Daily Archives: December 8, 2013

UCAPAN DASAR KETUA PERGERAKAN PEMUDA UMNO MALAYSIA SEMPENA PERHIMPUNAN AGUNG PERGERAKAN PEMUDA UMNO MALAYSIA 2013

 

1 SAFAR 1435 / 4 DISEMBER 2013
8.30 PAGI, DEWAN MERDEKA, PWTC

“BERSEDIA UNTUK ESOK”

Yang Berbahagia Dato’ Pengerusi Tetap,
Yang Berbahagia Saudara Timbalan Pengerusi Tetap,
Wakil-wakil Majlis Tertinggi:
YAB Dato’ Seri Ir. Haji Idris Haron
YB Dato’ Seri Idris Jusoh
YB Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek
Yang Berbahagia Saudara Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia
Ahli-ahli Jawatankuasa Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia
Ketua-ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri
Para Perwakilan dan Pemerhati

Melayu itu kalau merantau sampai ke Deli
Kalau berperang sampai ke rawan
Kalau mempertahan putih sumsum tulang
Kalau menjajah langsung jadi pahlawan
Dari Riau ke Selat Melaka
Dari Palembang ke Tanah Jawa.

Melayu baru bila berfikir jadi Dr. Maza
Bila berseni indie, jadi Wani Ardy
Bila bikin muzik jadi Yuna
Bila menyanyi dengan sopan… jadilah Siti Nurhaliza

Melayu itu halus
Bila marah menikam dengan pantun
Menyanggah dengan senyum
Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak

Jangan lupa tempelak Usman Awang
Melayu itu kuat bersorak
Terlalu ghairah pesta temasya
Sedangkan kampung telah tergadai
Sawah sejalur tinggal sejengkal

Tapi itu Melayu yang dulu
Melayu sekarang melanggar pantang
Kadang tersadung adat dan sopan
Menata merdeka menonggak wawasan

Melayu hari ini Melayu cemerlang
Gah bak helang menyongsong awan
Minda progresif menakhoda masa depan
Jadi obor menyuluh zaman

Alhamdullilah, segala puji-pujian untuk Allah S.W.T, Tuhan yang maha pemurah lagi penyayang. Juga selawat dan salam ke atas junjungan terpuji Nabi Muhammad S.A.W. dan para sahabat. Kita mensyukuri rahmat Yang Maha Esa, kerana dengan limpah kurniaNya, dapat kita bertemu pagi ini di Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia ke 61.

Jika di perhimpunan tahun lepas, kita sibuk melurus barisan, mengatur strategi, untuk menghadapi PRU13 – pilihan raya paling getir dalam sejarah UMNO, tahun ini, saya mulakan dengan setulus terima kasih kepada seluruh jentera Pemuda UMNO. Anda semua tak kenal siang malam, tak hirau penat di badan, ketika mengharungi pilihan raya Mei lepas. Bukan calang-calang rintangan yang kita tempuh, tanpa Pemuda di barisan hadapan, belum tentu kita menang, silap haribulan boleh kecundang!

Di perhimpunan tahun ini juga kita membuka lembaran segar dengan meraikan barisan kepimpinan yang baru. Saya ingin mengucapkan tahniah kepada saudara-saudara sekalian yang telah memenangi jawatan di peringkat pusat, bahagian dan juga cawangan masing-masing. Saya juga amat berterima kasih dengan jasa dan khidmat bakti yang telah dicurahkan oleh barisan kepimpinan sebelum ini. Kalau tiada yang lama, manakan dapat mereka yang baru. Kalau yang lama enggan menunjuk jalan, masakan yang baru tahu haluan.

Sebelum PRU13, kita gesa Presiden kita, Y.A.B. Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak, untuk memberi peluang kepada wakil pemuda diangkat jadi calon. Rasionalnya enteng saja, bila bercakap tentang soal suara anak muda, ia wajib dicorongkan melalui orang muda juga. Alhamdullilah, pucuk pimpinan mendengar cadangan kita bila 45 daripada sayap Pemuda UMNO jadi calon ahli parlimen dan ADUN. Ini suatu pengiktirafan yang besar kepada institusi Pemuda UMNO. Memang lumrah kehidupan, kalah menang adat pertandingan. Walau begitu, saya bangga dengan pengiktirafan yang diberi, bila dua dari calon Pemuda diangkat jadi menteri dan timbalan menteri. Manakala enam lagi duduk di kerusi exco kerajaan negeri. Kami Pemuda UMNO, insya Allah, akan melunaskan amanah yang diberi dengan kamil.

Cuma peluang orang muda dijadikan calon itu, sebenarnya boleh diunjur, boleh diperlebihkan lagi. Kalau kita perhatikan pihak sebelah sana, PAS, DAP dan PKR, mereka tampak lebih bersedia menonjolkan calon muda, jika nak dibandingkan dengan kita. Mungkin ini sesuatu yang boleh pucuk pimpinan pertimbangkan di masa akan datang, barulah UMNO dilihat segar dan melaksanakan peremajaan sepenuhnya.

Sidang perwakilan sekalian,

Tahun ini kita telah melakar sejarah baru untuk UMNO dengan menggunakan sistem pemilihan baru, yang bertunjangkan suara akar umbi dalam menentukan kepimpinan parti. Inilah bukti transformasi yang dimaksudkan oleh Y.A.B. Presiden untuk parti UMNO. Ini adalah suatu pengiktirafan yang ulung dari pucuk pimpinan. Walau bagaimanapun Pemuda menggesa agar post mortem segera dilaksanakan. Bukanlah kita ini ibarat mengetuk pahat bila rumah siap, tapi penambahbaikan perlu untuk memastikan keputusan pemilihan saksama, dihormati dan tiada ruang untuk pertikaian. Justeru, sebarang kelemahan harus tangkas diperbetulkan. Jika tidak, langkah transformasi kita ini umpama pukat terlabuh ikan tak dapat.

Proses pemilihan itu sendiri, misalnya, masih punya ruang untuk diperkemas dan dimantapkan lagi. Jangan ada kertas undi yang sama warna hingga menimbulkan ragu mengelirukan perwakilan. Bila mengumumkan siapa menang siapa kalah, keputusan yang sampai ke ibu pejabat, mesti sama dengan yang apa telah disahkan oleh wakil-wakil calon di bahagian. Jangan si polan A menang di bahagian, si polan B pula diumumkan menang bila keputusan diisytiharkan di ibu pejabat. Menyentuh tentang logistik pula, aspek kerahsiaan hendaklah dijaga, perlu ada galang penghadang semasa proses mengundi dijalankan. Kita mesti menyediakan tenaga kerja yang cukup untuk memantau proses pengundian, barulah ahli tidak ragu, tidak bimbang. Tatacara rayuan pula mestilah sekata dan telus. Proses rayuan itu juga tidak boleh dilihat umpama menghukum atau menyebelahi mana-mana pihak. Kriteria untuk pengundian semula hendaklah diperbutirkan dengan jelas oleh ibu pejabat, jangan sampai mencelarukan.

Namun demikian, kita bersyukur kerana UMNO terbukti mampu memberi ruang yang mampan untuk ahli menentukan pucuk pimpinan parti. Fitrah antara kita dan pembangkang tak serupa, gerombolan pembangkang hanya gah bertempik, kononnya merekalah juara demokrasi, tapi sumbang di gelanggang sendiri.

Lihat sahaja DAP dan PAS yang tak sudah-sudah menabrak sistem pilihan raya negara dan SPR, sudahnya malu sendiri. Pilihan raya DAP yang ada dua ribu lebih pemilih pun tunggang langgang, habis semua orang disalahkan. Akhirnya terpaksa buat pemilihan semula selepas sembilan bulan pemilihan pertama dibatalkan. Tapi biasalah… semua itu bukan salah mereka.

PAS bulan lepas apa kurangnya? Berdalih melewatkan keputusan, konon silap sistem yang menguruskan cuma seribu orang itu. Tiba giliran PKR, lain plot cerita, gegak gempita memperjuang ketelusan, pemimpin wahid sendiri kebal demokrasi. Bahkan jawatan pun langsung tak wujud dalam perlembagaan parti.

Inilah bezanya kita dengan pembangkang. Berbanding DAP dan PAS yang hanya memberi muka kepada dua tiga ribu pemilih di peringkat pusat, kita pula membuka aula kepada 150 ribu ahli di peringkat akar umbi untuk mengundi. Berbanding PKR yang berketua umum-kan jawatan khayalan, seluruh jawatan dalam UMNO sah termaktub mengikut perlembagaan parti.

Selagi kita masih bercakap soal pemilihan parti, saya bersyukur kepada Ilahi dan berterima kasih kepada setiap ahli Pemuda, yang telah memberi mandat seratus peratus untuk saya. Insya-Allah, amanah dan kepercayaan ini akan saya lunaskan sebaik mungkin.

Dalam pada itu, proses demokrasi parti kita juga menyaksikan persaingan sengit di peringkat Naib Ketua Pemuda, Exco serta jawatan-jawatan Pemuda di peringkat bahagian, mahupun cawangan. Tapi sidang perwakilan yang saya hormati, kita ini carik-carik bulu ayam lama-lama bercantum kembali. Janganlah apa yang terkhilaf semasa pemilihan UMNO dijadikan kudis di badan atau api di dalam sekam. Jalan di hadapan masih panjang, inilah masa dan ketikanya untuk kita bersatu kembali mengukuhkan parti.

Hakikatnya, pemilihan parti adalah persaingan kekeluargaan sesama kita. Marilah kita hulurkan tangan, dakapkan ukhwah, eratkan perpaduan. Sedarlah semua, musuh politik yang sebenar bukan sesama kita tapi pembangkang di luar sana. Bak kata orang, menembak beralamat, berkata bertujuan – sesama pemuda kita muafakat, dengan musuh kita berdepan.

Dalam keutuhan persaudaraan ini, dalam kita menyusun langkah dan strategi, dalam kita menyahut peranan dan tuntutan organisasi, jangan kita sesekali terleka dibuai jawatan. Kita perlu sentiasa menginsafi bahawa apa yang kita pegang ini adalah satu amanah – bukan sahaja kepada rakyat, parti dan negara, tetapi yang paling utamanya amanah dan accountability kepada Yang Maha Esa. Amanah itu bukan sahaja luas dan berat tetapi juga perlu di jaga, kerana kita tak boleh menyimpanginya, walau tersorok di lubuk hati. Accountability kepada Allah S.W.T. bukan sekadar kepada tindak tanduk kita tetapi juga niat yang tersirat dalam hati kita, sebagaimana firman Allah S.W.T. di dalam Surah Al-Baqarah ayat ke 284:

al-baqarah-284

Yang bermaksud: “Segala yang ada di langit dan yang ada di bumi adalah kepunyaan Allah dan jika kamu melahirkan apa yang ada di dalam hati kamu atau kamu menyembunyikannya, nescaya Allah akan menghitung dan menyatakannya kepada kamu.”

Ingatlah juga, amanah yang ditanggung demi harapan rakyat dan ahli UMNO ini hendaklah kita lunaskan dengan terbaik dan penuh keadilan. Bahawasanya jawatan yang kita pegang ini hanyalah dipinjamkan oleh rakyat dan ahli dengan harapan kita menengakkan keadilan untuk semua, sepertimana pesanan Allah S.W.T. kepada kita di dalam surah An-Nisa’, ayat 58:

an-nisa-58

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya) dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil.”

Pada masa yang sama, selain dari melunaskan amanah sebaik mungkin, akhlak dan budi dilupa jangan, kerana jawatan itu bukannya tiket untuk bermegah dan sombong. Sama-samalah kita sentiasa merendah diri, sama-samalah kita sentiasa ingat pada akar umbi. Allah S.W.T. berfirman di dalam Surah Al-Isra’ ayat ke 37:

al-isra-37

Yang bermaksud: “Dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong, kerana sesungguhnya engkau tidak akan dapat menembusi bumi dan engkau tidak akan dapat menyamai setinggi gunung-ganang.”

Atas nama saling mengingati sesama sendiri, saya berpesan untuk mereka yang di atas pentas ini, janganlah kita sombong dan lupakan kawan-kawan, jangan hanya bangga dengan jawatan. Jangan setelah menang tak angkat telefon atau jawab Whatsapp dan BBM. Peringatan yang serupa saya beritahu diri sendiri juga.

Ayam rintik di pinggir hutan
Nampak dari tepi telaga
Rapatkan saf luruskan barisan
Bersatu teguh kita bersama

Pisang kelat digonggong helang
Jatuh ke lubuk di Indragiri
Amanah rakyat kukuh dipegang
Sumpah keramat hidup dan mati

Sidang perwakilan sekalian,

Bila cerita PRU13 dan pemilihan parti kita arkibkan, kini tiba masanya kita tentukan kemudi Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia.

Kita muhasabah, kita cermin diri, kita perhalusi sekali lagi jalan perjuangan yang sudah diteroka sekian lama. Nilai yang bagaimana ingin kita teladankan untuk rujukan pelapis? Peranan mana paling molek untuk kita kelek dalam menyumbang ke arah kejayaan parti? Untuk menjawab soalan-soalan ini mungkin elok jika kita mengimbau perjalanan kita beberapa tahun ini, agar sumbangan kita kepada parti tidak monolitik dan tradisional. Pemuda UMNO sentiasa perlu berada dalam langgam orang muda.

Gemala rukun Pemuda UMNO yang digariskan empat tahun lalu, masih jadi paksi perjuangan mutakhir kita – yakni Berprinsip, Inklusif, Relevan, Proaktif dan Bersatu. Saya percaya lima teras ini telah dirangkumkan dalam satu pendekatan baru yang lebih progresif – satu pendekatan yang telah membuka lembaran baru dalam perjuangan kita. Lembaran baru yang kita selak bersama harapan untuk jadi lebih baik. Pengalaman itu guru paling berkesan untuk insan. Dan pengalaman harus dilalui, ia tak bisa dipinjam atau dibeli.

Progresif tidak bermakna lupa diri atau perjuangan asas, percaya kepada pendekatan berbeza dan moden, tidak bermakna Pemuda menggadaikan identiti dan perjuangan bangsa merdeka.

Gagasan progresif Pemuda bukan sekadar sembang kosong atas angin. Malah, pendekatan progresif kita telah dizahirkan melalui program yang membuahkan perubahan sebenar di akar umbi. Melalui pendekatan ini kita telah bergerak atas dasar politik khidmat bakti sebagai kiblat perjuangan kita.

Pelbagai isu yang membelenggu rakyat – dari pendapatan, pendidikan, pekerjaan dan perumahan untuk orang muda – telah dibangkitkan dan diperjuangkan oleh Pemuda UMNO. Di atas antelas yang sama, kita bukan sekadar suara pembela rakyat, politik khidmat bakti telah menuntut kita melangkah jauh, mendahului zaman, sebagai ejen penyelesai masalah rakyat. Anak muda kini semakin menilai, bagi mereka retorik janji sudah tak laku.

Alhamdulillah, kita kotakan apa yang dikata melalui program Pemuda UMNO dan BN seperti Karnival Kerjaya Pemuda BN, Expo Perumahan Pemuda BN (HOPE), Jelajah 1Malaysia (JOM), Biasiswa Pendidikan Pemuda BN (BNYES) dan pelbagai program lain. Pemuda UMNO telah merintis jalan, membawa harapan untuk rakyat. Ternyata kita bukan hanya lantang bersuara tapi juga berjaya bertindak. Di mata generasi baru, Pemuda yang hebat bukan Pemuda yang sembang deras, cerita lebat. Pemuda yang hebat adalah Pemuda yang membawa kesan jelas dalam kehidupan seharian rakyat.

Orang lama telah mengajar kita agar selalu beringat, jangan jadi seperti orang hendak menepung, tiada berberas. Program-program kita ini tidak pernah bersifat syok sendiri yang hanya diketahui dan dirasai dalam kepompong sesama kita sahaja. Terbentang untuk rakyat hari ini, program-program anjuran Pemuda UMNO yang terkenal seantero negara.

Kita dakap pendekatan progresif ini kerana sekadar melaungkan “Hidup Melayu” itu lompong jika nasib anak bangsa masih di takuk lama. Walau ada antara kita yang berasa cukup hanya dengan bersorak “Hidup Melayu,” kita jangan ambil pendekatan yang serupa. “Hidup Melayu” itu sudah ketentuan – tapi soalnya kita mahu Melayu hidup bagaimana? Sudah tentu lebih mulia bila Melayu hidup bermartabat dari hidup merempat. Sudah tentu lebih penting hasil dan keberkesanan program kita dari melaungkan slogan semata-mata.

Nyata perlaksanaan program melalui lensa sejagat dan pendekatan progresif telah menjadi wahana bakti kita untuk bangsa. Lihat sahaja daripada 160 ribu yang berjaya mendapat kerja melalui Karnival Kerjaya kita, majoritinya adalah anak Melayu. Daripada 500 ribu yang bakal menikmati Bantuan Lesen 1Malaysia (BL1M), majoritinya adalah anak Melayu. Daripada pelajar yang telah ditaja melalui Biasiswa Pendidikan Pemuda BN, majoritinya adalah anak Melayu. Apabila gaji minimum diperkenalkan dek desakan Pemuda – golongan yang meningkat pendapatan mereka, majoritinya adalah anak Melayu. Apabila kita memperjuangkan isu pelepasan status muflis untuk orang muda, siapa golongan yang bakal mendapat peluang kedua? Tetap anak Melayu.

Natijahnya, usaha kita tertumpu kepada isu-isu utama yang dialami pemuda Melayu. Melalui pendekatan dan program sejagat, agenda bangsa jelas terlaksana, nasib bangsa tetap terpelihara.

Sidang perwakilan yang saya hormati,

Tujuan saya membangkitkan pencapaian kita, bukan untuk mendabik dada. Kita kongsi semula pencapaian kita hari ini, agar jadi pemangkin untuk melahirkan idea-idea baru di masa akan datang. Saya dambakan sayap Pemuda mendahului zaman, tak gentar dengan perubahan, tetap relevan dalam ekosistem politik yang sentiasa berubah.

Dalam konotasi yang serupa, fitrah politik Pemuda UMNO perlu sejajar dengan tuntutan semasa. Kita tidak lagi boleh bergantung dengan formula lama, sekadar jadi geng pendesak – membangkit semangat dan emosi semata – tapi gagal meninggalkan kesan jangka panjang untuk agama, bangsa dan negara. Apa guna jadi Pak Kaduk, menang sorak kampung tergadai? Apa guna mengerah jentera mengangkat sepanduk, jika nasib dan pencapaian bangsa tak sampai ke mana?

Pemuda UMNO bukan seperti pancang digoyang arus, bukan niat kita memperkecilkan pendekatan lama – di mana Pemuda dilihat sebagai kumpulan pendesak kerajaan, pasca merdeka. Pendekatan sebegitu sesuai dengan keperluan semasa – dan ternyata telah membawa kejayaan kepada Pemuda, di era tersebut. Tetapi zaman sudah berubah, masyarakat alaf ini sentiasa mementingkan keberhasilan dan kebertanggungjawaban. Dalam konteks ini, rakyat tidak lagi lut dengan retorik sekiranya ia tidak membawa apa-apa kesan progresif dalam hidup mereka.

Penjenamaan baru ini tidak bermakna kita menggadaikan prinsip. Sepertimana saya sebut beberapa tahun dahulu, kita perlu berani mengubah manhaj atau pendekatan, tanpa meninggalkan maqasid yakni matlamat sesebuah perjuangan. Agenda memperkasa agama, bangsa dan negara takkan sirna dari jati diri Pemuda, seperti mana juga tugas kita sebagai sayap utama UMNO untuk membantu ke arah kejayaan politik parti. Dalam mencapai matlamat ini, kayu ukur yang menilai betul atau khilaf sesuatu pendekatan adalah melalui pilihan raya – melihat sama ada rakyat menerima kita sebagai pembela kepentingan mereka. Jika pendekatan dan pengisian perjuangan tak serasi dengan nadi rakyat – khususnya generasi muda yang menjadi tumpuan kita – maka mereka tidak akan mengundi Barisan Nasional.

Kejayaan BN dalam PRU13 menjadi bukti bahawa pendekatan progresif ini lebih tepat. Malah, kajian Merdeka Centre mendapati 54 peratus pengundi Melayu bawah umur 30 tahun, telah mengundi Barisan Nasional dalam PRU baru-baru ini. Bukan mudah berdepan janji-janji manis minyak turun, tol percuma, pendidikan percuma, PTPTN tak payah bayar semula, dalam nirwana ciptaan pembangkang. Kendatipun cabaran menggunung, kemampuan kita bergerak bersama zaman, mencorak pendekatan, telah membawa pulangan politik, bila Barisan Nasional dikekalkan di tampuk pentadbiran.

Tapi jangan lupa rakan-rakan, walaupun kita berjaya meraih sokongan sebahagian besar golongan muda Melayu, kita masih punya banyak kelemahan. Kita ingat fenomena tsunami politik 2008 dahulu – di mana kedengaran ungkapan “berubah atau rebah” dari segenap pengulas dan pemerhati. Pada waktu itu, kita bermuhasabah – menyedari bahawa UMNO dan BN memerlukan pembaharuan hakiki untuk kembali bangkit dari belenggu kekecewaan PRU12. Syukur, kita tidak perlu pandang jauh untuk mencari inspirasi – kerana kita telah mengambil iktibar dari contoh perubahan hampir serupa yang dilalui Y.A.B. Presiden kita sendiri.

Saya masih teringat ketika mana Y.A.B. Presiden telah melalui cabaran getir di kerusi Parlimen Pekan pada tahun 1999. Namun, berkat kebijakan mencongak strategi yang progresif dan inklusif, beliau berjaya mengubah pendulum politik sehingga mencatat antara majoriti kemenangan terbesar pada pilihan raya umum 2004. Inilah satu kisah kejayaan dan peringatan yang besar untuk kita semua. Sebagaimana pepatah Arab ada menyebut: “man jadda wa jada, wa man shabara zhafira” yang bermaksud siapa yang bekerja keras pasti beroleh kejayaan, dan siapa yang sabar, merekalah yang beruntung.

Saya sendiri telah belajar dan mengambil iktibar dari pengalaman Y.A.B. Presiden. Di PRU12 dahulu, saya menang dengan majoriti kecil 5 ribu undi – turun jauh dari majoriti BN sebanyak 18 ribu lebih pada pilihan raya sebelumnya. Saya sedar pada waktu itu, kalau salah catuan dan tanpa pendekatan yang betul, mungkin saya di Rembau sepenggal cuma. Lalu saya terapkan pendekatan politik progresif cara saya di sana – kerap turun padang selesai masalah, cuba meningkat taraf hidup dan ekonomi Rembau, tak kisah lah kawasan putih, kelabu atau hitam. Waima kawasan Melayu, Cina, India, atau orang asli, pekan atau desa, tua atau muda, tidak terkecuali dari tanggungjawab selaku wakil rakyat. Malah ada yang mempersoal pendekatan saya, “kenapa KJ masih layan peti undi bukan Melayu walhal dulu tewas semua?”

Tetapi selain daripada kegigihan, saya juga telah melihat Y.A.B. Presiden sebagai contoh terbaik bahawa kepimpinan sejati adalah berteraskan kebenaran dan keadilan untuk semua. Selaku pemimpin dan wakil rakyat, kita wajib berusaha berlaku adil kepada semua; berusaha meraih sokongan dari segenap lapisan masyarakat. Alhamdulillah, berkat usaha serta bantuan keluarga, taulan dan Pemuda UMNO, di PRU13 tempoh hari saya berjaya meningkatkan majoriti tiga kali ganda – mendapat undi bukan sahaja dari pengundi Melayu, tetapi juga bukan Melayu. Maka percayalah, usaha gigih berterusan, insya-Allah akan membuahkan hasil – ingatlah bila berjuang biar dahi berluluk, asal tanduk mengena. Namun, sungguhpun kerja keras itu pucuk pangkalnya, adil dan saksama kepada semua rakyat Malaysia pula menjadi terasnya. Ini kerana, rakyat juga nanti yang menilai, mana yang baik mahupun buruk, bak kata bicara orang dahulu, alang berjawab, tepuk berbalas.

Saya pohon sahabat perwakilan mencontohi Y.A.B. Presiden. Kalau kena gaya, didorong pula oleh pendekatan dan strategi yang tepat, UMNO akan kekal jadi pemimpin dan pembela untuk semua – sejajar dengan hasrat bapa-bapa pengasas parti UMNO sebelum ini. Tak betul jika mereka kata UMNO disokong sesetengah kelompok sahaja. Tak betul jika mereka kata UMNO telah “senja,” bagaimana pula kita “senja” bila kita menambah lebih lapan kerusi pada PRU13 yang lepas? Bahkan UMNOlah parti yang mendahului zamannya dan progresif, dengan formula kerjasama pelbagai kaum yang meliputi semua, bukan sahaja yang di bandar mahupun di desa, yang berharta mahupun yang berkelana. UMNOlah jua parti yang menerajui perpaduan tanahair.

Ini sejajar dengan pendekatan wasatiyyah yang dibawa Y.A.B. Presiden – pendekatan yang sederhana, pertengahan, seimbang dan adil. Falsafah yang datang dari agama suci Islam kita sendiri, menjadi petunjuk kepada satu model kepimpinan negara yang bijaksana dan berhikmah, sesuai dengan tuntutan realiti kepimpinan dalam sebuah masyarakat majmuk. Dalam konteks ini, konsep wasatiyyah yang diterajui Y.A.B. Presiden di negara kita amat penting dalam menolak pendekatan ekstrim atau melampau, sekaligus menghancurkan formula kemajuan dan kemakmuran yang dikecapi selama ini.

Malah jika kita imbas sejarah tamadun manusia pun, persoalan falsafah kesederhanaan ini sudah lama bertapak di kalangan tokoh-tokoh pemikir dunia. Tokoh falsafah Yunani, Aristotle, menulis lebih 2 ribu tahun dahulu mengenai Golden Mean yang mencari titik tengah antara dua kutub, mencari ramuan seimbang antara dua baku. Serupa juga dengan konsep Middle Path yang diikuti oleh penganut agama Buddha, di mana mereka percaya bahawa kunci kepada keamanan jiwa dan rohani bila seseorang itu tidak terserong dengan godaan nafsu melampau.

Natijahnya, prinsip haluan tengah inilah yang patut kita amalkan dalam mencorak pendekatan Pemuda hari ini. Malah, konsep dan budaya sederhana ini bukan asing kepada kita – jauh sekali, ia jelas tercatit dalam perjuangan awal bapa-bapa kemerdekaan.

Jangan terpadam dalam ingatan, ketika mana pemimpin UMNO Tunku Abdul Rahman bersama-sama Tun Tan Cheng Lock dan Tun Sambathan meneroka era baru kemerdekaan negara, mula-mula di bawah gerbang Perikatan, kini Barisan Nasional. Kegemilangan dan kerjasama ini bukannya ditempa atas dasar pura-pura atau sekejap cuma, tetapi termeterai demi maslahat besar kepentingan majmuk dan nusa. Sesungguhnya, benih pendekatan progresif ini sudah lama tertanam, jadi darah daging parti kita. Berbekal azam dan formula baru, kita bina satu era kegemilangan yang progresif untuk UMNO – kekal memimpin negara untuk tahun-tahun mendatang.

Sidang perwakilan sekalian,

Semua usaha yang saya gariskan tadi – menyentuh pendekatan, kegigihan, keadilan ke arah kembali ke zaman kegemilangan – hanya mampu tercapai sekiranya diiringi oleh proses pemantapan organisasi. Maka, saya menyifatkan usaha dalaman ini sebagai salah satu agenda utama saya untuk penggal mendatang. Pemantapan organisasi yang saya maksudkan adalah tertumpu kepada modal insan Pemuda itu sendiri, mengukuhkan kekuatan akar organisasi kita, yakni pemimpin di peringkat bawahan.

Kemampuan modal insan di peringkat pimpinan atasan sahaja tak memadai. Sebaliknya, Pemuda di peringkat cawangan juga harus diberi nafas dan iltizam baru melalui kursus-kursus kepimpinan dan pemantapan organisasi. Atas semangat yang sama, Y.A.B. Presiden telah bersetuju dengan cadangan Pemuda menubuhkan Akademi Kepimpinan Kapten Hussein (AKHI), sempena penghormatan kepada Ketua Pemuda yang pertama. AKHI akan menjadi pusat pengkaderan pemimpin-pemimpin masa depan – sekaligus memastikan generasi seterusnya kekal unggul dalam meneraju Pemuda dan UMNO pada masa akan datang.

Agenda peningkatan modal insan Pemuda juga memperlihatkan beberapa usaha baru di peringkat Exco. Saya telah melantik dua individu profesional dalam umur 20-an dari luar struktur tradisi parti, dan buat pertama kalinya, wakil dari mahasiswa tempatan diberikan ruang untuk berucap di perhimpunan kita. Biro-biro juga telah disyaratkan melantik sekurang-kurangnya seorang profesional muda berumur 20-an dan seorang mahasiswa, di mana kaedah ini insya-Allah, akan memudahkan proses peremajaan parti melalui pembabitan muka-muka baru. Untuk menunjang pencapaian, setiap biro akan diukur menurut skala KPI masing-masing. Apa yang kita mahukan adalah prestasi dan pencapaian dari saudara-saudara yang berada atas pentas sekarang.

Semua usaha ini adalah untuk menyediakan landasan menuju kegemilangan. Kemampuan pemimpin-pemimpin dari kilang Pemuda telah diiktiraf parti, bahkan kita mengucap terima kasih kepada perwakilan parti induk, kerana memilih tiga mantan Pemuda ke Majlis Tertinggi baru-baru ini. Ia merupakan penghargaan besar kepada seluruh jentera Pemuda. Tetapi kita perlu meningkatkan modal insan supaya kepimpinan Pemuda masa hadapan terus dilihat sebagai sumber kekuatan kepada parti. Kelangsungan Pemuda besok adalah amanah dan tanggungjawab kita selaku pemimpin Pemuda hari ini. Sedarlah, kejayaan seseorang pemimpin diukur bukan hanya melalui pencapaiannya sewaktu memegang jawatan, tetapi juga melalui apa yang ditinggalkan kepada organisasi dan juga kewibawaan penggantinya.

Sidang perwakilan sekalian,

Sebagaimana tradisi sanawi setiap ucapan dasar saya di Perhimpunan Agung Pemuda UMNO, sekali lagi Pemuda membawa cadangan-cadangan bernas untuk dipertimbang, dan kalau elok boleh dilaksanakan oleh kerajaan.

Menjunjung prakarsa sulung tahun ini, Pemuda menyambut baik Agenda Pemerkasaan Bumiputera yang menjadi contoh afirmatif, bahawa kita tidak pernah bersifat rasis. Agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera yang telah diumumkan oleh Y.A.B. Presiden September lalu, adalah pelan tindakan menyeluruh untuk menaik taraf tahap sosioekonomi masyarakat Bumiputera, berlandaskan prinsip keadilan sosial. Agenda ulung itu langsung tidak mencantas hak orang lain, malah, apa yang kita usahakan adalah untuk memastikan kek ekonomi dapat dibesar dan diagihkan dengan adil untuk kemakmuran bersama.

Walaubagaimanapun Agenda Ekonomi Bumiputera ini tidak akan berjaya selagi dikekang halangan-halangan yang samada sengaja atau tidak sengaja didirikan untuk membantutkan kemajuan orang Melayu. Sebagai contoh kajian yang dibuat oleh Dr Mohammed Abdul Hamid dari UKM dan Dr Lee Hwok Aun dari UM, mendapati amalan pilih kasih dan diskriminasi masih berleluasa terutama dalam syarikat bukan Bumiputera terhadap pekerja Bumiputera. Menurut kajian tersebut, sungguhpun menepati dari segi merit dan kelayakkan, rata-rata Bumiputera tidak menerima perhatian yang sewajarnya. Malah ada yang dapat gaji yang kurang berbanding dengan pekerja lain yang sama kebolehan atau kelayakan. Apa yang lebih menyedihkan, kita sering nampak iklan-iklan pekerjaan yang terang-terang mengutamakan satu bangsa sahaja, dan menganaktirikan bangsa lain.

Diskriminasi ini harus segera dikekang, jadi Pemuda menggesa kerajaan untuk memastikan bahawa perkara seperti ini tidak lagi membantut usaha Kerajaan untuk melihat lebih ramai professional Bumiputera di sektor swasta. Kita akur mungkin ada yang berkata bahawa dalam aspek pengambilan pekerja, kaum Bumiputera lebih diutamakan di sektor awam. Tetapi dari segi pengurusan kanan, semakin ramai Ketua Setiausaha Kementerian dilantik dari kaum bukan Bumiputera. Malangnya hingga kini, kita masih susah sangat untuk melihat seorangpun Ketua Pegawai Eksekutif Melayu, di syarikat-syarikat milik kaum yang lain.

Cadangan kedua tahun ini melibatkan aspek keusahawanan – ramai kontraktor Bumiputera kelas G1 hingga G7, merungut tentang kekurangan kerja. Sungguhpun macam-macam projek mega diumumkan kerajaan, mereka masih ketinggalan dan perlu diberi peluang. Sehubungan dengan itu, Pemuda meminta kerajaan untuk mempelbagaikan projek-projek berskala kecil melalui inisiatif Unit Pemerkasaan Bumiputera. Pada masa yang sama, kita cari jalan untuk menambahkan peluang kepada kontraktor kecil dan sederhana yang berwibawa, agar mereka dapat menyertai projek berskala besar menerusi proses pengecilan kerja dan carving out.

Beralih pula kepada cadangan yang ketiga. Pemuda meminta kerajaan mengkaji semula pendekatan syarikat di bawah seliaan kerajaan untuk membeli barangan pembinaan seperti simen, batu, pasir dan besi, sebagaimana model terdahulu iaitu Pernas dan UDA Trading. Langkah ini boleh membantu kontraktor binaan mengatasi kekangan penawaran bahan dan harga. Namun demikian, pendekatan baru yang tuntas perlu diadakan untuk membantu usahawan yang benar-benar mahu berjaya – bukan yang mahu jadi broker saja. Cadangan ini sebenarnya sudah lama diperjuangkan tetapi masih belum jadi realiti. Pemuda meminta kerajaan menyegerakan penubuhan satu entiti yang dapat membeli bahan pembinaan dengan pukal dan menjualnya kepada kontraktor-kontraktor kecil dan sederhana pada harga berpatutan.

Dalam melestarikan tradisi sebagai pejuang orang muda, Pemuda juga mendesak agar penekanan dapat ditingkatkan dalam bidang vokasional dan kemahiran. Bagi Pemuda, inilah juga agenda bangsa yang sebenar. Latihan kemahiran bukan sahaja dapat menempa ruang kerjaya, tetapi mampu mengubah masa depan anak bangsa. Jangan kita lupa, tidak semua anak-anak muda kita berkeinginan untuk melanjutkan pengajian akademik di peringkat lebih tinggi. Untuk yang tidak sampai ke menara gading, laluan alternatif perlu disediakan. Sebagai Menteri Belia dan Sukan yang memayungi institusi kemahiran seperti Institut Kemahiran Belia Negara atau IKBN, saya amat mengerti masalah ini.

Saya berterima kasih kepada Y.A.B. Presiden yang telah bersetuju untuk menambah pengambilan pelatih IKBN sebanyak lima ribu lagi. Kualiti dan kepelbagaian latihan serta pembelajaran IKBN juga akan ditingkatkan sewajarnya. Walaubagaimanapun, Pemuda menyarankan supaya jumlah pengambilan pelatih kemahiran dapat digandakan lagi, memandangkan pelajar lepasan SPM setiap tahun mencecah hampir 500 ribu orang. Daripada jumlah ini tak sampai 40 peratus yang dapat masuk ke IPT. Apa pula tindakan kita untuk 60 peratus yang tak dapat masuk IPT? Mestilah kerajaan menyediakan lebih tempat di institut-institut latihan awam supaya mereka ini juga ada masa depan yang cerah dan tidak tercicir daripada arus perdana pembangunan.

Dan yang kelima, kerajaan telah menyediakan macam-macam peruntukan dan kemudahan untuk golongan petani, nelayan dan penternak – yang majoritinya adalah golongan Bumiputera. Walaubagaimanapun, objektif untuk meningkatkan taraf sosioekonomi golongan ini tumpul dek kerenah orang tengah yang mengaut keuntungan berlebihan. Faktor ini juga menyebabkan harga makanan di pasaran lebih tinggi daripada sepatutnya, yang mana mendatangkan beban besar kepada rakyat. Dalam hal ini, Pemuda menggesa agar rantaian nilai produk pertanian dapat dikuasai oleh golongan petani, nelayan dan penternak itu sendiri, dengan bantuan agensi kerajaan yang berkaitan. Pemuda menyokong usaha Menteri Pertanian dalam memerangi gejala orang tengah, yang telah sekian lama membantutkan usaha kerajaan memajukan petani kecil dan menghalang penurunan harga barang-barang perlu. Selain itu, sistem AP bagi produk pertanian perlu dilaksanakan secara telus dan terbuka, agar tidak wujud monopoli atau kartel yang akan menguntungkan sesetengah pihak sahaja. Melalui langkah-langkah terperinci ini, Pemuda yakin rakyat akan memperolehi manfaat dari segi harga pasaran yang lebih berpatutan.

Begitu juga apabila kita menyentuh soal rasionalisasi subsidi. Ya, Pemuda akur bahawa demi kelangsungan dan kemampanan ekonomi, subsidi perlu distruktur semula, supaya tidak bersifat pukal dan lebih menjurus kepada mereka yang memerlukan. Dalam semangat yang sama, konsisten pula dengan cadangan yang dibawa oleh Pemuda tahun lalu, kami menggesa agar kerajaan mengkaji semula sistem kebajikan yang ada sekarang. Jika perlu, kita rombak mekanisme sedia ada, kita tambah peruntukan bulanan, agar ianya benar-benar membantu golongan yang memerlukan.

Bayangkan, ada satu kes di Kampong Bongek Tengah, di kawasan parlimen saya sendiri. Seorang ibu tunggal, berumur 64 tahun, sudahlah anaknya ramai lapan orang, yang ketujuh pula OKU dan mampu terlantar saja. Si ibu tak bekerja demi menjaga anak, tapi tuan-tuan bayangkan, bantuan kebajikan yang diterima hanya RM300 sebulan sahaja. Apalah yang boleh dibeli, apa yang mampu ditampung dengan 300 itu? Nak makan pun tak cukup, apalagi nak beli ubat atau lampin. Justeru, nilai bantuan kebajikan perlu dikaji semula supaya dalam kes-kes tertentu apa yang dihulurkan benar-benar dapat meringankan beban yang ditanggung.

Sekarang rakyat dan komuniti perniagaan pula mengeluh tentang tarif elektrik yang akan naik awal tahun depan. Namun kita difahamkan bahawa peningkatan tarif elektrik ini bukan sekadar untuk menampung peningkatan harga bahan api, tetapi juga bagi menambahkan laba keuntungan TNB yang sudah berbilion ringgit jumlahnya. Sebagai GLC, TNB perlu prihatin kepada rakyat dan tidak boleh bermotifkan keuntungan semata-mata. Bagi Pemuda, kenaikan tarif yang tidak setara dengan peningkatan kos bahan api hanya menguntungkan TNB yang tampak mementingkan kantung pemegang saham, bukan rakyat jelata. Kepada TNB dan juga GLC-GLC yang lain Pemuda mendesak janganlah terlalu mementingkan prestasi kewangan semata, tanggungjawab kepada rakyat jangan sesekali dilupa.

