Bersih 3.0 bukan ‘malaikat’ yang tidak melakukan kesalahan, kata pemimpin DAP

Penganjur Bersih 3.0 tidak seharusnya menyalahkan pihak berkuasa atas kejadian keganasan yang berlaku Sabtu lalu ketika perhimpunan menuntut pilihan raya yang adil dan bersih, kata Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim.

Penganjur Bersih 3.0 bukan kumpulan “malaikat yang diturunkan dari syurga dan langsung tidak boleh dipersalahkan.”

“Mereka seharusnya menerima elemen tambahan daripada perhimpunan anjuran mereka yang menimbulkan kekecohan dan huru-hara selagi mana ianya masuk akal,” kata Naib Presiden DAP itu dipetik akhbar The Star.

“Mereka meletakkan beban kesalahan itu di bahu pihak polis, sedangkan mereka harus sedar mereka juga bersalah,” tambahnya.

Tunku Abdul Aziz (gambar), yang juga Presiden Transparensi Antarabangsa Malaysia berkata, walaupun pihaknya tidak menafikan ada sesetengah peserta yang sememangnya benar-benar menuntut pilihan raya yang adil dan bersih, “namun, sebagai bukti, ada juga pihak yang berfikiran sebaliknya.”

“Bersih 3.0 hilang kawalan daripada matlamat utama mereka kerana ia telah disabotaj,” kata pemimpin DAP berkenaan.

Tunku Abdul Aziz telah mengeluarkan kata-kata lantang terhadap kepimpinan DAP dan Pakatan Rakyat (PR) yang secara terbuka menyatakan beliau tidak menyokong perhimpunan Bersih 3.0 kerana ia “menyemai semangat rakyat untuk melanggar undang-undang.”

“Penentangan saya terhadap demonstrasi seperti ini – menggalakkan rakyat melanggar undang-undang sedangkan kita adalah pemimpin mereka yang menggubal undang-undang.

“Saya dapat rasakan berlakunya konflik di sini.

“Saya tidak kisah jika perhimpunan itu tidak menyalahi undang-undang, namun melanggar undang-undang tidak akan saya sokong,” katanya sehari sebelum Bersih 3.0 pada 28 April lalu.

Kenyataannya itu mendapat reaksi negatif Setiausaha Agung DAP,  Lim Guan Eng yang menegaskan pendirian Tunku Abdul Aziz itu memalukan parti.

“Saya terkilan dengan kenyataan tidak bertanggungjawab yang dibuat Senator Tunku Abdul Aziz menolak hak Bersih untuk berhimpun … untuk menuntut pilihan raya yang adil dan bersih.

“Pendirian Senator Tunku itu berkenaan Bersih 3.0 di Dataran Merdeka adalah pendapat individu di antara ahli Jawatankuasa Pusat DAP yang lain,” kata Lim dua minggu lalu.

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Leave a comment