Daily Archives: September 6, 2008

Pemuda MCA Perak gesa MCA pertimbang keluar daripada BN

Pemuda MCA Perak hari ini menggesa pucuk pimpinan pusat parti itu supaya mempertimbangkan untuk keluar daripada Barisan Nasional (BN) sekiranya para pemimpin UMNO, parti politik terbesar dalam gabungan itu, tidak mahu mengubah sikap.

Mengambil contoh kenyataan Ketua UMNO Bahagian Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail baru-baru ini, Ketua Pemuda MCA Perak Datuk Tan Chin Meng berkata, pendekatan sedemikian telah menyinggung perasaan kaum bukan bumiputera selain boleh menjejaskan perpaduan rakyat di negara ini.

“Maka Pemuda MCA Perak menyeru kepada pemimpin MCA pusat supaya mempertimbangkan sekiranya pemimpin-pemimpin UMNO masih tidak ingin menukar perangai mereka, untuk keluar daripada BN,” katanya kepada pemberita selepas berucap sebelum majlis pemilihan jawatan Pemuda MCA Perak di Dewan St John Ambulans di sini hari ini.

nota: yang byk bersuara utk minta parti mereka keluar dari BN, kebanyakannya adalah golongan muda. Mereka agaknya sudah lupa jasa UMNO/BN terhadap golongan terdahulu dari mereka. Ibarat kacang lupakan kulit. Lupa tentang perjuangan yang sama2 pemimpin UMNO,MCA & MIC terdahulu perjuangkan.

1 Comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Ucapan Dimanipulasi

Ketua Umno Bahagian Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail hari ini menjelaskan bahawa beliau bukan seorang bersikap perkauman dan kekecohan yang timbul ekoran kenyataannya mengenai masyarakat Cina baru-baru ini berpunca daripada salah lapor sebuah akhbar berbahasa Cina.

Beliau mendakwa ucapannya mengenai kedudukan kaum-kaum di Malaya pada zaman pra merdeka semasa kempen pilihan raya kecil Permatang Pauh 23 Ogos lalu dimanipulasi oleh pemberita akhbar Sin Chew Jit Poh sehingga menyebabkan masyarakat dan pemimpin Cina termasuk daripada parti komponen Barisan Nasional (BN) membuat komen melulu tanpa usul periksa.

Katanya adalah tidak adil beliau dibicarakan di dalam mahkamah media dan didapati bersalah serta dihukum tanpa penjelasan diperoleh daripadanya dan pemberita berkenaanlah yang seharusnya dipersalahkan kerana menjadikan ia sebagai perkauman.

Bercakap pada sidang akhbar yang turut dihadiri 13 ketua dan wakil Umno bahagian di Pulau Pinang serta para penyokong parti di Menara Umno di sini, Ahmad kesal kerana ceramahnya mengenai fakta sejarah bagi membangkitkan kesedaran kepada orang Melayu dan anggota Umno mengenai perjuangan bangsa Melayu disalah lapor oleh pemberita berkenaan.

“Saya tidak akan meminta maaf di atas kesalahan yang dibuat oleh pemberita berkenaan. Saya tidak bersalah dan saya cabar sesiapa sahaja yang tidak bersetuju dengan saya bahawa orang Cina adalah penumpang di Tanah Melayu sebelum merdeka dan sememangnya bukan Melayu adalah pendatang dan menumpang di sini ketika itu,” katanya.

Ahmad berkata beliau berdiam diri selama ini kerana mahu menilai dan melihat perkembangan isu ini dan kebetulan beliau berada di Bangkok kerana membawa pasukan sepak takraw negara menyertai Kejohanan Sepaktakraw Piala Raja Thai.

“Saya membuat keputusan tidak mahu terburu-buru memberikan kenyataan balas seperti mana beberapa pemimpin Cina yang membuat komen melulu dan tidak berasas yang menampakkan ketidakmatangan mereka dan memanaskan isu yang tidak berasas ini,” katanya.

Ahmad berkata ucapan itu dibuat sebagai penjelasan kepada masyarakat Melayu mengenai pentingnya Dasar Ekonomi Baru (DEB) dikekalkan berikutan Pakatan Rakyat mahu menghapuskan DEB dan kononnya mahukan kesamarataan.

Menjelaskan lanjut, beliau berkata ucapannya menceritakan bagaimana British menjajah Tanah Melayu dan membawa masuk orang Cina untuk bekerja di lombong bijih timah dan India di ladang-ladang getah.

“Kemudian British telah membangunkan kawasan yang didiami oleh orang Cina dan membina klinik, hospital dan juga sekolah di kawasan itu sehingga membolehkan orang Cina mendapat pelajaran lebih awal daripada orang Melayu.

Selepas 10 tahun merdeka pula, katanya jurang ekonomi antara kaum Melayu dan Cina begitu ketara sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati dan berlaku peristiwa 13 Mei 1969 yang meninggalkan kesan mendalam dan pahit kepada seluruh rakyat Malaysia.

“Semasa menuntut kemerdekaan, orang Melayu telah rela dan sanggup memberi hak kewarganegaraan kepada orang Cina dan orang Cina juga bersetuju hak dan ketuanan Melayu tidak boleh dipertikaikan dan agama Islam menjadi agama rasmi negara. Inilah kontrak sosial yang telah dipersetujui,” katanya.

“Maka, saya tidak bersikap perkauman. Saya mempunyai ramai kawan Cina dan India bukan sahaja dalam politik, sukan dan perniagaan tetapi dalam kehidupan seharian. Saya tiada masalah hubungan dengan mereka.

“Saya tidak akan meminta maaf dan saya juga tidak mempunyai sebab untuk meminta maaf dengan sesiapa pun dalam isu ini. Saya tidak membuat apaapa kesalahan,” katanya.

Ditanya mengenai nasihat Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya beliau meminta maaf dalam tempoh seminggu ini, Ahmad menegaskan: “Perdana Menteri selaku pemimpin besar kita dan juga Pengerusi BN terpaksa menjaga hati parti-parti komponen. Walaupun saya menyokong Perdana Menteri dan sayangkan beliau, saya kena mempertahankan prinsip saya dan semua ketuaketua bahagian di Pulau Pinang bahawa saya tidak akan meminta maaf.”

9 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda