ULASAN TERHADAP RESOLUSI MUZAKARAH IKATAN MUSLIM MALAYSIA (ISMA) – Ulasan Tun Abdul Hamid

Saya merujuk kepada laporan Mingguan Malaysia 28 Mac 2013 muka 14 bertajuk “PRU: Pilih caluon muslim berwibawa”. Ruangan itu melaporkan resolusi yang dibuat di muzakarah Kefardhuan Mengundi Calon Muslim Berwibawa anjuran Ikatan Muslim Malaysia (ISMA).
Saya percaya muzakarah itu diadakan untuk memberi panduan kepada umat Islam di Malaysia bagaimana mereka patut memilih calon yang “mampu melaksanakan tugas sebagai wakil rakyat dengan baik mengikut neraca syarak supaya agenda memartabatkan Islam terus kukuh di negara ini”. Itu adalah satu usaha yang baik.
Untuk itu, muzakarah itu mengingatkan umat Islam “supaya tidak memilih calon yang mendokong fitrah bertentangan dengan agama Islam seperti liberalisme, sekularisme dan pluralisme.” Umat Islam dinasihatkan memilih calon-calon yang “amanah, kuat berkerja, berakhlak, setia dan mengutamakan perpaduan serta kesejaheraan rakyat.” Ingatan itu memanglah tepat.
Tetapi, pada pandangan saya, ada satu bahagian daripada resolusi muzakarah itu yang kurang tepat. Ianya ialah apabila ia mengatakan “umat Islam perlu memilih calon yang memenuhi kriteria sedemikian tanpa mengira parti kerana mereka adalah harapan dalam memperjuangkan agenda dan kepentingan Islam.”
Saya berkata demikian kerana dalam pilihan raya umum kita bukan memilih individu unutk menjadi ahli Parlimen atau untuk menubuhkan kerajaan seperti kita memilih ahli jawatankuasa sesebuah persatuan. Calon-calon itu bertanding atas tiket parti masing-masing yang mempunyai agenda perjuangan masing-masing. Mereka terikat dengan dasar dan pendirian parti atau kumpulan parti-parti masing-masing. Seperti amalan di Malaysia, mereka dikehendaki mematuhi dasar dan pendirian parti menyebabkan mereka tidak atau tidak dapat bertindak dengan bebas mengikut apa yang mereka sindiri, walaupun mereka orang-orang yang berwibawa, akan melakuannya. Ini kerana mereka “terikat” atau sekurang-kurangnya dipengaruhi oleh dasar atau pendiriaan parti atau kumpuan pariti-parti yang partinya menjadi ahli.
Misalan yang jelas ialah sikap yang ditunjukkan oleh “ulamak-ulamak” PAS. Kita lihat pendirian mereka mengenai sesuatu perkara yang secara terus memberi kesan terhadap agama dan umat Islam di Malaysia, misalnya isu penggunaan nama Allah oleh Gereja Katholik. Mereka memilih pendirian yang sesuai dengan pendirian parti-parti dalam pakatan mereka. Tetapi, apabila ia jelas suatu pendirian yang tidak popular, mereka mengubahnya. Banyak misalan lagi boleh diberi yang menunjukkan bahawa orang-orang yang bukan sahaja disifatkan “berwibwa”, malah “ulamak” pun tidak akan menyuarakan pendapat mereka yang sebenar keranan kekangan parti atau kepentingan peribadi seperti takut dikenakan tindakan disiplin.
Oleh sebab itu, dalam konteks PRU Ke-13, saya berpendapat, kita tidak patut hanya mengambil kira faktor kewibawaan individu. Kita perlu juga mengambil kira faktor parti dan pendirian parti-parti komponannya dalam isu-isu berkenaan. Umat Islam sepatutnya dinasihatkan memilih parti daripada gabungan parti-parti yang dasarnya “memperjuangkan agenda dan kepentingan Islam” dan lebih berkemungkinan akan dapat melaksanakannya. Sifat-sifat yang disebutkan itu memanglah perlu dalam memilih individu. Tetapi dalam konteks PRU Ke-13 pemilihan parti adalah lebih penting untuk tujuan tersebut. Individu akan mengikut parti.
Tun Abdul Hamid Mohamad
tunabdulhamid@gmail.com
29 Mac 2013

 

pautan asal

 

http://www.tunabdulhamid.my/index.php/speech-papers-lectures/item/507-ulasan-terhadap-resolusi-muzakarah-ikatan-muslim-malaysia-isma

1 Comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

One response to “ULASAN TERHADAP RESOLUSI MUZAKARAH IKATAN MUSLIM MALAYSIA (ISMA) – Ulasan Tun Abdul Hamid

  1. Pingback: ULASAN TERHADAP RESOLUSI MUZAKARAH IKATAN MUSLIM MALAYSIA (ISMA) – Ulasan Tun Abdul Hamid - http://politik.blog.my | http://politik.blog.my

Leave a comment