Seterusnya yang ketujuh, saban tahun kita dengar laporan Ketua Audit Negara yang mendedahkan salah laku dan kecuaian dalam menguruskan aset atau perbelanjaan negara. Pemuda memandang serius hal ini dan mendesak agar tindakan tegas dapat diambil terhadap mereka yang terbukti bersalah. Jika ada salah laku yang nyata, kita wajib dakwa, jangan sampai rakyat tertanya-tanya. Pada masa yang sama, Pemuda mahukan agar proses audit yang berorientasikan pemantauan dan penambahbaikan dapat dilaksanakan dengan segera. Ini bagi membolehkan sebarang ketirisan dapat diketengahkan untuk tindakan kementerian yang terbabit semasa pengauditan dibuat, bukannya selepas seluruh proses itu selesai.

Isu yang kelapan ini sebenarnya tidak baru. Sebagaimana tahun lalu, Pemuda sekali lagi menyentuh isu perumahan yang merupakan masalah ruji anak muda hari ini. Kita sambut baik langkah Kerajaan mengadakan Program Rumah Transit untuk pasangan muda baru berkahwin. Tapi kerajaan mesti menambah jumlah rumah transit ini, kerana setakat 632 unit yang bakal dilancarkan tahun depan, itu tidak mencukupi berbanding dengan keperluan yang amat mendesak. Bagi tujuan ini, Pemuda memohon agar kerajaan dapat meningkatkan peruntukan kepada Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur untuk membina perumahan mampu mililk bagi generasi muda.

Kesembilan, dalam aspek hal ehwal bandar, Pemuda mengalu-ngalukan langkah kerajaan yang akan menubuhkan Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP) di 148 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), seluruh negara. Moga-moga JPP yang dilantik akan menjadi jambatan yang menghubungkan penduduk bandar dan pinggiran bandar bersama kerajaan – sama seperti Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) untuk kawasan luar bandar. Namun demikian, memandangkan ramai anak muda bermastautin di bandar, Pemuda harap agar ada kuota khas untuk golongan muda dalam setiap JPP 20 atau 30 peratus, supaya isu dan keperluan mereka akan dapat diambilkira oleh kerajaan.

Akhir sekali, Pemuda mengutuk sekeras-kerasnya negara-negara asing yang dilapor mengintip Malaysia baru-baru ini. Jangan sesekali ada yang mengambil kesempatan atas diplomasi dan semangat persahabatan yang kita tunjukkan selama ini di peringkat antarabangsa. Ini suatu penjarahan terhadap kedaulatan serta maruah negara kita. Lantaran itu, Pemuda menggesa agar Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pertahanan, Kementerian Komunikasi dan Multimedia dan Kementerian Luar Negeri dapat menyiasat punca dan cara pengintipan ini dijalankan. Pada masa yang sama, kita mesti tahu adakah negara punyai kapasiti untuk mengesan hubaya mengintip di peringkat awal lagi. Jika perlu, negara harus melaburkan wang untuk menambahbaik sistem mengesan dan memantau pengintipan asing. Kita tidak boleh ambil pendekatan acuh tak acuh dalam soal mempertahankan kedaulatan negara.

Sidang perwakilan sekalian,

Dewasa ini, makin jelas tembelang pembangkang di mata rakyat. Kalau dulu mereka pukul canang, Selangor paling hebat dalam mengamalkan pentadbiran berhemah dan berjimat-cermat, kini tindakan kerajaan Selangor menaikkan gaji Speaker, Timbalan Speaker dan Ahli Dewan Undangan Negeri mereka sehingga ratusan peratus, apa pula ceritanya? Takkan itu juga demi rakyat?

Matematik saya senang saja, kalau gaji Speaker Selangor RM22,500 sebulan, bermakna setahun RM270,000. DUN Selangor pula bersidang kira-kira, kita ambil purata, 30 hari dalam setahun. Malahan tahun lalu, persidangan DUN Selangor hanya sebanyak 21 hari sahaja. Dengan sehari saja speaker bertugas, sudah dapat RM9,000. Gaji Menteri Besar usah cerita, lagi banyak daripada gaji Perdana Menteri yang menjaga satu negara. Pihak pembangkang ini macam bunga dedap, sungguh merah berbau tidak.

Ego dan keceluparan pembangkang pula tiada batas. Semakin lama berkuasa semakin angkuh dan bongkak. DAP apabila tak kena gaya, mereka tak teragak-agak untuk memanggil penjawat awam atau sesiapa saja “anjing” atau “kucing kurap”. Bila minta maaf pun nampak sangat tak ikhlas.

Itu baru kes celupar, belum kes Karpal Singh mahu mengharamkan parti politik berasaskan kaum dan agama di negara ini. Terus naik angin Dewan Pemuda PAS dibuatnya. Sekarang, barulah PAS sedar dan lihat belang sebenar DAP, sehingga tercetus semula isu untuk muzakarah dengan UMNO. Pemuda UMNO tidak menolak apa-apa kebarangkalian, cuma harapnya janganlah idea muzakarah itu sekadar untuk menggertak DAP, tetapi lahir ikhlas dari hati PAS sendiri. Bagi Pemuda UMNO, ianya satu langkah yang murni ke arah impian menyatupadukan orang Melayu, demi kelangsungan survival ummah, bangsa dan agama.

Anak punai anak merbah
Terbang turun meredah awan
UMNO dan PAS satu ukhwah
Rapatkan jurang berpisah jangan

Saudara-saudara sekalian,

Walaupun kepincangan pembangkang semakin nyata, jangan hanya kita bersandarkan kepada kelemahan mereka untuk menang dalam pertaruhan akan datang. Biarkan si luncai terjun dengan labunya tetapi kita mesti mara dan berjuang atas kekuatan kita sendiri. Kita mesti menang bukan atas kekurangan musuh tetapi atas kehebatan kita sendiri. Tetapi jangan kita ingat perang yang akan datang itu sesuatu yang mudah. Kita berada dalam persekitaran politik yang amat mencabar. Betul kita menang PRU lepas tetapi kita masih tidak dapat menebus maruah kita sepenuhnya. Di bandar kita ketinggalan, undi bukan Bumiputera kita ketinggalan, undi popular pula tidak memihak kepada kita. Jangan kita nafikan kelemahan yang nyata.

Empat tahun bukanlah satu masa yang lama, dalam sekelip mata sekali lagi kita kembali kepada rakyat untuk menentukan survival parti. Tetapi UMNO tak pernah gentar dengan cabaran. Kita tak pernah lekang dari diuji dan telah bangkit berkali-kali dalam sejarah. Ingatlah, peranan Pemuda penting untuk memenangi hati dan jiwa pengundi muda di PRU14. Saudara semua telah memberi mandat yang besar untuk saya kekal sebagai Ketua Pemuda, tetapi saya tidak mampu melaksanakan tangggungjawab ini sendirian. Saya pohon bantuan anda semua, saya perlukan kita semua bersatu, hanya dengan bersatu kita mampu mengatasi cabaran mendatang.

Dalam seiras semangat juang, bangunlah anak bangsa jangan kau diam. Kita kerah segala kudrat atas nama perjuangan, atas nama melunas amanah, membangun nusa dan membela bangsa. Membujur lalu melintang patah, patah sayap bertongkat paruh, patah paruh bertongkat siku, tetap cekal walau jalan berliku.

Janganlah kau gentar wahai orang muda, walau sebesar mana badai melanda, walau setinggi mana puncak cita-cita, walau jauh beribu batu, walau sepanas mana lautan api – kita Pemuda UMNO tetap tidak berganjak, sanggup menggadaikan jiwa dan raga demi agama, bangsa dan tanah merdeka.

Saudara-saudaraku sekalian,

Jika ditanya siapa kita, siapa kita?
Kitalah sayap hulubang parti,
Kitalah penabur khidmat dan bakti
Kita bangkit bila jatuh, berjalan kita dengan tegap, berlari kita dengan memecut,
Kitalah pejuang paling hadapan,
Kitalah denyut dan nadi anak watan,
Kitalah penegak kewarasan iltizam,
Kitalah nakhoda meredah zaman,
Kitalah sayap Pemuda UMNO!

HIDUP UMNO!
HIDUP UMNO!
HIDUP UMNO!

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

UCAPAN DASAR PRESIDEN PERHIMPUNAN AGUNG UMNO 2013

DEWAN MERDEKA, PWTC
5 DISEMBER 2013

“UMNO: MEWAJAH MASA DEPAN”

MUQADDIMAH

Dengan menyebut kalimah Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.

1. Mendahului segalanya, Saya ingin membaca sepotong ayat dan memetik mafhum firman Allah Subhanahu wa Ta’ala, daripada surah Al-Ikhlas, ayat 1 hingga 4:

“BismillahiRahmanirRahim …Qul Huwallah Hu Ahad… Katalah wahai Muhammad, Dialah Allah, Tuhan Yang Maha Esa, Tuhan tempat berlindung, pada-Nya kita bermohon segala sesuatu, Allah Yang tidak beranak, tidak pula diperanakkan, dan sesungguhnya Dia, tidak boleh disekutu mahupun disetarakan”.

Selanjutnya, selawat dan salam buat Rasul junjungan, Nabi Muhammad SAW, serta para sahabat pilihan yang menjadi ikutan juga suri tauladan sepanjang zaman.

Saudara dan Saudari,

Para pujangga pula berperi-peri bahawa:

“Sekalipun kita tidak mampu memberi jaminan tentang masa depan anak-anak muda, namun apa yang pasti boleh dilakukan ialah menyedia dan membangun mereka untuk hari muka, kerana pemimpin yang baik lagi bertanggungjawab adalah pemimpin yang mempersiagakan pelapis masa depan.”

Saudara dan Saudari,

2. Berbekalkan pedoman-pedoman tersurat lagi tersirat yang demikian itu, sambil mengangkat sebanyak-banyak tasbih ke hadrat Ilahi, marilah sama-sama bersyukur dengan rahmatNya, yang memungkinkan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu atau UMNO terus berkeramat sebagai organisasi unggul menakhoda bahtera Melayu dan Bumiputera.

3. Hakikatnya, UMNO merupakan sebuah perjuangan yang sentiasa diduga dengan pelbagai onar dan fitnah, sebuah perjuangan yang tidak mengenal erti penat lelah, sebuah perjuangan yang tidak patah dipukul zaman. Inilah mujahadah besar yang telah sekian lama menjunjung tradisi, membela nasib bangsa, menzahir warna dan ceritera perubahan.

Saudara dan Saudari,

4. Jika dihitung dan dicongak, parti UMNO sudah berusia 67 tahun, Perhimpunan Agung ini pula mencecah siri ke-64 seraya menandakan dewan yang bertuah ini, telah menjadi saksi persidangan dilangsungkan sebanyak 28 kali semenjak tahun 1985. Begitulah, UMNO bertatih dan sudah berjalan jauh didewasakan oleh usia dan pengalaman.

Disebut orang :

“Nyiur gading puncak mahligai,
ketupat pulut berisi inti,
biar dilambung gelora dan badai,
biar dihentak bertubi-tubi,
perjuangan mulia ini tak boleh berhenti.”

Saudara dan Saudari,

5. Ingatlah pesan para ulama’, mereka yang tidak berterima kasih sesama manusia ibaratnya tidak bersyukur kepada Allah. Tegasnya, bapa-bapa kita terdahulu, telah mengasuh dan mengajar kita supaya menjadi insan yang mengenang budi.

6. Ehwalnya, UMNO adalah parti yang sentiasa menghargai penyokong dan pendokong, mengenang barisan pejuang yang lepas, selama puluhan tahun, siang dan malam, berhujan, berpanas, menumpah keringat, berkorban jiwa dan raga, menolak kepentingan diri, demi kelangsungan wadah Melayu dan Bumiputera.

7. Berkait ini, tentunya, penghargaan khas kita berikan kepada keenam-enam Presiden UMNO yang lalu, yakni Allahyarham Dato’ Onn Jaafar, Almarhum Tunku Abdul Rahman, Allahyarham Tun Abdul Razak, Allahyarham Tun Hussein Onn, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Kata orang, kepada segala khidmat yang telah dicurahkan, hati mengenang mulut menyebut, hanya Allah jua yang mampu membalasnya.

8. Semestinya lagi, kepada wirawan-wirawan parti yang kini sedang bersemadi dan telah pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya, seyogialah kita sedekahkan Ummul Kitab, Al-Fatihah.

Saudara dan Saudari sekalian,

9. Jika kita imbas kembali, negara mencapai kemerdekaan, pada 31 haribulan Ogos tahun 1957, rakyat telah hidup dalam keharmonian, bersatu padu, membina negara. Pada 16 haribulan September 1963 pula, Sabah dan Sarawak telah bergabung bagi membentuk Malaysia. Syukur Alhamdulillah, penyatuan ini, membawa berjuta rahmat kepada kita.

10. Hasilnya, kita telah membentuk perikatan dan gabungan parti-parti politik bagi membina gandingan kukuh yang kita namakan Barisan Nasional.

11. Seperti semua maklum pula, pada bulan Mei yang lalu, kita telah menghadapi Pilihanraya Umum ke-13. Sehubungan itu, bagi pihak Kerajaan, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada rakyat Malaysia, terutamanya masyarakat Melayu dan Bumiputera yang telah menunjang, mandat serta kepercayaan kepada Barisan Nasional untuk terus memimpin negara.

12. Apa yang lebih bererti adalah, UMNO sebagai parti tonggak, telah berjaya menambah kerusi Parlimennya daripada 79 kepada 88. Ini membuktikan, walau apapun rintangan, sekali apapun halangan, Kepimpinan Transformatif UMNO, bersama parti-parti komponen Barisan Nasional, terus kukuh, terus kental dan terus ampuh bertahan, sebagai parti pilihan rakyat, untuk tempoh 5 tahun yang akan datang.

Saudara dan saudari,

13. Kita turut bersyukur kerana Sabah dan Sarawak telah menyumbang sebanyak 47 kerusi kepada Barisan Nasional. Saya sebut baru-baru ini, dalam Bahasa Iban “Utai Besai Gaga’miet”, maksudnya jika kita bersatu padu, hidup saling berganding-ganding, tiada masalah yang tidak dapat diselesaikan.

14. Sebab itulah, kita tidak pernah lupa jasa, kita tidak sekali-kali alpa, dengan sokongan dan pengorbanan orang Sabah dan Sarawak. Jadinya, sebagai tanda kasih dan penghargaan kepada saudara-saudari kita di sana, saya telah melantik 13 Menteri dan 8 Timbalan Menteri. Masing-masing 6 Menteri dan 4 Timbalan Menteri dari Sabah, manakala 7 Menteri dan 4 Timbalan Menteri dari Sarawak.

Saudara dan Saudari sekalian,

15. Sememangnya pun, kita berasa amat bersyukur atas kemenangan dalam Pilihanraya Umum tersebut, satu pilihanraya besar yang begitu sengit dan penuh tentangan. Diperakui episod pilihanraya baru-baru ini agak berlainan dan mencabar sekali.

16. Namun, kita boleh berbangga, kerana semuanya itu dilalui dengan teratur menurut batas-batas dan lunas-lunas demokrasi, sebagaimana yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan sehingga diberi gelar oleh kawan dan lawan sebagai ibu segala pilihanraya.

Saudara dan Saudari,

17. Berbicara tentang Pilihanraya Umum Ke-13 lalu, bidalan Melayu menyebut, bila rumah siap, pahat pun mula berbunyi. Nampaknya pihak pembangkang tidak berlapang dada menerima kemenangan kita. Ada saja yang dikatakan tidak kena, ada saja yang dikorek-korek sebagai silap di mata mereka.

18. Misalnya, mereka semacam tidak faham dan tidak mahu memperakui sistem first-past-the-post. Ingin saya terangkan bahawa sistem ini telahpun kita amalkan sejak pilihanraya 1959 lagi, di mana, parti pertama yang mencapai majoriti, diisytihar menang. Maknanya, semasa pilihanraya tersebut, apabila Barisan Nasional mencecah 112 daripada 222 kerusi, menurut sistem ini, tuan-tuan dan puan-puan, kita berhak membentuk Kerajaan seperti yang dilakukan.

19. Kalau saya nak bagi analogi untuk kefahaman ramai, cerita mudahnya begini. Katalah dalam satu perlawanan badminton, Najib melawan Anwar, ke Anwar melawan Najib, mana-mana pun tak kisahlah. Dalam set pertama Najib menang 21-15, dalam set kedua Najib kalah 05-21, tetapi set penentu Najib menang 21-16.

20. Tentulah dalam perlawanan ini, memenuhi peraturan, pengadil mengisytiharkan Najib menang. Tetapi Anwar membantah tak setuju kerana katanya, jumlah mata terkumpul beliau adalah 52 berbanding Najib 47. Mana boleh kira macam tu, tak betul tu. Kita ada sistem, kita main ikut set. Siapa menang majoriti, dialah juara!

21. Namun demikian, jika dikira undi popular sekalipun, kita tetap menang di sembilan negeri daripada empat belas buah negeri, manakala mereka hanya menang undi popular di empat negeri sahaja.

Saudara dan Saudari,

22. Sebenarnya, perbandingan ini adalah tidak adil, kerana pembangkang bertanding di atas tiga parti yang berasingan dengan simbol yang berlainan, serta ideologi yang berbeza, sedangkan UMNO dengan berdiri di atas nama parti tersendiri memperoleh peratusan tertinggi undi popularnya. Kalau nak di kira macam tu, UMNOlah yang paling popular.

23. Berbalik kepada kemenangan kita, di atas segalanya, selaku Presiden parti mewakili barisan kepimpinan, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak, terutamanya kepada jentera-jentera parti di setiap peringkat merangkumi cawangan, pusat daerah mengundi, bahagian dan negeri, yang saya tahu, telah berusaha mati-matian, menggempur dan membungkam kubu lawan, mematahkan serangan, dan paling mustahak sekalipun kita diasak, dihelah, akhirnya, dengan kehendak Allah SWT jua, kita dapat menumpas dan meranapkan impian pembangkang ke Putrajaya.

Saudara dan Saudari,

24. Berkait perkara ini juga, ingin saya pertegaskan bahawa penyataan Anwar Ibrahim dalam ceramahnya di salah sebuah universiti di Indonesia baru-baru ini, kononnya kemenangan UMNO dan Barisan Nasional disebabkan faktor manipulasi dan korupsi adalah sungguh tidak berasas, tidak bertanggungjawab dan sungguh memesongkan.

Saudara dan Saudari,

25. Pada bulan Oktober yang lalu, satu lagi tawarikh amat penting telah ditempa oleh UMNO apabila pemilihan teraju parti, dari peringkat akar umbi sehingga ke saf kepimpinan pusat, buat julung-julung kalinya, dilaksana secara telus dan terbuka, selepas pindaan perlembagaan parti dibuat pada Perhimpunan Agung Khas UMNO tahun 2009.

26. Terdapat 7 pindaan dibuat demi memastikan UMNO terus dinamik, demokratik dan relevan sampai bila-bila.

27. Pada pindaan pertama. Ia meluaskan jumlah perwakilan dan sekaligus memindahkan kuasa memilih Ahli-ahli Majlis Tertinggi termasuk Pengerusi Tetap dan Timbalan Pengerusi Tetap, ke peringkat Mesyuarat Perwakilan Bahagian. Terbukti, sistem pengundian baru ini membuatkan ramai perwakilan UMNO gembira dan teruja kerana kini hak dan suara mereka diiktiraf.

28. Pindaan kedua pula, berkaitan penghapusan kuota kelayakan untuk bertanding dan digantikan dengan syarat paling minima. Pindaan ketiga, berhubung pertambahan wakil Wanita selaku ahli lantikan di semua peringkat. Pindaan keempat, merujuk kepada penubuhan Jawatankuasa Pemilihan UMNO atau JPU.

29. Seterusnya, pindaan kelima, adalah pemansuhan yuran tahunan. Pindaan keenam pula, membabitkan pembukaan pendaftaran keahlian bagi menggalakkan kemasukan ahli-ahli baru melalui ketua-ketua sayap. Manakala, pindaan ketujuh ialah menjadikan Setiausaha Bahagian secara automatik sebagai perwakilan ke Perhimpunan Agung Tahunan.

30. Jelasnya, buat kali pertama dalam sejarah, seramai 146,500 perwakilan UMNO dari 191 bahagian yang meliputi 21,208 cawangan, bermula dari Arau di Perlis, membawa ke Semporna, Sabah, berpeluang memilih bukan sahaja kepimpinan bahagian, malah jawatan Presiden, Timbalan Presiden, Naib-Naib Presiden dan 25 Ahli Majlis Tertinggi.

Saudara dan Saudari,

31. Jika selama bertahun-tahun, ramai memberi kritikan dan pernyataan sinis, bahawa parti UMNO yang hayatnya melebihi enam dekad ini, katanya sudah jumud, sudah tidak relevan dan dikuasai pula oleh kelompok-kelompok tertentu. Hinggakan ramai pihak dari dalam mahupun luar, begitu yakin mengandaikan bahawa UMNO tidak mungkin sanggup dan tidak mungkin berani melakukan apa-apa perubahan.

Saudara dan Saudari,

32. Ternyata, UMNO tidak jumud, terbukti, UMNO tidak gentar menyahut cabaran malah terus iltizam melakukan perubahan.

33. Alhamdulillah, cadangan pindaan perlembagaan yang diusulkan pada Perhimpunan Agung 2009, baru-baru ini, sudah pun selesai dilunaskan. Ramai pihak yang terkejut dan terkesima dengan kesungguhan kita ini.

34. Sememangnya, pindaan perlembagaan yang dibuat ini, sebagai menyahut cabaran, sebagai menjawab sindiran, serta menyangkal telahan sekaligus menjadi langkah paling berani yang pernah diambil oleh mana-mana parti politik di dunia.

35. Hasilnya, berlakulah transformasi politik yang didambakan dalam UMNO, di mana, seramai 64 orang atau 33.5 peratus Ketua-Ketua Bahagian terdiri daripada muka-muka baru di seluruh negara.

36. Manakala muka baru bagi Ketua Wanita Bahagian ialah 73 orang yang mewakili 38.2 peratus, Ketua Pemuda Bahagian 161 orang yang mewakili 84 peratus. Ketua Puteri Bahagian pula seramai 143 orang yang mewakili 75 peratus.

37. Namun, saya tahu benar, barangkali ada segelintir yang masih memberi komentar dan tidak berpuas hati dengan keputusan dan kaedah yang digunakan tersebut. Tapi kita harus beringat, ini merupakan rekod pencapaian buat kali pertama sesudah pindaan perlembagaan diperkenalkan. Mustahaknya, jika masih terdapat kekurangan, kita sanggup melakukan penambahbaikan.

Saudara dan Saudari sekalian,

38. Bertolak daripada pemilihan parti yang disifatkan oleh ramai pemerhati sebagai proses yang sangat demokratik ini, dengan penuh kerendahan hati, saya, Mohd Najib bin Abdul Razak, berasa bersyukur yang amat sangat ke hadrat Allah SWT, dan berterima kasih kepada semua ahli UMNO, yang telah memberi kepercayaan dan mandat kepada saya, dengan memilih saya sebagai Presiden UMNO dengan menang tanpa bertanding.

39. Saya berjanji dan berikrar dengan segenap daya dan kemampuan, untuk memberi yang sehabis baik kepada UMNO dan rakyat Malaysia.

40. Di sini juga, saya mengambil kesempatan mengucapkan sekalung tahniah dan kita beri tepukan kepada Yang Amat Berhormat Tan Sri Muhyiddin bin Mohd Yassin, yang telah menang tanpa bertanding bagi jawatan Timbalan Presiden UMNO.

41. Syabas dan tepukan juga ditujukan kepada semua pimpinan, yang memenangi jawatan Naib-Naib Presiden, terdiri daripada Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Dato’ Seri Shafie Afdal dan Dato’ Seri Hishammuddin Hussein, (yang sekarang berada di hospital, kita doakan semoga beliau cepat sembuh). Tahniah juga kepada Ahli-Ahli Majlis Tertinggi, Ketua Bahagian, Ahli Jawatan Kuasa Bahagian dan Cawangan, Wanita, Pemuda, dan Puteri.

42. Demikianlah juga tahniah, kepada Dato’ Seri Shahrizat Abdul Jalil, yang dipilih sekali lagi sebagai Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia. Sebagai makluman semua, Dato’ Seri Shahrizat ini, sebagai mewakili Wanita UMNO, beberapa kali menyuarakan kepada saya, hasrat supaya Wanita digelar sebagai tulang belakang parti.

43. Malah pagi semalam kesungguhan ini ditunjukkan oleh Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia, semasa saya menjenguk mereka di persidangan, beliau menepuk-nepuk tulang belakangnya sebagai isyarat kepada Ketua Wanita Temerloh, yang sedang berucap pada ketika itu, supaya menyebut bahawa Wanita UMNO sangat-sangat mahu digelar sebagai tulang belakang parti.

44. Saya mendengar, dan saya timbang-timbangkan permintaan itu. Bila saya fikir-fikir, sebenarnya peranan dan kegigihan Wanita UMNO sejak dulu sudah sememangnya amat dihargai dan disanjung tinggi. Maka dengan ini, dengan rasminya saya mengisytiharkan Pergerakan Wanita UMNO Malaysia sebagai tulang belakang atau ibu kepada parti. Terima kasih Wanita!

45. Seterusnya, syabas kepada Yang Berhormat Saudara Khairy Jamaluddin, yang telah menang dan mempertahankan kedudukan sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia. Tentunya, Pemuda harapan bangsa, Pemuda adalah benteng dan pewaris kepimpinan parti dan negara. Terima kasih Pemuda!

46. Tahniah juga kepada Ketua Pergerakan Puteri UMNO yang baru, Yang Berhormat Puan Mas Ermieyati Samsudin. Saya menaruh keyakinan bahawa setelah lebih 12 tahun ditubuhkan, Puteri semakin bijak dan matang memainkan peranan mereka di dalam parti dan negara. Benarlah bahawa, pemudi harapan pertiwi. Terima kasih Puteri!

47. Syabas juga kepada pimpinan parti di bahagian-bahagian dan cawangan-cawangan, Wanita, Pemuda dan Puteri yang telah dipilih bagi jawatan dalam pemilihan UMNO. Terima kasih semuanya.

Saudara dan Saudari,

48. Berhubung pemilihan ini, pada pandangan saya, yang kalah tak bermakna tewas semuanya. Kepada yang menang pula, jangan meminggirkan yang lain.

49. Kepada yang kalah, jangan pula bawa diri, teruskanlah perjuangan bersama yang menang dan kepada yang menang pastikan anda terus mengajak mereka yang kalah untuk bersama membangunkan parti tercinta ini.

50. Apa-apa pun, beringatlah semua, perkara yang paling penting, kita dalam UMNO ini seperti sebuah keluarga yang besar, carik-carik bulu ayam, akhirnya bercantum jua.

Saudara dan Saudari,

51. Menyongsong populasi negara, pada tahun 1970, Bumiputera berjumlah 6.1 juta atau 56 peratus daripada keseluruhan penduduk. Orang Melayu terdiri daripada 41 suku dengan sembilan induk utamanya. Orang Asli pula terbahagi kepada 18 kategori. Masyarakat Bumiputera di Sabah diwakili lebih 60 etnik, manakala di Sarawak pula jumlahnya lebih 40 suku.

52. Menurut unjuran terkini, warganegara Malaysia, adalah seramai 27.4 juta orang. Bumiputera seramai 18.6 juta atau 67.9 peratus. Banci Penduduk dan Perumahan 2010, menunjukkan Orang Melayu dan Bumiputera Islam berjumlah 59.7 peratus. Manakala Bumiputera Bukan Islam pula, jumlahnya 7.6 peratus daripada bilangan rakyat keseluruhannya.

53. Lanjutan itu, unjuran penduduk Malaysia menjelang 2020 dijangka meningkat kepada 29.9 juta orang, dengan jumlah Melayu dan Bumiputera, samada Islam mahupun bukan Islam seramai 20.7 juta atau 69.2 peratus, Cina 6.8 juta atau 22.8 peratus, India 2.1 juta atau 7 peratus dan kaum-kaum lain sebanyak 306,000 atau 1 peratus.

Saudara dan Saudari,

54. Melihat kepada peratusan etnik dan pecahan kelompok rakyat Malaysia yang saya nyatakan tadi, saya renung-renung, saya tidak ingat, bila pulak kita ada suku kaum Bangladesh?

55. Saya timbulkan perkara ini kerana semasa kempen pilihanraya yang lalu, tak henti-henti pihak pembangkang mencanang di sana sini kononnya Kerajaan telah membawa masuk lebih 40,000 orang warga Bangladesh sebagai pengundi UMNO dan Barisan Nasional. Perkara ini tampaknya kita tak dapat bendung-bendung lagi untuk dirungkaikan misterinya.

56. Lantaran, semasa lawatan rasmi saya ke Dhaka, Bangladesh, baru-baru ini, saya terpanggil untuk mengucapkan orang Bangladesh panggil, ‘Dhonnobad’ yakni terima kasih dalam bahasa Bengali kepada Perdana Menterinya Sheikh Hasina, kerana telah membantu menyedia sekian banyak rakyatnya sebagai pengundi seperti dimomokkan oleh pembangkang. Ternyata, bak kata orang Pekan, maaf cakap, sampai terkejut Sheikh Hasina sambil menggeleng-gelengkan kepala dengan tegas beliau menafikan bahawa perkara itu tidak benar sama sekali.

57. Begitulah, tuan-tuan dan puan-puan, betapa kuatnya pemimpin pembangkang suka berkata bohong dan berkalam yang dusta-dusta.

Saudara dan Saudari,

SENARIO TRANSFORMASI DI DUNIA

58. Transfomasi adalah sesuatu yang hidup dan bukannya berkala, tidak sahaja berlegar dalam dunia maya dan idea, namun hasilnya dapat dilihat mata kasar dan dinikmati serta dirasai. Dalam kata lain, transformasi adalah ikhtiar demi memastikan hari esok lebih baik daripada hari semalam.

59. Lalu, kalau kita amati senario dunia, setiap negara, tanpa gagal, akan melalui beberapa transformasi pada satu ketika dalam sejarah mereka. Ini disebabkan oleh tiga faktor utama. Pertama, norma dan nilai-nilai global telah melebihi apa yang masih diamalkan di negara tersebut. Kedua, kemajuan inovasi, sains dan teknologi telah menjadikan sebuah negara perlu bersaing dalam pasaran dan ekonomi berasaskan pengetahuan. Ketiganya, jika tidak berlaku transformasi, kita akan kekal terperangkap dalam belenggu negara sederhana, kurang kompetitif, dan kemungkinan dipintas oleh negara-negara lain.

60. Justeru itulah kita menyaksikan proses transformasi dilalui oleh pelbagai negara bangsa. Malahan kuasa dunia sebelum ini seperti Great Britain sedang mengalami transformasi mereka sendiri dan belajar meninggalkan kegemilangan sebagai empayar dengan menelan pahitnya ubat realiti abad ke-21.

61. Korea Selatan pula menjalani proses tranformasi gelombang ketiga yang bertunjangkan eksport, baik dari segi budaya mahupun teknologi dan peralatan. Sebenarnya lagi, transformasi yang berlaku di Korea boleh dijadikan contoh bagi kita dalam memenuhi kehendak ekonomi berasaskan pengetahuan sebagai pra-syarat pembangunan dewasa ini.

62. Hatta negara besar China juga mengharung gelombangnya yang tersendiri. Proses yang disebut Transformasi 383 di China itu, mengakui kepentingan untuk keluar dari perangkap pendapatan pertengahan dan menuju ke arah negara berpendapatan tinggi.

Saudara dan Saudari,

TRANSFORMASI NEGARA DIPELOPORI UMNO

63. Menyingkap tabir sejarah negara kita, fasa kejatuhan Empayar Kesultanan Melayu Melaka pada tahun 1511 telah melabuhkan tirai era kegemilangan pemerintahan bangsa Melayu semenjak tahun 1400, malah ada juga kajian yang menyatakan ia sebenarnya bermula dari sekitar tahun 1262 lagi. Selepas itu, hampir 8 kurun lamanya bangsa Melayu telah menjadi lemah, seolah-olah melalui zaman gelapnya tersendiri dan hilang punca untuk bangkit semula.

64. Kelahiran UMNO tanggal 11 Mei 1946 merupakan titik tolak, yakni Transformasi Pertama yang besar lagi unggul kepada bangsa Melayu dan pembikinan negara ini. Hakikatnya, sesudah muncul parti keramat UMNO, barulah orang Melayu kembali belajar erti kepimpinan dan hidup berpersatuan.

65. Malah, semenjak itu, tidak boleh dinafikan bahawa, parti UMNO inilah yang sekian lama menjadi teras dan menunjang orang-orang Melayu melalui gabungan persatuan yang sebelum itu bergerak nafsi-nafsi. Jangan sesekali kita lupa, bahawa UMNOlah yang membawa kepada kebangkitan untuk menentang penubuhan Malayan Union, seterusnya menuntut hak bagi mencapai kemerdekaan.

66. Bahkan, saudara dan saudari, tidak keterlaluan untuk kita nyatakan di sini bahawa melalui UMNOlah orang Melayu berjaya membebaskan pemikiran berjiwa hamba kepada jiwa merdeka. Melalui parti berdaulat inilah orang-orang Melayu berpadu membentuk saf yang tersusun kemas dan rapi, umpama suatu binaan yang tidak mampu dirongkaikan.

67. Hakikatnya, bernaung di bawah panji-panji UMNOlah, orang-orang Melayu telah membina perpaduan dan mengukuhkan kesatuan demi membela untung nasib bangsa dan tanahair dari dulu, kini dan InsyaAllah selama-lamanya.

Saudara dan Saudari,

TRANSFORMASI EKONOMI NEGARA

68. Menyongsong transformasi negara, jika diimbau kembali, Dasar Ekonomi Baru telah berlangsung di antara tahun-tahun 1971 hingga 1990. Semenjak tahun 1965 sehingga tahun 2010 pula, sebanyak 10 Rancangan Malaysia, 3 Rangka Rancangan Jangka Panjang telah dilaksanakan.

69. Dasar Pembangunan Nasional pula, melewati tempoh-tempoh tahun 1991 sehingga tahun 2000. Kemudiannya, Dasar Wawasan Nasional merentasi tahun 2001 sehingga 2010.

70. Manakala, selepas mengambil alih tugas sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, semasa membentangkan Bajet tahun 2010, saya telah melancarkan Dasar Transformasi Nasional atau DTN, sebagai paksi pengukuhan transformasi ekonomi menuju negara maju.

71. Bertitik tolak dari situ, sejak tahun 2009, rekod prestasi menunjukkan, kita bukan kerajaan yang hanya pandai menabur janji. Sepanjang kita mentadbir, puluhan pencapaian telah dan sedang diraih.

72. Kita bukan sahaja menerima pengiktirafan dari dalam negara, malah badan-badan penilai antarabangsa turut mengakui prestasi cemerlang kita. Realitinya, kita secara berterusan mempersembahkan kepada rakyat hasil transformasi sebenar.

Contohnya, hasil transformasi negara boleh disaksikan daripada peningkatan Pendapatan Negara Kasar atau PNK per kapita daripada 257 dolar Amerika pada tahun 1957 kepada 9970 dolar Amerika pada tahun 2012. Ini merupakan peningkatan hampir 4000 peratus dalam tempoh lebih lima dekad.

Ingin saya kongsikan di sini, pendapatan perkapita tahun 2014 pula, dijangka akan mencecah 34,126 ringgit berbanding 24,879 ringgit pada tahun 2009. Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 37 peratus dalam tempoh 6 tahun.
Sehubungan hal itu, Saudara dan Saudari, jika dicongak, besar kemungkinan pendapatan perkapita pada tahun 2020 kelak mampu melebihi sasaran 46,500 ringgit atau 15 ribu dolar Amerika. Ertinya di sini, Insya-Allah, kita mampu menjadi negara maju lebih awal daripada tahun 2020.

Kadar kemiskinan pula terus menurun daripada lebih enam puluh peratus pada awal kemerdekaan kepada 1.7 peratus pada tahun 2012. Jurang pendapatan di kalangan rakyat Malaysia juga bertambah baik. Terkini, purata kadar inflasi negara juga kekal berada di paras yang rendah iaitu 2.2 peratus pada suku ketiga 2013.

Hari ini, Malaysia merupakan satu-satunya negara yang menjadikan usaha membanteras rasuah sebagai Penunjuk Prestasi Utama atau KPI negara. Inisiatif NKRA Membanteras Rasuah telah menunjukkan keberkesanan apabila kedudukan Indeks Persepsi Rasuah oleh Transparency International menyatakan kita berada pada kepada kedudukan 53 daripada 177 buah negara pada tahun 2013. Meskipun begitu, dari masa ke semasa kita harus memperbaiki dan berikhtiar memerangi rasuah, dan di samping itu menurunkan kadar jenayah, supaya rakyat dapat hidup dalam keadaan selamat dan sentosa.

Selain itu, World Bank Ease of Doing Business Report 2014, menunjukkan berlakunya peningkatan dari kedudukan 23 pada tahun 2009 kepada kedudukan keenam pada tahun 2014 dengan menyenaraikan Malaysia sebagai negara paling mesra perniagaan di dunia. Menurut laporan yang sama juga, Malaysia mengekalkan kedudukan pertama di dunia dari segi akses kepada kemudahan kredit selama enam tahun berturut-turut.

Seterusnya, Saudara dan Saudari,

Kepada yang gemar melancong dan berbelanja pula, tak payah pergi jauh-jauh. Kini, Malaysia sudah terkenal antara destinasi utama atau shopping paradise pilihan pelancong. Menurut laporan CNN Travel 2013, Kuala Lumpur menduduki tempat keempat sebagai bandaraya paling popular untuk membeli-belah selepas New York, Tokyo dan London. Kepada sesiapa yang hendak beli kasut ke, jam tangan ke, beg tangan ke, Kuala Lumpur pun dah ternyata hebat!

Saudara dan Saudari,

73. Rentetan pelbagai pengiktirafan tersebut, Oktober baru-baru ini, semasa Sidang Kemuncak Keempat Global Entrepreneur Summit di Kuala Lumpur, mesej ucapan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama, telah memperakui Malaysia sebagai sebuah negara yang mempunyai ekonomi dinamik, menjadi penggerak kemakmuran serantau dan sebagai sebuah negara yang mendakap ekonomi global.

74. Tidak terhenti setakat itu, sebuah lagi kuasa besar dunia, yakni China melalui pernyataan Presidennya, Xi Jinping, turut memuji Malaysia sebagai rakan kongsi yang boleh dipercayai. Bagi beliau, Malaysialah sahabat sejati negara China, ketika susah dan ketika senang.

Saudara dan Saudari,

75. Pada sisi lain, dalam Bajet 2014 yang lalu pula, saya telah bentangkan di Dewan Rakyat tentang Cukai Barang dan Perkhidmatan atau Goods and Services Tax yakni GST. Sayangnya, hakikat kepentingan GST terhadap ketahanan dan keteguhan ekonomi negara, telah dipusing dan dipesong faktanya oleh pihak pembangkang. Sehinggakan ramai yang menjadi keliru kononnya, cukai GST ini akan menindas rakyat.

76. Saya berharap, semua pihak dapat memahami hal GST ini dengan sewajarnya. Kita tidak boleh terpengaruh dengan dakyah-dakyah pembangkang yang ternyata tidak berasas.

77. Sesungguhnya kita perlu fahami dengan baik-baik, bahawa GST yang bakal dilaksanakan pada 1 April 2015, kira-kira 16 bulan lagi, bukanlah cukai tambahan baru. Sebaliknya, ia menggantikan cukai jualan dan cukai perkhidmatan atau Sales Tax dan Services Tax yang akan dimansuhkan.

78. Untuk makluman saudara dan saudari, GST adalah satu sistem percukaian yang terbaik setakat ini dan terbukti berkesan dan perlu dilaksanakan untuk kita kekal kompetitif. Tambahan pula, lebih 160 buah negara di dunia telah pun melaksanakan GST. Sekiranya GST ini memudaratkan rakyat dan negara, masakan majoriti negara di dunia telah mengguna pakai sistem percukaian ini. Tambahan pula, GST pada kadar 6 peratus ini merupakan yang terendah di kalangan negara ASEAN.

79. Oleh yang demikian, usahlah kita risau-risau, beberapa barangan dan perkhidmatan asas sebenarnya dikecualikan dari cukai GST. Antaranya beras, gula, garam, tepung, minyak masak, kacang dhal, rempah ratus, ikan masin, cencalok, budu sekalipun belacan.

Saudara dan Saudari,

80. Pada sudut lain, sebagai sebahagian daripada usaha rasionalisasi subsidi, dan demi kesihatan rakyat, Kerajaan telah membuat keputusan melalui Bajet yang lalu untuk memansuhkan sepenuhnya subsidi gula. Statistik menunjukkan terdapat 2.6 juta rakyat Malaysia yang berumur 30 tahun ke atas menghidap penyakit diabetes.

81. Jika tidak dikawal, kita akan mendapat pelbagai komplikasi seperti penyakit jantung, kerosakan buah pinggang, buta mata dan kaki terpaksa dipotong. Dalam perkara ini, rakyat harus faham bahawa langkah Kerajaan ini adalah demi kebaikan semua. Ini kerana kerajaan sayangkan rakyat dan bertanggungjawab untuk menghindarkan rakyat daripada menghidap penyakit diabetes.

82. Cuba kita lihat di sekeliling kita, berapa ramai rakan-rakan dan saudara mara kita menjadi mangsa diabetes. Bayangkan tuan-tuan, kalau kita sudah menghidap diabetes, macam-macam penyakit lain pula pasti akan datang. Kesannya sangat dahsyat, hingga menjejaskan kesihatan zahir dan batin, dan akhirnya boleh membawa maut. Seperti kata Profesor Diraja Ungku Aziz, gula itu adalah racun.

Saudara dan Saudari,

83. Kita turut mendengar ramai berkata, kenapa Barisan Nasional bila menang pilihanraya terus naikkan harga minyak. Ini adalah pernyataan yang tidak benar sama sekali. Kita kena faham bahawa minyak adalah komoditi dunia. Harganya bergantung kepada pasaran antarabangsa dan di luar kawalan ekonomi dalaman sesebuah negara.

84. Sebenarnya harga minyak tak naik, cuma kita kurangkan subsidinya sahaja sebagai langkah rasionalisasi. Ini kerana kita tidak boleh lagi terus kekal menampung subsidi petrol yang mencecah RM24.8 bilion setahun. Tambahan lagi subsidi sebelum rasionalisasi ini diberikan secara pukal hinggakan mereka yang tidak selayaknya untuk dapat, juga turut menerima. Jadi, kita tidak mampu terus mengekalkan subsidi sebegini kerana khuatir ia akan menjejaskan daya saing ekonomi negara.

85. Kerana itulah, Kerajaan kini memberikan subsidi bersasar kepada kelompok yang benar-benar memerlukan seperti siri-siri Bantuan Rakyat 1Malaysia atau BR1M yang secara berperingkat akan mencapai RM1,200 kelak, termasuklah caruman Insurans Takaful Berkelompok Rakyat 1Malaysia atau i-BR1M bernilai RM50 diberi kepada semua ketua isi rumah penerima BR1M yang dapat memberi perlindungan maksimum sehingga RM30,000, jika berlaku kematian atau hilang upaya kekal.

86. Pelbagai usaha transformasi ini, kita dapat melihat kesan positifnya di mana agensi penarafan kredit utama antarabangsa Moody’s, baru-baru ini telah meningkatkan prospek penarafan kredit Malaysia daripada “Stabil” kepada “Positif”. Ini bermakna terdapat potensi untuk penarafan kredit negara dinaikkan daripada ‘A3′ kepada ‘A2′, jika dasar rasionalisasi subsidi ini diteruskan, di mana hutang akan dapat dikuncupkan. Seandainya penarafan dapat dinaikkan, pastinya kos pinjaman dapat dikurangkan, dan keyakinan dunia terhadap kita dapat ditingkatkan, dengan ini mampu memajukan ekonomi negara.

87. Ringkasnya, kesemua usaha-usaha rasionalisasi subsidi ini adalah merupakan inisiatif konsolidasi fiskal yang perlu Kerajaan lakukan demi untuk memperteguh ketahanan ekonomi negara. Sebagai analogi, jika kita makan ubat antibiotik, kita perlu mengambilnya mengikut jadual yang ditetapkan dan perlu makan sehingga habis. Barulah kita akan sembuh sepenuhnya.

Saudara dan saudari,

UMNO SEBAGAI PARTI HARAPAN UNTUK MASA DEPAN :

TRANSFORMASI UMNO

88. Kepimpinan UMNO bukan sahaja komited malah percaya hanya dengan melakukan transformasi kita akan terus relevan dan menjadi peneraju kepada halatuju negara. Dalam hal ini, Perdana Menteri Britain, David Cameron semasa sidang akhbar bersama pada April 2012, telah memuji kesungguhan dan keazaman kita dalam melakukan transformasi politik dan negara.

89. Lantaran, diingatkan bahawa transformasi UMNO tidak akan berjaya sekiranya idea dan perubahan hanya digenggam di peringkat atasan sahaja. Transformasi ini mestilah didakap erat oleh setiap ahli UMNO.

90. Saya yakin, dengan usaha bersungguh dan pembuktian-pembuktian ini UMNO sedang menjalankan sebuah transformasi yang sebenar secara inklusif. Pastinya dengan nawaitu yang betul kita akan menerima sokongan dan dokongan daripada rakyat. Sebab itulah antara lain kita melantik ahli-ahli tambahan sebagai ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang mewakili generasi muda, ahli-ahli cerdik pandai, golongan agamawan dan para teknokrat.

91. Pucuk pangkalnya, setiap ahli UMNO adalah agen transformasi yang mencerminkan hala tuju baru siasah politik negara. Makanya, UMNO harus memperkukuh kuda-kuda dan memperkemas kisi-kisi, untuk menonggak Barisan Nasional dan negara supaya kita bukan sahaja boleh terus mentadbir lima tahun akan datang, malah mudah-mudahan kita akan terus menjadi juara bagi tempoh 50, malahan 100 tahun akan datang.

Saudara dan Saudari,

92. Justeru, kita tidak boleh lalai dan leka. Kita perlu mempersiap dan mengukuhkan parti kita. Walaupun kita telah menawan semula negeri Kedah, waima kita telah mengukuhkan kembali kedudukan kita di Perak, ternyata masih banyak lagi usaha, masih banyak lagi kerja yang belum selesai. Kita tidak akan sekali-kali duduk berpeluk tubuh dan lemah bersimpuh, sebaliknya di perhimpunan ini kita akan memperbaharui tekad dan menggagas semula formula kejayaan berteraskan lima pengisian transformasi.

LIMA PENGISIAN TRANSFORMASI UMNO

Saudara dan saudari,

93. PENGISIAN TRANSFORMASI UMNO YANG PERTAMA: MEMPERTEGUH EKONOMI MELAYU DAN BUMIPUTERA. Seperti semua maklum, populasi Melayu dan Bumiputera, Islam dan bukan Islam di Malaysia adalah sebanyak 67.9 peratus melebihi dua pertiga jumlah keseluruhan rakyat Malaysia. Sebagai kaum majoriti, agenda pemerkasaan ekonomi Melayu dan Bumiputera, sewajibnya menjadi agenda teras nasional. Apa guna jika negara kita maju, tetapi rakyat majoritinya terpinggir dan tidak terbela.

94. Kendati itulah, sejak merdeka, Kerajaan Barisan Nasional yang diungguli UMNO telah mewujudkan pelbagai instrumen bagi memastikan kedudukan ekonomi orang-orang Melayu terus berkembang dan dipelihara.

95. Lantas, menjelang negara maju kelak, kita hendak melihat orang Melayu dan Bumiputera mencapai tahap kemajuan yang setanding dengan orang lain tanpa meminggirkan pembelaan terhadap mana-mana golongan.

96. Atas semangat itulah, saya telah mengumumkan penubuhan Majlis Ekonomi Bumiputera atau MEB. Ia akan bersidang sebulan sekali, atau jika ada keperluan, lebih daripada itu, dengan menjemput secara ad hoc badan-badan atau agensi Melayu dan Bumiputera yang berkaitan.

97. Saya juga telah mengumumkan penambahbaikan TERAJU, mewujudkan Skim Permulaan Entrepreneur Baru Bumiputera atau SUPERB, menubuhkan Dana Pendidikan MARA dan Kerajaan pada nisbah 1 kepada 1 yang berjumlah RM1 bilion, serta skim Amanah Saham Bumiputera 2 atau ASB2 sebanyak 10 bilion unit.

98. Pokoknya, selagi ada bulan dan bintang, selagi hayat dikandung badan, bak kata orang Sabah, agenda pemerkasaan Melayu dan Bumiputera tatap akan kita perjuangkan.

Saudara dan Saudari,

99. PENGISIAN TRANSFORMASI UMNO YANG KEDUA: MEMPERTEGAK MAQASID SYARIAH. Dari dulu, UMNO tidak pernah berhenti memperjuangkan ketertinggian Islam dan syiarnya. Kita berpegang kepada prinsip Maqasid Syariah yang membela dan memelihara lima tunjang utama yakni; agama, nyawa, akal, harta dan keturunan.

100. Di Malaysia, Islam bukan sahaja termaktub sebagai Agama Persekutuan dalam Perlembagaan yang merupakan undang-undang tertinggi negara, tetapi juga pengamalannya bersifat meluas merangkumi bukan sahaja bidang ibadah tetapi juga munakahah, muammalah dan jinayah.

101. Dalam konteks yang sama juga, umat Islam di Malaysia hendaklah hanya mengikut ajaran Islam yang berasaskan pegangan Ahli Sunnah Wal-Jama’ah dari segi akidah, syariah dan keperibadian. Dengan demikian, penyebaran apa-apa ajaran yang lain daripada pegangan Ahli Sunnah Wal-Jama’ah adalah dilarang.

102. Bercakap tentang Islam lagi, selama puluhan tahun, di bawah pimpinan UMNO, Malaysia telah menjadi ‘enabler’ atau pemboleh kepada syiar amalannya.

103. Dari sudut iktisas, industri kewangan Islam di Malaysia telah mencapai pembangunan yang mantap dan progresif. Purata kadar pertumbuhan adalah 17 peratus untuk tempoh 2002 sehingga 2012, dengan pasaran aset perbankan Islam kini mencapai 24 peratus. Dari segi aset pula, 24 institusi kewangan Islam berada dalam kelompok 100 yang terbesar di dunia. Sektor ini yang akan menyumbang kepada tambahan pendapatan negara kasar sebanyak RM7.2 bilion dan hampir 12,000 peluang pekerjaan menjelang tahun 2020.

104. Malaysia juga menerajui sukuk global dengan jumlah terkumpul mewakili 60 peratus, yakni RM492 bilion.

105. Berkaitan itu, sekarang ini kita dapati gelombang di mana orang-orang muda dekat kepada agama. Ia juga berlaku kepada orang yang dah pencen, yang mula berjinak-jinak dengan surau dan masjid. Justeru, ahli-ahli UMNO rajin-rajinlah mendekati golongan ini. Eloklah juga ramai-ramai memakmurkan masjid dan surau.

106. Jadi di sini, kita ingin bertanya, selama ini, siapa yang memperjuangkan kemuliaan agama Islam di negara ini? UMNO atau PAS? Pihak mana yang berjasa menubuhkan universiti dan institusi pendidikan Islam? UMNO atau PAS?

107. Tidak lain dan tidak bukan, selagi hayat dikandung jasad, bercerai nyawa dari badan! Islam akan terus UMNO junjung.
Saudara dan Saudari,

108. PENGISIAN TRANSFORMASI UMNO YANG KETIGA: MEMPERKUKUH PENGKADERAN PARTI. Dalam memperkatakan hal ini, UMNO perlu sentiasa beringat-ingat. Kita bina negara ini untuk siapa? Tentunya untuk generasi muka. Kita bina dan jaga parti ini untuk siapa? Tentunya untuk ditinggalkan kepada pewaris dan para pelapis. Menyedari hakikat bahawa untuk melahirkan pemimpin masa depan mengambil tempoh yang lama, maka parti UMNO perlu mengkader ahli-ahli baru dan orang-orang muda supaya parti UMNO ini menjadi sebuah parti yang lestari sampai bila-bila.

109. Parti juga perlu diperkukuh dengan mendoktrinkan jati diri UMNO kepada para ahli agar budaya kepartian, berakar umbi, terpateri dan tersemat kukuh dalam sanubari semua sebagai landasan perjuangan.

110. Dalam konteks UMNO, program pengkaderan hendaklah merangkumi aspek seperti kreativiti, kemahiran-kemahiran insaniah, budaya berfikir tinggi serta memahirkan mereka dengan teknologi terkini, untuk memudahkan penyampaian dasar-dasar parti dan kerajaan supaya diterima oleh rakyat serta responsif di dalam menyelami dan menyelesaikan masalah akar umbi.

111. Memenuhi prinsip usul feqah, yang menyebut disiplin sebagai jalan tarbiyah dalam kepimpinan, program pengkaderan terutama kepada generasi muda bagi menghadapi pilihanraya akan datang tidak boleh ditangguh-tangguh lagi. Ini supaya UMNO dapat melahirkan pemimpin yang komited, gigih serta istiqamah dalam perjuangan.

Saudara dan Saudari,

112. PENGISIAN TRANSFORMASI UMNO YANG KEEMPAT: MEMPERSIAGA JENTERA TRANSFORMATIF. Adalah menjadi lumrah dalam setiap organisasi yang berjaya, di belakangnya wujud jentera yang dikemudi oleh ahli yang penuh dedikasi, komited dan kental dalam membawa aspirasi dan obor perjuangan. Jika kuat jenteranya, maka gagahlah organisasi tersebut, jika lemah maka tidak bermayalah parti.

113. Misalnya, dalam peperangan, jentera umpama bala tentera yang akan mempertahankan kubu dan bertanggungjawab menyerang pihak lawan serta merintis jalan ke hadapan.

114. Dalam hal ini, UMNO harus sedar bahawa dunia maya atau internet adalah neutral. Barang siapa yang berupaya mengisi dan menguasai ruang-ruang baru itu maka merekalah yang akan berjaya.

115. Kita perlu berwaspada bahawa, penggunaan teknologi terkini menjadi saluran utama dalam penyebaran maklumat dan pengetahuan. Mutakhir ini, smart phone atau telefon pintar menjadi instrumen yang mempengaruhi minda dan nilai terutamanya generasi muda. Malah saya percaya, telefon pintar inilah akan menjadi instrumen paling besar dalam penentuan kalah menang pilihanraya yang akan datang. Oleh yang demikian, kita tidak boleh ketinggalan dan membiarkan pembangkang berwenang-wenang. UMNO mesti menjuarai teknologi maklumat.

116. Saya dimaklumkan, pengguna facebook di Malaysia sahaja mencecah 14 juta akaun. Manakala pengguna telefon bimbit pula mencecah 146 peratus daripada bilangan penduduk Malaysia pada tahun 2013.

117. Justeru, jentera transformatif UMNO hendaklah menguasai medium baru ini bagi menyampaikan risalah-risalah UMNO, mempertahankan dasar-dasar parti dan kerajaan, serta melawan segala tuduhan, nista yang pembangkang lemparkan. Suka atau tidak, kita tidak boleh, tidak menjadi pelaku utama kepada teknologi ini. Ingatlah, hakikatnya dalam dunia politik, selalunya persepsi lebih penting daripada realiti. Mahu tidak mahu, kita harus menanganinya.

Saudara dan Saudari,

118. PENGISIAN TRANSFORMASI UMNO YANG KELIMA: MENETAP PETUNJUK PRESTASI UTAMA ATAU KPI UMNO. Bagi memastikan perjalanan jentera UMNO dapat bergerak dengan lebih berkesan menjelang Pilihanraya Umum ke-14 kelak, saya juga akan perkenalkan sistem Petunjuk Prestasi Utama atau KPI untuk setiap bahagian dan negeri.

119. Melalui penetapan KPI ini nanti, barulah kita akan lebih bersedia untuk memenangi kerusi-kerusi parlimen dan DUN yang kita tewas baru-baru ini, di samping mengekal dan mengukuhkan pengaruh serta kedudukan di kawasan-kawasan yang dimenangi sebelum ini, selanjutnya, mula merangka pelan gerak kerja untuk menawan kubu-kubu lawan.

120. Melalui pelaksanaan KPI ini, sebagai Presiden parti, saya mahukan setiap cawangan, bahagian dan negeri dipantau dan diaudit secara berkala untuk dinilai prestasi serta pencapaian setiap negeri, bahagian atau cawangan. Melalui kaedah ini, sebarang isu, masalah atau ketidakpatuhan yang berlaku boleh dikesan dan tindakan korektif dapat diambil dengan segera.

121. Jelasnya KPI ini menjadi pengukur yang objektif sebagai kad laporan kepada kepimpinan parti. Turunlah ke kawasan, berjumpalah dengan pengundi, buktikan pada masyarakat, UMNO adalah parti yang serius membela dan mengkhidmati rakyat.

PENUTUP

Saudara dan Saudari,

122. Ahli falsafah Yunani berpesan bahawa, perubahan itu adalah penumpuan segala kudrat dan tenaga yang ada, bukan untuk bertempur dengan hal-hal dan kisah-kisah lama, tetapi perubahan itu ialah mencipta dan membina kejayaan-kejayaan baru.

123. Bersandarkan ungkapan itu, hari demi hari, detik demi detik, saat-saat yang berlalu telah menjadi saksi bahawa UMNO mengungguli kepimpinan transformatif negara sebagai sebuah parti yang bermaruah, parti yang berdaulat dan parti yang terus menepati janji.

124. Sesungguhnya, hitungan masa telah menjadi saksi dan hakim, yang adil dalam merakamkan bahawa, parti UMNO ini telah puluhan kali meninta detik-detik bersejarah dalam pembikinan negara bangsa Malaysia.

125. Malah, bermula sejak tahun 1946 sehingga tahun 2013, UMNO telah melalui dengan jayanya 11 kronologi game-changer yang merubah landskap politik dan negara keseluruhannya.

126. Antara detik penting yang ditongkah oleh UMNO, bermula daripada penubuhan parti, meraih kemerdekaan, tragedi hitam perkauman, Dasar Ekonomi Baru, bangkit dan pulih daripada runtuhan UMNO lama serta menggagas Wawasan 2020, mula mendakap dunia teknologi maklumat.

127. Terbaru pula, UMNO telah selesai proses permulaan transformasi sebagai langkah hebat dan penuh berwibawa untuk menjadi parti paling demokratik dan inklusif.

Saudara dan Saudari,

128. Jika dihitung jumlahnya, kita ada sekurang-kurang 2,217 hari atau 72 bulan sebelum fajar negara maju menampakkan sinarnya. Manakala Pilihanraya Umum ke-14 pula, tempohnya lebih dekat dari itu.

129. Sehubungan itu, tiada siapa yang dapat menafikan, selama berdekad-dekad UMNO yang mengetuai Barisan Nasional telah mencapai satu persatu rekod prestasi yang sungguh membanggakan dalam meniti Transformasi Negara.

130. Hakikatnya, sejak dari dulu, kita berjuang dengan penuh objektif, dengan penuh gigih, mendengar bicara hati masyarakat, bisikan nurani semua dan pastinya luahan rasa rakyat terbanyak.

131. Malah, manifesto pilihanraya kita tempoh hari juga bukan sekadar manifesto biasa tetapi adalah sebuah akujanji yang berani. Sesungguhnya, kita bukanlah parti yang suka berbohong dan berdusta, kita bukanlah parti yang jenis cakap tak serupa bikin, kita bukanlah seperti pimpinan pembangkang yang sanggup berbuat apa saja sehingga memalsukan kata-kata dan memperdayakan rakyat, bahkan lebih terkutuk daripada itu sampai sanggup berjanji setia untuk menyokong segala usaha demi melindungi keselamatan rejim zionis dan Israel.

Saudara dan Saudari,

132. Mereka telah berbohong tentang 16 September 2008 untuk menubuhkan Kerajaan. Anwar Ibrahim juga telah menipu rakyat di Kg. Buah Pala. Katanya, dalam tempoh 2 minggu, jika menang, mereka akan selesaikan masalah penduduk di situ. Itu palsu semuanya. Itu dakyah semata-mata.

133. Akhirnya, kerajaan pusat Barisan Nasional yang ditunjang oleh UMNO jugalah yang selesaikan. Malah saya sendiri turun padang menyerahkan 18 kunci rumah kepada para penduduk di situ.

134. Selanjutnya, di kala rakyat Selangor sedang menderita akibat masalah air, sampah sarap dan pelbagai isu yg tidak selesai-selesai, pimpinan Kerajaan Selangor sibuk pula nak menaikkan gaji masing-masing sehingga 373 peratus.

135. Jelasnya di sini, rakyat harus membuka mata kerana, pimpinan pembangkang lebih mementingkan diri masing-masing. Saban waktu mereka tuduh UMNO macam-macam, tetapi selama ini kitalah yang membela kepentingan rakyat dan negara.

Saudara dan Saudari,

136. Laginya, seperti kita tahu dan terpampang di dada-dada akhbar sejak bertahun-tahun, ramai pimpinan utama PKR yang telah keluar dari parti itu.

137. Terkini, lebih parah, 11 ketua cabang PKR Sabah telah mengumumkan keluar parti dan menzahirkan sokongan terbuka kepada kita. Mudah-mudahan, harap-harapnya, sesudah ini, makin ramailah yang mendapat petunjuk dan kembali kepada UMNO.

Saudara dan Saudari,

138. Baru-baru ini pula, Presiden Petronas telah memberitahu saya bahawa, kita telah kehilangan hampir RM40 bilion pelaburan asing dari Taiwan untuk projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia di Pengerang, Johor. Ini kerana, sekumpulan pihak pembangkang telah pergi ke Negara tersebut dan menakut-nakutkan para pelabur.

Saudara dan saudari,

139. Saya ingin bertanya, tidakkah perbuatan pembangkang ini satu pengkhianatan kepada rakyat? Tidakkah perbuatan mereka ini satu petualangan kepada kepentingan negara?

140. Tidak cukup dengan itu, tidak cukup dengan itu, jangan sesekali kita lupa, parti DAP telah menghina penjawat awam sebagai kucing kurap. Pemimpin DAP jugalah yang mahu memberhentikan lebih separuh penjawat awam jika mereka memerintah negara ini.

Saudara dan Saudari,

141. Kepada pihak pembangkang inikah orang-orang Melayu, Bumiputera dan rakyat keseluruhan hendak menyerah nasib dan masa depan anak cucu? Kepada mereka yang sanggup menggadai kepentingan rakyat dan negara inikah kita nak pertaruhkan hari muka?

142. Lebih dahsyat lagi, merekalah yang tidak menghargai para perajurit serta anggota-anggota keselamatan yang bermati-matian mempertahankan tanahair, malah mahu mengiktiraf pula komunis sebagai wira bangsa.

143. Maka yang demikian, peristiwa Lahad Datu, tidak mungkin terpadam dari memori dan ingatan kita betapa UMNOlah sebagai parti yang senantiasa mengangkat dan menjulang para perajurit dan anggota-anggota keselamatan di persada yang sewajarnya.

144. Ternyata, tragedi Lahad Datu telah mengukuhkan lagi ikatan sesama kita, rakyat Malaysia. Pendek kata, walau sejengkal tanah Sabah, Negeri di Bawah Bayu, tak mungkin kita serahkan kepada sesiapa.

145. Kesimpulannya, kebersatuan Semenanjung, Sabah dan Sarawak umpama:

Anak-anak bermain raga,
bersama kawan di tepi perigi,
ikatan kasih bersulam jiwa,
ibarat rambut bersimpul mati.

Saudara dan Saudari,

146. Atas segalanya, sebagai Presiden UMNO saya sentiasa berdoa demi masa depan umat. Walau kita dicemuh, walau kita disindir, walau UMNO dibentak-bentak namun parti ini tidak akan pernah jemu untuk menghulurkan salam perpaduan dengan mana-mana parti politik. Demi, melihat umat Islam kembali bersatu.

Saudara dan Saudari,

147. Oleh kerana itu, kita tak boleh bersegan silu lagi dalam terus memperjuangkan nasib bangsa. Percayalah, yakinlah, kita berada di landasan yang benar dan betul.

148. Di perhimpunan bertuah inilah, saban tahun kita keramatkan segala usul yang akhirnya menjadi dasar-dasar negara. Kita tidak berhimpun untuk suka-suka. Jangan sesekali kita lupa, di perhimpunan-perhimpunan agung UMNO inilah agenda-agenda umat Melayu dan Bumiputera dijulang.

149. Di sinilah UiTM dimartabatkan, di sinilah nasib penjawat awam dibela, di sinilah Raja-Raja Melayu terus dipermuliakan, di sinilah institusi-institusi Melayu dan Bumiputera diperjuangkan.

150. Selain itu, di sinilah kementerian-kementerian strategik yang membela untung nasib orang Melayu dan Bumiputera digagaskan, di sinilah syiar agama Islam dipertinggikan, dan di perhimpunan inilah juga orang Melayu menghitung masa depan keturunan mereka.

Saudara dan Saudari,

151. Seperti besi kersani yang tidah tersepuh dengan saja-saja malah telah dibakar, dilebur dan diasah menjadi waja yang gagah berani. Begitulah parti UMNO dalam memperjuangkan hak dan kepentingan bangsanya.

152. Di manakah suka duka bangsa Melayu nak diperbicarakan? Di manalah orang Melayu nak mencurah rasa. Di manalah lagi orang-orang Melayu ingin merungkai kesumat dan menyulam dendam tentang nasib bangsa. Di manalah lagi keluh kesah orang Melayu hendak dizahirkan, jika tidak di perhimpunan ini. Jika tidak kepada parti ini.

153. Ke manalah orang-orang Melayu hendak membawa diri, jika UMNO sudah tiada lagi. Ke manalah perginya hati, ke mana hilangnya rasa, kalau perjuangan umat Melayu sudah tidak berkumandang lagi. Relakah kita perjuangan Melayu terhapus di bumi ini? Sanggupkah Melayu akhirnya merempat dan terbangsat di tanah sendiri?

Saudara dan saudari,

154. Tanpa UMNO di manakah kita? Tanpa UMNO di mana sudahnya Melayu?

155. Kepada Allah kita mohon dipersimpangkan, kepada Allah kita pinta diperjauhkan, JANGANLAH MELAYU HILANG DI DUNIA! Kepada Allah kita mohon pertolongan.

HIDUP UMNO!
HIDUP BARISAN!
HIDUP MALAYSIA!

Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Terima kasih.

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda