai yang akan disoal siasat, namun integriti perlu diuji dan bukan dilindungi, kata Teng.

1 Comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Pemimpin PAS, DAP terkilan pendirian Hasan Ali mempertikai Selcat

Datuk Dr. Hasan Mohamed Ali berhadapan dengan ‘kritikan’ pemimpin-pemimpin kanan Pakatan Rakyat termasuk partinya sendiri ekoran kenyataan beliau mempertikaikan perjalanan Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Dewan Undangan Negeri Selangor (Selcat) yang kini menyiasat dakwaan salah guna peruntukan kerajaan negeri.

Beberapa pemimpin kanan yang dihubungi menyifatkan, selaku anggota eksekutif yang turut terlibat dalam penubuhan Selcat tahun lalu, Hasan yang merupakan Exco Kerajaan Negeri Selangor dan Pesuruhjaya PAS negeri, tidak sepatutnya mempertikaikan badan itu secara terbuka dengan membelakangkan kepentingan kerajaan negeri Pakatan Rakyat.

“Isu yang dibangkitkan ini sepatutnya tidak berbangkit… Selcat ini berkaitan dengan legislatif, ada unsur pemisahan kuasa antara bidang eksekutif dan legislatif… sepatutnya tidak berbangkit,” kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar ketika dihubungi mStar Online.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu menambah, sebagai anggota pentadbiran dalam kerajaan negeri sepatutnya ada satu bentuk persefahaman tentang soal pemisahan kuasa bidang antara eksekutif dan legislatif.

“Kita sepatutnya sudah ada satu persefahaman apabila berada dalam parti ataupun kerajaan negeri. Mereka kena faham tentang fungsi dan skop tentang konsep pemisahan kuasa.

“Saya percaya jika mereka betul-betul faham, maka tidak akan timbul masalah seperti ini… saya tidak tahu sama ada beliau faham aspek ini ataupun tidak.

“Apa pun isu ini tidak seharusnya dibangkitkan secara publik. Dengan bertindak sedemikian, ini sudah macam menafikan hak yang pada legislatif itu sendiri,” kata beliau lagi.

Selain itu menurut beliau, dalam dunia sebenar tiada pihak yang disoal siasat oleh mana-mana jawatankuasa pernah atau akan gembira dengan cara dan prosedur siasatan dijalankan.

“Mereka yang disoal siasat mahukan layanan kelas satu,” kata beliau sambil berseloroh.

Sehubungan itu Mahfuz menambah, Hasan sebagai anggota eksekutif seharusnya menasihatkan mana-mana pegawai kanan kerajaan, dalam kes terbaru Selcat yang melibatkan pegawai-pegawai daerah yang mengadu tentang perjalanan jawatankuasa itu, supaya mengambil tindakan yang mereka fikirkan wajar jika tidak berpuas hati dengan Selcat.

“Macam dalam kes Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh (dari DAP) yang digantung daripada menghadiri Dewan Rakyat selama setahun.

“Keputusan disyorkan oleh jawatankuasa Parlimen dan apabila beliau tidak berpuas hati, beliau mengambil tindakan mahkamah (yang sedang didengar),” katanya.

Oleh itu, ujar beliau, Hasan perlu memahami bahawa Selcat atau apa jua jawatankuasa sama ada di Parlimen atau Dewan Undangan Negeri, anggotanya adalah terdiri daripada wakil rakyat, bukannya orang luar.

“Jadi bagaimana anggota Selcat boleh dianggotai oleh orang luar, macam bekas hakim? Jika pun Hasan tidak bersetuju, beliau seharusnya membawa isu ini kepada mesyuarat Exco untuk dibincangkan secara lanjut.

“Dan, kemudian membawa usul meminda Aturan Mesyuarat bagi mengubah keanggotaan Dewan dalam jawatankuasa… bukannya membuat kenyataan seumpama itu walaupun beliau merasakan tidak berpuas hati dengan Selcat,” kata Mahfuz yang menafikan kenyataan Hasan itu menunjukkan Pakatan Rakyat Selangor berhadapan dengan krisis dan berpecah.

Speaker Dewan Undangan Negeri, Teng Chang Khim dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim juga tidak bersetuju dengan syor Hasan agar Selcat dirombak.
Pendirian Mahfuz itu turut dilahirkan oleh salah seorang anggota Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.

Khalid Samad yang juga Ahli Parlimen Shah Alam memberitahu, Hasan seharusnya memainkan peranan sebagai anggota dalam “satu pasukan kerajaan negeri Selangor.”

“Beliau harus mencerminkan semangat berpasukan walaupun kita tidak gembira dengan keputusan-keputusan yang telah dibuat… bukannya membuat keputusan sendiri tanpa perbincangan, tidak sewajarnya membuat kenyataan seumpama itu di khalayak umum,” kata beliau.

Bagaimanapun beliau mengakui bahawa Selcat sebagai jawatankuasa yang baru kemungkinan ada kekurangan-kekurangan tertentu yang boleh diperbaiki dalam jangka panjang.

Khalid menambah, Biro Politik PAS yang mengadakan mesyuarat baru-baru ini juga telah meminta setiap pemimpin parti yang menganggotai pentadbiran negeri agar memperlihatkan pendirian bersatu dan secara berpasukan apabila ia melibatkan soal kerajaan negeri.

Kini, Pakatan Rakyat memerintah negeri Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Selangor.

Selain itu ujar Khalid, pegawai-pegawai kanan juga perlu menerima tujuan penubuhan Selcat di samping memperlihatkan rasa tanggungjawab mereka terhadap kepentingan rakyat.

Jelasnya, walaupun sebelum ini mereka bertindak mengeluarkan dana dengan menerima arahan daripada kerajaan negeri terdahulu (sebelum 8 Mac 2008), tetapi apabila ia melibatkan wang awam, pegawai-pegawai kanan terbabit perlu menunjukkan sikap tanggungjawab masing-masing.

DAP JUGA PERSOAL HASAN

Di George Town, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng juga mempersoalkan kenyataan Hasan sambil berkata, adalah sesuatu yang luar biasa bagi Pesuruhjaya PAS Selangor itu mengesyorkan agar Selcat dirombak sedangkan beliau turut menyokong penubuhannya tahun lalu.

“Jika undang-undang ini (penubuhan Selcat) tidak betul, mengapa beliau menyokong untuk ia diluluskan? Beliau seharusnya sedar tentang ruang lingkup kuasa dan bentuk tugas beliau.

“Nampaknya beliau tidak memahami situasi itu,” kata Lim yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang.

Lim juga berpendapat, Hasan seharusnya membawa pendirian mempertikaikan perjalanan Selcat menggunakan saluran dalaman, bukannya secara terbuka.

Perjalanan Selcat menjadi isu sejak minggu lalu apabila ia dikritik pegawai-pegawai daerah yang dipanggil memberi keterangan mendakwa dilayan seperti penjenayah dan perlu menjawab soalan mengikut kehendak jawatankuasa tersebut.

Pegawai Daerah Klang, Bakhtiar Hussin menyifatkan Selcat tidak mencerminkan proses siasatan sebenar kerana lebih menjurus kepada serangan peribadi, selain menjejaskan imej serta kredibiliti dirinya sebagai penjawat awam sejak 30 tahun lalu.

Katanya, siasatan diketuai Teng dilakukan dalam suasana tegang dan tidak berhemah.

Selcat akan mengadakan pertemuan susulan selama lima hari bermula 21 Oktober ini.

Selcat ditubuhkan oleh DUN Selangor selepas pilihan raya umum Mac 2008 untuk memantau selia dan memeriksa keupayaan, kebertanggungjawab dan ketelusan dalam segala urusan pentadbiran kerajaan negeri.

Anggotanya terdiri daripada Haniza Mohd. Talha (PKR-Taman Medan), Azmin Ali (PKR-Bukit Antarabangsa), Shaari Sungib (PAS-Hulu Klang), Edward Lee Poh Lin (DAP-Bukit Gasing), Sulaiman Abdul Razak (BN-Permatang) dan Ismail Sani (BN-Dusun Tua).

Teng adalah Pengerusi Selcat.

Semalam bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Muhamad Khir Toyo juga berpendapat Selcat wajar dirombak keanggotaannya sambil memberitahu mStar Online bahawa kontroversi Selcat menggambarkan wujudnya rebutan kuasa antara Teng dan Menteri Besar Selangor.

1 Comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Khalid Samad jawab YB Kulim

ni lah bila politik benci disemat dalam hati…sikit2 UMNO…sikit2 UMNO…apa lah khalid ni…

Baru kini saya berkesempatan membaca tulisan YB Zul Nordin berhubung isu pemindahan kuil Seksyen 19 ke Seksyen 23 yang juga telah dicetak di muka hadapan Utusan Malaysia.

Saya dapati tulisan dan anlisa beliau terhadap isu ini begitu lemah dan tidak profesional sama sekali. Sebagai seorang peguam dan Ahli Parlimen, beliau sepatutnya lebih teliti dan bertanggung jawab dalam tulisan beliau. Faktanya kesemuanya tidak tepat dan tuduhan yang dilemparkan tidak berasas. Oleh yang demikian, untuk mengelakkan kekeliruan, adalah wajar bagi saya menjelaskan isu sebenar untuk makluman beliau dan mereka yang bersependapat dengan beliau.

Pada mulanya YB Zul menyatakan pendirian tidak bersetuju dengan tindakan “demonstrasi kepala lembu”. Beliau secara jelas menyatakan ianya “tidak dihalalkan, malahan ditegah oleh Al-Quran”. Beliau juga menyatakan bahawa beliau tidak bersetuju dengan kelakuan liar segelintir yang hadir sesi dialog dengan MB, yang katanya “seperti dirasuk syaitan kehaiwanan, mengugut dan memaki hamun”.

Pada awalnya tulisan beliau kelihatan waras dan wajar.

Namun apabila terus membaca tulisannya, didapati beliau membela mereka dan menyalahkan pula kerajaan Negeri Selangor yang katanya “menceroboh” tanah di Seksyen 23. Ummat Islam dikatakan sebagai ummat yang ditindas di bumi sendiri. Akhirnya amat jelas pendirian beliau adalah menyebelahi pihak segelintir penduduk tersebut dan sokongan beliau terhadap tindakan mereka sebenarnya mendedahkan pendekatan beliau sendiri terhadap orang bukan Islam.

Adakah ahli PAS terlibat?

Sebelum mengupas tulisan beliau dalam soal ini dan mendedahkan kesilapan dan prejudis beliau sendiri, biarlah saya nyatakan di sini bahawa dakwaan kononnya ada seorang ahli PKR dan empat ahli PAS yang terlibat di dalam demo tersebut hanya merupakan dakwaan semata-mata.

Hingga ke hari ini tiada apa-apa bukti dikemukakan. Saya telah mencabar Hishamuddin untuk mengemukakan bukti dan sekiranya benar saya akan mendesak PAS supaya memecat mereka. Ini adalah kerana tindakan mereka seperti yang ditegaskan oleh YB Zul adalah “tidak dihalalkan dan ditegah oleh Al-Quran”.

Namun hingga ke hari ini, tiada apa-apa yang dikemukakan sebagai bukti. Amat pelik apabila YB Zul menzahirkan keyakinan dengan begitu padu terhadap laporan akhbar yang dikuasai BN.

Begitu juga dengan kenyataan YB Zul “ternyata mereka bersatu dalam aqidah walau berbeza dari segi wadah”. Bunyi betul-betul macam Umno yang sedang gilakan perpaduan dengan PAS. Betul ke tiada perbezaan “akidah” di antara PAS, Umno dan PKR? Yang berbeza hanya wadah? Kalau begitu patutlah ada yang meminta kita bersatu supaya perbezaan itu selesai kerana yang berbeza hanya wadah. Nampak gaya selama ini YB Zul sendiri tidak faham mengapa PAS menentang Umno dan mengapa PAS wujud sebagai PAS, tidak bersatu dengan Umno.

Sebenarnya yang sama adalah semuanya Melayu, walaupun ada yang macam Mamak atau yang macam Cina. Mungkin bagi YB Zul, Melayu adalah akidah.

Hakikatnya isu ini didalangi Umno. Pemimpin Umno (Noh Omar) turun menghasut segelintir penduduk ahli Umno tegar, penyokong Ketua Bahagian Umno Shah Alam, untuk bertindak menentang cadangan kerajaan walaupun belum lagi mendengar cadangan tersebut. Pemimpin Umno juga (Hishamuddin) yang membela pendemonstrasi selepas demonstrasi berkenaan seperti yang sedang dilakukan YB Zul. Jangan nak libatkan PAS atau PKR. Usaha nak kaitkan PAS adalah taktik kotor Umno.

Apa arahan kerajaan Selangor?

Menurut YB Zul, kerajaan Negeri Selangor keluarkan arahan “bina ‘kuil besar’ di Seksyen 23 di kawasan kediaman ummat Islam”. Saya tidak tahu dari mana beliau mendapat maklumat beliau tetapi seperti biasa YB Zul cakap tanpa selidik. Hanya nak sensasi sahaja.

Kerajaan Selangor hanya mencadangkan tapak baru bagi kuil yang sediada di Seksyen 19. Bukan kuil baru. Kerajaan Selangor BN dulu cadangkan kuil tersebut dipindahkan ke Seksyen 18 (enam ekar untuk tujuh kuil) pada awalnya dan seterusnya ke Seksyen 22 (satu ekar untuk kuil itu sahaja). Kami mencadangkan ia dipindahkan ke Seksyen 23, dalam kawasan industri, bukan di kawasan kediaman ummat Islam. Rumah terdekat terletak 200 meter dari tapak cadangan tersebut.

Dari maklumat di atas, pemindahan kuil itu tidak merupakan isu dan diusahakan sejak zaman BN lagi. Namun mereka gagal. Oleh itu, mereka khuathir kita berjaya!

Persoalannya adakah benar kerajaan arah “bina kuil besar” di “kawasan kediaman ummat Islam”? Jelas tidak benar. Istilah “bina”, “kuil besar” dan “kawasan kediaman ummat Islam” semuanya istilah yang digunakan Umno untuk mengelirukan ummat Islam dan menaikkan semangat kebencian mereka. YB Zul seolah-olah terpengaruh propaganda Umno! Bukan sekadar itu, sanggup pula memanjangkannya!

Hakikatnya, kerajaan tidak “bina”, tiada “kuil besar” dan bukan juga di “kawasan kediaman ummat Islam”. Ia di kawasan industri.

Benarkah “wakil Hindu” menghina azan?

Pertama, tiada “wakil Hindu” sepertimana juga tiada “wakil Islam”. YB Zul mungkin menganggap kumpulan liar mewakili Islam, saya tidak. Mereka didalangi Umno. Mungkin YB Zul anggap Umno mewakili Islam. Saya tidak.

Yang hadir adalah penduduk. Seorang penduduk yang beragama Hindu menyebut, “kami tiada masalah dengan azan 5 kali sehari…” Mendengar itu kumpulan liar terus bertindak liar. Mungkin malu sendiri dengan sikap ekstrim mereka berbanding toleransi orang Hindu maka ingin menenggelamkan suara penduduk Hindu tersebut.

Dalam kes ini saya tidak nampak penduduk Hindu berkenaan menghina azan. Yang saya nampak adalah kumpulan liar menghina Islam dengan mendakwa tindakan liar mereka adalah atas nama Islam. YB Zul jangan menyokong atas dasar “asobiyyah”. Kerana satu pihak Hindu dan satu pihak lagi Melayu, maka kita sokong Melayu walaupun tindakan mereka bercanggah dengan Al-Quran.

Atas semangat yang sama YB Zul bertanyakan kisah Jeff Ooi dan Majlis Peguam. Saya rasa isu Jeff Ooi sudah selesai. Beliau sudah pun menarik kembali kenyataan beliau. Ini membuktikan bahawa untuk membetulkan salah faham dan salah tanggap tidak perlu kita bertindak seperti samseng. Jelaskan secara hikmah. Bila kita bertindak sebegitu kita rasa kita “terror” tetapi orang nampak kita bodoh dan lemah akal. Tidak mampu berhujjah. Hanya mampu mengugut dan bertindak kasar.

Setelah dijelaskan Jeff Ooi menyedari kesilapan beliau dan menarik semula kenyataannya. Tanpa ugutan. Tanpa kesamsengan. Begitu juga perlu kita usahakan dengan Majlis Peguam. Kita faham bahawa mereka dipengaruhi fahaman kebaratan. Macam Umno juga. Tetapi Umno kononnya parti orang Islam. Majlis Peguam tidak. Nilai-nilai mereka dipengaruhi nilai-nilai dominan tamaddun Barat. Persepsi mereka terhadap undang-undang syariah agak meleset hasil kekeliruan yang tersebar luas oleh Umno. Kita perlu berhujjah membetulkan fahaman mereka dan ini yang sedang dilakukan oleh beberapa pemimpin. Seperti tersiar dalam Harakah di mana pimpinan menjelaskan isu Kartika dari sudut pandangan Islam. Kewajaran dan falsafah hukum syariah. Bezanya hukum sebat syariah dan sebat sivil. Dan sebagainya. Tidak perlu samseng. Tidak perlu ugut. Inilah dakwah. Ini yang saya rasa YB Zul tidak faham. Adakah yang beliau faham dakwah tu samseng, ugut. Naik berang dan naik marah bila orang bukan Islam mempersoalkan keadilan undang-undang Islam. Tunjuk “act”?

Tetapi Al-Quran ada menyebut “Seru kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan nasihat serta contoh yang baik dan berhujjah dengan mereka dengan cara yang terbaik…” Tiada sebut kaedah samseng, tiada juga kaedah ugut. Terangkan sahaja dengan tenang, dengan hujjah dan anggap keadaan ini sebagai peluang untuk memberi penjelasan mengenai Islam. Peluang untuk berdakwah bukan alasan untuk naik berang.

Biasanya orang tunjuk samseng kerana tidak mampu berhujjah. Pelik juga, ada juga peguam yang tidak mampu berhujjah ke?

Memutarbelit Al-Quran

YB Zul menuduh sayalah tu, maka tidak perlulah berlapik dengan mengatakan Pak Janggut memutarbelitkan Al-Quran untuk mempertahankan pembinaan kuil. Pertama, kita tidak bina kuil. Kita hanya beri tapak. Ganti tapak lama yang akan diambil alih PKNS. Kedua, bukan kuil tambahan tetapi kuil lama yang hendak dipindahkan. Ketiga, ayat mana yang diputarbelit dan bagaimana tidak dijelaskan. Kebiasaannya cara Umno, buat tuduhan tapi tidak ada fakta. Janganlah ikut cara mereka.

Sebagai ummat Islam, Al-Quran adalah rujukan kepada semua persoalan. Walaupun berhubung isu kuil. Dalam soal ini saya harap YB Zul setuju. Kecuali beliau ingin merujuk “Mein Kempf” pula apabila menguruskan persoalan kuil!

Saya sebut Al-Quran menuntut ummat Islam bertindak adil terhadap semua, termasuk yang bukan Islam. YB Zul setuju tetapi beliau menyatakan kita hanya adil terhadap kebajikan mereka. “Dalam soal ketuhanan,” kata beliau lagi, “tidak timbul keadilan.” Ada sesiapa yang faham kenyataan beliau ini? Saya tidak faham. Adakah dimaksudkan dalam soal ketuhanan Islam meminta kita bertindak zalim? Kerana lawan adil adalah zalim. Jika itulah yang dimaksudkan maka saya tidak setuju kerana Islam adil dalam semua aspek.

Beliau terus menyebut pula, “kita memelihara tempat ibadat mereka, bukan mewujudkan yang baru dicelah kediaman kita”. YB Zul tidak tahukah, yang terletak di “celah kediaman” orang Islam ialah yang di Seksyen 19. Itulah antara sebabnya kita cuba pindahkan dan dicadangkan ke Seksyen 23, yang berjauhan dari kawasan kediaman. Dan ianya bukan soal bina kuil baru. Ianya soal pemindahan. Haai… kalau tidak tahu jangan cakaplah.

Walaubagaimanapun saya setuju dengan YB Zul dalam satu hal. Sepatutnya kita “memelihara tempat ibadat mereka” dengan mengambil kira wujudnya kuil berkenaan di situ semasa kawasan perumahan dibangunkan. Ini tidak. Dibina rumah keliling kuil seolah-olah kuil tersebut tiada, dijualnya pula tanpa menyatakan wujudnya kuil tersebut dan sekarang apabila timbul masalah dengan penduduk sekeliling, terpaksa pula kita pindahkan.

Satu lagi dakwaan yang ditimbulkan oleh YB Zul ialah haramnya pembinaan kuil baru. Adakah benar ianya haram dan ditegah sama sekali oleh Islam? Walaupun penduduk semakin ramai, yang Islam dan bukan Islam, adakah benar pembinaan kuil, gereja serta tokong baru ditegah? Yang boleh dibina hanya masjid dan surau untuk menampung pertambahan penduduk? Kalau benarlah dakwaan YB Zul, maknanya setiap perumahan baru, bandar baru, tidak kira ada berapa ramai penduduk bukan Islam, tidak boleh dibina tempat ibadat untuk mereka.

Hmmm, ulama’ mana pula rujukan beliau. Saya tahu Islam tidak sesempit itu. Saya syorkan beliau buat rujukan betul-betul, jangan main buat hukum ikut perasaan dan emosi beliau. Islam ini agama Allah, bukan agama rekaan manusia yang berhati sempit.

Ulama zaman dahulu telah banyak berbincang berhubung persoalan pembinaan tempat ibadah orang bukan Islam. Di mana boleh, di mana tidak boleh. Kalau di kawasan orang Islam ramai bagaimana. Apa syarat-syaaratnya dan sebagainya. Bukan buat hukum borong seperti orang yang jahil.

Statistik kuil dan masjid

Saya tidak tahu sejauh mana kebenaran statistik YB Zul. Yang saya tahu statistik di Shah Alam, Seksyen 1 hingga seksyen 24. Kuil yang berdaftar hanya 10. Tiga darinya duduk atas tapak yang siap diwarta sebagai “tapak kuil” dan tujuh yang lain, termasuk yang di Seksyen 19, akan dipindahkan ke tapak yang lebih sesuai yang akan diwartakan sebagai tapak kuil. Atau, jika tiada masalah mungkin tapak sediada terus diwartakan sebagai tapak kuil dan kuil kekal di situ setelah mengambil kira berbagai factor. Tetapi untuk Seksyen 19 tidak sesuai.

Masjid dan surau, tidak termasuk surau di pejabat-pejabat, kompleks beli belah, kawasan R&R, stesyen minyak dan sebagainya, di Shah Alam sahaja ada 106. Statistik YB Zul hanya menceritakan masjid sedangkan surau-surau pun banyak dan perlu juga diambil kira untuk memberi gambaran yang lebih tepat. Inilah masalah apabila ambil statistik bersumberkan Umno. Umno ini jahat. Semuanya ada udang sebalik batu. Termasuklah statistiknya.

Sekarang soalnya Shah Alam. Kalau di tempat lain terlalu banyak kuil, tangani ditempat berkenaan. Maka tidak perlu babitkan Shah Alam. Di Shah Alam kuil hanya 10 dan untuk Seksyen 19, 20 dan 23 hanya ada satu untuk penduduk beragama Hindu yang seramai 3,000 lebih. Tidakkah adil mereka dibenarkan sebuah kuil? Atau adakah dalam soal ini “kezaliman” dituntut oleh Islam mengikut pandangan YB Zul?

Soal hak penduduk Seksyen 23

YB Zul menyatakan penduduk tidak diberikan hak. Hairan saya. Bukankah diadakan majlis dialog untuk mendengar pandangan penduduk?

Masalahnya sebelum majlis dialog itu diadakan segelintir dari mereka telah bertindak kerana adanya agenda politik. Kalau tiada agenda politik, tiada sebab mereka perlu bertindak sedemikian rupa. Mereka telah diberitahu majlis itu akan diadakan mengikut prosesnya. Tunggu sahajalah. Tetapi tidak. Heret kepala lembulah… lepas itu bila dunia kecam tindakan mereka sebagai melampau, salahkan kerajaan Negeri! Yang kamu buat kerja seperti itu siapa suruh?

Bila diadakan majlis dialog pula, tunjuk perangai. Tuduh orang tidak mahu dengar tetapi akhirnya dunia tahu siapa yang tidak mahu dengar. Geng samseng Umno sememangnya tidak boleh dibawa berbincang. Takde class.

Soal Surah Al-Baqarah dan ibadah korban

Dari mana pula datangnya ide YB Zul untuk mengharamkan bacaan Surah Al-Baqarah? YB Zul baca Surah Al-Baqarah dengan niat nak menghina lembu dan agama Hindu ke? Surah Al-Baqarah tiada kena mengena dengan tindakan menghina lembu atau agama Hindu. Orang Islam baca Surah Al-Baqarah untuk mendapat petunjuk dalam soal mentadbir diri, masyarakat, negara dan dunia mengikut kehendak Allah. Ada disuruh menghina lembu atau agama lain dalam Surah Al-Baqarah ke?

Begitu juga soal korban. Apabila lembu disembelih, adakah YB Zul meniatkan untuk hina lembu dan agama Hindu? Kalau Ya, maka adalah haram memakan daging lembu yang disembelih dengan niat sebegitu. Niat korban hanya untuk Allah, untuk mencari keredaanNya. Disebut nama Allah yang Ar-Rahman dan Ar-Rahim, bukannya “cis Hindu aku bunuh lembu”. Perbezaan ketera bagi yang pertama dipenuhi perasaan rendah diri dan kelembutan, mengharapkan keampunan Illahi. Yang satu lagi dipenuhi kebencian. Kasihan orang yang menganggap dirinya pembela agama Allah, Walhal sebenarnya merupakan penghalang kepadanya.

Menjatuhkan imej Islam dengan setiap perkataan Yang ditutur kononnya untuk membelanya. Mana mungkin menjadi pembela Islam sedangkan hati dipenuh prejudis! Melihat manusia mad’unya tanpa perasaan kasihan belas. Sebaliknya kebencian yang teramat, sehingga kezaliman dilihat sebagai keadilan, penindasan pula sebagai pertolongan… — khalidsamad.com

2 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Petikan dari akhbar tahun 1965

KUALA LUMPUR, 24 JUN 1965 – Menteri Kerjayara, Pos dan Telekom, Datuk V.T Sambanthan, hari ini telah bertanyakan Lee Kuan Yew, Perdana Menteri Singapura, di negeri mana di dalam dunia ini bangsa-bangsa yang mendatang diterima baik menjadi warganegaranya beramai-ramai.

Beliau menegaskan bahawa hanya negara ini sahaja di dalam dunia ini telah memberi segala kemudahan kepada semua bangsa yang mendatang di sini menjadi warganegaranya.

Datuk Sambanthan berkata demikian di dalam Dewan Rakyat tadi ketika dewan mendebatkan titah ucapan Seri Paduka Yang Di Pertuan Agong.

Di dalam ucapannya selama 45 minit, Datuk Sambanthan telah mengkecam hebat sikap Lee Kuan Yew yang memainkan peranan perkauman di sini untuk kepentingan diri sendiri.

Beliau menuduh Lee Kuan Yew cuba memainkan politik perkauman dengan mengatakan Kerajaan Melayu Pusat cuba menguasai Kerajaan Negeri.

Datuk Sambanthan telah bertanyakan Lee Kuan Yew di mana letaknya logik tuduhannya itu.

Katanya: “Jikalau sungguhlah dakwaan Lee Kuan Yew itu, memang bodohlah pemimpin-pemimpin Melayu di sini dalam tahun 1957 dahulu memberi segala kemudahan kepada bangsa-bangsa asing di sini menjadi warganegara di sini.

“Jika benar laungan-laungan Lee Kuan Yew itu bahawa Kerajaan Melayu Pusat hendak mengusai bangsa-bangsa lain, mengapa mereka membenarkan bangsa-bangsa asing itu dengan senang saja menjadi warganegara di sini”.

“Ini amat bodoh sekali kerana adanya lebih ramai bangsa-bangsa asing (khususnya Cina dan India) menjadi rakyat di sini, tentu sukar bagi orang-orang Melayu di sini hendak menguasai bangsa-bangsa lain itu.

“Jika benar mereka hendak menguasai bangsa-bangsa asing di sini, mereka denga mudah sahaja berbuat demikian dalam tahun 1957 dahulu dengan tidak memberi kemudahan untuk bangsa-bangsa asing menjadi warganegara.

Beliau menerangkan bahawa sungguhpun orang-orang Melayu telah bermurah hati menerima baik bangsa-bangsa asing, tetapi sekarang ini mereka itulah (Melayu) golongan bangsa yang termiskin sekali.

Datuk Sambanthan bertanya: “Siapa yang memiliki bandar-bandar dan gudang-gudang serta ladang-ladang di sini. Adakah gudang-gudang dan ladang-ladang ini dimiliki oleh orang-orang Melayu?”
(Berita Harian: 25.6. 1965).

-petikan dari laman web pribumi

1 Comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Salam Lebaran

Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Ampang mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir Batin kepada semua pembaca. Selamat memandu dan berhati-hati di jalanraya.

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Salam Lebaran

Pergerakan Pemuda UMNO Cawangan Jalan Enggang mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir Batin kepada semua pembaca. Selamat memandu dan berhati-hati di jalanraya.

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

16 September….Satu Tarikh Keramat…dan Khianat

1. Hari ini merupakan satu tarikh keramat bagi seluruh rakyat Malaysia…Pada tarikh ini juga terbentuklah satu Gagasan Malaysia yang terdiri dari Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak….Ia merupakan satu tarikh keramat!!!

2. Walaubagaimanapun, tarikh ini telah dikhianati oleh Ahli2 Politik Pakatan Rakyat yang diketuai oleh Anwar Ibrahim. Beliau mengkhianati tarikh ini tahun lepas konon2nya beliau akan mengambil alih kerajaan pusat dari BN tahun lepas…Tarikh ini juga dimanipulasi oleh Pakatan Rakyat yang mengwar-warkan yang sebenarnya tarikh ini yang patut disambut dan bukannya 31 Ogos..

3. Maka beringatlah kita….16 September merupakan satu tarikh keramat bagi seluruh rakyat Malaysia dan ia juga satu tarikh khianat yang disebabkan oleh Pakatan Rakyat!!

5 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Terima Kasih

Pergerakan Pemuda UMNO Cawangan Jalan Enggang dan Majlis Anak Kariah Taman Keramat ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada para penyumbang yang telah memberi sumbangan ikhlas di dalam kutipan yang dilakukan utk membeli satu unit alat penghawa dingin bagi Madrasah Al Huda Taman Keramat. Antaranya ialah”

1. Mohammad Nazri Norlan
2. Mohd Amin
3. Syirin Zarina
4. Norahimah Alias
5. Faruz Ahmad
6. Azliazam Daud
7. Ahmad Hannan Isa
8. Zaini Mohd Arif
9. Sharul Ikram Othman
10. Mohd Husry
11. Hafiz Mohd Nor
12. Hajah Jamaliah Endot
13. Zulhairi Mohd Nawi
14. Azizul Idham Mohd Nor
15. Ixudyn Mustaffa
16. Ahmad Khusairi Ramli
17. Muhammad Azman Azhar
18. Hajah Soraini Buyong
19. Rosman Bin Rosly
20. Noor Ali Hj Abd Razak
21. Zahurin Bin Othman
22. Mohd Reza Muliawan

Moga sumbangan tuan/puan mendapat manfaat dariNYA. Amin

2 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

ADUN BN Bagan Pinang Meninggal Dunia

Inna lillah wa inna ilaihi rajiun. ADUN BN Bagan Pinang, YB Azman Mohd Noor meninggal dunia di Seremban.

Al Fatihah

1 Comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda