UCAPAN DASAR PRESIDEN PERHIMPUNAN AGUNG UMNO 2013

DEWAN MERDEKA, PWTC
5 DISEMBER 2013

“UMNO: MEWAJAH MASA DEPAN”

MUQADDIMAH

Dengan menyebut kalimah Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.

1. Mendahului segalanya, Saya ingin membaca sepotong ayat dan memetik mafhum firman Allah Subhanahu wa Ta’ala, daripada surah Al-Ikhlas, ayat 1 hingga 4:

“BismillahiRahmanirRahim …Qul Huwallah Hu Ahad… Katalah wahai Muhammad, Dialah Allah, Tuhan Yang Maha Esa, Tuhan tempat berlindung, pada-Nya kita bermohon segala sesuatu, Allah Yang tidak beranak, tidak pula diperanakkan, dan sesungguhnya Dia, tidak boleh disekutu mahupun disetarakan”.

Selanjutnya, selawat dan salam buat Rasul junjungan, Nabi Muhammad SAW, serta para sahabat pilihan yang menjadi ikutan juga suri tauladan sepanjang zaman.

Saudara dan Saudari,

Para pujangga pula berperi-peri bahawa:

“Sekalipun kita tidak mampu memberi jaminan tentang masa depan anak-anak muda, namun apa yang pasti boleh dilakukan ialah menyedia dan membangun mereka untuk hari muka, kerana pemimpin yang baik lagi bertanggungjawab adalah pemimpin yang mempersiagakan pelapis masa depan.”

Saudara dan Saudari,

2. Berbekalkan pedoman-pedoman tersurat lagi tersirat yang demikian itu, sambil mengangkat sebanyak-banyak tasbih ke hadrat Ilahi, marilah sama-sama bersyukur dengan rahmatNya, yang memungkinkan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu atau UMNO terus berkeramat sebagai organisasi unggul menakhoda bahtera Melayu dan Bumiputera.

3. Hakikatnya, UMNO merupakan sebuah perjuangan yang sentiasa diduga dengan pelbagai onar dan fitnah, sebuah perjuangan yang tidak mengenal erti penat lelah, sebuah perjuangan yang tidak patah dipukul zaman. Inilah mujahadah besar yang telah sekian lama menjunjung tradisi, membela nasib bangsa, menzahir warna dan ceritera perubahan.

Saudara dan Saudari,

4. Jika dihitung dan dicongak, parti UMNO sudah berusia 67 tahun, Perhimpunan Agung ini pula mencecah siri ke-64 seraya menandakan dewan yang bertuah ini, telah menjadi saksi persidangan dilangsungkan sebanyak 28 kali semenjak tahun 1985. Begitulah, UMNO bertatih dan sudah berjalan jauh didewasakan oleh usia dan pengalaman.

Disebut orang :

“Nyiur gading puncak mahligai,
ketupat pulut berisi inti,
biar dilambung gelora dan badai,
biar dihentak bertubi-tubi,
perjuangan mulia ini tak boleh berhenti.”

Saudara dan Saudari,

5. Ingatlah pesan para ulama’, mereka yang tidak berterima kasih sesama manusia ibaratnya tidak bersyukur kepada Allah. Tegasnya, bapa-bapa kita terdahulu, telah mengasuh dan mengajar kita supaya menjadi insan yang mengenang budi.

6. Ehwalnya, UMNO adalah parti yang sentiasa menghargai penyokong dan pendokong, mengenang barisan pejuang yang lepas, selama puluhan tahun, siang dan malam, berhujan, berpanas, menumpah keringat, berkorban jiwa dan raga, menolak kepentingan diri, demi kelangsungan wadah Melayu dan Bumiputera.

7. Berkait ini, tentunya, penghargaan khas kita berikan kepada keenam-enam Presiden UMNO yang lalu, yakni Allahyarham Dato’ Onn Jaafar, Almarhum Tunku Abdul Rahman, Allahyarham Tun Abdul Razak, Allahyarham Tun Hussein Onn, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Kata orang, kepada segala khidmat yang telah dicurahkan, hati mengenang mulut menyebut, hanya Allah jua yang mampu membalasnya.

8. Semestinya lagi, kepada wirawan-wirawan parti yang kini sedang bersemadi dan telah pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya, seyogialah kita sedekahkan Ummul Kitab, Al-Fatihah.

Saudara dan Saudari sekalian,

9. Jika kita imbas kembali, negara mencapai kemerdekaan, pada 31 haribulan Ogos tahun 1957, rakyat telah hidup dalam keharmonian, bersatu padu, membina negara. Pada 16 haribulan September 1963 pula, Sabah dan Sarawak telah bergabung bagi membentuk Malaysia. Syukur Alhamdulillah, penyatuan ini, membawa berjuta rahmat kepada kita.

10. Hasilnya, kita telah membentuk perikatan dan gabungan parti-parti politik bagi membina gandingan kukuh yang kita namakan Barisan Nasional.

11. Seperti semua maklum pula, pada bulan Mei yang lalu, kita telah menghadapi Pilihanraya Umum ke-13. Sehubungan itu, bagi pihak Kerajaan, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada rakyat Malaysia, terutamanya masyarakat Melayu dan Bumiputera yang telah menunjang, mandat serta kepercayaan kepada Barisan Nasional untuk terus memimpin negara.

12. Apa yang lebih bererti adalah, UMNO sebagai parti tonggak, telah berjaya menambah kerusi Parlimennya daripada 79 kepada 88. Ini membuktikan, walau apapun rintangan, sekali apapun halangan, Kepimpinan Transformatif UMNO, bersama parti-parti komponen Barisan Nasional, terus kukuh, terus kental dan terus ampuh bertahan, sebagai parti pilihan rakyat, untuk tempoh 5 tahun yang akan datang.

Saudara dan saudari,

13. Kita turut bersyukur kerana Sabah dan Sarawak telah menyumbang sebanyak 47 kerusi kepada Barisan Nasional. Saya sebut baru-baru ini, dalam Bahasa Iban “Utai Besai Gaga’miet”, maksudnya jika kita bersatu padu, hidup saling berganding-ganding, tiada masalah yang tidak dapat diselesaikan.

14. Sebab itulah, kita tidak pernah lupa jasa, kita tidak sekali-kali alpa, dengan sokongan dan pengorbanan orang Sabah dan Sarawak. Jadinya, sebagai tanda kasih dan penghargaan kepada saudara-saudari kita di sana, saya telah melantik 13 Menteri dan 8 Timbalan Menteri. Masing-masing 6 Menteri dan 4 Timbalan Menteri dari Sabah, manakala 7 Menteri dan 4 Timbalan Menteri dari Sarawak.

Saudara dan Saudari sekalian,

15. Sememangnya pun, kita berasa amat bersyukur atas kemenangan dalam Pilihanraya Umum tersebut, satu pilihanraya besar yang begitu sengit dan penuh tentangan. Diperakui episod pilihanraya baru-baru ini agak berlainan dan mencabar sekali.

16. Namun, kita boleh berbangga, kerana semuanya itu dilalui dengan teratur menurut batas-batas dan lunas-lunas demokrasi, sebagaimana yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan sehingga diberi gelar oleh kawan dan lawan sebagai ibu segala pilihanraya.

Saudara dan Saudari,

17. Berbicara tentang Pilihanraya Umum Ke-13 lalu, bidalan Melayu menyebut, bila rumah siap, pahat pun mula berbunyi. Nampaknya pihak pembangkang tidak berlapang dada menerima kemenangan kita. Ada saja yang dikatakan tidak kena, ada saja yang dikorek-korek sebagai silap di mata mereka.

18. Misalnya, mereka semacam tidak faham dan tidak mahu memperakui sistem first-past-the-post. Ingin saya terangkan bahawa sistem ini telahpun kita amalkan sejak pilihanraya 1959 lagi, di mana, parti pertama yang mencapai majoriti, diisytihar menang. Maknanya, semasa pilihanraya tersebut, apabila Barisan Nasional mencecah 112 daripada 222 kerusi, menurut sistem ini, tuan-tuan dan puan-puan, kita berhak membentuk Kerajaan seperti yang dilakukan.

19. Kalau saya nak bagi analogi untuk kefahaman ramai, cerita mudahnya begini. Katalah dalam satu perlawanan badminton, Najib melawan Anwar, ke Anwar melawan Najib, mana-mana pun tak kisahlah. Dalam set pertama Najib menang 21-15, dalam set kedua Najib kalah 05-21, tetapi set penentu Najib menang 21-16.

20. Tentulah dalam perlawanan ini, memenuhi peraturan, pengadil mengisytiharkan Najib menang. Tetapi Anwar membantah tak setuju kerana katanya, jumlah mata terkumpul beliau adalah 52 berbanding Najib 47. Mana boleh kira macam tu, tak betul tu. Kita ada sistem, kita main ikut set. Siapa menang majoriti, dialah juara!

21. Namun demikian, jika dikira undi popular sekalipun, kita tetap menang di sembilan negeri daripada empat belas buah negeri, manakala mereka hanya menang undi popular di empat negeri sahaja.

Saudara dan Saudari,

22. Sebenarnya, perbandingan ini adalah tidak adil, kerana pembangkang bertanding di atas tiga parti yang berasingan dengan simbol yang berlainan, serta ideologi yang berbeza, sedangkan UMNO dengan berdiri di atas nama parti tersendiri memperoleh peratusan tertinggi undi popularnya. Kalau nak di kira macam tu, UMNOlah yang paling popular.

23. Berbalik kepada kemenangan kita, di atas segalanya, selaku Presiden parti mewakili barisan kepimpinan, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak, terutamanya kepada jentera-jentera parti di setiap peringkat merangkumi cawangan, pusat daerah mengundi, bahagian dan negeri, yang saya tahu, telah berusaha mati-matian, menggempur dan membungkam kubu lawan, mematahkan serangan, dan paling mustahak sekalipun kita diasak, dihelah, akhirnya, dengan kehendak Allah SWT jua, kita dapat menumpas dan meranapkan impian pembangkang ke Putrajaya.

Saudara dan Saudari,

24. Berkait perkara ini juga, ingin saya pertegaskan bahawa penyataan Anwar Ibrahim dalam ceramahnya di salah sebuah universiti di Indonesia baru-baru ini, kononnya kemenangan UMNO dan Barisan Nasional disebabkan faktor manipulasi dan korupsi adalah sungguh tidak berasas, tidak bertanggungjawab dan sungguh memesongkan.

Saudara dan Saudari,

25. Pada bulan Oktober yang lalu, satu lagi tawarikh amat penting telah ditempa oleh UMNO apabila pemilihan teraju parti, dari peringkat akar umbi sehingga ke saf kepimpinan pusat, buat julung-julung kalinya, dilaksana secara telus dan terbuka, selepas pindaan perlembagaan parti dibuat pada Perhimpunan Agung Khas UMNO tahun 2009.

26. Terdapat 7 pindaan dibuat demi memastikan UMNO terus dinamik, demokratik dan relevan sampai bila-bila.

27. Pada pindaan pertama. Ia meluaskan jumlah perwakilan dan sekaligus memindahkan kuasa memilih Ahli-ahli Majlis Tertinggi termasuk Pengerusi Tetap dan Timbalan Pengerusi Tetap, ke peringkat Mesyuarat Perwakilan Bahagian. Terbukti, sistem pengundian baru ini membuatkan ramai perwakilan UMNO gembira dan teruja kerana kini hak dan suara mereka diiktiraf.

28. Pindaan kedua pula, berkaitan penghapusan kuota kelayakan untuk bertanding dan digantikan dengan syarat paling minima. Pindaan ketiga, berhubung pertambahan wakil Wanita selaku ahli lantikan di semua peringkat. Pindaan keempat, merujuk kepada penubuhan Jawatankuasa Pemilihan UMNO atau JPU.

29. Seterusnya, pindaan kelima, adalah pemansuhan yuran tahunan. Pindaan keenam pula, membabitkan pembukaan pendaftaran keahlian bagi menggalakkan kemasukan ahli-ahli baru melalui ketua-ketua sayap. Manakala, pindaan ketujuh ialah menjadikan Setiausaha Bahagian secara automatik sebagai perwakilan ke Perhimpunan Agung Tahunan.

30. Jelasnya, buat kali pertama dalam sejarah, seramai 146,500 perwakilan UMNO dari 191 bahagian yang meliputi 21,208 cawangan, bermula dari Arau di Perlis, membawa ke Semporna, Sabah, berpeluang memilih bukan sahaja kepimpinan bahagian, malah jawatan Presiden, Timbalan Presiden, Naib-Naib Presiden dan 25 Ahli Majlis Tertinggi.

Saudara dan Saudari,

31. Jika selama bertahun-tahun, ramai memberi kritikan dan pernyataan sinis, bahawa parti UMNO yang hayatnya melebihi enam dekad ini, katanya sudah jumud, sudah tidak relevan dan dikuasai pula oleh kelompok-kelompok tertentu. Hinggakan ramai pihak dari dalam mahupun luar, begitu yakin mengandaikan bahawa UMNO tidak mungkin sanggup dan tidak mungkin berani melakukan apa-apa perubahan.

Saudara dan Saudari,

32. Ternyata, UMNO tidak jumud, terbukti, UMNO tidak gentar menyahut cabaran malah terus iltizam melakukan perubahan.

33. Alhamdulillah, cadangan pindaan perlembagaan yang diusulkan pada Perhimpunan Agung 2009, baru-baru ini, sudah pun selesai dilunaskan. Ramai pihak yang terkejut dan terkesima dengan kesungguhan kita ini.

34. Sememangnya, pindaan perlembagaan yang dibuat ini, sebagai menyahut cabaran, sebagai menjawab sindiran, serta menyangkal telahan sekaligus menjadi langkah paling berani yang pernah diambil oleh mana-mana parti politik di dunia.

35. Hasilnya, berlakulah transformasi politik yang didambakan dalam UMNO, di mana, seramai 64 orang atau 33.5 peratus Ketua-Ketua Bahagian terdiri daripada muka-muka baru di seluruh negara.

36. Manakala muka baru bagi Ketua Wanita Bahagian ialah 73 orang yang mewakili 38.2 peratus, Ketua Pemuda Bahagian 161 orang yang mewakili 84 peratus. Ketua Puteri Bahagian pula seramai 143 orang yang mewakili 75 peratus.

37. Namun, saya tahu benar, barangkali ada segelintir yang masih memberi komentar dan tidak berpuas hati dengan keputusan dan kaedah yang digunakan tersebut. Tapi kita harus beringat, ini merupakan rekod pencapaian buat kali pertama sesudah pindaan perlembagaan diperkenalkan. Mustahaknya, jika masih terdapat kekurangan, kita sanggup melakukan penambahbaikan.

Saudara dan Saudari sekalian,

38. Bertolak daripada pemilihan parti yang disifatkan oleh ramai pemerhati sebagai proses yang sangat demokratik ini, dengan penuh kerendahan hati, saya, Mohd Najib bin Abdul Razak, berasa bersyukur yang amat sangat ke hadrat Allah SWT, dan berterima kasih kepada semua ahli UMNO, yang telah memberi kepercayaan dan mandat kepada saya, dengan memilih saya sebagai Presiden UMNO dengan menang tanpa bertanding.

39. Saya berjanji dan berikrar dengan segenap daya dan kemampuan, untuk memberi yang sehabis baik kepada UMNO dan rakyat Malaysia.

40. Di sini juga, saya mengambil kesempatan mengucapkan sekalung tahniah dan kita beri tepukan kepada Yang Amat Berhormat Tan Sri Muhyiddin bin Mohd Yassin, yang telah menang tanpa bertanding bagi jawatan Timbalan Presiden UMNO.

41. Syabas dan tepukan juga ditujukan kepada semua pimpinan, yang memenangi jawatan Naib-Naib Presiden, terdiri daripada Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Dato’ Seri Shafie Afdal dan Dato’ Seri Hishammuddin Hussein, (yang sekarang berada di hospital, kita doakan semoga beliau cepat sembuh). Tahniah juga kepada Ahli-Ahli Majlis Tertinggi, Ketua Bahagian, Ahli Jawatan Kuasa Bahagian dan Cawangan, Wanita, Pemuda, dan Puteri.

42. Demikianlah juga tahniah, kepada Dato’ Seri Shahrizat Abdul Jalil, yang dipilih sekali lagi sebagai Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia. Sebagai makluman semua, Dato’ Seri Shahrizat ini, sebagai mewakili Wanita UMNO, beberapa kali menyuarakan kepada saya, hasrat supaya Wanita digelar sebagai tulang belakang parti.

43. Malah pagi semalam kesungguhan ini ditunjukkan oleh Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia, semasa saya menjenguk mereka di persidangan, beliau menepuk-nepuk tulang belakangnya sebagai isyarat kepada Ketua Wanita Temerloh, yang sedang berucap pada ketika itu, supaya menyebut bahawa Wanita UMNO sangat-sangat mahu digelar sebagai tulang belakang parti.

44. Saya mendengar, dan saya timbang-timbangkan permintaan itu. Bila saya fikir-fikir, sebenarnya peranan dan kegigihan Wanita UMNO sejak dulu sudah sememangnya amat dihargai dan disanjung tinggi. Maka dengan ini, dengan rasminya saya mengisytiharkan Pergerakan Wanita UMNO Malaysia sebagai tulang belakang atau ibu kepada parti. Terima kasih Wanita!

45. Seterusnya, syabas kepada Yang Berhormat Saudara Khairy Jamaluddin, yang telah menang dan mempertahankan kedudukan sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia. Tentunya, Pemuda harapan bangsa, Pemuda adalah benteng dan pewaris kepimpinan parti dan negara. Terima kasih Pemuda!

46. Tahniah juga kepada Ketua Pergerakan Puteri UMNO yang baru, Yang Berhormat Puan Mas Ermieyati Samsudin. Saya menaruh keyakinan bahawa setelah lebih 12 tahun ditubuhkan, Puteri semakin bijak dan matang memainkan peranan mereka di dalam parti dan negara. Benarlah bahawa, pemudi harapan pertiwi. Terima kasih Puteri!

47. Syabas juga kepada pimpinan parti di bahagian-bahagian dan cawangan-cawangan, Wanita, Pemuda dan Puteri yang telah dipilih bagi jawatan dalam pemilihan UMNO. Terima kasih semuanya.

Saudara dan Saudari,

48. Berhubung pemilihan ini, pada pandangan saya, yang kalah tak bermakna tewas semuanya. Kepada yang menang pula, jangan meminggirkan yang lain.

49. Kepada yang kalah, jangan pula bawa diri, teruskanlah perjuangan bersama yang menang dan kepada yang menang pastikan anda terus mengajak mereka yang kalah untuk bersama membangunkan parti tercinta ini.

50. Apa-apa pun, beringatlah semua, perkara yang paling penting, kita dalam UMNO ini seperti sebuah keluarga yang besar, carik-carik bulu ayam, akhirnya bercantum jua.

Saudara dan Saudari,

51. Menyongsong populasi negara, pada tahun 1970, Bumiputera berjumlah 6.1 juta atau 56 peratus daripada keseluruhan penduduk. Orang Melayu terdiri daripada 41 suku dengan sembilan induk utamanya. Orang Asli pula terbahagi kepada 18 kategori. Masyarakat Bumiputera di Sabah diwakili lebih 60 etnik, manakala di Sarawak pula jumlahnya lebih 40 suku.

52. Menurut unjuran terkini, warganegara Malaysia, adalah seramai 27.4 juta orang. Bumiputera seramai 18.6 juta atau 67.9 peratus. Banci Penduduk dan Perumahan 2010, menunjukkan Orang Melayu dan Bumiputera Islam berjumlah 59.7 peratus. Manakala Bumiputera Bukan Islam pula, jumlahnya 7.6 peratus daripada bilangan rakyat keseluruhannya.

53. Lanjutan itu, unjuran penduduk Malaysia menjelang 2020 dijangka meningkat kepada 29.9 juta orang, dengan jumlah Melayu dan Bumiputera, samada Islam mahupun bukan Islam seramai 20.7 juta atau 69.2 peratus, Cina 6.8 juta atau 22.8 peratus, India 2.1 juta atau 7 peratus dan kaum-kaum lain sebanyak 306,000 atau 1 peratus.

Saudara dan Saudari,

54. Melihat kepada peratusan etnik dan pecahan kelompok rakyat Malaysia yang saya nyatakan tadi, saya renung-renung, saya tidak ingat, bila pulak kita ada suku kaum Bangladesh?

55. Saya timbulkan perkara ini kerana semasa kempen pilihanraya yang lalu, tak henti-henti pihak pembangkang mencanang di sana sini kononnya Kerajaan telah membawa masuk lebih 40,000 orang warga Bangladesh sebagai pengundi UMNO dan Barisan Nasional. Perkara ini tampaknya kita tak dapat bendung-bendung lagi untuk dirungkaikan misterinya.

56. Lantaran, semasa lawatan rasmi saya ke Dhaka, Bangladesh, baru-baru ini, saya terpanggil untuk mengucapkan orang Bangladesh panggil, ‘Dhonnobad’ yakni terima kasih dalam bahasa Bengali kepada Perdana Menterinya Sheikh Hasina, kerana telah membantu menyedia sekian banyak rakyatnya sebagai pengundi seperti dimomokkan oleh pembangkang. Ternyata, bak kata orang Pekan, maaf cakap, sampai terkejut Sheikh Hasina sambil menggeleng-gelengkan kepala dengan tegas beliau menafikan bahawa perkara itu tidak benar sama sekali.

57. Begitulah, tuan-tuan dan puan-puan, betapa kuatnya pemimpin pembangkang suka berkata bohong dan berkalam yang dusta-dusta.

Saudara dan Saudari,

SENARIO TRANSFORMASI DI DUNIA

58. Transfomasi adalah sesuatu yang hidup dan bukannya berkala, tidak sahaja berlegar dalam dunia maya dan idea, namun hasilnya dapat dilihat mata kasar dan dinikmati serta dirasai. Dalam kata lain, transformasi adalah ikhtiar demi memastikan hari esok lebih baik daripada hari semalam.

59. Lalu, kalau kita amati senario dunia, setiap negara, tanpa gagal, akan melalui beberapa transformasi pada satu ketika dalam sejarah mereka. Ini disebabkan oleh tiga faktor utama. Pertama, norma dan nilai-nilai global telah melebihi apa yang masih diamalkan di negara tersebut. Kedua, kemajuan inovasi, sains dan teknologi telah menjadikan sebuah negara perlu bersaing dalam pasaran dan ekonomi berasaskan pengetahuan. Ketiganya, jika tidak berlaku transformasi, kita akan kekal terperangkap dalam belenggu negara sederhana, kurang kompetitif, dan kemungkinan dipintas oleh negara-negara lain.

60. Justeru itulah kita menyaksikan proses transformasi dilalui oleh pelbagai negara bangsa. Malahan kuasa dunia sebelum ini seperti Great Britain sedang mengalami transformasi mereka sendiri dan belajar meninggalkan kegemilangan sebagai empayar dengan menelan pahitnya ubat realiti abad ke-21.

61. Korea Selatan pula menjalani proses tranformasi gelombang ketiga yang bertunjangkan eksport, baik dari segi budaya mahupun teknologi dan peralatan. Sebenarnya lagi, transformasi yang berlaku di Korea boleh dijadikan contoh bagi kita dalam memenuhi kehendak ekonomi berasaskan pengetahuan sebagai pra-syarat pembangunan dewasa ini.

62. Hatta negara besar China juga mengharung gelombangnya yang tersendiri. Proses yang disebut Transformasi 383 di China itu, mengakui kepentingan untuk keluar dari perangkap pendapatan pertengahan dan menuju ke arah negara berpendapatan tinggi.

Saudara dan Saudari,

TRANSFORMASI NEGARA DIPELOPORI UMNO

63. Menyingkap tabir sejarah negara kita, fasa kejatuhan Empayar Kesultanan Melayu Melaka pada tahun 1511 telah melabuhkan tirai era kegemilangan pemerintahan bangsa Melayu semenjak tahun 1400, malah ada juga kajian yang menyatakan ia sebenarnya bermula dari sekitar tahun 1262 lagi. Selepas itu, hampir 8 kurun lamanya bangsa Melayu telah menjadi lemah, seolah-olah melalui zaman gelapnya tersendiri dan hilang punca untuk bangkit semula.

64. Kelahiran UMNO tanggal 11 Mei 1946 merupakan titik tolak, yakni Transformasi Pertama yang besar lagi unggul kepada bangsa Melayu dan pembikinan negara ini. Hakikatnya, sesudah muncul parti keramat UMNO, barulah orang Melayu kembali belajar erti kepimpinan dan hidup berpersatuan.

65. Malah, semenjak itu, tidak boleh dinafikan bahawa, parti UMNO inilah yang sekian lama menjadi teras dan menunjang orang-orang Melayu melalui gabungan persatuan yang sebelum itu bergerak nafsi-nafsi. Jangan sesekali kita lupa, bahawa UMNOlah yang membawa kepada kebangkitan untuk menentang penubuhan Malayan Union, seterusnya menuntut hak bagi mencapai kemerdekaan.

66. Bahkan, saudara dan saudari, tidak keterlaluan untuk kita nyatakan di sini bahawa melalui UMNOlah orang Melayu berjaya membebaskan pemikiran berjiwa hamba kepada jiwa merdeka. Melalui parti berdaulat inilah orang-orang Melayu berpadu membentuk saf yang tersusun kemas dan rapi, umpama suatu binaan yang tidak mampu dirongkaikan.

67. Hakikatnya, bernaung di bawah panji-panji UMNOlah, orang-orang Melayu telah membina perpaduan dan mengukuhkan kesatuan demi membela untung nasib bangsa dan tanahair dari dulu, kini dan InsyaAllah selama-lamanya.

Saudara dan Saudari,

TRANSFORMASI EKONOMI NEGARA

68. Menyongsong transformasi negara, jika diimbau kembali, Dasar Ekonomi Baru telah berlangsung di antara tahun-tahun 1971 hingga 1990. Semenjak tahun 1965 sehingga tahun 2010 pula, sebanyak 10 Rancangan Malaysia, 3 Rangka Rancangan Jangka Panjang telah dilaksanakan.

69. Dasar Pembangunan Nasional pula, melewati tempoh-tempoh tahun 1991 sehingga tahun 2000. Kemudiannya, Dasar Wawasan Nasional merentasi tahun 2001 sehingga 2010.

70. Manakala, selepas mengambil alih tugas sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, semasa membentangkan Bajet tahun 2010, saya telah melancarkan Dasar Transformasi Nasional atau DTN, sebagai paksi pengukuhan transformasi ekonomi menuju negara maju.

71. Bertitik tolak dari situ, sejak tahun 2009, rekod prestasi menunjukkan, kita bukan kerajaan yang hanya pandai menabur janji. Sepanjang kita mentadbir, puluhan pencapaian telah dan sedang diraih.

72. Kita bukan sahaja menerima pengiktirafan dari dalam negara, malah badan-badan penilai antarabangsa turut mengakui prestasi cemerlang kita. Realitinya, kita secara berterusan mempersembahkan kepada rakyat hasil transformasi sebenar.

Contohnya, hasil transformasi negara boleh disaksikan daripada peningkatan Pendapatan Negara Kasar atau PNK per kapita daripada 257 dolar Amerika pada tahun 1957 kepada 9970 dolar Amerika pada tahun 2012. Ini merupakan peningkatan hampir 4000 peratus dalam tempoh lebih lima dekad.

Ingin saya kongsikan di sini, pendapatan perkapita tahun 2014 pula, dijangka akan mencecah 34,126 ringgit berbanding 24,879 ringgit pada tahun 2009. Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 37 peratus dalam tempoh 6 tahun.
Sehubungan hal itu, Saudara dan Saudari, jika dicongak, besar kemungkinan pendapatan perkapita pada tahun 2020 kelak mampu melebihi sasaran 46,500 ringgit atau 15 ribu dolar Amerika. Ertinya di sini, Insya-Allah, kita mampu menjadi negara maju lebih awal daripada tahun 2020.

Kadar kemiskinan pula terus menurun daripada lebih enam puluh peratus pada awal kemerdekaan kepada 1.7 peratus pada tahun 2012. Jurang pendapatan di kalangan rakyat Malaysia juga bertambah baik. Terkini, purata kadar inflasi negara juga kekal berada di paras yang rendah iaitu 2.2 peratus pada suku ketiga 2013.

Hari ini, Malaysia merupakan satu-satunya negara yang menjadikan usaha membanteras rasuah sebagai Penunjuk Prestasi Utama atau KPI negara. Inisiatif NKRA Membanteras Rasuah telah menunjukkan keberkesanan apabila kedudukan Indeks Persepsi Rasuah oleh Transparency International menyatakan kita berada pada kepada kedudukan 53 daripada 177 buah negara pada tahun 2013. Meskipun begitu, dari masa ke semasa kita harus memperbaiki dan berikhtiar memerangi rasuah, dan di samping itu menurunkan kadar jenayah, supaya rakyat dapat hidup dalam keadaan selamat dan sentosa.

Selain itu, World Bank Ease of Doing Business Report 2014, menunjukkan berlakunya peningkatan dari kedudukan 23 pada tahun 2009 kepada kedudukan keenam pada tahun 2014 dengan menyenaraikan Malaysia sebagai negara paling mesra perniagaan di dunia. Menurut laporan yang sama juga, Malaysia mengekalkan kedudukan pertama di dunia dari segi akses kepada kemudahan kredit selama enam tahun berturut-turut.

Seterusnya, Saudara dan Saudari,

Kepada yang gemar melancong dan berbelanja pula, tak payah pergi jauh-jauh. Kini, Malaysia sudah terkenal antara destinasi utama atau shopping paradise pilihan pelancong. Menurut laporan CNN Travel 2013, Kuala Lumpur menduduki tempat keempat sebagai bandaraya paling popular untuk membeli-belah selepas New York, Tokyo dan London. Kepada sesiapa yang hendak beli kasut ke, jam tangan ke, beg tangan ke, Kuala Lumpur pun dah ternyata hebat!

Saudara dan Saudari,

73. Rentetan pelbagai pengiktirafan tersebut, Oktober baru-baru ini, semasa Sidang Kemuncak Keempat Global Entrepreneur Summit di Kuala Lumpur, mesej ucapan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama, telah memperakui Malaysia sebagai sebuah negara yang mempunyai ekonomi dinamik, menjadi penggerak kemakmuran serantau dan sebagai sebuah negara yang mendakap ekonomi global.

74. Tidak terhenti setakat itu, sebuah lagi kuasa besar dunia, yakni China melalui pernyataan Presidennya, Xi Jinping, turut memuji Malaysia sebagai rakan kongsi yang boleh dipercayai. Bagi beliau, Malaysialah sahabat sejati negara China, ketika susah dan ketika senang.

Saudara dan Saudari,

75. Pada sisi lain, dalam Bajet 2014 yang lalu pula, saya telah bentangkan di Dewan Rakyat tentang Cukai Barang dan Perkhidmatan atau Goods and Services Tax yakni GST. Sayangnya, hakikat kepentingan GST terhadap ketahanan dan keteguhan ekonomi negara, telah dipusing dan dipesong faktanya oleh pihak pembangkang. Sehinggakan ramai yang menjadi keliru kononnya, cukai GST ini akan menindas rakyat.

76. Saya berharap, semua pihak dapat memahami hal GST ini dengan sewajarnya. Kita tidak boleh terpengaruh dengan dakyah-dakyah pembangkang yang ternyata tidak berasas.

77. Sesungguhnya kita perlu fahami dengan baik-baik, bahawa GST yang bakal dilaksanakan pada 1 April 2015, kira-kira 16 bulan lagi, bukanlah cukai tambahan baru. Sebaliknya, ia menggantikan cukai jualan dan cukai perkhidmatan atau Sales Tax dan Services Tax yang akan dimansuhkan.

78. Untuk makluman saudara dan saudari, GST adalah satu sistem percukaian yang terbaik setakat ini dan terbukti berkesan dan perlu dilaksanakan untuk kita kekal kompetitif. Tambahan pula, lebih 160 buah negara di dunia telah pun melaksanakan GST. Sekiranya GST ini memudaratkan rakyat dan negara, masakan majoriti negara di dunia telah mengguna pakai sistem percukaian ini. Tambahan pula, GST pada kadar 6 peratus ini merupakan yang terendah di kalangan negara ASEAN.

79. Oleh yang demikian, usahlah kita risau-risau, beberapa barangan dan perkhidmatan asas sebenarnya dikecualikan dari cukai GST. Antaranya beras, gula, garam, tepung, minyak masak, kacang dhal, rempah ratus, ikan masin, cencalok, budu sekalipun belacan.

Saudara dan Saudari,

80. Pada sudut lain, sebagai sebahagian daripada usaha rasionalisasi subsidi, dan demi kesihatan rakyat, Kerajaan telah membuat keputusan melalui Bajet yang lalu untuk memansuhkan sepenuhnya subsidi gula. Statistik menunjukkan terdapat 2.6 juta rakyat Malaysia yang berumur 30 tahun ke atas menghidap penyakit diabetes.

81. Jika tidak dikawal, kita akan mendapat pelbagai komplikasi seperti penyakit jantung, kerosakan buah pinggang, buta mata dan kaki terpaksa dipotong. Dalam perkara ini, rakyat harus faham bahawa langkah Kerajaan ini adalah demi kebaikan semua. Ini kerana kerajaan sayangkan rakyat dan bertanggungjawab untuk menghindarkan rakyat daripada menghidap penyakit diabetes.

82. Cuba kita lihat di sekeliling kita, berapa ramai rakan-rakan dan saudara mara kita menjadi mangsa diabetes. Bayangkan tuan-tuan, kalau kita sudah menghidap diabetes, macam-macam penyakit lain pula pasti akan datang. Kesannya sangat dahsyat, hingga menjejaskan kesihatan zahir dan batin, dan akhirnya boleh membawa maut. Seperti kata Profesor Diraja Ungku Aziz, gula itu adalah racun.

Saudara dan Saudari,

83. Kita turut mendengar ramai berkata, kenapa Barisan Nasional bila menang pilihanraya terus naikkan harga minyak. Ini adalah pernyataan yang tidak benar sama sekali. Kita kena faham bahawa minyak adalah komoditi dunia. Harganya bergantung kepada pasaran antarabangsa dan di luar kawalan ekonomi dalaman sesebuah negara.

84. Sebenarnya harga minyak tak naik, cuma kita kurangkan subsidinya sahaja sebagai langkah rasionalisasi. Ini kerana kita tidak boleh lagi terus kekal menampung subsidi petrol yang mencecah RM24.8 bilion setahun. Tambahan lagi subsidi sebelum rasionalisasi ini diberikan secara pukal hinggakan mereka yang tidak selayaknya untuk dapat, juga turut menerima. Jadi, kita tidak mampu terus mengekalkan subsidi sebegini kerana khuatir ia akan menjejaskan daya saing ekonomi negara.

85. Kerana itulah, Kerajaan kini memberikan subsidi bersasar kepada kelompok yang benar-benar memerlukan seperti siri-siri Bantuan Rakyat 1Malaysia atau BR1M yang secara berperingkat akan mencapai RM1,200 kelak, termasuklah caruman Insurans Takaful Berkelompok Rakyat 1Malaysia atau i-BR1M bernilai RM50 diberi kepada semua ketua isi rumah penerima BR1M yang dapat memberi perlindungan maksimum sehingga RM30,000, jika berlaku kematian atau hilang upaya kekal.

86. Pelbagai usaha transformasi ini, kita dapat melihat kesan positifnya di mana agensi penarafan kredit utama antarabangsa Moody’s, baru-baru ini telah meningkatkan prospek penarafan kredit Malaysia daripada “Stabil” kepada “Positif”. Ini bermakna terdapat potensi untuk penarafan kredit negara dinaikkan daripada ‘A3′ kepada ‘A2′, jika dasar rasionalisasi subsidi ini diteruskan, di mana hutang akan dapat dikuncupkan. Seandainya penarafan dapat dinaikkan, pastinya kos pinjaman dapat dikurangkan, dan keyakinan dunia terhadap kita dapat ditingkatkan, dengan ini mampu memajukan ekonomi negara.

87. Ringkasnya, kesemua usaha-usaha rasionalisasi subsidi ini adalah merupakan inisiatif konsolidasi fiskal yang perlu Kerajaan lakukan demi untuk memperteguh ketahanan ekonomi negara. Sebagai analogi, jika kita makan ubat antibiotik, kita perlu mengambilnya mengikut jadual yang ditetapkan dan perlu makan sehingga habis. Barulah kita akan sembuh sepenuhnya.

Saudara dan saudari,

UMNO SEBAGAI PARTI HARAPAN UNTUK MASA DEPAN :

TRANSFORMASI UMNO

88. Kepimpinan UMNO bukan sahaja komited malah percaya hanya dengan melakukan transformasi kita akan terus relevan dan menjadi peneraju kepada halatuju negara. Dalam hal ini, Perdana Menteri Britain, David Cameron semasa sidang akhbar bersama pada April 2012, telah memuji kesungguhan dan keazaman kita dalam melakukan transformasi politik dan negara.

89. Lantaran, diingatkan bahawa transformasi UMNO tidak akan berjaya sekiranya idea dan perubahan hanya digenggam di peringkat atasan sahaja. Transformasi ini mestilah didakap erat oleh setiap ahli UMNO.

90. Saya yakin, dengan usaha bersungguh dan pembuktian-pembuktian ini UMNO sedang menjalankan sebuah transformasi yang sebenar secara inklusif. Pastinya dengan nawaitu yang betul kita akan menerima sokongan dan dokongan daripada rakyat. Sebab itulah antara lain kita melantik ahli-ahli tambahan sebagai ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang mewakili generasi muda, ahli-ahli cerdik pandai, golongan agamawan dan para teknokrat.

91. Pucuk pangkalnya, setiap ahli UMNO adalah agen transformasi yang mencerminkan hala tuju baru siasah politik negara. Makanya, UMNO harus memperkukuh kuda-kuda dan memperkemas kisi-kisi, untuk menonggak Barisan Nasional dan negara supaya kita bukan sahaja boleh terus mentadbir lima tahun akan datang, malah mudah-mudahan kita akan terus menjadi juara bagi tempoh 50, malahan 100 tahun akan datang.

Saudara dan Saudari,

92. Justeru, kita tidak boleh lalai dan leka. Kita perlu mempersiap dan mengukuhkan parti kita. Walaupun kita telah menawan semula negeri Kedah, waima kita telah mengukuhkan kembali kedudukan kita di Perak, ternyata masih banyak lagi usaha, masih banyak lagi kerja yang belum selesai. Kita tidak akan sekali-kali duduk berpeluk tubuh dan lemah bersimpuh, sebaliknya di perhimpunan ini kita akan memperbaharui tekad dan menggagas semula formula kejayaan berteraskan lima pengisian transformasi.

LIMA PENGISIAN TRANSFORMASI UMNO

Saudara dan saudari,

93. PENGISIAN TRANSFORMASI UMNO YANG PERTAMA: MEMPERTEGUH EKONOMI MELAYU DAN BUMIPUTERA. Seperti semua maklum, populasi Melayu dan Bumiputera, Islam dan bukan Islam di Malaysia adalah sebanyak 67.9 peratus melebihi dua pertiga jumlah keseluruhan rakyat Malaysia. Sebagai kaum majoriti, agenda pemerkasaan ekonomi Melayu dan Bumiputera, sewajibnya menjadi agenda teras nasional. Apa guna jika negara kita maju, tetapi rakyat majoritinya terpinggir dan tidak terbela.

94. Kendati itulah, sejak merdeka, Kerajaan Barisan Nasional yang diungguli UMNO telah mewujudkan pelbagai instrumen bagi memastikan kedudukan ekonomi orang-orang Melayu terus berkembang dan dipelihara.

95. Lantas, menjelang negara maju kelak, kita hendak melihat orang Melayu dan Bumiputera mencapai tahap kemajuan yang setanding dengan orang lain tanpa meminggirkan pembelaan terhadap mana-mana golongan.

96. Atas semangat itulah, saya telah mengumumkan penubuhan Majlis Ekonomi Bumiputera atau MEB. Ia akan bersidang sebulan sekali, atau jika ada keperluan, lebih daripada itu, dengan menjemput secara ad hoc badan-badan atau agensi Melayu dan Bumiputera yang berkaitan.

97. Saya juga telah mengumumkan penambahbaikan TERAJU, mewujudkan Skim Permulaan Entrepreneur Baru Bumiputera atau SUPERB, menubuhkan Dana Pendidikan MARA dan Kerajaan pada nisbah 1 kepada 1 yang berjumlah RM1 bilion, serta skim Amanah Saham Bumiputera 2 atau ASB2 sebanyak 10 bilion unit.

98. Pokoknya, selagi ada bulan dan bintang, selagi hayat dikandung badan, bak kata orang Sabah, agenda pemerkasaan Melayu dan Bumiputera tatap akan kita perjuangkan.

Saudara dan Saudari,

99. PENGISIAN TRANSFORMASI UMNO YANG KEDUA: MEMPERTEGAK MAQASID SYARIAH. Dari dulu, UMNO tidak pernah berhenti memperjuangkan ketertinggian Islam dan syiarnya. Kita berpegang kepada prinsip Maqasid Syariah yang membela dan memelihara lima tunjang utama yakni; agama, nyawa, akal, harta dan keturunan.

100. Di Malaysia, Islam bukan sahaja termaktub sebagai Agama Persekutuan dalam Perlembagaan yang merupakan undang-undang tertinggi negara, tetapi juga pengamalannya bersifat meluas merangkumi bukan sahaja bidang ibadah tetapi juga munakahah, muammalah dan jinayah.

101. Dalam konteks yang sama juga, umat Islam di Malaysia hendaklah hanya mengikut ajaran Islam yang berasaskan pegangan Ahli Sunnah Wal-Jama’ah dari segi akidah, syariah dan keperibadian. Dengan demikian, penyebaran apa-apa ajaran yang lain daripada pegangan Ahli Sunnah Wal-Jama’ah adalah dilarang.

102. Bercakap tentang Islam lagi, selama puluhan tahun, di bawah pimpinan UMNO, Malaysia telah menjadi ‘enabler’ atau pemboleh kepada syiar amalannya.

103. Dari sudut iktisas, industri kewangan Islam di Malaysia telah mencapai pembangunan yang mantap dan progresif. Purata kadar pertumbuhan adalah 17 peratus untuk tempoh 2002 sehingga 2012, dengan pasaran aset perbankan Islam kini mencapai 24 peratus. Dari segi aset pula, 24 institusi kewangan Islam berada dalam kelompok 100 yang terbesar di dunia. Sektor ini yang akan menyumbang kepada tambahan pendapatan negara kasar sebanyak RM7.2 bilion dan hampir 12,000 peluang pekerjaan menjelang tahun 2020.

104. Malaysia juga menerajui sukuk global dengan jumlah terkumpul mewakili 60 peratus, yakni RM492 bilion.

105. Berkaitan itu, sekarang ini kita dapati gelombang di mana orang-orang muda dekat kepada agama. Ia juga berlaku kepada orang yang dah pencen, yang mula berjinak-jinak dengan surau dan masjid. Justeru, ahli-ahli UMNO rajin-rajinlah mendekati golongan ini. Eloklah juga ramai-ramai memakmurkan masjid dan surau.

106. Jadi di sini, kita ingin bertanya, selama ini, siapa yang memperjuangkan kemuliaan agama Islam di negara ini? UMNO atau PAS? Pihak mana yang berjasa menubuhkan universiti dan institusi pendidikan Islam? UMNO atau PAS?

107. Tidak lain dan tidak bukan, selagi hayat dikandung jasad, bercerai nyawa dari badan! Islam akan terus UMNO junjung.
Saudara dan Saudari,

108. PENGISIAN TRANSFORMASI UMNO YANG KETIGA: MEMPERKUKUH PENGKADERAN PARTI. Dalam memperkatakan hal ini, UMNO perlu sentiasa beringat-ingat. Kita bina negara ini untuk siapa? Tentunya untuk generasi muka. Kita bina dan jaga parti ini untuk siapa? Tentunya untuk ditinggalkan kepada pewaris dan para pelapis. Menyedari hakikat bahawa untuk melahirkan pemimpin masa depan mengambil tempoh yang lama, maka parti UMNO perlu mengkader ahli-ahli baru dan orang-orang muda supaya parti UMNO ini menjadi sebuah parti yang lestari sampai bila-bila.

109. Parti juga perlu diperkukuh dengan mendoktrinkan jati diri UMNO kepada para ahli agar budaya kepartian, berakar umbi, terpateri dan tersemat kukuh dalam sanubari semua sebagai landasan perjuangan.

110. Dalam konteks UMNO, program pengkaderan hendaklah merangkumi aspek seperti kreativiti, kemahiran-kemahiran insaniah, budaya berfikir tinggi serta memahirkan mereka dengan teknologi terkini, untuk memudahkan penyampaian dasar-dasar parti dan kerajaan supaya diterima oleh rakyat serta responsif di dalam menyelami dan menyelesaikan masalah akar umbi.

111. Memenuhi prinsip usul feqah, yang menyebut disiplin sebagai jalan tarbiyah dalam kepimpinan, program pengkaderan terutama kepada generasi muda bagi menghadapi pilihanraya akan datang tidak boleh ditangguh-tangguh lagi. Ini supaya UMNO dapat melahirkan pemimpin yang komited, gigih serta istiqamah dalam perjuangan.

Saudara dan Saudari,

112. PENGISIAN TRANSFORMASI UMNO YANG KEEMPAT: MEMPERSIAGA JENTERA TRANSFORMATIF. Adalah menjadi lumrah dalam setiap organisasi yang berjaya, di belakangnya wujud jentera yang dikemudi oleh ahli yang penuh dedikasi, komited dan kental dalam membawa aspirasi dan obor perjuangan. Jika kuat jenteranya, maka gagahlah organisasi tersebut, jika lemah maka tidak bermayalah parti.

113. Misalnya, dalam peperangan, jentera umpama bala tentera yang akan mempertahankan kubu dan bertanggungjawab menyerang pihak lawan serta merintis jalan ke hadapan.

114. Dalam hal ini, UMNO harus sedar bahawa dunia maya atau internet adalah neutral. Barang siapa yang berupaya mengisi dan menguasai ruang-ruang baru itu maka merekalah yang akan berjaya.

115. Kita perlu berwaspada bahawa, penggunaan teknologi terkini menjadi saluran utama dalam penyebaran maklumat dan pengetahuan. Mutakhir ini, smart phone atau telefon pintar menjadi instrumen yang mempengaruhi minda dan nilai terutamanya generasi muda. Malah saya percaya, telefon pintar inilah akan menjadi instrumen paling besar dalam penentuan kalah menang pilihanraya yang akan datang. Oleh yang demikian, kita tidak boleh ketinggalan dan membiarkan pembangkang berwenang-wenang. UMNO mesti menjuarai teknologi maklumat.

116. Saya dimaklumkan, pengguna facebook di Malaysia sahaja mencecah 14 juta akaun. Manakala pengguna telefon bimbit pula mencecah 146 peratus daripada bilangan penduduk Malaysia pada tahun 2013.

117. Justeru, jentera transformatif UMNO hendaklah menguasai medium baru ini bagi menyampaikan risalah-risalah UMNO, mempertahankan dasar-dasar parti dan kerajaan, serta melawan segala tuduhan, nista yang pembangkang lemparkan. Suka atau tidak, kita tidak boleh, tidak menjadi pelaku utama kepada teknologi ini. Ingatlah, hakikatnya dalam dunia politik, selalunya persepsi lebih penting daripada realiti. Mahu tidak mahu, kita harus menanganinya.

Saudara dan Saudari,

118. PENGISIAN TRANSFORMASI UMNO YANG KELIMA: MENETAP PETUNJUK PRESTASI UTAMA ATAU KPI UMNO. Bagi memastikan perjalanan jentera UMNO dapat bergerak dengan lebih berkesan menjelang Pilihanraya Umum ke-14 kelak, saya juga akan perkenalkan sistem Petunjuk Prestasi Utama atau KPI untuk setiap bahagian dan negeri.

119. Melalui penetapan KPI ini nanti, barulah kita akan lebih bersedia untuk memenangi kerusi-kerusi parlimen dan DUN yang kita tewas baru-baru ini, di samping mengekal dan mengukuhkan pengaruh serta kedudukan di kawasan-kawasan yang dimenangi sebelum ini, selanjutnya, mula merangka pelan gerak kerja untuk menawan kubu-kubu lawan.

120. Melalui pelaksanaan KPI ini, sebagai Presiden parti, saya mahukan setiap cawangan, bahagian dan negeri dipantau dan diaudit secara berkala untuk dinilai prestasi serta pencapaian setiap negeri, bahagian atau cawangan. Melalui kaedah ini, sebarang isu, masalah atau ketidakpatuhan yang berlaku boleh dikesan dan tindakan korektif dapat diambil dengan segera.

121. Jelasnya KPI ini menjadi pengukur yang objektif sebagai kad laporan kepada kepimpinan parti. Turunlah ke kawasan, berjumpalah dengan pengundi, buktikan pada masyarakat, UMNO adalah parti yang serius membela dan mengkhidmati rakyat.

PENUTUP

Saudara dan Saudari,

122. Ahli falsafah Yunani berpesan bahawa, perubahan itu adalah penumpuan segala kudrat dan tenaga yang ada, bukan untuk bertempur dengan hal-hal dan kisah-kisah lama, tetapi perubahan itu ialah mencipta dan membina kejayaan-kejayaan baru.

123. Bersandarkan ungkapan itu, hari demi hari, detik demi detik, saat-saat yang berlalu telah menjadi saksi bahawa UMNO mengungguli kepimpinan transformatif negara sebagai sebuah parti yang bermaruah, parti yang berdaulat dan parti yang terus menepati janji.

124. Sesungguhnya, hitungan masa telah menjadi saksi dan hakim, yang adil dalam merakamkan bahawa, parti UMNO ini telah puluhan kali meninta detik-detik bersejarah dalam pembikinan negara bangsa Malaysia.

125. Malah, bermula sejak tahun 1946 sehingga tahun 2013, UMNO telah melalui dengan jayanya 11 kronologi game-changer yang merubah landskap politik dan negara keseluruhannya.

126. Antara detik penting yang ditongkah oleh UMNO, bermula daripada penubuhan parti, meraih kemerdekaan, tragedi hitam perkauman, Dasar Ekonomi Baru, bangkit dan pulih daripada runtuhan UMNO lama serta menggagas Wawasan 2020, mula mendakap dunia teknologi maklumat.

127. Terbaru pula, UMNO telah selesai proses permulaan transformasi sebagai langkah hebat dan penuh berwibawa untuk menjadi parti paling demokratik dan inklusif.

Saudara dan Saudari,

128. Jika dihitung jumlahnya, kita ada sekurang-kurang 2,217 hari atau 72 bulan sebelum fajar negara maju menampakkan sinarnya. Manakala Pilihanraya Umum ke-14 pula, tempohnya lebih dekat dari itu.

129. Sehubungan itu, tiada siapa yang dapat menafikan, selama berdekad-dekad UMNO yang mengetuai Barisan Nasional telah mencapai satu persatu rekod prestasi yang sungguh membanggakan dalam meniti Transformasi Negara.

130. Hakikatnya, sejak dari dulu, kita berjuang dengan penuh objektif, dengan penuh gigih, mendengar bicara hati masyarakat, bisikan nurani semua dan pastinya luahan rasa rakyat terbanyak.

131. Malah, manifesto pilihanraya kita tempoh hari juga bukan sekadar manifesto biasa tetapi adalah sebuah akujanji yang berani. Sesungguhnya, kita bukanlah parti yang suka berbohong dan berdusta, kita bukanlah parti yang jenis cakap tak serupa bikin, kita bukanlah seperti pimpinan pembangkang yang sanggup berbuat apa saja sehingga memalsukan kata-kata dan memperdayakan rakyat, bahkan lebih terkutuk daripada itu sampai sanggup berjanji setia untuk menyokong segala usaha demi melindungi keselamatan rejim zionis dan Israel.

Saudara dan Saudari,

132. Mereka telah berbohong tentang 16 September 2008 untuk menubuhkan Kerajaan. Anwar Ibrahim juga telah menipu rakyat di Kg. Buah Pala. Katanya, dalam tempoh 2 minggu, jika menang, mereka akan selesaikan masalah penduduk di situ. Itu palsu semuanya. Itu dakyah semata-mata.

133. Akhirnya, kerajaan pusat Barisan Nasional yang ditunjang oleh UMNO jugalah yang selesaikan. Malah saya sendiri turun padang menyerahkan 18 kunci rumah kepada para penduduk di situ.

134. Selanjutnya, di kala rakyat Selangor sedang menderita akibat masalah air, sampah sarap dan pelbagai isu yg tidak selesai-selesai, pimpinan Kerajaan Selangor sibuk pula nak menaikkan gaji masing-masing sehingga 373 peratus.

135. Jelasnya di sini, rakyat harus membuka mata kerana, pimpinan pembangkang lebih mementingkan diri masing-masing. Saban waktu mereka tuduh UMNO macam-macam, tetapi selama ini kitalah yang membela kepentingan rakyat dan negara.

Saudara dan Saudari,

136. Laginya, seperti kita tahu dan terpampang di dada-dada akhbar sejak bertahun-tahun, ramai pimpinan utama PKR yang telah keluar dari parti itu.

137. Terkini, lebih parah, 11 ketua cabang PKR Sabah telah mengumumkan keluar parti dan menzahirkan sokongan terbuka kepada kita. Mudah-mudahan, harap-harapnya, sesudah ini, makin ramailah yang mendapat petunjuk dan kembali kepada UMNO.

Saudara dan Saudari,

138. Baru-baru ini pula, Presiden Petronas telah memberitahu saya bahawa, kita telah kehilangan hampir RM40 bilion pelaburan asing dari Taiwan untuk projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia di Pengerang, Johor. Ini kerana, sekumpulan pihak pembangkang telah pergi ke Negara tersebut dan menakut-nakutkan para pelabur.

Saudara dan saudari,

139. Saya ingin bertanya, tidakkah perbuatan pembangkang ini satu pengkhianatan kepada rakyat? Tidakkah perbuatan mereka ini satu petualangan kepada kepentingan negara?

140. Tidak cukup dengan itu, tidak cukup dengan itu, jangan sesekali kita lupa, parti DAP telah menghina penjawat awam sebagai kucing kurap. Pemimpin DAP jugalah yang mahu memberhentikan lebih separuh penjawat awam jika mereka memerintah negara ini.

Saudara dan Saudari,

141. Kepada pihak pembangkang inikah orang-orang Melayu, Bumiputera dan rakyat keseluruhan hendak menyerah nasib dan masa depan anak cucu? Kepada mereka yang sanggup menggadai kepentingan rakyat dan negara inikah kita nak pertaruhkan hari muka?

142. Lebih dahsyat lagi, merekalah yang tidak menghargai para perajurit serta anggota-anggota keselamatan yang bermati-matian mempertahankan tanahair, malah mahu mengiktiraf pula komunis sebagai wira bangsa.

143. Maka yang demikian, peristiwa Lahad Datu, tidak mungkin terpadam dari memori dan ingatan kita betapa UMNOlah sebagai parti yang senantiasa mengangkat dan menjulang para perajurit dan anggota-anggota keselamatan di persada yang sewajarnya.

144. Ternyata, tragedi Lahad Datu telah mengukuhkan lagi ikatan sesama kita, rakyat Malaysia. Pendek kata, walau sejengkal tanah Sabah, Negeri di Bawah Bayu, tak mungkin kita serahkan kepada sesiapa.

145. Kesimpulannya, kebersatuan Semenanjung, Sabah dan Sarawak umpama:

Anak-anak bermain raga,
bersama kawan di tepi perigi,
ikatan kasih bersulam jiwa,
ibarat rambut bersimpul mati.

Saudara dan Saudari,

146. Atas segalanya, sebagai Presiden UMNO saya sentiasa berdoa demi masa depan umat. Walau kita dicemuh, walau kita disindir, walau UMNO dibentak-bentak namun parti ini tidak akan pernah jemu untuk menghulurkan salam perpaduan dengan mana-mana parti politik. Demi, melihat umat Islam kembali bersatu.

Saudara dan Saudari,

147. Oleh kerana itu, kita tak boleh bersegan silu lagi dalam terus memperjuangkan nasib bangsa. Percayalah, yakinlah, kita berada di landasan yang benar dan betul.

148. Di perhimpunan bertuah inilah, saban tahun kita keramatkan segala usul yang akhirnya menjadi dasar-dasar negara. Kita tidak berhimpun untuk suka-suka. Jangan sesekali kita lupa, di perhimpunan-perhimpunan agung UMNO inilah agenda-agenda umat Melayu dan Bumiputera dijulang.

149. Di sinilah UiTM dimartabatkan, di sinilah nasib penjawat awam dibela, di sinilah Raja-Raja Melayu terus dipermuliakan, di sinilah institusi-institusi Melayu dan Bumiputera diperjuangkan.

150. Selain itu, di sinilah kementerian-kementerian strategik yang membela untung nasib orang Melayu dan Bumiputera digagaskan, di sinilah syiar agama Islam dipertinggikan, dan di perhimpunan inilah juga orang Melayu menghitung masa depan keturunan mereka.

Saudara dan Saudari,

151. Seperti besi kersani yang tidah tersepuh dengan saja-saja malah telah dibakar, dilebur dan diasah menjadi waja yang gagah berani. Begitulah parti UMNO dalam memperjuangkan hak dan kepentingan bangsanya.

152. Di manakah suka duka bangsa Melayu nak diperbicarakan? Di manalah orang Melayu nak mencurah rasa. Di manalah lagi orang-orang Melayu ingin merungkai kesumat dan menyulam dendam tentang nasib bangsa. Di manalah lagi keluh kesah orang Melayu hendak dizahirkan, jika tidak di perhimpunan ini. Jika tidak kepada parti ini.

153. Ke manalah orang-orang Melayu hendak membawa diri, jika UMNO sudah tiada lagi. Ke manalah perginya hati, ke mana hilangnya rasa, kalau perjuangan umat Melayu sudah tidak berkumandang lagi. Relakah kita perjuangan Melayu terhapus di bumi ini? Sanggupkah Melayu akhirnya merempat dan terbangsat di tanah sendiri?

Saudara dan saudari,

154. Tanpa UMNO di manakah kita? Tanpa UMNO di mana sudahnya Melayu?

155. Kepada Allah kita mohon dipersimpangkan, kepada Allah kita pinta diperjauhkan, JANGANLAH MELAYU HILANG DI DUNIA! Kepada Allah kita mohon pertolongan.

HIDUP UMNO!
HIDUP BARISAN!
HIDUP MALAYSIA!

Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Terima kasih.

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s