Monthly Archives: October 2009

kronologi krisis kepimpinan PKR

mmg sah parti bateri 3A…

 

* 16 Oktober – Zaid Ibrahim ambil cuti politik enam bulan selepas Anwar Ibrahim menghalang beliau daripada menyertai program parti itu di Sabah atas jemputan Naib Presiden PKR Datuk Dr.Jeffrey Kitingan.

* 18 Oktober – Dalam pertemuan secara eksklusif dengan mStar Online Azmin Ali nafi beliau mempunyai masalah dengan Zaid dan menjadi punca mengapa Anwar halang Zaid ke Sabah.

* 18 Oktober – Zaid langar arahan Anwar dan tetap menjejakkan kaki ke Sabah. Bertemu dengan Jeffrey Kitingan dan pemimpin-pemimpin PKR Sabah yang lain.

* 27 Oktober – Dr Jeffrey umum letak jawatan sebagai naib presiden dan semua jawatan politik termasuk anggota Biro Politik PKR.

* 28 Oktober – Ketua Bahagian Kota Kinabalu Christina Liew pula mengumumkan peletakan jawatan sebagai anggota majlis tertinggi PKR.

* 28 Oktober – Setiausaha Agung PKR, Datuk Salehuddin Hashim menafikan beliau meletak jawatan selepas khabar angin bertiup kencang mengatakan beliau telah melepaskan jawatannya itu ekoran krisis kepimpinan yang berlanjutan dalam parti tersebut.

* 29 Oktober – Menteri Besar Selangor arah ADUN Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah melepaskan jawatan sebagai ADUN.

4 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Jeffrey mangsa monopoli kuasa 3A

“Jeffrey Kitingan merupakan antara mangsa monopoli kuasa pemimpin 3A Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan ramai lagi akan kecundang,” dakwa Anuar Shaari, bekas Setiausaha Sulit, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anuar berkata, ini kerana pengaruh Jeffrey sebagai Naib Presiden PKR tidak disenangi salah satu atau kesemua tiga pemimpin serangkai tersebut – Presiden, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail; Penasihat, Anwar dan seorang lagi Naib Presiden, Azmin Ali.

Jelasnya, menjadi amalan Anwar, Azizah serta Azmin untuk mencantas kedudukan mana-mana pemimpin PKR yang meningkat naik kerana ketiga-tiga mereka berhasrat memanjangkan kesinambungan penguasaan 3A itu di pucuk kepimpinan parti.

“Ini bukan cerita baru, sebelum ini Datuk S. Nallakaruppan, Datuk Zaid (Ibrahim), Ezam dan termasuk saya antara yang menjadi mangsa paksi kekuasaan 3A itu.

“Ketiga-tiga (Anwar, Azizah dan Azmin) itu sama ada secara langsung atau halus akan memastikan para pemimpin berpotensi dalam parti dicantas segera,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Anuar berkata demikian sebagai mengulas tindakan drastik Jeffrey meletakkan kesemua jawatannya dalam PKR semalam, kerana tidak berpuas hati dengan cara kepimpinan tertinggi parti melayan kehendak PKR Sabah sejak sekian lama.

Jeffrey yang meletakkan jawatan sebagai Naib Presiden, ahli Majlis Integrasi Nasional untuk Sabah dan Sarawak serta ahli Majlis Tertinggi (MT) PKR bagaimanapun kekal sebagai ahli biasa.

Anuar menambah, tindakan PKR menubuhkan Majlis Integrasi Nasional bagi Sabah dan Sarawak pada Ahad lalu merupakan usaha halus Anwar untuk ‘melambakkan’ mana-mana pemimpin yang difikirkan mampu menggugat kekuasaan 3A berkenaan.

Katanya, Anwar terpaksa mewujudkan organisasi baru dalam parti itu demi memberikan jawatan-jawatan kepada para pemimpin berpotensi tersebut bagi mengabui mata mereka.

“Pemimpin seperti Datuk Dr. Tan Kee Kwong dan Datuk Chua Jui Meng yang dilihat boleh mengancam struktur kepimpinan negeri akan ditawarkan menganggotai majlis ini,” jelasnya.

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Program Bantuan E-Cari dan Subsidi Beras

Kepada semua pembaca yang mempunyai saudara mara yang tinggal di dalam kawasan Parlimen Ampang terutama yang tinggal di sekitar Taman Keramat/Jalan Enggang yang tergolong dalam salah satu kriteria di bawah ini layak untuk didaftarkan di bawah skim eCari Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia. Antara kriteria adalah:

1. Keluarga miskin yang memerlukan bantuan kewangan

2. Warga emas yang terlantar atau keseorangan

3. Ruma yang usang dan tiada kemudahan asas

4. OKU yang belum berdaftar

5. Ahli keluarga yang sakit dan memerlukan rawatan

6. Kanak-kanak tidak bersekolah

7. Kanak-kanak tiada dokumen

Bagi program subsidi beras pula, kupon beras akan mula diedarkan kepada org ramai yang mendaftar mulai bulan Disember. Pengedaran ini akan dilakukan secara berperingkat. Sekiranya para pembaca layak utk menerima kupon ini diharap dapat mendaftarkan diri supaya tidak ketinggalan di dalam program subsidi beras ini.

1. Pendapatan isi rumah <RM1500 layak mendapat kupon beras berjumlah RM10 sebulan

2. Pendapatan isi rumah <RM450 layak mendapat kupon beras berjumlah RM24 sebulan.

Bagi pembaca yang ingin mendaftarkan diri atau ingin mendapat keterangan lanjut, bolehlah mengemail kami di pemudaenggang@gmail.com

1 Comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Sidang DUN Perak

1. hari ini sidang DUN Perak bermula..suasana agak terkawal pagi ini walaupun terdapat cakap-cakap kekacauan bakal berlaku. apa2pun selamat bersidang dan diharap persidangan hari ini dapat dijalankan dengan aman.

2. berita mutakhir yg diterima ADUN PR telah keluar dari bangunan SUK setelah dibenarkan masuk jam 9.55pagi. Mungkin kecewa Sivakumar tidak dibenarkan menjadi Speaker….walaupun sudah pakai jubah speaker…mungkin tak reti bahasa bahawa beliau bukan lagi speaker yg sah!

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Nik Aziz dan EGM PAS — Awang Selamat

Kenyataan terbaru Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat menerusi blognya yang mahu Muktamar Agung khas (EGM) diadakan bagi menukar pemimpin tertentu tiba-tiba menggoncang parti itu.

Puncanya ada kaitan dengan perbezaan pendirian berhubung isu kerjasama dengan Umno menerusi kerajaan perpaduan yang pernah dicadangkan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang tidak lama dulu. Ternyata isu itu belum padam walaupun semua pemimpin kanan PAS dikatakan sudah mencapai kata sepakat mengenainya.

Nik Aziz yang menentang idea kerajaan perpaduan itu rupa-rupanya masih kurang senang terhadap beberapa kerat pemimpin PAS antaranya Timbalan Presiden, Nasharuddin Mat Isa, Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali dan Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hasan Ali yang menyokong idea itu. Malah difahamkan, Nik Aziz “makan hati” dan amat tidak selesa dengan Hadi tetapi tidak dinyatakan secara terbuka, mungkin atas percaturan politik. Ia umpama cerita pukul anak sindir menantu.

Bukan rahsia lagi, Nasharuddin dan beberapa lagi pemimpin kanan PAS diketahui adalah orang kepercayaan Hadi. Pemilihan dalam muktamar parti itu sebelum ini turut menyaksikan beberapa pemimpin pro Hadi memenangi jawatan kanan termasuk timbalan presiden, yang dilihat sebagai tamparan kepada Nik Aziz.

Maka makin jelas terdapat dua kelompok dalam PAS. Satu yang memihak kepada Hadi dan satu lagi kumpulan menyokong Nik Aziz. Dalam konteks pakatan pembangkang pula, Nik Aziz dilihat lebih akomodatif kepada aspirasi politik PKR dan DAP sementara kumpulan Hadi melihatnya sebagai berbahaya kepada kepentingan agama dan bangsa. — Mingguan Malaysia

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

MENJUNJUNG TRADISI, MENZAHIR PERUBAHAN

UCAPAN

YAB. DATO’ SRI MOHD NAJIB TUN ABDUL RAZAK

SELAKU PRESIDEN UMNO

SEMPENA PERHIMPUNAN AGUNG UMNO KALI KE-60, 2009

PADA 15HB OKTOBER 2009 (KHAMIS), JAM 9.00 PAGI

DI DEWAN MERDEKA PWTC

Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdulillahi Rabbil A-lamin, was-salatu was-salamu ala Rasulillah.

Rabbi ish-rah-li sadri wa-yassir-li amri wahlul uq-datan min-lisani yaf-qohu qauli.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Yang Berbahagia Pengerusi Tetap,

Yang Berbahagia Timbalan Pengerusi Tetap,

Yang Amat Berhormat Timbalan Presiden,

Naib Presiden-Naib Presiden,

Ketua-Ketua Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO

Ahli-Ahli Majlis Tertinggi,

Ketua-Ketua Komponen Parti BARISAN NASIONAL,

Dif-dif Kehormat, Para Tetamu dan Para Jemputan,

Para Perwakilan dan Pemerhati,

Seawalnya saya ingin berkongsi Firman Allah SWT, dalam surah As-Saff ayat yang ke-4

‘Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berjuang di jalanNya, dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti satu ‘bun-ya-nun-marsus’ yakni bangunan yang tersusun kukuh’.

Kemudiannya pesan daripada Saidina Ali bahawasanya :

‘Sesuatu yang benar dan hak namun tidak tersusun akan dikalahkan oleh yang batil dan salah , tetapi diatur dengan tersusun’

Tuan-Tuan dan Puan-Puan sekalian,

Pertama sekali, seperti lazimnya, marilah kita mengangkat rasa syukur yang tidak terhingga ke hadrat Allah SWT, Tuhan seru sekalian alam, yang mana dengan keredhaanNya jualah, dapat kita sekali lagi berhimpun pada pagi yang mulia ini.

Sesungguhnya Dewan Merdeka ini telah beberapa dekad menjadi saksi kepada pelbagai peristiwa, silih berganti, perjalanan suka duka, pahit maung dan manisnya sebuah parti keramat yakni UMNO, parti kita semua.

Perhimpunan pada pagi ini juga penuh bermakna dan bertuah, kerana, di bawah bumbung UMNO, hadir dua mantan Presiden yang kita kasihi. Marilah kita sambut dan raikan YABhg. Tun Dr. Mahathir Bin Mohamad dan YABhg. Tun Abdullah Hj Ahmad Badawi.

Demikianlah contoh semangat juang dalam jiwa pemimpin UMNO yang tidak pernah pudar; bahkan terus mekar, terus bersedia untuk bersama-sama dalam sebuah perjuangan yang belum selesai, demi membina bangsa yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Dengan semangat dan kekuatan inilah, kita akan bangkit kembali membina keagungan bangsa yang sungguh banyak jasanya pada negara tercinta.

Setinggi-tinggi penghargaan kita hulurkan juga kepada YABhg Tun Dr. Siti Hasmah bersama YABhg Tun Jeanne Abdullah, kerana turut serta dalam perhimpunan kita pada pagi ini sekaligus menyemarakkan semangat semua ahli UMNO dari, seluruh pelusuk tanahair yang menyaksikan detik bersejarah ini.

Perhimpunan Agung kali ini mencatat beberapa mercutanda. Pertamanya, satu sejarah secara peribadi kerana inilah ucapan dasar sulung saya, selaku Presiden UMNO sejak mengambil alih pucuk pimpinan, secara rasmi pada bulan Mac yang lalu. Syukur, peralihan kuasa yang tertib, lagi licin bersandarkan tradisi mulia UMNO, telah berlangsung dan dimungkinkan oleh YABhg Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Keduanya, perhimpunan kali ini hanya dalam jangka masa enam bulan dari tarikh perhimpunan yang lalu, menyaksikan satu langkah berani UMNO membuat pindaan besar terhadap perlembagaan parti seraya membuktikan UMNO tidak jumud dan dan bukanlah parti yang lapuk. Sebaliknya, dengan pindaan ini, jelas memperlihatkan kesungguhan UMNO untuk menjadi sebuah parti yang dinamik, progresif dan responsif kepada kehendak semasa.

Ketiganya, perhimpunan ini akan menjadi titik monumental, kepada UMNO yang akan meninta perjalanan di atas lembaran baru, dengan semangat baru, pendekatan baru dan hala tuju yang baru.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan sekalian,

Begitulah, pada pagi bermakna ini, dalam keceriaan bulan Syawal yang mulia, meraikan kemenangan, menentang kehendak hawa nafsu di Ramadhan lalu, kita sewajarnya dengan penuh rasa syukur mengucapkan pula ungkapan Alhamdulillah, ke hadrat Yang Maha Kuasa atas kejayaan kita, mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri Bagan Pinang dengan lonjakan majoriti yang berganda.

Sayugialah, saya merakamkan sekalung kata terima kasih kepada semua pimpinan di setiap peringkat yang telah bertungkus lumus, bekerja keras serta orang ramai terutamanya para pengundi dalam menggondol kemenangan bawah kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Timbalan Presiden Parti. Sememangnya kejayaan ini, membenarkan hakikat bahawa, UMNO masih merupakan parti pilihan orang Melayu dan UMNO masih merupakan parti pilihan rakyat.

Ini membuktikan juga bahawa rakyat tempatan dari semua kaum dan semua lapisan telah menyuarakan keinginan mereka dengan jelas untuk terus berlindung di bawah naungan Barisan Nasional. Kenapakah, pilihan ini telah dibuat, Tuan-Tuan dan Puan-Puan? Sudah terang lagi bersuluh, kerana, Barisan Nasional merupakan parti yang terbukti kecemerlangannya dalam pentadbiran negara, kerana, Barisan Nasional lah yang sebenarnya menjadi pembela rakyat selama ini.

Walau apa pun, kita harus menerima kemenangan ini dengan tenang, penuh tawadhuk dan rasa kerendahan hati. Seperti kata pepatah Inggeris ‘One swallow does not make a summer’, takkanlah dek kerana seekor burung lelayang, kita merasakan musim panas sudah tiba, atau, disesuaikan dalam simpulan bahasa Melayu ‘Janganlah kerana mendengar guruh di langit, air tempayan dicurahkan’. Kita tidak boleh mudah berasa selesa atau lega bahawa kita menjadi parti pilihan rakyat, hanya kerana, tiada parti lain yang boleh diharapkan, atau, dengan kata lainnya, yang terbaik antara yang buruk.

Di Bagan Pinang, kita dapati orang-orang bukan Melayu menerima UMNO dengan hati yang terbuka. Jelasnya, di kawasan pilihan raya yang pengundinya terdiri daripada masyarakat majmuk seperti ini, kita mahukan UMNO diterima rakyat sebagai sebuah parti yang memperjuangkan bukan sahaja untung nasib Melayu dan Bumiputera akan tetapi menjangkau semua kumpulan etnik di Malaysia.

Ini bertepatan dengan Surah Al Maidah ayat ke-8, di mana Allah SWT menyeru kita, supaya menjadi orang yang berlaku adil, serta menegakkan kebenaran, kepada semua kaum dan bangsa, kerana berlaku adil itu, dekat kepada taqwa Kalau kita menjaga kebajikan semua rakyat, maka pastinya rakyat, tanpa mengira bangsa dan keturunan, akan dengan relanya menyokong, serta mengangkat kepimpinan parti kita.

Dalam hal ini, mahu tidak mahu, UMNO perlu menjadi parti yang lebih terbuka pendekatannya. UMNO perlu dipilih atas sebab parti kita adalah yang terbaik, sama ada dari sudut organisasi, gerak kerja, matlamat, ataupun sistem nilai yang mendasari pertubuhan ini. Kalau inilah resipi kejayaan kita baru-baru ini di Bagan Pinang, yang telah meraih majoriti besar, maka, saya yakin dan percaya dengan menggunapakai ramuan ini di tempat-tempat lain pun, selepas ini, kita akan menikmati kejayaan yang sama atau lebih besar lagi, Insya Allah.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan sekalian,

Sejarah adalah guru yang terbaik. Musim dan masa terus berlalu tanpa menunggu sesiapa. Kata George Santayana, seorang pemikir tersohor bahawa, “Mereka yang engkar dari memahami dan tidak belajar daripada sejarah akan dihukum dengan mengulangi kesalahan dan kesilapan yang sama”. Pokoknya, peristiwa sejarah bukan sahaja untuk dicontohi dan diikuti, tetapi, ia menunjang sebagai peringatan dan sempadan terbaik kepada umat manusia bagi mengurus realiti semasa untuk melakar hari muka dengan lebih berjaya.

Jelas sekali, manusia yang mendapat pengajaran betul serta benar daripada peristiwa sejarah, boleh mengelak daripada melakukan kesilapan dan tindakan yang akan membawa kepada kejatuhan sesebuah negara mahupun tamadun. Maknanya, untuk menongkah masa depan yang cemerlang, kita perlu berakar teguh, dengan beriktibar daripada sejarah dan sistem nilai. Barulah kita berupaya untuk tegak menghadapi masa mendatang, dengan persediaan yang rapi serta serasi menurut hambatan zaman. Oleh kerana itulah, saya memilih tajuk ucapan pagi ini sebagai “Menjunjung Tradisi, Menzahir Perubahan.”

Jadinya Tuan-Tuan dan Puan-Puan, menyonsong tawarikh, jika diamati, tahun ini adalah tahun yang signifikan, bukan sahaja dalam susur galur negara tetapi juga susur galur parti UMNO. Sekitar tempoh ini, lima puluh tahun yang lalu, Malaysia mula mengamalkan demokrasi berparlimen secara mutlak, apabila pilihanraya umum pasca merdeka yang pertama diadakan pada tahun 1959. Sekitar waktu ini juga, empat puluh tahun yang lalu yakni 1969 UMNO telah mengepalai usaha untuk menyelamatkan negara dari ambang kehancuran, natijah konflik antara kaum.

Kira-kira kala ini juga, dua puluh tahun lalu, yakni 1989 UMNO telah menerajui usaha untuk keluar dari kemelesetan ekonomi dan memulakan proses industriali-sasi negara. Manakala masih segar terakam dalam ingatan ramai, pada detik-detik ini pulalah, sepuluh tahun dulu yakni 1999, UMNO sekali lagi telah bingkas beraksi, menyelamatkan negara daripada jatuh merudum ke dalam cerun krisis kewangan Asia.

Sekali lagi, apa yang mustahak untuk diketahui adalah, kesemua tindakan hebat yang dinyatakan ini, nakhodanya adalah kepimpinan UMNO, berlandaskan kebijaksanaan pemikiran yang kreatif lagi berinovatif. Segala-galanya dilakukan, atas nama kepentingan dan kesejahteraan rakyat.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan sekalian,

Mengenang peritiwa dan kejadian juga, jangan mudah kita lupa bahawa, selepas tragedi 13 Mei 1969, para pemimpin UMNO boleh memilih untuk tidak meneruskan demokrasi yang telah digantung. UMNO juga boleh memutuskan untuk menubuhkan kerajaan satu parti atau mungkin menyokong saja pihak angkatan tentera melakukan kudeta.

Akan tetapi, harus barang diingat, itu semua tidak dilakukan, malah, UMNO berusaha keras untuk mengembalikan demokrasi dalam masa lapan belas bulan. Ini jelas mempamerkan bahawa, UMNO bukan sebuah parti yang mabukkan kuasa, jauh sekali sebagai sebuah parti yang bersifat perkauman.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan sekalian,

Sehubungan itu, jika kita ingin tahu apakah maksud perkauman yang sebenar, lihat sahaja, sejarah Afrika Selatan, sewaktu dicengkam apartheid. Bahkan di Amerika Syarikat pun, amalan perkauman secara terang-terangan berlaku sehingga pertengahan tahun 60-an. Sekolah, bilik air, tempat makan di restoran malah tempat duduk dalam bas antara kaum ternyata dibeza-bezakan.

Semuanya ini, hanyalah berakhir setelah keputusan pengasingan kaum, institusi pendidikan tahun 1954, oleh Mahkamah Agong, melalui kes Brown lawan Lembaga Pendidikan Kansas, Akta Hak Sivil tahun 1964 dan Akta Hak Mengundi tahun 1965 digubal.

Dalam konteks ini, nampaknya berbeza benar, keadaan kita di Malaysia, dengan realiti di dunia luar. Ehwalnya, orang Melayu adalah bangsa yang bersifat amat inklusif dan merangkumi. Jelasnya lagi, jika orang Melayu bersikap dan bersifat perkauman mana mungkin Melaka boleh menjadi sebuah pelabuhan entrepot yang makmur pada abad ke-15.

Bersabit isu ini juga, kalaulah ada mana-mana pihak yang tanpa usul periksa, begitu semberono menempelak UMNO sebagai sebuah parti perkauman harus terlebih dahulu mencermin diri secara ikhlas. Mereka harus sedar akan realiti komposisi kaum dalam parti mereka sendiri. Adakah ia benar-benar melambangkan keterbukaan yang mereka jerit dan laung-laungkan?.

Sedangkan, jika betullah orang Melayu rasis bagai didakwa, tidak mungkin kita bersifat amat bertolak ansur terhadap budaya etnik-etnik lain seperti yang diamalkan, tak mungkin juga kita benarkan sekolah-sekolah aliran kebangsaan diwujudkan, bahkan mustahil pula untuk bekerjasama dengan begitu akrab bersama-sama parti komponen lain dalam Barisan Nasional sejak berdekad lamanya.

Oleh itu, kepada pihak-pihak tertentu, janganlah angkuh mengaku, bahawa merekalah kononnya, sebuah parti pelbagai kaum yang mempunyai keabsahan moral dan keikhlasan intelektual untuk memimpin rakyat di negara ini.

Sidang perwakilan yang dikasihi sekalian,

Lumrahnya, kita dapati bahawa, sesuatu matlamat yang baik sahaja tanpa diseimbangi pengalaman, dihiasi kesederhanaan serta dipimpin bersandarkan perspektif sejarah, jikapun betul, bukan sahaja tidak akan menghasilkan yang baik, sebaliknya boleh pula menyebabkan berlakunya ketidakadilan dan kezaliman.

Berasas lagenda silam, UMNO perlu juga menggali dan mencontohi kekayaan tradisi pemikiran strategik era keagungan kerajaan Melayu Melaka. Keagungan empayar Melaka di tengah-tengah dua kuasa besar ketika itu, yakni China dan Siam mempertontonkan bahawa kuasa minda mampu mengatasi dan menundukkan semua. Justeru itulah, saya sering menekankan, pertarungan sebenar masa kini dan pertarungan sebenar masa depan adalah pertarungan minda.

Begitu terserlah di era itu, Bendahara Tun Perak yang arif lagi bijaksana dengan menggunakan kehebatan mindanya penuh berhemah dan berhelah, berjaya menjulang Melaka ke tempat yang tinggi. Sekalipun Melaka merupakan kuasa kecil berbanding China dan Siam, ia telah berjaya bukan sahaja mengekalkan kemerdekannya selama lebih daripada satu kurun tetapi juga mampu berkembang menjadi kuasa rantau yang ternama.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan sidang perwakilan sekalian,

Menjengah kembali perjuangan parti, untuk sentiasa memperoleh sokongan massa, UMNO harus dilihat, ditanggap, serta diyakini sebagai parti yang ampuh membela untung nasib rakyat. UMNO tidak boleh dilihat sebagai sebuah parti yang hanya ghairah memperjuangkan kelompok yang sedikit. Sebaliknya, kita mahu UMNO dilihat, dirasai, serta diyakini sepenuhnya sebagai sebuah parti inklusif yang mendahulukan rakyat dan bukannya mendahulukan diri sendiri. Maka itu, persepsi UMNO sebagai parti untuk cari makan mesti dibuang jauh-jauh, mesti ditinggalkan.

Amat mustahak lagi, UMNO menjadi parti yang berpegang kepada falsafah ‘wasatan’ yakni bersederhana, atau, dengan apa yang disifatkan oleh ilmu sains politik sebagai “centrist party”. Kita tidak boleh menjadi parti yang ultra kiri atau ultra kanan. Waima, fahaman UMNO semenjak penubuhannya bukanlah condong sama ada kepada fahaman liberal mahupun fahaman konservatif.

Hakikat yang jelas, UMNO adalah parti siasah yang semesta. Semua pihak mempunyai tempat dan peranan di bawah lembayung UMNO. Malah, semenjak penubuhannya lebih enam puluh tahun yang lalu, UMNO telah dianggotai mereka yang berfahaman kiri dan kanan, golongan nasionalis mahupun agamawan.

Termasuklah juga lapis golongan pemikir dan pedagang, pendidik dan pejuang serta pelbagai latar sosio ekonomi. Semuanya dialu-alukan dalam UMNO. Tuan-Tuan dan Puan-Puan, inilah kekuatan UMNO, inilah lambang kebitaraan perjuangan UMNO yang sebenar, sebagai sebuah parti tercinta yang menjiwai keluh kesah, denyut nadi dan nurani semua golongan masyarakat.

Wadihnya, dalam usia lebih enam dekad, UMNO adalah parti yang sarat dengan pengalaman. UMNO bukan sebuah parti yang baru tetapi kaya dengan warisan. Pelbagai denai, onak dan duri telah ditempuhi. Bak kata orang, perjalanan ini menjadi rahmat dan sekali gus juga bebanan. Ia adalah rahmat kerana kita bukannya parti yang hanya pandai berkata-kata tanpa mempunyai rantaian rekod yang boleh menyokong janji-janji tersebut kepada rakyat. Bebanan pula timbul apabila kita berhadapan dengan pelbagai isu legasi yang mengancam survival bangsa dan negara.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan sekalian,

Selama ini, UMNO dihormati dan disegani sebagai sebuah parti politik oleh kawan mahupun lawan disebabkan UMNO adalah sebuah parti yang mendapat sokongan majoriti orang-orang Melayu dan Bumiputera. Seandai dan sekiranya, sokongan ini terhakis, maka UMNO tidak akan disegani kawan dan tidak lagi dihormati lawan.

Lantaran itulah, suka atau tidak, kekuatan UMNO sebagai sebuah organisasi politik amat bergantung kepada kemampuannya untuk memahami kehendak para ahli. Manakala, kerelevanan UMNO sebagai sebuah parti pemerintah pula bergantung kepada sejauh mana ia berjaya menangkap imaginasi bukan sahaja di kalangan orang Melayu tetapi juga yang lebih utama kepada seluruh rakyat Malaysia.

Ertinya di sini, UMNO akan terus mendapat tempat sebagai sebuah parti, selama mana kehendak dan kemahuan rakyat dapat dizahirkan dalam perjuangan parti, seterusnya dimanifestasikan pula dalam gerak kerja penggubalan dasar-dasar kerajaan demi kepentingan rakyat menyeluruh.

Di persimpangan ini, masalah tidak akan timbul apabila aspirasi UMNO dan aspirasi majoriti rakyat Malaysia adalah satu. Kekalutan hanya akan wujud jika tasawwur UMNO tidak lagi mewakili tasawwur rakyat terbanyak. Hal ini ditambah burukkan lagi oleh persepsi di kalangan orang Melayu bahawa UMNO tidak bersedia untuk mengambil langkah-langkah pembetulan secara pantas.

Jika perkara tersebut berlaku, maka rakyat akan menanggap bahawa UMNO bukan sahaja parti yang tidak berpijak di bumi nyata, malahan bersikap angkuh serta kelihatan tidak acuh dan tidak peduli. Jadi, janganlah hairan jika perkara ini terjadi nanti, ramai rakyat Malaysia akan melihat UMNO bukan lagi sebagai sebahagian daripada penyelesaian, sebaliknya ia sudah berubah menjadi sebahagian daripada masalah.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan sekalian,

Oleh sebab itu, untuk terus lestari, UMNO tidak ada pilihan melainkan perlu membumi dan mendakap realiti. UMNO perlu terus membuka rongga dan ruang pembaikan. Kuak dan kembangkanlah seluas-luasnya wadah perjuangan kita kepada semua yang ingin membantu memperkukuhkan lagi parti.

Selaku Presiden UMNO, saya dengan ikhlas menyeru kepada semua orang Melayu, demi maslahah ummah, marilah bersama-sama membentuk satu saf yang berasaskan pertautan pemikiran dan tindakan untuk merungkai kekusutan, memulihkan silaturrahim serta memacu kepentingan bersama. Sepertimana pepatah lama, air dicincang tidak akan putus, buanglah yang keruh, kita ambillah yang jernih, agar bangsa yang mulia ini terus dimartabatkan.

Dalam masa yang sama, ahli-ahli UMNO, baik di peringkat kepimpinan tertinggi mahu pun ahli biasa, perlu kerap melakukan muhasabah. Kita perlu bersedia untuk menilik ke dalam diri, melihat kelemahan dan memperbetulkan kekhilafan. Seterusnya, mengambil langkah untuk memperbaiki kelemahan dan kekurangan tersebut. Apa yang penting, ahli-ahli UMNO perlu mewajahkan peri laku mulia dan nilai-nilai murni sebagai asas jati diri dan kekuatan parti.

Pada hemat saya, dalam perkara ini, antara sifat pemimpin yang paling didambakan dan digemari rakyat adalah sifat merendah diri dan Tawadhuk. Ingatlah bahawa, dalam negara demokrasi seperti ini, rakyatlah yang memilih pemimpin. Pemimpin yang mereka mahukan adalah pemimpin yang sentiasa bersedia memberikan khidmat.

Saya ingin berpesan, janganlah segan untuk turun ke bawah dan merapatkan diri dengan akar umbi sekali pun kita menyandang jawatan tinggi. Bak kata pepatah, ular menyusur akar tidak akan hilang bisanya. Malah rakyat akan membenci pemimpin yang memisahkan diri dari mereka, sukar didekati, apatah lagi pemimpin yang sombong dan bongkak. Mereka yang menunjukkan keikhlasan dan merasai keseronokan menabur bakti kepada rakyat akan menjadi pemimpin yang disanjung.

Selain itu, para pimpinan UMNO dan ahli-ahli seharusnya terkenal dengan integriti apabila diberikan tugas dan amanah. Ini amat mustahak dalam meyakinkan rakyat untuk terus bersama UMNO. Jika persepsi negatif tentang integriti dan etika pemimpin UMNO menular, ia dengan sendirinya akan menjadi faktor utama menjauhkan sokongan rakyat terhadap kita.

Tambahan lagi, untuk mengukuhkan kepercayaan rakyat tentang kewibawaan dan integriti UMNO, ia bukan sahaja setakat dilaungkan, tetapi ia juga mesti dipampang dengan jelas dalam bentuk amalan, tindak tanduk dan aktiviti juga gerak kerja semua ahli dan pemimpin. InsyaAllah nantinya rakyat akan dapat menerima semula, secara sepenuh hati, parti kita ke pangkuan mereka.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan sekalian,

Gila ada pelbagai jenis gila. (Kata orang bila seseorang itu bercakap sendirian, belum lagi dianggap gila. Bila dia mula berceloteh sendiri, dan kemudian menjawab balik kepada dirinya sendiri, itu namanya separuh gila. Peringkat kedua, bila dia membebel dan mengomel sendiri, kemudian menjawab balik dan percaya pula pada yang dia jawab kembali itu, tandanya memang dah sah lah dia gila).

Satu lagi jenis gila, adalah berbuat sesuatu secara berulang kali dengan tatacara yang sama tetapi mengharapkan hasil yang berbeza. Dalam melaksanakan sesuatu dasar misalnya, kita tidak boleh terlalu dogmatik sehingga yang menjadi tumpuan adalah wahana atau pendekatan digunakan berbanding keberhasilan atau “outcome’’.

Ini kerana, alat dan pendekatan boleh berubah dek perjalanan masa. Wahana dan kaedah yang sesuai hari ini mungkin akan lapuk sepuluh tahun dari sekarang. Begitulah kereta kuda dan mesin telegraf yang suatu ketika dahulu adalah alat dan pendekatan yang terbaik pada zaman bahari, kini, sudah tidak atau sudah jarang digunakan.

Contohnya, apabila mula digubal, Dasar Ekonomi Baru menyasarkan peningkatan pemilikan ekuiti Melayu dan Bumiputera dari 2.4 peratus kepada 30 peratus, dalam tempoh masa dua puluh tahun. Namun begitu, sehingga Dasar Ekonomi Baru tamat pun, matlamat ini masih belum dapat diterjemahkan. Pemilikan ekuiti orang Melayu dan Bumiputera hanya mencapai 19.2 peratus sahaja. Oleh itu, matlamat ini diteruskan di bawah Dasar Pembangunan Nasional, Dasar Pembangunan Wawasan dan kini, Misi Nasional menggunakan pendekatan yang tidak jauh berbeza.

Namun, masa berlalu menyaksikan ekonomi Malaysia berubah haluan dan bergantung kepada pelaburan asing serta hasil eksport, manakala ekonomi negara kita kini lebih terbuka dan mudah terkesan dengan perkembangan ekonomi global. Mengikut laporan Pertubuhan Perdagangan Sedunia tahun 2008, Malaysia adalah negara pengeksport barangan yang ke-21 terbesar di dunia.

Hakikatnya, cabaran ekonomi masa depan yang menanti kita lebih rumit dan hebat. Landskap ekonomi dunia juga sudah berubah. Formula semalam belum tentu lagi masih mujarab. Jika dalam tempoh hampir empat dekad kita gagal mencapai matlamat dengan menggunakan kaedah yang sama, bukankah sudah sampai masanya kita memikirkan strategi baru yang lebih relevan dengan masa dan zaman untuk mencapai cita-cita yang diimpikan?

Berikutan hal ini, orang–orang Melayu perlu sedar bahawa salah satu sebab yang memungkinkan kejayaan Dasar Ekonomi Baru ialah kerana, ia dilaksanakan di tengah-tengah pertumbuhan ekonomi yang mapan. Perangkaan menunjukkan bahawa, pukul rata pertumbuhan ekonomi negara di antara tahun 1971-1990 adalah pada kadar 7.1 peratus.

Justeru, menyedari peri mustahaknya pertumbuhan ekonomi, apabila Malaysia menghadapi kemelesetan pertengahan 80an akibat kejatuhan harga komoditi dunia, kepimpinan UMNO dan negara ketika itu mengambil tindakan di luar kotak kelaziman. Telah ditangguhkan ketika itu, elemen-elemen utama Dasar Ekonomi Baru bagi mengembalikan ekonomi negara ke landasan pertumbuhan. Ini dibuat melalui pewujudan persekitaran yang subur untuk pelaburan terus asing, terutamanya, dalam bidang pembuatan.

Strategi ini ternyata telah berjaya. Kutipan cukai kerajaan bertambah, peluang pekerjaan melata, dan ekonomi negara berjaya pulih dari kemelesetan. Hasilnya pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru telah dapat diteruskan. Bersandarkan faktor inilah, maka, kerajaan hari ini telah mula me-liberali-sasi-kan sektor-sektor tertentu di samping melihat semula dengan komprehensif cara penciptaan dan pegangan kekayaan Melayu dan Bumiputera agar ianya lebih mapan serta lebih bermakna.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan sidang perwakilan sekalian,

Di sudut lain, bukan sahaja UMNO yang harus berubah dan melakukan proses transformasi ke arah kebaikan generasi pewaris negara, yang terlebih penting adalah, orang-orang Melayu seluruhnya perlu berubah corak pemikirannya. Hari ini, kita melihat bagaimana produk tindakan afirmatif serta Dasar Ekonomi Baru begitu gah dan bangga mendabik dada bahawa mereka tidak perlu lagi topang dan sangga. Katanya, mereka boleh berdiri di atas kaki sendiri tanpa perlu bergantung kepada pertolongan kerajaan.

Tampaknya, golongan ini lupa kepada satu hakikat yang besar. Maksud saya, jika benar pun mereka telah cukup berupaya untuk membuang topang yang menyangga mereka selama ini, bagaimana pula halnya dengan orang-orang Melayu lain yang masih memerlukan bantuan. Adakah adil namanya jika topang ini dinafikan kepada kumpulan yang layak menerima, hanya kerana orang yang sudah mendapat bantuan tidak lagi bergantung padanya.

Di atas segalanya, tiada siapa yang dapat menafikan bahawa, nikmat tersurat hari ini adalah, orang Melayu telah mempunyai kelas menengah yang besar. Keadaan ini hampir tidak wujud tatkala Dasar Ekonomi Baru dilancarkan pada tahun 1971. Siapakah juga yang dapat menafikan bahawa, hari ini terdapat golongan profesional Melayu dalam skala yang besar sebagai mahsul daripada langkah-langkah Dasar Ekonomi Baru.

Oleh sebab itu, kita perlu faham bahawa, isunya di sini bukanlah soal bantuan, tetapi, soal pengurusan dan pentadbiran bantuan tersebut. Faktanya, orang Melayu dilihat dari lensa keseluruhan, masih ketinggalan dan memerlukan bantuan. Itulah sebenarnya yang menjadi perhitungan utama.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

Kita semua tahu bahawa, UMNO telah didirikan atas falsafah perjuangan, keikhlasan dan pengorbanan serta roh patriotik yang tinggi. Inilah asas-asas tersirat yang selama ini memanggu kekuatan Parti. Sayangnya, ramai daripada generasi kini mengambil enteng akan jerih payah pendahulu-pendahulu menubuhkan UMNO.

Ambillah pengajaran daripada kesungguhan dan kemuliaan generasi yang terdahulu. Contohnya, pengorbanan ikhlas kaum wanita dalam parti. Tercatat dalam sejarah, kaum ibu yang rela melurut cincin, gelang dan rantai demi membiayai rombongan pimpinan Tunku ke London bagi merundingkan kemerdekaan. Inilah sikap mulia dan murni wanita UMNO sejak berpuluh tahun. Sifat yang sungguh kita sanjung tinggi.

Saya juga masih ingat cerita pimpinan-pimpinan lalu yang sanggup berlebih kurang dalam serba kepayahan dan kesederhanaan berjuang untuk parti. Kata mereka, kalau dulu tidak macam sekarang, semuanya nakkan yang empuk dan semuanya nakkan yang mewah. Dulu, kalau ke persidangan UMNO, siapa yang tak kenal New Hotel dan King Hotel di Batu Road. Untung-untung pun dapatlah merasa Majestic Hotel. Sekarang ini, kalau tak dapat hotel lima bintang, ramai yang mengeluh sakit-sakit badan. Tak standard dan tak kelas katanya.

Apa yang cuba saya utarakan di sini adalah, ke manakah hilangnya budaya khidmat dan ke-sukarelawanan dalam UMNO? Kalau hendak diikutkan, begitu ramai golongan professional seperti peguam, doktor, akauntan dan jurutera yang menjadi ahli. Malangnya, di saat-saat kita memerlukan kerja-kerja sukarela umpamanya, pada musim pilihanraya, begitu sedikit yang tampil membantu dengan ikhlas tanpa mengharapkan balasan. Barangkali, mereka ini tidak mendapat tempat di cawangan atau mungkin borang keahlian mereka hilang di tengah jalan.

Makanya, saya menyeru agar ahli-ahli UMNO menyegarkan kembali budaya khidmat dan ke-sukarelawanan dalam parti. Ikhlaskanlah diri untuk menumpah bakti dan jasa tanpa disuruh-suruh demi kepentingan parti dan rakyat Malaysia. Sesungguhnya Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang dilimpah kurnia serta kelebihan oleh Allah SWT, dalam kehidupan masing-masing, sewajarnya kembali menyumbang kepada masyarakat. Barulah nanti akan datangnya keberkatan dalam berparti dan dirahmati oleh Allah S.W.T. Seperti kata lagu, berkorban apa saja, harta ataupun nyawa, itulah perjuangan sebenar, sejati dan mulia.

Berkaitan hal yang tersebut juga, untuk menjadi parti yang berjaya, kita tidak boleh terpisah daripada arus pemikiran dan aspirasi rakyat. Kini, rakyat mahukan parti dan kerajaan memahami kehendak mereka dan mereka mahu lebih dirundingi dan didampingi secara langsung. Realitinya, rakyat mahukan pandangan mereka diambil kira dalam menentukan hala tuju negara.

Untuk itu, kita mesti meneruskan proses islah dan menzahirkan perubahan-perubahan yang sesuai dengan masa. Kita mesti dikenali sebagai parti yang bukan sekadar mampu melakar perubahan tetapi berupaya pula menzahirkan perubahan itu.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

Menuju ke arah ini, pertamanya, UMNO telah bertindak berani meminda perlembagaan parti untuk menjadikannya lebih telus, inklusif dan demokratik. Nampaknya, langkah kita telah menyebabkan pihak-pihak tertentu melatah, hingga ada yang tanpa segan silu cuba meniru dan sekonyong-konyong meminda perlembagaan parti mereka, sekalipun, tanpa perincian yang rapi. Inilah tembelang, aliran dan gaya sebenar mereka, suka membuat janji umum yang tidak pula ada susulan tertentu.

Berbanding pindaan yang kita lakukan ini, bukan sekadar bersifat kosmetik mahu pun tempel-tempelan, sebaliknya ia merupakan perubahan secara tuntas dan signifikan. Ia akan meluaskan bilangan ahli yang terlibat sama secara langsung untuk memilih kepimpinan parti. Ia membabitkan anjakan angka daripada sejumlah 2500 perwakilan kepada lebih 146000 orang. Inilah petanda, bahawa semangat demokrasi hidup segar dan hidup subur dalam UMNO. Nyatanya, tidak ada mana-mana parti politik di Malaysia yang berani bertindak sedemikian rupa.

Keduanya, berkaitan dengan cara parti memilih calon. KPI atau Petunjuk Prestasi Utama termustahak bagi sesebuah parti politik ialah untuk memenangi pilihanraya dan membentuk kerajaan yang kuat serta stabil. Dalam memenuhi maksud ini, kita perlu mencari calon yang betul. Untuk itu, kita akan mengubah kriteria menentukan calon.

Maknanya, dalam memilih calon, individu itu perlulah seseorang yang diterima masyarakat tempatan disamping mempunyai kualiti untuk berkhidmat kepada tiga peringkat penting, yakni, peringkat rakyat, peringkat parti dan peringkat negara. Pada analisa akhir, inilah calon yang dikehendaki rakyat dan akan memenangi pilihanraya.

Ketiganya, budaya berparti dalam UMNO haruslah bersifat inklusif dan bukannya insular atau, terpulau. Lebih banyak program penataran yakni outreach harus dilaksanakan. Dalam konteks ini, seperkara yang harus diingat, ia tidak seharusnya terbatas kepada ahli UMNO semata-mata bahkan hendaklah melebarluas kepada semua orang Melayu dan bukan Melayu.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

Sebagai rentetan daripada ucapan saya tadi, jika ditoleh sejarah, semenjak mula para patriot memperjuangkan kemerdekaan tanah air hingga ke hari ini, usaha mencapai perpaduan nasional, telah, sedang, dan tetap menjadi prioriti utama. Ini kerana, semua pihak sedar bahawa tanpa perpaduan yang mantap dan jitu, tidak mungkin segala matlamat dan wawasan nasional akan dapat diterjemahkan.

Kerana itulah pentadbiran kerajaan telah memperkenalkan gagasan 1Malaysia. Sesungguhnya, 1Malaysia bukanlah konsep atau formula baru. Sebaliknya, matlamat akhir 1Malaysia iaitu perpaduan nasional juga merupakan wawasan utama pemimpin-pemimpin UMNO terdahulu, yang diterjemahkan dalam pelbagai rupa bentuk jelmaan prakarsa sepanjang lebih lima dekad.

Konsep 1Malaysia ini ditiangi oleh beberapa teras utama, antaranya, penghijrahan daripada perpaduan yang berpaksikan toleransi kepada yang berlandaskan penerimaan, keadilan sosial dan nilai-nilai dikongsi bersama yang mengambil kira realiti sejarah berpandukan keluhuran perlembagaan serta prinsip rukun negara.

Wajarlah saya pertegaskan di sini bahawa konsep 1Malaysia tidak sekali kali menyimpang daripada ruh Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang negara sama ada secara tersurat atau secara tersirat. Malah, kita kekal menjunjung kesemua peruntukan teras seperti perkara 3, perkara 4, perkara 152, perkara 153, bahagian 2 dan bahagian 3 seperti ditintakan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Oleh yang demikian, janganlah mana-mana pihak berasa gundah gulana atau menaruh syak jua bimbang bahawa konsep ini akan terpesong dari apa yang telah dipersetujui dan dimuafakatkan oleh bapa-bapa kita suatu ketika yang lalu. Sesungguhnya matlamat akhir 1Malaysia adalah untuk meraikan kemajmukan dan kepelbagaian kita di Malaysia sebagai senjata dan kekuatan demi kemajuan bersama.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

Pokok pangkalnya, UMNO harus kekal menjunjung tradisi perjuangan. Oleh kerana itulah, UMNO akan terus menjuarai soal kebajikan dan periuk nasi semua rakyat. Saya mahukan gerak kerja parti selari dengan tuntutan zaman. UMNO tidak boleh lagi kelihatan sebagai parti yang hanya dilihat condong kepada satu-satu pihak sahaja. Sebagai tonggak parti pemerintah, kita tidak mampu ditanggap hanya sebagai, bertumpu kepada inisiatif niaga besar-besaran atau projek mega semata-mata, tetapi sebaliknya kita mesti menjadi parti yang menjuarai rakyat.

Khidmat UMNO harus merata. Kita akan tetap menjadi parti yang pro kepada pertumbuhan ekonomi berdaya tahan, pengagihan kekayaan yang adil, jaringan keselamatan sosial menyeluruh dan kos hidup terkawal.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

Kesimpulannya, UMNO adalah sebuah parti massa yang lahir menjunjung aspirasi akar umbi bangsa untuk menebus maruah yang tergadai. Sejarah telah menunjukkan apabila UMNO dekat dengan rakyat, apabila UMNO menyelami denyut nadi mereka, maka rakyat akan memberikan sokongan kepada UMNO. Itulah sebabnya pabila UMNO mempelopori penubuhan FELDA, MARA, TABUNG HAJI, LPP, LKIM dan lain-lain agensi yang bermatlamat untuk meningkatkan taraf hidup rakyat, kita dijulang menjadi parti yang kuat.

Oleh kerana itulah, tanpa kunjung jemu, UMNO meneruskan tradisi membela rakyat. Bagi tahun 2009 sahaja, kerajaan yang diterajui UMNO telah memperuntukkan sebanyak RM22 billion untuk membiayai pelbagai subsidi, insentif dan bantuan bagi meringankan beban yang ditanggung rakyat. Perkara ini mampu dilakukan kerana kita telah mengurus kewangan dengan baik tanpa perlu menaik mahupun mengenakan cukai tambahan.

Dari itu, janganlah kita mudah terpesona dan terpukau dengan pihak pembangkang semata-mata kerana, air percuma dan sedikit kenaikan elaun. Setidak-tidaknya ingatlah sedikit, akan jasa-jasa kerajaan pimpinan UMNO yang telah berbudi selama puluhan tahun. Kata orang, janganlah kerana kemarau sehari, rezeki hujan yang setahun sudah dilupakan.

Faktanya, secara sedar atau tidak, sudah banyak yang pihak kerajaan lakukan demi kesejahteraan hidup rakyat. Misalnya, di bawah sektor pengangkutan dan tenaga, kerajaan telahpun menyediakan subsidi sebanyak RM9 bilion untuk petrol, LPG dan diesel; RM 2 Bilion untuk program rebet tunai, lebih RM 600 juta untuk pampasan tol; RM150 juta untuk kadar elektrik dan RM45 juta lagi untuk pengangkutan udara luar bandar serta rel pantai timur.

Berkaitan hal yang tersebut juga, kita adalah kerajaan yang empati dan prihatin dengan keadaan sebenar hidup seharian rakyat, bukan sahaja di desa, sementelahan juga kehidupan rakyat di kota kerana ada antaranya yang masih kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Pokoknya, rakyat berasa lega bahawa mereka tidak sendirian dalam keluh kesah tentang makan pakai, kos sewa rumah mereka, susu dan kain lampin anak, membawa kepada perbelanjaan pengangkutan seharian yang ditanggung.

Apa yang pasti kerajaan faham dan maklum isu ini. Misalannya, di bawah sektor pertanian dan makanan, sejumlah hampir RM600 juta diperuntukkan untuk subsidi padi, RM400 juta untuk beras, RM375 juta untuk gula; RM275 juta untuk baja, RM210 juta untuk tepung gandum; dan RM89 juta untuk roti.

Selanjutnya, menyedari kepentingan pendidikan dan ilmu pengetahuan sebagai kandil generasi masa depan, sejumlah RM2 bilion lagi telah diagih-agihkan dalam bentuk bantuan kepada pelajar sekolah terutamanya untuk projek pelajar miskin. RM411 juta pula untuk bantuan pelajar IPTA ; RM374 juta untuk guru atau penyelia KAFA, tidak ditinggalkan elaun guru takmir termasuk elaun imam serta elaun ketua-ketua kampung. Sebahagian lagi yakni RM 159 juta untuk kanak-kanak prasekolah dan RM36 juta pula diperuntukkan untuk masyarakat orang asli.

Tidak dilupakan sebanyak RM850 juta lagi untuk menyediakan jaringan keselamatan khusus kepada keluarga miskin, orang kurang upaya dan warga emas. Selain itu, dari bulan November 97 hingga bulan Ogos 2009, kerajaan melalui PTPTN telah mengeluarkan lebih RM19 bilion kepada 1.4 juta peminjam terdiri daripada pelajar-pelajar IPTA dan IPTS dengan ujarah yang sangat rendah. Bersyukurlah kita atas kesemuanya ini.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan sekalian,

Sejak pasca pilihanraya ke 12, musuh-musuh politik UMNO telah mula meramalkan kejatuhan parti keramat ini. Hatta banyak pihak yang tidak sabar untuk me-nalqin-kan UMNO. Kata mereka, UMNO sudah nazak dan hanya menanti waktu. Sebenarnya ini bukan kali pertama perkara ini berlaku. Jangkaan ini juga dibuat apabila Parti Kemerdekaan Tanah Melayu dan Parti Islam seMalaya tertubuh akibat perpecahan dalam UMNO.

Telahan juga dilontar selepas tragedi 13 Mei 1969 apabila kerajaan Perikatan kehilangan majoriti dua pertiga di mana banyak pemuka-pemuka UMNO tewas dan kecundang. Andaian sebegini juga dibuat selepas pemilihan UMNO 1987 dan kemudiannya apabila terbentuk Parti Melayu Semangat 46. Ia juga dicanang dengan kencang di pilihanraya umum 1999. Kendatipun begitu, Alhamdulillah setiap kali ramalan ini timbul UMNO bangkit kembali sebagai organisasi yang lebih kuat dan berpadu.

Merujuk keputusan pilihanraya umum ke-12, rakyat telah memberi mesej yang jelas kepada kita. Justeru, kita sedar dan insaf. Kita tahu rakyat masih sayangkan UMNO. Apa yang mereka inginkan hanyalah, agar UMNO berubah. Nyatanya, kita mendengar hasrat rakyat ini. Kita akan berubah.

Apa yang pasti, kelangsungan parti begitu penting, bukan untuk pemimpin-pemimpin UMNO tetapi untuk bangsa, agama, negara dan rakyat seluruhnya. Hakikatnya, setiap generasi kepimpinan UMNO menghadapi cabaran yang tersendiri sesuai dengan masa dan zaman. Alhamdullilah, setiap cabaran berjaya diatasi dengan perpaduan dan semangat yang kental. Sememangnya pun, penubuhan UMNO merupakan hasil doa para ulamak, pendidik, petani, nelayan, peniaga dan para mus-tada-a-fin serta rakyat keseluruhannya yang mahukan kebebasan bermaruah.

Kata orang, jika kita bersatu hati, bersatu tekad dan membulatkan usaha, maka kita akan berupaya bersama-sama mendaki kemuncak yang paling tinggi menuruni cerun yang paling curam dan menyelami lautan yang paling dalam.

Bahkan, sejarah menjadi saksi, orang-orang UMNO tidak pernah gagal melakukan sesuatu tindakan hanya kerana ianya sukar. Sebaliknya, kita telah berjaya, menggapai apa yang mustahil dengan berbekalkan semangat.

Siapa sangka bangsa yang pernah dimomok-momokkan sebagai lemah dan tidak bersedia untuk bebas kendiri telah berjaya merebut kemerdekaan dari kuasa besar dunia, bukan dengan jalan hujung senjata tetapi menggunakan akal dan hujung lidah, berdiplomasi serta berunding dengan Inggeris. Siapa sangka bangsa ini kemudiannya berjaya mengisi erti kemerdekaan tersebut sehingga Malaysia muncul sebagai negara membangun yang termaju di dunia.

Tuan-Tuan dan Puan-puan sekalian,

Sesungguhnya, amanah besar ini tidak boleh dipikul oleh seorang. Ia perlu dijinjing oleh satu jemaah, satu barisan yang tersusun rapi. Oleh itu, saya menyeru dan mengajak kepada Timbalan Presiden, kepada Naib-Naib Presiden, Ketua Wanita, Ketua Pemuda, Ketua Puteri, kepada saf kepimpinan yang berada di atas, pejuang-pejuang UMNO di bawah, pejuang-pejuang UMNO di bahagian, pendokong-pendokong UMNO di cawangan, seluruh warga UMNO yang baru dan yang lama, di kota dan di desa, bangkitlah semua bersama-sama saya. Rapatkanlah barisan. Sahutlah panggilan. Marilah kita martabatkan warisan ini.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

Yakinlah, perjuangan kita adalah perjuangan yang betul, yakinlah, perjuangan kita adalah perjuangan yang haq. Kitalah, UMNO, satu-satunya parti yang membawa obor harapan dan mampu meneroka masa depan penuh gilang-gemilang.

Walau apa pun dugaan, walau apa pun rintangan, bersama segunung harapan, perjalanan ini kita teruskan, bersama menggenggam keyakinan, segala impian pasti dilunaskan, setitik dijadikan laut, segumpal dijadikan gunung.

Tradisi tetap kita junjung, perubahan tetap kita zahirkan.

Kendati tergantung awan di langit,

Telah terlanjur kubentangkan layar,

Walau badai datang menggulung,

Walau berdentum guruh dilangit,

Walau bumi berkeping dua, tak kan mungkin ku-berbalik haluan.

Hidup UMNO! Hidup Melayu!

Wabillahi Taufik Walhidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

1 Comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Teks Ucapan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Di Persimpangan Jalan Perjuangan

Yang Berbahagia Dato¡¦ Pengerusi Tetap,

Yang Berbahagia Timbalan Pengerusi Tetap,

Wakil-wakil Majlis Tertinggi

– Yang Amat Berhormat Dato¡¦ Seri Dr Zambry Abdul Kadir

– Yang Berhormat Dato¡¦ Sri Ismail Sabri Yaakob

– Yang Berbahagia Dato¡¦ Abdul Azeez Abdul Rahim

Yang Berhormat Dato¡¦ Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia

Ahli-ahli Jawatankuasa Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia

Ketua-ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri

Para Perwakilan dan Pemerhati

1. Alhamdulillah, segala puji bagi Tuhan Penguasa Semesta Alam, kerana dengan rahmat dan izin-Nya, Pergerakan Pemuda sekali lagi dapat berkumpul di pagi yang penuh keberkatan ini bagi menunaikan kewajipan kita sepertimana yang termaktub dalam Perlembagaan Parti.

2. Bertepatan dengan suasana Syawal, saya dan seluruh kepimpinan Pemuda peringkat nasional dan negeri mengucapkan selamat menyambut Hari Raya dan memohon maaf zahir dan batin kepada semua pihak, sekiranya ada tersilap kata atau terlanjur laku. Atas itu, saya secara peribadinya, sekali lagi menyusun sepuluh jari memohon ampun dan maaf atas segala salah dan silap selama ini. Sesungguhnya, inilah peluang dan ketika yang terbaik, untuk kita merapatkan saf, membuang yang keruh dan mengambil yang jernih, serta saling maaf-memaafi bagi kita semua bergerak ke hadapan untuk berbakti pada nusa dan bangsa.

Banyak masa antara masa

Tiada tandingan saatnya ini

Jari disusun maaf dipinta

Teguh ikatan seikhlas hati

3. Pada majlis yang penuh mulia ini juga, izinkan saya mewakili seluruh ahli Pergerakan Pemuda, secara rasminya merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada mantan Presiden, YABhg Tun Abdullah Hj Ahmad Badawi serta bekas Ketua kita, YB Dato¡¦ Seri Hishammuddin Tun Hussein, atas jasa dan sumbangan mereka – bukan sahaja sebagai pemimpin dan payung bagi kita, namun juga selaku insan berjiwa besar yang telah menyerahkan tampuk kedudukan kepada generasi baru.

Kalau ada si bunga rampai

Kirimkan saya buat penyeri

Jasa tuan tidak ternilai

Seluruh alam menjadi saksi

Saudara Perwakilan Sekelian,

4. Kehadiran saudara pada hari ini pastinya dengan semangat dan komitmen yang jitu kepada perjuangan parti. Sewajarnya, kita menginsafi bahawa kita, insan yang serba kerdil ini telah diberikan amanah dan tanggungjawab sebagai pemimpin dan juga wakil di dewan yang mulia ini. Hadirnya jasad dan roh kita bukan atas nama individu dengan kepentingan diri sendiri. Hadirnya kita di sini adalah bernawaitukan kepada Allah SWT, bagi mendukung dan memperkasakan institusi UMNO serta Pemuda UMNO yang telah menjadi wadah pembangunan bangsa dan negara – yang berjaya merentasi pelbagai ombak dan badai rintangan dalam mengharungi zaman dan sejarah.

5. Komitmen dan istiqamah terhadap perjuangan ini sememangnya terpahat kukuh atas landasan dan asas agama. Kita diingatkan oleh Allah SWT tentang istiqamah dan pentingnya kita berpegang kepada tali agama dan perpaduan.

Allah SWT juga berfirman dalam Surah Al Maidah, ayat 2:

¡§¡Kdan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan taqwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa dan pencerobohan dan bertaqwalah kepada Allah kerana sesungguhnya Allah maha berat azab seksa-Nya.¡¨

6. Sepanjang enam puluh tahun, Pergerakan Pemuda dihimpunkan dalam satu jemaah atas kesedaran ini. Allah SWT tidak menyatukan kita untuk melakukan perkara yang mungkar, membawa kerosakan dan kepincangan kepada bumi dan bangsa. Kita disatu dan disepakatkan melalui proses politik untuk berbakti dan mencurah amal kebajikan kepada umat dan watan kita, menyempurnakan satu ibadah sebagaimana firman Allah SWT di dalam Surah Az Zariyat, ayat 56:

¡§Tidak aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepada-Ku¡¨

7. Tujuan kita berpolitik mestilah berpaksi kepada kesedaran murni ini. Inilah medan dan ladang bagi kita menyemai amal dengan perjuangan duniawi melalui dimensi dan proses politik. Inilah jua makna dan sumber kemuliaan perjuangan kita dalam membela, mempertahan dan memajukan agama, bangsa dan tanahair.

Sidang perwakilan yang saya hormati sekalian,

8. Kita sebenarnya berada di persimpangan jalan yang cukup penting dalam perjuangan Pemuda UMNO. Pilihan yang kita ambil akan menentukan jatuh bangun parti menjelang cabaran paling besar dalam sejarah kita. Pilihanraya Umum ke-13 (PRU-13) adalah pertarungan survival bagi UMNO dan Barisan Nasional. Pakatan Pembangkang akan cuba memberi pukulan maut kepada kita setelah berjaya menafikan majoriti dua pertiga di Parlimen dan menang di lima negeri pada pilihanraya yang lepas. UMNO dan BN hanya ada tiga tahun untuk membuktikan kepada rakyat bahawa kita masih merupakan pemimpin dan pentadbir yang terbaik untuk negara ¡V yang mampu memenuhi aspirasi rakyat.

9. Cabaran sekarang memerlukan kebijaksanaan untuk kita mengurus persekitaran politik yang jauh berbeza daripada kebiasaan sebelum ini. Kita berhadapan dengan pengundi yang lebih berpendidikan dan terdedah kepada dunia. Mereka lebih mudah membuat perbandingan akan tahap pencapaian dan amalan politik di Malaysia dengan negara-negara lain. Ramai daripada kumpulan ini merupakan generasi muda ¡V hampir tujuh juta dari pengundi pada PRU-13 nanti terdiri daripada pengundi muda. Generasi ini tidak boleh dipaksa untuk menyokong kita dengan hujah bahawa mereka patut berterima kasih dan bersyukur kepada UMNO dan BN. Pendekatan tersebut mungkin boleh digunapakai dahulu tetapi bagi generasi muda sekarang mereka mahu tahu apa yang boleh UMNO dan BN laksanakan dan bukan apa yang telah serta pernah dilaksanakan.

10. Yang pasti, lanskap politik tanahair amat berlainan dengan aliran maklumat yang bebas samada melalui media masa atau media baru. Pemodenan negara dengan infrastruktur canggih seperti jalur lebar dan telekomunikasi mudah alih bukan hanya meningkatkan produktiviti ekonomi negara tetapi juga memberi kesan kepada kesedaran dan kematangan politik rakyat.

11. Inilah persekitaran terkini ¡V lebih bebas, terbuka, muda, terdidik dan kosmopolitan. Kaedah berpolitik di abad ke 21 ini menuntut kepada perubahan sepertimana perubahan zaman yang telah berlaku. Persekitaran yang mencabar ini dan masa yang teramat suntuk menuntut kita untuk bergerak sepanjang waktu, tanpa noktah, tanpa rehat kerana survival kita bergantung kepada keputusan PRU-13 nanti.

12. Atas kesedaran tersebut, walaupun baru enam bulan berlalu sejak pemilihan pimpinan Pemuda dilangsungkan, Pergerakan Pemuda telah memulakan gerak kerja ke arah peremajaan dan pemulihan parti. Barisan Exco dan kepimpinan negeri telah bermukim di Khemah Kerja Perdana di Janda Baik pada bulan April yang lalu, lantas kita muncul seia sekata dengan satu hati dan satu misi.

13. Selari dengan cabaran politik kini, Pemuda telah mengambil pendekatan yang menyeluruh dengan menyusun barisan Exco dan Sekretariatnya agar menjadi lebih responsif dan menjangkau kesemua segmen sasaran generasi muda. Ini meliputi rentasan geografi serta lapisan masyarakat seperti pekerja muda dan profesional muda di bandar dan di luar bandar, di bangku sekolah hingga ke universiti dan kolej.

14. Semua ini merupakan contoh bagaimana Pemuda akan bergerak bagi memenangi hati orang muda. Kita tidak boleh bergantung kepada retorik kosong politik. Jangan kita menjadi singa sarkas, yang mengaum tanpa sebab. Retorik mungkin mampu menarik liputan media buat seketika, tetapi untuk kita menarik sokongan rakyat biarlah kita tertumpu kepada usaha yang betul-betul menyentuh nasib rakyat dan isu-isu kebajikan mereka seperti malapetaka, musibah, kemiskinan, keselamatan, kesihatan, pendidikan dan perumahan.

15. Generasi muda juga mengharapkan kepimpinan fikiran atau thought leadership dari Pemuda UMNO ¡V dan saya cukup bangga sebab dalam beberapa ruang debat, pentas ceramah dan forum TV serta medan-medan lain, Pemuda berada di barisan hadapan mewakili UMNO dan BN.

16. Ada tanda-tanda awal menunjukkan keberkesanan pendekatan ini, dengan penerimaan orang muda terhadap UMNO dan BN kembali meningkat. Daripada data keputusan pilihanraya kecil setakat ini, berkat usaha gigih saudara-saudara sekalian, di Manek Urai, sokongan orang muda telah meningkat di semua saluran manakala di Bagan Pinang minggu lepas, ia semakin jelas dengan bukan sahaja peningkatan malahan kemenangan BN. Siapa kata orang muda makin menjauhkan diri daripada perjuangan kita? Kemenangan kita baru-baru ini memberi semangat bahawa UMNO masih relevan dan mampu terus menjadi wadah perjuangan umat Melayu, terutamanya generasi muda.

17. Namun begitu, kita tidak boleh leka dan lalai. Anggaplah pencapaian permulaan ini sebagai satu rangsangan. Bahawa dengan strategi yang tepat dan gerakan yang menepati citarasa golongan belia, pengundi muda yang dikatakan begitu sukar untuk ditawan, sebenarnya boleh dimenangi. Pemuda UMNO dipertanggungjawabkan terhadap segmen ini, menarik sokongan mereka kepada BN, kerana kitalah yang merupakan titik sentuhan utama mereka dengan parti.

18. Justeru, Pemuda perlu melakukan transformasi generasi dalam pendekatan kita. Menyedari keperluan ini, saya telah memperkenalkan Rukun Pemuda sebagai asas kepada transformasi kita. Lima rukun ini, iaitu bersatu, berprinsip, inklusif, relevan dan proaktif, menggariskan satu falsafah kerja yang baru serta meletakkan garis panduan kepada pergerakan kita untuk mencapai matlamat kemenangan sokongan generasi muda.

19. Bersatu bermaksud bahawa asas kekuatan kita adalah perpaduan dan gerak kerja berpasukan, membariskan semua ahli Pemuda dalam saf perjuangan yang kukuh. Berprinsip pula bermakna bahawa Pemuda tetap berpegang teguh kepada perjuangan asas UMNO bagi menegak, mempertahan dan memartabatkan agama, bangsa dan tanah air. Inklusif pula bermakna aktiviti dan program kita menjangkau parti dan merentasi perbezaan agama dan bangsa. Relevan membawa maksud bahawa segala program, medium penyampaian, gaya bahasa dan saluran maklumat hendaklah menepati citarasa golongan yang disasarkan. Akhir sekali, Proaktif merupakan piawaian budaya kerja di mana segala perancangan dan tindakan hendaklah dibuat tanpa menunggu arahan terutama dalam hal ehwal kebajikan rakyat sebelum ia menjadi kronik hingga dieksploitasi oleh pembangkang.

Saudara Perwakilan Sekalian,

20. Berlandaskan Rukun Pemuda inilah, kita akan menyahut semangat 1Malaysia yang mementingkan prestasi demi rakyat. Justeru, saya mencadangkan agar satu set penanda aras dibentuk untuk menjadi garis panduan gerak kerja Pemuda. Bukan sekadar itu, set penanda aras ini akan membantu kita melihat dan menilai rekod pencapaian pemimpin dan ahli Pemuda.

21. Penanda aras yang perlu kita terapkan adalah seperti berikut:

[i] Meningkatkan keahlian UMNO, khasnya keahlian baru golongan muda yang menyertai parti;

[ii] Mendaftarkan ahli-ahli UMNO sebagai pengundi di kawasan masing-masing;

[iii] Menjalin hubungan antara Pemuda UMNO bersama golongan-golongan yang berpengaruh dalam menjana perspektif generasi muda, atau opinion-shapers, seperti kumpulan cendekiawan, profesional muda, penulis-penulis muda, tokoh-tokoh agama dan golongan pendidik;

[iv] Memenangi perang mesej atau perang saraf, terutamanya di alam siber yang menjadi platform komunikasi politik masa kini;

[v] Dan penanda aras yang terakhir, yang paling penting untuk menilai prestasi Pemuda UMNO, adalah menambahkan undi golongan muda kepada BN, sekaligus memenangi undi saluran-saluran muda dalam pilihanraya.

22. Set penanda aras ini selari dengan transformasi UMNO untuk menyegar dan meremajakan lagi parti.

Saudara Perwakilan Sekalian,

23. Antara usaha penting yang juga dilakukan adalah pindaan Perlembagaan parti, supaya lebih sesuai dengan kehendak ahli UMNO, sepertimana yang telah disebut oleh YAB Presiden semasa Perhimpunan Agung yang lalu.

24. Pemuda menyambut baik usaha yang telah dirintis oleh YB Dato¡¦ Sri Hishammuddin Tun Hussein, selaku Pengerusi Jawatankuasa Pindaan Perlembagaan, yang telah mencadangkan beberapa perubahan berdasarkan kepada premis untuk menghak-upayakan lebih ramai lagi ahli UMNO menentukan barisan kepimpinan tertinggi parti. Ia juga memudahkan ahli bertanding tanpa sekatan, menjadikan UMNO lebih inklusif dan memudahkan proses menjadi ahli.

25. Secara keseluruhannya, Pemuda menyokong penuh cadangan pindaan Perlembagaan parti yang akan dibentangkan dalam Perhimpunan Agung Khas, esok. Pemuda juga meletakkan harapan supaya segala pindaan tersebut akan diterima kerana ia secara langsung memberi pengiktirafan khusus kepada orang muda. Saya tidak sekali-kali lupa bahawa di cawangan-cawangan serata negara-lah, jiwa perjuangan UMNO mula disemai di kalangan anak muda. Atas kesedaran itulah, sukacita saya melaporkan kepada saudara-saudara sekalian, satu usul penting yang akan dibentangkan esok ¡V yang perlu disokong oleh kita semua; iaitu usul bagi mengiktiraf Ketua Pemuda Cawangan sebagai perwakilan automatik ke Mesyuarat Perwakilan Bahagian. Bila Pemuda akar umbi bersuara, Pemuda negara diperkasa.

26. Pindaan perlembagaan juga membawa perubahan besar kepada parti di mana proses pemilihan jawatan tertinggi akan dibuat di peringkat bahagian dan tidak lagi terbatas kepada perwakilan di peringkat perhimpunan agung. Ini bermakna dari hanya 2,600 perwakilan yang menentukan kepimpinan parti selama ini, lebih dari 140,000 ahli akan diberi hak sedemikian.

27. Pemuda menganggap pindaan ini tepat pada waktunya dan berharap ia merupakan satu langkah permulaan bagi lebih mencerminkan profil UMNO sebagai parti akar umbi yang terbuka dan demokratik. Oleh itu, adalah menjadi harapan Pemuda, sekiranya sistem baru ini berjalan dengan lancar agar akhirnya satu hari nanti kuasa pemilihan ini diberi kepada kesemua tiga juta ahli UMNO. Satu Ahli, Satu Undi. Inilah nilai keahlian yang sebenar dengan memberikan hak dan kuasa kepada setiap ahli untuk menentukan kepimpinan parti ¡V satu hak yang penting dan paling asas dalam politik.

28. Satu lagi perkara penting yang memberi kesan besar kepada Pemuda dan proses peremajaan parti adalah dalam perkara keahlian. Sebelum ini kita dengar banyak rungutan tentang kesukaran untuk menjadi ahli UMNO, terutamanya bagi generasi muda yang ingin berjuang bersama Pemuda. Dengan lulusnya pindaan Perlembagaan pada hari esok, permohonan untuk mendaftar sebagai ahli boleh diterima dan ditandatangani bukan hanya oleh Ketua Cawangan tetapi juga oleh Ketua Pemuda Cawangan. Dari itu saudara-saudara, jangan kita sia-siakan kuasa yang telah diberikan ini. Marilah kita melipat gandakan usaha dan tekad dalam memenangi hati orang muda di luar sana untuk bersama kita. Maka, saya menyeru agar saudara-saudara semua memberikan sokongan padu kepada cadangan pindaan yang akan dibentangkan esok.

Saudara Perwakilan Sekalian,

29. Pindaan Perlembagaan parti yang akan dibentangkan nanti adalah berkait dengan generasi muda yang menjadi ahli UMNO. Oleh itu, sewajarnya kita sebagai sebuah parti yang bersifat inklusif kepada semua, mencari jalan memperjuangkan kepentingan semua golongan muda baik di dalam mahupun di luar parti. Inilah tafsiran mesra rakyat yang diperjuangkan oleh Pemuda UMNO.

30. Masalah orang muda hari ini terutamanya bagi yang berhijrah ke bandar adalah peluang pekerjaan yang tidak menentu, kemudahan perumahan yang tidak terancang dan kurang penglibatan sivik. Tidak dinafikan, ramai dikalangan mereka mendapat peluang pendidikan yang disediakan oleh Kerajaan sehingga memiliki ijazah, diploma atau sekurang-kurangnya sijil. Namun, apabila mereka gagal memperoleh peluang pekerjaan dan menganggur, sering kali kita mendengar dakwaan yang menyalahkan orang muda – tidak cukup bijak, tidak fasih berkomunikasi dan tidak berkeyakinan. Ini menuntut kita mencari jalan penyelesaian kepada permasalahan mereka.

31. Oleh itu, Pemuda ingin memohon beberapa langkah mesra kepada golongan muda dipertimbangkan oleh Kerajaan menjelang pembentangan Bajet 2010. Kita berharap Kerajaan boleh mempertimbangkan beberapa inisiatif khas untuk generasi muda sebagai salah satu daripada teras utama dalam Bajet akan datang yang antara lainnya, meliputi:

[i] Peluang perkerjaan yang lebih luas serta berkualiti tinggi terutamanya di sektor-sektor strategik seperti perkhidmatan, teknologi maklumat dan bio-teknologi;

[ii] Peluang latihan sepanjang hayat untuk meningkatkan kemahiran seperti penguasaan bahasa-bahasa antarabangsa dan teknologi terkini;

[iii] Pinjaman khas untuk usahawan muda, terutamanya bagi mengatasi halangan modal perniagaan di peringkat start-up atau permulaan serta bagi menggalakkan penyertaan mereka di sektor-sektor baru yang berteknologi tinggi dan mempunyai nilai tambah kepada ekonomi;

[iv] Sokongan bagi gerak kerja sukarelawan dan pembangunan kebajikan komuniti; serta

[v] Menambahkan lagi peluang pekerjaan untuk pelajar lepasan aliran teknikal dan vokasional.

32. Pada masa yang sama, Pemuda juga prihatin kepada nasib golongan muda yang baru sahaja memulakan hidup berkeluarga, yang baru sahaja bekerja dan mempunyai pelbagai tanggungan, termasuklah membantu ibubapa dan membayar pinjaman pendidikan. Oleh itu, Pemuda mencadangkan inisiatif ini diberi perhatian oleh Kerajaan:-

[i] Menubuhkan tabung untuk pinjaman perumahan dengan kadar faedah yang terendah untuk beberapa tahun pertama agar orang muda yang baru berkahwin mampu memiliki rumah;

[ii] Memberi diskaun istimewa untuk kereta nasional kepada mereka yang mempunyai anak pertama dan baru hendak memiliki kereta;

[iii] Memperuntukkan RM200 bagi anak pertama setiap keluarga sebagai simpanan permulaan Tabung Skim Simpanan Pendidikan Nasional; dan

[iv] Menawarkan baucer membeli barangan keperluan asas bayi seperti susu dan lampin.

33. Pemuda berharap Kerajaan dapat menimbang dan memberi perhatian kepada cadangan-cadangan ini. Pemuda percaya bahawa dengan gerak kerja dan khidmat yang berterusan, insya-Allah BN akan dapat memenangi hati dan sokongan generasi muda yang merupakan aset dan harapan negara kita.

Saudara Para Perwakilan Sekalian,

34. Rakyat kini dihidangkan dengan pilihan antara gagasan yang membangunkan negara sejak sekian lama, yakni Barisan Nasional, atau pakatan pembangkang yang terus menerus memecahbelahkan rakyat. Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk mendedahkan siapa sebenarnya pakatan pembangkang ini. Bahawa mereka bukannya sebuah parti politik yang tulen ¡V bahawa perhubungan mereka bukannya berteraskan ikatan yang sah atas prinsip yang sama. Apa yang sebenarnya wujud hanyalah satu perhubungan rambang dan kasual, tanpa prinsip moral, tanpa cinta sejati, tanpa hormat-menghormati. Satu pakatan yang sanggup tidur sekatil demi mimpi untuk ke Putrajaya, satu pakatan yang bernafas atas nafsu untuk menjatuhkan Kerajaan Barisan Nasional.

Anak Batak mudik bergalah

Digigit nyamuk habis lebam

Pakatan retak menanti belah

Remuk di dalam dipendam-pendam

Batang cempedak pohon pedada

Buah peria di dalam dulang

Pakatan pembangkang temberang belaka

Janji bak lidah tidak bertulang

Riuh-rendah di pintu muara

Lebai Kassim membuka silat

Pembangkang gian tamakkan kuasa

Batu api perpecahan rakyat

35. Insiden-insiden yang kita lihat semenjak PRU-12 telah membangkitkan sangkaan bahawa tiada setiakawan dan tiada keikhlasan dalam perjuangan pembangkang. Tidak keterlaluan, jika saya nyatakan bahawa di antara mereka, DAP yang paling berkuasa. PAS sudah lari dari asas perjuangan dan menggadaikan prinsip tulen parti tersebut apabila Negara Islam bukan lagi menjadi wawasan utama mereka.

36. PAS tidak lagi garang bersuara, berani mengajar, jauh sekali berani menegur PKR dan DAP tentang pelbagai perkara. PAS tidak lagi sensitif kepada perkara-perkara pokok seperti cadangan menggunakan dana zakat bagi pentadbiran negeri di Selangor. Ini menzahirkan bahawa PAS sanggup tawar menawar dengan DAP hatta menggadai jatidiri dan perjuangan asas mereka demi politik. Kalau begitulah keadaannya, tiada jaminan mereka tidak akan mempertaruh atau menjual negara, sekiranya berkuasa.

37. Kalau DAP yang paling berkuasa, maka kita berhak untuk bertanya: siapa sebenarnya DAP ini? Bertopengkan platform parti berbilang bangsa, tetapi hakikatnya mereka didominasi oleh satu kaum sahaja. Selepas 40 tahun Lim Kit Siang menjadi Ahli Parlimen, pembukaan satu cawangan Melayu DAP bulan lepas digembar-gemburkan seolah-olah satu pencapaian yang cukup hebat. DAP hanya parti berbilang kaum pada namanya sahaja, sedangkan perjuangan sebenar mereka berunsur perkauman yang menyala membara seperti api dalam sekam.

38. PKR pula parti yang tandus ideologi, sekadar berkisar pengagungan seorang individu bernama Anwar Ibrahim. Apa sebenarnya prinsip perjuangan PKR, atau adakah mereka sama seperti DAP yang dahagakan kuasa? Kalau kononnya berjuang atas tiket keadilan dan anti rasuah, lihat sendiri pemimpin kamu itu wahai PKR. Anwar Ibrahim melalaikan masyarakat Malaysia, memanipulasi dan mengulit jiwa mereka dengan kata-kata indah seakan-akan dia-lah pemimpin yang bersih, tulen, berintegriti, dan acap kali menuduh pemimpin UMNO sebagai rasuah, rakus dan rasis.

39. Tetapi Anwar Ibrahim jangan kamu lupa sejarah kamu, kerana kami tidak lupa perbuatan lampau kamu. Apakah semata-mata Anwar Ibrahim beralih menjadi pembangkang, sejarah silamnya, segala dosa lamanya akan lesap begitu saja? Sejarah akan sentiasa membayangi Anwar ke mana sahaja dia pergi dalam arena politik. Mengata dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih.

40. Siapa sebenarnya Anwar Ibrahim? Pejuang rakyat marhaen? Pejuang agama Islam? Pejuang bangsa Melayu? Pejuang hak asasi manusia? Atau apakah Anwar Ibrahim berjuang semata-mata untuk kepentingan peribadi Anwar Ibrahim? Mungkin Anwar telah berjaya dengan helahnya terhadap sebahagian generasi muda yang tidak pernah kenal siapa Anwar yang sebenar ¡V seorang chameleon politik sesumpah yang berubah warna mengikut musim dan ketika melompat dari pohon ke pohon; makhluk pelbagai alam. Tetapi UMNO dan Pemuda UMNO ingat sejarah sebenar Anwar, dan kami akan memastikan Penglipurlara Lidah Bercabang Dua ini tidak akan sekali-kali sampai ke Putrajaya.

Saudara Perwakilan Sekalian,

41. BN ditubuhkan atas dasar persaudaraan dan persefahaman untuk menegakkan Perlembagaan dan asas kewujudan negara. Inilah perkongsian platform yang wujud dalam BN. Tetapi pakatan pembangkang tidak mempunyai sebarang persefahaman bersama melainkan nafsu untuk merampas Kerajaan ¡V itupun kita tidak tahu siapa akan menjadi Perdana Menteri kalau pakatan ini mengambil alih. Malah dalam memilih Kabinet Bayangan, mereka memilih jalan selamat untuk menamakan tiga ahli bagi setiap portfolio kabinet, kerana mereka sebenarnya langsung tidak ada persefahaman dalam perkongsian kuasa, tidak seperti BN yang telah teruji dan terbukti.

42. Pakatan pembangkang tidak berprinsip sepertimana BN, kerana mereka tidak pun berpegang kepada Perlembagaan. Jika tidak, mengapa DAP, misalnya, tidak habis-habis menyerang kedudukan Raja-Raja Melayu, Bahasa Melayu dan Agama Islam dengan dibantu oleh PAS dan PKR yang langsung menolak ke tepi prinsip asas negara?

43. Kita perlu terus mendedahkan taktik kotor pembangkang ini. Kita tidak pernah barang sedetik gentar dengan mereka kerana mereka yang sebenarnya takut dengan kita. Mereka yang takut dengan kepimpinan YAB Dato¡¦ Seri Najib. Mereka tiada idea baru. Dalam ketandusan tersebut mereka amat licik mencucuk rakyat, menyebar fitnah, menimbulkan huru hara, membuat rakyat akhirnya merana. Bak kata pepatah, kita membawa jarum, dia menyambut dengan gunting.

44. Pakatan pembangkang takut tindakan kejam mereka terhadap penduduk Kampung Buah Pala akan diingati rakyat. Mereka takut rakyat menuntut janji RM1,000 kepada setiap anak Selangor yang ditawarkan masuk ke universiti, yang masih tak tertunai. Apatah lagi janji menurunkan 20 peratus cukai pintu yang sampai hari ini belum dilaksanakan walaupun sudah hampir 20 bulan berkuasa. Pokoknya, mereka takut akan kesedaran rakyat yang telah terpedaya dengan segala janji manis, tipu muslihat dan dakyah mereka terburai begitu sahaja.

45. Oleh itu, saudara sekalian, marilah kita bersama-sama bersatu mendedahkan helah dan dakyah pembangkang ini. Mari kita tewaskan mereka dalam permainan politik berbahaya mereka ini, yang sanggup menggadaikan segalanya hanya untuk berkuasa. Jangan kita biarkan Kerajaan Barisan Nasional ditumbangkan oleh satu kumpulan yang sebenarnya saling tindas-menindas, yang sebenarnya tidak ikhlas dalam perjuangan mereka sehingga tidak teragak-agak untuk menghalalkan yang haram, mengiyakan yang palsu, melupakan yang jitu demi mengejar mimpi mereka yang tamakkan kuasa.

Daun mengkudu di atas dulang

Anak udang mati dituba

Negara berpecah pembangkang girang

Demi kuasa dan tamak haloba

Pergi berburu nun ke sempadan

Dapat kancil kongsi bersama
Selagi hayat dikandung badan
Pemuda kekal pertahankan negara

Saudara Perwakilan Sekalian,

46. Sudah terbukti, gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan oleh YAB Presiden telah berjaya memikat hati golongan muda. 1Malaysia merupakan satu konsep yang cocok dan sesuai dengan tuntutan zaman yang dahagakan satu prinsip politik yang berasaskan agenda perpaduan serta pencapaian demi rakyat jelata. Berpandukan semangat 1Malaysia ini, Pemuda perlu berpegang kepada satu misi baru untuk menjadi batu asas kepada perjuangan kontemporari Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia. Misi ini adalah untuk memenangi hati seluruh rakyat Malaysia dan bukan hanya orang Melayu sahaja. Dari segi percakapan kita, perjuangan kita dan strategi politik kita, Pemuda UMNO perlu menerajui misi baru ini supaya kita memberi harapan kepada semua rakyat Malaysia tidak kira kaum, agama dan latar belakang.

47. UMNO sebagai tunjang BN mestilah menunjukkan visi perjuangan yang mengenengahkan mutu kepimpinan kita yang syumul, inklusif lagi nasional. Inilah jalan berani. Jalan berani kerana ia menuntut satu anjakan daripada politik zon selesa berdasarkan perspektif bangsa dan parti kepada satu kesedaran politik yang merangkumi semua.

48. Saya menyebut tentang keberanian juga, kerana kita kini berada di persimpangan jalan perjuangan, yakni satu persimpangan di mana kita boleh memilih untuk kekal dengan cara dan gaya lama. Kita boleh bertempik suara melaungkan semangat Melayu dan memberi amaran kepada kaum-kaum lain supaya jangan mencabar ini dan itu. Pilihan ini mudah dan menjanjikan populariti di dalam parti. Tetapi adakah ini sebenarnya mesej yang dihasratkan oleh rakyat Malaysia, malah orang Melayu sendiri – apatah lagi pada waktu Presiden parti sedang membawa mesej perpaduan dengan gagasan 1Malaysia? Bagi Pemuda UMNO alaf baru, inilah keberanian sebenar ¡V bagi memilih jalan untuk Pemuda menjadi perintis ke arah perpaduan negara melalui semangat 1Malaysia.

49. Ada yang berpendapat biarlah Presiden sahaja yang membawa mesej kenegaraan, tetapi Pemuda UMNO hendaklah meneruskan agenda dan pendekatan lama. Jika kita memilih berbuat demikian, rakyat akan melihat UMNO sebagai parti yang kucar kacir, parti yang hipokrit, tanpa satu ideologi asas yang konsisten untuk rakyat dan pengundi. Kita akan diadili sebagai parti yang cakap tidak serupa bikin, apatah lagi dalam era teknologi yang berupaya mendedahkan sebarang hipokrasi lantas menuntut satu konsistensi mesej di segenap lapisan kepimpinan parti dan Kerajaan. Adakah dalam konteks baru ini kita mahu Presiden parti bercakap mengenai satu perubahan ¡V satu anjakan memecahkan benteng pemisah antara kaum ¡V manakala Pemuda UMNO pula enggan berubah, sebaliknya bertempik melaungkan perkara yang berlainan daripada apa yang diperkatakan oleh Presiden?

50. Pembaharuan ke arah landasan ini tidak bermaksud kita lupa kepada agenda Melayu. UMNO dan Pemuda UMNO tetap akan menjadi pejuang bangsa ¡V mempertahankan agama Islam, kedudukan Raja-Raja Melayu dan Bahasa Melayu. Ini semua perkara asas perjuangan UMNO yang tidak akan sekali-kali luntur dari agenda kita. Namun kita perlu memperjuangkan semua ini berlandaskan dua prinsip, iaitu keadilan dan rahmah, terutamanya dalam hubungan dengan kaum-kaum lain. Kompas perjuangan ini akan menggariskan agenda nasionalis kita, yang bukan berteraskan konsep kekuasaan Melayu atau Malay dominance yang sempit, tetapi kepimpinan Melayu atau Malay leadership yang adil dan rahmah.

51. Sebenarnya, jika diimbas sejarah kepimpinan UMNO dan BN, ternyata sekali prinsip kepimpinan Melayu yang adil dan rahmah sudah pun terpahat dalam realiti politik tanah air. UMNO dan BN telah mempamerkan kemampuan menjaga kebajikan dan kepentingan seluruh warga Malaysia. Contohnya, lihat sahaja pada perjuangan membenteras kemiskinan ¡V agenda ini tidak berlandaskan warna kulit semata-mata, tetapi sebaliknya, dipanjangkan kepada mana-mana golongan kurang bernasib baik. Maka, berbekalkan landasan politik yang dihormati semua, pembaharuan yang diperlukan dalam lanskap masa kini adalah untuk UMNO dan orang Melayu konsisten dalam memantapkan kepimpinan nasional kita untuk semua rakyat Malaysia.

52. Seruan agar segenap masyarakat wajar diberi pembelaan bukan sahaja sesuatu yang dianggap sebagai hak sejagat atau universal right tetapi sebenarnya datang dari agama suci kita sendiri. Kerajaan di bawah pimpinan UMNO sering mengambil inspirasi Islam sebagai landasan kepada dasar negara, seperti prinsip Islam Hadhari yang menjamin hak golongan minoriti dibela. Justeru, tidak salah sekiranya orang Melayu juga memperjuangkan kepentingan warga Malaysia secara keseluruhannya. Malah, apabila kita menghormati pegangan dan agama orang lain, mereka juga akan lebih menghormati kita. Allah SWT berfirman di dalam Surah Al An¡¦am, ayat 108:

¡§Dan janganlah kamu memaki sembahan-sembahan yang mereka sembah selain Allah, kerana mereka nanti akan memaki Allah dengan melampaui batas tanpa pengetahuan¡¨

53. Barangkali ada yang mengungkit adakah kita patut mempertahankan bangsa lain sekiranya mereka mempersoalkan kedudukan kita? Di sinilah kepimpinan kita akan teruji. Sebagai bangsa yang diberi amanah dan penghormatan untuk memimpin, orang Melayu tidak boleh mengikut rentak biasa ¡V sebaliknya kita mesti melaksanakan sesuatu yang mengatasi apa yang biasa. Barulah kita akan berupaya memimpin dan dilihat sebagai pemimpin yang mendapat pengiktirafan lebih menyeluruh. Inilah satu lagi contoh Kepimpinan Melayu yang saya maksudkan ¡V kepimpinan yang adil dan rahmah yang diterima oleh semua.

Saudara Perwakilan sekalian,

54. Pembaharuan ke arah kepimpinan nasional Melayu yang lebih jitu akan boleh dilaksanakan sekiranya orang Melayu sendiri membuat anjakan kepada perjuangan yang berbekalkan keyakinan ketamadunan kita, atau civilisational confidence. Keyakinan ketamadunan ini bermakna kita yakin dengan keupayaan bangsa untuk melangkah ke hadapan, mengukir kejayaan tanpa perlu takut bayang-bayang sendiri. Inilah cabaran generasi kita.

55. Saya menyebut soal cabaran generasi, kerana untuk terlalu lama orang Melayu dan UMNO sendiri, berada dalam perspektif minda atau mindset yang negatif dan defensif. Kita merasakan diri kita seolah-olah diserang atau under siege, dan segala gerak kerja seakan-akan disalurkan ke arah mempertahankan keistimewaan Melayu yang kita anggap sentiasa dicabar. Saya menyeru orang Melayu bermula dengan Pemuda untuk keluar dari perspektif minda ini. Tidak dinafikan, bahawa Perkara 153 Perlembagaan, yang menjamin kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera, adalah keramat buat kita. Namun, jika dikaji dengan teliti, Perkara 153 hampir mustahil untuk dilucutkan daripada Perlembagaan Persekutuan. Sebarang perubahan memerlukan bukan sahaja kelulusan 2/3 Parlimen, tetapi mesti juga mendapat perkenan dari Majlis Raja-Raja. Ini sudah cukup mengingatkan kita bahawa secara realistiknya, kedudukan istimewa kita tidak mungkin boleh diubah.

56. Tetapi percayalah, Perkara 153 dengan sendirinya tidak akan menjamin kesejahteraan dan kemajuan bangsa. Sedarlah, sedarlah kita semua, bukan peruntukan perlembagaan yang membawa keistimewaan sebenar, tetapi kebolehan dan pencapaian orang Melayu-lah yang akan menentukan sama ada kita menjadi bangsa istimewa, bangsa yang unggul, bangsa yang terbilang.

57. Hak dan keistimewaan Melayu itu penting. Namun yang lebih penting adalah bagaimana bangsa kita diperkasakan. Apa yang perlu kita wujudkan ialah satu dimensi baru dalam perjuangan Melayu supaya pegangan ekonomi dan status bangsa kita dapat dimajukan, sesuai dengan semangat pemerkasaan Melayu yang wajib dicapai bersama. UMNO dan bangsa Melayu secara keseluruhannya, perlu beralih daripada kaedah atau setting defensif yang selalu menganggap ada orang lain mahu merampas hak dan hartanya, kepada Melayu yang berbekalkan keyakinan ketamadunan bangsa, mengukir visi kemajuan untuk masa hadapan. Inilah dilema Melayu yang baru ¡V persoalan generasi yang wajib dijawab. Adakah kita hanya mahu mempertahankan simbol demi simbol atau adakah kita berani menerima hakikat bahawa perlu ada perubahan mekanisme dan visi demi melihat bangsa Melayu itu terus melangkah maju? Bagi saya, pilihan kedua merupakan jawapannya.

58. Saya percaya inilah juga visi YAB Presiden, yang, contohnya, telah memansuhkan keperluan pegangan ekuiti 30 peratus Bumiputera dalam Tawaran Awam Permulaan (IPO) di Bursa Malaysia. Sudah pasti Presiden mengambil langkah sedemikian bukan sebab beliau tidak endah akan agenda Melayu, tetapi sebab ternyata mekanisme 30 peratus itu tidak dapat memenuhi matlamat asalnya.

59. Presiden sendiri telah mengatakan bahawa daripada RM54 bilion nilai pegangan saham yang diberikan kepada Bumiputera melalui mekanisme 30 peratus ini, hanya RM2 bilion sahaja yang tinggal dalam tangan ¡V habis dijual untuk pulangan cepat, tanpa kelangsungan kemajuan yang kita inginkan. Jadi terbuktilah ada simbol, mekanisme dan tongkat yang kita pertahankan selama ini tidak mencapai objektif yang asal.

60. Malah, apabila Presiden memansuhkan kriteria pegangan saham Bumiputera itu, beliau juga telah memperkenalkan Ekuiti Nasional Bhd (Ekuinas) sebagai institusi pelaburan baru yang boleh menggalakkan pertumbuhan syarikat-syarikat Bumiputera yang berpotensi tinggi. Inilah anjakan yang dipelopori oleh Presiden ¡V bantuan secukupnya disalurkan kepada Melayu yang layak dan berpotensi, dan bukan mekanisme-mekanisme simbolik yang hanya membantutkan daya saing Melayu dan memberikan kita satu perasaan keyakinan yang palsu tanpa memberi sumbangan bermakna kepada pembangunan ekonomi Melayu yang sebenar.

61. Pengisian visi kemajuan bangsa kita memerlukan satu keyakinan untuk kita menerima persaingan berdasarkan kepada merit, kemampuan dan kebolehan kita sendiri. Usah kita bercakap tentang meritokrasi antara kaum, jika dalam kaum kita sendiri pun kita belum mempraktikkannya. Jangan kita sebagai generasi muda mengamalkan budaya mencantas bakat Melayu sebelum bakatnya dapat diasah. Amat merugikan kepada bangsa sekiranya akibat hasad dengki, kita sanggup berusaha menjatuhkan orang Melayu lain yang berpotensi semata-mata untuk memuaskan hati. Kita perlu mengikis sifat dengki sesama kita, sebaliknya membantu dan memberi dorongan sewajarnya kepada saudara-saudara sebangsa seagama untuk lebih berjaya. Inilah maksudnya ¡§keyakinan ketamadunan¡¨. Kita tidak takut pada bayang-bayang sendiri.

62. Impian saya adalah untuk melihat suatu hari nanti, institusi-institusi pengajian tinggi tempatan dipenuhi anak muda Melayu bukan kerana kuota, tetapi kerana kelayakan merit. Tatkala kita mempertahankan kuota sekarang ini, jangan kita lupa, kuota sepatutnya hanya satu langkah bantuan, dan bukannya talian hayat orang Melayu selama-lamanya. Visi Melayu bukan untuk mempertahankan kuota semata-mata, tetapi untuk merasa bangga melihat orang Melayu berjaya dengan kekuatan sendiri.

63. Usah kita pesimis dan perlekehkan potensi bangsa kita ¡V keyakinan untuk menerima persaingan yang lebih terbuka sudah wujud dalam hakiki budaya kita sendiri. Apakah kita mahu berdiri di sini mengatakan sejarah tidak pernah mempamerkan bangsa Melayu bekerja keras meredah seribu satu badai untuk mencapai misi? Lihat saja-lah pada peribahasa Melayu yang menggalakkan ketekunan, kerajinan dan jimat-cermat dan responsif dengan cabaran dan suasana sekelilingnya seperti:

Kalau tak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya
Sabar penghilang penat, tekun pembawa dekat
Rajin bekerja mudah belanja
Cermat masa banyak, jimat masa sedikit
Cicir dipungut, hilang dicari
Dalam berselam, cetek bertimba

64. Visi ini, anjakan ini, turut menuntut keberanian kita sebagai orang Melayu untuk melihat ke hadapan, berbekalkan keyakinan dan kepercayaan diri untuk mencapai kemajuan bangsa. Sebagai Pemuda waktu ini, kitalah generasi yang boleh melakukan perubahan tersebut. Kitalah generasi yang boleh berkeras mengatakan cukup-lah! Cukup-lah kita menidakkan keupayaan bangsa kita. Cukup-lah kita dikongkong ilusi yang menyatakan Melayu lembab, Melayu malas, Melayu bodoh. Generasi kita perlu bangkit menyahut cabaran masa kini dengan mengatakan Melayu tidak lagi takut berhadapan dengan dunia luar kerana Melayu tidak lembab, Melayu tidak malas, Melayu tidak bodoh. Sebaliknya, bangsa Melayu adalah bangsa berdaulat; satu bangsa yang bijak dan serba boleh. Pemuda Melayu generasi ini perlu memimpin bangsa kita keluar dari batasan dan kepompong minda yang menghakis keyakinan diri, serta maju ke hadapan – inilah perjuangan kita.

Bangunlah Bangsaku

Apalah erti omongan jika lekang dengan tindakan;
Harapan berkecai bak debu berterbangan jika tidak diampuh peranan;
Puas sudah gurindam dilagu, merungkai mengupas belenggu bangsaku;
Laungan dan panji-panji menggegar jiwa,

jumud dan kaku, makin sayup merintih sayu;

Namun aku pasti;
Fajar kini menyingsing lagi;
Menyingkap tirai membawa harapan seribu erti;
Namun menjajikan kegelapan kepada yang dengkal

Alpa dan iri hati;
Justeru bangunlah bangsaku;
Penuh kesedaran dalam kematangan

Disuntik azam baru;
Gembelingkan tenaga, berpadu, kita teguh bersatu;
Perwajakan hati, perkasakan diri

Sedia kita tempuh segala seteru;
Kerana masa beredar dan bumi berputar

Memungkinkan perubahan yang tidak menentu.

Justeru bangunlah bangsaku yang mapan dan berdikari,
Dibawah laungan 1Malaysia

Agar kita duduk sama rendah, kita berdiri lebih tinggi,
Agar jiwa bangsaku yang bermaruah

Tidak ditindas, tidak dihina, tidak perlu merintih lagi;
Mengibar panji di puncak ekonomi

Bukan lagi suatu mimpi;

Bangunlah bangsaku

Jangan kita tersungkur lagi;
Sejarah hitam jangan kita ulangi

Cukuplah hanya sekali;

Bangunlah bangsaku;

Perjuangan ini kita isi, kita galas, kita tunjangi;
Biar anak-anak kita tidak malu untuk mengakui;
Bahawa hasil perjuangan ayahnya bangga dikecapi;
Maruah bangsanya megah diwarisi.

Bangunlah¡K..bangunlah bangsaku;

Bangunlah bersama negaraku.

Saudara Perwakilan Sekalian,

65. Marilah kita barisan Pemuda berdiri teguh di belakang Presiden dan Timbalan Presiden kita, marilah kita bersama-sama mempertahankan Kerajaan kita yang tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas, yang telah mengharungi pelbagai badai gelora bersama namun tetap tidak berganjak dari prinsip asas perjuangan – yang kekal bersama-sama dalam keadaan susah dan senang, yang bekerja keras untuk membangunkan negara, tanpa perlu menabur janji-janji palsu semata-mata untuk menjadi Kerajaan di bumi yang tercinta ini.

66. Sedarlah, kita kini berada di persimpangan perjuangan. Inilah masa dan detiknya, kita – golongan muda bersatu menjadi nakhoda zaman, memacu perjuangan ke arah ketamadunan yang terbilang. Ayuh, bangkitlah, bangkitlah kita semua menyahut cabaran, menerajui harapan, menunaikan tuntutan demi kelangsungan agama, bangsa dan negara.

Hidup UMNO!

Hidup UMNO!

Hidup UMNO!

2 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Terima Kasih Pengundi Bagan Pinang

Anda Membuat Pilihan Tepat…Lihat lah ….betapa biadap pemimpin Pakatan Rakyat yang jelas tidak menghormati keputusan yang telah anda buat….Tekadkan semangat…Kemenangan BN ini adalah kemenangan RAKYAT….. baca di sini

Kita tentang Pakatan Rakyat habis-habisan..

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Selamat Bersidang – Perhimpuna Agung UMNO 2009

Kepada semua perwakilan..Selamat Bersidang…

JADUAL PERHIMPUNAN AGUNG UMNO ke-60

13 OKTOBER 2009 (SELASA)

9.00 pagi – Pendaftaran perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri

Tempat – Bilik Melati, kaunter pendaftaran aras 2.

3 petang Majlis taklimat Presiden (Pre-council) oleh Bahagian Penerangan Umno.

Tempat – Dewan Merdeka, aras 4.

8 malam Majlis perasmian perhimpunan Agung Pergerakan Wanita, Pemuda, Puteri Umno yang dirasmikan oleh Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

14 OKTOBER 2009 (RABU)

8.30 pagi – Perhimpunan Agung tahunan Pergerakan Wanita Umno oleh Ketua Wanita, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Tempat- Dewan Merdeka, aras 4.

8.30 pagi – Perhimpunan Agung tahunan Pergerakan Pemuda Umno oleh Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin.

Tempat – Dewan Tun Dr. Ismail, aras 2.

8.30 pagi – Perhimpuan Agung tahunan Pegerakan Puteri Umno Oleh Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

Tempat – Dewan Tun Hussein Onn, aras 2.

9.00 pagi – Pendaftaran perwakilan Bahagian.

Tempat – Bilik Melati, kaunter pendaftaran aras 2.

9 malam Mesyuarat khas Majlis Tertinggi Umno.

Tempat – Menara Dato’ Onn, tingkat 39.

JADUAL PERHIMPUNAN AGUNG KHAS UMNO

15 OKTOBER 2009 (KHAMIS)

9.00 pagi – Upacara menaikkan bendera Umno Oleh Presiden, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak. Tempat – Plaza Merdeka, aras 4.

9.30 pagi – Majlis Perasmian Perhimpunan Agung Umno oleh Presiden, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak.

Tempat – Dewan Merdeka, aras 4.

10.30 pagi – Sesi bergambar Ahli Majlis Tertinggi, Exco Wanita, Pemua dan Puteri Umno.

Tempat – Dewan Merdeka, aras 4.

11 pagi – Perhimpunan Agung Khas (Pindaan Perlembagaan) oleh Presiden, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Tempat – Taman Merdeka, aras 4.

8 malam – Jamuan Perhimpunan Agung Umno

Tempat – Dewan Tun Razak 1.

PERHIMPUNAN AGUNG HARI KEDUA

16 OKTOBER 2009 (JUMAAT)

8.00 pagi – Perhimpunan Agung Umno ke-60, (Hari ke-2)

Tempat- Dewan Merdeka, aras 4.

6.45 petang pagi – Sesi bergambar urusetia bersama dengan Presiden Umno, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Tempat – Dewan Merdeka, aras 4.

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

BN menang di Bagan Pinang

Barisan Nasional (BN) mencatat kemenangan besar pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang dengan memperoleh 8,013 undi menewaskan Pas.

Majoriti yang diperoleh calon BN, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad meningkat kepada 5,435 undi berbanding 2,333 undi pada Pilihan Raya Umum 2008.

BN menang di semua lapan daerah mengundi termasuk tiga daerah yang dimenangi pembangkang pada Mac tahun lalu.

Calon Pas, Zukefly Mohamad Omar hanya memperoleh 2,578 undi. Pas kalah di semua 18 saluran mengundi.

Keputusan Pilihan Raya Kecil N31 itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Abdul Wahab Shamsuddin pada pukul 8 malam di Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD).

Sebanyak 82 peratus pengundi di Bagan Pinang hari ini keluar menunaikan tanggungjawab masing-masing.

Segala bentuk provokasi dan pergaduhan yang timbul menjelang hari pengundian tidak menghalang pemilih untuk keluar mengundi sekaligus melonjakkan sokongan kepada BN.

Kemenangan itu juga memecahkan kebuntuan BN yang tewas di enam pilihan raya kecil di Semenanjung. BN hanya menang satu kerusi iaitu di DUN Batang Air, Sarawak.

Ketika pengumuman dibuat, Mohd. Isa turut berada di dalam dewan sambil diiringi Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan serta pemimpin BN yang lain.

Pengumuman kemenangan beliau turut dirai dengan sorakan penyokong BN yang berada di luar dewan.

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda